Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 10 April 2008

Antara Dua Darjat

Sepanjang saya mengajar pendidikan rekreasi luar di UiTM, saya telah dipertemukan dengan peserta-peserta yang pendapatan bulanan keluarga mereka daripada serendah di bawah RM500.00 sehinggalah melebihi RM50,000.00 sebulan. Namun layanan untuk kuliah dan amali tetap sama. Untuk amali perkhemahan, saya akan memastikan kesemua pelajar mendapat makanan dan minuman yang sama rata.

Bagaimana caranya? Sebelum peserta memasuki tapak perkhemahan, saya akan memastikan mereka menyerahkan segala makanan dan minuman tambahan yang dibawa dari rumah atau kolej. Selain itu juga wang dan alat perhubungan mereka juga akan disimpan. Jadi peserta tidak mempunyai cara untuk mendapatkan makanan tambahan walaupun terdapat kedai berhampiran tapak perkhemahan. Rokok menjadi barang yang saya ‘haramkan’ sama sekali. Sekiranya peserta ditangkap merokok, jumpa saya untuk subjek yang sama pada semester hadapan [itu hukuman mandatori]. Fasilitator bagaimana pula? Doa saya agar suatu hari nanti mereka akan dibukakan pintu hati untuk berhenti ‘meracun diri’.

Perhubungan dengan dunia luar juga akan disekat. Ini untuk memastikan peserta fokus dengan aktiviti yang mereka jalani dan tidak diganggu gugat oleh anasir luar. Keluarga dan sanak saudara akan menghubungi saya sekiranya terdapat sebarang berita daripada keluarga di luar kem. Tiada sebarang surat khabar dan majalah dibenarkan dibawa masuk. Maka peserta akan berada dalam ‘dunia baru’. Ianya dicipta khas untuk mendidik para peserta tentang ilmu rekreasi dan kemanusiaan yang tidak boleh diperolehi di dalam bilik darjah. Alam semulajadi digunakan sepenuhnya sebagai ‘makmal’ untuk mendidik para peserta.


Tak Suka?

Sudah tentu ada yang tak suka. Kenapa ya? Saya pun tak pasti. Mungkin sebab dah biasa hidup senang. Ataupun pernah mendengar cakap-cakap orang [words of mouth] yang tak sedap didengar. Ada juga di kalangan pensyarah sendiri yang tak bersetuju dengan pendekatan saya ini. Ye ke? Mana tau? Tapi apa saya peduli. Biar apa orang nak kata, saya tetap dengan pendirian saya untuk menggunakan teknik yang sama untuk pendidikan Rekreasi Luar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

Dengan pendekatan yang saya gunakan ini, alhamdulillah tiada pelajar yang tercedera dan ditimpa kemalangan semasa berkursus. Tiada yang sesat. Tiada yang mati, nauzubillah. Bagi saya yang penting niat. Selagi niat untuk mendidik, insyaallah Allah akan pelihara. Seperti yang sering saya ulang-ulang, “yang nak dijaga ni anak orang, bukannya anak beruang” . Memandangkan aktiviti rekreasi ini berisiko tinggi sekiranya salah pendekatan. Maka saya perlu tegas di dalam memberi arahan di samping sentiasa berusaha menceriakan suasana.


Tersirat dan Tersurat

Setiap sesuatu yang saya lakukan pasti ada yang tersirat di sebaliknya. Itulah yang saya pelajari daripada guru Pendidikan Luar saya, Sifu Abu Bakar Sidek. Ilmu dan pengalaman yang saya perolehi daripada beliau dan fasilitator semasa belajar di UPM melalui subjek Pendidikan Luar sangat signifikan biarpun untuk satu semester. Ianya pula ditambah dengan ilmu dan pengalaman yang dikutip daripada Dr Wan Sabri Wan Mansor semasa menuntut ilmu rekreasi luar di Fakulti Perhutanan selama 4 tahun telah mencorakkan kehadiran kursus pendidikan rekreasi luar di UiTM.

Tidak saya lupakan pengalaman 5 tahun semasa menyertai Kelab Outward Bounders UPM (KOBUPM) dan peluang dihantar berkursus [25-day Standard Course SC401] dan berkhidmat di Outward Bound School Lumut [Course Assistant] telah membuka lembaran kerjaya untuk saya di dalam bidang rekreasi luar ini.


Dugaan dan Cobaan


Dugaan ada di mana-mana. Disebabkan itulah juga saya sering berpesan kepada diri saya sendiri dan juga barisan fasilitator yang tidak jemu-jemu datang membantu, sekiranya ingin menghukum peserta pastikan ianya untuk mendidik. Janganlah ianya disebabkan dendam dan rasa tidak puas hati. Kesan daripada ilmu yang cuba nak disampaikan itu mungkin tidak dapat diterima oleh peserta pada waktu itu. Mungkin bagi sesetengah peserta penerimaannya agak lewat. Ini kerana setiap individu mempunyai pengalaman hidup dan tahap penerimaan juga berbeza. Insyaallah, suatu hari nanti mereka akan sedar, betapa kesan daripada kesilapan mereka yang kecil akan boleh menghasilkan impak yang besar samada kepada diri dan juga masyarakat.

2 comments:

team tact said...

BETUL....InsyaAllah pasti sesiapa sahaja satu masa nanti pasti akan terkenang satu saat dulu.... tq boss 4 those days at banding. teruskan ajar org mcm mana nak tangkap ikan...bukan bagi ikan...tq again.

HiCMat said...

Mr/Miss Team Tact,
Segala yang baik itu datangnya daripada Allah subhanahu wataala dan segala yang buruk itu datangnya daripada kesilapan dan kelemahan saya sendiri.