Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 21 May 2009

Lambaian Kaabah 1

Sudah lama saya mengimpikan untuk mengerjakan ibadat di Tanah Suci. Sejak dari zaman bujang lagi saya sudah memasang niat. Kalau ada duit sahaja pasti saya akan berkunjung ke sana. Saya ingin melihat sendiri Kaabah. Saya ingin bersolat di hadapan Kaabah. Saya ingin bersolat di dalam Kaabah. Saya ingin mengerjakan sebanyak mungkin umrah sesampainya saya di Tanah Suci Mekah. Saya ingin tawaf. Saya ingin merasai nikmat mengerjakan saie. Saya ingin melihat dan menghadap Kaabah sepuas-puasnya. Saya ingin melekapkan dada di Multazam. Saya ingin eminum air zam-zam sepuas-puasnya. Saya ingin berdoa yang baik-baik di kesemua tempat-tempat yang mustajab doa di Tanah Suci. Namun saya hampa. Impian tak tercapai. Zaman bujang saya tamat tanpa sempat saya ke sana.

Saya berkahwin. Saya terus memasang niat. Saya ingin membawa isteri saya ke sana. Ingin 'berbulan madu' ke sana. Saya mahu bersama-sama isteri mengerjakan ibadat di Tanah Haram. Kami kumpulkan duit secukupnya. Kami mempunyai impian yang sama. Namun malangnya, seru kami untuk mengunjungi rumah Allah belum sampai.

Saya dan isteri dikurniakan seorang cahaya mata. Kamilia Afiqah dilahirkan ke dunia. Anugerah Yang Maha Esa yang sudah pastilah membuatkan kami suami isteri gembira dan bersyukur. Duit yang dikumpul cukup. Tapi... cukup untuk kami berdua sahaja.

Anak nak tinggal di mana? Siapa ingin menjaga? Tidak rindukah si-kecil itu untuk ditinggalkan selama hampir 2 minggu? Mana mahu dicari duit? Bajet kami memang cukup-cukup. Pakej untuk 2 orang telah saya bayar. Kamilia masih tiada 'penjaga'. Mana mahu ditinggalkan sikecil ini terus bermain di kepala kami suami isteri.

Saya berkunjung dari bilik ke bilik rakan-rakan di fakulti. Ingin saya maklumkan bahawa saya akan ke Tanah Suci. Saya pohon ampun dan minta dihalalkan segalanya. Saya singgah ke bilik Sifu Dr Anuar Suun. Saya nyatakan hasrat di hati mengikut skrip yang telah diatur. Dr Anuar menceritakan pengalaman pertamanya ke Tanah Suci. Saya makin teruja.

Akhirnya Dr Anuar bertanya, " Liza dengan Kamilia ikut kan...". Soalan ini sukar untuk saya jawab. Namun saya jawab juga dengan rasa sedih, "Liza pi, tapi Kamilia tinggal". Dr Anuar nampaknya terkejut dengan jawapan saya. Terus dia berhujah, "Syam, saya masih ingat masa hang mula-mula masuk UiTM dulu. Masa tu hang masih bujang. Hang kata nak pi umrah tapi tak pi. Kemudian hang kawin dengan Liza pun hang pasang niat nak pi tapi tak pi jugak. Tapi sekarang bila hang dah dapat Kamilia dan dapat rezeki untuk ke sana, hang tak nak bawa dia pulak. Hang nak tingggal dia. Bukan ka dia yang bawa rezeki untuk hang ke sana!". Aduh tersentap saya dibuatnya.

Saya malu nak sebut sebenarnya. Duit saya cukup-cukup saja. Saya bukan anak orang kaya yang boleh minta saja duit dari mak bapak. Sumber saya terhad.

Dr Anuar tak mengalah dia terus berkata, "Hang kena usaha... hang kena bawa Kamilia juga. Buatlah macamana pun. Kamilia mesti kena bawa juga. Hang tak kesian ka dengan dia kena tinggal". Aduh... saya terus sentap. " Nah ambik ni... ikhlas dari saya untuk Kamilia", kata Dr Anuar sebelum saya meninggalkan bilik dia. Saya menolak. Namun poket saya hampir rabak ditarik Dr Anuar untuk pastikan duit yang disedekahkan memasuki poket baju saya.

Terus saya bertanyakan ejen pakej umrah. Saya perlu berusaha untuk membawa Kamilia bersama ke Tanah suci. RM700 sahaja katanya. Semuanya untuk kos penerbangan sahaja. Penginapan dan makanan tak perlu. Hanya susu ibu.

Alhamdulillah saya dikurniakan ilham oleh Allah S.W.T. Kenapa saya boleh terlupa tentang sumber ini sebelumnya.

Rezeki Kamilia sebenarnya memang murah. Duit simpanan di dalam Tabung Haji milik Kamilia menjadi sumber terakhir. Terus saya belek buku Tabung Haji Kamilia. Ada lebih RM700 duit yang disedekahkan saudara mara dan rakan-rakan ketika mereka datang melawat Kamilia di hospital dan di rumah selepas dia dilahirkan. Saya dan Liza bersyukur. Kamilia boleh turut serta.

Talbiah di bawah menusuk ke sanubari apabila saya melaungkannya di sepanjang perjalanan dan ketika berada di Tanah Suci. Saya terkenangkan kesukaran dan dugaan untuk saya sekeluarga mengunjungi rumah Allah. Saya bersyukur kerana dijemput sebagai tetamu Allah.

"HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tiada sekutu bagiMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu"

7 comments:

saufee said...

salam en hisyam, alhamdulilah, ini semua kerja allah..allah telah mengilhamkan sukma kebaikan kepada encik hisyam..sesunguhnya en hisyam telah mengikut jalan allah iaitu jalan 165 yg telah di ajar oleh baginda nabi muhammad...semoga allah merahmati kelurga en hisyam dunia dan akhirat..SALAM PERJUANGAN 165...

yazilahyazir said...

Salam En. Hisyam,
Boss org yg baik, selalu dipermudahkan jalannya. ALLAH SWT sentiasa tolong boss dan keluarga. Ini semua adalah berkat boss mengajar, menolong dan membantu kami dengan ikhlas. Semoga ALLAH SWT sentiasa lindungi En. Hisyam sekeluarga dari segala penyakit dan kesusahan serta kurniakanlah rezeki yg melimpah ruah untuk En. Hisyam sekeluarga. Amin...

perjalanan said...

bilalah pula agaknya 'perjalanan' sy akan terarah ke sana...ada juga menyimpan cita2...mungkin boss ada tips2 doa atau amalan2 yg dilakukan sbg usaha dan persiapan kesana...harap dpt dikongsi utk dijadikan panduan...


salam perjalanan...

Anonymous said...

Hisyam,macam mana tiba-tiba hang teringat Mekah ni.Biasala...kan,mereka yg pernah pergi ke sana pasti rindu untuk pergi lagi ke Mekah.Insya-Allah nanti sekiranya diizinkan Allah,kita pergi buat haji beramai-ramai,dengar kata Abg Mie pun dah pasang niat, nak buat haji.Lawatilah blog Prof Muhd Kamil,dia nak pi buat umrah cuti sekolah ni.Dia sekarang dah menjadi pendakwah dan ramai peminat sejak buku dia Travelog Haji jadi bestseller.Abg Din.

kuDULT said...

Doakan aku dapat pi...ngidam lama dah ni....tapi nak anto orang tua dulu.....

teamtact said...

Assalammualaikum...

Betul bos... sesiapa yang pernah sampai ke tanah Mekah pasti akan berkeinginan untuk kesana lagi.... Alhamdulillah pada usia muda (19 thn) saya telah berpeluang kesana... dan apa yang amat saya ingati ialah sepanjang disana saya sangat banyak membantu arwah nenek saya yang berkerusi roda, setiap kali membuat umrah saya akan menolak arwah untuk Sa'ie dan tawaf.... Alhamdulillah arwah sempat buat 7 kali umrah, mungkin dengan doa beliau jugalah saya diberi kekuatan untuk buat 7 kali....

Arwah meninggal 2 bulan selepas kami pulang ke Malaysia... dan kali terakir saya mengucup tangannya ialah sekembalinya saya ke Malaysia dan ketika saya mahu bertolak ke Kedah. Sehingga hari ini kenangan saya bersama arwah sungguh banyak disana... Saya berdoa agar saya akan kesana lagi dan lagi..

Budak Bijak - 54L said...

Seronok dapat berkongsi pengalaman bersama en.syam dan keluarga..
saya juga memasang niat utk ke sana..namun hanya Allah yang tahu
Teruskan bercerita....