Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday, 11 June 2009

Lambaian Kaabah: Gerak Hati

Saya kehilangan capal di hari-hari terakhir di Masjidil Haram sebaik selesai solat sunat Dhuha. Saya sudah letakkan di tempat yang biasa saya letakkan capal tersebut sebelum memasuki Masjidil Haram. Saya yakin dan pasti capal tersebut memang saya selitkan di sebelah belakang tempat letak kasut. Kedudukan capal tersebut sememangnya agak tersorok.

Capal ini sentiasa saya pakai semasa di Madinah dan ketika melawat tempat-tempat bersejarah samada di Madinah atau di Mekah juga ketika ke masjid untuk bersolat. Ketika di Masjidil Nabawi tak hilang. Saya tinggalkan di dalam rak yang disediakan. Saya akan pastikan bahawa hanya rak yang sama sahaja yang akan saya gunakan. Takut terlupa. Ayat yang Baba pesan juga tidak lupa saya bacakan sebelum meninggalkan capal. Ini kerana saya sering mendengar cerita sebelum ke Tanah Suci tentang jemaah-jemaah yang sering kehilangan selipar/capal mereka. Ada seorang rakan tu pernah kehilangan hampir 10 pasang selipar ketika di Madinah dan Mekah. Begitu berat dugaan yang perlu beliau tempuh. Saya jangkakan capal/selipar tersebut bukannya dicuri tetapi tersalah letak. Takkanlah di Tanah Suci pun orang nak mencuri kan.

Di Mekah saya gunakan kaedah yang sama. Saya letakkan di rak yang sama sahaja setiap kali memasuki Masjidil Haram. "Tak hilang pun capal aku tu. Kenapalah si-Polan tu kata selipar dia sampai banyak kali hilang... capal BATA aku yang cantik ni pun tak ada orang yang berkenan nak kebas," detik hati saya pada suatu pagi ketika di Masjidil Haram.

Tuptup bila selesai solat sunat Dhuha dan ingin pulang ke hotel untuk bersarapan pagi, capal yang diletakkan di tempat biasa sudah hilang dari pandangan. Panik juga saya dibuatnya. Habis sekeliling rak kasut yang kecil tu saya geledah. Memang sah hilang. Hanya di sini sahajalah tempat saya meletakkan capal tersebut. Terus saya beristighfar apabila mengenangkan penangan kata hati yang bercakap besar sebentar tadi. Alahai apalah nasib aku. Nah, sekarang aku dah dibayar TUNAI di sini akibat tak pandai menjaga hati. Apa boleh buat tanggung sajalah.

Kebanyakan kedai-kedai pula masih belum dibuka lagi. Maka menapaklah saya menahan kepanasan matahari yang mula memanah lantai dan jalan tar berhampiran Masjidil Haram untuk mencari kedai yang menjual selipar. Alhamdulillah saya berjaya membeli selipar baru selepas tapak kaki mula kepedihan.

Itulah kesan kepanasan di dunia akibat tak pandai menjaga hati.

1 comment:

Anonymous said...

memang sukar untuk menjaga hati kecil yang mudah 'melatah'..