Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 10 June 2009

Lambaian Kaabah: Sabar

Pertama kali melihat Kaabah pasti boleh membuatkan sesiapa sahaja akan menitiskan air mata. Sekeras manapun hati manusia pasti akan merasa syahdu apabila memandang sendiri sebuah kotak hitam yang besar berada di depan mata.

Bagi diri saya sendiri, apabila dibawa oleh mutawwif bersama jemaah lain untuk menyempurnakan ibadat Umrah yang pertama ketika sampai ke Mekah tentulah sesuatu yang mendebar dan mengujakan. Mana taknya, semenjak dari kecil kita bersolat dan hanya memandang rupabentuk Kaabah samada di atas tikar sembahyang ataupun di foto-foto dan di televisyen sahaja.

Hari ini saya berpeluang untuk melihat sendiri Kaabah di depan mata. Saya ingin melihat dan memandang Kaabah (Baitullahil Haram), kiblat seluruh umat Islam yang seringkali kita hadap ketika dalam sembahyang. Alhamdulillah, diri ini diterima untuk memandang Kaabah yang dirindui semenjak dari kecil lagi.

Saya melihat begitu ramai sekali orang yang berkerumun untuk mencium Hajaratul Aswad. Suatu hari, selepas solat berjemaah, saya gunakan tubuh badan yang tinggi lampai dan besar ini untuk berasak-asak bersama jemaah lain untuk mencium Hajar Aswad. Saya ikut gelagat Pak Arab melalui pemerhatian sebelumnya. Saya tolak habis mereka yang berbadan kecil dan lemah. Saya terus maju ke hadapan.

Hajar Aswad semakin hampir di depan mata. Ianya semakin hampir. Muka saya terlalu hampir untuk mencium Hajar Aswad. Namun ketentuan Allah mengatasi segalanya. Di saat saya ingin mencium Hajar Aswad untuk pertama kalinya muka saya ditolak oleh askar yang berada berhampiran situ. Mungkin dia telah melihat gelagat saya menolak jemaah untuk berada di hadapan. Saya redha

Barulah saya tersedar pesan Pak Lang sebelum saya ke Mekah. Terus mulut mula bertasbih sambil mengikut barisan di tepi dinding Kaabah dan akhirnya giliran saya sampai untuk mencium Hajar Aswad. Di saat itulah airmata mengalir mengenangkan saat sebelumnya di mana saya ditolak oleh askar yang bertugas. Saya merasakan begitu lama dapat mencium Hajar Aswad tanpa diganggu oleh sesiapa. Maha Suci Allah. Alhamdulillah bermula dari saat itu saya banyak bersabar dan menunggu giliran untuk mencium Hajar Aswad.

1 comment:

Beautifool Life said...
This comment has been removed by the author.