Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 29 June 2015

Berbuat Baik atau Buruk....Buat Pilihan Terbaik!

Usai sahur minda tiba-tiba teringatkan nostalgia bekerja dengan majikan pertama saya seorang pakar motivasi selepas tamat pengajian di peringkat ijazah pertama. Saya menggunakan sepenuhnya peluang untuk mendengar tutur bicara setiap kali hadir membantu program motivasi The Art of Total Wellness yang kendalikan oleh beliau. Salah satu slot Dr Noordin Darus (semoga boss & guruku ini terus sihat) yang cukup sebati dan amat saya ingati adalah tentang “rubberball effect”.

Pesan beliau berulang kali: “Sekiranya white rubberball yang dilontarkan ke dinding, sudah pastilah (dengan izin Allah) ia akan kembali kepada si-pelontarnya semula. Jika bola tersebut tidak sampai kepada si-pelontarnya mungkin ke sisi si-pelontar kerana sudut yang dilontarnya adalah berbeza. Jika belum sampai juga mungkin bola tersebut masih lagi di dalam perjalanan...jadi tunggulah hasilnya ya mungkin di akhirat sana”.

Perumpamaan ini cukup mudah. Maknanya sekiranya kita berbuat baik kepada seseorang, sudah tentu Allah tidak akan teragak-agak untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan kebaikan yg telah kita lakukan. Sekiranya ganjaran tersebut tidak sampai kepada kita, mungkin ianya Allah kurniakan kepada mereka yang hampir dengan kita seperti ahli keluarga dan rakan-rakan-rakan rapat kita. Jika kesemua kita tidak memperolehi ganjaran itu lagi, mungkin ianya masih lagi di dalam perjalanan untuk pembalasannya ataupun Allah simpan untuk ganjarannya di akhirat nanti. Ini kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya.

Begitu jugalah sebaliknya apabila kita lontarkan black rubberball. Balasannya pasti sama dengan apa yang telah kita lakukan.

Dalam perkataan mudahnya, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Semoga kita termasuk di kalangan umat Nabi Muhammad SAW yg sentiasa ingin berbuat kebaikan. Wallahu'aklam

Thursday 25 June 2015

Bagaimana Coretan Di Kala Senggang Bermula...

Pernah juga saya bertanya pada diri sendiri, kenapa perlunya blog sebegini di dalam kehidupan saya. Apakah kepentingannya?

Sebenarnya Bendigo banyak mengubah corak kehidupan saya. Di Bendigo saya banyak menggunakan masa untuk bermuhasabah diri. Sesuatu yang jarang saya lakukan semasa di tanahair.

Hidup Bermasyarakat

Kalau di tanahair saya dikelilingi oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam dari kecil hinggalah saya bertugas di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Namun apabila tiba di Bendigo, segala ‘nikmat’ hidup bermasyarakat tersebut telah ‘ditarik’ buat sementara oleh Allah s.w.t. Terpaksalah saya sekeluarga mengadaptasikan diri kami dengan suasana baru ini. Tidak ada langsung masyarakat Melayu Malaysia di sini. Terkapai-kapai kami selama hampir sebulan tanpa berjumpa dengan seorangpun orang Melayu di sini.

Alhamdulillah…Allah membantu hambaNYA ini. Kami dipertemukan dengan keluarga Pak Heri  (orang Indonesia menetap di Australia) dan seterusnya dengan sekumpulan 23 orang penuntut dari Indonesia. Itupun hanya untuk 2 bulan kerana selepas itu penuntut-penuntut Indonesia terbabit tamat pengajian dan pulang ke tanahair mereka. Tinggallah keluarga saya dan Pak Heri.

Ilmu Baru

Bagi saya setiap hari merupakan hari baru di dalam kehidupan saya. Setiap hari saya belajar ilmu-ilmu baru. Ia semestinya ilmu-ilmu baru yang tidak akan dapat dipelajari di dalam bilik darjah. Ilmu tentang kehidupan yang wajar dikongsi bersama.

Dahulunya saya kurang mahir dan jahil dalam bidang teknologi maklumat. Terlalu takut dengan dunia tanpa sempadan. Tidak berani menonjolkan diri. Biarlah orang lain yang ke depan. Perkataan takpa, biaq pi dan nanti la sentiasa menjadi mainan bibir. Kini saya cuba kurangkan penggunaan perkataan tersebut. Perkataan sebeginilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada diri kita dan dalam diam-diam boleh menyekat usaha kita untuk berjaya.
Laman Sesawang Terhasil

Saya mula berjinak-jinak dengan pembinaan laman sesawang atas desakan dan motivasi daripada sahabat saya, saudara Md Amin Md Taff, pensyarah UPSI. Beliau berjaya mengubah minda saya supaya berkongsi pengalaman melalui laman sesawang ini. Kata Md Amin, melalui laman sesawang yang dibina ini, lebih mudah percambahan ilmu akan berlaku. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Yang penting NIAT kita untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak. Pengalaman yang begitu istimewa. Pengalaman sebuah keluarga Melayu yang ‘tercampak’ di sebuah tempat yang tiada penghuni Melayu.

Bertitik tolak daripada situlah, saya mula mengorak langkah membina laman sesawang yang di dalamnya mengkisahkan sekitar kehidupan saya sekeluarga ketika berhijrah ke Bendigo. Akhirnya terhasillah catatan peribadi dalam laman sesawang bertajuk 'Khabar dari Bendigo'. Laman sesawang ini menjadi penghubung antara saya sekeluarga dengan keluarga dan rakan-rakan di tanahair.
Lahirnya Blog Coretan di Kala Senggang

Tidak cukup dengan itu, apabila ada masa lapang saya mula menjengok dari blog ke blog. Antara blog yang kerap saya dan isteri lawati semasa di Bendigo adalah blog Prof Muhd Kamil Ibrahim (bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi).

Mengambil kira trend di ketika itu. Saya merasakan blog mempunyai peminatnya yang tersendiri. Blog boleh menjadikan penulisnya lebih rapat dengan penjengoknya. Penjengok boleh terus memberikan komen untuk setiap isu yang diutarakan.

Maka terhasillah blog Hisyam Che Mat bertemakan ‘Coretan di Kala Senggang’. Blog ini berkisar pengalaman saya di sekitar kehidupan seharian dan sesekali saya mengimbau kembali kenangan masa lampau saya.
Namun dengan kehadiran facebook dan twitter sedikit sebanyak mengganggu dan 'mengurangkan minat' saya untuk mencoret di laman ini seperti sebelumnya. Namun kadangkala idea datang kembali dan jari jemari kembali 'gatal' untuk mencoret.

Friday 19 June 2015

Syukur Atas Segalanya

1. Acapkali kita merungut apabila tak mampu membeli sepasang kasut baru untuk dipakai di hari pertama persekolahan seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli sepasang kasut malahan mereka ini tidak juga punya kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin mereka miliki.

2. Maka rakan2ku sekalian bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah turunkan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Janganlah kita bersangka buruk dengan Allah. Rajin-rajinlah ucapkan Alhamdulillah...
 

3. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk untuk kita hadapi, hinggakan kadangkala kita terlupa bahawa ada insan lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. 

4. Sedarilah Allah swt hanya menguji setakat yang hambaNya mampu sahaja. 

5. Video yang di bawah ini tidak jemu saya tonton berulangkali. Ianya cukup menginsafkan. Kisah si-anak kecik yang diajar oleh ibunya agar tidak meminta2 meskipun hidup di dalam kedaifan. Sama-sama kita hayati akan mesej yang cuba disampaikan.


 

Laporan Kelemasan RLS

1. Royal Life Saving Australia (RLS) telah mengeluarkan Laporan Kelemasan Kebangsaan untuk tahun 2014 iaitu untuk kes-kes kelemasan antara 1 Julai 2013 dan 30 Jun 2014 .

2. Mereka begitu serius di dalam menangani kadar kematian yang disebabkan kes kelemasan di air ini.

3. Oleh itu masyarakat di sini disedarkan tentang peri pentingnya keselamatan diri di air.

3. Walaupun Australia sebuah negara yang besar, namun komunikasi dan hubungan yang amat baik di antara RLS dan pihak-pihak berkuasa telah memudahkan pemperolehan data-data berkaitan kelemasan di air.

4. Berikut statistik dari penemuan utama kes kelemasan di air di Australia seperti yang dilaporkan oleh RLS National Drowning Report 2014
  • 266 orang telah didapati mati lemas di tasik, sungai, laut, teluk
  • 215 (81%) lelaki dan 51 (19%) perempuan mati lemas
  • 20 (8%) kematian kelemasan di air pada kanak-kanak berumur 0-4 tahun
  • 10 (4%) kematian kelemasan di air pada kanak-kanak berumur 5-14 tahun
  • 40 (15%) kematian kelemasan di air pada anak muda berumur 15-24 tahun
  • 87 (33%) kematian kelemasan pada orang dewasa berumur 55 tahun ke atas
  • 105 (39%) mati lemas di tasik dan sungai di kawasan pedalaman/terpencil
  • 39 (15%) kejadian mati lemas berlaku di kolam renang

5. Laporan mati lemas mengikut negeri antara 1 Julai 2013 hingga 30 Jun 2014:
   New South Wales — 90 kes
   Queensland — 60 kes
   Victoria — 47 kes
   Western Australia — 30 kes
   South Australia — 14 kes
   Northern Territory — 13 kes
   Tasmania — 10 kes
   Australian Capital Territory — 2 kes

6. Lain ceritanya pula kami di Victoria. Dek kerana seorang kanak-kanak mati lemas ketika berenang di pantai, masyarakat mula menekan jabatan pendidikan negeri agar mewajibkan subjek renang kepada semua pelajar.
 
7. Kamil dan Kaisara bertuah apabila sekolah mereka menjadi antara pelopor sekolah-sekolah di utara Melbourne yang mengadakan kelas renang kepada pelajar-pelajar. Ianya secara intensif selama 2 minggu.
 
8. Walaupun ianya tidak diwajibkan kepada semua pelajar namun ibubapa dan penjaga di sini peka akan peri pentingnya renang patut bermula dari usia muda maka majoriti kanak-kanak diberi kebenaran oleh keluarga mereka untuk turut serta dalam aktiviti ini.
 
9. Sekiranya ia jadi sebagai satu subjek wajib suatu hari nanti tentunya ia jadi lebih menarik. Tidak mustahil kes-kes kematian akibat kelemasan di air ini akan dapat dikurangkan lagi di masa yang akan datang.
 
10. Saya juga pernah mencoret tentang beberapa kejadian kelemasan di Malaysia.

 
 
 









Wednesday 17 June 2015

Semangat Awal Ramadhan

Ruang solat penuh terisi di awal Ramadhan untuk jemaah bersolat SUNAT terawih! Rasanya situasi sebegini boleh digeneralisikan untuk kebanyakan masjid-masjid dan surau-surau di seluruh dunia kecuali di Masjidil Haram. Setelah mencecah 4 siri ini, situasi yang sama juga dapat dilihat. Masjid penuh di awal Ramadhan dan mula lengang di penghujung Ramadhan gara2 persiapan menyambut Eidul Fitri. 

Sebentar tadi Masjid Turki di Thomastown juga penuh dengan jemaah untuk datang bersolat fardu Isyak dan seterusnya solat sunat terawih dan witir berjemaah. Itulah penangan semangat di awal Ramadhan. Harapnya situasi sebegini berubah untuk tahun ini dan masjid-masjid keseluruhannya akan penuh dengan jemaah hinggalah ke penghujung Ramadhan. In shaa Allah 

Sama-sama dengarkan selawat selepas solat sunat terawih yang saya rakamkan pada tahun lepas di Masjid Turki Thomastown.
 

Monday 15 June 2015

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak!

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Bulan yang mana pada tahun sebelumnya kita tangisi akan pemergiannya kini menjengah kembali. Moga-moga kita semua dipanjangkan umur untuk sama-sama dapat menyempurnakan  ibadah di sepanjang Ramadhan kali ini.

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1436H. Mohon maaf atas segala kekhilafan kami. Dengan rasa rendah dirinya, marilah bersama-sama kita menginsafi dan memohon ampun di atas dosa-dosa kita serta melebihkan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Semoga Allah swt membuka pintu hati kita dan menjadikan kita manusia yang lebih patuh dan taat kepada-Nya, insya-Allah.

 
Sama-samalah kita doakan agar Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik daripada Ramadhan yang sebelum. Semoga kita juga dipertemukan dengan malam Lailatulqadar. Insya-Allah.

Untuk tahun ini semangatnya pun lain sikit. Ramadhan yang terakhir untuk kami sekeluarga di bumi kanggaru ini. Kaisara pun dah tak sabar untuk menantikan Ramadhan tahun ini kerana dia akan cuba berpuasa penuh. Doakan Kaisara berterusan diberikan semangat dan kekuatan. Cabaran besar menanti Kaisara di sekolah. Kamil dahulu pernah merasainya di minggu-minggu awal puasa ketika di sekolah terutama sekali di waktu rehat. Kini giliran Kaisara pula.


Salam Ramadhan daripada kami sekeluarga di perantauan.

 

Menjejak Misteri 'Hanging Rock'

1. Pada 14hb Februari 1900 sekumpulan 20 pelajar perempuan dari sebuah sekolah swasta (perempuan) berhampiran Woodend bersama-sama beberapa orang guru pengiring telah ke Hanging Rock untuk berkelah. Mereka tiba di tapak perkelahan pada waktu makan tengahari dan merancang untuk berangkat pulang pada jam 5 petang. 
 
2. Sejam sebelum masanya mereka berangkat pulang, empat pelajar perempuan mengambil keputusan untuk bersiar-siar sambil melihat keindahan formasi batuan di Hanging Rock.... 
 
3. Setelah melangkaui masa yang telah dijanjikan untuk pulang ke tapak perkelahan, hanya Edith yang muncul di tapak perkelahan di saat rakan-rakan dan guru-guru yang menunggu menjadi semakin resah. Edith gagal mengingati apa yang berlaku. Memorinya kosong! 
 
4. Di waktu yang sama, seorang guru pengiring juga turut hilang. Pencarian untuk beberapa hari seterusnya juga gagal menemui sebarang jejak Mirinda, Marion, Irma atau Cikgu McCraw. 
 
5. Seminggu kemudian, Irma ditemui. Tiada langsung kecederaan di batang tubuhnya. Sayangnya dia juga hilang ingatan. Memorinya kosong!
 
6. Untuk beberapa bulan berikutnya, akhbar-akhbar tempatan mula memainkan berita di sebalik misteri kehilangan pelajar-pelajar dan guru dari sekolah perempuan terbabit. Kehilangan kesemua pelajar dan guru tersebut terus menjadi misteri. 
 
7. Malang terus menimpa sekolah terbabit apabila kebanyakan muridnya mula berhenti sekolah, gurunya pula ramai yang meletak jawatan, seorang pelajar mati terjatuh dari menara sekolah dan kesudahannya pengetua sekolah yang amat tertekan dengan situasi tersebut telah pergi semula ke Hanging Rock dan menamatkan riwayatnya di situ.
 
8. Benarkah insiden ini berlaku seperti yang tercatat di Pusat Interpretif di Hanging Rock. Hanya DIA jua yang Lebih Mengetahui. 
 
9. Kami luangkan masa untuk menjejak misteri di Hanging Rock. Di sini kami dapat melihat sendiri keindahan formasi batuannya yang menakjubkan. Daripada pemerhatian saya laluan untuk ke puncak dan turun agak mengelirukan walaupun kawasan ini punya tanda arah di kawasan-kawasan tertentu. Memang ia boleh bikin orang sesat.
  
 
 
 
 

10. Selain dari formasi batuan yang 'misteri' dan unik, pemandangan dari puncak sangat indah dengan pemandangan ladang gandum, ladang ternakan dan bukit bukau yang saujana mata memandang. Subhanallah indah ciptaan-Nya!


Info berkaitan Hanging Rock ada di sini.
 

Friday 5 June 2015

Kenangan bersama RECCERS II UPM

Izinkan saya berkongsi kenangan sepanjang berkelana ilmu bersama sahabat-sahabat RECCERS II. Persahabatan kami bukan hanya di bilik kuliah tetapi lebih dari itu.  
 
1.Ketika Persidangan Agung UMNO di PWTC kami jadi penanggah. 
2. Masa konvokesyen UPM kami ambil kesempatan jual bunga untungnya untuk separuh hari berniaga hampir RM800
3. Di musim cuti sekolah kami sama-sama anjurkan Kem Ikhtiar Hidup untuk pelajar-pelajar sekolah di Hutan Simpan Air Hitam, Puchong.
4. Kami juga ambil upah jual t-shirt. 
5. Kami gunakan kemudahan percuma di fakulti dengan mengambil upah membasuh kereta pensyarah dan staf di UPM.
6. Menganjurkan Kejohanan Orienteering dengan kerjasama KBS. Alhamdulillah KBS sumbangkan RM5000.00
7. Yang paling best adalah kenangan kami menganjurkan 'tayangan perdana'. Filem-filem terbaru pada masa itu seperti filem Puteri yang baru saja masuk panggung kami tayangkan kepada warga UPM di Dewan Kuliah Hutan. Penuh panggung untuk kesemua tayangan. Sampai ada yang sanggup duduk atas tangga dan berdiri. Banyak kami buat untung. Filem-filem Tamil, Inggeris dan Hindustan pun turut juga kami tayangkan. 

Apa ganjarannya dari kerja-kerja bukan akademik di atas???

Untuk makluman semua, sepatutnya perancangan Latihan Kerja Praktik kami satu batch adalah Lawatan ke tempat-tempat rekreasi di Australia. Namun ada aral melintang. Latihan praktikal RECCERS II pada tahun terakhir pengajian yang sepatutnya di Australia telah ditukar ke program menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia. Menariknya kos lawatan ditanggung sepenuhnya dari hasil kerja keras 20 org sahabat RECCERS II. Setelah ditolak duit makan, tambang, penginapan dan belanja lain, RECCERS II mendapat duit poket untuk jelajah ini. Mustafa, bendahari kelas mengumumkan bahawa setiap seorang daripada kami layak mendapat imbuhan aka duit poket sebanyak RM700.00 di atas titik peluh kami sepanjang empat tahun di Fakulti Perhutanan. Alhamdulillah. 

 
Tidak pernah langsung saya fikirkan, rupa-rupanya sepanjang belajar di UPM kami sama-sama telah menanam benih yang subur berkembang. Benih tersebut adalah semangat setiakawan, pengalaman dan kenangan yang tidak boleh dijual beli. Inilah benih yang dapat mematangkan saya lagi di dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini. Saya rasa rakan2 RECCERS lain pun sama. Dr Wan Sabri Wan Mansor mengajar kami RECCERS II seramai 20 orang untuk berdikari dan kuat. Jangan meminta-minta tapi BERUSAHA!
 
Terima kasih doc kerana sudi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kami yang jahil dan degil ini. 
Terima kasih sahabatku kerana sudi membaca coretan kenangan bersama RECCERS II hingga tamat.

Luv u all!

HiCMat
Mill Park, Australia