Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday, 9 August 2019

Laman Sesawang Bersawang Suda

Laman sesawang ini dah semakin teruk bersawang. Semuanya gara-gara kurang daya kemampuan aku untuk beristiqamah di dalam meneruskan penulisan. Aku gagal... Namun jari jemari menggigil ingin mengasah minda untuk kembali mencoretkan sesuatu di ruangan blog ini.
Aduhai... 'bakat' kalau dah ada [kalaupun ada la], kalau tak diasah akan hilang jua akhirnya. Mahu tidak mahu aku perlu teruskan penulisan bagi mendapat momentum ketika di zaman kegemilangan blog [di kala rajin la] ini sekitar tahun 2008 dan 2009. Aku perlu melakukan sesuatu agar jari jemari ini tidak terus kematu dan otak tidak lesu. Aku perlukan motivasi. Aku perlukan momentum untuk terus bergerak laju. Aku mampu lakukan, In shaa
-Allah.

Friday, 26 February 2016

Tidak Punya Kasut Baru

Dulu-dulu saya sering merungut apabila mak dan abah tak mampu membeli sepasang kasut baru berjenama untuk dipakai seperti yang dipakai oleh kawan-kawan yang mampu. Pada ketika itu saya tak sedar bahawa ada lagi 'rakan-rakan' di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli sepasang kasut malahan mereka ini TIDAK JUGA PUNYA KAKI untuk menyarungkan kasut yang ingin mereka miliki.

Maka rakan-rakanku sekalian bersyukurlah dengan dugaan kecil(kemiskinan) yang Allah turunkan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Allah mahu kita berusaha lebih untuk berjaya. Janganlah kita bersangka buruk dengan Allah.

Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk untuk kita hadapi, hinggakan kadangkala kita terlupa bahawa ada insan lain yang jauh lebih teruk dugaannya daripada kita. Sedarilah Allah swt hanya menguji setakat yang hambaNya mampu sahaja.

Filem Pendek terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah di bawah tidak jemu saya ulang lihat berkali-kali sehari dua ini. Ianya cukup menginsafkan. Anak kecik yang diajar ibunya agar tidak meminta-minta biarpun hidup serba kedaifan tetapi punya semangat, ketabahan dan iltizam untuk meneruskan persekolahan.


Thursday, 25 February 2016

Ingat Mati



BILA TIBA - UNGU
Saat tiba nafas di ujung hela
Mata tinggi tak sanggup bicara
Mulut terkunci tanpa suara

Bila tiba saat berganti dunia
Alam yang sangat jauh berbeda
Siapkah kita menjawab semua
Pertanyaan

Bila nafas akhir berhenti sudah
Jatung hatipun tak berdaya
Hanya menangis tanpa suara

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati

Wednesday, 24 February 2016

Hari Ini...25 Tahun Yang Lalu

Hari ini kalau diikutkan tahun masehi, maka sudah 25 tahun mak pergi meninggalkan alam yang fana ini. Petang sebelum mak pergi 'meninggalkan' abah, Kak Ti dan saya, dia hanya memandang sayu saya mengayuh basikal untuk pulang ke rumah mami (ibu saudara). Saya terpaksa bergegas kerana Maghrib hampir tiba. Baba (bapa saudara) kurang gemar sekiranya ada ahli isi rumah yang pulang selepas daripada waktu Maghrib. Kami semua telah diajar supaya solat Maghrib berjemaah.

Permintaan mak yang ingin makan mee goreng dan minta saya tolong belikan tidak saya layan. Minda saya pada waktu itu hanya risau sekiranya tidak sempat sampai ke rumah mami sebelum waktu Maghrib.

Usai solat, telefon berdering. Saya angkat kerana sayalah yang paling hampir dengan telefon. Terdengar suara abah cemas di hujung talian, "Syam cepat balik, mak semput, dia dah tenat... bagitau baba dan mami sekali". Terus saya teringatkan mee goreng yang mak pesan tadi. Saya terkedu. Saya sampaikan apa yang abah katakan tadi kepada baba dan mami. Tanpa bicara panjang lagi saya terus keluar dan mencapai basikal untuk ke rumah mak.

Sampai di rumah saya lihat mak dah tak mampu berkata-kata. Saya hanya bersimpuh di sisi mak sambil memohon maaf. Air mata bercucuran tanpa henti. 

Ambulan yang kami naiki saya rasakan bergerak begitu perlahan. Saya genggam tangan mak, mulut tak berhenti doa agar mak disembuhkan. Namun Allah swt lebih sayangkan mak. Mak meninggal di dalam ambulan yang kami naiki sebelum sempat sampai ke hospital. 

Semuanya sudah terlambat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kenapalah saya tidak penuhi permintaan mak sebelum saya balik ke rumah mami. Saya memang anak derhaka! Mesti mak kecewa kerana tak dapat makan mee goreng yang dia pesan. Kenangan ini tidak akan luput dari ingatan saya.

Semasa di sekolah rendah saya biasa mendengar dan melagukan nasyid ini. Tidak pula saya sangka lagu yang saya suka nyanyikan ini bersangkutan dengan perjalanan hidup saya sendiri di suatu hari nanti. Tentu pembaca sekalian pernah mendengar, menyanyi dan menghafal lirik lagu di bawah.


Sewaktu azan mendayu-dayu, 

Ibuku pergi meninggalkan ku, 

Perginya takkan kembali lagi, 

Kerna takdir telah menentukan...

Doa restu ku pohonkan untuk mu ibu, 

Semoga diri ibu bahgia di akhirat kekal abadi...






Sesungguhnya saya tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan besar kedua ibu bapa saya di dalam mengasuh, menjaga dan mendidik saya sehingga saya menjadi manusia seperti hari ini.

Ya Allah, Engkau limpahkanlah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibubapaku. Tempatkanlah kedua mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua ibu dan bapaku. Kasihanilah mereka Ya Allah, sebagaimana mereka mengasihani dan mendidikku ketika aku masih kecil. Ya Allah, Engkau ampunilah dosa mereka dan jauhilah keduanya daripada api neraka mu. Ya Allah, jika aku dipanggil olehMu, tempatkanlah aku di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Temukanlah aku dan keluargaku di syurgaMu Ya Allah. Syurga yang paling istimewa Ya Allah. Syurga Firdaus-Mu. Amin Amin Ya Rabbal 'alamin.

Tuesday, 23 February 2016

Keyakinan Diri di Air: Jangan Panik!

Anak-anak telah saya persiapkan serba sedikit dengan kemahiran berenang. Jika sekiranya situasi seperti klip video di bawah berlaku mungkin mereka pun akan panik sebegini. 

Kenapa situasi panik ini berlaku ya? Jawapannya kerana mereka biasa di zon yang selesa tanpa diuji di 'alam sebenar'. Mereka biasa berenang bebas di kolam renang dan kalau dicampakkan ke laut dan tasik pun, jaket keselamatan sentiasa di badan. 

Namun lihatlah pula bagaimana pengalaman menjadi guru terbaik untuk anak bajau laut di Sabah ini. Walaupun beliau hanya anak gadis seperti anak-anak kita, namun beliau amat tenang sekali dengan situasi cemas sampan yang dipenuhi air laut. Pengalaman yang beliau perolehi semenjak dari kecil telah membantu kejayaannya untuk mengapungkan semula sampan yang dipenuhi air dari terus karam dan seterusnya menyelamatkan mangsa-mangsa lain untuk kembali naik ke atas sampan.

Berdasarkan video klip ini saya ingin menyampaikan pesanan kepada adik-adik yang berada di menara gading. Jangan kita asyik berbangga dengan teori di bilik kuliah semata-mata. Tidak akan ada maknanya tanpa dicari pengalaman di 'dunia sebenar' sebagai nilai tambah. Keluarlah dan terus mencari... Kalau tidak anda akan terus ketinggalan!


Thursday, 18 February 2016

Simbol Aksesibiliti Antarabangsa

Simbol Akses Antarabangsa atau lebih dikenali dengan Simbol Kerusi Roda (Antarabangsa) bakal berubah wajah. Ramai yang masih belum tahu.. kan? 


Kini Ikon Ketersampaian (accessible) telah diadaptasikan kepada simbol yang lebih nampak akan pergerakan atau lebih dinamik dan bukan lagi menampakkan OKU itu statik. 


Nampaknya tak lama lagi kita akan lihat simbol lama yang diperkenalkan pada tahun 2000 itu akan berubah wajah. Ianya baru dicadangkan untuk dilancarkan di Amerika Syarikat. Mereka ini nampaknya terus menjadi jaguh dalam hak asasi manusia terutamanya OKU di negara mereka. Ketika saya berada Australia pun ikon yang baru dicadangkan ini masih belum kelihatan.

Pihak yang terbabit di tanahair kena bertindak cepat. Tunjukkan pada dunia kita ikut perkembangan terkini dan bukannya lewat 10 tahun seperti proses menyiapkan akta sebelumnya.

Cadangan elemen-elemen yang cuba diketengahkan melalui ikon aksesibiliti yang baru ini adalah seperti penerangan di bawah.


Wednesday, 17 February 2016

Rachel Corrie 'Pejuang Palestin'

Luang sedikit masa untuk tonton video ini wahai teman. Ianya tentang perjuangan seorang anak kecil bernama Rachel Corrie. Asalnya dari Washington, Amerika Syarikat. Bermula dari Gred 5 beliau sudah lantang berhujah dan menanam azam untuk memperjuangkan isu-isu kemanusiaan. Hingga dewasa beliau istiqamah di dalam memperjuangkan isu Palestin dan kemanusiaan. Walaupun bukan asalnya dari Palestin namun Allah bukakan pintu hatinya untuk prihatin dan tak sanggup melihat pencerobohan dan kekejaman Yahudi Zionis laknatullah ke atas tanah Palestin. 

Hebatnya insan ini apabila beliau sanggup menghabiskan usia mudanya dengan memperjuangkan isu-isu Palestin. Beliau datang ke Gaza bersama teman-teman aktivis yang lain dan kemudiannya bergabung dengan International Solidarity Movement. Beliau ditakdirkan menemui ajal dilenyek bulldozer Caterpillar buatan Amerika di usia yang masih muda ketika berusaha menghalang bulldozer terbabit meroboh dan meranapkan rumah milik warga Palestin.

Bukalah pintu hati wahai teman. Ini bukan hanya isu AGAMA, ini isu KEMANUSIAAN!


Tuesday, 16 February 2016

Penangan Ola Bola!

Kalau diikutkan memang sudah serik untuk saya menjejakkan kaki ke panggung wayang. Mengantuk beb bila dah gelap. Selepas saya bikin wayang sendiri semasa menonton Cicakman 1 dan 2, saya sebolehnya mengelak untuk ke pawagam. Semasa di Australia pun saya pernah bawa anak-anak menonton filem animasi hebat 'The Lego Movie'. Filem dah cukup best kata orang... tapi tetap terlelap dalam pawagam. Anak-anak saja la jadi wakil untuk layan filem tu sampai habis. Baru-baru nie depa nak menonton filem "Goosebumps" dan "The Hunger Games: Mockingjay - Part 2". Saya layankan juga. Sekali lagi TGV Bukit Raja kembali jadi saksi saya terlelap.

Bila Kamil ajak pula tengok Ola Bola baru-baru nie, saya kata tunggu saja la nanti filem tu ada di ASTRO. Dia dah tak boleh sabar. Kawan-kawan di sekolah dok bercerita. Dia tak ada modal nak menyampuk. Makanya saya sekali lagi terheret untuk menonton wayang.

Teruja juga bila dapat tahu Ola Bola dapat sambutan yang sangat hebat. Boleh kutip 8 juta dalam tempoh tak sampai dua minggu. Wow! Mesti hebat sangat la filem nie kot.



Saya dan Kamil agak lewat tiba di GSC Setia Alam. Hanya tinggal 7 tempat duduk yang masih kosong kalau diikutkan di papan pemberitahuan. "Alamak sempat ka nie Kamil. Kalau dah penuh kita datang esok ya", pujuk saya. Kamil hanya mengangguk. Alhamdulillah... Dah memang rezeki Kamil. Kami berjaya jadi pengisi dua tempat duduk terakhir. Berlari kami dua beranak masuk panggung sebab dah lewat.

Cerita bermula. Mata saya seperti digam-gam. Permulaan cerita amat membosankan. Macam mana la depa kata best sangat filem nie. Lawak pun macam tak jadi ja. Saya hampir tewas juga untuk kesekian kalinya. Saya dah ready lunjurkan kaki. Tak ada yang menarik sangat dengan filem nie. Indah khabar dari rupa.

Telahan saya silap. Mata kembali terang. Rasa mengantuk tadi hilang. Filem yang kami tonton ini filem motivasi. Ini filem masyarakat Malaysia yang sebenar. Ini wajah sebenar masyarakat Malaysia. Filem ini merakamkan kembali bagaimana semua kaum di Malaysia hidup aman damai dan bersatu di bawah panji yang satu. Semua mereka sayangkan negara macam kita!

Filem ini mengambarkan individu-individu yang punya semangat patriotisme yang tinggi. Sanggup berjuang demi negara. Kepentingan peribadi ditolak ketepi. Di sebalik realiti kehidupan sebenar, mereka cuba sedaya mungkin untuk cipta sejarah dan membawa nama negara ke persada dunia melalui sukan.

Hebat sekali cara pengolahan cerita. Sehingga kesudahnya saya tak lelap. Bahkan saya tergelak sakan dan tak kering gusi melayan gelagat si pengulas sukan Rahman yang terlebih semangat. Watak Ali, Kwok Keong aka Tauke, Muthu jugak tak kurang hebatnya. Saya suka dengan suasana muhibah dalam pasukan mereka. Ini memang REAL dan bukan dibuat-buat. Pasukan bolasepak dulu dah tunjukkan wajah masyarakat Malaysia yang sebenar. Semua kaum bergabung untuk harumkan nama negara. Semua kaum pada ketika itu diikat kemas dengan rasa kekitaan melalui sukan bolasepak. Hebat orang dulu! Kini... kita jawablah sendiri.

Walau apapun ceritanya, saya bagi 5 bintang untuk filem ini. Filem yang menunjukkan WARNA SEBENAR masyarakat Malaysia yang hidup harmoni. Filem ini ada elemen realisme. Filem sebegini pada hemat saya berjaya memberi impak yang cukup signifikan di dalam mempengaruhi keadaan sosial masyarakat berbilang kaum yang adakalanya kita boleh lihat semakin hari semakin tegang. Semoga dengan lahirnya filem sebegini akan jadikan masyarakat kita TIDAK BUTA SEJARAH, terus berusaha untuk bersatu padu dan terapkan semangat untuk lebih sayangkan negara.

Saya keluar panggung dengan rasa bangga. Keluar bersama saya masyarakat berbilang bangsa. Oh Malaysia. Jangan digadaikan keamanan dan keharmonian yang kita ada hanya untuk meneruskan legasi kuasa yang ada. Jom terus bersatu bangsa Malaysia! Kita sama sahaja disisi-Nya. Hanya iman dan takwa membezakan kita.

Nota: Yang lebih utamanya saya nak bagi tahu... Saya tak tertidur dalam panggung semasa menonton filem ini. Huhuhu

Monday, 15 February 2016

Aku Bukan Kaki Wayang!

Saya bukan kaki wayang. Bila dah anak-anak pujuk, hati keras pun jadi cair. Hampir 10 tahun lepas iaitu di penghujung tahun 2006 saya pernah membawa Kamilia ke pawagam untuk pertama kalinya. Semuanya penangan Cicakman yang diheboh-hebohkan oleh kawan-kawan Kamilia di tadika. Kamilia tak henti memujuk. Jadi saya pun cubalah luangkan masa untuk bawa Kamilia menonton filem Cicakman di TGV Bukit Raja. 


Kami sampai agak lewat tengahari tu. Tayangan dah nak mula. Nasib baik ada lagi seat available untuk tengahari tu. Kami dapat tempat duduk yang paling hadapan. Apa lagi melangutlah jawabnya. "Wuui... besarnya TV tu", jerit Kamilia sambil menunjukkan ke arah skrin. Alahai saya terus suruh dia diam. Ingat macam tengok TV kat rumah kot. Boleh bising-bising lagi. Bikin malu company saja. Salah saya juga tak peringatkan Kamilia sebelum masuk ke dalam panggung. Orang belakang dan tepi siap gelak lagi. Aduhai anakku...

Dua tahun kemudiannya muncul pulak Cicakman 2. Sekali lagi Kamilia ajak saya menonton wayang. Sekali lagi saya bawa Kamilia ke TGV Bukit Raja. Kali ini kami ada seorang lagi ahli baru... Kamil!. Saya masih waswas dengan Kamil sebenarnya. Takut dia menjerit suruh orang kat pawagam nyalakan lampu. Saya dah ceritakan kat dia, tentang keadaan gelap di dalam panggung. Tapi lain pulak cadangannya. Disuruhnya saya bawa torchlight sambil menunjukkan headlamp saya yang tergantung dalam stor.

Kali ini kami datang awal. Dapat beli tiket dan dapat tempat duduk di bahagian tengah belakang sekali. Selesa sikit. Peristiwa 2 tahun sebelumnya berulang kembali. Kali ini giliran Kamil pula yang bersuara, "Besarnya TV tu papa!". Kamil menjerit macam panggung tu dia yang punya. Aduh susah jugak nak kawal budak seorang ni.

Mata saya gagal dikawal seperti tayangan filem Cicakman yang sebelumnya. Ketika aksi gaduh antara Cicakman, Rrama dan Professor Klon mata saya terlelap. Siap berdengkur lagi. Nasib baik Kamilia kejutkan. "Papa ni asyik tidur ja macam dulu," bebel Kamilia semasa kami keluar dari pawagam selepas filem Cicakman 2 selesai.

Itu la apa boleh buat, dah memang papanya jenis tak minat masuk panggung. Nak layan anak-anak punya pasal, masuk saja la dalam panggung.

Friday, 12 February 2016

Berlibur Jangan Sampai Lupa Bersyukur!

Saya sempat bawa keluarga berlibur di sebuah taman tema di Pantai Timur semasa cuti Tahun Baru Cina tempohari. Kami bermalam di Kuantan dan bertolak ke taman tema yang dimaksudkan pada keesokan harinya. Saya lihat ramai sekali pengunjung yang datang pada hari yang sama. Walaupun masih awal, barisan untuk ke kaunter tiket sudah panjang. Hanya tiga kaunter sahaja yang dibuka walaupun ramai sekali yang bersemangat datang bersama ahli keluarga untuk mandi manda dan beriadah.

Sambil beratur saya sempat mendengar beberapa pengunjung yang sama-sama beratur membebel. Mereka membandingkan taman tema ini dengan sebuah lagi taman tema yang baru dibuka di selatan tanahair. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa taman tema di selatan tanahair memberi keselesaan yang lebih kepada pengunjung yang datang. Beraturnya pun tidak dirasakan terlalu lama walaupun pengunjungnya ramai. Ini kerana taman tema di selatan tanahair tu membuka lebih banyak kaunter terutama sekali ketika pengunjungnya ramai. Khabarnya lebih dari 10 kaunter. Banyak lagilah yang mereka bincangkan. Saya hanya menjadi pendengar setia dan sekali sekala sahaja menyampuk.

Setelah beratur lebih sejam maka dapatlah saya dan keluarga akan 'gelang' yang perlu dipakai untuk di sepanjang kami berada di dalam taman tema tersebut. Masuklah kami ke dalam dengan hati berbunga-bunga. Semangat sungguh anak-anak nak terjun kolam, main air dan menyelusuri 'lazy river'.

Alamak kena sewa pelampung la pulak. Pergilah saya ke kaunter untuk sewaan pelampung. Tu dia.... panjangnya barisan. Selepas beratur sejam lebih di tengah panas terik dapatlah saya menyewa akan dua buah pelampung berkembar. Fuh! berpeluh sakan dibuatnya.

Pengunjung tersangatlah ramainya pada hari yang kami pergi tu. Kalau nak diibaratkan ramainya orang, bolehlah kiranya saya ibaratkan selak orang baru nampak air huhuhu... nak bagitau punyalah ramai manusia.

Puas mandi di bahagian kanak-kanak dan menyelusuri lazy river, depa ajak pula saya cuba waterslides untuk orang dewasa. Saya layankan aja. Kaisara jadi buddy saya. Dah tak ingat pulak saya berapa kali dok panjat anak tangga dan mengelungsur turun 'crystal slide' (slide yang terang) dengan dia. Sampai saja di bawah, dia ajak buat sekali lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak naik lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak panjat anak tangga lagi.

Berulangkali kami buat slide yang sama sampai lifeguard tu pun dah kenal. Siap lifeguard tu boleh cakap kat Kaisara, 'Dah tak nampak dah perut ayah dia!'. Itulah penangan dok melayan Kaisara.


Tak puas turun 'crystal slide' dan layan 'galaxy slide' (slide yang terowongnya gelap) kami berempat try satu lagi slide yang saya pun tak ingat namanya. Kali nie pelampung berkembar yang kami sewa terpaksa kami tinggalkan di bawah. Kami tinggalkan kedua-dua pelampung yang disewa di suatu sudut di bawah. Slide yang akan kami naik tu dah ada sediakan pelampungnya yang tersendiri. Cukup untuk kami semua.

Punya la panjang beratur. Sejam lebih jugak la kena beratur baru nak sampai giliran. Dalam dok seronok nak sampai giliran, muncul pula seorang pengunjung lain masuk betul-betul depan kami. Saya tanya dia, "Adik dengan siapa?". Dia jawab sambil tunjukkan, "Saya dengan family depan nie". Terus saya selamba tanya dengan family depan saya. Depa kata bukan. Aik! dia sudah tipu saya da. Saya tanya lagi, "Adik sebenarnya dengan siapa?". Dia diam dan berdiri selamba depan saya sambil berkata, "Dia nie lorat la!". Alamak, dia yang potong barisan, kita pulak dikata banyak songel. Orang lain hanya memerhati. Ada juga yang suruh budak perempuan ini ikut barisan dan kembali ke tempat asalnya. Dia buat don'no saja. Foto saya pula yang nak diambilnya untuk diviralkan gamaknya.

Rupa-rupanya si-dia ini datang bersama-sama ramai lagi geng. Lelaki dan perempuan muda. Yang lainnya hanya pandang dari jauh sahaja. Ini gadis terlebih berani da.

Apabila dah pengunjung lain pun turut sama mendesak, akhirnya dia mengalah. Dengan muncung panjang sejengkal dia kembali kepada geng dia. Aduhai memang spoilt betul la. Alhamdulillah saya dan pengunjung lain boleh tahan sabar dengan karenah dia seorang.

Sampai giliran kami. Menggelungsor la kami anak beranak di atas pelampung gergasi yang disediakan. Semua happy!

Sampai di bawah lain pulak ceritanya. Dua buah pelampung kami 'lesap'! Aduhai... terpaksa agih tugas dengan anak-anak. Kami berpecah dua. Semua kena ingat nombor pelampung dan warnanya dan tunggu di penghujung terowong slides. Tunggu punya tunggu punya tunggu pelampung yang hilang tak jugak muncul-muncul. Saya katakan pada anak-anak, " Kalau ada rezeki kita, pelampung tu kita akan dapat balik dan dapatlah balik duit deposit tu, jangan risau... Kalau dah bukan rezeki kita, redha aja la... Semua baca doa minta Allah permudahkan bagi jumpa!".

Hampir setengah jam jugalah kami menunggu dan membelek nombor pada setiap pelampung warna biru dan hijau yang keluar dari terowong slide. Akhirnya muncul juga pelampung biru berkembar dengan nombor E067. Sepasang uda dan dara sambil berselfie sudah pakai da. Seronok sungguh depa berdua merakam saat-saat gembira menggelungsor bersama.

Terus saya tanyakan depa di hadapan lifeguard yang memerhatikan saya anak beranak dari tadi adakah pelampung ini depa sewa. Kedua-dua tak mengaku dan menuduh sesama sendiri. Katanya kawan perempuan depa yang ambil. Siap disebut nama lagi. Kedua-duanya minta maaf dan tak henti-henti menyalahkan rakan lain. Saya tanyakan baik-baik, 'Kawan-kawan adik ada terambil satu lagi pelampung warna hijau!". Serentak kedua-dua menjawab, "Tak ada!".

Aduhai... satu pelampung sudah dapat, tinggal lagi satu. Tunggu lah kami lagi kat bawah tu. Selepas hampir setengah jam, pelampung yang ditunggu tak muncul-muncul dari lubang terowong slide. Saya ambil keputusan untuk panjat anak tanga, tengok-tengok kot-kot pelampung tu ada di atas. Saya tinggalkan tiga beradik di bawah untuk ushar kot-kot pelampung 'milik kami' tu ada orang lain pakai. Saya tinggalkan pesanan pada Kamilia jangan tegur si-pengambil, cuma beritahu lifeguard bertugas bahawa pelampung yang orang pakai itu kami yang sewa. Kemudian saya panjat tangga sambil mulut terus berdoa agar dipermudahkan urusan pencarian.

Akhirnya dah rezeki anak-anak... pelampung yang kami cari 'terlekat' di atas rupanya. Ada orang 'pinjam' dan tinggalkan di atas. Jumpa juga akhirnya pelampung hijau E1072. Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...

Anak-anak seronok bukan kepalang apabila melihat papa depa 'pulang' dengan pelampung yang dicari.

Saya ingatkan... semua depa dah hilang mood nak main dan bersedia untuk pulang. Rupanya wajah yang sebelumnya monyok kembali ceria dan mahu terus panjat lagi anak tangga dan ulang menggelungsor lagi, Aduhai.... Jenuh!

Semua yang berlaku ada hikmahnya. Hebat sekali perancangan Allah swt. Dalam dok nak bergembira pun diujinya sebentar untuk saya berkongsi pengajaran daripada setiap yang berlaku dengan anak-anak. Saya ringkaskan sedikit pengajarannya dari pengalaman libur kami sekeluarga : Pertamanya BERSABAR, keduanya JANGAN POTONG BARISAN, ketiganya JANGAN DIAMBIL BARANG YANG BUKAN HAK KITA dan yang terakhirnya ALLAH KAN ADA!... sentiasa bermohon kepadanya. Ingat DIA di saat senang dan susah!

Jangan Sampai Disaman Ketika di Melbourne

Jika sekiranya anda berkunjung ke Melbourne dan berhajat untuk menggunakan khidmat tram dan tren untuk ronda-ronda di sekitar Melbourne Metropolitan, saya nasihatkan anda supaya berhati-hati. Ini kerana mulai 10hb Ogos 2014, Public Transport Victoria (PTV) telah menguatkuasakan On-the-Spot Penalty Fare. 

Jangan cuba-cuba nak cari pasal ya dengan naik kemudahan-kemudahan pengangkutan tersebut tanpa punya kad Myki. Pastikan kad Myki anda cukup bakinya dan disentuh ketika anda menaiki trem/train/bas dan selepas menggunakan perkhidmatan ("touch on" dan "touch off"). 

Saban hari ketika saya di sana saya dapat saksikan penguatkuasa makin 'galak' buat pemeriksaan ke atas pengguna perkhidmatan pengangkutan ini. Walaupun penguatkuasaan dan makluman giat dijalankan oleh PTV, namun masih ada juga pengguna yang 'berdegil'. Mereka nak naik 'free' jugak. Akhirnya dapat 'habuan' dari penguatkuasa. 

Penguatkuasa juga makin bijak. Mereka kini hanya berpakaian preman dan secara tiba-tiba akan mengeluarkan dan menunjukkan lencana kuasa kepada pengguna yang mereka syaki tidak 'touch on' ketika naik. Kalau dah terkena, bukanlah murah samannya... kena bayar AU$75 (RM225) on-the-spot. Hanya kad debit atau kredit saja diterima untuk pembayaran dan tiada tunai yang mereka terima. Lebih parahnya lagi apabila penguatkuasa-penguatkuasa ini langsung tidak mahu mendengar dan melayan sebarang rayuan. Merayu la macam mana sekalipun, tak akan dilayan punya. Walaupun kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan yang pertama... bayar tetap kena bayar! Jika pesalah tidak mahu/mampu untuk membayar on-the-spot, maka tunggu sahajalah 'surat cinta' yang bernilai $212 dihantar ke alamat masing-masing.

Harapnya tidak adalah rakyat Malaysia yang jadi 'mangsa' saman seterusnya...

Beg Dahulu vs Beg Sekarang

Kedua-dua beg di atas sudah cukup terkenal, berjenama dan punya peminatnya yang tersendiri. Harganya lebih kurang sama... RM150 pada tahun ianya dibeli!

Sayangnya beg yang pangkalnya K yang saya hadiahkan kepada Kamilia pada awal tahun 2012 telah koyak rabak di bahagian atasnya. Kamilia hanya menggunakan beg tersebut utk ke sekolah semasa kami hijrah ke Australia. Langsung tak berbeban sekolah di sana. Buku yang perlu dibawa ke sekolah pun hanya TIGA (3) buah sahaja.

Beg yang pangkalnya D pula saya beli di awal tahun 2000 ketika mula masuk bekerja di UiTM. Beg ini menjadi 'peneman' saya untuk ke mana sahaja samada di dalam mahu pun ketika ke luar negara. Sudah banyak lokasi tak kira bandar, hutan, gunung ganang, tasik, laut dan banyak tempat lagi telah kami jelajahi bersama. Memang dipakai lasak. Kini selepas lebih 15 tahun, ianya masih terus kekal berjasa. Ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

Ada persoalan yang terus bermain di fikiran saya: Apa sudah jadi dengan produk K? Apakah sebabnya kualiti beg K yang cukup hebat suatu ketika dahulu jadi begitu? Semuanya terus jadi tanda tanya kepada saya sebagai peminat tegar jenama K hingga kini.

Thursday, 11 February 2016

Bilakah Trailrider Pertama Akan Sampai ke Malaysia?



Inilah trailrider yang pertama dibawa masuk ke Australia pada tahun 2011.  Trailrider ini merupakan kerusi roda yang direkabentuk khas agar kemudahsampaian golongan OKU ke kawasan rekreasi terutamanya di permukaan yang tidak rata, tanah tinggi dan mencabar tidak terbantut.


Trailrider yang pertama ini ditempatkan di Grampians National Park, Victoria. Ianya adalah atas inisiatif Dr David Stratton. David dahulunya adalah seorang pensyarah di sebuah universiti. Ketika senggang David gemar hiking dan bushwalking. 


Pada tahun 1996 beliau telah menjalani diagnosis dan disahkan menghidap multiple sclerosis di kala umurnya mencecah 45 tahun. Kekurangan fizikal memaksanya untuk melupakan hasrat untuk menjelajah dan mendaki kawasan tanah tinggi dan denai-denai yang mencabar akibat hanya mampu bertongkat sahaja dan tak punya kerusi roda yang khas untuk kawasan yang tidak rata dan mencabar.


Namun segalanya berubah. Pengalaman menyewa dan menggunakan trailrider buat pertama kali pada tahun 2009 ketika bercuti di Canada telah mengembalikan semangatnya untuk terus berekreasi. Beliau telah mengambil inisiatif dan melobi agar Parks Victoria, Australia membeli trailrider ini. Kesungguhannya itu tidak sia-sia apabila Parks Victoira melalui dana yang diperuntukkan oleh kerajaaan negeri (Victoria) untuk membeli satu unit trailrider dan diletakkan di Grampians National Park. Sehingga tahun 2015 sudah terdapat 15 unit trailrider di seluruh Australia atas inisiatif beliau.

Kalau kita di Malaysia ada dana, mungkin boleh saya cadangkan agar trailrider ini diletakkan di Kinabalu Park, Bako National Park dan Taman Negara Pahang. 

Sesungguhnya dengan adanya trailrider ini bolehlah golongan OKU pun turut sama menikmati keindahan alam yang terdapat di tanahair.

Thursday, 4 February 2016

OKU Malaysia vs OKU Australia : Tidak Ramai Yang Mahu/Belum Mendaftar, Di Mana Silap!

Tahun 2005 hanya seramai 150,600 orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Laporan statistik yang diperolehi dari laman sesawang JKMM menunjukkan terdapat peningkatan yang mendadak dari segi pendaftaran OKU berbanding tahun 2005.

Tahun 2008 – 248,858 (tahun di mana Akta OKU 2008 diwartakan)
Tahun 2009 – 283,512
Tahun 2010 – 314,247
Tahun 2011 – 359,203
Tahun 2012 – 445,006
Tahun 2013 – 494,074

Tahun 2014 - 531,962



Walaupun terdapat peningkatan, JKMM tidak boleh berpuashati kerana kalau diikutkan kepada perangkaan oleh PBB sepatutnya sekitar 10 peratus penduduk sesebuah negara adalah OKU. Maka Malaysia yang mempunyai penduduk lebih 30 juta, jumlah OKU di negara ini sepatutnya dianggarkan sekitar 3 juta orang. Ke mana menghilang lagi 2.5 juta. Mungkin ramai lagi yang belum mendaftar atau di Malaysia memang itu sahaja OKUnya atau ramai yang malu bergelar OKU ataupun rakyat kita masih belum faham akan maksud dan kategori OKU.

Perkara sebegini tidak berlaku di Australia. Daripada 23 juta rakyatnya, dilaporkan oleh Biro Statistik Australia bahawa 3.96 juta iaitu mencecah 20% rakyat Australia adalah OKU. Tentu banyak keistimewaannya jadi OKU di Australia rasanya hingga menyebabkan ramai rakyatnya yang mendaftarkan diri. Wallahu'aklam

Wednesday, 3 February 2016

Menjejak Misteri Hanging Rock, Macedon Ranges, Victoria

Akhir Januari 2015 saya dan keluarga ke Hanging Rock untuk melihat sendiri keindahan formasi batuan di sini. Daripada pemerhatian saya laluan untuk ke puncak dan turun agak mengelirukan walaupun kawasan ini punya tanda arah di kawasan-kawasan tertentu. Memang ia boleh bikin orang sesat. 

Selain dari formasi batuan yang 'misteri' dan unik, pemandangan dari puncak sangat indah dengan pemandangan ladang gandum, ladang ternakan dan bukit bukau yang saujana mata memandang. Subhanallah indah sekali ciptaan-Nya.


Terdapat satu kejadian misteri yang pernah berlaku di sekitar Hanging Rock. Ianya berlaku pada tahun 1900. Pada 14hb Februari 1900 sekumpulan 20 pelajar perempuan dari sebuah sekolah swasta (perempuan) berhampiran Woodend bersama-sama beberapa orang guru pengiring telah ke Hanging Rock yang terletak di Macedon Ranges, Victoria untuk berkelah. Mereka tiba di tapak perkelahan pada waktu makan tengahari dan merancang untuk berangkat pulang pada jam 5 petang. 

Sejam sebelum masanya mereka berangkat pulang, empat pelajar perempuan mengambil keputusan untuk bersiar-siar sambil melihat keindahan formasi batuan di Hanging Rock. 


Setelah melangkaui masa yang telah dijanjikan untuk pulang ke tapak perkelahan, hanya Edith yang muncul di tapak perkelahan di saat rakan-rakan dan guru-guru yang menunggu menjadi semakin resah. Edith gagal mengingati apa yang berlaku. Memorinya kosong! 


Di waktu yang sama, seorang guru pengiring juga turut hilang. Pencarian untuk beberapa hari seterusnya juga gagal menemui sebarang jejak Mirinda, Marion, Irma atau Cikgu McCraw. 


Seminggu kemudian, Irma ditemui. Tiada langsung kecederaan di batang tubuhnya. Sayangnya dia juga hilang ingatan. Memorinya kosong! 


Untuk beberapa bulan berikutnya, akhbar-akhbar tempatan mula memainkan berita di sebalik misteri kehilangan pelajar-pelajar dan guru dari sekolah perempuan terbabit. Kehilangan kesemua pelajar dan guru tersebut terus menjadi misteri. 


Malang terus menimpa sekolah terbabit apabila kebanyakan muridnya mula berhenti sekolah, gurunya pula ramai yang meletak jawatan, seorang pelajar mati terjatuh dari menara sekolah dan kesudahannya pengetua sekolah yang amat tertekan dengan situasi tersebut telah pergi semula ke Hanging Rock dan menamatkan riwayatnya di situ. 


Benarkah insiden ini berlaku seperti yang tercatat di Pusat Interpretif di Hanging Rock. Hanya DIA jua yang Lebih Mengetahui. 










Iktibar dari sebuah kisah OKU

Teringat akan kisah sebuah fakulti di sebuah universiti di tanahair. Warganya pada ketika itu masih belum celik orang kurang upaya (OKU). Di sepanjang pengetahuan saya juga tiada warganya yang OKU. 

Segala-galanya berubah akibat daripada suatu tragedi. Salah seorang daripada ahli akademik di fakulti terbabit yang mana saya amat saya kenali dengan tidak semena-mena telah diserang sejenis virus hingga menyebabkan beliau lumpuh dari pinggang ke bawah. Ahli akademik tersebut terpaksa melupakan sementara gaya hidupnya  yang sentiasa aktif dan cergas. Beliau terpaksa berkerusi roda untuk bergerak dan ke mana-mana. 


Secara kebetulan saya bertembung dengan insan istimewa ini ketika saya mempunyai urusan di sebuah hospital di ibu kota. Beliau keseorangan dan seakan terkejut apabila disapa. Saya turut membantu menolak kerusi roda beliau. Kami sempat bersarapan di kafe hospital dan bersembang panjang. 




Ada hikmah katanya akibat daripada tragedi yang menimpa dirinya. Rentetan dari kekurangannya itu, pihak universiti secara umumnya dan lebih khusus lagi pihak fakulti telah mula buka mata dan seterusnya menyediakan segala bentuk kemudahan untuk OKU. Ianya bermula dari parkir khas OKU yang hampir dengan tanjak/ramp di pintu utama untuk masuk ke fakulti hinggalah ke kemudahan khas OKU di dewan kuliah.

Berkat kesabaran dan semangat yang hamba Allah ini yang tidak pernah padam, beliau kini kembali sihat seperti sediakala dan mampu menjalani kehidupan serba aktifnya seperti biasa. Alhamdulillah...

Kalau tidak banyak pun, tentu terdapat secebis pengajaran daripada coretan saya di atas. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kesenangan yang kita ada sebelum ianya ditarik balik oleh Allah subhanahu wata'ala. 


Jazakumullahu khairan kathira kerana anda semua sudi membaca coretan kali ini.

Monday, 1 February 2016

Persediaan Sebelum Memulakan Perjalanan di Hooker Valley

Di bawah saya kongsikan sedikit tips sebagai persediaan kepada anda yang berhasrat untuk menjelajah laluan Hooker Valley:


  • Laluan di Hooker Valley ini bermula dari tapak perkhemahan di White Horse Hill. Anda boleh berjalan kaki ke tapak perkhemahan ini dari Aoraki Mount Cook Village tetapi ianya mengambil masa sekitar 30-40 minit sehala. Kami sekeluarga memilih untuk berkereta ke sana kerana ianya menjimatkan masa dan kaki tidaklah terlalu lelah untuk berjalan nanti. Selain itu kami juga ingin menyimpan tenaga untuk menikmati pengalaman yang menyeronokkan di sepanjang laluan seterusnya. 
  • Cuaca di sini berubah secara mendadak. Kami mengalaminya sendiri. Ketika kami memulakan perjalanan ianya mendung sahaja. Di pertengahan jalan pula tiba-tiba matahari terik sekali. Mahu sahaja kami buka jacket dan beanies namun kami batalkan hasrat kerana angin yang bertiup tetap menyejukkan badan. Jika anda ingin membuat penjelajahan hingga ke penghujung laluan, anda perlu bersedia dengan segala keadaan. Sekiranya anda datang pada hari yang lembap, mendung dan berangin pastikan ada jacket, sarung tangan dan beanies bersama kerana boleh jadi sejuk beku kita dibuatnya di sini.
  • Jangan lupa bawa bersama sedikit juadah. Sedikit snacks dan air sudah mencukupi.
  • Terdapat satu kawasan tapak perkhemahan, tempat berteduh yang mempunyai meja, sinki dan tandas di permulaan laluan Hooker Valley. 
  • Laluan yang anda akan lalui adalah laluan yang sama untuk pergi balik. Pastikan anda dapat mengingatkan kembali setiap langkah yang anda telah tempuhi di trek Hooker Valley. Mustahil anda akan sesat sekiranya anda tidak keluar dari landasan laluan yang telah dibuat.
  • Sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang laluan di Hooker Valley, di sini saya ada buat coretan dari pengalaman lepas.

Jelajah Pulau Selatan NZ : Kenangan di Hooker Valley (Hari Ketiga)

Rasanya seperti tidak lengkap kembara kami di bumi Kiwi sekiranya tidak mencuba laluan denai Hooker Valley di Mt. Cook National Park. Tak putus-putus kami berdoa agar cuaca menyebelahi kami di hari kedua di Mt. Cook National Park. Alhamdulillah cuaca cantik hingga selesai jelajah laluan Hooker Valley.

Laluan Hooker Valley ini bermula di tapak perkhemahan Department of Conservation dan dalam masa kurang lebih 20 minit anda akan sampai di jambatan gantung pertama yang merentangi Sungai Hooker.  



Laluan Hooker Valley memang 'mesra' pengunjung. Laluannya sangat sesuai untuk semua kategori umur dan keupayaan. Laluan di sini agak rata dan hanya mengambil masa 4 jam sahaja untuk pergi dan balik. Walau bagaimanapun sengaja kami ambil masa yang lebih lama untuk kembali ke tapak perkhemahan DOC. Mana taknya, keindahan gunung ganang dan persekitaran di Hooker Valley bikin kami takjub dan teruja hinggakan kami tidak sanggup jalan cepat-cepat untuk meninggalkan keindahan ciptaan Ilahi yang amat indah ini.







Terdapat tiga jambatan gantung yang perlu dilepasi di sepanjang laluan di Hooker Valley. Di saat menyeberangi jambatan gantung yang pertama, kami disajikan dengan pemandangan Mt. Sefton dan Mueller Glacier yang sangat indah lagi menakjubkan. Ucapan subhanallah dan Allahuakbar tidak henti-henti diluahkan walaupun terbit rasa gerun di saat kaki melangkah untuk melepasi jambatan yang di bawahnya mengalir air Sungai Hooker yang deras. 





 Laluannya yang berbatu kasar  (tidak sesuai untuk mereka yang berkerusi roda) memerlukan pengunjung untuk memakai kasut yang sesuai. Hanya terdapat di beberapa kawasan sahaja yang memerlukan pendakian, selainnya laluan Hooker Valley agak mendatar.



Beruntungnya kami yang datang pada penghujung musim luruh ini di mana dapat menyaksikan 'snow capped' di pergunungan di sepanjang laluan Hooker Valley.


Lokasi di atas sangat sesuai untuk melepaskan lelah setelah penat berjalan di samping dapat menyaksikan keindahan pemandangan gunung yang tertinggi di New Zealand, Mt Cook. Agak lama juga kami berhenti di sini untuk menghayati keindahan ciptaan Ilahi ini.

             





Kami melalui pelbagai bentuk rupabumi, dari laluan berbatuan yang memperlahankan langkah hinggalah ke boardwalk yang 'amat selesa' untuk dipijak. 

Setelah dua jam berjalan sampailah kami di penghujung laluan iaitu di Hooker Glacier yang terletak di kaki Mt. Cook yang berketinggian 3724m dari aras laut.



                           


Apa sahaja bekalan yang dibawa untuk dijadikan juadah makan tengahari jadi lebih sedap. Selain sebab lapar, faktor keindahan pemandangan pergunungan sekitar gunung tertinggi di New Zealand, Mt. Cook dan tasik yang amat menakjubkan membuatkan selera makan bertambah-tambah. 

Kami berkongsi makanan dengan sekumpulan nenek-nenek dari Jepun. Kuat lagi kesemua warga emas ini. Setelah mengetahui yang kami dari Malaysia, sempat juga mereka bercerita tentang misi mereka yang seterusnya untuk mendaki Mt. Kinabalu. 



Perjalanan pulang ke permulaan trek sengaja kami lambatkan. Ramai yang memotong. Tak puas rasanya bergambar di kiri kanan depan dan belakang. Walaupun fotonya seakan-akan sama seperti di awal perjalanan menuju penghujung trek di Hooker Glacier, namun suasana di waktu berjalan balik lebih santai dan seperti tak ada apa yang ingin dikejar.

Sempat juga saya dan anak-anak melencong sedikit dari laluan ke tapak perkhemahan untuk ke lokasi permulaan kami dan memanjat 'anak-anak tangga' yang agak curam untuk melihat tugu untuk pendaki-pendaki yang terkorban ketika mendaki Mt. Cook dan gunung-gunung di sekitarnya.