Setiap
orang ada 'lubang' rezekinya masing-masing yang Allah berikan. Seseorang itu
insyaAllah tidak akan susah sekiranya dia berusaha. Sebab itu munculnya
perumpamaan "sedangkan ulat di dalam batu pun boleh hidup, inikan pula
kita manusia" sebagai perbandingan kepada kita manusia agar tidak
sesekali mudah berputus asa dan jangan malas pula untuk berusaha. Maksudnya
orang yang rajin berusaha insyaAllah tidak akan mati kelaparan tetapi bukannya
bermaksud kita hanya duduk atas batu atau berpeluk tubuh sahaja tanpa berbuat apa-apa.
Menunggu rezeki datang bergolek bukanlah caranya.
Berkesinambungan dari perumpamaan di atas terdapat satu lagi peribahasa yang
saya masih ingat iaitu "di mana ada kemahuan di situ ada jalan" yang
bermaksud jika seseorang itu mempunyai keinginan atau iltizam yang kuat dia
akan berusaha dengan bersungguh-sungguh sehinggalah mencapai kejayaan walaupun berdepan
dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang. Berpeluk tubuh juga
bukanlah caranya.
Coretan
saya kali ini dimulakan dengan perumpamaan dan peribahasa di atas kerana ia
berdasarkan kepada pemerhatian saya selama hampir dua tahun sepanjang
berkunjung ke bandaraya Melbourne di hujung minggu. Ramai sekali
penghibur-penghibur jalanan yang membuat persembahan di sepanjang beberapa
jalan utama seperti di Swanston St. dan Bourke St., termasuklah juga persembahan jalanan di hadapan Federation
Square dan juga di laluan pejalan kaki di sepanjang Sg Yarra.
Penghibur-penghibur jalanan ini
menggunakan kreativiti yang mereka miliki untuk dipertontonkan kepada umum yang lalu
lalang. Ada yang bermain alat muzik a.k.a 'busking' sambil menyanyi, kemahiran menari, ada
yang mempertontonkan kemahiran melukis ( menggunakan warna air, crayon, cat minyak, spray dsb), ada pula
yang membuat aksi stunt dan akrobatik merbahaya, ada pula yang hanya menjadi
'patung cendana' dan tak kurang juga ada yang memakai pakaian ala badut dan membuat segala
macam bentuk dari belon-belon Kalau diamati sebenarnya terdapat
bermacam-macam lagi aksi yang mencuit hati pengunjung yang lalu lalang.
Kebiasaannya
persembahan dari pelagak ngeri dan aksi akrobatik akan mendapat tempat di hati
orang yang lalu lalang. Semakin merbahaya aksi yang dipertontonkan maka lagi
makin ramailah orang yang akan berhenti untuk menonton dan berkerumun. Tambahan lagi kalau
penghibur jalanan tersebut pandai pulak mencuit hati penonton dengan
lawak-lawak bersahajanya, maka makin ramailah penonton yang berkerumun
di sekelilingnya. Adakalanya penonton juga dilibatkan dengan persembahan mereka bagi menambahkan lagi kegamatan suasana.
Kalau diikutkan, mereka ini adalah orang yang hebat-hebat. Iya lah... bukan senang untuk menarik perhatian orang yang lalu lalang yang punya agenda hujung minggu tersendiri untuk berhenti, mendengar celoteh dan seterusnya menonton persembahan penghibur jalanan ini hingga tamat. Penghibur jalanan ini perlu ada aura tersendiri baru orang tertarik untuk menonton. Kalau tak, alamatnya buat persembahan syok sendiri sahaja la tanpa ada sesiapa pun yang menonton. Kalau penuh penonton di sekeliling makanya akan penuhlah kantung di saat persembahan tamat, kalau tak alamatnya kosonglah kantung.
Seperti pengunjung yang lain-lain, saya juga cukup tertarik untuk berhenti dan duduk untuk menyaksikan penghibur-penghibur jalanan terutamanya persembahan jalanan yang membuat aksi stunt dan akrobatik. Tambah lagi kalau penghibur yang pandai menyelitkan unsur-unsur humor dalam persembahan mereka. Setiap kali kalau ke bandar, penghibur sebeginilah yang akan saya cari dulu. Boleh kasi hilang stress da!
Seingat saya ada tiga persembahan yang saya sekeluarga saksikan yang mana penghiburnya melibatkan penonton dari kalangan kanak-kanak untuk membantu dalam menceriakan persembahan mereka. Kanak-kanak kecil dari kalangan penonton yang turut membantu menjayakan persembahan ini kemudiannya 'dibayar upah' sebagai hadiah kerana membantu 'pakcik penghibur' membuat persembahan. Sifat pemurah penghibur sebegini yang tak makan seorang selalunya membuatkan penonton cair.
Penonton yang kebiasaannya berpuashati dengan persembahan jalanan hingga 'memecahkan peluh jantan' sang penghibur dan melihat sendiri sifat pemurah sang penghibur tadi akan tanpa berfikir panjang menyeluk poket dan mengeluarkan wang untuk dihulurkan ke kantung sang penghibur. Selain wang itu sebagai imbuhan atas persembahan yang dipertontonkan, ianya juga merupakan cara orang ramai menghargai dan memberi semangat kepada sang penghibur agar terus berkarya dan 'tidak serik' untuk menghiburkan umum yang lalu lalang.
No comments:
Post a Comment