Musim luruh merupakan musim yang memang ditunggu-tunggu. Musim ini amat saya tunggu-tunggu kerana cuacanya yang tidak terlalu panas dan tidaklah pula melampau sejuknya. Setiap manusia yang cintakan keindahan alam pasti menunggu musim ini kerana pada musim inilah dedaunan di pepohonan akan berubah warna dan menghasilkan panorama yang sangat menarik untuk dipandang mata.
Pada tahun ini saya berpeluang untuk mengembara ke 2 lokasi yang cukup terkenal di Victoria terutamanya ketika musim luruh. Mount Macedon yang letaknya sejauh 70 km dan Bright yang sejauh 300 km dari rumah saya di Mill Park.
Subhanallah... seperti yang dijangkakan warna warni dedaunan di pepohonan sememangnya tidak mengecewakan. Ianya seperti melihat hasil lukisan di kanvas. Memang indah panoramanya. Anak-anak dan saya sendiri teruja dengan warna-warna yang terhasil dari dedaunan di pepohon maple yang menanti saat untuk gugur. Dedaunannya yang terbiar gugur di lantai bumi juga menghasilkan sesuatu yang sedap mata memandang. Mahu sahaja diri ini baring di atas daun-daun yang telah sedia gugur, namun kebasahan dek hujan yang turun sebelumnya membatalkan niat di hati.
Kini musim luruh telah tiba ke penghujungnya
dan masuklah musim sejuk. Tak sabar rasa hati untuk menunggu musim luruh
seterusnya untuk menyaksikan pula keindahan panorama dedaunan dan
pepohon di lokasi lain pula. Khabarnya Daylesford pun tak kurang
cantiknya untuk pemandangan musim luruh. InsyaAllah itulah lokasi seterusnya untuk musim luruh yang akan datang
.
2 comments:
Salam singgah kalau awal minggu bulan 9 tu masih winter atau masuk spring..?
Maaf mizzura... terlepas pandang komen puan. Kalau diikutkan dah masuk spring, tp kadangkala masih ada gunung2 yang masih ada snow. Maaf sekali lagi
Post a Comment