Ramadhan 2007/1428H menjadi
kenangan manis dan cukup bermakna kepada kami sekeluarga. Ianya merupakan
Ramadhan yang pertama kami sekeluarga di bumi Bendigo.
Ikhlas saya katakan, sebelum
memasuki ke bulan Ramadhan di tahun tersebut saya cuba untuk membayangkan
bagaimanakah suasananya berpuasa dan berterawih di sini? Saya teramat rindukan
kemeriahan bazaar Ramadhan seperti di Stadium Shah Alam dan bazaar Seksyen 18,
Shah Alam dengan pelbagai jenis juadah kuih muih, lauk pauk, minuman yang
pelbagai warna. Pada malamnya pula berterawih di masjid 'unta' Seksyen 18
dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari suara hafiznya yang menusuk kalbu
walaupun tak difahami maksudnya dan seterusnya solat Subuh berjemaah di situ
selepas bersahur. Namun realitinya suasana tersebut memang tidak berlaku di
Bendigo.
Berbuka puasa dan bersahur di
Bendigo hanya yang ala kadar aja. Tapi saya bersyukur kerana dianugerahkankan
isteri yang pandai memasak. Walaupun dengan ramuan masakan yang terhad (tiada
lagi Asian Grocery Store di Bendigo pada ketika itu) Liza masih mampu
mengadunkan masakannya menjadi makanan yang cukup enak rasanya untuk kami
sekeluarga menjamunya. Kalau sekiranya kami ingin membeli bahan masakan
bercitarasa Asia atau lebih tepat lagi makanan melayu kami perlu berangkat ke
Pasaraya Laguna yang terletak di Melbourne yang kebiasaannya mengambil masa 2
jam perjalanan dengan menaiki keretapi dari Bendigo.
Usai berbuka puasa setiap
malam Kamilia pula sudah bersiap sedia untuk turut serta ke surau di La Trobe Uni
tanpa menghiraukan kedinginan malam untuk bersolat terawih dan seterusnya
moreh. Kamilia tidak bersolat, dia hanya memerhatikan papanya mengimami solat
terawih dan dia akan turut serta mengaminkan bacaan al-Fatihah dan doa yang
dibacakan. Seperti kebiasaannya kanak-kanaklah merupakan insan yang paling
seronok bila tiba waktu moreh. Kamilia akan turut serta membantu membentangkan
kertas suratkhabar lama sebagai alas untuk juadah moreh yang dibawa secara
potluck seperti kek epal, muffin, spring roll, sandwich dan karipap.
Pada setiap hari Sabtu di
bulan Ramadhan kami sekeluarga akan berbuka puasa bersama komuniti muslim lain
di surau La Trobe Uni. Komuniti di sini terdiri dari Arab, Jordan, Indonesia,
Sri Lanka, Bangladesh, Australia, Pakistan dan kami empat beranak dari
Malaysia. Juadah yang dibawa kebiasaannya tidak boleh yang pedas-pedas kerana
rupa-rupanya mereka ini lebih gemarkan masakan yang manis-manis. Jadi Liza yang
telah terbiasa memasak makanan yang pedas-pedas terpaksa menukar resepi semuanya
menjadi manis.
Kalau diikutkan kebiasaannya kami di surau La Trobe Uni ada dua imam (lantikan tak rasmi) yang sering membaca khutbah Jumaat dan memimpin solat kami iaitu saudara Sultan seorang pelajar undergrad dari Saudi Arabia dan saudara Mamoun seorang penyelia di Hazeldene’s Chicken Farm yang berasal dari Jordan. Beruntung sungguh kami dapat berkenalan dengan saudara Mamoun nie kerana kami mendapat bekalan ayam halal yang cukup murah dengan harga cuma AUD2.50 untuk seekor ayam sedangkan kalau dibeli di Butcher’s Shop ia biasanya berharga sekitar AUD13.00 seekor pada ketika itu.
Itulah sedikit cebisan
pengalaman Ramadhan yang berlaku 6 tahun lalu di Bendigo yang telah
meninggalkan memori indah untuk kami sekeluarga. Ramadhan di Bendigo memberikan
pengalaman yang cukup signifikan di dalam sejarah hidup saya dan kami
sekeluarga dan akan diingati di sepanjang hayat, insyaallah.
Salam Ramadhan Al-Mubarak
1434H dari kami sekeluarga di bumi Melbourne. Semoga kita bersama dapat
istiqamah membuat kebajikan dan berusaha mengecapi kenikmatan dan keberkatan
bulan mulia ini…
No comments:
Post a Comment