Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 11 May 2011

Tak Cukup... 'aku mahu tambah'

Saya pun tak tahu kenapa begitu kerap saya menggunakan contoh ini untuk hamba Allah yang terlupa bersyukur. Saya memberi contoh bagaimana ada seorang hamba Allah ini (sihat tubuh badan) sering mengeluh mengenangkan nasibnya yang sudah lama tidak bertukar kasut. Dia mengeluh kerana menyedari dirinya tak mampu untuk membeli dan melaram dengan kasut baru. Kasut yang dipakainya juga sudah lusuh terkoyak dan patut dihukum buang dan sepatutnya dah sampai masa ditukar kepada yang baru.

Namun hamba Allah ini kembali bermuhasabah diri dan bersyukur apabila menyaksikan sendiri bagaimana 'peritnya' seorang hamba Allah lain yang langsung tidak mempunyai kaki melintasinya. Iyalah... pandangan mata hatinya telah menyaksikan bagaimana dirinya yang berkaki masih belum mahu bersyukur hanya kerana tak punya wang untuk membeli kasut baru sedangkan hamba Allah (OKU) yang baru melintasinya tadi langsung tak punya kaki untuk disarungkan kasut (itupun kalau dia mampu membelinya). Namun dia dapat menyaksikan seakan-akan hamba Allah ini ceria menjalani kehidupannya biarpun terpaksa mengengsot dek kerana kedua kakinya yang kudung hingga ke paras paha.

Ketabahan dan tidak lupa bersyukur sebeginilah menjadikan seseorang itu lebih kuat dan sentiasa berfikiran positif serta melihat sesuatu itu dengan pandangan mata hati.