Di bawah saya kongsikan sedikit tips sebagai persediaan kepada anda yang berhasrat untuk menjelajah laluan Hooker Valley:
Laluan di Hooker Valley ini bermula dari tapak perkhemahan di White Horse Hill. Anda boleh berjalan kaki ke tapak perkhemahan ini dari Aoraki Mount Cook Village tetapi ianya mengambil masa sekitar 30-40 minit sehala. Kami sekeluarga memilih untuk berkereta ke sana kerana ianya menjimatkan masa dan kaki tidaklah terlalu lelah untuk berjalan nanti. Selain itu kami juga ingin menyimpan tenaga untuk menikmati pengalaman yang menyeronokkan di sepanjang laluan seterusnya.
Cuaca di sini berubah secara mendadak. Kami mengalaminya sendiri. Ketika kami memulakan perjalanan ianya mendung sahaja. Di pertengahan jalan pula tiba-tiba matahari terik sekali. Mahu sahaja kami buka jacket dan beanies namun kami batalkan hasrat kerana angin yang bertiup tetap menyejukkan badan. Jika anda ingin membuat penjelajahan hingga ke penghujung laluan, anda perlu bersedia dengan segala keadaan. Sekiranya anda datang pada hari yang lembap, mendung dan berangin pastikan ada jacket, sarung tangan dan beanies bersama kerana boleh jadi sejuk beku kita dibuatnya di sini.
Jangan lupa bawa bersama sedikit juadah. Sedikit snacks dan air sudah mencukupi.
Terdapat satu kawasan tapak perkhemahan, tempat berteduh yang mempunyai meja, sinki dan tandas di permulaan laluan Hooker Valley.
Laluan yang anda akan lalui adalah laluan yang sama untuk pergi balik. Pastikan anda dapat mengingatkan kembali setiap langkah yang anda telah tempuhi di trek Hooker Valley. Mustahil anda akan sesat sekiranya anda tidak keluar dari landasan laluan yang telah dibuat.
Rasanya seperti tidak lengkap kembara kami di bumi Kiwi sekiranya tidak mencuba laluan denai Hooker Valley di Mt. Cook National Park. Tak putus-putus kami berdoa agar cuaca menyebelahi kami di hari kedua di Mt. Cook National Park. Alhamdulillah cuaca cantik hingga selesai jelajah laluan Hooker Valley. Laluan Hooker Valley ini bermula di tapak perkhemahan Department of Conservation dan dalam masa kurang lebih 20 minit anda akan sampai di jambatan gantung pertama yang merentangi Sungai Hooker.
Laluan Hooker Valley memang 'mesra' pengunjung. Laluannya sangat sesuai untuk semua kategori umur dan keupayaan. Laluan di sini agak rata dan hanya mengambil masa 4 jam sahaja untuk pergi dan balik. Walau bagaimanapun sengaja kami ambil masa yang lebih lama untuk kembali ke tapak perkhemahan DOC. Mana taknya, keindahan gunung ganang dan persekitaran di Hooker Valley bikin kami takjub dan teruja hinggakan kami tidak sanggup jalan cepat-cepat untuk meninggalkan keindahan ciptaan Ilahi yang amat indah ini.
Terdapat tiga jambatan gantung yang perlu dilepasi di sepanjang laluan di Hooker Valley. Di saat menyeberangi jambatan gantung yang pertama, kami disajikan dengan pemandangan Mt. Sefton dan Mueller Glacier yang sangat indah lagi menakjubkan. Ucapan subhanallah dan Allahuakbar tidak henti-henti diluahkan walaupun terbit rasa gerun di saat kaki melangkah untuk melepasi jambatan yang di bawahnya mengalir air Sungai Hooker yang deras.
Laluannya yang berbatu kasar (tidak sesuai untuk mereka yang berkerusi roda) memerlukan pengunjung untuk memakai kasut yang sesuai. Hanya terdapat di beberapa kawasan sahaja yang memerlukan pendakian, selainnya laluan Hooker Valley agak mendatar.
Beruntungnya kami yang datang pada penghujung musim luruh ini di mana dapat menyaksikan 'snow capped' di pergunungan di sepanjang laluan Hooker Valley.
Lokasi di atas sangat sesuai untuk melepaskan lelah setelah penat berjalan di samping dapat menyaksikan keindahan pemandangan gunung yang tertinggi di New Zealand, Mt Cook. Agak lama juga kami berhenti di sini untuk menghayati keindahan ciptaan Ilahi ini.
Kami melalui pelbagai bentuk rupabumi, dari laluan berbatuan yang memperlahankan langkah hinggalah ke boardwalk yang 'amat selesa' untuk dipijak. Setelah dua jam berjalan sampailah kami di penghujung laluan iaitu di Hooker Glacier yang terletak di kaki Mt. Cook yang berketinggian 3724m dari aras laut.
Apa sahaja bekalan yang dibawa untuk dijadikan juadah makan tengahari jadi lebih sedap. Selain sebab lapar, faktor keindahan pemandangan pergunungan sekitar gunung tertinggi di New Zealand, Mt. Cook dan tasik yang amat menakjubkan membuatkan selera makan bertambah-tambah. Kami berkongsi makanan dengan sekumpulan nenek-nenek dari Jepun. Kuat lagi kesemua warga emas ini. Setelah mengetahui yang kami dari Malaysia, sempat juga mereka bercerita tentang misi mereka yang seterusnya untuk mendaki Mt. Kinabalu.
Perjalanan pulang ke permulaan trek sengaja kami lambatkan. Ramai yang memotong. Tak puas rasanya bergambar di kiri kanan depan dan belakang. Walaupun fotonya seakan-akan sama seperti di awal perjalanan menuju penghujung trek di Hooker Glacier, namun suasana di waktu berjalan balik lebih santai dan seperti tak ada apa yang ingin dikejar. Sempat juga saya dan anak-anak melencong sedikit dari laluan ke tapak perkhemahan untuk ke lokasi permulaan kami dan memanjat 'anak-anak tangga' yang agak curam untuk melihat tugu untuk pendaki-pendaki yang terkorban ketika mendaki Mt. Cook dan gunung-gunung di sekitarnya.
Hari yang segar. Usai solat Subuh saya tidak kembali ke tilam yang empuk. Hajat di hati ingin menyaksikan sendiri detik-detik matahari terbit. Kebetulan pula bilik yang kami inap ini menghadap ke arah matahari terbit, maka ianya jadi lebih mudah.
Saya jengok keluar, rupanya saya bukan keseorangan. Beberapa penghuni lain yang menginap di resort terbabit juga sudah bersedia dengan kamera dslr masing-masing. Siap ada yang berpayung lagi. Kami sama-sama setia menunggu. Sayangnya gerimis pagi menutup pemandangan kami. Kabus yang tebal di awal pagi juga menghalang detik-detik munculnya matahari di ufuk timur. Pemandangan gunung-ganang sekitarnya juga agar suram pagi ini dek kerana kabus yang agak tebal.
Saya capai kamera dan ajak Kamilia untuk turut sama meneroka suasana keindahan dan kedinginan pagi di sekitar perkampungan Aoraki Mount Cook. Kamilia tanpa banyak bicara seakan faham mengekor sahaja. Kamil dan Kaisara buat tak tahu sahaja. Depa dua beradik tak mahu turut serta. Ipad jadi keutamaan dan kedinginan pagi jadi alasan dan halangannya.
Aoraki Mount Cook Village memang cantik. Rasa rugi pulak menginap hanya satu malam di sini. Kami terjah ke denai-denai yang singkat laluannya, kami jengah sungai-sungai yang deras airnya dan kami seberangi jambatan yang di bawahnya air sungai mengalir laju. Udara di sini memang nyaman dan amat menyegarkan.
Untung kami dua beranak kerana menjadi antara individu yang terawal di pagi tersebut yang menghidup udara yang segar dalam suasana yang mendamaikan. Tiada langsung kenderaan yang lalu lalang di kawasan yang kami tujui. Sejam lebih jugak la kami dua beranak meneroka segenap pelusuk Aoraki Mount Cook Village dan sekitarnya sebelum balik semula ke bilik.
Liza sudah siap menyediakan sarapan dan makanan tengahari juga telah siap dibungkus untuk dibawa bersama menjejak denai Hooker Valley. Selesai bersarapan, berkemas dan masukkan barang-barang ke dalam kereta kami check-out.
Kami check-out awal kerana kami punya misi yang cukup besar di hari ketiga ini. Kami ingin merentas denai di Hooker Valley. Khabarnya Hooker Valley ini punya keindahannya yang tersendiri. Maklumat ini semuanya saya perolehi dari pembacaan blog-blog pengembara dan foto-foto yang dipamerkan di blog-blog tersebut.
Saya akan coretkan kenangan manis kami anak beranak menjejak denai Hooker Valley dalam posting akan datang.
Hujan turun tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Kalau diikutkan ramalan keadaan cuaca di sekitar Ashburton hinggalah ke Lake Tekapo akan mengalami hujan yang berterusan untuk hari kedua kami di New Zealand. Walau apapun ramalannya, perjalanan kami perlu diteruskan.
Kami bertolak keluar dari penginapan sekitar jam 10.00 pagi. Jenuh jugak la mengangkat beg dan segala barang keperluan dari tingkat satu apartment ke dalam kereta di kawasan parkir. Mana taknya, dengan hujan yang turun yang henti-henti bikin habis barang-barang lencun dan badan menggigil kesejukan.
Perjalanan kami dari Ashburton ke Lake Tekapo melalui beberapa pekan kecil antaranya Geraldine dan Fairlie. Perjalanan kami diiringi hujan yang kadang-kadangnya lebat dan kadang-kadangnya rintik-rintik. Memang tak ada tanda-tanda hujan ini akan seriyat (berhenti). Maka tak banyaklah tempat yang saya sempat berhenti untuk bergambar gara-gara hujan ini. Alhamdulillah ketika sampai di pekan Fairlie iaitu setelah hampir 1 jam 30 minit memandu, hujan lebat bertukar gerimis. ini peluang untuk singgah menjengok dan menikmati keindahan musim luruh di sini. Subhanallah memang cantik pekan ini. Kami sempat juga singgah ke salah sebuah pasaraya di Fairlie untuk membeli sedikit barangan keperluan dapur sebelum meneruskan perjalanan yang masih berbaki 30 minit untuk sampai ke Lake Tekapo.
Lake Tekapo memang cantik. Tapi sayang cuaca yang mendung menjadikan pemandangan untuk kami sekeluarga bergambar di sini terbantut. Kalau biasanya kalau dilihat dari foto-foto yang dipaparkan di internet, keindahan Lake Tekapo amat jelas kelihatan terutamanya ketika langit cerah ditambah dengan ropol-ropol awan hingga menonjolkan air tasiknya yang kebiruan.
Kami sempat berlibur di sekitar Lake Tekapo sekitar 30 minit sebelum keseronokan kami bergambar dan menikmati keindahan tasik disentap dengan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Nasib baik la saya dah letakkan kenderaan dekat dengan lokasi kami bergambar. Kalau tak mau lencun kami sekeluarga dibuatnya.
Dek kerana hujan lebat yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti, saya membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Aoraki Mt Cook National Park iaitu lokasi penginapan kami untuk malam kedua. Makanya tak sempatlah bergambar di mercu tanda di Lake Tekapo iaitu Church of the Good Shephard. Nak stargazing pun tak boleh sebab langit mendung seharian. Terus ke penginapan sahaja lah.
Sayang seribu kali sayang... hujan yang berterusan menyebabkan kami gagal melihat kelibat Mt Cook di hari yang kedua ini. Kabus tebal mengiringi perjalanan selama satu jam dari Lake Tekapo ke Aoraki Mount Cook National Park. Keindahan Lake Pukaki yang menemani sepanjang perjalanan kami ke Aoraki Mount Cook NP juga tak dapat kami nikmati. Kami redha... tentu ada hikmahnya.
Kami sampai sebelum jam 2.00 petang. Alhamdulillah sekali lagi dibenarkan untuk check-in awal di Mount Cook Lodge. Kami masuk tengok bilik, angkat barang, makan, solat dan seterusnya dalam gerimis petang kami keluar semula untuk survei apa-apa aktiviti yang boleh dibuat petang itu. Rugi dah mai jauh-jauh dan melepak dalam bilik sahaja.
Kalau kena dengan cuaca memang puashati. Macam-macam aktiviti boleh buat kat sini. Kalau ada yang sukakan cabaran boleh buat aktiviti bush walk/walking track. Trek untuk dijelajah di sini ada yang mengambil masa dari sesingkat 10 minit hinggalah ke tiga jam pergi balik.
Tiada aktiviti menarik untuk kami di hari pertama di Aoraki Mount Cook NP. Hujan da...Sekadar berkereta ke Tasman Valley yang berjarak 10 km dari penginapan kami dan seterusnya menghabiskan waktu petang di visitor centre dan Sir Edmund Hillary Alphine Centre (tak masuk sebab dah lewat).
Alhamdulillah... setinggi kesyukuran diucapkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala Tuhan kita semua kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua kami sekeluarga diberikan kesempatan dan rezeki untuk menjejakkan kaki ke Bumi Kiwi. Memang sudah lama dipendamkan hasrat untuk menjelajah ke negara orang dan New Zealand merupakan salah satu destinasi yang ingin dilawati kerana hasrat di hati sememangnya ingin menyaksikan sendiri keindahan yang sering dipaparkan di foto dan video yang ditonton.
Penerbangan kami dengan JETSTAR dari Lapangan Terbang Melbourne mengambil masa sekitar 3 jam 20 min dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch (LTAC) sekitar jam 4.35 pagi. Sebaik selesai dan keluar dari ruang pemeriksaan imigresen dan kastam saya dapat saksikan segenap ruang di balai ketibaan telah penuh dengan pelancong. Mereka juga tiba dengan penerbangan awal pagi. Sementara menunggu hari cerah dan masa yang ditetapkan untuk mengambil kereta sewa, saya tinjau-tinjau sekeliling LTAC. Memang bersih dan kemas.
Masa yang dijanjikan telah tiba dan kami ke Car Rental Transfer Point untuk menunggu shuttle van yang akan membawa kami ke depot APEX Car Rental yang terletak 2km dari terminal antarabangsa. Kos untuk menyewa sebuah Toyota Corolla berserta insuran selama genap 9 hari sepanjang kami di sini hanyalah NZ$445. Siap ada diskaun lagi apabila saya klik LIKE pada laman FB APEX. Yang menjimatkan lagi sebab kami bawa GPS sendiri dan booster untuk kanak-kanak tidak dikenakan caj oleh APEX selama 9 hari tersebut. Dengan kondisi kereta yang TIPTOP dan servis yang terbaik, saya merasakan nilai yang dibayar selama kami menggunakan kenderaan tersebut adalah sangat berpatutan jika dibandingkan dengan syarikat lain. Sebenarnya pun saya telah mengambil masa dua bulan sebelum membuat keputusan dengan membandingkan harga dan servis yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat penyewa kenderaan di Christchurch.
Destinasi kami yang pertama adalah Countdown di Hornby yang terletak 8km ataupun 13 min pemanduan dari LTAC. Sedikit barang keperluan kami beli di sini. Kalau ada penjengok-penjengok sekalian yang rajin nak survei harga barangan dahulu sebelum membeli, bolehlah juga ke pasaraya PAk'nSave yang terletak di seberang jalan. Namun daripada pemerhatian saya harga barang di pasaraya di Christchurch lebih mahal berbanding harga di Melbourne.
Seterusnya kami pusing-pusing Bandar Christchurch sebelum menuju ke Bella Vista Ashburton iaitu tempat penginapan untuk malam pertama kami di Bumi Kiwi. Pemanduan ke sini dari pusat bandar Christchurch ke Ashburton sebenarnya hanyalah sekitar 1 jam 10 minit atau jaraknya 86km sahaja. Namun dek kerana mata macam sudah digam, saya terpaksa berhenti di Rakaia. Baru memandu 60km mata dah mengantuk. Saya tak berani ambil risiko. Liza dan anak-anak awal-awal lagi dah lelap. Sedar sahaja dari tidur barulah perasan rupanya dekat sejam juga kami sekeluarga lelapkan mata di dalam kereta. Alhamdulillah... kembali segar sebelum meneruskan semula perjalanan yang berbaki 20 minit menuju ke Bella Vista Ashburton.
Kami sampai terlalu awal. Sebelum jam 2 petang kami dah tercongok di reception counter. Namun pemilik apartment yang baik hati membenarkan kami untuk check-in awal dan berehat. Apartmentnya memang puashati. Bersih, kemas dan segar.
Nota alamat lokasi:-
Apex Car Rental: 28 Ron Guthrey Road, Christchurch