Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 28 December 2010

3


Diam tak diam dah masuk tahun ke-3 blog Coretan di Kala Senggang wujud di alam siber. Alhamdulillah saya bersyukur kerana diberi ilham dan kesempatan oleh Allah subhanahu wata'ala untuk mencoretkan kisah kehidupan dan pengalaman di sini.

Saya sendiri tidak menyangka Blog yang dilahirkan pada Tahun 2007 dan menyambut ulangtahunnya yang pertama pada 2008 dapat diteruskan lagi hingga ke 2010. Coretan saya di Tahun yang pertama ada di sini.

Adakalanya idea mencurah-curah untuk dicoretkan di blog ini, namun dek hambatan masa menjadikan jari jemari aku agak berat untuk menekan papan kekunci komputer. Akhirnya idea yang ada itu hilang dek kesibukan duniawi. Rugi... Apa nak jadi nie dengan aku nie. Aku terlalu malas. Malas bertindak. Tak macam awal-awal dulu. Kenapa alasan masa yang selalu aku beri?

Aku tak nak penulisan aku di blog ibarat 'hangat-hangat taik ayam' ataupun seperti kata Dr Wan Sabri 'semangat k*+#'. Aku taknak coretan di blog ni aku lakukan dengan sungguh-sungguh hanya pada permulaan sahaja. Lama kelamaan, ditinggalkan begitu sahaja apabila sudah mula bosan. Aku cuba taknak tinggalkan laman sesawang aku ni bersawang seperti tak bertuan.

Sempena tahun baru Masehi yang akan menjelma tak lama lagi dan semangat Tahun Baru Hijrah yang lepas maka aku bertekad untuk lebih rajin mencoretkan sesuatu di blog Coretan di Kala Senggang. Semoga Allah mengurniakan aku kelapangan masa untuk terus mencoret di sini.

Selamat Tahun Baru Masehi 2011. Semoga azam tahun 2010 kita telah terlaksana dan mengikat azam baru untuk Tahun 2011.

Selamat Ulangtahun ke-3 Blog Coretan di Kala Senggang. Terima kasih di atas kesudian penjengok-penjengok setia blog ini yang tak jemu-jemu bertandang ke blog yang tak semegah ini. Semoga anda mendapat manfaatnya dari coretan saya yang serba kekurangan ini. Komen dan sokongan anda sekalian akan sentiasa saya hargai. Wassalam.

Saturday 25 December 2010

Rob C & Minyak Masak Dalam Kenangan

"Aduh... terlupa la pulak. Minyak masak tak dibeli," rungut Liza. Itulah penangannya bila dah pergi membeli barang tanpa ada perancangan dan senarai barangan yang nak dibeli. Dahlah menumpang orang pi beli, sekarang apa nak buat... jalan nak ke kedai pun tak tahu. Catherine yang membantu sebentar tadi pun dah balik. Makanya perut kami empat beranak pada hari pertama 'makan tengahari' di Bendigo diisi dengan nasi berlaukkan telur digoreng tanpa minyak dan kari ayam Brahim (dibawa dari Malaysia) tepat jam 4 petang. Alhamdulillah

Selepas makan tengahari yang ala kadar tu dan solat, saya merancang untuk berjalan kaki sahaja untuk mencari kedai yang berhampiran untuk membeli minyak. Liza dan anak-anak ingin turut serta, saya langsung tidak membantah walaupun saya sendiri pun tak tahu kedai yang kami nak tuju itu dekat atau jauh.

Atas dasar susah senang biar kita satu keluarga, kami memulakan perjalanan untuk mencari kedai berhampiran. Memang tak ada kedai berhampiran!!! Dengan cuaca yang semakin dingin, kami bernasib baik kerana dipertemukan dengan Rob C yang sedang mengayuh basikalnya. Beliau berhenti dan bertanya kami dari mana dan hendak ke mana (mungkin beliau selalu menggunakan laluan tersebut untuk berbasikal dan tidak pernah bertembung dengan kami, tambahan pula Liza bertudung dan ianya agak janggal di kalangan penduduk Bendigo). Kami memaklumkan kepadanya tentang niat kami untuk mencari kedai untuk membeli minyak masak.

Melalui perbualan dengan Rob C yang merupakan seorang guru, barulah saya tahu jauhnya lagi kalau nak ke pusat bandar dan sebenarnya tiada kedai berhampiran. Sekiranya adapun kedai yang berhampiran ianya sudah ditutup kerana waktu tersebut dah hampir pukul 5 dan lebih-lebih lagi ianya hari Sabtu (di sini pasaraya dibuka lebih masa hanya pada hari Jumaat malam Sabtu dan hanya pasaraya Coles sahaja dibuka 24 jam).

Rob meminta kami sekeluarga supaya bersabar menunggu beliau untuk pulang ke rumahnya dan mengambil kenderaan untuk membawa kami ke pusat bandar Bendigo untuk membeli barang keperluan yang masih belum dibeli. Kami berasa sungguh bersalah kerana telah menyusahkan dan mengganggu Rob yang sedang beriadah. Dari riak wajah beliau menunjukkan kesungguhannya untuk membantu (hingga kini saya masih merasakan tuah budak-budak berdua tulah yang menyebabkan segala kerja buat saya dipermudahkan, -hanya Allah yang lebih mengetahui).

Rob datang dengan keretanya dan apabila turun saya lihat di tangannya sebotol minyak masak yang dikatakannya dibekalkan oleh isteri beliau untuk diberikan kepada kami, sekiranya kedai telah tutup. Begitu mulianya hati warga Australia ini hingga menyebabkan hati saya berasa begitu tersentuh dengan niat ikhlasnya itu.

Alhamdulillah terdapat sebuah pasaraya yang masih dibuka dan kami dapat membeli minyak masak yang diinginkan (itulah pengajaran kepada kami, supaya sentiasa membuat perancangan sebelum melakukan kerja terutama di dalam membeli belah).

Begitulah pengalaman hari pertama saya sekeluarga di bumi Bendigo dengan seribu satu pengalaman. Terima kasih Cikgu Rob C.

Wednesday 22 December 2010

Cuba Lari


Aku cuba jauhi. Bukannya baik sangat pun. Tapi dengan cara nie aku tak terjerut dikancah yang menyebabkan mood aku tunggang langgang. Mana taknya hari-hari aku sentiasa dihiasi dengan anasir-anasir yang sentiasa membawa cerita-cerita yang kalau aku pertimbangkan ianya lebih banyak tak berfaedah daripada sebaliknya. Cara yang paling selamat yang aku lakukan adalah larikan diri atau tukar topik yang diperbincangkan supaya yang positif 'masuk'.

Kalau setiap hari difikirkan masalah dan permasalahan maka kita tak berkembang. Apa taknya asyik dok bercerita dan mendengar 'benda' yang tak sepatutnya diceritakan atau didengar. Arghhh... aku ingin bebaskan diri aku dan jauhi benda yang 'pelik-pelik' nie.

Air kosong dan jernih kalau ditambah perisa dan gula tentu enak rasanya. Begitu jugalah kalau cerita yang 'hampir-hampir sebenar' apabila ditokok tambah untuk mengenakkan 'perisanya' dan mengikut citarasa pendengarnya tentu lain jadinya... kan. Tapi itulah kenyataannya. Orang suka mendengar apabila ada tokok tambahnya. Baru syok dan ada umphh!

Bagi aku... aku akan cuba larikan diri selagi termampu.

Friday 17 December 2010

Berbeza Ceritanya

Di sebuah tempat di Malaysia diberitakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun ditemui terbaring di sisi mayat ibunya yang membengkak dan berbau disyaki mati dibunuh lebih dua hari. Kanak-kanak itu yang setia terbaring tidak bermaya di sisi ibunya itu ditemui oleh tuan rumah yang kebetulan datang untuk memungut sewa rumah. Tuan rumah tadi menjadi lebih curiga apabila panggilannya tidak dijawab dan terbau sesuatu yang busuk. Rumah tersebut akhirnya dipecah masuk dan hasilnya memang mengejutkan si tuan rumah yang seterusnya membuat laporan polis.

Lain pula ceritanya di sebuah tempat di Australia sekitar Mac 2008 di mana seorang kanak-kanak lelaki bernama Noah Opris telah berjaya menyelamatkan nyawa ibunya yang tidak sedarkan diri akibat serangan epilepsi, terjatuh dan berdarah. Noah telah dianugerahkan dengan Anugerah Keberanian Polis kerana telah mengambil tindakan mendail 000 iaitu nombor yang sememangnya begitu popular di kalangan rakyat di sana sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Tindakan pantas dan cekap Noah, telefonis Lembaga Telekomunikasi Perkhidmatan Kecemasan Australia (ESTA) dan paramedik telah berjaya menyelamatkan ibu Noah.

Di sebalik kejadian ini, rupa-rupanya si-ibu ini sering mengajar Noah teknik untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan 000 sekiranya ahli keluarga sakit atau ditimpa malang. Soket telefon akan dicabut apabila mengajar Noah dan Noah akan mendail berulangkali dan berlakon bercakap dan ibunya yang bertindak sebagai telefonis ESTA. Namun ketika kejadian Noah berjaya mendail menggunakan telefon bimbit ibunya sehingga operator ESTA berjaya mengesan lokasi malang mereka.

Wah! hebat kan. Kita kena amalkan apa yang dilakukan oleh ibu Noah kepadanya semenjak dari kecil lagi kepada anak-anak dan adik-adik kita di Malaysia. Selain daripada itu papar dan warwarkan semula iklan DAIL 999 agar orang ramai lebih peka dan tidak lalai.

Nota HiCMat: Tak salah kan mencuba demi kebaikan!

Thursday 16 December 2010

Buka Jalan

Dia datang jumpa aku. Dikhabarkan kepada aku yang dia dalam kesusahan. Dia tak dapat pinjaman untuk meneruskan pengajian. Biasiswa apatah lagi, jauh dari genggaman. Aku tenang mendengar cerita dia yang selanjutnya. Ku tanya mana ayah dan mak dia. Terus dia lancar bercerita. Keduanya masih ada tapi dah macam tak mampu membelanya. Banyak lagi tanggungan yang terpaksa dipikul dek keduanya. Dia dah seperti putus harap. Aku tanya apa perancangan seterusnya. Kononnya dia dah fikir masak-masak, bercuti belajar atau seterusnya berhenti belajar jalan penamatnya.

Aduh... begitu singkat pemikiran anak muda ini. Baru diuji sedikit dah mengalah. Dah putus harap dan seperti tak ada tempat lagi yang nak dituju untuk mengadu. Aku tanya keputusan peperiksaannya untuk beberapa semester yang lalu. Fuh... tak sangka aku, dia insan cemerlang. Keputusannya di hujung semester amat hebat. Subjek yang ramai orang lain gagal, itu yang dia dapat A+. Wah...hebat budak ni. Tapi kenapa dia tak dapat melihat dirinya sebagai permata berharga. Dia cepat mengalah. Ada ka patut dia nak bercuti dan mungkin berhenti belajar dan cuma jadi tukang cuci. Bukan nak menghina pekerjaan tukang cuci, tetapi budak ini sepatutnya mendapat peluang yang lebih dari itu.

Aku dah melalui apa yang budak ni alami kira-kira 16 tahun yang lalu. Anak yatim piatu ini tak dapat pinjaman atau biasiswa untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama. JPA menolak permohonan aku dan MARA pun 'tak berkenan' nak meminjamkan dana di dalam kantung mereka. Aduh... bagaimana aku nak belajar. Aku pun dah mati kutu. Duit pencen abah cuma RM100 sebulan. Aku jumpa Dr Wan Sabri Wan Mansor, pensyarah yang sememangnya aku kagumi dan sifu rekreasi. Untung-untung dia boleh bantu.

Malangnya jawapan yang diberikan cukup mendukacitakan aku. "Bukannya nak membantu!", kata aku dalam hati. Ditambah lagi pening di kepala. Dia ceritakan yang dia sendiripun awalnya tak ada dana yang nak membantunya. Dipohon dari kerajaan negeri Kedah dia bukannya menetap di Kedah lagi. Permohonan ditolak. Lalu dipohon dengan kerajaan negeri Pahang ditolak juga kerana bukan anak jati Pahang walaupun membesar di Pahang. Namun usahanya yang tak jemu-jemu akhirnya berhasil apabila dia berjaya mendapat Biasiswa Komanwel. Fuh.. dia memang hebat.

Habis apa usaha aku seterusnya. Aku panjat tangga JPA dengan bantuan saudara yang mengenali staf di sana. Aku tetap gagal. Kuota da. Panjang ceritanya. Aku daki tangga MARA... berulangkali tanpa jemu. Rayuan demi rayuan dibuat dan akhirnya MARA sudi meminjamkan aku dananya. Alhamdulillah. Pinjaman itu pula akhirnya diubah menjadi Biasiswa. Alhamdulillah lagi. Bonus berganda.

Aku ceritakan pengalaman aku kepada pelajar tadi. Dia mengaku dia tak cukup berusaha. Aku capai gagang telefon. Aku telefon pengarah Pusat Zakat. Aku tanyakan samada budak ini layak untuk mendapat zakat. Pengarah berjanji akan lihat pendapatan keluarganya samada layak dan pelajar itu diminta berjumpanya terus.

Sebelum pelajar itu keluar aku beri satu cadangan. Alhamdulillah aku dapat tahu yang dia menuruti cadangan aku dan beberapa semester lagi insya-Allah pelajar ini akan bergraduat. Sebentar tadi aku semak keputusan dia untuk peperiksaan lepas. Dia cemerlang lagi.

Aku yakin dia dan ramai lagi yang di luar sana mampu lakukan. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan.Genggam bara api biar sampai jadi arang dan berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Rezeki tidak akan datang bergolek. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Macam-macam lagi peribahasa yang nak menunjukkan usaha tangga kejayaan.

Tuesday 7 December 2010

Selamat Datang Tahun Baru 1432H

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala, tuhan kita semua kerana dengan izin-NYA jualah kita masih diberi peluang dan kesempatan oleh-NYA serta dikurniakan nafas dan nikmat untuk sama-sama menyambut kedatangan awal Muharram tahun 1432 Hijriah.

Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Hijrah kepada semua penjengok-penjengok muslimin dan muslimat. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita semua dapat mengambil pelbagai iktibar serta contoh tauladan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan kita bagi keperluan hari-hari yang mendatang.

Sama-samalah kita doakan semoga dengan kedatangan tahun baru ini akan meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada ISLAM, dimurahkan rezeki dengan RAHMATNYA dan senantiasa dalam KEREDHAANNYA...Insya-Allah.

Monday 6 December 2010

Kisah Teladan: Berkat Bismillah

Dikisahkan tentang seorang perempuan yang taat beragama, tetapi suaminya pula seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama serta tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membacakan Bismillah setiap kali hendak bercakap. Setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa dia dahului dengan bacaan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, “Asyik-asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah. Entah apa yang Bismillah tu boleh tolong tak tahulah!"

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. agar suaminya diberikan hidayah. Suaminya juga berkata, “Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu!”

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan sejumlah wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, “Simpan duit di dalam beg ini!” Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil beg berisi duit tersebut dan mencampakkannya ke dalam perigi di belakang rumah mereka.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, “Berikan padaku wang yang telah aku amanahkan kepada engkau dahulu untuk disimpan.”

Kemudian isterinya pergi semula ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya. Dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan beg berisi duit itu dan dia membuka dengan membaca, “Bismillahirrahmanirrahiim.” Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg berisi duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya. Dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya. Ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah. Bermula dari itu dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Nota HiCMat: Sama-samalah kita amalkan bacaan Bismillah sebelum perbuatan, Insya-Allah kita tidak akan rugi.

Saturday 4 December 2010

HKL

Memang jenuh nak meredah kesesakan untuk ke HKL. Namun dek kerana kuatnya ikatan keluarga dan 'panggilan' untuk ke sana saya turutkan juga. Dah 2 hari berturut-turut saya sekeluarga ke sana. Abang ipar terpaksa diusung ambulan dari HM ke HKL.

Hari pertama kami sekeluarga sampai terlalu lewat. Apa boleh buat, dah tamat waktu melawat sebab dapat tahu pun dah lewat. Tak dibenarkan masuk. Hanya dapat bertemu dan bertanya khabar melalui isterinya sahaja. Hari ini sekali lagi cuba meredah kesesakan. Nawaitunya untuk berjumpa saudara terdekat yang sedang diduga Allah s.w.t ini.

Alhamdulillah percubaan kali ini berjaya. Wad Urologi kami tuju. Penuh wad ni, tiada katil yang kosong melainkan penuh-penuh belaka. Aduh saya pernah tidur di wad sebegini suatu ketika dahulu. Hospital Gerik dan DEMC pernah jadi saksi saya mengerang kesakitan. Kalau boleh tak mahu lagi saya memasukinya. Nauzubillah hi minzalik.

Selepas bertanya khabar saudara yang dah lama tak berjumpa tu mata saya meliar memandang ke sekeliling wad. Ada katil yang 'berpenunggu' dan berpelawat, tak kurang juga yang sunyi dan penghuninya hanya memandang sahaja pelawat-pelawat di katil pesakit yang berpelawat. Aduh jatuh kasihan jadinya. Sedih kalau saya yang berada di tempat pesakit yang tak berpelawat tu. Hanya mampu melihat orang lain berpelawat dan teman bersembang, namun kita tak ada orang yang nak datang menjenguk. Sunyi jadinya.

Saya ringan-ringankan tangan dan mulut untuk bersalam dan memulakan kata. Alhamdulillah disambut. Saya dapat kenalan baru yang datang dari sedekat Banting hinggalah sejauh Kulai. Simpati... hanya itu yang mampu saya luahkan. Di situ ada dari semuda 8 tahun hinggalah ke ke 60-an yang sempat saya bertanya khabar dan berkenalan. Semoga kesemua mereka dapat melaluinya dengan penuh redha dan sabar tanpa rintihan dan keluhan menjalani ujian Allah s.w.t. dan disegerakan penyembuhan kesakitan yang mereka alami. Insya-Allah.

Nota HiCMat: Selalu ingat 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara.

Thursday 2 December 2010

Anugerah

Aku bekerja hari ini hanya kerana Allah subhanahu wata'ala!

Alhamdulillah setelah berkhidmat selamat beberapa tahun di UiTM, akhirnya saya mendapat satu anugerah. Mungkin bagi sesetengah orang anugerah ini hanya ganjaran kecil dan seterusnya memperolokkan si penerima, namun bagi saya ianya cukup bermakna sebagai ganjaran selama saya berkhidmat di UiTM.

Anugerah ini bukannya untuk dibanggakan tetapi bak kata Dato' VC di dalam warkahnya, "...kejayaan tuan akan menjadi contoh dan teladan .... untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja selaras dengan matlamat UiTM.

Di sini saya berjanji untuk memberikan sepenuh komitmen dan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh serta lebih dedikasi demi anak bangsa di UiTM terutamanya.

Terima kasih UiTM. Terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong. Terima kasihSesungguhnya UiTM senantiasa di hatiku.