Kebanyakan penjengok mungkin pernah terdengar tentang lubuk ini. Ia terletak berhampiran kuala Sungai Tahan. Kerapkali juga kita mendengar berita tentang lubuk yang telah ataupun hampir meragut nyawa manusia.
Sesiapapun yang pernah ke Taman Negara Pahang tentu akan mencari peluang untuk merentas denai yang telah disediakan untuk ke lubuk ini bagi menyejukkan badan. Sekiranya anda memudiki Sungai Tahan dengan menaiki bot untuk ke Lata Berkoh, sudah tentu anda akan melalui lubuk ini juga. Lubok ini terletak kira-kira 600 meter atau 15 minit perjalanan sekiranya anda berjalan kaki dari tapak perkhemahan Mutiara Taman Negara Resort. Inilah di antara lokasi yang paling sesuai dan berdekatan dengan resort untuk aktiviti mandi manda. Itulah Lubuk Simpon.

Saya bersama seorang sahabat, Aldrich Richard, pernah menjalani latihan praktikal selama sebulan di Mutiara Taman Negara Resort. Kami telah dimaklumkan oleh staf di Bahagian Rekreasi tentang kejadian yang pernah meragut nyawa seorang pelajar ITM Seksyen 17 beberapa tahun sebelum kedatangan kami. Kami dimaklumkan pelajar yang menjadi mangsa tersebut sememangnya mahir berenang. Disebabkan kekejangan otot dan seterusnya panik menyebabkan beliau mengelepar dan seterusnya tenggelam. Rakan-rakannya hanya menyaksikan sahaja segala yang berlaku kerana menyangkakan rakan mereka yang menjadi mangsa itu sedang berlakon. Setelah menyedari tentang lakonan itu sebenarnya aksi sebenar, ianya sudah terlambat. Pelajar yang menjadi mangsa itu kelemasan. Pada ketika itu tidak ada seorangpun di kalangan rakan-rakan penuntut terbabit dan pegawai pengiring mereka yang mempunyai kebolehan untuk menyelamat mangsa yang kelemasan. Warga kerja resort yang dipanggil juga tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan CPR. Maka tamatlah riwayat pelajar terbabit. Namun selepas itu panjanglah lagi urusan yang perlu dilakukan oleh pihak universiti.
Pada 10 November 2006 pula satu negara kecoh apabila 2 orang pelajar Kolej Matrikulasi Pahang mati lemas di lubuk yang sama ketika mandi manda bersama 5 rakan mereka yang lain. Tapi insiden ini pasti akan terus berulang sekiranya tiada tindakan drastik yang dilakukan.
Bagaimanalah agaknya untuk mengelakkan perkara di atas daripada berulang?
Walaupun selepas kejadian tersebut masih banyak lagi tragedi yang sama saya jangkakan akan berulang di lokasi yang sama, namun masyarakat masih lagi tidak mengambil iktibar. Saya sendiri pernah mencuba untuk berenang tanpa bantuan
Personal Floatation Device (PFD) di lubuk tersebut. Sungai yang sememangnya saya cecah dasarnya, secara tiba-tiba gagal saya cecah lagi apabila saya makin ke tengah. Saya cuba memberatkan badan, membuang nafas dan cuba turun ke bawah. Wow, dalamnya memang tak cecah langsung dasarnya. Gelap gelita. Terus saya naik ke permukaan. Taubat tak nak buat lagi. Dalam sungguh lubuk ini.
Kenapalah sampai ke saat ini (kalau masih belum dilakukan) tak ada papan tanda larangan dan amaran untuk berenang. Kalau nak berenang juga, pakai PFD (tak hebat la). Catatkan di papan amaran itu tentang kedalaman lubuk tersebut. Baru orang gerun kot.

Saya masih teringatkan peribahasa yang Mahaguru Rekreasi Luar di Malaysia, Dr Wan Sabri Wan Mansor (pensyarah saya) pernah gunakan di dalam salah satu kuliah beliau yang saya hadiri (sememangnya saya tak pernah ponteng kuliah). Katanya,
Curiosity Killed the Cat. Sesungguhnya saya tidak mahu menjadi kucing yang dimaksudkan. Saya harap rakan-rakan penjengok pun begitu juga.