Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label abseiling. Show all posts
Showing posts with label abseiling. Show all posts

Monday, 7 September 2009

Mengatasi Acrophobia

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kesemua pelajar PLK FSR/PDRM dan e-PJJ yang hadir untuk sesi amali Abseiling telah selamat menjalankan dengan jayanya. Tak sangka la pula penangan aktiviti ini hingga menyebabkan mereka tidak lena tidur selama hampir seminggu.

Saya faham perasaan mereka. Semua insan yang normal akan merasainya. Gayat. Takut tinggi. Acrophobia yakni takut kepada tempat tinggi ataupun ketinggian.

Hanya orang yang mempunyai masalah mental sahaja [Nota: Maaf kalau terlalu kasar perumpamaan ini] yang langsung tiada perasaan. Iyalah... apabila dah berdiri di tebing yang tinggi dan hanya 'diikat' dan bergantung nyawa pada dua utas tali yang tidak diketahui sejarahnya... siapa tak takut.

Jelas terpancar di wajah mereka keresahan dan dapat disaksikan dengan jelas pelakuan dan perasaan yang tidak tenteram bermula dari mereka mula menaiki lif untuk ke Tingkat 11 sehinggalah sampai saat melangkah palang yang mengasingkan 'Abseiler' dengan 'Despatcher' dan penonton yang lain.

Pengalaman saya mengendalikan aktiviti abseiling ini boleh anda jenguk di sini dan juga di sini.

Sebenarnya saya ada beberapa tips untuk mengurangkan Acrophobia. Sengaja saya tidak war-warkan sebelum aktiviti bagi memberikan peluang kepada pelajar-pelajar ini merasai sendiri saat-saat 'indah' di tebing tinggi.

Di sini saya coretkan dua kaedah yang boleh diamalkan. Antara langkah-langkah mengatasi Acrophobia yang pertama adalah dengan menarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan. Ini kerana dengan menarik nafas sebegini, ianya dapat memperlahankan kadar denyutan jantung dan meningkatkan pengaliran oksigen ke otot-otot dan ianya mengelakkan ketegangan [Nota: Muka pun taklah nampak pucat sangat].

Seterusnya ada satu lagi kaedah. Tapi ianya kurang realistik la pulak. Senang sahaja elakkan sahaja aktiviti tersebut. Bagaimana caranya... ponteng sahaja amali di tempat tinggi. Kan senang. Cari alasan. Tak payah menghadap dan merasai suasana di tempat tinggi. Cari sahaja MC. Tapi sampai bila ya nak melarikan diri dari kenyataan.

Walau bagaimanapun, tak sah kalau saya tidak mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah mencuba dan selamat mencuba kepada mereka yang masih belum merasai detik 'indah' di tebing tinggi. Ingatlah sampai bila anda mahu mengelakkan diri dari mencuba sesuatu yang baru dalam hidup ini.

Nota: Terima kasih kepada Alumni, PERLU dan pelajar SR221 yang turut serta membantu. Jazakallahu khairan khatira.

Thursday, 11 September 2008

Selamat

Alhamdulillah... semua pelajar yang hadir berjaya menuruni cerun berhampiran kolam renang UiTM dengan selamat. Mereka pasang sendiri anchor tadi. Jadi tak sia-sialah kelas amali minggu lepas. Ramai juga ahli dan alumni yang turun membantu adik-adik mereka.

Lebih separuh daripada peserta telah mencuba gaya berlari turun atau running down ataupun nama lainnya Australian Style. Mereka semakin yakin dengan tali yang sebesar jari telunjuk itu. Laju sekali mereka berlari.

Tapi hati-hati ya, biar yakin tetapi jangan terlalu yakin. Peralatan tidak pernah buat silap tetapi manusia yang bertanggungjawab terhadap sebarang kecelakaan yang berlaku sekiranya ianya melibatkan peralatan. Kenapa agaknya? Sudah tentulah kerana manusia tidak pandai atau buat-buat tidak pandai menjaga peralatan. Mana mungkin peralatan akan bertahan lama jika sekiranya kita tidak menyelenggaranya dengan betul.

Oleh itu, sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas orang yang tersayang [rakan-rakan anda] yang diakibatkan kelalaian kita menjaga peralatan, maka sama-samalah menjaga peralatan rekreasi yang anda gunakan. Agar ianya boleh bertahan lama dan selamat digunakan oleh generasi FSR seterusnya.

Wednesday, 27 February 2008

Lain dari yang lain

Untuk semester ini saya mempunyai seramai 34 orang pelajar-pelajar Diploma Pengajian Sukan yang mendaftar untuk subjek Rekreasi Luar. Majoriti daripada mereka benar-benar komited ketika menghadiri kuliah dan amali subjek ini.

Beberapa hari yang lepas pelajar-pelajar ini telah menjalankan amali aktiviti abseiling. Nak dijadikan cerita, para fasilitator aktiviti tali yang sepatutnya datang membantu saya pada hari tersebut tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu menghadiri kuliah masing-masing.

Maka kenalah saya mempercayai pelajar-pelajar ini untuk memasang dan menjadi belayer untuk rakan-rakan mereka. Saya menunjukkan demonstrasi dan teknik-teknik yang betul untuk melaksanakan aktiviti ini. Mereka tekun mendengar dan memerhati kerana tahu selepas itu mereka akan diberikan amanah untuk menurunkan rakan-rakan mereka. Mereka juga tahu tentang peri pentingnya dititikberatkan keselamatan di dalam melaksanakan aktiviti yang berisiko ini. Ini untuk mengurangkan risiko kemalangan dan seterusnya mengelakkan kecelakaan.

Alhamdulillah berkat sokongan daripada beberapa orang fasilitator yang akhirnya datang membantu dan keazaman pelajar-pelajar yang berani mencuba untuk menurunkan rakan-rakan mereka, kesemua pelajar selamat menjalankan amali abseiling pada pagi tersebut.

Wednesday, 20 February 2008

Gayat La Pulak

Hanya orang yang kurang siuman saja yang tidak gayat bila dah berdiri di platform untuk menuruni Tingkat 11 Menara Sains dan Teknologi UiTM dengan menggunakan dua utas tali sebesar jari telunjuk.

Semalam pelajar-pelajar Pengurusan Rekreasi diberi peluang untuk menguji keyakinan diri mereka untuk aktiviti aras tinggi. Selain itu juga pelajar dapat menguji dan merasai sendiri kekuatan peralatan yang digunakan dan belajar untuk menyelenggara peralatan yang mahal harganya ini. Inilah antara tujuan aktiviti abseiling kepada pelajar-pelajar pengurusan rekreasi.

Sebelum aktiviti dimulakan saya memberikan penerangan tentang aktiviti dan peralatan yang akan digunakan. Saya memberi penekanan terhadap penyelenggaraan peralatan untuk aktiviti ini kerana ia melibatkan keselamatan nyawa peserta.

Pelajar-pelajar seterusnya diajar beberapa cara untuk mengikat anchor. Amali semalam telah dibantu oleh beberapa orang fasilitator daripada PERLU UiTM.

Kesemua pelajar berjaya menuruni ketinggian 33 meter dari tanah dengan tiga kaedah [kaedah abseil biasa (kaki di bawah), Spider (kepala di bawah) dan Australian style atau running down (badan menghadap tanah)]dengan menggunakan pelbagai peralatan keselamatan terkini seperti seat harness, tali kernmantle, carabiner/karabiner, huit figure 8 descender, sarung tangan kulit dan topi keselamatan.

Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku berkat doa sebelum aktiviti dijalankan. Semoga pelajar-pelajar ini dapat memanfaatkan dan mempraktikkan kaedah pengajaran serta tatacara pengendalian aktiviti abseiling.

Insyaallah, sekiranya prosidur keselamatan dipatuhi, aktiviti yang berisiko tinggi ini akan dapat memberi kepuasan diri kepada individu yang pada mulanya takut untuk turun.