Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 22 May 2009

Lambaian Kaabah 2 : Wabak SARS

Wabak SARS yang melanda seluruh dunia sekitar hujung tahun 2002 hingga pertengahan 2003 telah menyebabkan ramai orang tidak mahu melancong dan keluar negara.

Saya ke MATTA Fair 2003 yang berlangsung sekitar bulan Mac 2003. Saya mengajak Dadak [makcik] untuk menemani saya ke pameran tersebut. Sememangnya saya cukup jahil dengan pakej-pakej berkaitan umrah dan ziarah ini. Dadak yang telah beberapa kali ke Mekah menyatakan bahawa pakej yang ditawarkan kali ini sememangnya cukup murah berbanding dengan yang kebiasaannya. Dialah yang mencadangkan pakej yang sesuai.

Sudah tersurat rezeki saya untuk tahun itu. Lambaian kaabah seperti memanggil-manggil untuk saya dan isteri untuk ke Tanah Suci. Ketika orang lain takut untuk ke Tanah Suci kerana wabak SARS, saya dan Liza menggunakan peluang ini untuk ke sana.

Tuesday 19 May 2009

T.O.N.T.O atau T.O.M.B.O

T.O.N.T.O dan T.O.M.B.O

Andakah anda tahu apakah makna akronim di atas. Satunya T.O.N.T.O satu lagi T.O.M.B.O.

Sebenarnya akronim ini mempunyai banyak makna samada baik ataupun buruk. Yang buruknya maksud T.O.N.T.O ini adalah Tolong Orang Nak Tipu Orang. Kebiasaannya digunakan untuk menggelarkan kumpulan samseng yang sering memeras ugut dan menipu orang. Baiknya T.O.N.T.O ini pula adalah Tolong Orang Naikkan Taraf Orang. Jarang sangat akronim ini digunakan untuk menyatakan segolongan manusia yang saling tolong menolong untuk menaikkan taraf hidup rakan-rakan dalam kumpulannya.

Saya suka menggunakan akronim T.O.M.B.O untuk yang baik-baik sahaja. T.O.M.B.O yang saya maksudkan adalah Tolong Orang Mahu Bantu Orang. Saya suka tergolong dalam kumpulan manusia sebegini. Saya rasakan tentu penjengok-penjengok sekalian juga mahu bersama-sama menyertai golongan sebegini. Dapat pahala percuma.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja ... sentiasa berdoa agar Allah lembutkan hati kita supaya diringankan anggota untuk saling membantu sesama insan selagi terdaya. Benar! tidak semua orang diberikan kekuatan oleh Allah untuk saling bantu membantu. Kita jangan jadi Kiasu [mementingkan diri sendiri].

Walau setinggi manapun kita, pasti kita saling memerlukan. Kita masih memerlukan seorang pengutip sampah untuk mengutip sampah di dalam tong-tong sampah kita. Sudah pasti kita tak mampu untuk ke tempat pembuangan sampah hanya semata-mata untuk membuang 2-3 kilo sampah. Tak gitu?

Jadi sudah semestilah kita patut menyedari bahawa bantu membantu ini sememangnya baik sekiranya diamalkan. Jangan ada semangat cucuk mencucuk, berburuk sangka dan fitnah menfitnah di kalangan kita. Aman dunia.

Terima kasih kepada guru saya, Encik Sam Shor Nahar [walaupun beliau tidak mengajar saya secara formal semasa di UPM dulu] kerana telah menerapkan budaya T.O.M.B.O. ini ke dalam jiwa saya.

Nota: Sekadar ingin berkongsi dengan penjengok-penjengok sekalian [mungkin kurang menarik kot posting ini]. Tapi memang sudah lama saya simpan.

Bila La Buah Nak Gugur!

Beberapa minggu lepas telah berlangsung Sultan Ahmad Shah (SAS) Bera-Tioman International Eco-Challenge 2009 yang dilaksanakan di dua lokasi yang berbeza iaitu di Tasik Bera dan Pulau Tioman. Ramai di kalangan alumni PERLU UiTM yang telah diberi penghormatan oleh pihak penganjur untuk turut sama menerajui perlumbaan yang berkonsepkan Adventure Race ini. Mereka telah dilantik sebagai Pengarah Perlumbaan, Ketua Marshal dan marshal-marshal.

Sudah pastilah coretan pengalaman para Alumni sekalian yang terlibat dengan perlumbaan ini menarik untuk dikongsi dengan penjengok-penjengok sekalian. Saya sendiri masih ternanti-nanti dan teruja untuk membaca coretan yang amat berharga ini. Dengan adanya coretan sebegini maka para penjengok yang tidak mendapat peluang dek kerana tiadanya kelapangan masa untuk turut terlibat sama [mungkin kerana kekangan peperiksaan akhir, tugas hakiki dan sebagainya] dapat mengetahui suka duka para Alumni sekalian yang bertindak sebagai pendokong utama Adventure Race tersebut.

Jadi kongsilah pengalaman anda yang sememangnya tidak akan pernah basi itu. Pengalaman yang tidak boleh dijualbeli.

Setakat ini penjengok-penjengok cuma dapat menjengah ke blog Bisikan Dari Ujung Tanah dan sebelumnya di Rembang Waktu untuk mengetahui pengalaman di SAS Bera-Tioman International Eco-Challenge 2009. Tapi tak cukup. Ceritalah lagi MEGA... Itupun kalau nak berkongsi. Apapun takpalah...

Thursday 14 May 2009

Benang Bulu Kambing

Mana nak cari benang bulu kambing. Cikgu pun satu... esok nak guna baru bagi tau [alamak terkutuk cikgu pulak]. Sorry Cikgu. Saya pun kalau nak suruh pelajar-pelajar bawa tali untuk kelas simpulan dan ikatan bagi masa pencarian sampai seminggu.

Kamilia balik dari sekolah dengan senarai barang yang perlu dibawa untuk kelas Pendidikan Seni esoknya. Semua barang yang perlu dibawa ada di rumah kecuali benang bulu kambing. Alahai manalah nak dicari benang bulu kambing tu malam-malam ni.

Saya keluar ke kedai-kedai runcit di sekitar Seksyen 7, Kedai 2 Ringgit termasuklah sampai ke Kedai Buku. Semuanya mengecewakan. Maka terpaksalah saya pergi jauh sikit sampai ke Pasaraya Bintang. Alamak baru tutup la pulak [jam dah hampir pukul 10 malam].

Ternampak saya Kedai Aksesori Perkahwinan. Itupun dah nak tutup. Cuba-cubalah nasib bertanya. Rasa saya macam tak logik. Barang-barang untuk dibuat hantaran dan bunga-bunga plastik banyaklah. Saya tanyalah pekerja Indonesia di kedai tu tentang benang bulu kambing. Aduh, di sini rupanya tempat 'bersemadinya' benang-benang bulu kambing. Manalah saya tahu. Susah betullah kalau dah jahil tentang jahit menjahit kait mengait ni.

Wednesday 13 May 2009

Nak Tukar La Encik!

Saya dapat panggilan daripada seorang gadis dari Melaka. Khabarnya dia dah dapat panggilan untuk menjadi siswi UiTM untuk program Diploma Pengajian Sukan. Dia ditempatkan di Kampus Perlis.

Pemanggil merayu kepada saya untuk bertukar kampus. Dia pohon jasa baik saya untuk menukarkan dia ke Kampus Shah Alam. Alahai Cik Adik oii. Teruslah saya mula berceramah. Panjang lebar jugalah dia dengar leteran saya. Semuanya pasal syukur.

Dia sepatutnya bersyukur kerana dapat masuk UiTM. Belajar sajalah di mana tempat yang diletakkan. Sepatutnya dia bersyukur kerana tak termasuk ke dalam golongan yang terpaksa merantau ke Sarawak. Bersyukur berbanding ramai lagi yang di luar sana yang masih menunggu dan belum dapat peluang dan masih menunggu ruang.

Sebelum menamatkan perbualan saya bertanya kepada pemanggil, "Awak ni dah sujud syukur ke kerana dapat masuk UiTM?". Terus dia menjawab, "Belum lagi Encik!". Patut pun.

Jam Sebagai Hadiah

Beberapa hari lepas saya hadiahkan Kamilia seutas jam tangan berwarna merah jambu. Janji lama yang baru saya tunaikan.

Saya buat kejutan. Saya suruh Kamilia tidur awal dan seterusnya saya ke kedai jam dengan Kamil selepas solat Maghrib. Selepas pulang saya tinggalkan jam merah jambu tu di dalam kereta.

Keesokan paginya ketika hendak menghantar Kamilia ke sekolah saya tunjukkan hadiah yang ingin saya berikan. Apalagi, gembira sungguhlah Kamilia tu. Terus pakai ke sekolah. Setakat hari ini jam merah jambu tu masih lagi di dalam keadaan baik.

Teringat zaman sekolah rendah dulu. Saya teringin sangat memakai jam. Kawan-kawan semua pakai jam. Saya tanya abah tapi takada jawapan. Semasa darjah 2 barulah saya dapat hadiah jam yang diimpikan. Kata abah hadiah sebab cemerlang masa Peperiksaan Akhir Tahun Darjah 1. Abah beli jam analog jenama biasa-biasa sahaja. Saya teruja untuk menggayakannya ke sekolah.

Di sekolah saya tunjukkan jam baru pada kawan-kawan. Lain pula jadinya. Kawan-kawan mengujinya dengan besi berani. Saay seronok tengok jarum jam saya berputar ikut pusingan besi berani. Akhirnya jam tu rosak tak sampai 24 jam lepas abah hadiahkan. Saya balik dalam keadaan takut. Iyalah orang dah buat salah besar. Namun cerita jam rosak tak boleh bertahan lama. Bocor juga. Apalagi... terima sajalah penangannya. Tak reti jaga barang punya pasal.

Selepas kejadian tu saya tak pakai jam sehinggalah masuk ke universiti. Jam pertama yang saya beli sendiri adalah jam Casio G-Shock.

Monday 11 May 2009

Cadangan

Ada rakan-rakan yang mula mencadangkan agar saya mengkebumikan kolam ikan peliharaan yang terdapat di hadapan rumah saya tu. Kononnya kolam itulah penyebab utama yang menyebabkan Liza dan Kamilia dihinggap demam denggi. Jadi apa tunggu lagi. Kebumikan sajalah.

Setakat ini sememangnya saya tidak terfikir langsung untuk mengkebumikan kolam tu. Di situlah tempat kami anak beranak berehat, menenangkan fikiran sambil melihat ikan-ikan berenang di celah-celah batu di samping bunyi deruan air terjun yang memberikan terapi minda.

Kolam tersebut telah saya masukkan ubat anti jentik-jentik. Takkan ada jentik-jentik yang akan sempat menetas. Bahkan nyamuk yang cuba menetaskan telurnya pun akan terkorban.

Yang pasti... jentik-jentik ini boleh hidup di sekitar kawasan perumahan saya, di dalam gutter, di dalam longkang-longkang di depan dan di belakang rumah. Turut menjadi kawasan yang disyaki tempat pembiakan adalah di kawasan pembinaan perumahan berhampiran dan banyak tempat lain.

Cuma sudah tertulis Liza dan Kamilia terpilih untuk diuji dengan demam denggi di kawasan perumahan kami. Maka terima sahajalah. Takkanlah sampai nak dimusnahkan pula kolam yang baru dibina itu.

Tak sayang keluarga ka? Jangan salah sangka ya. Sudah semestilah saya lebih sayangkan keluarga mengatasi diri sendiri sekalipun. Namun sekiranya masih ada peluang janganlah samapai menggunakan akal singkat untuk memusnahkan kerana memusnahkan lebih mudah berbanding membina. I'm sorry.

Sihat

Alhamdulillah kedua ibu dan anak sudah dibenarkan keluar daripada DEMC oleh doktor bertugas. Kamilia keluar hari Sabtu manakala Liza semalam. Liza masih bercuti manakala Kamilia bersemangat ke sekolah setelah ketinggalan hampir seminggu.

Terima kasih kepada saudara mara dan rakan-rakan yang sudi melawat dan bertanya khabar. Terima juga di atas doa dan sokongan anda sekalian. Semoga Allah memberkati kehidupan anda semua.

Thursday 7 May 2009

Geram Betul Aku Dengan Nyamuk-Nyamuk Ni!

Balik dari hospital semalam saya singgah di kedai runcit. Beli penyembur nak kasi sembur semua nyamuk-nyamuk yang bermaharajalela di dalam dan luar rumah. Saya beli setin penyembur yang paling panjang sekali. Saya tanya tokey kedai, "Mana penyembur yang paling power". Terus dia tunjukkan sambil berkata, "Brand ini Bang".


Balik rumah teruslah saya sembur. Mula dengan kolam ikan. Walaupun dah diletakkan Abate kat dalam air tu, ada juga yang masih ada hati nak menyorokkan diri kat bawah-bawah kayu kawasan tapisan air tu. Habis mati saya sembur. Nasib baik ikan tak mati. Memang terseksa habislah nyamuk-nyamuk. Padan muka. Sapa suruh engkau gigit anak dan bini aku. Menyusahkan betul. Geram ooo.



Masuk dalam rumah terus saya cari tempat-tempat kot ada air yang bertakung. Semua saya kemaskan. Selesai semua terus ambil penyembur, kemudian apalagi habis satu rumah saya sembur. Atas, bawah, belakang, depan semua saya sembur.

Sampai kat tangga, ada la seekor nyamuk ni cari pasal. Sengaja 'dia' terbang depan saya. Nak cari nahas betul. Tanpa berlengah, terus saya sembur. Sembur dengan perasaan geram. Sembur punya sembur punya sembur, tak juga nyamuk tadi tewas. Siap boleh terbang dekat dengan saya lagi. Bila tergerak nak tampar saja terus dia terbang entah ke mana meninggalkan saya. Aduh, nyamuk tu nak tunjukkan yang penyembur dari jenama terkenal yang saya gunakan tadi tu tak cukup berkesan. Hampeh betul.

Harap-harap tak jadi la macam peribahasa dulu-dulu, Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Masih relevankah peribahasa sebegini di zaman ini. Sekarang ini apa ya peribahasa yang sesuai dipakai yang melibatkan NYAMUK?

Mampukah Kita Bila Diduga?

Saya suka menggunakan contoh ini untuk menggambarkan besar dan kecilnya dugaan seseorang. Kata saya kepada mereka yang mendengar, "Kita sering merungut apabila tak mampu membeli kasut baru seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada di antara rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kasut bahkan tidak juga mempunyai kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin dimilikinya".

Maka bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah berikan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan hamba-Nya. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ada orang lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. Allah hanya menguji setakat yang hambanya mampu sahaja.

Semasa di universiti dahulu saya pernah ceritakan kisah hidup saya pada seorang sahabat, bagaimana Allah 'tarik kenikmatan' mempunyai kedua ibubapa ketika saya masih memerlukan kasih sayang keduanya. Saya jangkakan itulah dugaan terhebat di dalam kehidupan saya. Namun saya lupa tentang dugaan orang lain. Terus kawan saya ceritakan kisah hidupnya sehingga membuatkan saya lebih bersyukur. Katanya dia masih mempunyai kedua ibu dan bapa namun dia tidak pernah merasa nikmatnya dapat mencium tangan keduanya. Ini kan pula memeluk keduanya sebelum ke sekolah dahulu sehinggalah ke zaman universitinya. Pernah sekali ibunya menghamburkan perkataan yang tidak ingin mana-mana anak sekalipun mendengarnya. Ibunya tidak mengaku bahawa dia ini sebagai darah dagingnya.

Saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman mencium tangan mak dan abah. Pernah memeluk dan mencium mereka sebelum ke sekolah. Paling penting arwah mak dan abah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang sahabat saya dapat dengari dari mulut ibunya sendiri. Saya bersyukur.

Nota: Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu yang membaca coretan saya pada kali ini. Semoga anda segala dosa-dosa anda diampunkan Allah S.W.T dan ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin.

Wednesday 6 May 2009

Sah

Kamilia sah demam denggi. Positif. Platelet darahnya kini turun ke 88 [Nota: Normal 150-400]. Liza masih lagi dalam pemerhatian dan akan sekali diambil darah petang ini di Darul Ehsan Medical Centre (DEMC). Bilik 423.

Doakan kesihatan keduanya. Terima kasih.

Sakit Anak Beranak

Kamil pula diserang sakit mata. Saya ingatkan itulah penutup untuk penyakit anak beranak yang kami alami semenjak beberapa minggu kebelakangan ini. Rupa-rupanya jangkaan saya meleset.

Liza mengadu sakit sendi dan tulang. Dia menangis. Saya fikirkan tangisan itu tangisan mengada. Sengaja dibuat untuk bermanja dengan saya. Namun sakitnya itu tak reda juga selepas memakan ubat yang doktor berikan. Awal jam 4 pagi Isnin lalu Liza ajak Kamilia temannya ke hospital. Dah tak tahan katanya. Tak boleh tidur. Badan, tulang-tulang dan sendi semuanya dah sakit. Doktor minta datang jam 8 pagi. Makmal untuk check darah belum dibuka.

Kamilia pula demam panas. Suhu badan beberapa kali mencecah sehingga 40 darjah celsius. Panas tu. Tapi Kamilia kuat. Masih nak ke sekolah. Saya bekalkan duit syiling untuk hubungi saya sekiranya masih demam di sekolah. Namun tiada panggilan saya terima dari Kamilia. Rupa-rupanya dia takut cikgu marah. Jadi ditahannya sakit dia tu.

Pagi tadi setelah diperiksa darah Kamilia dan mamanya, maka sahlah kedua-duanya disyaki mengidap demam denggi. Kedua-duanya ditahan di hospital. Kasihan melihat Kamilia menangis apabila jarum dimasukkan. 4 nurse digunakan untuk melawan kedherat Kamilia untuk mengelakkan jarum dicucukkan ke tubuhnya. Saya hanya mampu melihat Kamilia 'diikat'. Tak sangka pula dia takut yang teramat dengan jarum. Asal nak disuntik saja terus meraung. Kalaulah sakit boleh ditukar ganti, mahu saja saya gantikan tempat mereka. Tak sanggup saya melihat keduanya sakit.

Tuesday 5 May 2009

BBQ

Saya melalui Tasik Seksyen 7 ketika pulang dari kedai. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya di situ. Sekumpulan anak-anak muda sedang berkumpul. Mereka sedang memanggang sesuatu. Mungkin ayam kerana itulah kebiasaannya yang kita semua boleh jangka kalau orang memanggang sesuatu. Mungkin mereka sedang meraikan sempena tamatnya Peperiksaan Akhir atau tamatnya pengajian di universiti.

Terus minda saya saya terdetik. Kenapalah Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia tidak menyediakan kemudahan untuk memanggang ini di kawasan riadah seperti ini. Kawasan taman-taman tasik sebegini sememangnya menarik untuk dijadikan lokasi untuk berkumpul bersama teman-teman dan berBBQ. Kalau adapun setahu saya di Pusat Rekreasi Air Wetland, Putrajaya. Itu kena bayar la.

Saya rasa kalaulah kumpulan tadi memanggang di Taman Tasik S.A. yang besar tu, sudah tentulah mereka akan dihambat atau lari tak cukup tanah kerana dikejar atau dikompaun oleh penguatkuasa-penguatkuasa yang bertugas (saya faham itulah tugas penguatkuasa-penguatkuasa ini, kalau tak ditanya tentu mereka yang kena pula). Maka cara yang paling selamat untuk pengemar-pengemar panggang memanggang ini saya rasa adalah berBBQ di Tasik Seksyen 7. Jauhlah sikit dari ... Maaf kalau cadangan ini agak panas. Bukan apa kita perlu berubah. Inilah salah satu cara di mana pihak berwajib dapat sama-sama menyokong rakyat bersosial dengan cara yang sihat.

Ketika di Bendigo dulu, BBQ di kawasan-kawasan rekreasi sememangnya menjadi kemestian kepada masyarakat di sana. Bagi masyarakat Muslim sudah tentulah disamak dahulu mana yang patut. Pengguna tidak perlu membayar sesen pun untuk mendapatkan pemanas kuali. Gas percuma disediakan. Tekan sahaja butang, maka kuali akan menjadi panas. Apa yang diperlukan hanya disiplin. Selesai 'majlis', jangan lupa kemaskan semula. Sememangnya kawasan yang ditinggalkan akan bersih seperti sediakala dan kadangkala lebih bersih. Itulah disiplin yang telah diterapkan ke sanubari masyarakat di sini. Maka tak berlaku, saya datang tempat kotor dan kemudian tinggalkan tempat itu semula dalam keadaan lebih kotor. Tidak kedengaran juga kuali besi yang digunakan untuk berBBQ dicuri untuk dijual ke tokey-tokey besi buruk.


Kita harapkan suatu hari nanti akan bercambahlah lokasi-lokasi di taman-taman tasik dan hutan rekreasi di Malaysia yang akan dipenuhi dengan tempat-tempat untuk berBBQ. Bukannya apa, seronok juga sekali sekala dapat berkumpul sesama keluarga dan rakan-rakan sambil sama-sama bergotong royong memanggang dan makan. Anak-anak boleh bermain di taman permainan berhampiran sementara menunggu makanan dihidangkan. Tentu meriahkan. Bilalah agaknya ya. Cukai-cukai dah dibayar! Tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia telah dilaksanakan.