Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 20 August 2014

Sedekah Bukan Sekadar Dengan Harta Sahaja

Saya sekeluarga berkesempatan meladeni seorang bekas anak murid di UiTM dan keluarganya ketika beliau berkunjung ke Melbourne. Ketika menyelusuri laluan di sepanjang Swanston Street, saya dapat menyaksikan bagaimana beliau tak henti-henti memasukkan wang ke tabung-tabung si-pengemis dan gelandangan yang sememangnya menjadikan laluan di sepanjang Swanston Street dan Bourke Street yang sentiasa penuh dengan manusia sebagai 'port' untuk mereka 'mencari rezeki. Hebat sahabat ini, moga Allah swt rahmati dia dan keluarganya. 

Namun tak semua di antara kita faham akan konsep rezeki dan bersedekah. Sesungguhnya kita perlu tahu bahawa bukan semua rezeki yang dikurniakan Allah swt itu milik kita kesemuanya. Kita perlu berkongsi. Sedekah bukan hanya perlu dengan wang ringgit, dollar Amerika, emas, intan ataupun permata. Kalau dah tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk kewangan, boleh sedekah melalui sumbangan tenaga pada jalan Allah. Jika tidak mampu juga, cukuplah sekadar senyuman ketika menemui insan di sekeliling kita. Banyak lagi kaedah sedekah sebenarnya.

Teringat juga saya akan Kuliah Hadith yang disampaikan oleh Ustaz Azizee (mantan penghulu kami di Desa Bundoora, Melbourne) suatu ketika dahulu. Saya sering mencatatkan intisari hadith2 yang disampaikan beliau. Semoga Allah rahmati guru kami ini. 


Ustaz Azizee membincangkan tentang Hadis ke-26 dalam Arba'in an-Nawawiah hasil karya agung Imam al-Nawawi r.hm yang berkaitan dengan sedekah dan mendamaikan pertikaian dengan adil. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, engkau menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik di atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ayuh jangan bertangguh lagi. Jom bersedekah. Perbanyakkan sedekah, kurangkan memberi alasan
.

Monday 18 August 2014

Indahnya Ukhwah: Bertemu & Berpisah kerana Allah

1. Kami raikan kedua-dua imam lepasan Maahad Tahfiz Pahang di penghujung tugasan mereka sebagai imam sepanjang Ramadhan di Melbourne. 

2.Sengaja kami pilih kawasan bersalji kerana kedua mereka belum pernah bermain salji. Harapan kami agar aktiviti 'penutup' ini akan jadi momen yang tak akan mereka lupakan selagi hayat dikandung badan.



3. Terima kasih kepada saudara Wan Faizal sekeluarga kerana turut sama meluangkan masa meraikan dua imam ini di Lake Mountain.



4. Di pagi Aidilfitri, mereka dijemput untuk mengimamkan solat sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah di Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne. Majlis pada pagi tersebut turut dihadiri oleh Mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri serta hampir 800 orang rakyat Malaysia yang berada di bumi Melbourne.


 
 

5. Di Hari Raya Aidilfitri yang pertama juga kedua imam ini yang kami anggap seperti darah daging sendiri walaupun baru sebulan kami kenali dibawa menginap di teratak kami agar mereka tidak kesunyian beraya di perantauan. Sebelumnya mereka menginap dan bertugas selama sebulan di Dewan Malaysia Melbourne.

 
5. Mereka bertuah apabila turut berkongsi kemeriahan dan kegembiraan rumah terbuka sebahagian daripada rakan-rakan di Melbourne. Terima kasih rakan2 dan jiran2 kami...Muhammad Ashraf Rostam, Hafizah Dzulkifli, Mohd Kamarul Azlin, Ija Anuar, Wan Faizal & Roslinda Yop Othman yang sudi menerima kehadiran kedua tetamu istimewa ini ke rumah terbuka mereka. 

6. Semoga berjumpa lagi wahai saudaraku Ustaz Abrar Al Chenori & Ustaz Saufi Misran


7. Sama-sama kita doakan agar ukhuwah yang baru terbina ini sentiasa berada dalam redha dan rahmat Ilahi. InsyaAllah

Thursday 7 August 2014

Kisah Arya

Arya rakan sekelas Kaisara di Findon Primary School. Pada penggal persekolahan yang ketiga, Arya telah dilantik sebagai ketua kelas yang baru bersama Chloe.


Minggu lepas Arya ke kelas dengan jam di tangan. Jam tangan warna biru. Saya dapat saksikan gelagat Arya dari luar pagar sekolah. Pergelangan tangan sengaja diangkat ke atas. Ke sana ke mari dia tayangkan jam tangan barunya. Entah apa la yang dicakapkan dengan kawan-kawannya. Kesian, tak ada yang melayan sebab yang lain dok sibuk bermain bola di awal pagi sebelum loceng permulaan waktu persekolahan berbunyi.


Sampai ke kelas Kaisara, saya ketemu lagi dengan Arya. Kali ini Arya maklumkan yang dia pakai jam tangan baru. Jam tangan yang dipakainya itu cukup istimewa katanya. Hadiah dari ibunya sebab dia jadi ketua kelas. Saya  ucapkan tahniah. Dia seronok... senyum bangga sampai ke telinga.


Awal minggu ini, sementara menunggu waktu persekolahan tamat saya terdengar Niina (guru kelas) dok 'membebel' kat Arya. Niina bagi amaran pada Arya di hadapan bapa Arya. Jawatan ketua kelas yang disandangnya untuk penggal ini bakal dilucutkan kalau dia masih tak berubah sikap. Rupanya Arya sudah tumbuk seorang rakan sekelas da. Alasannya kerana budak tu terlalu bising ketika guru tak ada dalam kelas. Dia dah suruh rakannya senyap, tapi rakan tu masih degil. Akhirnya dia guna 'kuasa' terakhir yang dia ada. Ditumbuknya budak tu. Aduh... sudah guna kekerasan da!

Lencana ketua kelas yang baru Arya dapat dari Pengetua semasa perhimpunan mingguan terpaksa Niina simpan sebagai amaran bahawa Niina  serius dengan tindakannya itu. Kesian pulak tengok Arya. Sedih saja menunduk. Terima saja hukuman. Kecik-kecik lagi dah belajar sesuatu yang berguna. Ianya mungkin jadi pengalaman yang cukup berguna kepada Arya sepertimana saya juga pernah dilantik dan dilucut dan letak jawatan Ketua Kelas dan Pengawas ketika di bangku sekolah dahulu.

Saya juga punya coretan pengalaman ke sekolah dengan jam tangan baru dan dilucutkan jawatan. Ianya ada di sini dan coretan letak jawatan ada di sini.

Thursday 17 July 2014

Selawat yang dibawa khas dari Turkish Mosque Thomastown

Tahun ini merupakan Ramadhan yang keempat kami sambut di bumi Melbourne (termasuk setahun di Bendigo). Alhamdulillah...setinggi kesyukuran kehadrat Ilahi apabila diberi kesempatan oleh Allah Taala untuk menjadikan Masjid Turki Thomastown sebagai destinasi wajib saya hampir setiap malam di sepanjang Ramadhan ini. Saat yang tidak akan saya lupakan setiap kali berterawih di sini... insyaAllah... adalah apabila sampai ke bahagian berselawat. Gegaran selawat beramai-ramai setiap kali selepas selesai empat rakaat solat sunat terawih cukup menusuk hati hingga membuatkan diri ini semakin rindu akan kekasih Allah. Dengarkanlah bersama dan teruskan berselawat wahai teman. Moga-moga selawat yang kita laungkan itu akan didengar oleh baginda Rasulullah SAW. Insya-Allah...


Tuesday 24 June 2014

Salji turun mencurah-curah ketika dalam perjalanan dari Cradle Mountain ...

Subhanallah... kuasa Allah mengatasi segalanya. Jika Dia menghendaki sesuatu itu berlaku maka berlakulah dan tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitulah bukti kekuasaan Allah. Ini menjadi pengalaman terbaik sepanjang tahun 2013 dari kembara kami sekeluarga ke Cradle Mountain National Park.
 
Saksikanlah klip video ini. Salji turun mencurah-curah di pertengahan musim bunga. Bumi CMNP yang diawal kehadiran kami kehijauan bertukar wajah menjadi putih diselaputi salji tebal keesokannya. 
 




Musim Sejuk di Melbourne

Musim sejuk muncul lagi. Ada yang menanti, dan tak kurang juga yang kalau boleh mahu 'lari'. Kebiasaannya untuk orang kita yang biasa dengan cuaca panas akan sentiasa menantikan musim ini kerana inilah peluangnya untuk bermandi dan bermain salji. Bagi orang Oz pula, sesetengahnya akan gunakan cuti yang ada untuk lari dari kesejukan. Mereka akan samada ke Queensland, Bali, Phuket atau sekarangnya lokasi percutian yang cukup mereka gemari iaitu ke Vietnam. Semuanya berdasarkan pengamatan dua tahun saya sepanjang berada di sini. Itulah yang sering dilakukan oleh beberapa orang staf (termasuk penyelia thesis saya) dan rakan-rakan di uni apabila tibanya musim sejuk. Mereka bercuti panjang dan lepak di tepi pantai di bawahan pancaran matahari.

Bagi orang kita yang berada di Australia pula akan cuba merancang destinasi seterusnya untuk bermain salji. Almaklumlah di tanahair tak ada peluang sebegini. Jadi digunakan sepenuhnya peluang yang ada ini untuk membawa keluarga bermandi dan bermain salji.

Bercerita tentang kami sekeluarga...

Di tahun pertama (2012) kami di Melbourne, kami berkesempatan untuk ke Mount Buller. Pengalaman pertama untuk kami sekeluarga merasai sendiri kesejukan dan keseronokan bermain salji. Dari rumah, kami mengambil masa sekitar 3 jam untuk sampai ke Mansfield. Di sinilah lokasinya kami berhenti untuk menyewa snow chain dan toboggan. Kisah kembara di musim dingin kami saya coretan di Bermain Salji di Mt Buller: Bahagian 1 dan Bermain Salji di Mt Buller: Part 2.

Pada tahun lepas pula (2013), kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi apabila dikurniakan peluang sebanyak tiga kali untuk bertamu ke kawasan bersalji di Australia. Dua daripadanya di Victoria (Mount Hotham dan Mount Bawbaw) dan satu lagi di Tasmania (Mount Wellington dan Cradle Mountain).

Di penghujung musim luruh kami diberi kesempatan untuk ke Bright. Lokasi ini cukup indah dengan pepohonan yang mula berubah warna dedaunnya apabila tiba musim luruh. Ramai orang akan berkunjung ke sini di musim luruh dek keindahan Bright di musim luruh. Saya juga punya sedikit coretan di musim luruh hasil dari kembara kami ke Mount Macedon dan Bright.

Dari Bright kami teruskan pendakian ke Mount Hotham. Salji mencair akibat hujan yang turun beberapa hari sebelumnya. Situasi yang cukup menyedihkan kami. Tiada rezeki untuk melihat salji di Mount Hotham. Dek kerana sudah menempah dan membayar penginapan di puncak gunung, kami teruskan bermalam juga di sana tanpa peluang bermain salji.

Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Keesokan paginya, salji turun dengan lebat tanpa henti. Subhanallah rezeki Allah untuk kami. Melihat sendiri kebesaranNya... Allahuakbar. Anak-anak seronok. Mereka gembira. Pakaian mereka ditukar untuk mengelongsor tebing bukit bersalji bersama toboggan yang telah sedia dibawa di bonet kereta. Namun kami tak dapat bertahan lama. Angin yang cukup kencang menyebabkan sejuk yang yang melampau. Hanya 45 minit kami mampu bertahan. Kemudian kembali ke kereta. Namun anak-anak puas. Saya juga ada mencoretkan pengalaman kami di Mount Hotham.

Bersama-sama rakan di Desa Bundoora kami ke Mount BawBaw. Boleh tahan jugak jauhnya. Kami melalui jalan pintas kononnya, off-road gitu. Jenuh jugak Camry Hijau kena lanyak apabila melalui laluan berbatu kerikil untuk sampai ke puncak BawBaw. Coretan ke BawBaw lambat saya postkan ke blog dek kesibukan. Namun saya gagahkan juga untuk mengisi jurnal kembara kami ke lokasi bersalji di Australia. Sedikit coretan dari kembara ke Mount BawBaw.

Alhamdulillah... di tahun 2013 juga kami dikurniakan kesempatan masa untuk ke Tasmania. Pengalaman di Tasmania memang sukar untuk dilupakan. Keajaiban alam di sebalik kuasa Allah... Rezeki kami apabila dipertemukan dengan salji di penghujung musim bunga. Sepatutnya musim panas bakal menjelma maka mustahillah salji ada lagi. Ketika persiapan untuk terbang ke Tasmania, langsung kami tak bawa pakaian musim dingin. Namun lain pula ceritanya. Apabila bangun pagi di hari kedua di Cradle Mountain, kami dikejutkan dengan salji yang penuh menyelaputi kenderaan, kabin yang kami inap dan hampir keseluruhan kawasan di Cradle Mountain. Subhanallah... hanya itu yang mampu diucapkan. Hati girang. Saya terus keluar tanpa memikirkan pakaian sejuk yang tak disarung bersama ke tubuh. Allahuakbar begitulah besarnya kuasa Allah. Salji turun bukan di musimnya. Untung kepada hamba-Nya yang mahu berfikir akan kebesaran-Nya. Coretan kembara kami ke Cradle Mountain dan Mount Wellington turut saya kongsikan. Bukti salji yang mencurah-curah turut saya kongsikan.

Begitulah sedikit sebanyak jurnal kembara kami sekeluarga ke kawasan bersalji di bumi Australia.  Ke mana destinasi musim sejuk kami untuk tahun 2014 masih lagi belum dimuktamadkan. Mungkin juga ini tahun terakhir kami sekeluarga bermain salji di Australia. Hanya Allah yang lebih mengetahui mana yang terbaik untuk hambaNya ini.

Walau bagaimanapun keutamaan musim dingin tahun ini adalah untuk menyambut Ramadhan al-Mubarak terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan lokasi seterusnya. Misi utama ke Australia juga perlu disempurnakan. Namun dalam fikiran sudah terbayangkan Falls Creek, Mount Beauty, Lake Mountain, Mount Buller, Hotham dan Mount BawBaw.


Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.


Tuesday 8 April 2014

Membeli Cenderahati di Queen Victoria Market

Kunjungan ke kotaraya Melbourne tidak akan lengkap jika sekiranya anda tidak berkunjung ke Queen Victoria Market (QVM). QVM yang lebih mahsyur dengan nama Victoria Market terletak di persimpangan di antara Victoria Street dan Elizabeth Street. 


Di sinilah lokasi yang terbaik untuk anda mendapatkan segala macam cenderahati untuk dibawa pulang dan dihadiahkan kepada sanak saudara dan teman-teman yang menanti di tanahair. Harganya pula amatlah berpatutan dan ditambah pula lagi dengan peluang untuk tawar menawar di antara pembeli dan peniaga. Memang berbaloi-baloi sekiranya dibandingkan dengan harga di kedai-kedai cenderahati di sepanjang Swanston Street atau di tempat lain yang lebih mahal.  

Selain dari lokasi untuk mendapatkan cenderahati atau ole ole khas dari Australia atau lebih tepat lagi Melbourne, di sini juga seperti pasar-pasar kita di tanahair ada pasar basah yang menjual daging, ayam, ikan, hasil-hasil kebun, sayur-sayuran, buah-buahan dll). Macam-macam ada… Bawa fulus saja.

Supaya anda tidak berkunjung di hari ianya ditutup atau di luar waktu urusniaga, anda boleh merujuk laman sesawang QVM dahulu sebelum berkunjung. Kalau tak buang masa saja. Untuk maklumat lanjut bolehlah berkunjung ke laman sesawang QVM seperti di sini.  



Seperti yang pernah saya katakan dalam coretan terdahulu, anda tidak akan sesat di Australia, insyaAllah kerana maklumat dari Pusat Maklumat(Info Centre) mereka sangat efisien. Coretannya di sini. Sesampai di Melboune International Airport dah ada Info Centre, dapatkan brosur tempat-tempat menarik di Melbourne. Di pusat bandar (Melbourne CBD) pun anda akan dibantu dengan kewujudan Info Centre yang bersepah di lokasi utama. Kalau anda masih lagi belum merancang ke mana hala tuju (sepatutnya dah rancang sebelum berangkat) boleh juga merujuk kepada mereka, pasti mereka boleh membantu merancang percutian anda. Percuma. Perancangan boleh dibuat mengikut kemampuan masa, tenaga dan fulus yang dibawa.

Kembali kita ke Victoria Market. Sebenarnya di QVM nie banyak seksyen dan entri. Pastikan anda tahu ‘pintu’ yang anda masuk agar tak hilang arah nanti apabila nak pulang. Ini pernah dan banyak kali berlaku kepada pelancong yang tak biasa dengan QVM. Dek kerana asyik membeli belah dan menawar harga hingga lupa arah untuk pulang ke ‘pangkal jalan’. Haru dibuatnya.



Kebiasaannya barangan yang boleh dibeli di sini dengan harga murah dan dibuat cenderahati adalah seperti patung kanggaru dan koala, T-shirt, jaket kulit, fridge magnet, keychain, alat muzik dipanggil didgeridoo dan hasil kerja tangan orang Asli termasuk boomerang dan macam-macam lagi. Pokok pangkalnya kalau nak murah… survei dulu dua tiga stall. Pasti anda akan dapat kesan, barang yang sama tapi harganya berbeza-beza. Jangan menyesal tak sudah dek kerana tersalah percaturan membeli di kedai yang mahal. Memang itu kerja sebahagian daripada peniaga. Ada yang seringkali mengambil kesempatan apabila melihat kita sebagai ‘orang luar’ dan meletakkan harga yang terlalu tinggi. Jadi jangan jadi mangsa. Jadi pembeli yang bijak. OK selamat membeli belah…







Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.






Monday 17 February 2014

Menangkap Ketam di Lakes Entrance

Cuti persekolahan hujung tahun lepas kami isi dengan membawa anak-anak ke Lakes Entrance bersama keluarga Wan dan Jaronie. Perancangan yang dibuat di saat-saat akhir ini menyebabkan kami tidak berjaya mendapatkan penginapan untuk bermalam di Lakes Entrance dan terpaksa balik hari. Semua hotel, motel, caravan park, apartment telah penuh kerana cuti perayaan Krismas.

Untuk pengetahuan penjengok sekalian, Lakes Entrance terletak kira-kira 340km daripada Melbourne dan mengambil masa pemanduan sekitar 4 jam. Dek kerana perjalanan yang agak panjang kami bertolak awal sebaik usai solat Subuh.

Kami tiba ketika matahari terik di atas kepala. Jeti yang terletak di belakang Pusat Penyelidikan RMIT Uni telah penuh dengan manusia. Mereka ini telah mula berada di situ semenjak awal pagi lagi. Banyak juga hasil tangkapan mereka.


Kami tak menunggu lama, sangkar yang baru Wan beli di Kmart (berharga $12) dikeluarkan. Selepas diikat umpan rangka ayam di dalam sangkar, kami campak sangkar ke air. Aduhai tali tak cukup panjang da. Tak cukup persediaan betui. Macam-macam yang takdak. Tapi 'perangkap' kami mengena, seekor anak ketam termakan umpan. Penambah semangat tu untuk cuba lagi. Kami perlukan tali yang lebih panjang. Saya tebalkan muka minta dengan 'jiran sebelah'. Memang jenis yang tak berkira, orang cina dari Taiwan tu siap potong... panjang lagi tu. Alhamdulillah...

Supaya tak terjadi seperti kami, di sini saya turunkan sedikit persediaan dari segi peralatan tambahan yang perlu dibawa kalau ada yang berminat nak ke Lakes Entrance untuk menangkap ketam. Antaranya tali rafia (untuk ikat umpan), tali nylon (untuk sambungkan tali bagi panjangkan lagi tali sangkaryang sedia ada), pisau/gunting/lighter (untuk potong tali), cooler box/baldi/'toyogo' box (untuk simpan hasil tangkapan) dan kain buruk/sarung tangan. Kalau nak turun menangkap ketam di waktu malam, bolehlah bawa lampu suluh sekali.

Selain daripada itu juga jangan lupa untuk membeli fishing licence. Ini sangat-sangat penting! Ianya boleh dibuat secara atas talian ataupun di outlet-outlet yang tersenarai. Jangan dibuat pasai tak beli ya... silap haribulan mau kena saman kalau ada penguatkuasa yang datang buat pemeriksaan. Kami sendiri pun hampir terkena. Nasib baiklah belum rancak lagi dapat ketam tuptup ada polis la pulak datang buat pemeriksaan lesen. Ada juga yang kena tangkap sebab tak berlesen, tapi sampai kat kami polis tadi cuma check orang sebelah sahaja dan seterusnya berpatah balik dan kembali ke patrol car bersama seorang 'penangkap ketam' yang tak berlesen. Fuh! selamaaat kami....

Alhamdulillah... dalam rembang matahari yang terik pun dapatlah juga kami merasa ketam-ketam yang ditangkap sendiri, segar dan sedap. Dapat jugaklah ketam yang besar-besar. Anak-anak ketam kami campak semula ke air. Yang besar-besarnya terus dibuat masak goreng dengan cili di tepi jeti. Berkelah tu....
Kebetulan pula kali ni musim kupang, makanya menu makan tengahari kami ditambah dengan kupang segar dimasak cili. Besar-besar kupangnya. Perghhhh sodap... Selain tu Liza bawa juga sate dan dibakar panas-panas. Lagi la terangkat makan tengahari kami.

Pesanan saya dari pengalaman lepas... kalau ada yang nak ke Lakes Entrance, adalah lebih baik bermalam di sana. Baru puas. Kalau macam kami memang agak kalut sebab dalam keletihan dah nak memandu lagi 4 jam lebih untuk balik ke Melbourne. Memang meletihkan,  Kalau bermalam dapatlah peluang menangkap ketam  lagi di waktu lepas Maghrib dan selepas Subuh. Kalau menangkap di dua waktu nie katanya lebih banyak hasilnya.

Walau apapun kepada yang berminat bolehlah ke Lakes Entrance untuk mencuba nasib. Yang pastinya pengalaman menangkap ketam di Lakes Entrance memang menyeronokkan. Kami cuba merancang untuk ke sana lagi.

Thursday 30 January 2014

Pencari Rezeki di Kotaraya Melbourne


Setiap orang ada 'lubang' rezekinya masing-masing yang Allah berikan. Seseorang itu insyaAllah tidak akan susah sekiranya dia berusaha. Sebab itu munculnya perumpamaan "sedangkan ulat di dalam batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia" sebagai perbandingan kepada kita manusia agar tidak sesekali mudah berputus asa dan jangan malas pula untuk berusaha. Maksudnya orang yang rajin berusaha insyaAllah tidak akan mati kelaparan tetapi bukannya bermaksud kita hanya duduk atas  batu atau berpeluk tubuh sahaja tanpa berbuat apa-apa. Menunggu rezeki datang bergolek bukanlah caranya.




Berkesinambungan dari perumpamaan di atas terdapat satu lagi peribahasa yang saya masih ingat iaitu "di mana ada kemahuan di situ ada jalan" yang bermaksud jika seseorang itu mempunyai keinginan atau iltizam yang kuat dia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh sehinggalah mencapai kejayaan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang. Berpeluk tubuh juga bukanlah caranya.




Coretan saya kali ini dimulakan dengan perumpamaan dan peribahasa di atas kerana ia berdasarkan kepada pemerhatian saya selama hampir dua tahun sepanjang berkunjung ke bandaraya Melbourne di hujung minggu. Ramai sekali penghibur-penghibur jalanan yang membuat persembahan di sepanjang beberapa jalan utama seperti di Swanston St. dan Bourke St., termasuklah juga persembahan jalanan di hadapan Federation Square  dan juga di laluan pejalan kaki di sepanjang Sg Yarra.

Penghibur-penghibur jalanan ini menggunakan kreativiti yang mereka miliki untuk dipertontonkan kepada umum yang lalu lalang. Ada yang bermain alat muzik a.k.a 'busking' sambil menyanyi, kemahiran menari, ada yang mempertontonkan kemahiran melukis ( menggunakan warna air, crayon, cat minyak, spray dsb), ada pula yang membuat aksi stunt dan akrobatik merbahaya, ada pula yang hanya menjadi 'patung cendana' dan tak kurang juga ada yang memakai pakaian ala badut dan membuat segala macam bentuk dari belon-belon Kalau diamati sebenarnya terdapat bermacam-macam lagi aksi yang mencuit hati pengunjung yang lalu lalang.  



Kebiasaannya persembahan dari pelagak ngeri dan aksi akrobatik akan mendapat tempat di hati orang yang lalu lalang. Semakin merbahaya aksi yang dipertontonkan maka lagi makin ramailah orang yang akan berhenti untuk menonton dan berkerumun. Tambahan lagi kalau penghibur jalanan tersebut pandai pulak mencuit hati penonton dengan lawak-lawak bersahajanya, maka makin ramailah penonton yang berkerumun di sekelilingnya. Adakalanya penonton juga dilibatkan dengan persembahan mereka bagi menambahkan lagi kegamatan suasana.





Kalau diikutkan, mereka ini adalah orang yang hebat-hebat. Iya lah... bukan senang untuk menarik perhatian orang yang lalu lalang yang punya agenda hujung minggu tersendiri untuk berhenti, mendengar celoteh dan seterusnya menonton persembahan penghibur jalanan ini hingga tamat. Penghibur jalanan ini perlu ada aura tersendiri baru orang tertarik untuk menonton. Kalau tak, alamatnya buat persembahan syok sendiri sahaja la tanpa ada sesiapa pun yang menonton. Kalau penuh penonton di sekeliling makanya akan penuhlah kantung di saat persembahan tamat, kalau tak alamatnya kosonglah kantung.

Seperti pengunjung yang lain-lain, saya juga cukup tertarik untuk berhenti dan duduk untuk menyaksikan penghibur-penghibur jalanan terutamanya persembahan jalanan yang membuat aksi stunt dan akrobatik. Tambah lagi kalau penghibur yang pandai menyelitkan unsur-unsur humor dalam persembahan mereka. Setiap kali kalau ke bandar, penghibur sebeginilah yang akan saya cari dulu. Boleh kasi hilang stress da!

Seingat saya ada tiga persembahan yang saya sekeluarga saksikan yang mana penghiburnya melibatkan penonton dari kalangan kanak-kanak untuk membantu dalam menceriakan persembahan mereka. Kanak-kanak kecil dari kalangan penonton yang turut  membantu menjayakan persembahan ini kemudiannya 'dibayar upah' sebagai hadiah kerana membantu 'pakcik penghibur' membuat persembahan. Sifat pemurah penghibur sebegini yang tak makan seorang selalunya membuatkan penonton cair. 





Penonton yang kebiasaannya berpuashati dengan persembahan jalanan hingga 'memecahkan peluh jantan' sang penghibur dan melihat sendiri sifat pemurah sang penghibur tadi akan tanpa berfikir panjang menyeluk poket dan mengeluarkan wang untuk dihulurkan ke kantung sang penghibur. Selain wang itu sebagai imbuhan atas persembahan yang dipertontonkan, ianya juga merupakan cara orang ramai menghargai dan memberi semangat kepada sang penghibur agar terus berkarya dan 'tidak serik' untuk menghiburkan umum yang lalu lalang.




Monday 20 January 2014

Kembara Tasmania: Cradle Mountain Kami Datang!

Berat sungguh kaki ini untuk melangkah meninggalkan Cradle Mountain di hari kedua tanpa sempat menyaksikan keindahannya. Namun kalau sudah begitulah perancangan dari-Nya, kami terima dengan redha.Tentu ada hikmahnya...

Coretan hari kedua ada di sini.

Walaupun jasad kami berada nun jauh di Hobart di hari ketiga dan Hastings Caves di hari keempat, namun 'panggilan Cradle Mountain' tetap kuat di sanubari. Cradle Mountain seolah-olah melambai-lambai memanggil kami sekeluarga untuk datang menyaksikan sendiri keindahannya.

Saya tidak mahu menunggu lebih lama. Saya pun tidak tahu bilakah kaki ini akan kembali ke bumi Tasmania. Peluang yang terhidang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Saya bertekad untuk ke Cradle Mountain sebelum kami berangkat pulang ke Melbourne.

Saya kembali merujuk kepada ramalan keadaan cuaca di Cradle Mountain. Mendung pula katanya dan kemungkinan hujan sekejap-sekejap bakal berlaku di samping angin yang agak kencang. Aduhai... ada peluangkah untuk kami sekeluarga untuk trekking dan melihat sendiri ciptaan Illahi ini dengan lebih dekat pada kunjungan kedua ini.

Saya bertekad di awal pagi di Hobart. Kami perlu bangun awal dan terus bertolak ke Cradle Mountain. Saya tidak kisah lagi dengan perjalanan selama empat jam yang bakal ditempuhi untuk sampai ke sana. Saya tak kisah juga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti yang dilaporkan. Ketika di dalam perjalanan saya membuat panggilan ke pejabat Cradle Mountain National Park (CMNP). Berita gembira yang diterima mengatakan semua laluan dan denai di CMNP dibuka untuk pengunjung. Itulah berita gembira yang cukup bermakna dan memberikan motivasi dan menghilangkan kepenatan pemanduan yang perlu ditempuhi. Alhamdulillah...

Kami tiba di CMNP betul-betul ketika waktu Zohor. Selepas solat dan makan tengahari kami menaiki shuttle bus yang disediakan pihak taman kepada pengunjung. Bas ini membawa kami hinggalah ke Dove Lakes. Subhanallah.... itulah ucapan yang terbit dari bibir sebaik turun dari bas dan melihat sendiri keindahan Dove Lakes yang berlatarbelakangkan Cradle Mountain. Syukur kehadrat Illahi kerana impian dari tahun 2007 untuk menjejakkan kaki ke sini akhirnya tercapai jua walaupun di awalnya terdapat halangan hampir-hampir membantutkan impian enam tahun lepas. Alhamdulillah...

Cradle Mountain dan Dove Lakes memang tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua saling memerlukan dan saling melengkapi untuk menambahkan lagi keindahan dan nilai estetika. Minda menjadi tenang tak kala menyaksikannya. Kagum dengan keindahan alam ciptaan Allah ini.

Kami sepakat untuk mengelilingi Dove Lakes. Kami ingin menyaksikan sendiri Cradle Mountain dengan lebih dekat lagi. Kalau diikutkan pihak taman, dua jam diperlukan untuk mengelilingi tasik ini. Oleh kerana Kaisara turut nak berjalan... kami mengambil masa sehingga lebih 3 jam untuk menyempurnakan satu pusingan Dove Lakes. Di pertengahan jelajah kami, salji dan hujan mula turun, Anak-anak mula kedinginan. Dengan pakaian yang tidak lengkap, pastinya ia agak tidak selesa. Syukur anak-anak tidak meragam. Sarung kaki ekstra yang memang kami bawa menjadi ganti buat sarung tangan yang tidak dibawa. Kamilia dan Kamil cukup kuat untuk menghabiskan satu pusingan Dove Lakes tanpa merungut. Kaisara terpaksa saya kendong di akhir sepertiga pusingan. Kalau nak tunggu Kaisara berjalan sendiri hingga menamatkan pusingan... mahu sampai ke malam la jawabnya kami di lokasi penamat pusingan Dove Lakes.

Alhamdulillah kami sekeluarga selamat sampai lokasi permulaan dan kembali ke pejabat taman CMNP. Seterusnya saya perlu memandu lebih kurang 2 jam 30 minit lagi untuk ke lokasi penginapan kami di Hadspen sebelum berangkat pulang ke Melbourne keesokan harinya.