Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label rakan. Show all posts
Showing posts with label rakan. Show all posts

Wednesday, 20 August 2014

Sedekah Bukan Sekadar Dengan Harta Sahaja

Saya sekeluarga berkesempatan meladeni seorang bekas anak murid di UiTM dan keluarganya ketika beliau berkunjung ke Melbourne. Ketika menyelusuri laluan di sepanjang Swanston Street, saya dapat menyaksikan bagaimana beliau tak henti-henti memasukkan wang ke tabung-tabung si-pengemis dan gelandangan yang sememangnya menjadikan laluan di sepanjang Swanston Street dan Bourke Street yang sentiasa penuh dengan manusia sebagai 'port' untuk mereka 'mencari rezeki. Hebat sahabat ini, moga Allah swt rahmati dia dan keluarganya. 

Namun tak semua di antara kita faham akan konsep rezeki dan bersedekah. Sesungguhnya kita perlu tahu bahawa bukan semua rezeki yang dikurniakan Allah swt itu milik kita kesemuanya. Kita perlu berkongsi. Sedekah bukan hanya perlu dengan wang ringgit, dollar Amerika, emas, intan ataupun permata. Kalau dah tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk kewangan, boleh sedekah melalui sumbangan tenaga pada jalan Allah. Jika tidak mampu juga, cukuplah sekadar senyuman ketika menemui insan di sekeliling kita. Banyak lagi kaedah sedekah sebenarnya.

Teringat juga saya akan Kuliah Hadith yang disampaikan oleh Ustaz Azizee (mantan penghulu kami di Desa Bundoora, Melbourne) suatu ketika dahulu. Saya sering mencatatkan intisari hadith2 yang disampaikan beliau. Semoga Allah rahmati guru kami ini. 


Ustaz Azizee membincangkan tentang Hadis ke-26 dalam Arba'in an-Nawawiah hasil karya agung Imam al-Nawawi r.hm yang berkaitan dengan sedekah dan mendamaikan pertikaian dengan adil. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, engkau menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik di atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ayuh jangan bertangguh lagi. Jom bersedekah. Perbanyakkan sedekah, kurangkan memberi alasan
.

Tuesday, 24 August 2010

Mampukah Kita Bila Diduga?

Saya suka menggunakan contoh ini untuk menggambarkan besar dan kecilnya dugaan seseorang. Kata saya kepada mereka yang mendengar, "Kita sering merungut apabila tak mampu membeli kasut baru seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada di antara rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kasut bahkan tidak juga mempunyai kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin dimilikinya".

Maka bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah subhanahuwata'ala berikan kepada kita. Itu tandanya Allah swt masih sayangkan hamba-Nya. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ada orang lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. Allah hanya menguji setakat yang hambaNYA mampu sahaja.

Saya ceritakan kepada seorang sahabat, bagaimana Allah swt 'tarik' kedua ibubapa saya ketika saya masih memerlukan kasih sayang keduanya. Saya jangkakan itulah dugaan terhebat di dalam kehidupan saya. Namun saya lupa tentang dugaan orang lain. Terus kawan saya ceritakan kisah hidupnya sehingga membuatkan saya lebih bersyukur. Katanya dia masih mempunyai kedua ibu dan bapa namun dia tidak pernah merasa nikmatnya dapat mencium tangan keduanya. Ini kan pula memeluk keduanya sebelum ke sekolah dahulu sehinggalah ke zaman universitinya. Pernah beberapa kal ibunya menghamburkan perkataan yang tidak ingin mana-mana anak sekalipun mendengarnya. Ibunya tidak mengaku bahawa dia ini sebagai darah dagingnya. Aduh... anak mana yang tak sedih apabila mendengar perkataan yang tak mahu didengarnya itu. Saya hanya mampu menyuruh dia bersabar dan memohon doa dari Illahi agar dilembutkan hati kedua ibubapanya.

Saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman mencium tangan mak dan abah. Pernah memeluk dan mencium mereka sebelum ke sekolah. Paling penting arwah mak dan abah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang sahabat saya dapat dengari dari mulut ibunya sendiri. Saya bersyukur.

Nota: Selamat Hari Wanita kepada semua ibu-ibu yang membaca coretan saya pada kali ini. Semoga dosa-dosa anda diampunkan Allah swt dan ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin.

Thursday, 12 August 2010

Jasa Kwame

Prof Madya Dr Kwame Ampofo-Boateng telah berkhidmat di UiTM lebih daripada 13 tahun. Sebelum di FSR beliau pernah menaburkan baktinya di ITM Seksyen 17. Walaupun bukan Bumiputera dan bukan juga warganegara, namun Kwame tetap komited untuk berkongsi ilmu yang beliau ada bersama-sama pelajar di FSR.

Tanggal 1 September 2010 akan menjadi saksi kepulangan Kwame ke negaranya setelah lama merantau. Langkah kaki beliau yang seterusnya adalah ke University of Calgary. Untuk apa??? Rahsia...

Fakulti akan kehilangan seorang staf yang komited dengan kerja dan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya.

Ketika menyampaikan ucapan terakhirnya di majlis perpisahan yang dianjurkan fakulti tempohari, Kwame cuba menyembunyi kesedihannya. Namun perasaan sebak yang terkeluar daripada bait-bait perkataannya sudah jelas menunjukkan bahawa dia sedang bersedih. Sedih untuk meninggalkan Malaysia yang telah dia anggap sebagai negara keduannya. Kalau tidak, sudah pastilah dia tidak mungkin akan dapat menetap di sini terlalu lama. Kwame juga bersedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan yang sebegitu ramai yang akan ditinggalkannya di bumi Malaysia. Di dalam ucapannya beliau sempat menyebut beberapa perkataan yang disusun menjadi ayat di akhir ucapannya.

Saya mempunyai banyak kenangan bersama Kwame bermula dari proses ditemuduga kerja oleh beliau untuk kemasukan 2000 hinggalah detik-detik terakhir untuk menyiapkan artikel di dalam jurnal fakulti untuk tahun 2010. Tentu ramai alumni-alumni di luar sana yang mempunyai pengalaman mereka ketika di alam kampus bersama Dr Kwame.

Semoga Kwame terus maju jaya.




Friday, 2 July 2010

Tak Disangka...

... cempedak dah jadi nangka. Ajaib kan. Ini bukan cobaan tapi benar-benar kejadian.

Beberapa bulan yang lalu ketika saya sedang minum bersama-sama rakan-rakan seperjuangan di sebuah warung, saya telah disapa oleh seorang mamat. Beliau bertanya samada saya masih mengenalinya. "Alahai beb, maafkan saya ingatan kurang jelaslah. Tuan siapa? Di mana kita pernah jumpa ya, soal saya kepada mamat tadi. Selepas dia memperkenalkan diri barulah saya kembali menyoroti kenangan semasa zaman belajar di universiti dahulu. Dia junior saya di universiti. Junior yang memang junior. Junior yang tak reti nak tegur senior. Jadi kurang perasan dek saya kerana dia kurang bergaul dengan senior.

Tanpa diminta mamat tadi memperkenalkan saya dengan wanita yang berada di sisinya. Katanya itu isterinya. Baru lima bulan mengandung [saya tak tanya pun]. Nun jauh di hujung warung tu ditunjukkan pula ibu dan bapa mertuanya. Saya tunduk dan mengangkat tangan tanda hormat kepada kedua mereka yang sedang memerhatikan perbualan kami.

Tak banyak yang dapat kami bualkan. Iyalah.. dia pun nak cepat. Cuma khabarnya kawan ni dah menetap di sekitar kawasan Selangor. Sekarang nak kena berkursus jangka panjang. Nun jauh pulak tu di utara tanahair. Alahai kasihan. Isteri yang memboyot dan tidak bekerja tu terpaksa ditinggalkan di rumah keluarga mertuanya. Ok tamatlah perbualan dan perjumpaan kami di situ hari tu.

Ketika musim cuti sekolah yang lalu super dad [saya la tu... apa boleh buat isteri sibuk berkursus da] membawa anak-anak bercuti di utara tanahair. Super dad bawa ketiga-tiga cahayamata ke beberapa lokasi menarik di utara. Dah lama kami tak bercuti. Kami tour sakan. Anak-anak semua seronok. Saya lagi seronok. Namun macam tak lengkap ja bila mamanya tak ada tapi cuti tetap cuti.

Nak dijadikan cerita saya berjumpa dengan mamat junior yang saya jumpa beberapa bulan yang lalu. Dia pun sedang bercuti agaknya. Di sebelah ada seorang perawan. Aik kali ni lain pulak rupanya. Takkan dah beranak kot. Saya jumpa dulu baru lima bulan. Kalau ikutkan baru sebulan lebih saya jumpa mamat ni di warung tempohari. Mamat tadi mungkin perasan kepelikan yang terpacul di wajah saya. Terus dia kenalkan, perawan yang di sebelahnya adalah kawan yang baru dia jumpa semasa kursus. Baru nak berkawan. "Oooooo kawan", spontan saya membalas. Kami tak banyak berbual. Si mamat tadi pun saya nampak macam tak selesa saja bila saya mula bersoal jawab dengan perawan yang dia kenalkan sebagai kawan tapi mesra tadi tu.

Hebat sungguh mamat junior tu. Di rumah ada isteri memboyot menanti. Di tempat kursus pulak ada teman tapi mesra yang melayan. Kasihan pulak rasanya saya pada isteri yang setia menanti suaminya. Disangka suaminya jujur berkursus. Rupanya ada agenda tersirat. Pasang satu lagi da. Tak betul punya laki. Kalau saya ada nombor telefon si isteri mahu saja saya ceritakan 'kejalangan' tingkahlaku suami yang tak langsung ada perasaan belas pada isteri yang sedang sarat tu. Hampir setiap malam sebelum tidur saya dihantui detik-detik pertemuan saya dengan suami curang dan perawan gedik yang saya pasti sudah mengetahui status si mamat junior seorang ni. Kenapalah ada perempuan sebegini yang harus merosakkan rumahtangga orang lain. Ini membina kebahagiaan di atas kesedihan orang lain. Kaum dia sendiri pulak tu. Kalau mamat junior tu terjengok blog ini, cepat-cepatlah engkau berubah dan tinggalkan benda yang tak berfaedah tu. Satu isteri pun tak terjaga, ada hati mau lagi. Kerja pun baru dapat, mana hang nak bagi makan anak orang. Muka hang tu aku rasa memang layak makan pelempang jepun aja. Ini semua geram punya pasallah ni. Nak dijadikan cerita lagi, saya dapat maklumat sahih [apa boleh buat saya ni minat menyiasat] mengatakan perawan yang diusung oleh mamat junior tu pulak tunangan orang. Alahai lah dunia. Kasihan kasihan.

Wednesday, 24 February 2010

Pergi Tak Kembali

Semalam saya mendapat perkhabaran yang mendukacitakan. Dua orang rakan yang saya kenali telah kehilangan orang yang mereka sayangi. Takziah kepada Ema di atas kepulangan ayahanda tercinta ke Rahmatullah di awal pagi semalam. Takziah juga kepada sahabat baik saya iaitu Zainal a.k.a Kudult di atas kepulangan bonda tersayang ke Rahmatullah. Sebak mendengar cerita Kudult tentang kisah dia dan bondanya beberapa hari sebelum kematian bondanya.

Hari juga genap 19 tahun bonda saya yang paling disayangi pergi menghadap Illahi. Jasa dan pengorbanannya sudah tentulah tidak akan saya lupakan. Sehingga ke akhir hayat. Mak saya kuat. Mak saya rajin. Mak saya tabah.

Semoga kesemua mereka dicucuri Rahmat oleh-NYA dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman. Ameen.

Tuesday, 28 April 2009

Budaya Membaca

Saya ada seorang rakan sekerja. Duitnya banyak dihabiskan untuk membeli buku. Pantang ada masa dia akan ke kedai buku. Dia pandai memilih buku. Dipilihnya buku berkualiti dengan harga yang cukup murah. Kalau sesiapa yang pernah ke bilik pejabat beliau tentu dapat merasakan seperti memasuki sebuah mini library. Mana taknya penuh dengan rak-rak yang penuh berisi buku. Siapa orangnya... sudah tentu warga FSR mengenalinya. Cebad!

Tadi saya ke Jualan Gudang Buku anjuran MPH. Ralat jugak tak ajak Cebad. Buku-buku yang dijual memang murah. Banyak buku-buku menarik yang berkaitan dengan sukan dan rekreasi yang saya beli. Murah sangat. Sesiapa yang suka mengumpul dan membaca buku memang saya galakkan ke sana. Mana tahu terjumpa buku yang berkenan di hati. Kalau yang dah bekerja tu, bolehlah simpan resit. Dapat kurangkan cukai. OK selamat membaca. Jadikanlah membaca amalan kita semua.

Thursday, 26 February 2009

Mimpi Lagi

Pagi itu saya bangun dengan jiwa kacau. Tidak tenang seperti selalunya. Apakah makna mimpi yang baru saya alami itu? Takkan kawan baik saya sanggup melakukan benda itu. Dia seorang yang baik. Kami sering berkongsi cerita dan tegur menegur. Saya hormati dia lebih daripada sebagai seorang kawan. Dia sudah saya anggap sebagai saudara rapat saya. Kalau tidak sebagai saudara kandung sekalipun kami tetap saudara seagama.

Secara kebetulan pula sahabat saya ini menelefon saya di awal pagi. Katanya nak jumpa saya. Dia kini sedang berada di Shah Alam. Memang sudah hampir 6 bulan kami tidak ketemu. Dah lajak-lajak berada di Shah Alam, jadi apa salahnya mencuba nasib menelefon saya mengajak minum-minum. Dia ceria bercerita tentang bisnesnya yang kini semakin maju. "Mendapat projek berjuta-juta!", sembangnya bagi menggambarkan kejayaan bisnesnya walaupun baru beberapa tahun sahaja diceburi bidang ini. Setelah puas mendengar cerita kejayaannya saya mencelah, "Sahabat, aku ingin ceritakan sesuatu tentang mimpi yang aku alami semalam. Mimpi aku ada kaitannya dengan engkau sahabatku". Sahabat sahaja begitu teruja untuk terus mendengar. "Apa lagi ceritalah", balas sahabat saya tidak sabar. Saya mula bercerita, "Semalam aku bermimpi... engkau aku lihat sedang mandi. Air mandian yang engkau gunakan adalah najis-najis manusia. Aku sedih sangat melihat betapa gembiranya engkau mandi dengan air najis manusia itu". Wajah kawan saya yang sebentar tadi ceria, kini bertukar merah padam. Mungkin dia ada menyimpan sesuatu rahsia besar yang tidak boleh dikongsi bersama. "Apa lagi yang engkau mimpi tentang aku!", soalan yang keluar dari mulut sahabat saya selepas itu. "Kurang jelas...tetapi ia melibatkan duit dan kerja buat engkau"!, jawab saya.

Nota: Cukuplah cerita itu setakat ini dahulu. Sukar pula untuk saya menghabiskan pengakhiran pertemuan kami pada pagi itu. Kejadian ini berlaku pada bulan Mei 2003. Rupa-rupanya memang ada cerita yang tersirat di sebalik mimpi saya di atas yang kebetulannya berkaitan kawan saya dan bisnesnya. Wallahu 'aklam bissawab. Saya pohon keampunan.

Friday, 26 December 2008

Raja Lawak

Saya taklah pandai sangat melawak. Namun saya tidaklah pula terlalu serius hingga tidak pandai membuat lawak. Masa belajar di UPM dulu saya pernah berlakon satu sketsa semasa Pertandingan Persembahan di peringkat Kolej. Tak sangka pulak, sketsa kami yang spontan tetapi telah dirancang jalan ceritanya telah menjadi juara. Saya dan kawan-kawan yang sama-sama berlakon puas apabila melihat penonton kebanyakannya ketawa dan tersenyum apabila kami melakonkan watak masing-masing. OK la tu, bila orang dah gelak tu maknanya lawaklah tu. Namun saya yakin bahawa bukan senang sebenarnya untuk membuat lawak. Mana mungkin seseorang yang tiada sense of humour cuba untuk menghiburkan penontonnya dengan aksi, gelagat dan kata-kata yang melucukan. Lawak tidak boleh dibuat-buat dan penonton pula tidak boleh dipaksa untuk ketawa. Biarkan penonton menilai sendiri persembahan dan ketawa sekiranya lakonan yang ditampilkan sememangnya melucukan.

Sebenarnya ramai kawan-kawan kita yang pandai berlawak. Saya berani mengatakan begini kerana sepanjang menghadiri banyak perkhemahan, saya dapat melihat pada malam persembahan, terutamanya, pelbagai idea kreatif yang begitu menghibur dan boleh menceriakan suasana disampaikan secara spontan di dalam persembahan. Penonton yang terdiri daripada rakan-rakan dan fasilitator akan ketawa berdekah-dekah apabila melihat aksi dan persembahan yang melucukan. Mungkinkah satu hari nanti Raja Lawak yang paling terkenal di negara ini akan hadir dari mereka yang kita kenali dari kem-kem rekreasi. Mungkin!

Wednesday, 5 November 2008

Rambut Sama Hitam

Yasu dan Futoshi adalah antara rakan saya ketika menuntut di Bendigo. Kedua-duanya berasal dari Jepun. Mereka belajar di La Trobe University dengan perbelanjaan sendiri.

Rakan sekelas saya di peringkat sarjana tak ramai, enam orang sahaja jumlahnya. Selain daripada mereka berdua, yang lain datangnya dari Mexico, Singapura, Ireland, Australia dan sudah tentulah saya dari Malaysia.

Walaupun kedua-duanya datang dari negara yang sama namun masing-masing mempunyai karakter yang jauh berbeza. Mereka sering tidak sependapat. Seorang berperwatakan tegas dan kasar sementara seorang lagi pendiam dan ‘cool’. Seorang sentiasa menepati masa dan seorang lagi sentiasa sahaja terlewat. Seorang bersemangat pendekar dan seorang lagi berhati lembut. Seorang mudah tersenyum dan seorang yang sentiasa masam macam Shogun Tokugawa (pejuang).


Futoshi sering dibuli di dalam kelas oleh Yasu. Ada sahaja yang tidak dipersetujui oleh Yasu ketika Futoshi membentangkan hasil kerjanya. Futoshi banyak bersabar. Yasu sering menekan Futoshi dengan pelbagai soalan, namun Futoshi terus bertahan dan menjawab. Pernah sekali tu, Futoshi gagal mengawal tekanan dan terus menangis di hadapan kelas ketika pembentangan hasil kerja untuk kursus Advanced Outdoor Education. Kami seisi kelas termasuk pensyarah begitu simpati dengan beliau. Yasu yang sememangnya bersemangat pahlawan Jepun tidak langsung menunjukkan rasa simpati. Terus dituduh rakan senegaranya itu menciplak hasil kerja yang sedang dibentangkan. Katanya itu hasil kerja dari seorang penyelidik Jepun di dalam journal Pendidikan Luar berbahasa Jepun. Aduh kesian Futoshi, tak terjawab dia dibuatnya. Nak dijadikan cerita, penyelia penyelidikan Futoshi juga hadir ketika pembentangan tersebut.


Kesabaran Futoshi terbalas. Penderitaan selama setahun akhirnya dibalas. Beliau antara rakan sekelas kami yang terawal berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana. Tekanan yang dialami tidak mematahkan semangat juang beliau.

Saya tidak juga menyalahkan Yasu. Mungkin itu caranya. Seperti yang saya katakan sebelumnya, rakan saya yang seorang ini sememangnya tegas dalam berbicara, berprinsip dan seterusnya tidak pandai memendam rasa. Segala ketidakpuashatiannya dilepaskan. Sebab itulah juga beliau pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Penuntut-Penuntut Antarabangsa di La Troe University Bendigo. Beliau berjaya memperjuangkan nasib penuntut-penuntut dari negara-negara lain dengan membawa sebarang isu yang berbangkit ke pihak pentadbiran. Suara Yasu sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh pihak universiti.

Itulah kisah dua rakan baik saya semasa di Bendigo.

Thursday, 23 October 2008

Adakah Menjadi Kenyataan?

Saya pun tak pasti.

Segalanya mungkin berlaku. Hujung minggu ini telah dirancang satu pertemuan semula RECCERS II yang telah bergraduat pada September 1998. Setelah 10 tahun, kini kami sepakat untuk cuba mengumpulkan semula rakan-rakan yang sama-sama merasai pengalaman suka duka semasa menuntut di UPM dahulu dalam bidang Pengurusan Taman dan Rekreasi.

Agak sukar juga untuk menemukan kembali atau menjejak semula rakan-rakan seramai hanya 20 orang yang baru 10 tahun tak berjumpa. Semuanya bertebaran dari utara tanahair sehinggalah ke Sabah. Malah, ada juga yang kini berada di Jepun. Mungkin dengan pertemuan semula yang telah dirancang di banglo Azamil [tauke besar Stillgreen] akan menjadi penghubung seterusnya kepada silaturrahim kami semua.

Saya mengharapkan agar sifu kami iaitu Dr Wan Sabri Wan Mansor, Prof Ahmad Shuib, John dan Dr Abdullah akan turut sama hadir memeriahkan suasana.

Hidup RECCERS II!

Monday, 20 October 2008

Tahniah Sahabatku

Alhamdulillah saya baru terbaca blog Addin aka Boot. Beliau baru sahaja selamat berkonvokesyen.

Saya pernah menceritakan pengalaman Addin di sini.

Pengalaman Addin boleh dijadikan pengajaran berguna kepada kita semua. Kekuatan yang beliau miliki boleh sama-sama kita kongsi. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat saya, saudara Azharuddin kerana telah selamat bergraduat dalam bidang Sarjana Komunikasi Korporat.

Tuesday, 14 October 2008

Impak Rumah Terbuka

Alhamdulillah Rumah Terbuka Aidilfitri telah selamat dilaksanakan. Memang meriah. Kehadiran jiran tetangga dan saudara mara yang berada di sekitar Lembah Kelang sudah pastilah sangat saya hargai. Turut memeriahkan majlis adalah dengan kehadiran rakan rakan sepejabat bersama ahli keluarga masing-masing, ahli-ahli dan alumni PERLU serta para pelajar FSR. Tak lupa juga kemunculan di saat-saat akhir majlis iaitu saudara Yusran dan Azharudin sekeluarga.

Penat lelah seharian saya dan Liza hilang dek serbuan tetamu yang datang. Liza dibantu oleh beberapa orang ahli dan alumni PERLU seperti Dilla, Lenny dan Yasir. Shawn, Hafiz dan Malin sanggup mengeluarkan duit poket untuk menaja ayam untuk dipanggang,. Terima kasih semua yang membantu.

Maafkan saya sekiranya terdapat kekurangan di dalam menyajikan makanan ataupun kelemahan saya di dalam melayan anda yang hadir. Saya sekeluarga mencuba sebaik mungkin untuk melayan semua tetamu yang hadir seadil mungkin.

Insyaallah sekiranya ada rezeki kita jumpa untuk rumah terbuka yang akan datang. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga.

Foto-foto sekitar majlis











Monday, 22 September 2008

Blogawan Baru

Warga FSR tentu mengenali Encik Hamdan Ahmad. Beliau mantan Pemangku Dekan FSR selepas PM Dr Anuar Suun tamat tempoh jawatan sebagai Dekan. Kini Encik Hamdan lebih banyak 'bertapa' di biliknya di tingkat atas, betul-betul di depan bilik saya. Tiada lagi kesibukan berkaitan pentadbiran FSR yang perlu beliau fikirkan.

Banyak sudah artikel beliau berkaitan sukan dimuatkan di dalam akhbar-akhbar harian. Alhamdulillah setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya beliau bakal muncul dengan blog sendiri.

Menurut Encik Hamdan, beliau akan memuatkan cerita-cerita santai mengenai kisah hidupnya dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa. Tentu banyak kisah-kisah menarik yang mungkin akan kita ketahui tentang kisah hidup beliau. Sama-samalah kita nantikan kemunculan satu lagi blog yang akan menggegar alam blog.

Thursday, 18 September 2008

Allah Sayangkan Aku

“Ya Allah, jauhkan hamba Mu ini daripada perasaan bongkak, juah, takbur, riak dan ego. Amin.”

Ketika orang lain sudah bersedia untuk menghadapi SPM, saya juga turut bersedia. Namun dugaan menimpa. Abah pergi selama-lamanya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Saya berhenti sekolah kononnya untuk menjaga kakak. Saya ingin bekerja. Saya tak mahu kakak terus bekerja di kilang. Tak selamat. Anak lelaki tunggal ini sanggup berkorban demi kakak tersayang. Saya tak fikirkan masa depan ketika itu. Allah sayangkan saya. Dikurniakan-NYA ilham kepada guru-guru dari sekolah menengah tempat saya belajar pada ketika itu untuk datang memujuk dan saya akhirnya meneruskan pengajian. Saya lulus SPM.

Ketika kawan-kawan yang lain sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir Matrikulasi Sains di UPM, saya juga turut bersedia. Namun dugaan menimpa. Saya diserang demam campak di saat-saat yang begitu hampir dengan peperiksaan akhir. Saya perlu dikuarantin. Mat Gym, teman sebilik secara sukarela sudi membantu di dalam hujan menghantar saya ke Hentian Puduraya dengan motor Honda C70 miliknya(R6661 dalam kenangan). Saya mengambil tiket untuk pulang ke Kulim. Saya tertekan di kampung. Peperiksaan makin hampir. Saya begitu tidak selesa ketika pulang semula ke kampus untuk menjawab kertas soalan peperiksaan. Allah sayangkan saya. DiberiNYA saya peluang untuk lulus Matrikulasi Sains di UPM, walaupun tidak secemerlang kawan-kawan yang lain.

Ketika sahabat-sahabat lain sibuk menyiapkan tesis akhir pengajian di peringkat sarjana muda, saya pun turut sama bertungkus lumus. Namun dugaan menimpa. Saya menghadapi masalah besar dengan penyelia tesis. Beberapa orang sahabat baik juga mengalami masalah yang sama. Ada kemungkinan besar pada ketika itu kami tidak akan menamatkan pengajian pada semester tersebut. Saya risau. Cukup-cukup risau. Allah sayangkan saya. DilembutkanNYA hati sang penyelia agar menerima seadanya tesis yang telah saya sediakan walaupun mungkin tidak seperti yang beliau inginkan. Saya akhirnya bergraduat. Semua sahabat-sahabat saya seramai 19 orang turut bergraduat.

Ketika rakan-rakan lain di FSR telah mempunyai ijazah sarjana, saya seorang lagi yang tertinggal tidak punya apa-apa. Saya cuba memohon biasiswa sebanyak dua kali. Namun gagal. Kali pertama katanya (Bahagian Latihan dan Biasiswa, BLB) saya tak cukup syarat. Kali kedua pula jawapannya (Timbalan Pendaftar, BLB) kerana saya sudah menyambungkan pengajian peringkat sarjana di UPM. Maka jawapannya mudah sahaja, teruskan sajalah belajar di sana. Anda tidak memerlukan biasiswa. Belajar di peringkat sarjana di UPM tidak semudah yang disangka. Lebih tiga tahun saya cuba menghabiskan pengajian. Namun saya tewas. Kejayaan di UPM memang terlalu samar. Saya tidak nampak akan lorong kejayaan untuk menamatkan pengajian di sini walaupun saya hanya tinggal untuk menamatkan penulisan untuk tesis sahaja (matapelajaran wajib semuanya telah saya ambil, lulus agak cemerlang). Saya telah menghabiskan banyak wang dan masa sendiri untuk pengajian di sini (terpaksa berulang alik dengan wang sendiri dan mencari masa sendiri agar tidak mengganggu masa mengajar di UiTM), namun sinar kejayaan terus pudar. Saya tewas. Tiada kejayaan di sini.

Allah sayangkan saya. KepadaNYA sahajalah tempat saya mengadu. DiberiNYA saya peluang untuk berdoa di tempat-tempat yang paling mustajab. Saya dikurniakan rezeki untuk ke Tanah Suci bersama isteri dan anak tersayang, Kamilia. Saya gunakan sepenuhnya untuk berdoa. Setiap tempat yang dikatakan mustajab doa saya kunjungi. Saya teringat pesan ustaz yang menyampaikan tazkirahdi hotel tempat saya menginp semasa di Mekah. Kata beliau, “Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, janganlah lupa bermohon kepada Allah ketika berada di Tanah Suci. Ini kerana doa kita dengan mudahnya akan diangkat oleh Allah swt. Sekiranya doa kita tidak makbul hari ini, mungkin ianya esok. Kalau tidak esok mungkin ianya dimakbulkan lusa. Kalau tidak lusa mungkin minggu hadapan atau bulan hadapan atau seterusnya tahun hadapan. Kalau tidak juga maka Allah akan makbulkan juga doa kita nanti semasa di akhirat. Maka berdoalah tuan-tuan dan puan-puan sekalian”.

Saya merasakan diri ini begitu hampir dengan Allah. Saya tidak henti-henti berdoa. Antara doa yang saya sentiasa baca ketika berada di tempat-tempat yang dikatakan mustajab doa: “ Ya Allah, aku pohon keampunanmu. Ya Allah, aku memohon kerahmatan darimu. Ya Allah, hambamu ini memohon taufik dan hidayahmu. Sesungguhnya hambaMu ini terlalu lemah. Kasihanilah hambaMu ini Ya Allah. Berilah peluang kepada hambaMu untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Berilah peluang kepada hambaMu untuk menamatkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Berilah peluang hambaMu menuntut ilmu sehingga ke peringkat sarjana dan PhD di luar negara. Ya Allah permudahkanlah segala kerja buatku, janganlah Engkau susahkan. Wahai Tuhan yang Mulia.”

Allah sayangkan saya. Daripada kegagalan awal, diberinya kejayaan di penghujungnya. Permohonan biasiswa saya untuk kali ketiga akhirnya berjaya. Saya berjaya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di La Trobe University, Bendigo, Australia. Saya titipkan kenangan yang tidak sampai setahun menuntut di Bendigo melalui laman sesawang ‘Khabar dari Bendigo’ sebagai kenangan sepanjang hayat. Allah mempermudahkan banyak kerjabuat saya sepanjang berada di Bendigo. Allah sayangkan saya. DipertemukanNYA saya dengan ramai insan-insan yang ingin membantu saya sekeluarga sepanjang berada di sana. Akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian di sana. Saya bersyukur kehadratNYA.

Isnin lepas saya dan Liza ke Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Ada majlis di sana. Majlis Konvokesyen khas untuk mereka yang tidak dapat ke Australia untuk menerima ijazah masing-masing. Dalam bahasa mudahnya, majlis untuk golongan yang berjimat ataupun yang tak mampu terbang semula ke Australia untuk menerima ijazah.
Saya telah dijemput untuk menerima ijazah Sarjana Pendidikan Luar dan Persekitaran dari Universiti La Trobe, Australia. Saya merupakan orang pertama yang naik ke pentas, maka layan sajalah. Tidak ada rehearsal langsung. Cuma ditunjukkan cara hormat sebelum terima ijazah daripada Pro Vice-Chancellor, Dr Kerry Ferguson. Itu sahaja. Majlis berlangsung tak sampai 45 minit. Wow! Cepatnya. Maklumlah cuma ada 45 orang penerima ijazah sahaja. Kebanyakannya ijazah sarjana muda. Selepas berlangsungnya majlis tersebut disediakan pula jamuan untuk para tetamu. Apa boleh buat, tengok sajalah. Nak makan, puasa.






Tuesday, 29 July 2008

Amali 1: Suka dan Duka

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Amali I iaitu asas pekhemahan telah melabuhkan tirainya. Latihan untuk bakal fasilitator juga telah berakhir di lokasi yang sama. Saya mendapat banyak maklumbalas berkaitan kem tersebut.

Saya telah melawat banyak webblog yang menceritakan pengalaman mereka semasa di Bukit Cherakah dari 25 hingga 27 Julai 2008. Antara yang menarik perhatian saya adalah weblog PPT. Ikuti pengalaman dan pemerhatian jujur beliau di sini walaupun beliau hanya dapat meluangkan masa bermula Sabtu malam Ahad (26 Julai 2008).

Sama-samalah kita doakan Ain selamat. Ya Allah, panjangkanlah umur Ellail Ain, Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya, terangi hatinya dengan nur pancaran iman dan Limpahkanlah Ellail Ain kesabaran dan kekuatan iman untuk menghadapi ujian dariMU Ya Allah. Amin.

Tuesday, 22 July 2008

Dah Berubah

Pengalaman semakin memantangkan saya. Saya tidak terkejut apabila ada yang mengatakan saya dah banyak berubah. Ya ka?


Semasa di dalam bas ketika di dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari Dungun, Puan Rezian-na mengeluarkan pendangannya. Ini berdasarkan pemerhatiannya di sepanjang perkenalan kami semenjak saya mula bertugas di UiTM pada tahun 2000. Katanya panas baran saya dah kurang. Tidak macam dulu lagi.

Mungkinkah saya dah berubah?

Wednesday, 16 July 2008

Amali Perkhemahan

Amali perkhemahan siswa/i FSR UiTM kembali lagi. Saya dengan sukacitanya menjemput rakan-rakan alumni dan penjengok-penjengok sekalian yang berminat untuk turut serta. Maklumat berkenaan amali tersebut adalah seperti berikut:

Amali Asas Perkhemahan
Lokasi : Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam
Tarikh : 25 hingga 27 Julai 2008
Peserta : Siswa/i Diploma Pengajian Sukan Semester 2 UiTM Shah Alam.
Aktiviti: Keraf perkhemahan, merentas hutan, orienteering, first aid dan initiative games

Amali Perkhemahan Akhir
Lokasi : Tasik Kenyir
Tarikh : 16 hingga 21 Ogos 2008
Peserta: Siswa/i Diploma Pengajian Sukan UiTM Shah Alam, Kolej Shahputra & INSTEDT
Aktiviti: Pengurusan perkhemahan, abseiling, berkayak, halangan bertali, ikhtiar hidup dan mountain biking.

Friday, 11 July 2008

E-mail Pilihan

Berdasarkan kepada posting 'Zalimkah Saya?'.
Nama perseorangan dan tempat saya letakkan * untuk menjaga maruah individu dan agensi terbabit. Selamat membaca.

Salam,

Rileks la bro. Aku pun x tau nak nasihat apa tentang students yang x puas hati
dgn markah yang kita bagi ni coz aku pun tak pernah alami - x pernah lak students jumpa aku and argue ttg markah depa. Mungkin kita berada dalam dunia rekreasi yang berbeza - students hg sememangnya outdoor person dan sememangnya perlu dididik berdasarkan a bit harsh and high level approach! whereas for me, aku perlu rendahkan sikit aku punya approach kepada welcoming stage di mana
aku kena tumpukan segala usaha aku untuk meramaikan lagi orang bergiat dalam outdoor ni - environment universiti berbeza so, kena adapt la dengan keperluan surrounding environment.....

Aku x pernah paksa students aku buat macam-macam but lebih kepada menyemai minat cintakan outdoor dulu and reward them for their performance (even a pat on their backs mean something to them!!!). for me, bila minat dah ada, payah macammana pun depa akan buat punya. Pendekatan mendera atau marah secara frequent sekali pun pun aku tak pernah guna. Aku pernah la marah students but bila depa buat salah yang kronik je. Maaf, approach macam EDU and HUKUM CAKERAWALA *** ***** tak pernah aku gunapakai (walaupun aku sendiri pun ok dengan approach tu) but aku lebih kepada approach kursus rekreasi yang sedang diamalkan di Fakulti Perhutanan - FHR sekarang.

Students la ni makin bijak and kadang2 tu 'naik lemak' but if we know how to tackle them appropriately then they'll definately appreciate with what we have done to them.

Sekadar berkongsi pendapat je ni bro. x lebih dari itu. Matlamat kita sama, mungkin cara je berbeza. cam aku kata tadi la, U*M ni bukan tersohor sebagai training ground for recreation leaders, unlike UITM but ilmu rekreasi ni takde sapa-sapa pun yang jadi pemilik mutlaknya and sapa-apa pun x wajar claim yang dia tu power or mahaguru dalam ilmu ni. Semua orang layak dapat ilmu ni cuma yang bezakan hanya MINAT dan KETEKUNAN. Bagus gak aku duduk di U*M dan ***** ni coz baru aku boleh menilai tahap keupayaan aku dalam bidang ni sebagai outdoor educator and mampukah aku meneruskan perjuangan tok guru kita sebelum ini yang menginginkan lebih ramai masyarakat malaysia bergiat dalam aktiviti outdoor ni, bukan hanya menyampaikan ilmu dan pengalaman kepada mereka-mereka yang sememangnya dah ada minat dalam diri mereka. Believe me, when dealing with people with zero interest,knowledge and skill, sometimes you have to put yourself in their shoes and think the most efficient method to attract their interest, gain their trust and make them aware of the significant of participating in outdoor recreation activities.

Hang in there bro,situation will change... Perhaps your students are still lack of a deeper understanding of what recreation is all about and fail to see and comprehend the true reason why they have to do such things as requested during your outdoor trip. We are both not much different in terms of maintaining the survival of our beloved field, in fact you are more experienced than me. I'm sure you'll do it just fine.

Cheers mate and see you next week ! (going to Raban tomorrow for an outdoor trip with Pusat Kegiatan Air Pulau Pinang - pi Perak lagi, 2 minggu lepas pun baru je layan mountain bike kat kuala kangsar!!!!!).

Your junior

Wednesday, 9 July 2008

Zalimkah Saya?

"Encik tak adillah bagi markah outdoor. Ramai kawan-kawan batch saya yang tak puas hati. Mereka dah buat kerja teruk masa kem, tapi carry mark yang encik pamerkan rendah ja... markah mereka. Ada yang kata buat penat ja panjat pasang lampu dan gantung khemah pusat, tapi markah rendah", komen seorang pelajar dengan berani ketika datang ke bilik saya. Dengan tenang saya menjawab, "Bukan saya seorang yang menilai kem tu. Saya juga dapatkan maklumbalas daripada pensyarah pengiring dan para fasilitator. Bukan penglibatan semasa kem sahaja dinilai, penilaian juga berdasarkan ujian dan logbook".

Bukan saya sengaja hendak membela diri, tetapi saya telah cuba untuk menilai seadil mungkin. Saya sedar saya juga akan diadili di akhirat kelak. Sebab itulah saya juga sering berpesan kepada para fasilitator dan pensyarah pengiring yang membantu penilaian sesuatu amali bahawa penilaian mereka memainkan peranan yang penting. Memberi kesan yang amat besar. Jangan dinilai pelajar sesuka hati atau hentam keromo sahaja. Penilaian ini sangat penting untuk masa depan pelajar-pelajar yang dinilai. Bukan senang untuk menilai sesuatu yang subjektif. Penilaian tentang sikap, kreatitiviti, disiplin, kerjasama kerja berkumpulan dan kepimpinan seseorang pelajar menjadi senang sekiranya kita berusaha menjadi pemerhati yang baik. Kalau fasilitator hanya syok sendiri (SS) sahaja dengan amanah yang diberikan maka berlakulah kelemahan di dalam penilaian.

Saya mengingatkan kepada diri saya sendiri, rakan-rakan dan bakal-bakal fasilitator supaya berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri menjadi penilai yang baik. Kalau tidak, orang yang dinilai akan sentiasa membawa mulut mengatakan dirinya 'dizalimi'. Jadillah seorang yang jujur dan beramanah ketika menilai. Supaya kita tidak menzalimi rakan-rakan kita yang memerlukan keadilan di dalam penilaian.

Kepada yang dinilai pula, berlaku jujurlah di dalam melakukan sesuatu perkara. Jangan melakukan sesuatu hanya untuk markah semata-mata. Pastikan nawaitu anda ikhlas melakukan sesuatu untuk ilmu dan pengalaman. Ganjarannya akan datang kemudian. Sesungguhnya ilmu kalau tidak diamalkan akan hilang begitu sahaja.


Nota HiCMat: Saya seringkali mengamalkan pembacaan Doa Nabi Yunus a.s. ketika baginda berada di dalam perut ikan paus. Baginda berdoa di dalam kegelapan perut ikan paus itu: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau, Maha sucilah Engkau dan sesungguhnya aku telah berdosa dan menjadi salah seorang dari mereka yang zalim."

Wednesday, 2 July 2008

Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu

Semalam seorang rakan menghantar email berserta gambar beliau di puncak Gunung Kinabalu. Beliau menyatakan kesyukuran kerana berjaya mendaki puncak yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Cuaca yang kurang mengizinkan menyebabkan beliau bercadang untuk mendaki Kinabalu untuk kali ke-2.

Memang betul. Gunung Kinabalu sentiasa mengamit tetamunya dengan cara yang tersendiri. Keindahan dan pemandangan yang indah cukup mensyahdukan.

Saya pernah membentangkan tentang pengalaman pendakian ke Gunung Kinabalu semasa seminar di La Trobe University. Kesemua pensyarah dan audien yang mendengar teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang khazanah alam yang unik dan menarik ini. Mereka sendiri seperti terpanggil untuk berkunjung dan melihat sendiri gunung kebanggaan rakyat Malaysia ini. Struktur geologinya yang unik menambahkan lagi keterujaan mereka.

Sebenarnya Kinabalu begitu dekat di hati saya. Biarpun ianya terletak nun jauh di negeri di bawah bayu, namun bila disebut sahaja Gunung Kinabalu, auranya segera terasa. Saya dapat membayangkan setiap langkah menuju ke puncak. Oleh sebab itulah sekiranya ada pelajar di universiti dan sekolah yang teringin mendengar celoteh saya tentang pengalaman Kinabalu, saya cuba tidak hampakan.


Alhamdulillah kunjungan saya beberapa kali ke Gunung Kinabalu dengan kumpulan yang berbeza disambut dengan cuaca yang cukup baik. Saya dapat melihat kebesaran Allah ini dengan sejelas-jelasnya. Dari jauh lagi Gunung Kinabalu kelihatan seperti mengamit dan bersedia menyambut tetamu dari semenanjung ini.


Mendaki Gunung Kinabalu ini tidaklah terlalu sukar seperti mendaki Gunung Tahan. Ianya bertangga-tangga yang telah tersedia. Selain daripada kekuatan fizikal, minda memainkan peranan yang penting. Oleh sebab itulah saya sering memberikan nasihat kepada para pendaki supaya cuba membayangkan laluan yang akan dilalui. Saya akan menceritakan bermula dari pendaftaran di Kinabalu Park Headquarters, menaiki bas ke Timpohon Gate hinggalah ke puncak satu persatu. Setiap perjalanan yang ditempuh akan saya ceritakan dengan sejelas-jelas mungkin agar bakal-bakal pendaki dapat mengambarkan yang diri mereka sudah berada di trek pendakian ke Gunung Kinabalu.

Tiada apa yang mustahil. Kak Sad (staf di FSR) telah membuktikan. Biarpun beliau yang berumur 52 tahun pada ketika itu dan mempunyai penyakit tiga serangkai yang kronik, Kak Sad berjaya sampai ke puncak. Berbekalkan keazaman dan sedikit latihan beliau berjaya. Di situlah pentingnya motivasi diri.


Terdapat rakan saya yang jogging hampir setiap hari pun merasa sukar untuk sampai ke puncak. Kenapa ya? Sebenarnya berlari sahaja di trek atau di kawasan rata tidak mencukupi. Pendaki perlu merasai sendiri ‘kenikmatan’ mendaki tangga. Tidak kisahlah samada ianya 5 tingkat, 10 tingkat atau 20 tingkat. Yang penting lakukan. Selain menguatkan jantung ianya sangat bersesuaian kerana pendakian di Gunung Kinabalu memang bertangga. Kak Sad juga telah membuktikannya.

Tidak cukup dengan itu, cubalah menjengah ke kolam renang. Kalau pandai berenang lagi baik. Kalau tidak pandai berenang cukuplah sekadar berlari atau berjalan di dalam air. Selain daripada latihan pengawalan pernafasan, ia juga dapat membiasakan badan kita dengan suhu persekitaran yang sejuk.

Pemakanan juga adalah sesuatu yang penting. Saya gemar membawa kismis, kurma dan sebuku roti. Itulah makanan saya sepanjang pendakian ketika lapar. Ini juga telah terbukti ketika saya membawa beberapa kumpulan yang tidak cukup cergas (mereka sibuk di pejabat hingga tidak sempat bersenam). Hanya dengan nasihat supaya mereka ‘menelan’ makanan yang saya bawa tadi, majoriti daripada pendaki tadi telah berjaya sampai. Akibat daripada nasihat dan penceritaan pengalaman saya tadi juga, sekumpulan pelajar tahun akhir FSR yang bersama-sama saya mendaki pada tahun 2006 telah membawa sebuku roti bersaiz besar setiap seorang. Daripada 23 orang pendaki, hanya 2 orang sahaja yang tidak sampai ke puncak. Keduanya-duanya pula secara kebetulannya pula merupakan pelajar dari Sabah. Kedua-duanya juga telah hilang selera makan ketika di Laban Rata. Yang makan atau ‘telan’ roti tadi semuanya sampai ke Low’s Peak.

Altitude Mountain Sickness atau AMS adalah sesuatu yang cukup ditakuti oleh para pendaki. AMS kebiasaannya ‘menyerang’ mangsa ketika berada di anggaran ketinggian 2500 meter dari aras laut. Antara tanda-tanda AMS adalah pening-pening, mengantuk, loya-loya(nausea), keresahan (malaise) dan keletihan melampau. Untuk mengurangkannya senang sahaja. Badan kita memerlukan masa untuk membiasakan dengan keadaan persekitaran tempat tinggi. Oleh itu tidak perlulah kita yang tidak biasa ini terlalu memaksa diri berlari ketika mendaki. Jangan bergocoh-gocoh. Takkan lari gunung dikejar. Ambillah masa dan mengikut langkah dan kedherat diri sendiri.

Yang pastinya bergeraklah di dalam kumpulan untuk menghindari sesuatu yang tidak dijangka daripada berlaku. Sesungguhnya malang tidak berbau. Sekiranya malang itu berbau tentu mudah, kan. Apabila kita ada terbau sesuatu yang busuk pada hari pendakian tentu ada malang yang akan dihadapi oleh kita. Tapi itu mustahil berlaku…kan.

Tidak lupa juga jaga mulut dan tingkah perbuatan. Setiap tempat ada penghuninya. Jadi hati-hati ya apabila berkata. Kerana santan pulut binasa, kerana mulut badan binasa.


Akhirnya berdoa dan bertawakallah kepada illahi setelah kita berusaha. Semoga pendakian anda selamat dan berjaya. Dengan kuasa Allah swt jualah, insyaallah sekiranya diberi peluang anda akan dapat menyaksikan kebesaran illahi yang saujana mata memandang. Subhanallah, Allahuakbar.