Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Saturday 28 February 2009

Pencinta Haiwan

Semalam

"Kamil...hari Sabtu ni birthday Kamil. Kamil nak apa untuk hadiah harijadi", tanya saya kepada satu-satunya anak lelaki saya. Kamil menjawab, "Abang nak katak!". "Katak!...kenapa katak", tanya saya kembali kerana terkejut dengan jawapan Kamil. "Abang nak katak juga!" , jawab Kamil tanpa memberikan sebab musabab pilihan hatinya itu. Saya terus menduga, "Lain, abang nak apa?". Spontan Kamil menjawab, "Buaya!". Tersengih saya seorang memikirkan jawapan yang Kamil berikan. Haiwan juga yang dipilihnya.


Petang tadi

Kamil ceria semacam saja petang tadi semasa saya ambil dari TASKA. Turun dari kereta terus dia berlari ke rumah jiran. Nak bermain la tu. Saya pun tak kisah sangat sebab esok cuti. Jadi biarkan Kamil main sepuas-puasnya petang ini.

Seorang jiran terdekat singgah ke rumah kami petang tadi dan bertanyakan sesuatu kepada Liza. "Betul ka esok harijadi Kamil!", soal jiran tersebut. "Kenapa!", tanya Liza spontan. "Tadi... Kamil datang ke rumah aku. Dia kata esok kat rumah dia ada buat makan-makan. Jadi dia jemput anak-anak aku ke rumah hang esok", terang jiran saya.

Bila masa la pula kami cakap nak buat makan-makan. Alahai pandai-pandai saja Kamil ni. Rupa-rupanya Kamil dah uar-uarkan kepada kawan-kawan sekitar rumah tentang harijadinya yang akan disambut esok.

Aduh macamana ya. Esok pulak seharian saya di UiTM Kuala Pilah. Alahai Kamil sorang ni.

Thursday 26 February 2009

Mimpi Lagi

Pagi itu saya bangun dengan jiwa kacau. Tidak tenang seperti selalunya. Apakah makna mimpi yang baru saya alami itu? Takkan kawan baik saya sanggup melakukan benda itu. Dia seorang yang baik. Kami sering berkongsi cerita dan tegur menegur. Saya hormati dia lebih daripada sebagai seorang kawan. Dia sudah saya anggap sebagai saudara rapat saya. Kalau tidak sebagai saudara kandung sekalipun kami tetap saudara seagama.

Secara kebetulan pula sahabat saya ini menelefon saya di awal pagi. Katanya nak jumpa saya. Dia kini sedang berada di Shah Alam. Memang sudah hampir 6 bulan kami tidak ketemu. Dah lajak-lajak berada di Shah Alam, jadi apa salahnya mencuba nasib menelefon saya mengajak minum-minum. Dia ceria bercerita tentang bisnesnya yang kini semakin maju. "Mendapat projek berjuta-juta!", sembangnya bagi menggambarkan kejayaan bisnesnya walaupun baru beberapa tahun sahaja diceburi bidang ini. Setelah puas mendengar cerita kejayaannya saya mencelah, "Sahabat, aku ingin ceritakan sesuatu tentang mimpi yang aku alami semalam. Mimpi aku ada kaitannya dengan engkau sahabatku". Sahabat sahaja begitu teruja untuk terus mendengar. "Apa lagi ceritalah", balas sahabat saya tidak sabar. Saya mula bercerita, "Semalam aku bermimpi... engkau aku lihat sedang mandi. Air mandian yang engkau gunakan adalah najis-najis manusia. Aku sedih sangat melihat betapa gembiranya engkau mandi dengan air najis manusia itu". Wajah kawan saya yang sebentar tadi ceria, kini bertukar merah padam. Mungkin dia ada menyimpan sesuatu rahsia besar yang tidak boleh dikongsi bersama. "Apa lagi yang engkau mimpi tentang aku!", soalan yang keluar dari mulut sahabat saya selepas itu. "Kurang jelas...tetapi ia melibatkan duit dan kerja buat engkau"!, jawab saya.

Nota: Cukuplah cerita itu setakat ini dahulu. Sukar pula untuk saya menghabiskan pengakhiran pertemuan kami pada pagi itu. Kejadian ini berlaku pada bulan Mei 2003. Rupa-rupanya memang ada cerita yang tersirat di sebalik mimpi saya di atas yang kebetulannya berkaitan kawan saya dan bisnesnya. Wallahu 'aklam bissawab. Saya pohon keampunan.

Wednesday 25 February 2009

Dah Agak Dah!

Bikin pening sahaja!

Saya dapat panggilan telefon sebentar tadi. Ini memang betul bikin pening. Susah betul cakap dengan mereka yang tak berapa nak faham. Soal pemanggil kepada saya, "Kenapa buat kem ni lama sangat... sampai 7 hari. Buat sajalah 2 atau 3 hari saja. Kenapa tak dibuat semasa cuti semester". Aik lama sangat ka 7 hari tu. Saya dulu kalau sebut Final Camp paling kurangpun 14 hari. Baru betul Final Camp. Buang masa untuk perjalanan kedebak kedebuk dicampur persiapan awal dan akhir kem dah mencecah 2 hari setengah. Jadi untuk aktiviti sebenar hanya tinggal 4 hari setengah sahaja. Alahai susahlah kalau orang yang tak boleh beralah ni. Nak kita ja beralah. Bikin migrain ja. BP saya pun dah naik tempohari.

Ini bukan kem syok sendiri. Sengaja saya pilih tempat yang dekat-dekat supaya pelajar tak letih dengan perjalanan yang jauh. Cuma pelajar INSTEDT sahaja yang terpaksa menempuh perjalanan jauh. Apa nak buat dah tempat mereka pun di hujung dunia (maaf ya Ustat).

Alahai nasib badan. Nampak gayanya terpaksalah pinda tarikh. Mungkin nak dipendekkan hari. Beralah pun beralah la.

Memang semester ini agak kacau sikit. Cuti pertengahan semester dibuatnya di awal semester. Mana boleh Final Camp dibuat di awal semester. Takkan baru belajar ikatan dan simpulan terus nak ke Final Camp. Jadi saya rancanglah kem di akhir semester pula. "Dipangkah" pula dalam mesyuarat Kabinet. Disuruh buat masa semester juga. Nak dibuat masa semester berjalan... hah inilah jadi. Kerjasama sesama pensyarah pula tak ada. Saya dah agak benda ni akan jadi masalah. Sukar nak cari penyelesaian walaupun saya sendiri KP. Arghhhhhhhhhhhhhhhh!

Senang cerita. Tak payah buat la. Ajar teori saja kot. Lagi senang kerja saya. Tak payah berpeluh. Duduk saja dalam aircond.

Tuesday 24 February 2009

Macam Ni La!

Belajar dari pengalaman lalu. Blog ini telah menjadikan pengalaman saya pada minggu lepas sebagai pengajaran berguna kepada pelajar-pelajar Diploma yang akan berkayak hari ini. Selepas membaca tulisan saya minggu lepas tentang pengalaman saya bersama pelajar degree, hari ini sejarah tidak berulang.

Ketika saya sampai di Taman Tasik Shah Alam untuk memulakan kelas amali tepat jam 8.30 pagi, semuanya telah tersedia. Pelajar-pelajar juga sudah bersedia. Peralatan untuk aktiviti juga telah disusun kemas. Mudahlah kerja saya.

Dari lima bintang saya boleh beri empat bintang setengah kepada mereka di atas usaha yang mereka telah lakukan untuk menjayakan amali berkayak pagi tadi. Lagi setengah bintang biar saya simpan hingga ke Amali Perkhemahan Akhir yang dijangka akan dilaksanakan dari 14 hingga 20 Mac 2009 bertempat di Lata Charok, Janda Baik, Pahang. Khabarnya INSTEDT dan Shahputra akan turut serta.

18 Tahun Berlalu

Hari ini kalau diikutkkan tahun masehi, maka sudah 18 tahun mak pergi meninggalkan alam yang fana ini. Petang sebelum mak pergi 'meninggalkan' kami, dia hanya memandang sayu saya mengayuh basikal untuk pulang ke rumah mami (ibu saudara). Saya terpaksa bergegas kerana Maghrib hampir tiba. Baba (bapa saudara) kurang gemar sekiranya ada ahli isi rumah yang pulang selepas daripada waktu Maghrib. Kami semua telah diajar supaya solat Maghrib berjemaah.

Permintaan mak yang ingin makan mee goreng dan minta saya tolong belikan tidak layan. Saya hanya risau sekiranya tak sempat sampai ke rumah mami sebelum waktu Maghrib.

Selepas solat, telefon berdering. Saya angkat kerana sayalah yang paling hampir dengan telefon. Terdengar suara abah cemas, "Syam cepat balik, mak sakit tenat... bagitau baba dan mami sekali". Terus saya teringatkan mee goreng yang mak pesan tadi. Saya terkedu tak berkata. Saya sampaikan apa yang abah katakan tadi dan terus keluar dan mencapai basikal untuk ke rumah mak.

Semuanya telah terlambat. Kenapalah saya tidak penuhi permintaan mak sebelum saya balik ke rumah mami tadi. Saya memang anak derhaka! Mesti mak kecewa kerana tak dapat makan mee goreng. Kenangan ini tidak akan luput dari ingatan saya.

Semasa di sekolah rendah cikgu ada mengajar kami lagu nasyid ini. Tidak pula saya sangka lagu yang saya suka nyanyikan ini bersangkutan dengan perjalanan hidup saya sendiri di suatu hari nanti. Tentu penjenguk-penjenguk sekalian pernah mendengar, menyanyi dan menghafal lirik lagu di bawah.

Sewaktu azan mendayu-dayu,
Ibuku pergi meninggalkan ku,
Perginya takkan kembali lagi,
Kerna takdir telah menentukan...
Doa restu ku pohonkan untuk mu ibu,
Semoga diri ibu bahgia di akhirat kekal abadi...



Sesungguhnya saya tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan besar kedua ibu bapa saya di dalam mengasuh, menjaga dan mendidik saya sehingga menjadi manusia seperti hari ini.

Ya Allah, Engkau limpahkanlah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibubapaku. Tempatkanlah kedua mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua ibu dan bapaku. Kasihanilah mereka Ya Allah, sebagaimana mereka mengasihani dan mendidikku ketika aku masih kecil. Ya Allah, Engkau ampunilah dosa mereka dan jauhilah keduanya daripada api neraka mu. Ya Allah, jika aku dipanggil olehMu, tempatkanlah aku di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Temukanlah aku dan keluargaku di syurgaMu Ya Allah. Syurga yang paling istimewa Ya Allah. Syurga Firdaus. Amin Amin Ya Rabbal 'alamin.

Peristiwa di Subuh Hari

Saya singgah untuk solat Subuh di sebuah masjid di negeri Perak. Ketika sampai di perkarangan masjid, bilal sedang mengalunkan azan dengan suara yang agak serak-serak basah. Saya pernah dengar suara imam tersebut, tetapi masih gagal meneka pemiliknya. Ramai sungguh orang di pagi tersebut sehingga saya terpaksa bersolat sunat di beranda masjid sahaja.

Apabila bilal memanggil untuk dipenuhkan saf, saya cuba untuk bergerak ke dalam masjid. Allah permudahkan. Semua orang memberi laluan. Tuptup... saya dah berada di saf yang paling hadapan. Betul-betul di belakang imam. Di sebelah saya rupanya bilal yang sebentar tadi mengalunkan azan, Dr. Zambry rupanya. Saya sempat bersalam dengan beliau. Di sebelah beliau adalah Ir. Nizar yang tersenyum memandang saya. Saya kaut juga tangan Ir. Nizar. Imam tidak pula dapat saya pastikan siapa. Kemudian saya mendengar Dr. Zambry berkata, "Ana tak ada suara la Sheikh, boleh tolong gantikan tempat Ana?". Saya terkedu tetapi tangan sudah memegang wireless mic yang dihulurkan sebagai tanda bersedia menggantikan beliau sebagai bilal.

Tuptup mimpi rupanya. Tak sempat saya menikmati kesudahan mimpi awal pagi tersebut. Terasa ingin menyaksikan apakah kesudahan ceritanya selepas solat tersebut.

Tak sangka pula cerita sedih dari Perak terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Doa saya agar mimpi menjadi realiti di mana pemimpin dapat duduk semeja untuk menangani dengan bijak tentang krisis kepimpinan di negeri tanah tumpah darah nenek sebelah arwak Mak saya ini. Sesungguhnya tiada kekuasaan yang kekal melainkan kuasa yang Maha Esa.

Sunday 22 February 2009

Minta Dua Ringgit!

Kamilia bersungguh-sungguh merayu supaya berikannya RM2. Mana mahu dilayan, saya sedang fokus untuk meratah hidangan yang berada di depan mata. Ada udang bakar, kupang masak cili, ikan bakar dan sotong goreng tepung untuk saya 'langsaikan'. Bukan selalu dapat 'turun' Melaka dan makan di Medan Ikan Bakar Umbai ini. Liza, Mak Bibah dan Bibik dah 'surrender'.

Kamilia tidak berputus asa. Dia terus mengganggu konsentrasi saya untuk makan. Dia tetap mahu RM2. Sebab musabab dia inginkan RM2 itu tidak pula dinyatakan. Saya jangkakan tentu dia dan Kamil sudah survei mainan di kedai-kedai kraftangan yang terletak berhampiran tempat kami menjamu selera.

Tak tahan diganggu akhirnya saya mengalah. Saya berikan RM2 kepada Kamilia. Saya minta Bibik tolong temankan mereka untuk melihat apa yang ingin dibeli.

Kamilia balik dengan cenderahati di tangan. Nak tahu apa bendanya? Rotan! Kenapa? Rupa-rupanya sambil bermain tadi dia sudah pergi survei harga. Katanya ini hadiah untuk papa kerana setiap kali dia dan Kamil buat perangai, papa kata nak beli rotan...tapi tidak juga dibeli. Jadi hari ini dia dah nampak rotan. Jadi tanpa mengetahui apa fungsinya... Kamilia sudah membeli satu hadiah yang cukup berharga untuk saya.

Friday 20 February 2009

Sinar Menanti

Secara kebetulan saya bertemu seorang Haji A. Beliau sekarang dalam proses menyiapkan restorannya yang akan menjadi salah sebuah mercu tanda di Shah Alam. Haji A merupakan seorang CEO bagi sebuah syarikat kontraktor yang beliau bina semenjak zaman mudanya. Kini beliau ingin menumpukan sepenuh perhatiannya kepada perniagaan makanannya yang saya jangkakan, insyaallah akan boom. Ini kerana lokasi yang dipilih memang cukup strategik. Pemandangan yang menarik dan kawasan itu merupakan lokasi tumpuan orang ramai. Parkirnya juga cukup luas. Kawasan restorannya dijangka boleh memuatkan 5000 orang dalam satu-satu masa. Itu hanya jangkaan sahaja berdasarkan keluasan kawasan. Itupun kalau Haji A membeli meja dan kerusi yang cukup untuk memuatkan sebegitu banyak pelanggan dalam satu-satu masa.

Apa yang nak saya tekankan di sini adalah berkaitan dengan keikhlasan Haji A di dalam menjalankan perniagaannya. Beliau telah 'penat' berurusan dengan bermacam-macam karenah birokrasi di dalam memajukan perniagaannya. Adakalanya beliau terpaksa 'bersubahat'. Haji A dah letih. Beliau inginkan kehidupan yang lebih berkat. Maka inilah jalan yang terbaik yang beliau pilih.

Yang menariknya juga, beliau akan mengambil sebahagian daripada pekerjanya dari orang-orang yang kurang berkeupayaan (OKU). Mereka ini akan digunakan mengikut kemahiran masing-masing dan juga sebahagiaannya akan 'dibentuk' oleh beliau. Kesungguhannya ini ditunjukkan lagi dengan beliau sendiri membuat temujanji dan seterusnya membincangkan ideanya ini dengan Presiden salah sebuah persatuan OKU. Maka kita tunggu dan lihat samada ini menjadi kenyataan. Sekiranya benar, maka kita akan dapat melihat OKU diberi peluang yang lebih untuk terlibat aktif di dalam masyarakat. Ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan sumber ekonomi golongan ini.

Selain daripada itu Kementerian Belia dan Sukan telah menjemput saya dan Nagoor Meera untuk terlibat di dalam membentuk satu program perintis untuk OKU. Saya tidak boleh bercerita panjang lagi berkenaan projek ini kerana ia masih lagi di dalam proses menyiapkan semula Kertas Konsep untuk dibentangkan di KBS. Insyaallah, sekiranya ia berjaya di dalam pembentangan nanti, maka program yang dirancang ini akan menjadi projek perintis di peringkat kebangsaan dan seterusnya akan diperkembangkan di peringkat zon atau negeri. Khidmat anda yang berminat dan yang sanggup bekerja bersama OKU amat dialu-alukan. Yang penting ikhlas, insyaallah berkat.

Thursday 19 February 2009

Usaha Mau Lebih Sikit!

Adanya kawan-kawan terdekat gunanya untuk ingat mengingati. Biasalah manusia, tidak pernah lari daripada membuat kesilapan. Akibat kelalaian dan ambil mudah, maka banyak masalah samada yang boleh dijangka atau memang sengaja tidak hendak dijangka akan 'muncul'.

Pagi-pagi tadi saya mendapat SMS daripada pelajar. Mereka memohon maaf kerana akan berlaku kelewatan untuk permulaan amali berkayak. Tercatat sebab dan musabab kelewatan tersebut. Alahai nasib badan... pelajar dah datang awal staf pula yang lewat nak keluarkan barang [nota: andaian dibuat berdasarkan kenyataan pelajar yang menyatakan bahawa mereka datang seawal 7 pagi]. Ini sudah bikin panas. Amali perlu dimulakan awal. Banyak teknik berkayak yang hendak dipraktiskan hari ini. Masa yang ada pula memang terhad. Amali hanya sampai jam 12.30 tengahari sahaja. Saya perlu memberi ruang yang cukup sebelum pelajar-pelajar terbabit memulakan kuliah subjek lain di sebelah petangnya pula.

Jam menunjukkan jam 10.30 pagi apabila semua barang selesai diturunkan daripada lori. Alahai nasib badan... minyak outboard pula tidak dibeli. Kenalah buat 'kerahan tenaga'. Minyak perlu dibeli. Ada yang sukarela menawarkan diri untuk pergi membeli.

Enjin Yamaha 20hp dilekatkan di transom. Alahai sekali lagi nasib badan. Tali starter tak ada la pula. Dah putus. Pelajar tak check dulu sebelum mereka angkut keluar dari stor ke dalam lori.

Usaha untuk mendapatkan enjin yang satu lagi pun gagal. Tak ada kenderaan untuk mengangkut enjin. Terpaksalah saya pun berkayak tepat jam 11.30 pagi. Takpalah depa saja nak penaya saya kot. Layan ajalah. Dinghi buat pertunjukan sahajalah kat tepi tasik tu. Terbakar sheikh!

Monday 16 February 2009

Takkan Kot Sampai Diguna-guna

Saya baru terbaca satu daripada posting di dalam blog Cebad bertajuk Guna-guna. Nama saya 'naik' sebagai salah seorang individu favourite kalau nak diguna-gunakan. Eh eh takkan sampai ke situ pula kot. Semua perkara boleh dibawa berbincang. Kalau dah teruk sangat pun buat ajalah laporan polis tak perlu sampai diguna-gunakan.

Takkanlah di zaman yang serba moden ini masih ada yang berfikiran kolot. Kalau merasakan diri dizalimi dan dianiayai berdoa sahajalah kepada Allah. Hanya kepadaNya sahaja tempat kita bermohon. Bukan pada jin, syaitan dan iblis yang sentiasa hendak merosakkan kaum Nabi Adam.

Saya merasakan apa yang dicatatkan oleh Cebad itu hanyalah andaian beliau sahaja. Harap-harap tak adalah di kalangan kita yang masih berfikiran kolot dan sanggup membinasakan orang lain dengan cara yang tak baik ini.

Sesungguhnya saya tidak gentar. Hanya kepada Allah saya berserah.

Thursday 12 February 2009

Bertuah

Saya amat bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara yang prihatin. Saya amat bersyukur kerana dikelilingi ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara yang sentiasa sudi memberikan sokongan dan bantuan tidak kira masa dan ketika.

Ketika saya tidak dapat menghadiri Amali Asas Perkhemahan yang bertempat di Bukit Cerakah tempohari akibat kematian Kak Ti, rakan-rakan pensyarah dan staf berebut-rebut untuk hadir menggantikan saya sebagai pengiring untuk amali tersebut. Mereka ikhlas membantu. Terima kasih Cik Su, En. Norasrudin, Pn. Rezian-na, En. Bob, Moon En.Azizul dan En. Khaizani dan tidak dilupakan pensyarah dari INSTEDT iaitu En. Ahmad Firdaus Ibrahim, En. Fadzil dan En. Shah


Alumni PERLU dan ahli PERLU UiTM juga turut sama menyumbang tenaga mereka untuk menjayakan program tersebut. Mereka hadir tanpa dibayar. Saya yakin mereka hadir kerana Allah dengan niat untuk membantu melancarkan aktiviti amali perkhemahan tersebut. Jasa kesemua mereka di atas hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Terima kasih kesemuanya yang sudi hadir.

Saya juga mendapat maklumat peserta-peserta kali ini seperti kumpulan sebelumnya memberikan sepenuh komitmen biarpun tanpa kehadiran saya. Khabarnya semua aktiviti yang telah direncanakan berjalan dengan lancar dengan kerjasama yang tidak berbelah bagi yang telah ditunjukkan oleh para peserta. Alhamdulillah segalanya selesai tanpa sebarang kecelakaan dan mencapai objektif yang telah digarapkan.

Jiran di kawasan perumahan saya pula sememangnya cukup prihatin. Mereka tertanya-tanya ke mana menghilangnya saya sekeluarga selama lebih 3 hari. Ramai menjangkakan saya bercuti selepas pulang dari Dungun tempohari. Saya pula terlupa terus untuk memaklumkan kepada mereka. Kepala saya hanya teringatkan urusan 'penting' di kampung. Setelah jiran-jiran mengetahui keadaan sebenar 'kehilangan' saya sekeluarga. Rumah saya berterusan dikunjungi oleh jiran-jiran terdekat selepas waktu pejabat untuk bertanya khabar dan mengutuskan ucapan takziah. Saya menghargai dan menghormati segala keprihatinan dan sokongan mereka. Semoga Allah terus menyuburkan dan memelihara kerukunan kawasan kejiranan kami.

Wednesday 11 February 2009

Hijrahlah Saudaraku

Memang dah lama saya dah suruh Kak Ti dan suaminya berpindah ke Kulim. Semenjak awal tahun 2000 lagi. Saya tidak pernah jemu memujuk kedua mereka untuk berhijrah. Suami Kak Ti masih berpegang pada prinsip. Memang dia keras hati. Dia nak buktikan pada Pak Njang bahawa kampungnya di Sik bukan seperti yang disangkakan oleh Pak Njang. Dia masih boleh mencari rezeki di Sik. Saranan Pak Njang memang tidak setuju langsung. Adakah patut Pak Njang katakan sekiranya selepas kahwin nanti mereka menetap di Sik... seluar dalam pun belum tentu dia boleh beli. Hina sangatkah Sik ini! Tapi saya faham maksud Pak Njang. Dia tidak mahu Kak Ti hidup susah. Tapi suami Kak Ti buat-buat tak faham.

Pertengahan tahun 2001 saya pernah singgah di rumah mak mertua Kak Ti. Tempat di mana mereka menumpang ketika itu selepas mereka berumahtangga. Bukan nak memalukan kakak sendiri tetapi saya teramat simpati. Kehidupan mereka amat dhaif. Kalau arwah mak dan abah masih ada tentu mereka sedih. Susah mereka pun tidak sampai ke tahap itu. Padahal Kak Ti dah berjawatan Penyelia ketika bekerja di sebuah kilang di Kulim. Tapi dia sanggup berhenti dan mengikut suaminya menetap di Sik.

Ketika di dalam perjalanan untuk melawat pelajar FSR yang sedang menjalani latihan praktikal di Tasik Pedu bersama-sama dua orang sahabat, Boot dan Kudult pada pertengahan tahun 2001. Saya terjah sahaja rumah mereka seawal jam 4 pagi. Saya hanya membuat panggilan ke rumah mak mertua Kak Ti ketika saya benar-benar hampir dengan rumah mereka. Saya nak tunjukkan kepada kawan-kawan saya tentang kedhaifan hidup kakak kandung saya. Saya mahu Boot dan Kudult cuba menasihati Kak Ti dan suaminya agar berhijrah. Kami gagal. Suami Kak Ti memang keras hati.

Dari sehari ke sehari, tahun ke tahun saya masih tidak jemu mengajak Kak Ti sekeluarga agar berhijrah. Semuanya saya lakukan kerana simpati dengan keadaan hidup kakak kandung saya itu. Saya kasihan anak-anak buah saya. Bukan mudah untuk belajar dalam suasana yang serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air. Rumah mereka pula sukar untuk saya gambarkan di sini. Kudult, Boot dan saudara mara saya yang pernah ke Sik tentu lebih mengetahui.

Bukannya keluarga kami di Kulim tak mampu. Saya dah hadiahkan rumah peninggalan arwah abah di Kulim untuk Kak Ti sekeluarga. Kalau tak cukup besar, saya anugerahkan lagi tanah peninggalan arwah emak dan abah. Pilihlah mana satu nak dibina rumah. Sinar kehidupan di Kulim sememangnya lebih cerah. Tapi sayangnya suami Kak Ti masih keras hati. Semua itu tidak dipandangnya. Dia masih berpegang pada prinsip hidupnya. Kebanyakan saudara mara di Kulim dianggap sebagai musuh. Mereka yang cuba menasihati terus dianggap musuh.

Ketika saya membawa Liza dan anak-anak beraya di Sik tahun lepas, Kak Ti gembira melayan kami. Kak Ti menjamu kami dengan kuih raya dan lauk pauk yang disediakannya sendiri bagi menyambut kami. Dia hadiahkan duit raya kepada anak-anak saya yang pada tahun sebelum-sebelumnya memang dia tidak mampu untuk berikan. Saya tahu kehidupan Kak Ti sekeluarga ada sedikit perubahan. Saya dapat melihat raut wajah Kak Ti yang keletihan. Wajahnya lebih tua dari usia. Mungkin kerana penat bekerja membantu suami.


Kasihan Kak Ti dan anak-anak. Kak Ti tak sempat merasakan sepenuhnya kesenangan yang ditinggalkan oleh pusaka Mak dan Abah. Kak Ti sememangnya seorang isteri yang taat pada suaminya. Arwah setia menemani suaminya di kala kehidupan mereka yang susah. Dia tak sanggup meninggalkan suaminya walau sedetik untuk mengejar kesenangan yang dijanjikan di tempat kelahirannya. Begitulah taat dan setianya seorang isteri terhadap suaminya. Kini saya faham Kak Ti tidak mengharapkan bahagia dunia semata tetapi bahagia abadilah yang dicarinya.

Saya berdoa agar arwah Abah, Mak dan Kak Ti mendapat kemewahan sebenar di syurga Firdaus. Dan tunggulah kami di sana...

Tuesday 10 February 2009

Kalau Dah Ajal


Memang benar bagai dikata, kalau dah ajal sedikit pun ia tak akan berganjak. Kalau dah tertulis hari ini kita akan meninggalkan alam yang fana ini maka tunggu sahajalah Izrail datang menjemput dan jasad akan terus terbujur di pembaringan. Sememangnya hidup, mati dan jodoh pertemuan adalah urusan Allah S.W.T. Maka kita pula perlulah menggunakan sebaik-baiknya peluang kehidupan yang telah Allah S.W.T kurniakan kepada kita semua.

Kak Ti telah selamat pergi menyahut panggilan Illahi. Arwah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Paya Terendam selepas disolatkan di surau kampung tersebut selepas solat Zohor. Alhamdulillah begitu ramai saudara mara dan sahabat handai serta orang-orang kampung yang datang menziarahi jenazah.

Menurut cerita dari sumber-sumber terdekat, Kak Ti tidak menunjukkan sebarang perilaku ganjil sebelum beliau meninggal. Beliau cuma ke pekan Sik beberapa hari sebelum meninggal dunia. Tujuannya untuk mengeluarkan sejumlah besar wang dan dengan wang tersebut digunakan untuk membeli barang-barang dapur kering dan basah dalam jumlah yang besar. Katanya kepada pemandu teksi yang ditumpangnya adalah untuk dibuat kenduri. Pemandu teksi tersebut sememangnya merupakan teksi yang sering disewa oleh Kak Ti sekiranya arwah hendak ke Pekan Sik yang terletak kira-kira 7KM dari rumahnya. Arwah begitu percaya dengan pemandu teksi tersebut sehingga menunjukkan buku akaun Tabung Haji untuk kesekian kalinya kepada pemandu itu. Terkejut besar pemandu teksi itu apabila melihat jumlah baki wang yang terkandung di dalam buku akaun tersebut. Saya dapat jangkakan apa yang bermain di kepala pemandu teksi tersebut!. Kini semuanya dah tersebar di Kg Paya Terendam. Semuanya akibat dibawa mulut oleh isteri pemandu teksi tersebut yang begitu Kak Ti percayai boleh menyimpan rahsia.

Beberapa minggu sebelum Kak Ti menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau kerap menyewa teksi yang sama. Dibelinya kain batik, baju blouse dan bekas plastik dalam jumlah yang terlalu besar. Kesemuanya ini disorokkan daripada pengetahuan dan penglihatan suaminya dan keluarga terdekat di kampung itu. Yang tahu tentang pembelian itu hanya pemandu teksi, penjual dan Kak Ti. Kenapa Kak Ti membeli semua ini tiada siapa ketahui. Tetapi saya pasti semua ini bukan untuk diniagakan.

Pada malam sebelum meninggal, Kak Ti sekali lagi keluar ke pasar malam bersama suami, anak-anak dan ibu mertuanya. Banyak wang yang telah diperuntukkan untuk membeli barang-barang dapur basah pada malam tersebut. Arwah juga tidak lupa membeli kuih yang menjadi kesukaan anak lelaki kesayangannya, Amirul yang baru Darjah 6 dari tinggal di asrama. Seterusnya mereka menghantar kuih tersebut ke asrama dan arwah sempat berpesan agar Amirul rajin belajar dan tidak tinggal solat. Rupa-rupanya itulah pesan terakhir untuk Amirul (anak lelaki sulung) daripada ibu tercinta. Sudah pastilah Amirul begitu merasai kehilangan ibunya yang menjadi tempat dia bercerita kisah suka duka di asrama dan sekolah. Najihah anak kedua yang mukanya iras ibunya begitu sedih di sisi jenazah ketika saya sampai di rumah ibu mertua Kak Ti. Dia hanya mampu menangis teresak-esak di sisi jenazah. Hana (Bongsu) sememangnya seperti kanak-kanak lain gembira dengan ramai kawan yang datang. Hana masih lagi belum memahami erti kehilangan. Mungkin satu hari nanti dia akan memahami.


Sunday 8 February 2009

Khabar Dari Sik:Kak Ti Meninggal

Saya sekeluarga kini sedang berada di Sik. Kakak kandung saya, Norhayati binti Che Mat telah selamat kembali ke Rahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar jam 2.00 pagi semalam ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Sik. Arwah telah meninggalkan seorang suami bersama tiga orang anaknya yang berumur 8, 10 dan 12 tahun.

Menurut suaminya, Kak Ti mengalami kesukaran untuk bernafas sekitar jam 1 pagi.

Saya sayang Kakak. Satu-satunya saudara kandung saya di mukabumi ini. Namun Allah lebih menyayanginya. Beliau telah pergi meninggalkan kami semua pada umur 36 tahun.

Rakan-rakan bloggers sekalian, saya bermohon agar sama-samalah kita doakan semoga roh satu-satunya kakak kandung saya ini dicucuri rahmat dan seterusnya ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Amin ya rabbal'alamin.

Al-Fatihah

Friday 6 February 2009

Kerahan Otak

Memang penat. Otak dikerah berfikir. Banyak yang perlu dilakukan di sini. Kami perlu bersegera menyiapkan banyak perkara. Banyak yang berjaya dilaksanakan di sini. Sungguh efektif. Suasana yang tenang sememangnya banyak membantu. Otak yang penat akibat diperah siang malam dapat direhatkan dengan menyedut bayu Laut China Selatan yang menyegarkan. Pemandangan yang indah sedikit sebanyak dapat menenangkan otak yang penat dikerah.

Kami berjaya menyiapkan banyak kerja di sini. Lebih awal dari yang dijangkakan. Kami mendapat berita gembira dari Boss (Dekan FSR) petang tadi. Kami dibenarkan untuk berbarbeku di pantai. Sotong, udang dan ikan yang masih fresh dipanggang. Semua makanan laut ini baru sahaja dinaikkan oleh nelayan yang mendarat di pantai berhampiran. Kami beli sendiri dengan wang yang sama-sama dihulurkan. Seafood itu semuanya segar bugar. Yummy. Wow! Sememangnya saya 'hantu' seafood. Tak mungkin saya lepaskan saat ini. Harap-harap tak adalah sesiapa yang kena angkut ke hospital akibat serangan batu karang. Nak menyesal pun tak guna. Saya makan sepuas-puasnya. Nafsu.

Habis makan ada karaoke la pula. Semua kena menyumbangkan suara. Saya hanya menyumbangkan lagu. Memang sumbang. Pensyarah dan staf FSR sememangnya serba boleh (hehehe masuk bakul angkat sendiri da). Balun saja. Apa peduli. Yang penting happy selepas penat bekerja.

Ok, saya mau tidur. Esok pagi masih ada lagi tugasan yang nak disiapkan. Jumpa lagi. Adios.

Thursday 5 February 2009

Dungun Lagi

Sekali lagi saya dan rakan-rakan di FSR ke Hotel UiTM Dungun. Kali ini untuk meneruskan tugas untuk menyiapkan kerja-kerja berkaitan pembentukan program-program baru sarjana muda. Otak dikerah bekerja. Penat berfikir untuk memastikan program baru yang dihasilkan memberikan impak maksima. Ok gerak dulu, mau buat kerja.

Wednesday 4 February 2009

Amali Orienteering

Sewaktu Diploma Pengurusan Kesenggangan (Diploma in Leisure Management) ditawarkan di FSR dahulu, Orienteering dimasukkan sebagai salah satu daripada subjek wajib program. Silibus subjek ini merangkumi banyak perkara berkaitan aktiviti Orienteering. Bermula dari Pengenalan kepada aktiviti orienteering, sejarahnya di dunia dan di Malaysia, tentang kompasnya dan petanya, tentang jenis-jenis pertandingan orienteering sehinggalah ke peraturan-peraturan di dalam pertandingan. Banyak tu nak diajar. Banyak juga untuk dipelajari dan dipraktiskan oleh para pelajar.


Sekarang, Orienteering hanya dimasukkan sebagai sebahagian daripada pengisian di dalam kursus Rekreasi Luar. Hanya satu sessi lebih kurang 4 jam untuk menghabiskan teori dan amali. Memang agak sukar dengan hanya masa yang terhad ini untuk memahirkan pelajar dengan teknik penggunaan peta orienteering dan kompas. Namun dengan semangat dan minat yang ditunjukkan tadi, saya yakin pelajar mendapat manafaatnya. Bagi mengukuhkan pemahaman pelajar berkaitan aktiviti Orienteering, maka pelajar ini akan mempraktiskan lagi kemahiran mereka semasa di Amali Asas Perkhemahan di Bukit Cerakah nanti. Harap-harap tak adalah yang tersesat sampai ke Monterez ya!

Nota: Peserta dari Kolej Shahputra terpaksa menarik diri di saat akhir dek masalah pengangkutan.

Monday 2 February 2009

First Camp

Amali Asas Perkhemahan Rekreasi Luar yang juga merupakan Kursus Kejurulatihan Rekreasi Luar Tahap Satu akan berlangsung tidak lama lagi. Maklumat berkaitan amali tersebut adalah seperti berikut:
Tarikh: 7 hingga 9hb Februari 2009 (Sabtu - Isnin)
Lokasi: Tapak Perkhemahan Camar Rimba, TPM, Shah Alam.
Peserta: 27 FSR UiTM Shah Alam, 24 INSTEDT Johor & 15 Kolej Shahputra Kuantan.
Aktiviti: Icebreaking, knotting, first aid, menjejak, orienteering dan keraf perkhemahan.