Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 30 September 2008

Kutub Utara Kutub Selatan

Saya sekeluarga sekarang berada di Kg Gelam, Tangga Batu, Melaka. Beraya hari pertama di Melaka kami semua tahun ini. Nampak gayanya tahun ini agak meriah berbanding enam tahun lalu. Sebabnya... hanya kami sekeluarga dan Allah sahaja yang tahu. Kepada rakan-rakan yang beraya di Melaka atau di kawasan yang berhampiran bolehlah berkunjung ke rumah mak mertua saya. Buat panggilan telefon dahulu ya sebelum muncul. Saya akan pastikan kemunculan anda dinantikan.

Insyaallah raya kedua kami sekeluarga akan berangkat pulang ke Kulim. Tempat kelahiran saya yang sentiasa menjadi ingatan sepanjang hayat. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat membesar. Masih ramai lagi sanak saudara saya yang masih tinggal di Kulim yang perlu saya ziarahi di bulan yang mulia ini.

Sudah tentulah juga pusara emak dan abah akan menjadi antara lokasi yang akan saya kunjungi kelak. Esok (1/10/2008) genap 17 tahun abah pergi selama-lamanya meninggalkan dunia yang fana ini. Semoga roh Abah dan emak sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah buat allahyarham Che Mat bin Ishak dan allahyarhamah Rahimah binti Mohamad Noh.

Friday 26 September 2008

Ingatan Tulus Ikhlas

Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera

Di hari baik dan bulan baik ini saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penjengok-penjengok sekalian terutama sekali kepada muslimin dan muslimat. Bersama-samalah kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Illahi di atas kurniaan-Nya kerana dipanjangkan umur dan dapat sekali lagi kita bersama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Kita juga sepatutnya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dikurniakan kesihatan tubuh badan dan telahpun berjaya menyempurnakan ibadah berpuasa di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan di hari dan bulan yang baik ini untuk memohon kemaafan Zahir dan Batin.

Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan sekalian agar dapat meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman menemui ayah dan bonda sekiranya mereka masih ada. Ini jugalah masanya untuk kita mengeratkan silaturrahim sesama adik beradik, sanak saudara dan rakan taulan.

Sama-samalah juga kita berhati-hati di sepanjang pemanduan semasa berhari raya. Janganlah kita menambahkan lagi statistik kemalangan di Hari Raya. Bacakanlah doa menaiki kenderaan dan Ayatul Kursi sebelum memulakan perjalanan. Rehatlah secukupnya sekiranya anda memandu jauh.

Akhir sekali saya sekeluarga sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin. Kalau ada apa-apa silap dan salah, kami mohon maaf.

Ikhlas,
Hisyam Che Mat
Norliza Ali Wee
Kamilia Afiqah Hisyam
Kamil Afiq Hisyam

Janji Tetap Janji

Sambil dok bermesyuarat tu sempat saya melarikan diri ke Auditorium Pusat Islam. Ada program dengan Wakil Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). Encik Mohan dari MPM sudi hadir atas jemputan pelajar subjek Leisure and Disabilities untuk menceritakan pengalaman beliau membawa atlit-atlit OKU ke Paralimpik Beijing.

Selepas 16 tahun negara melabur dan kepinginkan pingat, barulah atlit kita dapat membawa pulang satu gangsa sebagai hadiah. Harap-harap selepas ini tiada lagi layanan kelas kedua seperti yang berlaku sebelumnya ke atas atlit-atlit OKU. Ini kerana katanya seiap ganjaran diukur berdasarkan tahap pencapaianm darjah kesukaran dan saingan. Itu janji Datuk Menteri sendiri semasa berkenan menyampaikan cek sejumlah RM100.000 kepada Siow Lee Chan kerana berjaya meraih gangsa pada Sukan Paralimpik Beijing menerusi acara angkat berat. Ingat tu Datuk Menteri... JANJI TETAP JANJI.

Thursday 25 September 2008

Susahnya nak Bersegera.

Bermesyuarat selama 6 jam merupakan sesuatu yang meletihkan. Otak kena sentiasa berfikir. Ini kerana semalam diadakan Mesyuarat Pelarasan dan Pembentangan Penyemakan Semula Kurikulum FSR. Yang bermula jam 9 pagi hingga 3 petang. Memang meletihkan.

Kebetulan saya ada amali rekreasi luar semalam, maka saya mulakannya lebih awal. Nasib baik Azmi, Mus dan Lenny datang seawal 8.00 pagi membantu. Kemudian ramai lagi fasilitator dan alumni PERLUyang hadir. Pelajar pula tanyalah fasilitator yang hadir. Mungkin fasilitator lebih ramai dari pelajar saya. Ramai pelajar yang datang lewat. Saya halau tak bagi masuk. Mereka pula tak tunggu lagi. Terus pulang. Seronok, dapat sambung tidur kot. Kalau pelajar-pelajar dulu, mereka tunggu depan bilik. Salin nota atau tengok dari luar. Jelas, sekarang dah berubah. Saya juga pernah susun kerusi belakang pintu tinggi-tinggi. Saja nak buat pedajal dengan mereka yang datang lewat. Maka akan jatuhlah kerusi yang disusun tinggi ta’kala pintu dibuka. Pernah berlaku pelajar yang buka pintu tadi berlari terus keluar. Tak jadi masuk kelas. Malu kot ataupun terkejut.

Wednesday 24 September 2008

Cikgu Ecah

Macam Hari Guru pulak. Sehari dua ni asyik dok teringat Cikgu saja.

Cikgu Aishah guru saya masa Darjah Satu. Jiran dekat rumah. Memang cukup baik dan penyayang. Dalam pada tu, kadang-kadang cenge juga. Memang sesuai sangat mengajar budak-budak yang tengah nakal ni yang memang tak reti bahasa.

Keputusan peperiksaan akhir tahun dah saya perolehi masa tu. Saya dah dapat Kad Laporan. Memang gembira tak terkata. Dapat No.2. Sikit lagi nak dapat No.1.

Bila Abah balik dari tempat kerja terus saya sambut dia dan tunjuk Kad Laporan. Bangga la masa tu. Nak tunjuk kat Abah yang anak ni cemerlang. Tapi lain pulak jadinya. Abah marah betul.

"Apa nak jadi dengan hang ni Syam", tempik Abah. "Pasai apa pulak Abah", sahut saya. "Hang baca ni", kata Abah sambil menunjukkan tulisan yang tercatat di bahagian catatan guru kelas di tepi Kad Laporan.

Tercatat di situ, "PELAJAR INI TIDAK BOLEH DUDUK DIAM. BELIAU SERING BERJALAN DI DALAM KELAS". Ianya ditulis oleh Cikgu Aishah. Saya tak perasan la pulak. Patut pun Abah marah.

Tuesday 23 September 2008

Tercorot

Betul... saya yang tercorot dalam kelas. Nombor paling banyak sekalilah menjadi kedudukan saya dalam senarai kelas kalau diikut dari segi ranking.

Masa tu saya berada di Darjah 5 Merah (kelas kedua terbaik dari 6 kelas kesemuanya). Saya ditempatkan bersama kawan-kawan yang berada dalam kelompok terlemah di dalam kelas kerana keputusan ujian yang terlampau teruk. Padahal tahun tersebut adalah tahun terpenting. Ada peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

Cikgu kelas bernama Cikgu Khan. Kalau di Sekolah Rendah Tengku Malik, cikgu inilah yang dikenali sebagai seorang yang paling serius dan garang atau ce'nge dalam loghat utara. Tiap-tiap kali apabila Cikgu Khan masuk untuk kelas Matematik, saya akan dipanggil untuk 'mengadap' beliau di hadapan kelas. Saya akan disuruhnya ketuk ketampi, ditarik 'sideburn', dicubit di perut (berparut sampai hari ini) , berdiri di atas kerusi dan macam-macam lagi hukuman pelik yang lain. Hukumannya berbeza-beza untuk hari yang berbeza. Itulah penangannya kerana malas nak belajar. Asyik ingat nak main saja.

Cikgu Khan memang seorang pendidik yang sebenar. Diajaknya saya ke rumah beliau di sebelah petang. Tujuannya untuk diberikan kelas tambahan. Semuanya percuma. Cikgu Khan sendiri yang mengajar saya.

Alhamdulillah... saya lulus Penilaian Darjah 5 berkat usaha, dorongan dan doa keluarga dan semua yang hampir. Tidaklah cemerlang sangat, tapi saya gembira. Saya dapat 4A dan 1B. Keputusan B untuk Bahasa Melayu.

Ada sekali tu, saya singgah di Masjid al-Huda Kilang Lama untuk Solat Asar. Selepas selesai solat saya ternampak, seorang lelaki tua sedang berjalan meraba-raba dinding untuk keluar dari masjid. Terus saya menuju ke arah lelaki tua tersebut dan memberi salam. Seterusnya lelaki tua itu bertanya, "Siapa ni?". "Cikgu dah tak kenai saya lagi ka?", duga saya pula. Lelaki tua itu menjawab, "Maaf la, sekarang ni saya dah rabun, kurang nampak tapi saya rasa hang ni Hisyam Che Mat kan... anak penakan Cikgu Lah". Terkejut saya. Seorang cikgu yang memang dah lama saya tak jumpa masih mengenali anak didiknya. Seterusnya saya tidak melepaskan peluang untuk bersembang panjang dengan cikgu yang pernah jemu-jemu mendidik saya hingga menjadi insan seperti hari ini.

Sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah kepada Cikgu Khan.

Monday 22 September 2008

Blogawan Baru

Warga FSR tentu mengenali Encik Hamdan Ahmad. Beliau mantan Pemangku Dekan FSR selepas PM Dr Anuar Suun tamat tempoh jawatan sebagai Dekan. Kini Encik Hamdan lebih banyak 'bertapa' di biliknya di tingkat atas, betul-betul di depan bilik saya. Tiada lagi kesibukan berkaitan pentadbiran FSR yang perlu beliau fikirkan.

Banyak sudah artikel beliau berkaitan sukan dimuatkan di dalam akhbar-akhbar harian. Alhamdulillah setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya beliau bakal muncul dengan blog sendiri.

Menurut Encik Hamdan, beliau akan memuatkan cerita-cerita santai mengenai kisah hidupnya dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa. Tentu banyak kisah-kisah menarik yang mungkin akan kita ketahui tentang kisah hidup beliau. Sama-samalah kita nantikan kemunculan satu lagi blog yang akan menggegar alam blog.

Ramainya Manusia

Memang ramai betul. Terlalu ramai.

Nasib baik saya datang awal pagi. Jam 7.00 pagi saya sekeluarga dah tercongok di Car Boot Sale (CBS) berhampiran Stadium Melawati. Kalau lewat, nampak gayanya kenalah 'menapak' jauh ataupun 'berebut' parkir.

CBS di Shah Alam ini semakin mendapat tempat di hati penduduk setempat. Malah ada pengunjung yang sanggup datang dari jauh hanya sekadar untuk mencuci mata di awal pagi. Walaupun namanya CBS, tetapi barangan bukannya diletakkan di dalam boot kereta semasa dijual. Konsepnya sahaja ditiru dari U.K.

Pelbagai barangan boleh diperolehi di CBS. Ada sesetengah barang tidak pernahpun dilihat dijual di pasaran negara. Apa sahaja barangan yang dijual akan mendapat tempat di sini. Ini kerana setiap pengunjung yang datang mempunyai citarasa mereka yang tersendiri. Kepada sesiapa yang tidak pernah berkunjung ke sini bolehlah cuba-cuba datang. Pasti anda akan datang lagi.

Saya juga pernah bercita-cita menjual barang-barang terpakai di sini. Tetapi saya sebenarnya tak cukup kuat menahan panas terik mentari. Hanya orang yang kuat semangat sahaja yang mampu bertahan di sini. Kalau sayalah... mungkin minggu ini buka, minggu depan tutup terus. Sebabnya demam panas.

Friday 19 September 2008

Thursday 18 September 2008

Wonderpets

"Kami tak besar dan kami tak kuat.. bila kerjasama semua jadi mudah....
wonderpet....yeah.....
Apa yang penting.... kerjasama!
Apa yang penting.....kerjasama! "

Rupa-rupanya baru saya sedar ada juga kartun yang mendatangkan manfaatnya apabila ditonton. Sesuai sangat ditonton oleh anak-anak berbanding dengan Ultraman Tiga/Dyna/Gaia. Jadi kepada yang belum tahu. Cuba-cubalah menonton kartun Wonderpets. Tonton bagaimana haiwan saling membantu antara satu sama lain.

Setiap hari, jam 2.30 petang di TV9 atau ASTRO 119. Itupun kalau ada kelapangan. Jangan sampai ponteng kelas.

Nota: Kadang-kadang yang muka ganas pun kena tengok kartun juga, supaya dilembutkan hati.

Allah Sayangkan Aku

“Ya Allah, jauhkan hamba Mu ini daripada perasaan bongkak, juah, takbur, riak dan ego. Amin.”

Ketika orang lain sudah bersedia untuk menghadapi SPM, saya juga turut bersedia. Namun dugaan menimpa. Abah pergi selama-lamanya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Saya berhenti sekolah kononnya untuk menjaga kakak. Saya ingin bekerja. Saya tak mahu kakak terus bekerja di kilang. Tak selamat. Anak lelaki tunggal ini sanggup berkorban demi kakak tersayang. Saya tak fikirkan masa depan ketika itu. Allah sayangkan saya. Dikurniakan-NYA ilham kepada guru-guru dari sekolah menengah tempat saya belajar pada ketika itu untuk datang memujuk dan saya akhirnya meneruskan pengajian. Saya lulus SPM.

Ketika kawan-kawan yang lain sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir Matrikulasi Sains di UPM, saya juga turut bersedia. Namun dugaan menimpa. Saya diserang demam campak di saat-saat yang begitu hampir dengan peperiksaan akhir. Saya perlu dikuarantin. Mat Gym, teman sebilik secara sukarela sudi membantu di dalam hujan menghantar saya ke Hentian Puduraya dengan motor Honda C70 miliknya(R6661 dalam kenangan). Saya mengambil tiket untuk pulang ke Kulim. Saya tertekan di kampung. Peperiksaan makin hampir. Saya begitu tidak selesa ketika pulang semula ke kampus untuk menjawab kertas soalan peperiksaan. Allah sayangkan saya. DiberiNYA saya peluang untuk lulus Matrikulasi Sains di UPM, walaupun tidak secemerlang kawan-kawan yang lain.

Ketika sahabat-sahabat lain sibuk menyiapkan tesis akhir pengajian di peringkat sarjana muda, saya pun turut sama bertungkus lumus. Namun dugaan menimpa. Saya menghadapi masalah besar dengan penyelia tesis. Beberapa orang sahabat baik juga mengalami masalah yang sama. Ada kemungkinan besar pada ketika itu kami tidak akan menamatkan pengajian pada semester tersebut. Saya risau. Cukup-cukup risau. Allah sayangkan saya. DilembutkanNYA hati sang penyelia agar menerima seadanya tesis yang telah saya sediakan walaupun mungkin tidak seperti yang beliau inginkan. Saya akhirnya bergraduat. Semua sahabat-sahabat saya seramai 19 orang turut bergraduat.

Ketika rakan-rakan lain di FSR telah mempunyai ijazah sarjana, saya seorang lagi yang tertinggal tidak punya apa-apa. Saya cuba memohon biasiswa sebanyak dua kali. Namun gagal. Kali pertama katanya (Bahagian Latihan dan Biasiswa, BLB) saya tak cukup syarat. Kali kedua pula jawapannya (Timbalan Pendaftar, BLB) kerana saya sudah menyambungkan pengajian peringkat sarjana di UPM. Maka jawapannya mudah sahaja, teruskan sajalah belajar di sana. Anda tidak memerlukan biasiswa. Belajar di peringkat sarjana di UPM tidak semudah yang disangka. Lebih tiga tahun saya cuba menghabiskan pengajian. Namun saya tewas. Kejayaan di UPM memang terlalu samar. Saya tidak nampak akan lorong kejayaan untuk menamatkan pengajian di sini walaupun saya hanya tinggal untuk menamatkan penulisan untuk tesis sahaja (matapelajaran wajib semuanya telah saya ambil, lulus agak cemerlang). Saya telah menghabiskan banyak wang dan masa sendiri untuk pengajian di sini (terpaksa berulang alik dengan wang sendiri dan mencari masa sendiri agar tidak mengganggu masa mengajar di UiTM), namun sinar kejayaan terus pudar. Saya tewas. Tiada kejayaan di sini.

Allah sayangkan saya. KepadaNYA sahajalah tempat saya mengadu. DiberiNYA saya peluang untuk berdoa di tempat-tempat yang paling mustajab. Saya dikurniakan rezeki untuk ke Tanah Suci bersama isteri dan anak tersayang, Kamilia. Saya gunakan sepenuhnya untuk berdoa. Setiap tempat yang dikatakan mustajab doa saya kunjungi. Saya teringat pesan ustaz yang menyampaikan tazkirahdi hotel tempat saya menginp semasa di Mekah. Kata beliau, “Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, janganlah lupa bermohon kepada Allah ketika berada di Tanah Suci. Ini kerana doa kita dengan mudahnya akan diangkat oleh Allah swt. Sekiranya doa kita tidak makbul hari ini, mungkin ianya esok. Kalau tidak esok mungkin ianya dimakbulkan lusa. Kalau tidak lusa mungkin minggu hadapan atau bulan hadapan atau seterusnya tahun hadapan. Kalau tidak juga maka Allah akan makbulkan juga doa kita nanti semasa di akhirat. Maka berdoalah tuan-tuan dan puan-puan sekalian”.

Saya merasakan diri ini begitu hampir dengan Allah. Saya tidak henti-henti berdoa. Antara doa yang saya sentiasa baca ketika berada di tempat-tempat yang dikatakan mustajab doa: “ Ya Allah, aku pohon keampunanmu. Ya Allah, aku memohon kerahmatan darimu. Ya Allah, hambamu ini memohon taufik dan hidayahmu. Sesungguhnya hambaMu ini terlalu lemah. Kasihanilah hambaMu ini Ya Allah. Berilah peluang kepada hambaMu untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Berilah peluang kepada hambaMu untuk menamatkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Berilah peluang hambaMu menuntut ilmu sehingga ke peringkat sarjana dan PhD di luar negara. Ya Allah permudahkanlah segala kerja buatku, janganlah Engkau susahkan. Wahai Tuhan yang Mulia.”

Allah sayangkan saya. Daripada kegagalan awal, diberinya kejayaan di penghujungnya. Permohonan biasiswa saya untuk kali ketiga akhirnya berjaya. Saya berjaya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di La Trobe University, Bendigo, Australia. Saya titipkan kenangan yang tidak sampai setahun menuntut di Bendigo melalui laman sesawang ‘Khabar dari Bendigo’ sebagai kenangan sepanjang hayat. Allah mempermudahkan banyak kerjabuat saya sepanjang berada di Bendigo. Allah sayangkan saya. DipertemukanNYA saya dengan ramai insan-insan yang ingin membantu saya sekeluarga sepanjang berada di sana. Akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian di sana. Saya bersyukur kehadratNYA.

Isnin lepas saya dan Liza ke Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Ada majlis di sana. Majlis Konvokesyen khas untuk mereka yang tidak dapat ke Australia untuk menerima ijazah masing-masing. Dalam bahasa mudahnya, majlis untuk golongan yang berjimat ataupun yang tak mampu terbang semula ke Australia untuk menerima ijazah.
Saya telah dijemput untuk menerima ijazah Sarjana Pendidikan Luar dan Persekitaran dari Universiti La Trobe, Australia. Saya merupakan orang pertama yang naik ke pentas, maka layan sajalah. Tidak ada rehearsal langsung. Cuma ditunjukkan cara hormat sebelum terima ijazah daripada Pro Vice-Chancellor, Dr Kerry Ferguson. Itu sahaja. Majlis berlangsung tak sampai 45 minit. Wow! Cepatnya. Maklumlah cuma ada 45 orang penerima ijazah sahaja. Kebanyakannya ijazah sarjana muda. Selepas berlangsungnya majlis tersebut disediakan pula jamuan untuk para tetamu. Apa boleh buat, tengok sajalah. Nak makan, puasa.






Friday 12 September 2008

PERLU UiTM Sudah, KOB UPM Bila Lagi?

Semalam Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) telah selamat menganjurkan Majlis Berbuka Puasa yang bertempat di tepi bangunan Kolam Renang. Ramai yang hadir. Meriah sungguh majlis semalam. Bermula dengan berbuka puasa yang sekadar mengisi perut. Diikuti dengan solat Maghrib berjemaah. Sambung kembali makan sehinggalah berakhir dengan solat sunat Terawih dan Witir berjemaah.

Banyak iktibar yang boleh kita ambil dari majlis semalam. Ianya berkaitan perancangan dan perlaksanaan majlis sebegini. Apapun saya merasakan majlis semalam berjaya mencapai matlamatnya di dalam mengeratkan silaturrahim sesama ahli, alumni dan penasihat PERLU. Tahniah kepada penganjur.

Di sinilah saya lihat betapa pentingnya siswa-siswi hidup berpersatuan semasa kehidupan mereka di kampus. Jangan hanya jadi 'beruk bilik' sehingga tamat pengajian. Habis kuliah terus terperuk di dalam bilik. Tak campur dengan dunia luar.

Saya merasakan bahawa dengan cara mengadakan majlis sebegini melalui persatuan, maka FSR dan seterusnya universiti dapat meng'ikat' bekas-bekas pelajar FSR khasnya dan UiTM umumnya untuk terus menyayangi fakulti dan seterusnya universiti setelah mereka bergraduat. Bekas-bekas pelajar akan terus merindui aktiviti sebegini. Tanpa adanya majlis dan jemputan sebegini kemungkinan alumni kita akan terus 'hanyut' di alam pekerjaan mereka dan seterusnya mungkin akan terus melupakan mostalgia ketika zaman menuntut ilmu dahulu.







Berbalik kepada tajuk asal, saya dan rakan-rakan alumni Kelab Outward Bounders UPM (KOBUPM) masih menunggu jemputan dari ahli-ahli KOBUPM untuk turut serta di dalam majlis-majlis mereka. Dah lama rasanya saya dan rakan-rakan alumni ex-Bounders yang lain tidak mengunjungi adik-adik kami di UPM. Apa sudah jadi dengan Bilik Gerakan yang kita perolehi suatu ketika dahulu? Adakah ianya masih berfungsi seperti dahulu? Adakah KOBUPM masih lagi menjadi kelab elit di UPM? Lama sudah kami alumni tidak mendengar khabar dari adik-adik di sana. Masihkah ada yang mengingati kami alumni-alumni?

Saya mengharapkan PERLU mengambil iktibar dari catatan ringkas saya di atas. Saya tahu ramai lagi alumni yang masih mengharapkan mereka dihubungi. Jadi hubungilah mereka dan pujuklah mereka untuk turut serta di dalam majlis yang dianjurkan. Semoga dengan cara ini, secara tidak langsungnya ianya dapat mengumpulkan semula bekas-beks pelajar FSR yang sudah lama tidak diketahui khabar beritanya. Salam Ramadhan.

Thursday 11 September 2008

Selamat

Alhamdulillah... semua pelajar yang hadir berjaya menuruni cerun berhampiran kolam renang UiTM dengan selamat. Mereka pasang sendiri anchor tadi. Jadi tak sia-sialah kelas amali minggu lepas. Ramai juga ahli dan alumni yang turun membantu adik-adik mereka.

Lebih separuh daripada peserta telah mencuba gaya berlari turun atau running down ataupun nama lainnya Australian Style. Mereka semakin yakin dengan tali yang sebesar jari telunjuk itu. Laju sekali mereka berlari.

Tapi hati-hati ya, biar yakin tetapi jangan terlalu yakin. Peralatan tidak pernah buat silap tetapi manusia yang bertanggungjawab terhadap sebarang kecelakaan yang berlaku sekiranya ianya melibatkan peralatan. Kenapa agaknya? Sudah tentulah kerana manusia tidak pandai atau buat-buat tidak pandai menjaga peralatan. Mana mungkin peralatan akan bertahan lama jika sekiranya kita tidak menyelenggaranya dengan betul.

Oleh itu, sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas orang yang tersayang [rakan-rakan anda] yang diakibatkan kelalaian kita menjaga peralatan, maka sama-samalah menjaga peralatan rekreasi yang anda gunakan. Agar ianya boleh bertahan lama dan selamat digunakan oleh generasi FSR seterusnya.

Wednesday 10 September 2008

Jemputlah

Assalamualaikum semua,

Esok bersamaan hari Khamis (12 September 2008) pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari akan berlangsung amali aktiviti Abseiling. Kepada ahli dan alumni PERLU yang berkelapangan, sila-silalah menghadirkan diri. Amali esok akan menyaksikan para pelajar Outdoor Recreation mengikat sendiri tali kernmantle yang akan mereka gunakan untuk menuruni cerun bukit berhampiran Kolam Renang UiTM.


Mereka telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Jadi sama-samalah kita tunggu kumpulan mana yang dapat mengikat dan seterusnya menuruni cerun bukit dengan yakin, hasil dari ikatan mereka sendiri.

Tuesday 9 September 2008

Hero

Cerita 1

Jalan sesak teruk semalam. Dari depan kampus PTPL Shah Alam lagi dah sesak untuk menuju ke simpang TTDI dan Giant.

Petang semalam saya sekeluarga bercadang nak berbuka di Restoran Big Plate Subang Permai. Nak sambut Ulangtahun Perkahwinan la katakan. Jadi saya gunalah laluan depan PTPL. Kononnya nak elak kesesakan depan apartment Brunsfield, Shah Alam. Tup tup lain pula yang jadi. Tersekat dalam kesesakan yang lagi teruk. Terdetik dalam hati, tentu tak sempat sampai Big Plate punya kalau sesak teruk macam ni. Saya tawakal ja. Terus redah juga.

Rupa-rupanya ada sebuah kenderaan rosak di tengah jalan di sebelah kanan. Patut pun jalan sesak. Dua laluan menjadi satu. Semua kenderaan di sebelah kanan berebut ke laluan sebelah kiri [nota: saya di laluan kiri].

Sebuah Kembara kelabu tersadai di tengah jalan. "Mana pemandunya?", perkataan pertama yang keluar dari mulut saya. Ketika kereta saya menghampiri dan berada di sebelah kembara tersebut, saya melihat seorang brother tu sedang 'melelapkan mata' di dalam Kembara tersebut. "Aik ini lain macam ja. Takkan pengsan kot", kata yang terpacul dari mulut saya. Kenderaan di depan dah kosong. Kenapa tak jalan-jalan lagi. Terus saya berhenti di sebelah Kembara tersebut dan menghampiri pintu kenderaan terbabit. Rupa-rupanya ada 2 orang dalam kenderaan tersebut. Seorang lagi adalah kanak-kanak. Beliau juga sedang 'tertidur' di kerusi di sisi pemandu dengan kerusinya dibaringkan.

Terus saya mengetuk pintu Kembara tersebut. Tiada respon. Saya mengambil tindakan 'berani' dengan membuka pintu di sebelah kiri bahagian hadapan. Ada bau yang tidak menyenangkan keluar dari kereta tersebut. Terus saya membuka pintu belakang di sebelah kiri. Keadaan menjadi semakin saspen apabila masih tiada respon ketika saya memanggil. Saya menunjukkan isyarat tiada respon kepada pemandu lain yang berada di belakang kenderaan terbabit.

Tiba-tiba pemandu Kembara kelabu tersebut terbangun. Beliau bertanya sambil memandang saya dan seterusnya cermin pandang belakang. "Ada apa ni?". Tak sempat saya menjawab, beliau terus memecut kenderaan beliau. Nasib baik saya sempat menutup semula pintu kenderaannya. Kalau tak tentu anak dia pula yang tercampak keluar.

Rupa-rupanya pemandu tadi dua beranak tertidur beb. Letih puasa kot. Sampai tak sedar-sedar. Dashyatnya. Menyusahkan orang lain pula. Sesak laluan. Sebelah kanan pula tu.

Apa-apa pun, sedih nak cakap. Aduh... wakenabeb.


Cerita 2


Tak jadilah makan di Big Plate. Tak ada buffet. Jadi kurang menarik.

Saya sekeluarga berbuka di DePalma Hotel, Seksyen 19, Shah Alam. Boleh tahan juga menu berbuka kat sini. Saya pekena Sup Gearbox. Tak lupa juga makanan favourite kupang masak cili. Penuh satu pinggan.



Selesai berwuduk, saya ke dewan solat di tingkat 2 hotel tersebut. Berhenti berdegup jantung saya apabila terlihat seorang anak kecil dalam lingkungan umur setahun lebih sedang bermain di lubang tangga hotel tingkat 2. Saya perasan anak ini. Sebentar tadi saya nampak dia duduk bersama keluarganya di sebelah meja saya ketika berbuka. Mungkin mak dan ayahnya tengah bersolat dan dia 'terlepas' keluar dari dewan solat.
Rupa-rupanya budak kecil ini anak imam muda yang mengetuai solat Maghrib, Isyak dan sunat Terawih di situ.

Begitulah Allah pelihara keselamatan anak kecil ini. Saya pasti tentu ibu dan ayahnya hanya bertawakal kepada Allah swt untuk menjaga keselamat anaknya ketika mereka berdua sedang bersolat. Siapa sangka pintu dewan yang sepatutnya ditutup telah dibuka oleh hamba Allah lain tanpa ditutup semula sehingga menyebebkan anak kecil ini 'terlepas'.

Bayangkanlah jika tiada sesiapapun yang terlihat kejadian tadi atau tidak berada di situ di masa yang betul, na'uzubillah, tak mustahil ke bawahlah si kecil itu akan jatuh kerana lubang di tepi tangga yang besar itu.

Alhamdulillah, anak kecil itu selamat.


Moralnya


Pada pendapat saya, ada baiknya mengikut keadaan kita mengubah persepsi kita. Tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang sekiranya untuk kebaikan bersama.

Monday 8 September 2008

7

Saya terkenangkan kira-kira tujuh tahun yang lalu pernah berlaku peristiwa penting di dalam kehidupan saya dan isteri. Peristiwa di mana saya dan Liza telah diijabkabulkan. Ianya berlaku di Masjid Kg Gelam dengan dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai. Ianya diwalikan oleh Ustaz Johan, Imam masjid tersebut.

Gementar ketika tangan digenggam oleh Tok Kadi bertugas ketika majlis akad nikah. Mulut terkumat-kamit membaca al-Fatihah dan Ayatul Kursi. Sedih kerana mak dan abah tidak dapat menyaksikan hari bahagia anakanda mereka. Nasib baik Baba ada duduk di sebelah. Jadi takut pun hilanglah sikit.

Tok Kadi menduga saya dengan meminta saya membaca surah al-Fatihah, alhamdulillah saya lulus dengan cemerlang. Seterusnya majlis akad nikah bermula. Norliza Ali Wee sah menjadi milik saya dengan sekali lafaz.

Satu lagi peristiwa besar yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya turut berlaku. Imam meminta saya membaca lafaz taklik dalam tulisan jawi. Aduh... malunya aku. Kali terakhir saya membaca buku atau tulisan Jawi adalah ketika darjah 4. Ingat lagi, masa tu abah yang ajar. Terus saya mengaku, "Maaf Ustaz, dah lama saya tak baca tulisan Jawi, bacaan saya dah tak lancar". Nasib baik Tok Kadi jenis yang sporting. Dibantunya saya melafazkan taklik sampailah habis. Saya malu sampai kesudah.

Saya pun tak pasti apa yang patut saya ucapkan untuk meraikan Ulangtahun Perkahwianan yang ke-7 ini. Namun di sudut hati saya bermohon agar Allah merahmati dan memberkati perkongsian hidup di antara saya dan isteri. Semoga Allah mengurniakan kami rasa cinta, kasih sayang dan saling menghormati sehingga ke akhir hayat dan seterusnya dapat dikumpul dan dipertemukan di syurga yang paling istimewa bersama Rasulullah SAW. Syurga Allah yang paling istimewa untuk hambaNYA.

Sunday 7 September 2008

Perpisahan Sementara

Saya sekeluarga ke KLIA semalam.


Pemergian kami sekeluarga ke sana adalah untuk mengucapkan selamat jalan kepada Azimah, adik sepupu yang akan menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah. Azimah memilih RMIT University di Melbourne, Australia sebagai lokasi untuk menuntut ilmu. Sebelum ini Azimah pernah belajar di University of New South Wales (UNSW), Sydney di peringkat sarjana. Beberapa bulan sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana, ibu tercinta meninggal dunia di Tanah Suci ketika sedang menunaikan fardu haji. Itulah dugaan berat yang terpaksa ditanggung oleh Azimah sebelum menyambung pengajian di peringkat sarjana. Namun Azimah tetap menguatkan semangat untuk terus menyambung pengajiannya pada ketika itu. Alhamdulillah beliau tamat dengan jayanya.

Semalam sekali lagi Azimah dituntut untuk merantau. Kali ini untuk jangka masa yang lebih lama iaitu selama 3 tahun. Abahnya (Pak Lang) dan sanak saudara lain akan ditinggalkan untuk sementara waktu. Selepas ini Pak Lang sekali lagi akan tinggal seorang kerana anak daranya akan merantau. Tiga orang anak-anaknya yang lain semuanya sudah berkeluarga dan tinggal berasingan.

Perpisahan semalam amat memilukan kepada sesiapa sahaja yang menyaksikan dan memahami. Semua yang hadir, tanpa segan silu menitiskan airmata melihat 'drama' yang sememangnya tidak dirancang. Sedih melihat Azimah berpelukan dengan abahnya seperti tidak mahu berpisah. Mereka adik beradik juga saling berpelukan. Itulah tandanya kasih sayang sesama ahli keluarga yang telah dipupuk oleh Pak Lang dan arwah Yang (Mak Lang). Tentu arwah Yang tenang di 'sana' kerana zuriat yang ditinggalkannya begitu rapat dan saling menghormati.










Alhamdulillah Azimah kini telah selamat sampai di Melbourne dan memulakan hidup baru di sana sebagai seorang pelajar. Semoga beliau tabah menjalani kehidupan di sana dan seterusnya pulang dengan gelaran Dr di hadapan. Amin.

Thursday 4 September 2008

Buat Pilihan

Gabungan bekas-bekas siswa/i Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi (SR111) dan Diploma Pengurusan Kesenggangan (SR112) telah sepakat untuk mengadakan Jamuan Berbuka Puasa yang bertempat di Hotel Summit USJ hari Sabtu ini. Batch tersebut mempunyai nama tersendiri. Batch Iltizam.Saya dan beberapa orang pensyarah FSR telah dijemput ke Majlis Reunion tersebut.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang terpaksa mengikuti kem khas untuk pelajar-pelajar baru. Kem khas untuk orientasi fakulti ini diberi nama Kem Program Siswa Gemilang (PROSIGA). Dari situlah batch ini mendapat nama.

Ketika mengambil subjek Recreational Outdoor Pursuit, batch ini boleh dikatakan antara yang aktif. Mereka melaksanakan Amali Perkhemahan Asas, Iltizam Gunung Belumut dan seterusnya Iltizam di Tasik Temenggor (Banding).

Ketika di semester terakhir pula kumpulan SR112 telah merancang dan melaksanakan program lawatan sambil belajar ke Pulau Phuket. Kami ke sana dengan bas UiTM. Itulah pertama kali bas UiTM merentasi negara Gajah Putih hinggalah ke Phuket. Perjalanan keseluruhannya adalah sekitar 1000 kilometer sehala.

Saya pernah menggunakan khidmat batch Iltizam sebagai fasilitator 'bidan terjun' untuk Final camp di Pulau Perhentian. Begitu banyak pengalaman saya bersama kumpulan ini.

Tapi sayangnya saya terpaksa menolak jemputan mereka untuk jamuan tersebut pada malam lusa. Kata mereka ada slideshow yang akan memaparkan sebahagian daripada pengalaman batch mereka di FSR. Arghh.. ruginya tak dapat ke sana. Tapi apakan daya, lusa saya ada komitmen keluarga. Ada saudara terdekat yang akan datang. Ada saudara yang akan terbang ke Melbourne selama 3 tahun untuk menyambung pengajian. Saya akan ke KLIA pada malam yang sama dengan majlis batch Iltizam. Maafkan saya batch Iltizam kerana menghampakan anda semua. Sesungguhnya saya amat berbangga dengan anda semua. Semoga anda semua terus berjaya dengan kerjaya masing-masing.

Tuesday 2 September 2008

Makan Punya Hal

Saya ni kalau bab makan memang pantang. Pantang jumpa. Tambah pula kalau makanan tu jarang nak dapat.

Hujung minggu lepas saya habiskan di Melaka. Mak mertua masak macam-macam bagi anak-anak dan menantu makan. Sambal petai berserta udang, Sambal ikan ... dan pelbagai lagi menu tambahan.

Tak cukup dengan itu, adik ipar, Ani jemput ke Muar. Ada juadah istimewa menanti. Katanya mee bandung Muar. Apalagi kecur air liur. Mee bandung ni memang dah lama saya idamkan. Lama tak makan. Alhamdulillah dapat merasa sebelum Ramadhan. Dalam perjalanan ke Muar, sempat la singgah kat tepi jalan. Beli duku Muar. Wow! manisnya. Rugi beli sikit. Murah pulak tu, RM10 untuk 8 kilo.



Balik dari Muar kami singgah sekejap di Umbai. Medan ikan bakar tu... Liza nak makan sotong goreng tepung dan ketam goreng cili kat situ. Saya ada makanan favourite kat situ. Kupang masak cili. Wow! Habis sepinggan saya pekena seorang. Terlupa nak pelawa mak mertua yang duduk kat sebelah. Teruk punya menantu. Sorry mak. Betullah kata orang bila dah sedap sangat tu, mak mertua lalu pun tak perasan. Maknanya saya lagi teruk. Mak mertua dok sebelah pun tak perasan.
Burgh... alhamdulillah.

Batu Karang

Semalam saya dapat panggilan dari Shawn jam 7.40 pagi. Katanya Yasir, pemilik blog Rembang Waktu kena tahan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Doktor suspect batu karang. Itulah banyak sangat menyelam sambil minum air. Kan dah tertelan batu karang.

Kasihan Yasir,hari pertama Ramadhan dia sambut atas katil hospital. Tapi semua itu dugaan. Allah nak bagi dia peluang berehat. Tentu setiap sesuatu yang berlaku tu ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah malam tadi Yasir dah discharged daripada hospital.

Jadi kepada penjenguk-penjenguk sekalian banyak-banyaklah minum air kosong. Buang air kecil apabila tiba waktunya. Jangan ditahan. Kurangkan menu makanan laut dalam hidangan. Daging merah pun baik dikurangkan.

Dulupun saya ada pengalaman tiga kali kena batu karang dalam pundi kencing. Peritnya hanya Allah dan mangsa yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu. Terguling atas jalan tar menahan akit. PPT tentu ingat kejadian di Grik. Awal puasa 3 tahun lepas pun saya kena tahan di wad DEMC. Semuanya penangan batu karang.

Kalau sanggup, cuba-cubalah minum air lobak putih yang telah direbus. Sungguh mujarab. Saya dah cuba. Alhamdulillah berhasil.