Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 26 June 2012

Sindrom Jangan: Ruginya Kalau Pendidikan Luar Terus Dipinggirkan



Keratan akhbar The Australian di atas ditampalkan oleh Jeff, di hadapan pintu pejabat saya. Beliau mahu saya 'bertindak' selepas membaca artikel akhbar tersebut.

Sebaik membaca bait-bait ayat dari akhbar terbabit, maka dapatlah saya simpulkan bahawa bukan senang sebenarnya untuk menjadikan Pendidikan Luar (PL) sebagai subjek wajib di sekolah. Banyak tentangan yang terpaksa dihadapi bagi memastikan PL sebagai sebuah subjek di sekolah menjadi kenyataan. Mana taknya, mak bapak dan guru termasuklah pentadbir di kementerian yang terbabit begitu risaukan risiko yang ada di 'luar'.

Semuanya dah terkena 'Sindrom Jangan'. Ini adalah sindrom yang menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu perkara tanpa memberi peluang kepada individu yang nak melakukan sesuatu perkara tersebut peluang dan ruang.

Rupa-rupanya bukan di negara kita sahaja, Di Australia pun ibu bapa dan guru semakin risaukan tentang penglibatan anak-anak dalam Pendidikan Luar (PL). Menurut Kurikulum Kebangsaan Australia yang akan dilaksanakan di beberapa sekolah pada semester hadapan, PL hanya menjadi topik picisan sahaja di dalam Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Namun persatuan yang terlibat dengan Pendidikan/Rekreasi Luar terus menerus berusaha dan mendesar agar PL berada sebaris dengan subjek-subjek lain di sekolah. Ini kerana telah terbukti bahawa terlalu banyak faedahnya PL kalau hendak disenaraikan kepada anak-anak di sekolah. Kepada penjengok-penjengok yang masih belum pasti tentang faedah PL bolehlah google sahaja kajian sebelumnya berkaitan benefits of outdoor education. Maka akan keluarlah dapatan carian sehingga 33,300,000. Tu dia banyak betul.

Nampak gayanya kita di Malaysia nampaknya tidaklah terlalu tertinggal sekiranya mahu bertindak dari sekarang. Wallahu'aklam.

Wednesday 20 June 2012

Keindahan Tunggul Laut (The Twelve Apostles) di Taman Negara Port Campbell

Perjalanan dari pusat bandar Melbourne hanya mengambil masa keseluruhannya 3 jam 30 minit sahaja untuk sampai ke Taman Negara Port Campbell. Pemanduan saya dari Melbourne dengan menggunakan Princess Highway membawa saya melalui pekan Colac iaitu kira-kira 2 jam dari lokasi permulaan. Perjalanan diteruskan lagi dengan melalui pekan/perkampungan kecil Pirron Yallock dan Simpson sebelum menggunakan laluan Princetown Road untuk sampai ke lokasi menarik iaitu Taman Negara Port Campbell. Sambungan masa yang digunakan untuk laluan ini hanyalah 1 jam 20 minit sahaja dengan mengikut kelajuan yang dibenarkan, sambil mata begitu asyik melihat saujana keindahan dan kehijauan ladang ternakan lembu dan biri-biri di kiri dan kanan jalan.


Laluan yang digunakan ini sangat menjimatkan masa bagi pengunjung seperti kami yang hanya mempunyai masa seharian sahaja untuk ke Taman Negara Port Campbell. Perjalanan persisiran pantai pula yang menggunakan laluan dari pusat bandar Melbourne-Torquay-Anglesea-Lorne-Appolo Bay-Taman Negara Port Campbell boleh memakan masa sehingga 4 jam 30 minit. Maka satu jam dapat dijimatkan dengan laluan yang telah kami gunakan.


Persisiran pantai di Taman Negara Port Campbell sememangnya sungguh mengasyikkan dengan pemandangan yang cukup indah dan mengkagumkan. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata tentang indahnya satu lagi 'keajaiban' ciptaan Allah ini.


Di sebalik landskap yang mendamaikan di bumi Australia ini, namun di Port Campbell ianya berbeza pula. 'Ngauman' ombak dan deruan anginnya sungguh menakutkan dan penuh dramatik. Kesan gabungan angin, ombak dan hujan maka terbentuklah ciri-ciri pantai dengan cenuram yang berketinggian sehingga 150 meter. 'Hentaman' ombak yang mengganas juga telah menyebabkan terbentuknya percikan-percikan besar, gua-gua dan lubuk-lubuk pusar. 'Ngauman' ombak yang kedengaran sungguh menakutkan sehinggakan gelombangnya dikhabarkan boleh mencecah sehingga 30 meter.

Pada hari kembara kami juga kebetulannya hujan turun sekejap-sekejap dan kami juga disambut dengan deruan angin yang sungguh kencang. Kedinginan musim sejuk ini terus menerus dirasai dengan 'adunan' hujan dan angin kuat tersebut. Dari jauh lagi pengunjung boleh mendengar bunyi deruan ombak yang menghentam pantai dan dinding batu kapur yang berira halus itu.

Indah sungguh permukaan perbatuan ini yang asal sejarahnya merupakan dasar laut kira-kira 20 juta tahun lalu dan kemudian 'meninggi' hingga ke atas paras laut. Dek kerana batuan ini mempunyai pelbagai kekerasan, maka proses luluhawa dan hakisan yang tidak henti-henti telah menghasilkan 'ukiran' semulajadi dan seascape yang sungguh unik lagi menarik untuk dipertontonkan kepada pengunjung.



Tunggul Laut! Memang itulah antara tarikan utama pengunjung untuk ke Taman Negara Port Campbell. Tidak sah rasanya kalau seseorang pengunjung ke sini tidak bergambar dengan berlatarbelakangkan tunggul-tunggul laut itu. Di antara tunggul-tunggul laut yang paling popular di Taman Negara Port Campbell adalah The Twelve Apostles.


Tunggul-tunggul yang berdiri teguh menghadap percikan ombak, hujan dan angin laut ini sesetengahnya berketinggian sehingga 100 meter. Daripada 12 tunggul-tunggul laut ini, hanya lapan sahaja yang tinggal. Kelapan-lapan tunggul yang tinggal inipun lama-kelamaannya akan 'mati', patah sebelum kesemuanya akan rebah menyembah bumi dan tenggelam ke laut menjadi butiran pepasir dan hanyut ke pantai berhampiran dek kerana 'keganasan' ombak-ombak, angin dan hujan. Namun akan muncul pula terowong, 'jambatan', pulau kecil dan tunggul baru yang mungkin mengambil masa beribu-ribu tahun mendatang.


Banyak peristiwa bersejarah berlaku di persisiran pantai Port Campbell. Ianya pernah menjadi lokasi tenggelamnya hampir 30 buah kapal-kapal besar yang melalui kawasan ini. Dek kerana ombak besar dan ribut, kapal-kapal yang melalui kawasan ini telah hilang pedoman, gagal dikawal dan akhirnya terlanggar tunggul-tunggul laut yang tidak nakhodanya nampak. Kapal-kapal ini kemudiannya karam dan terus 'berkubur' di situ sehingga ke hari ini. Loch Ard, antara sebuah kapal yang membawa 54 orang isi kapal bertolak dari Glasgow telah karam di sini. Tiada siapa yang mengetahui kenapa Lord Ard belayar terlalu hampir dengan daratan. Hanya dua orang sahaja yang terselamat di dalam kedinginan awal pagi yang sungguh mengerunkan di musim sejuk pada 1 June 1878. Kesan sejarah seperti gua dan lokasi kejadian ini masih terdapat dan boleh dikunjungi di Loch Ard Gorge di Port Campbell. Pengunjung juga boleh menuruni tangga yang curam untuk ke pantai dan 'merasai' sendiri detik-detik cemas bagaimana Tom Pearce (pemuda yang terselamat) berenang semula ke laut selepas mendengar jeritan seorang gadis lagi yang terselamat iaitu Eva Carmicheal yang hanya berpaut pada serpihan kayu daripada kapal.


'London Bridge' merupakan salah satu lagi mercu tanda Taman Negara Port Campbell di laluan yang mendapat gelaran The Great Ocean Road ini. Suatu ketika dahulu pengunjung boleh berjalan sehingga ke penghujung 'London Bridge' untuk menyaksikan keindahan sekitarnya. Bahagian 'terowong' London Bridge ini telah runtuh pada 15 January 1990. Pengunjung yang terperangkap di bahagian penghujung London Bridge yang tidak runtuh telah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. Walaupun kini lokasi ini dipanggil 'The London Arch' pula, namun ianya masih kekal popular dengan nama asalnya lagi 'London Bridge'. Sedapnya dilagukan lagi sebagai London Bridge has fallen down!





Sesungguhnya keindahan alam di serata ceruk rantau adalah untuk dikongsi bersama. Niat saya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai tanda mensyukuri kurniaan nikmat oleh-Nya. Alhamdulillah dikurniakan pancaindera untuk merasai dan menikmati sendiri kebesaran dan keindahan ciptaan-Nya yang sungguh memukau. Diharapkan perkongsiaan kali ini akan dapat menarik lebih ramai penjengok sekalian untuk bersama mengembara sambil 'merasai' dan 'menikmati' keindahan alam ciptaan Illahi. Subhanallah...

Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.

Gegaran Terasa

Terkejut saya semalam sekitar jam 8.45pm dek kerana ruang di dalam rumah bergegar. Rumah separa kayu di lereng bukit yang baru empat bulan lepas kami sekeluarga inap dan sewa bergegar seakan bergoyang. Saya sangkakan ada trak gergasi yang bergerak berhampiran rumah ataupun angin kencang yang sememangnya sering bertiup beberapa hari kebelakangan ini. Hampir 30 saat juga gegarannya. Kamil dan Kaisara yang sedang 'kecoh' memilih toys dari katalog jualan murah Target di ruang tamu juga terdiam. Kami berpandangan tiga beranak. Keduanya mula duduk berhimpit antara satu sama lain. Tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. "Mungkin angin kuat kot...", saya cuba mententeramkan kedua beradik itu.

Tak sampai beberapa minit kemudian saya mendapat beberapa mesej daripada rakan-rakan di sekitar Melbourne. Semuanya bertanya dan menceritakan pengalaman tentang gegaran yang sebentar tadi kami sekeluarga rasai.

Jangkaan awal saya bahawa gegaran rumah kami terhasil dari angin kuat dan trak besar itu rupanya salah. Rupa-rupanya gempa bumi berukuran 5.3 magnitud telah berlaku dan berpusat di Moe, Gippsland iaitu kira-kira 150km (2jam perjalanan) sahaja dari Mill Park. Sesungguhnya begitu hampir dengan kami.

Allahuakbar... aku cuba 'lari' dari sambung belajar di Christchurch yang sememangnya kerap berlaku gegaran beberapa bulan sebelum berangkat, namun di Melbourne pula gegaran 'muncul'.



Kalau diikutkan inilah pengalaman pertama kami sekeluarga merasai gempa bumi. Semasa di tanahair pun saya tak pernah ada pengalaman merasai gegaran dek gempa bumi walaupun beberapa tempat di tanahair pernah merasai kesan gegarannya.

Banyak iktibar yang boleh diambil dari pengalaman singkat ini.Sesungguhnya kita sebagai rakyat Malaysia dan terutamanya yang berada di tanahair sebenarnya terlalu beruntung kerana masih dipelihara daripada gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi, peperangan, kemelaratan dan huru-hara yang melanda sebahagian daripada masyarakat dunia. Begitu saya hargai bagaimana selamatnya rakyat negara kita untuk bebas bergerak ke sana ke mari di samping makan minum dan segala keperluan asas yang lebih daripada mencukupi.


Segala nikmat yang telah Yang Maha Kuasa kurniakan ini hendaklah kita syukuri dengan meningkatkan lagi ketaatan dan ketakwaan kepada-Nya sambil terus mengharapkan belas ehsan dan rahmat daripada-Nya. Di saat dunia akhir zaman yang semakin uzur dan hampir dengan kemusnahan ini, perlu juga saya dan penjengok-penjengok blog ini sekalian beringat dan berfikir bahawa kemungkinan musibah dan malapetaka yang kerap berlaku ini adalah implikasi daripada kemurkaan Allah terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak tahu bersyukur.

Moga kita semua dilimpahi oleh Allah swt dengan petunjuk, kerahmatan, keberkatan, keredhaan, kasih sayang, perlindungan & seterusnya dipelihara dari fitnah akhir zaman...InsyaAllah

Thursday 7 June 2012

Guru Mogok di Victoria

Hebat betul Australian Education Union. Disuruh ahli-ahlinya di seluruh Victoria state untuk mogok daripada mengajar hari ni. Yang bagusnya pulak ahli-ahli kesatuan kebanyakannya patuh. Pengetua pun bagi sokongan dan turut serta. Mereka bersatu!

Dianggarkan seramai 30,000 orang guru seluruh Victoria melancarkan mogok sehingga menyebabkan lebih daripada 100 buah sekolah rendah dan menengah terpaksa ditutup apabila guru-guru meningkatkan kempen mereka untuk menuntut kenaikan gaji. Mereka sangat-sangat tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan agar kenaikan dan bayaran mengikut prestasi.

Menurut laporan berita dan akhbar, Kerajaan Negeri Victoria telah mendesak kesatuan agar menerima tawaran yang akan memberikan guru kenaikan gaji lebih besar berdasarkan prestasi mereka. Namun guru-guru dikhabarkan marah kerana janji kerajaan semasa pilihanraya lalu yang mahu menjadikan keseluruhan guru-guru di Victoria mendapat bayaran tertinggi di Australia, tetapi ianya telah dimungkiri. Untuk makluman, gaji guru-guru di Victoria adalah antara yang terendah sekiranya dibandingkan dengan beberapa negeri lain di Australia. Ini menyebabkan guru-guru yang bagus lagi cemerlang dan tidak berpuashati telah 'membawa diri' dan berpindah ke beberapa negeri lain seperti New South Wales dan Queensland yang 'padang ragutnya lebih hijau dan segar'.

Tak tahulah bila drama ini akan berkesudahan. Adakah guru-guru ini akan berterusan melancarkan mogok mereka, hanya keadaan menentukan dan Allah yang lebih mengetahuinya.

Namun perlu juga diingatkan bahawa serendah-rendah gaji guru di Victoria, lebih rendah lagi gaji @#*$^%+%^ kita di Malaysia. Alahai la nasib badan. Bersyukur sahajalah kawan...

Friday 1 June 2012

Motivasi Berganda

Kalau diikutkan sebelum berangkat ke Australia, saya telah membuat satu permohonan kemasukan ke Mill Park Primary School untuk Kamilia dan Kamil dek kerana paksaan daripada Imigresen Australia yang 'menginginkan' bukti anak saya telah diterima masuk sekolah sebelum mereka meluluskan visa (satu pra-syarat yang menyusahkan). Tanpa mengetahui di mana akan saya menetap (tak jejak lagi ke Australia, mana tau nak tinggal kat mana!)untuk tempoh tiga tahun akan datang saya coretkan juga email kepada pihak sekolah Mill Park Primary seperti yang dicadangkan saudara Syed Ashrene (rakan dari UiTM yang telah sampai lebih awal di Melbourne). Alhamdulillah... saya mendapat balasan positif dan pantas daripada pihak sekolah Mill Park Primary setelah saya sertakan semua dokumen yang diperlukan. Saya sertakan respon positif daripada pihak sekolah Mill Park Primary sebagai lampiran sokongan untuk mempercepatkan visa. Syukur... tak sampai tiga jam kemudian visa diluluskan.

Dipendekkan cerita setelah seminggu menjejakkan kaki di Australia, permohonan kami sekeluarga untuk menyewa sebuah rumah melalui ejen telah menunjukkan tanda positif. Sebuah rumah di Bowman Drive (ala-ala resort berhampiran Kinabalu Park) yang menjadi pilihan pertama kami telah dipersetujui oleh tuanrumah untuk kami huni secepat mungkin. Alhamdulillah...

Dek kerana sekolah yang paling hampir adalah Findon Primary School, makanya saya terpaksa membatalkan permohonan sebelumnya iaitu Mill Park Primary dan memohon Findon Primary. Saya membuat janjitemu dengan Principal, Angelika Ireland untuk membincangkan permohonan ke Findon Primary School. Angelika seorang pengetua yang cukup berpengalaman dan ramah, beliau sendiri yang menyambut kami sekeluarga dan seterusnya membawa kami untuk orientasi ke sekeliling sekolah. Ditunjukkan beliau keseluruhan kemudahan-kemudahan yang terdapat di sekolah. Saya hormati kesungguhan beliau mempromosikan dengan bersungguh-bersungguh kehebatan Findon Primary.


16hb April 2012 merupakan hari pertama kedua-dua beradik ni bersekolah di Findon Primary. Kamilia OK sahaja, manakala Kamil menjadikan hari pertama bersekolah di Australia sebagai pengalaman ngeri. Kamil menangis tak mahu ke sekolah sehinggakan sampai di hadapan pintu sekolah, Kamil masih tak berhenti menangis. Semuanya gara-gara dia terlalu takut dek kerana tak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Itu hanya untuk pengalaman di hari pertama sahaja. Selepas daripada hari itu, Kamil la menjadi individu yang lebih cepat bersiap berbanding kakak untuk bersekolah. Dia dah seronok pula nak bersekolah di sini.

Selepas sebulah setengah bersekolah di Findon

Balik dari sekolah petang semalam kedua-dua beradik menunjukkan sesuatu kepada saya. Kedua-dua mereka menerima sijil penghargaan daripada pihak sekolah dan disampaikan oleh Pengetua semasa perhimpunan sekolah.



Alhamdulillah penilaian mingguan yang positif daripada Guru Kelas masing-masing dan penghargaan telah memberi motivasi baru untuk kedua beradik untuk terus cemerlang di sepanjang bersekolah di sini. Kamil semakin bersemangat untuk berbahasa Inggeris dan mengumpul nilai positif lagi.Doakan yang terbaik untuk Kamilia, Kamil dan seorang lagi Kaisara.


Nota: Guru di Findon Primary memberi nilai positif/negatif untuk setiap tingkahlaku/perbuatan setiap pelajar bagi setiap hari. Pelajar akan berusaha mengumpul nilai positif dan menjauhi penilaian negatif daripada guru.