Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 7 September 2011

Sedekad Bahtera Dilayari

Sudah tentu saya dan isteri tak akan melupakan peristiwa penting yang pernah menjadi sejarah kira-kira 10 tahun yang lalu. Peristiwa di mana saya dan Liza telah diijabkabulkan di Masjid Kg Gelam dengan dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai. Ustaz Johan, Imam masjid tersebut telah bertindak sebagai jurunikah kepada pernikahan kami.

Gementar sungguh saya rasa takala tangan digenggam oleh Ustaz Johan ketika majlis akad nikah. Mulut terkumat-kamit tak henti-henti membaca al-Fatihah dan Ayatul Kursi.

Sedih sungguh rasanya di ketika itu kerana mak dan abah tidak dapat sama-sama menyaksikan hari paling bahagia bagi anakanda mereka. Nasib baik Baba (bapa saudara yang menjaga dan mendidik saya selepas ketiadaan emak & abah) sentiasa di samping di sepanjang majlis berlangsung. Hilang jugalah gugup dan takut.

Ustaz Johan menduga saya dengan meminta saya membaca surah al-Fatihah, alhamdulillah saya lulus dengan cemerlang.

Seterusnya majlis akad nikah bermula. Saya bertekad tak mahu mengulang dan buat silap. Ini bukan perkara main-main. Saya kena buat bersungguh-sungguh. Akhirnya dengan sekali lafaz, Norliza Ali Wee sah menjadi milik saya. Alhamdulillah.

Satu lagi peristiwa besar yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya turut berlaku. Imam meminta saya membaca lafaz taklik dalam tulisan jawi. Aduh... malunya aku. Kali terakhir saya membaca buku atau tulisan Jawi adalah ketika darjah 4. Ingat lagi, masa tu abah yang ajar. Terus saya mengaku, "Maaf Ustaz, dah lama saya tak baca tulisan Jawi, bacaan saya dah tak lancar". Nasib baik Ustaz Johan jenis yang sporting habis. Dibantunya saya melafazkan taklik sampailah habis. Malu saya sampai kesudah.

Saya pun tak pasti apa yang patut saya ucapkan bagi meraikan Ulangtahun Perkahwinan yang ke-10 ini. Namun di sudut hati yang ikhlas saya bermohon agar Allah SWT merahmati dan memberkati perkongsian hidup di antara saya dan isteri. Semoga Allah mengurniakan kami rasa cinta, kasih sayang dan saling menghormati sehingga ke akhir hayat dan seterusnya dapat dikumpul dan dipertemukan di syurga yang paling istimewa bersama Rasulullah SAW. Syurga Allah yang paling istimewa untuk hambaNYA.