Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 24 June 2014

Salji turun mencurah-curah ketika dalam perjalanan dari Cradle Mountain ...

Subhanallah... kuasa Allah mengatasi segalanya. Jika Dia menghendaki sesuatu itu berlaku maka berlakulah dan tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitulah bukti kekuasaan Allah. Ini menjadi pengalaman terbaik sepanjang tahun 2013 dari kembara kami sekeluarga ke Cradle Mountain National Park.
 
Saksikanlah klip video ini. Salji turun mencurah-curah di pertengahan musim bunga. Bumi CMNP yang diawal kehadiran kami kehijauan bertukar wajah menjadi putih diselaputi salji tebal keesokannya. 
 




Musim Sejuk di Melbourne

Musim sejuk muncul lagi. Ada yang menanti, dan tak kurang juga yang kalau boleh mahu 'lari'. Kebiasaannya untuk orang kita yang biasa dengan cuaca panas akan sentiasa menantikan musim ini kerana inilah peluangnya untuk bermandi dan bermain salji. Bagi orang Oz pula, sesetengahnya akan gunakan cuti yang ada untuk lari dari kesejukan. Mereka akan samada ke Queensland, Bali, Phuket atau sekarangnya lokasi percutian yang cukup mereka gemari iaitu ke Vietnam. Semuanya berdasarkan pengamatan dua tahun saya sepanjang berada di sini. Itulah yang sering dilakukan oleh beberapa orang staf (termasuk penyelia thesis saya) dan rakan-rakan di uni apabila tibanya musim sejuk. Mereka bercuti panjang dan lepak di tepi pantai di bawahan pancaran matahari.

Bagi orang kita yang berada di Australia pula akan cuba merancang destinasi seterusnya untuk bermain salji. Almaklumlah di tanahair tak ada peluang sebegini. Jadi digunakan sepenuhnya peluang yang ada ini untuk membawa keluarga bermandi dan bermain salji.

Bercerita tentang kami sekeluarga...

Di tahun pertama (2012) kami di Melbourne, kami berkesempatan untuk ke Mount Buller. Pengalaman pertama untuk kami sekeluarga merasai sendiri kesejukan dan keseronokan bermain salji. Dari rumah, kami mengambil masa sekitar 3 jam untuk sampai ke Mansfield. Di sinilah lokasinya kami berhenti untuk menyewa snow chain dan toboggan. Kisah kembara di musim dingin kami saya coretan di Bermain Salji di Mt Buller: Bahagian 1 dan Bermain Salji di Mt Buller: Part 2.

Pada tahun lepas pula (2013), kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi apabila dikurniakan peluang sebanyak tiga kali untuk bertamu ke kawasan bersalji di Australia. Dua daripadanya di Victoria (Mount Hotham dan Mount Bawbaw) dan satu lagi di Tasmania (Mount Wellington dan Cradle Mountain).

Di penghujung musim luruh kami diberi kesempatan untuk ke Bright. Lokasi ini cukup indah dengan pepohonan yang mula berubah warna dedaunnya apabila tiba musim luruh. Ramai orang akan berkunjung ke sini di musim luruh dek keindahan Bright di musim luruh. Saya juga punya sedikit coretan di musim luruh hasil dari kembara kami ke Mount Macedon dan Bright.

Dari Bright kami teruskan pendakian ke Mount Hotham. Salji mencair akibat hujan yang turun beberapa hari sebelumnya. Situasi yang cukup menyedihkan kami. Tiada rezeki untuk melihat salji di Mount Hotham. Dek kerana sudah menempah dan membayar penginapan di puncak gunung, kami teruskan bermalam juga di sana tanpa peluang bermain salji.

Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Keesokan paginya, salji turun dengan lebat tanpa henti. Subhanallah rezeki Allah untuk kami. Melihat sendiri kebesaranNya... Allahuakbar. Anak-anak seronok. Mereka gembira. Pakaian mereka ditukar untuk mengelongsor tebing bukit bersalji bersama toboggan yang telah sedia dibawa di bonet kereta. Namun kami tak dapat bertahan lama. Angin yang cukup kencang menyebabkan sejuk yang yang melampau. Hanya 45 minit kami mampu bertahan. Kemudian kembali ke kereta. Namun anak-anak puas. Saya juga ada mencoretkan pengalaman kami di Mount Hotham.

Bersama-sama rakan di Desa Bundoora kami ke Mount BawBaw. Boleh tahan jugak jauhnya. Kami melalui jalan pintas kononnya, off-road gitu. Jenuh jugak Camry Hijau kena lanyak apabila melalui laluan berbatu kerikil untuk sampai ke puncak BawBaw. Coretan ke BawBaw lambat saya postkan ke blog dek kesibukan. Namun saya gagahkan juga untuk mengisi jurnal kembara kami ke lokasi bersalji di Australia. Sedikit coretan dari kembara ke Mount BawBaw.

Alhamdulillah... di tahun 2013 juga kami dikurniakan kesempatan masa untuk ke Tasmania. Pengalaman di Tasmania memang sukar untuk dilupakan. Keajaiban alam di sebalik kuasa Allah... Rezeki kami apabila dipertemukan dengan salji di penghujung musim bunga. Sepatutnya musim panas bakal menjelma maka mustahillah salji ada lagi. Ketika persiapan untuk terbang ke Tasmania, langsung kami tak bawa pakaian musim dingin. Namun lain pula ceritanya. Apabila bangun pagi di hari kedua di Cradle Mountain, kami dikejutkan dengan salji yang penuh menyelaputi kenderaan, kabin yang kami inap dan hampir keseluruhan kawasan di Cradle Mountain. Subhanallah... hanya itu yang mampu diucapkan. Hati girang. Saya terus keluar tanpa memikirkan pakaian sejuk yang tak disarung bersama ke tubuh. Allahuakbar begitulah besarnya kuasa Allah. Salji turun bukan di musimnya. Untung kepada hamba-Nya yang mahu berfikir akan kebesaran-Nya. Coretan kembara kami ke Cradle Mountain dan Mount Wellington turut saya kongsikan. Bukti salji yang mencurah-curah turut saya kongsikan.

Begitulah sedikit sebanyak jurnal kembara kami sekeluarga ke kawasan bersalji di bumi Australia.  Ke mana destinasi musim sejuk kami untuk tahun 2014 masih lagi belum dimuktamadkan. Mungkin juga ini tahun terakhir kami sekeluarga bermain salji di Australia. Hanya Allah yang lebih mengetahui mana yang terbaik untuk hambaNya ini.

Walau bagaimanapun keutamaan musim dingin tahun ini adalah untuk menyambut Ramadhan al-Mubarak terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan lokasi seterusnya. Misi utama ke Australia juga perlu disempurnakan. Namun dalam fikiran sudah terbayangkan Falls Creek, Mount Beauty, Lake Mountain, Mount Buller, Hotham dan Mount BawBaw.


Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.