Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label mutakhir. Show all posts
Showing posts with label mutakhir. Show all posts

Tuesday, 16 February 2016

Penangan Ola Bola!

Kalau diikutkan memang sudah serik untuk saya menjejakkan kaki ke panggung wayang. Mengantuk beb bila dah gelap. Selepas saya bikin wayang sendiri semasa menonton Cicakman 1 dan 2, saya sebolehnya mengelak untuk ke pawagam. Semasa di Australia pun saya pernah bawa anak-anak menonton filem animasi hebat 'The Lego Movie'. Filem dah cukup best kata orang... tapi tetap terlelap dalam pawagam. Anak-anak saja la jadi wakil untuk layan filem tu sampai habis. Baru-baru nie depa nak menonton filem "Goosebumps" dan "The Hunger Games: Mockingjay - Part 2". Saya layankan juga. Sekali lagi TGV Bukit Raja kembali jadi saksi saya terlelap.

Bila Kamil ajak pula tengok Ola Bola baru-baru nie, saya kata tunggu saja la nanti filem tu ada di ASTRO. Dia dah tak boleh sabar. Kawan-kawan di sekolah dok bercerita. Dia tak ada modal nak menyampuk. Makanya saya sekali lagi terheret untuk menonton wayang.

Teruja juga bila dapat tahu Ola Bola dapat sambutan yang sangat hebat. Boleh kutip 8 juta dalam tempoh tak sampai dua minggu. Wow! Mesti hebat sangat la filem nie kot.



Saya dan Kamil agak lewat tiba di GSC Setia Alam. Hanya tinggal 7 tempat duduk yang masih kosong kalau diikutkan di papan pemberitahuan. "Alamak sempat ka nie Kamil. Kalau dah penuh kita datang esok ya", pujuk saya. Kamil hanya mengangguk. Alhamdulillah... Dah memang rezeki Kamil. Kami berjaya jadi pengisi dua tempat duduk terakhir. Berlari kami dua beranak masuk panggung sebab dah lewat.

Cerita bermula. Mata saya seperti digam-gam. Permulaan cerita amat membosankan. Macam mana la depa kata best sangat filem nie. Lawak pun macam tak jadi ja. Saya hampir tewas juga untuk kesekian kalinya. Saya dah ready lunjurkan kaki. Tak ada yang menarik sangat dengan filem nie. Indah khabar dari rupa.

Telahan saya silap. Mata kembali terang. Rasa mengantuk tadi hilang. Filem yang kami tonton ini filem motivasi. Ini filem masyarakat Malaysia yang sebenar. Ini wajah sebenar masyarakat Malaysia. Filem ini merakamkan kembali bagaimana semua kaum di Malaysia hidup aman damai dan bersatu di bawah panji yang satu. Semua mereka sayangkan negara macam kita!

Filem ini mengambarkan individu-individu yang punya semangat patriotisme yang tinggi. Sanggup berjuang demi negara. Kepentingan peribadi ditolak ketepi. Di sebalik realiti kehidupan sebenar, mereka cuba sedaya mungkin untuk cipta sejarah dan membawa nama negara ke persada dunia melalui sukan.

Hebat sekali cara pengolahan cerita. Sehingga kesudahnya saya tak lelap. Bahkan saya tergelak sakan dan tak kering gusi melayan gelagat si pengulas sukan Rahman yang terlebih semangat. Watak Ali, Kwok Keong aka Tauke, Muthu jugak tak kurang hebatnya. Saya suka dengan suasana muhibah dalam pasukan mereka. Ini memang REAL dan bukan dibuat-buat. Pasukan bolasepak dulu dah tunjukkan wajah masyarakat Malaysia yang sebenar. Semua kaum bergabung untuk harumkan nama negara. Semua kaum pada ketika itu diikat kemas dengan rasa kekitaan melalui sukan bolasepak. Hebat orang dulu! Kini... kita jawablah sendiri.

Walau apapun ceritanya, saya bagi 5 bintang untuk filem ini. Filem yang menunjukkan WARNA SEBENAR masyarakat Malaysia yang hidup harmoni. Filem ini ada elemen realisme. Filem sebegini pada hemat saya berjaya memberi impak yang cukup signifikan di dalam mempengaruhi keadaan sosial masyarakat berbilang kaum yang adakalanya kita boleh lihat semakin hari semakin tegang. Semoga dengan lahirnya filem sebegini akan jadikan masyarakat kita TIDAK BUTA SEJARAH, terus berusaha untuk bersatu padu dan terapkan semangat untuk lebih sayangkan negara.

Saya keluar panggung dengan rasa bangga. Keluar bersama saya masyarakat berbilang bangsa. Oh Malaysia. Jangan digadaikan keamanan dan keharmonian yang kita ada hanya untuk meneruskan legasi kuasa yang ada. Jom terus bersatu bangsa Malaysia! Kita sama sahaja disisi-Nya. Hanya iman dan takwa membezakan kita.

Nota: Yang lebih utamanya saya nak bagi tahu... Saya tak tertidur dalam panggung semasa menonton filem ini. Huhuhu

Saturday, 4 July 2015

Parkir OKU Dicaras!

Maafkan saya kerana coretan kali ini adalah bukan kisah yang saya coretkan sendiri tetapi perkongsian kisah benar yang telah dicoretkan oleh seorang ibu kepada anak OKU. Kisah bagaimana parkir yang dikhaskan untuk golongan OKU telah disalahgunakan oleh hamba Allah yang tidak bertanggungjawab ini telah dikongsikan oleh Puan Segufta Yasmien Abdul Rahman iaitu ibu kepada adik Haikal di dalam laman FB beliau pada 2hb Julai 2015. Sama-sama kita ambil iktibar dan dan jauhkan diri daripada menganiayai sesama makhluk.
 
-------------------------------------------------------------------------
Bismillahirahmanirrahim...
Rasanya dah masuk 6 bulan Haikal telah bersekolah diAtfal Jannah cawangan Bangi...Alhamdululillah Haikal menunjukkan perkembangan yg baik dari sehari kesehari ditambah dengan kerjasama teacher2 disekolah yg sangat memberangsangkan...Haikal turut ceria bersama rakan2nya yg menerima diri dia seadanya....
Sekolah Haikal terletak di Bangi Central dan dikelilingi oleh butik2 pakaian wanita muslimah yg sangat gah jenamanya di Malaysia....dan sekarang tak perlu nak cakaplah keadaannya disitu sangat sesak sebab semuanya nak bershoping raya barangkali.....
Namun begitu sejak Haikal bersekolah disitu boleh dikira dengan jari hanya beberapa kali sahaja kami dapat parking khas untuk OKU....parking pun sebab nak turunkan Haikal menggunakan wheelchairnya kesekolah dan untuk ambil dia dari sekolah sahaja....kalau untuk tujuan lain kami tak pernah parking ditempat OKU sebab kami sedar kepeluannya....
Sebab apa tak boleh nak parking kat tempat OKU time bawa Haikal?? sebab ada beberapa manusia yg sangat tidak perihatin telah parking disitu....
Pihak sekolah telah menjalankan beberapa usaha untuk menyatakan tempat parking itu adalah tempat parking OKU ( tempat parking itu sendiri telah ada tanda OKU dengan lukisan yg sangat besar)...antara usaha pihak sekolah:
1.meletakkan kon dan ditampalkan satu kenyataan disitu Parking untuk OKU sahaja...tapi sayangnya kon itu diubah oleh individu yg tidak bertanggungjawab malah kenyataanyg ditampal tadi sudah tidak kelihatan....masa mula2 ada kon tu saya merasakan sangat happy sebab tak perlulah lagi saya parking jauh dan mendukung Haikal yg semakin berat kekereta....dan lega juga hati sebab risau juga time dukung Haikal tu tersadung sewaktu menuruni tangga....hari tu saya dapat parking ditempat OKU...alhamdulillah...tapi bila saya mahu beredar sahaja saya lihat ada sorang brother ni penuh gaya berspek hitam dengan phone ditangannya dan sebelah lagi tangannya nak alihkan kon tersebut....tiba2 dia terperasan saya sedang melihatnya cepat2 dia alihkan tangannya dan buat2 tengok phone balik....dan hari2 yg berikutnya dah tak boleh nak parking disitu dah...
2. Bila kon pun tak dipedulikan lagi...pihak sekolah cuba meletakkan kertas di atas kereta yg parking disitu....dikertas iti ada ayat pertanyaan adakah anda OKU?....pun masih lagi yg tidak peduli....
Pernah sekali suami saya masa nak hantar Haikal terlihat ada kereta parking di tempat OKU tu menyebabkan dia terpaksa parking jauh sikit dan mendukung Haikal masuk kekelas...lepas tu dia tunggu lama nak jumpa dengan pemilik kenderaan disitu...habisnya sampai kesudah tak keluar2 pulak orang tu....
Saya tak kisah jika yg parking tu mungkin OKU jugak...saya faham...cuma bagi yg sihat dan datang nak bershoping dan parking disitu saya amat kesal perbuatan tersebut....ingat walaupun tempat parking lain telah penuh dan parking OKU sahaja yg kosong anda tidak ada hak parking disitu. Tempat parking anda telah disediakan walaupun ia jauh dari kedai yg anda nak masuk....sebab apa? ....sebab anda sihat...ada kaki....bagi mereka yg kelainan upaya contonhya anak saya...tak boleh berjalan....sebab tu parking tu dibuat dekat dengan tempat yg nak dituju...supaya ia memudahkan golongan OKU.... ia berkaitan HAK iaitu hak OKU dan AMAMAH iaitu amanah yg perlu dijaga...siapa yg jaga?? kita yg sihat dan normal dan yang dikatakan profesional ni la jaga hak OKU...
Mode: gembira bila dimaklumkan anak istimewa saya dah kenal abjad A hingga O oleh teacher....hilang sedikit rasa nak marah tak leh dapat parking yg sebenarnya hak Haikal....


 

Wednesday, 27 April 2011

Obesiti Dek Nasi Lemak

Dah ada isu baru la pulak. Khabarnya budak-budak sekolah sekarang makin obes dek penangan nasi lemak. Aik... ya ka sampai begitu. Takkan nasi lemak sahaja penyumbang kepada obesiti. Bagaimana pulak dengan nugget, aiskrim, hotdog dan macam-macam lagi serba mak nenek yang budak-budak sekolah ni makan. Adakan yang lain tu tak menyumbang kepada kegemukan.

Saya sangat bersimpati dengan 'fenomena' ini kerana yang terkena tempiasnya bukan sahaja tukang-tukang kantin tetapi juga peniaga-peniaga warung tepi jalan yang kebanyakannya orang Melayu Bumiputera. Kasihan depa semua. Mungkin sehari dua ni collection mereka akan berkurang. Biar sesedap manapun nasi lemak mereka, tentu mak bapak dan pelajar trauma sebentar untuk menikmati nasi lemak yang begitu sinonim sebagai hidangan di waktu pagi. Nasi lemak yang telah menjadi rutin orang Melayu dan rakyat Malaysia dari sebelum merdeka lagi pasti akan jatuh merudum jualannya.

Bagi saya nasi lemak tu ok ja... takdala saya gemuk masa kecik-kecik dulu walaupun hampir setiap hari melantak nasi lemak sebelum dan semasa di sekolah. Maintain...

Wahai kementerian yang terbabit, kaji dahulu adakah pelajar-pelajar ini membakar semula 'lemak' dari nasi yang mereka dah makan tu. Jangan dibakar kelambu dek kerana nyamuk.

Cikgu-cikgu Pendidikan Jasmani... hah tunggu lagi! Pastikan anak didik anda bersenam setiap hari. Gunakan sepenuhnya masa PJ tu. Jangan biarkan terlupa membawa baju menjadi alasan untuk tak bersenam. Jangan hanya mengangguk ja bila masa untuk subjek anda dicuri subjek lain. Lawan tetap lawan (takut jugakla kalau itu arahan gurubesar @ pengetua).

Mustahil jugak no! Apa boleh buat kadang-kadang (mungkin selalu) subjek PJ pun cikgu lain dah 'curi' demi nak menggantikan subjek yang ada peperiksaan besar (arahan bos da). Makanya PJ pun makin dipinggirkan. Adakah janji kementerian terbabit "Seorang pelajar satu sukan" menjadi kenyataan. Harap-harap jadilah. Maka ini salah satu penyelesaiannya. Obesiti akan dapat dikurangkan dan nasi lemak akan boleh dijual kembali di kantin-kantin sekolah. Tokey-tokey warung kecil-kecilan di tepi jalan pun akan kembali tersenyum kerana peminat-peminat cilik nasi lemak akan kembali membanjiri warung mereka.

Nota: Saya sepenuhnya tidak bersetuju dengan pengharaman penjualan nasi lemak di kantin-kantin sekolah. Poco-poco boleh dihalalkan, nasi lemak pula 'diharamkan'. Fikir beb fikir.

Aduhai HiCMat

Tu dia, lama betul tak berblogging. Hampir terlupa password blog dibuatnya dek kerana sibuk yang entah apa-apa. Di pejabat dengan cara kerjanya, di rumah pula dengan rutin bersama keluarganya hinggakan masa untuk diri sendiri makin diabaikan. Aku perlukan masa senggang seperti dahulu untuk terus mengarang. Idea yang banyak kalau tak dicoretkan akan sebabkan aku terlupa dan otak makin 'beku'.

Dek tak mahu terlupa dan takut idea tak sempat dicambahkan aku mengambil inisiatif membeli sebuah Sony MP3 dan sebuah MP4. Syukur, alhamdulillah... Moga-moga bergunalah kedua-dua gajet baru ni untuk memastikan idea yang muncul di mana sahaja aku berada tak 'hanyut' dek kesibukan yang tak pernah berkurang.


Pembelian gajet terbaru ini juga akan menjadi titik tolak kepada alam baru yang akan aku tempoh tak lama lagi. Sebentar tadi aku dah berkongsi tentang sesuatu dengan beberapa orang. Aku yakin perkongsian itu akan menambah makna kepada kehidupan kami dan moga perkongsian ini akan dapat dikongsi dengan yang lain secara bersemuka.

Selain daripada itu, insya-Allah aku mengharapkan agar kemunculan 4 lagi gajet yang telah lama aku idamkan akan menjadi realiti. Agak-agaknya bilalah gajet yang aku idam dan nantikan tu menjadi milik aku. Alahai terpaksalah sabar menanti.

Monday, 6 September 2010

Salam Eidul Fitri 1431H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Minal Aidil Wal Fa'izin dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita.

Kepada yang akan memandu kenderaan pulang ke kampung halaman, saya harapkan agar sama-samalah kita berhati-hati di jalan raya. Semoga penjenguk-penjenguk sekalian selamat pulang ke kampung halaman berhari raya bersama kaum keluarga dan sanak saudara tercinta dan seterusnya selamat kembali ke tempat bertugas.

MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Friday, 12 March 2010

Tahniah

Puan Norlizah Abdul Hamid secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Kualiti) FSR. Surat pelantikan telahpun beliau terima. Sekalung tahniah buat beliau yang sebelum ini yang pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (SR223).

Saya yakin beliau mampu melaksanakan tugas yang semakin mencabar ini berdasarkan pengalaman beliau mengetuai Pasukan Semakan Kurikulum Fakulti dan sebagai KP SR223.

Thursday, 31 December 2009

Palang Penghalang


Berhati-hati ya kalau anda ke FSR. Sekarang ini kami sudah 'dikepung'. Kalau anda berkenderaan terutamanya kereta, pastikan anda mendapatkan pas di Balai Pengawal dahulu (khas untuk tetamu sahaja ya). Kalau tak jawabnya... menapak ajalah dari parkir yang disediakan untuk pelajar di hadapan bangunan berkembar S&T.

Lagi mudah kalau pakai motor kan. Tapi ada bahayanya. Dilanggar tercampak, melanggar pun tercampak. Walaubagaimanapun bersabar sahajalah kepada warga FSR terutamanya pelajar (sebenarnya staf pun terasa kalau tertinggal kad pekerja) kerana terpaksa menerima satu lagi dugaan. Namun ini bukan penghalang untuk anda mengecap kejayaan. Apa salahnya exercise sikit di kala menimba ilmu ini. Nanti kalau dah kerja buat pejabat yang parkirnya di hadapan bilik anda, ok. Sabar ajalah.

Thursday, 3 December 2009

Mengepak Sayap

FSR akan mengembangkan sayapnya ke Negeri Sembilan. Seremban 3 adalah lokasi yang telah dipilih sebagai tapak baru fakulti. Wow! memang hebat apabila cadangan yang telah dikemukakan di atas kertas oleh pihak pengurusan fakulti dipersetujui oleh UPEN untuk direalisasikan di lokasi sebenar.

Insyaallah apabila telah siap nanti, FSR akan mempunyai tasiknya yang tersendiri. Tasik buatan manusia itu terletak di hadapan dan belakang FSR. Memang hebat. Pemandangan dari bilik kuliah pasti menarik.

Rekabentuk bangunan FSR juga agak futuristik seperti rekabentuk bangunan untuk salah sebuah fakulti yang terdapat di Australia. Bangunan setinggi 3 tingkat itu akan dilengkapi dengan makmal biomekanik, pemakanan, fisiologi senam, pelakuan motor, makmal komputer dan tak lupa juga makmal untuk pengajaran rekreasi luar. Gimnasium dan stor untuk penyimpanan peralatan sukan dan rekreasi juga akan terletak di dalam bangunan yang sama.

Kampus Seremban 3 itu nanti akan mampu menampung kapasiti pelajar FSR sekitar 750 orang dan pensyarah seramai 60 orang.

Sayangnya mini stadium dan kolam renang yang dipohon masih lagi belum mendapat persetujuan.

Laporan Utusan Malaysia di sini

Wednesday, 7 October 2009

Jemputan ke Majlis Aqiqah dan Sua Raya Aidilfitri

Saya sekeluarga akan mengadakan Majlis Aqiqah dan Sua Raya Aidilfitri pada hari Jumaat ini bersamaan 9 Oktober 2009 bertempat di pondok kami di Taman Cahaya Alam, Shah Alam.

Saya, Liza dan anak-anak ingin menjemput rakan-rakan penjenguk sekalian untuk memeriahkan lagi majlis ini. Jika anda sudi dan berhasrat untuk memudahkan tuan rumah, sila maklumkan kehadiran anda. Majlis akan bermula dari jam 6.00 petang sehingga 10.00 malam.

Semoga kehadiran anda dapat memeriahkan lagi majlis dan seteruskan merapatkan lagi ukhwah sesama kita.

Thursday, 17 September 2009

SALAM AIDILFITRI 1430 H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita. MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Monday, 24 August 2009

Sedang Merancang

Assalamualaikum semua,

Saya ingat nak buat makan-makan di tapak Cafe Kolam Renang hari Jumaat ini. Waktunya sudah tentulah jam 7.25 malam bersamaan dengan waktu berbuka puasa bagi kawasan Shah Alam dan yang sewaktu dengan. Saya taja makanan. Lainnya mungkin TEAMTACT dan PERLU Selangor nak turut serta melabur [saham akhirat bro].

OK amacam. Ada berani?

Monday, 11 May 2009

Sihat

Alhamdulillah kedua ibu dan anak sudah dibenarkan keluar daripada DEMC oleh doktor bertugas. Kamilia keluar hari Sabtu manakala Liza semalam. Liza masih bercuti manakala Kamilia bersemangat ke sekolah setelah ketinggalan hampir seminggu.

Terima kasih kepada saudara mara dan rakan-rakan yang sudi melawat dan bertanya khabar. Terima juga di atas doa dan sokongan anda sekalian. Semoga Allah memberkati kehidupan anda semua.