Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label syukur. Show all posts
Showing posts with label syukur. Show all posts

Friday, 12 February 2016

Berlibur Jangan Sampai Lupa Bersyukur!

Saya sempat bawa keluarga berlibur di sebuah taman tema di Pantai Timur semasa cuti Tahun Baru Cina tempohari. Kami bermalam di Kuantan dan bertolak ke taman tema yang dimaksudkan pada keesokan harinya. Saya lihat ramai sekali pengunjung yang datang pada hari yang sama. Walaupun masih awal, barisan untuk ke kaunter tiket sudah panjang. Hanya tiga kaunter sahaja yang dibuka walaupun ramai sekali yang bersemangat datang bersama ahli keluarga untuk mandi manda dan beriadah.

Sambil beratur saya sempat mendengar beberapa pengunjung yang sama-sama beratur membebel. Mereka membandingkan taman tema ini dengan sebuah lagi taman tema yang baru dibuka di selatan tanahair. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa taman tema di selatan tanahair memberi keselesaan yang lebih kepada pengunjung yang datang. Beraturnya pun tidak dirasakan terlalu lama walaupun pengunjungnya ramai. Ini kerana taman tema di selatan tanahair tu membuka lebih banyak kaunter terutama sekali ketika pengunjungnya ramai. Khabarnya lebih dari 10 kaunter. Banyak lagilah yang mereka bincangkan. Saya hanya menjadi pendengar setia dan sekali sekala sahaja menyampuk.

Setelah beratur lebih sejam maka dapatlah saya dan keluarga akan 'gelang' yang perlu dipakai untuk di sepanjang kami berada di dalam taman tema tersebut. Masuklah kami ke dalam dengan hati berbunga-bunga. Semangat sungguh anak-anak nak terjun kolam, main air dan menyelusuri 'lazy river'.

Alamak kena sewa pelampung la pulak. Pergilah saya ke kaunter untuk sewaan pelampung. Tu dia.... panjangnya barisan. Selepas beratur sejam lebih di tengah panas terik dapatlah saya menyewa akan dua buah pelampung berkembar. Fuh! berpeluh sakan dibuatnya.

Pengunjung tersangatlah ramainya pada hari yang kami pergi tu. Kalau nak diibaratkan ramainya orang, bolehlah kiranya saya ibaratkan selak orang baru nampak air huhuhu... nak bagitau punyalah ramai manusia.

Puas mandi di bahagian kanak-kanak dan menyelusuri lazy river, depa ajak pula saya cuba waterslides untuk orang dewasa. Saya layankan aja. Kaisara jadi buddy saya. Dah tak ingat pulak saya berapa kali dok panjat anak tangga dan mengelungsur turun 'crystal slide' (slide yang terang) dengan dia. Sampai saja di bawah, dia ajak buat sekali lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak naik lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak panjat anak tangga lagi.

Berulangkali kami buat slide yang sama sampai lifeguard tu pun dah kenal. Siap lifeguard tu boleh cakap kat Kaisara, 'Dah tak nampak dah perut ayah dia!'. Itulah penangan dok melayan Kaisara.


Tak puas turun 'crystal slide' dan layan 'galaxy slide' (slide yang terowongnya gelap) kami berempat try satu lagi slide yang saya pun tak ingat namanya. Kali nie pelampung berkembar yang kami sewa terpaksa kami tinggalkan di bawah. Kami tinggalkan kedua-dua pelampung yang disewa di suatu sudut di bawah. Slide yang akan kami naik tu dah ada sediakan pelampungnya yang tersendiri. Cukup untuk kami semua.

Punya la panjang beratur. Sejam lebih jugak la kena beratur baru nak sampai giliran. Dalam dok seronok nak sampai giliran, muncul pula seorang pengunjung lain masuk betul-betul depan kami. Saya tanya dia, "Adik dengan siapa?". Dia jawab sambil tunjukkan, "Saya dengan family depan nie". Terus saya selamba tanya dengan family depan saya. Depa kata bukan. Aik! dia sudah tipu saya da. Saya tanya lagi, "Adik sebenarnya dengan siapa?". Dia diam dan berdiri selamba depan saya sambil berkata, "Dia nie lorat la!". Alamak, dia yang potong barisan, kita pulak dikata banyak songel. Orang lain hanya memerhati. Ada juga yang suruh budak perempuan ini ikut barisan dan kembali ke tempat asalnya. Dia buat don'no saja. Foto saya pula yang nak diambilnya untuk diviralkan gamaknya.

Rupa-rupanya si-dia ini datang bersama-sama ramai lagi geng. Lelaki dan perempuan muda. Yang lainnya hanya pandang dari jauh sahaja. Ini gadis terlebih berani da.

Apabila dah pengunjung lain pun turut sama mendesak, akhirnya dia mengalah. Dengan muncung panjang sejengkal dia kembali kepada geng dia. Aduhai memang spoilt betul la. Alhamdulillah saya dan pengunjung lain boleh tahan sabar dengan karenah dia seorang.

Sampai giliran kami. Menggelungsor la kami anak beranak di atas pelampung gergasi yang disediakan. Semua happy!

Sampai di bawah lain pulak ceritanya. Dua buah pelampung kami 'lesap'! Aduhai... terpaksa agih tugas dengan anak-anak. Kami berpecah dua. Semua kena ingat nombor pelampung dan warnanya dan tunggu di penghujung terowong slides. Tunggu punya tunggu punya tunggu pelampung yang hilang tak jugak muncul-muncul. Saya katakan pada anak-anak, " Kalau ada rezeki kita, pelampung tu kita akan dapat balik dan dapatlah balik duit deposit tu, jangan risau... Kalau dah bukan rezeki kita, redha aja la... Semua baca doa minta Allah permudahkan bagi jumpa!".

Hampir setengah jam jugalah kami menunggu dan membelek nombor pada setiap pelampung warna biru dan hijau yang keluar dari terowong slide. Akhirnya muncul juga pelampung biru berkembar dengan nombor E067. Sepasang uda dan dara sambil berselfie sudah pakai da. Seronok sungguh depa berdua merakam saat-saat gembira menggelungsor bersama.

Terus saya tanyakan depa di hadapan lifeguard yang memerhatikan saya anak beranak dari tadi adakah pelampung ini depa sewa. Kedua-dua tak mengaku dan menuduh sesama sendiri. Katanya kawan perempuan depa yang ambil. Siap disebut nama lagi. Kedua-duanya minta maaf dan tak henti-henti menyalahkan rakan lain. Saya tanyakan baik-baik, 'Kawan-kawan adik ada terambil satu lagi pelampung warna hijau!". Serentak kedua-dua menjawab, "Tak ada!".

Aduhai... satu pelampung sudah dapat, tinggal lagi satu. Tunggu lah kami lagi kat bawah tu. Selepas hampir setengah jam, pelampung yang ditunggu tak muncul-muncul dari lubang terowong slide. Saya ambil keputusan untuk panjat anak tanga, tengok-tengok kot-kot pelampung tu ada di atas. Saya tinggalkan tiga beradik di bawah untuk ushar kot-kot pelampung 'milik kami' tu ada orang lain pakai. Saya tinggalkan pesanan pada Kamilia jangan tegur si-pengambil, cuma beritahu lifeguard bertugas bahawa pelampung yang orang pakai itu kami yang sewa. Kemudian saya panjat tangga sambil mulut terus berdoa agar dipermudahkan urusan pencarian.

Akhirnya dah rezeki anak-anak... pelampung yang kami cari 'terlekat' di atas rupanya. Ada orang 'pinjam' dan tinggalkan di atas. Jumpa juga akhirnya pelampung hijau E1072. Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...

Anak-anak seronok bukan kepalang apabila melihat papa depa 'pulang' dengan pelampung yang dicari.

Saya ingatkan... semua depa dah hilang mood nak main dan bersedia untuk pulang. Rupanya wajah yang sebelumnya monyok kembali ceria dan mahu terus panjat lagi anak tangga dan ulang menggelungsor lagi, Aduhai.... Jenuh!

Semua yang berlaku ada hikmahnya. Hebat sekali perancangan Allah swt. Dalam dok nak bergembira pun diujinya sebentar untuk saya berkongsi pengajaran daripada setiap yang berlaku dengan anak-anak. Saya ringkaskan sedikit pengajarannya dari pengalaman libur kami sekeluarga : Pertamanya BERSABAR, keduanya JANGAN POTONG BARISAN, ketiganya JANGAN DIAMBIL BARANG YANG BUKAN HAK KITA dan yang terakhirnya ALLAH KAN ADA!... sentiasa bermohon kepadanya. Ingat DIA di saat senang dan susah!

Friday, 19 June 2015

Syukur Atas Segalanya

1. Acapkali kita merungut apabila tak mampu membeli sepasang kasut baru untuk dipakai di hari pertama persekolahan seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli sepasang kasut malahan mereka ini tidak juga punya kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin mereka miliki.

2. Maka rakan2ku sekalian bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah turunkan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Janganlah kita bersangka buruk dengan Allah. Rajin-rajinlah ucapkan Alhamdulillah...
 

3. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk untuk kita hadapi, hinggakan kadangkala kita terlupa bahawa ada insan lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. 

4. Sedarilah Allah swt hanya menguji setakat yang hambaNya mampu sahaja. 

5. Video yang di bawah ini tidak jemu saya tonton berulangkali. Ianya cukup menginsafkan. Kisah si-anak kecik yang diajar oleh ibunya agar tidak meminta2 meskipun hidup di dalam kedaifan. Sama-sama kita hayati akan mesej yang cuba disampaikan.


 

Tuesday, 24 June 2014

Salji turun mencurah-curah ketika dalam perjalanan dari Cradle Mountain ...

Subhanallah... kuasa Allah mengatasi segalanya. Jika Dia menghendaki sesuatu itu berlaku maka berlakulah dan tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitulah bukti kekuasaan Allah. Ini menjadi pengalaman terbaik sepanjang tahun 2013 dari kembara kami sekeluarga ke Cradle Mountain National Park.
 
Saksikanlah klip video ini. Salji turun mencurah-curah di pertengahan musim bunga. Bumi CMNP yang diawal kehadiran kami kehijauan bertukar wajah menjadi putih diselaputi salji tebal keesokannya. 
 




Thursday, 7 February 2013

Mengubah Kehidupan

Temujanji & Taklimat

Awal pagi tadi saya dan Jeff (supervisor PhD) ada temujanji dengan sekumpulan guru-guru Pendidikan Jasmani dari sebuah persatuan sukan sekolah pendidikan khas Utara Melbourne. Ianya berkaitan dengan taklimat untuk pengumpulan data bagi kumpulan pertama guru-guru dengan menggunakan kaedah focus group interview. Kami tiba lebih awal dari yang dijanjikan. 

Guru-guru yang hadir ingin mendengar sendiri apakah sebenarnya yang ingin kami cari dari kajian yang akan dijalankan nanti. Alhamdulillah... taklimat berjalan lancar dan majoriti daripada mereka bersetuju untuk ditemubual di masa yang akan ditetapkan kemudian dan seterusnya menandatangani & memulangkan consent form yang diberikan. 


Perjalanan Yang Panjang Terasa Singkat

Ascot Vale Special School terletak kira-kira 30km dari RMIT Bundoora. Alhamdulillah sekali lagi Jeff sudi menumpangkan saya untuk ke lokasi temujanji pagi tadi . Perjalanan kami mengambil masa sekitar 30 minit.

Kami bersembang  tentang banyak perkara. Sembang kami berkisar tentang isu-isu ilmiah, suasana politik semasa, lokasi pelancongan menarik hinggalah ke kisah kehidupan.

Jeff menceritakan pengalaman beliau ketika belajar dahulu. Beliau menceritakan pengalaman merantau di samping 'mengangkut' bersama anak-anak dan isteri untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana dan PhD di USA. Banyak jugalah tips-tips yang beliau kongsikan bersama saya.

Teringat juga kata-kata Jeff pagi tadi setelah saya menceritakan tentang sejarah kehidupan saya. Kata Jeff kepada saya, "Hanya pendidikan yang boleh mengubah nasib seseorang manusia!". Beliau juga dilahirkan dari keluarga yang kurang berada, dan dengan pendidikan jugalah beliau mampu untuk mengubah nasih keluarga dan keluar dari kepompong kemiskinan. Dengan pendidikan jugalah dia mampu untuk terbang ke sana sini untuk melihat negara orang. Dengan pendidikan jugalah dia belajar erti kehidupan. Namun kalaulah Jeff seorang Muslim, pasti lebih indah kalau ditambah lagi... 'dengan izin Allah semuanya berlaku'.

Saya pula menceritakan tentang negara luar yang pernah saya kunjungi selain Australia. Sesuatu yang amat menarik & mengejutkan saya apabila Jeff amat berminat tentang sebuah tempat yang pernah saya jejaki iaitu Kota Suci Mekah. Beliau tahu tentang kaabah, beliau tahu tentang mengerjakan haji dan dia cukup takjub dengan Tanah Haram terutama sekali kaabah dan sekelilingnya di mana waktu umat Islam tawaf dan solat berjemaah. MasyaAllah...


InsyaAllah akan saya ceritakan lagi tentang kesucian Islam kepada Jeff seperti yang pernah saya lakukan kepada Andrew Brookes (supervisor di peringkat sarjana). Saya masih punya masa yang panjang. Semoga beliau dan kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah. InsyaAllah...

Wednesday, 11 May 2011

Tak Cukup... 'aku mahu tambah'

Saya pun tak tahu kenapa begitu kerap saya menggunakan contoh ini untuk hamba Allah yang terlupa bersyukur. Saya memberi contoh bagaimana ada seorang hamba Allah ini (sihat tubuh badan) sering mengeluh mengenangkan nasibnya yang sudah lama tidak bertukar kasut. Dia mengeluh kerana menyedari dirinya tak mampu untuk membeli dan melaram dengan kasut baru. Kasut yang dipakainya juga sudah lusuh terkoyak dan patut dihukum buang dan sepatutnya dah sampai masa ditukar kepada yang baru.

Namun hamba Allah ini kembali bermuhasabah diri dan bersyukur apabila menyaksikan sendiri bagaimana 'peritnya' seorang hamba Allah lain yang langsung tidak mempunyai kaki melintasinya. Iyalah... pandangan mata hatinya telah menyaksikan bagaimana dirinya yang berkaki masih belum mahu bersyukur hanya kerana tak punya wang untuk membeli kasut baru sedangkan hamba Allah (OKU) yang baru melintasinya tadi langsung tak punya kaki untuk disarungkan kasut (itupun kalau dia mampu membelinya). Namun dia dapat menyaksikan seakan-akan hamba Allah ini ceria menjalani kehidupannya biarpun terpaksa mengengsot dek kerana kedua kakinya yang kudung hingga ke paras paha.

Ketabahan dan tidak lupa bersyukur sebeginilah menjadikan seseorang itu lebih kuat dan sentiasa berfikiran positif serta melihat sesuatu itu dengan pandangan mata hati.

Wednesday, 27 April 2011

Aduhai HiCMat

Tu dia, lama betul tak berblogging. Hampir terlupa password blog dibuatnya dek kerana sibuk yang entah apa-apa. Di pejabat dengan cara kerjanya, di rumah pula dengan rutin bersama keluarganya hinggakan masa untuk diri sendiri makin diabaikan. Aku perlukan masa senggang seperti dahulu untuk terus mengarang. Idea yang banyak kalau tak dicoretkan akan sebabkan aku terlupa dan otak makin 'beku'.

Dek tak mahu terlupa dan takut idea tak sempat dicambahkan aku mengambil inisiatif membeli sebuah Sony MP3 dan sebuah MP4. Syukur, alhamdulillah... Moga-moga bergunalah kedua-dua gajet baru ni untuk memastikan idea yang muncul di mana sahaja aku berada tak 'hanyut' dek kesibukan yang tak pernah berkurang.


Pembelian gajet terbaru ini juga akan menjadi titik tolak kepada alam baru yang akan aku tempoh tak lama lagi. Sebentar tadi aku dah berkongsi tentang sesuatu dengan beberapa orang. Aku yakin perkongsian itu akan menambah makna kepada kehidupan kami dan moga perkongsian ini akan dapat dikongsi dengan yang lain secara bersemuka.

Selain daripada itu, insya-Allah aku mengharapkan agar kemunculan 4 lagi gajet yang telah lama aku idamkan akan menjadi realiti. Agak-agaknya bilalah gajet yang aku idam dan nantikan tu menjadi milik aku. Alahai terpaksalah sabar menanti.

Tuesday, 24 August 2010

Mampukah Kita Bila Diduga?

Saya suka menggunakan contoh ini untuk menggambarkan besar dan kecilnya dugaan seseorang. Kata saya kepada mereka yang mendengar, "Kita sering merungut apabila tak mampu membeli kasut baru seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada di antara rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli kasut bahkan tidak juga mempunyai kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin dimilikinya".

Maka bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah subhanahuwata'ala berikan kepada kita. Itu tandanya Allah swt masih sayangkan hamba-Nya. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ada orang lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. Allah hanya menguji setakat yang hambaNYA mampu sahaja.

Saya ceritakan kepada seorang sahabat, bagaimana Allah swt 'tarik' kedua ibubapa saya ketika saya masih memerlukan kasih sayang keduanya. Saya jangkakan itulah dugaan terhebat di dalam kehidupan saya. Namun saya lupa tentang dugaan orang lain. Terus kawan saya ceritakan kisah hidupnya sehingga membuatkan saya lebih bersyukur. Katanya dia masih mempunyai kedua ibu dan bapa namun dia tidak pernah merasa nikmatnya dapat mencium tangan keduanya. Ini kan pula memeluk keduanya sebelum ke sekolah dahulu sehinggalah ke zaman universitinya. Pernah beberapa kal ibunya menghamburkan perkataan yang tidak ingin mana-mana anak sekalipun mendengarnya. Ibunya tidak mengaku bahawa dia ini sebagai darah dagingnya. Aduh... anak mana yang tak sedih apabila mendengar perkataan yang tak mahu didengarnya itu. Saya hanya mampu menyuruh dia bersabar dan memohon doa dari Illahi agar dilembutkan hati kedua ibubapanya.

Saya bersyukur kerana pernah melalui pengalaman mencium tangan mak dan abah. Pernah memeluk dan mencium mereka sebelum ke sekolah. Paling penting arwah mak dan abah tidak pernah mengeluarkan perkataan yang sahabat saya dapat dengari dari mulut ibunya sendiri. Saya bersyukur.

Nota: Selamat Hari Wanita kepada semua ibu-ibu yang membaca coretan saya pada kali ini. Semoga dosa-dosa anda diampunkan Allah swt dan ditempatkan di Syurga Firdaus. Amin.

Friday, 20 August 2010

Jijik Lagi Menjelikkan

Kalau dilihat dengan mata kasar tentu aktivit yang satu ini nampak menjijikkan. Mana taknya berlemoih (comot) kata orang utara. Berjalan dengan mata ditutup, selut diredah, dimandi air lopak, menyelit celah-celah perdu pokok, merangkak dalam lubang yang muat-muat saiz badan dan banyak lagilah lakuan-lakuan yang tak terjangkau dek akal dilakukan ketika mata ditutup tu.

Kalaulah foto-foto semasa aktiviti berlangsung diletakkan di muka depan akhbar harian dan ditayangkan di laman sesawang YouTube pasti ianya menjadi perhatian dan perbincangan di peringkat nasional. Gempaq satu Malaya. Percayalah! Itulah menjadi kegemaran orang kita melatah tanpa usul periksa. Mungkin akan ada yang beranggapan kejadian raging di universiti. Mungkin la!

Namun aktiviti yang kotor di pandangan mata kasar ini mempunyai moralnya yang tersendiri. Aktiviti ini lebih banyak yang tersirat daripada yang tersurat. Banyak baik dari buruknya. Hanya mereka yang pernah melaluinya dan seterusnya melihat dengan mata hati sahaja yang boleh mentafsirkan cerita di sebalik aktiviti yang dikatakan menjijikkan ini. Aktiviti kecil yang boleh meninggalkan impak yang besar di dalam diri kita.

Kalau ramai yang tak perasan atau tak ada perasaan, inilah salah satu aktiviti yang dapat menggugurkan ego seseorang. Mana taknya, di zon selesa kebiasaannya aku wangi dan kemas. Kini aku hanya seorang hamba yang biasa sahaja. Comot dan tidak terurus. Pewanginya pula adalah bau-bau selut yang telah menyelaputi dari hujung rambut hinggalah ke kaki. Semua rakan-rakan yang ada tak kira kaya atau miskin, cantik atau kurang, handsome atau kurang, rupanya sama sahaja selepas menamatkan 'laluan si-buta' itu. Berlemoih!

Sepatutnya perkataan syukur terkeluar daripada mulut sesiapa sahaja yang pernah menjalani aktiviti sebegini. Iyalah bersyukur kerana dikurniakan sepasang mata cantik yang masih boleh melihat keindahan alam dan mensyukurinya.

Bayangkanlah nasib golongan yang mempunyai masalah penglihatan atau buta. Mereka hanya mengharapkan bantuan orang lain, tongkat ataupun handrail untuk bergerak. Tentu sukar kan kalau ianya berlaku kepada kita. Hanya 'dibutakan' selama 1-2jam pun kita dah memberontak dan tidak selesa, inikan pula buta selama-lamanya. Aduh... bersyukurnya aku Ya Allah.

Ada satu cerita di sini.

Harap-harap penjengok-penjengok pun sama. Mari kita belajar bersyukur.

Friday, 16 October 2009

Syukurlah Oi!

Ada juga yang tak reti bersyukur atau buat-buat tak reti bila dah dapat peluang belajar di UiTM ni. Tambah pula sambung di Shah Alam. Depa tak insaf langsung dengan kawan-kawan yang terpaksa merantau jauh sampai ke Samarahan semata-mata hendak menyambung pengajian dalam bidang sains sukan ni.

Hari ini isu tersebut muncul kembali semasa saya mengadakan diskusi dengan penasihat akademik dan pensyarah-pensyarah yang terlibat dengan pelajar diploma. Pelajar-pelajar diploma di Shah Alam khabarnya terlalu aktif 'bersukan' sampai banyak kelas yang dituang. Betul ka begitu aktif sampai banyak kelas terpaksa dituang. Bagaimana pula di cawangan? Adakah mereka pun bersikap sedemikian?

Nasihat saya mudah sahaja. Pastikan anda mendapat kebenaran daripada pensyarah yang mengajar anda agar pensyarah tahu di mana anda pergi. Fokuskan tumpuan anda kepada pengajian di universiti. Ingat kembali janji anda untuk belajar bersungguh-sungguh yang telah dilafazkan di hadapan kedua ibubapa atau penjaga ketika anda mula menjejakkan kaki ke menara gading dulu. Biarkanlah mereka mengalirkan airmata kegembiraan apabila anda bergraduat nanti dan bukannya mengalirkan air mata akibat kegagalan anda sebelum habis berjuang. Ingat... sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.

Thursday, 13 August 2009

Dah Ditakdirkan

Begitulah takdirnya... Flora dan Agnes ditimpa kemalangan sebentar tadi. Kedua-dua mereka telah dilanggar dari sisi selepas selesai sesi amali Bubble Making Experience di kolam renang.

Inilah yang cukup saya membimbangkan saya beberapa hari kebelakangan ini. Setiap kali ada kuliah pasti saya nasihatkan para pelajar supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri. Mana taknya kem semakin hampir. Pelajar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Kem memang memerlukan ketahanan kedua-duanya. Kalau tak bersedia maka hilang 'kenikmatan' untuk beraktiviti.



Sudah ditakdirkan mereka berdua yang terpilih untuk diduga oleh Allah subhanahu wata'ala. Mereka yang di dalam perjalanan menuju ke Stor Peralatan Rekreasi selepas tamat kelas saya telah dilanggar oleh sebuah lori betul-betul di simpang berhampiran pintu hadapan UiTM. Flora yang membonceng motosikal cedera [agak parah] dan terpaksa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Agnes hanya cedera ringan dan dirawat di Pusat Kesihatan UiTM.

Alhamdulillah... kedua-duanya mempunyai ramai rakan-rakan kelas yang prihatin serta segera datang membantu ketika dihubungi oleh Agnes sebaik sahaja beliau terlibat dengan kemalangan. Rakan-rakan [ketika kesusahan] ini menguruskan kedua mangsa sehingga ke hospital dan di dalam membuat laporan polis. Sememangnya rakan ketawa senang dicari, rakan menangis...

Monday, 29 December 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala, tuhan kita semua kerana kita masih diberi peluang dan kesempatan oleh-NYA serta dikurniakan nafas dan nikmat untuk sama-sama menyambut kedatangan awal Muharram tahun 1430 Hijriah. Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Hijrah kepada semua penjengok² muslimin dan muslimat. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita semua dapat mengambil pelbagai iktibar serta contoh tauladan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan kita bagi keperluan hari² yang mendatang.

Sama-samalah kita doakan semoga dengan kedatangan tahun baru ini akan meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada ISLAM, dimurahkan rezeki dengan RAHMATNYA dan senantiasa dalam KEREDHAANNYA...amin

Saturday, 27 December 2008

Ulangtahun Pertama

Hari ini merupakan ulangtahun pertama blog Coretan di Kala Senggang. Ketika pertama kali menulis di blog, saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menyunting posting yang pertama. Saya mengambil masa seminggu untuk mengarang cerita pertama tersebut. Semuanya bermula di Bendigo. Sesungguhnya kenangan manis sepanjang di Bendigo tidak akan saya sekeluarga lupakan. Sebab musabab kenapa saya menulis di blog pula saya coretkan di sini.

Apabila pulang dari Bendigo, saya bertekad untuk menggalakkan lebih ramai lagi rakan-rakan dan pelajar-pelajar saya untuk terlibat di dalam dunia penulisan blog. Alhamdulillah sehingga ke hari ini ratusan blog berjaya dihasilkan hasil hasutan dan paksaan saya samada secara terang-terangan atau dalam diam-diam. Ini merupakan satu perkembangan yang menarik di mana blog boleh menghubungkan silaturahim yang sedia terjalin biarpun di mana kita berada. Selain itu pemikiran seseorang itu akan dapat dipindahkan terus ke webblog masing-masing dan menariknya semua orang boleh melayarinya.


Harapan saya agar demam blog akan berterusan dan tidak hanya menjadi satu fenomena sementara sahaja. Saya pernah memberi nasihat dan harapan kepada bloggers baru di sini. Kegilaan saya dengan blogosphere menyebabkan saya menulis posting ini. Oleh itu, kepada penjengok-penjengok yang masih belum mempunyai blog sendiri, marilah ramai-ramai kita meriahkan dunia blog. Dunia tanpa sempadan. Sertailah 500,000 bloggers lain yang terdapat di Malaysia. Tulislah apa sahaja yang menjadi minat anda semua untuk dikongsikan bersama. Jangan ditunggu lagi. Lontarkan idea-idea anda di dalam blog. Jangan biarkan idea anda itu berkarat begitu sahaja.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana telah dikurniakan kekuatan dan idea untuk menulis dan mengemaskini blog Coretan di Kala Senggang. Semoga blog ini akan terus menjadi wadah yang dapat merapatkan saya dan penjengok-penjengok sekalian.

Tuesday, 4 March 2008

Terima kasih sahabat sekalian

Itulah yang sepatutnya saya ucapkan. Ramai rakan-rakan yang sudi memberi komen tentang isu bertajuk "Nampak Gayanya...". Kebanyakan mereka tidak mahu komen mereka dibaca oleh pembaca yang lain. Sebagai menghormati kehendak rakan-rakan ini, saya turuti. Apapun segala komen dan cadangan yang diberi akan segera saya ambil perhatian. Terima kasih daun keladi, kalau ada masa sila komen lagi. Agar diri ini dapat diperbaiki.

Monday, 11 February 2008

Ada Gunanya

Tak sangka ya, laman sesawang saya yang kerdil itu ada juga gunanya. Laman sesawang www.freewebs.com/hicmat telah memberikan maklumat berguna kepada dua orang penuntut Malaysia yang kini menuntut di Monash University. Mereka yang secara kebetulannya akan menjalankan 'clinical practice' di kawasan 'rural' telah memilih Bendigo. Azlan dan Aishah telah meng'google' "solat Jumaat di Bendigo" dan seterusnya mengutus email kepada saya untuk mengetahui maklumat lanjut tentang komuniti Muslim di Bendigo.

Terkenang saat sebelum saya sekeluarga berhijrah ke Bendigo. Itulah langkah awal yang saya lakukan semasa ingin menuntut di La Trobe University Bendigo suatu ketika dahulu. Mencari dalam 'google' samada ada atau tidak komuniti Muslim di Bendigo. Tetapi hampa. Tiada maklumat langsung. Di 'Islamic Finder' pun tak ada. Saya sekeluarga akhirnya bertawakal kepada Allah swt dengan berhijrah ke Bendigo selama hampir satu tahun tanpa mendapat maklumat yang lengkap tentang komuniti Islam di Bendigo.

Alhamdulillah saya dipertemukan dengan saudara seagama yang baik-baik dan saling bantu membantu semasa di Bendigo. Brother Heri sekeluarga, Dr Preena, Dr Radzaq, Bro Mamoun, Bro Mikail sekeluarga dan Bro Mike seluarga sentiasa di ingatan. Kini sampailah tugas saya pula untuk menyampaikan maklumat dan membantu saudara-saudara saya yang ingin ke Bendigo.

Wednesday, 6 February 2008

Al-Fatihah

Marilah sama-sama kita sedekahkan surah Al-Fatihah ke atas roh Allahyarham Hj Shahidan bin Mohamad Noh [pakcik saya] yang telah kembali ke Rahmatullah semalam. Al-Fatihah.

Kini kami sekeluarga sedang berada di Bandar Darul Aman Kedah untuk melawat keluarga allahyarham. Alhamdulillah ketika kami sampai di Masjid al-Mutaqqin Bandar Darul Aman, jenazah baru sahaja selesai disembahyangkan. Namun dugaan muncul apabila kenderaan saya gagal dihidupkan ketika hendak mengiringi van jenazah ke tanah perkuburan. Setelah dicuba beberapa kali, kereta saya masih gagal dihidupkan.

Syukur ada jemaah yang prihatin dan cuba menghubungi mekanik berhampiran untuk mengenalpasti kerosakan yang sedang dialami. Pak Mat [mekanik] mengambil masa hampir 45 minit untuk mengenalpasti kerosakan yang dialami oleh kereta saya. Akhirnya beliau mendapati pam minyak saya gagal berfungsi. 'Wiring' semua OK katanya. Beliau kemudiannya memperkenalkan saya dengan sebuah bengkel memperbaiki kereta yang berhampiran dengan masjid yang secara kebetulannya masih belum ditutup. Ini kerana beliau sebenarnya mempunyai temujanji dan perlu ke Bandar Jitra atas urusan peribadi.

Brother Solahudin [pemilik bengkel] mencadangkan kepada saya untuk meninggalkan kereta di bengkelnya kerana alat ganti[pam minyak] tiada dalam simpanan dan perlu ditunggu esok pagi.

Alhamdulillah hari ini semuanya berjaya diselenggarakan oleh staf Bro Solahudin.

Wednesday, 16 January 2008

Alhamdulillah

Syukur kehadrat Illahi, saya telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Kini saya sudah berada di tanahair. Isnin lepas saya telah melapor diri di Pejabat Pembangunan Sumber Manusia, UiTM dan seterusnya dibenarkan bercuti tanpa rekod selama seminggu. Insyaallah, saya akan memulakan tugas pada 22 Januari 2008.