Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 30 June 2009

Amukan Mak Siti

Dua minggu lepas pejabat am FSR terutama di kawasan pantri berbau hancing dan meloyakan. Mana taknya, tikus-tikus bermaharajalela. Habis dikencing dan diberaknya pantri tempat staf makan dan minum.

Laporan dibuat dan sarang tikus iaitu ruang di bahagian belakang penyaman udara tingkap (Window Air Conditioner) pun dimusnahkan oleh pihak penyelenggaraan. Saya melihat sendiri ruang tersebut, memang hancing dan penuh dengan sisa-sisa makanan. Tikus hilang entah ke mana. Saya sempat melawak dengan staf di pejabat am, "Habislah kita lepas ni, tunggulah depa mengamuk!".

Minggu lepas talian internet di fakulti gagal berfungsi. Hanya FSR sahaja yang tiada talian internet. Setelah diselidiki oleh staf yang berkaitan maka diketahuilah puncanya. Rupa-rupanya fiber optik di fakulti telah dimakan tikus. "Mak Siti" dah mengamuk! Selepas sarangnya dimusnahkan, maka seluruh warga tikus di FSR bertekad untuk merosakkan sistem di FSR [Nota: Andaian saya sahaja].

Alahai semalam kami semua dah dapat memo dari pihak pengurusan FSR. Kena tunggu sehingga enam (6) bulan untuk talian internet dibaik pulih. Mahal beb, fiber optik tu. Kena dibuat tender.

Friday 26 June 2009

Balik Jalan Kaki!

"Kakak takut la mama", Kamilia mengadu dengan mamanya malam tadi. "Takut apa?", balas Liza. "Kakak takut papa marah. Papa nak suruh kakak balik jalan kaki kalau kakak dapat nombor 10", jawab Kamilia. "Takpa kakak... kelas kakak banyak budak pandai-pandai. Kalau tak dapat nombor satu untuk peperiksaan kali ni, kakak cuba lagi untuk yang akan datang", pujuk Liza.

Sembang dua beranak tadi saya dengar dari mulut Liza semasa dalam perjalanan untuk "mengadap" guru kelas Kamilia bagi mengetahui prestasi akademiknya. Ingatkan kami dah awal, rupa-rupanya dah ramai ibubapa yang telah beratur untuk mendengar ulasan guru dan seterusnya melihat buku laporan prestasi akademik anak masing-masing .

Sampailah giliran saya dan Liza untuk duduk berhadapan dengan guru kelas Kamilia. Saya panggil Kamilia untuk berdiri di sebelah saya. Biar dia dengar sendiri komen guru kelasnya tentang prestasi peperiksaan dan kelakuannya di sepanjang penggal pertama persekolahan.

Tiada komen yang "berat-berat" yang dilontarkan oleh guru kelas Kamilia. Prestasinya memberangsangkan. Cuma sejarah semasa saya di Darjah Satu berulang. "Kanak-kanak ini suka berjalan di dalam kelas".

Alhamdulillah Kamilia mendapat kedudukan no. 1 [KBSR] manakala untuk KSRA tambah kosong di belakang.

Thursday 18 June 2009

Letak Jawatan!

Semasa di Tingkatan Satu saya bersekolah di sesi petang. Saya dilantik sebagai Pengawas untuk sesi petang. Kerja saya mengawas rakan-rakan lain untuk sesi petang dari segi disiplin dan sahsiah rupa diri. Nak dijadikan cerita, pada suatu petang tu saya dipanggil oleh Cikgu Cheng, Guru Disiplin untuk sesi petang. Terkejut jugak saya. Apa ke hal pulaklah Mdm Cheng ni nak jumpa saya. Jumpa di Bilik Guru pulak tu.

Rupa-rupanya Cikgu Cheng memanggil saya dengan bersebab. Katanya saya tidak berdisiplin semasa beratur. Dia melihat saya terlalu 'mesra' saya memaut bahu rakan saya semasa beratur. Saya juga dituduh gagal mengawal barisan kelas saya sebelum memasuki kelas. Jadi katanya saya gagal menunjukkan contoh yang baik yang sepatutnya ada pada seorang pengawas. Alahai sebab memaut bahu rakan pun nak dijadikan kes yang besar. Geram juga saya masa tu.

Akhirnya saya menguatkan tekad untuk bersuara di hadapan guru yang sememangnya cenge (garang) ini, " Madam, kalau macam tu saya nak minta letak jawatan la daripada jadi pengawas. Saya gagal jalankan tugas saya dengan baik. Jadi saya ingin beri peluang kepada kawan-kawan saya yang lebih layak untuk menggantikan saya sebagai pengawas". Saya dapat lihat muka dan telinga Cikgu Cheng yang semakin kemerahan. Mungkin dia terkejut dan marah kot. Mungkin dia tak sangka budak mentah ini berani bersuara sebegitu. Dia tak berkata apa-apa dan membiarkan saya meninggalkannya terdiam selepas saya memohon untuk balik ke bilik darjah.


Saya dilantik untuk menjadi Ketua Kelas semasa di Tingkatan Empat. Cikgu Syikin guru baru kelas kami yang baik hati di samping tegas bersetuju melantik saya selepas mendapat mandat daripada majoriti ahli kelas.

Suatu hari tu semasa di pertengahan tahun, saya telah dipanggil oleh Cikgu Syikin ke hadapan kelas. Dia menyatakan perasaan kurang puashatinya dengan prestasi saya sebagai Ketua Tingkatan. Saya dikatakan gagal berfungsi untuk mengambil dan menghantar laporan kehadiran kelas ke Pejabat HalEhwal Murid seperti yang dikehendaki olehnya dan pihak sekolah. Saya juga dituduh gagal mengawal kelas ketika ketiadaan guru di kelas dan turut serta membuat bising. Alahai banyaknya pertuduhan. Memang betul pun. Apalagi tanpa berfikir panjang, sekali lagi sejarah berulang. Saya pohon daripada Cikgu Syikin untuk meletak jawatan. Cikgu Syikin tersentak juga pada mulanya, tapi akhirnya boleh menerima. Niat asal Cikgu hanyalah untuk saya sedar selepas ditegur dan cuba berubah, tapi lain pula jadinya. Dia sendiri tak sangka yang saya akan letak jawatan. Apa boleh buat salah saya juga yang gagal mengawal diri dan tidak berdisiplin.

Apapun semua peristiwa itu menambahkan lagi pengalaman hidup saya. Saya cukup menghormati kedua-dua orang guru ini kerana berterus-terang dan berjaya menyedarkan saya tentang kelemahan diri. Kaedah yang digunakan ini membolehkan saya mudah memperbaiki kelemahan diri berbanding dengan mereka yang hanya menyatakan keburukan dan kelemahan diri ini hanya di belakang kita sahaja. Apabila di hadapan semuanya baik, indah dan puji-pujian sahaja. Saya pun tak kisah untuk memberi peluang kepada mereka yang lebih layak sekiranya keadaan memerlukan. Segala yang ada kini pun hanyalah sementara sahaja bukannya kekal. Hanya Allah tuhan yang kekal selamanya.

Hormat Menghormati

Seorang rakan (Si-A) daripada sebuah fakulti bercerita tentang pengalaman beliau kepada saya. Menurut beliau, seorang rakan pensyarah (Si-B) di fakulti beliau hampir diserang oleh pelajar yang juga dari fakulti yang sama dengannya. Apalagi lagi teruslah saya mengorek cerita. Apalah sebab dan musababnya sampai begitu sekali jadinya.

Rupa-rupanya yang nak menjadi hero itu sebenarnya adalah seorang pelajar lelaki yang tidak ada kena mengena langsungpun dengan kelasnya. "Habis apa sebabnya? Takkan sebab berebut parking kot?", tanya saya tidak sabar. "Pelajar lelaki tu marah sebab teman wanitanya tidak dibenarkan memasuki kuliah Si-B sampai menangis-nangis tersedu sedan. Sedih sebab kerap sangat tak dibenarkan masuk", cerita pensyarah tadi penuh bersemangat. "Apa sebabnya sampai tak dibenarkan masuk?", tanya saya lagi penuh minat. "Apalagi sebab lewatlah, dah selalu sangat lewat ke kuliah jadi si-B ni pun dah hilang sabar jadi dikuncilah pintu bilik kuliah dan tak benarkan mereka yang lewat memasuki kelasnya", jawab rakan saya Si-A.

Dari cerita si-A, rakannya si-B tak jadi diserang dan dipukul. Kononnya ada 'penyelamat' yang datang untuk 'membela' pensyarah mereka si-B. Jadi cerita habis di situ. Kalau ada cerita seterusnya saya akan sambung bila buka semester nanti. Seronok juga kan nak tahu kesudahannya bilamana hero muncul untuk menunjukkan kejaguhannya 'menumbangkan' pensyarah kebencian teman wanitanya. Kita tunggu sahajalah.

.....................................................................................


Benarkah perkara ini berlaku? Saya pun kurang pasti sebenarnya. Saya cuma mendengar dari mulut rakan saya si-A sahaja. Kalau tipu dia... maka tipulah saya.

Kalau berlaku pun perkara ini di FSR seperti yang berlaku di fakulti tersebut sudah tentu sayalah orangnya yang paling ramai nak dipukul orang. Tentu ramai teman lelaki/wanita, suami/isteri yang marahkan saya kena tak benarkan pasangan mereka memasuki kelas untuk mengikuti kuliah atau melakukan aktiviti semasa amali. Tanyalah pelajar-pelajar dahulu, berapa ramai yang gagal memasuki kelas kerana lewat. Hai... apalah yang jadi kepada mereka sekarang. Pandaikah mereka menghormati masa atau terus berperangai sama

Nota: Apa boleh buat, saya bukan pensyarah kegemaran yang pandai 'mengula-gulakan' pelajarnya untuk menjadi disayangi.

Monday 15 June 2009

Dah Agak Dah

OKU adalah akronim/singkatan kepada Orang Kurang Upaya. Sekarang ini pun dah ada Akta OKU 2008 yang telah diwartakan pada 24hb Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7hb Julai 2008. Seperti yang saya coretkan sebelumnya, saya berani jamin bahawa masih ramai khalayak yang belum mengetahui tentang akta ini dah apa manfaatnya kepada OKU.

Kita tinggalkan sementara isu TAK TAHU ini.

Saya pernah menulis tentang isu tukar menukar panggilan yang sesuai untuk hamba Allah ini. Coretannya ada di sini.

Rupa-rupanya dalam beberapa hari lepas sudah menjadi kenyataan. Mana taknya dalam tempoh beberapa tahun dah beberapa kali bertukar panggilan untuk golongan ini. Mulanya dengan orang cacat. Kemudian golongan istimewa. Tak sedap dengan golongan istimewa ditukar ke Orang Kurang Upaya. Terbaru, panggilan yang difikirkan sesuai oleh Dato' Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik kepada golongan ini sekali lagi ditukarkan iaitu kepada Orang Kelainan Upaya.

Saya sokong sahaja apa jua panggilan yang nak diberi. Asalkan maksudnya untuk menunjukkan sebahagian daripada golongan ini sebenarnya lebih berkemampuan daripada kita yang cukup segalanya. Memang dari dulu saya tak setuju dengan panggilan Orang Kurang Upaya. Tapi siapalah saya ini. Bercakap di kedai kopi sajalah.

Oooo sebelum terlupa nak juga ditanya tentang persoalan imbuhan untuk atlit Orang Kelainan Upaya ini. Adakah sama dengan atlit elit normal yang lain sekiranya mereka mengharumkan nama negara. Saya masih ingat tentang janji Dato' Menteri yang sebelumnya untuk mengkaji tentang persoalan ini. Saya rasa tentu atlit-atlit inipun setia menunggu.

[Nota: Saya dan pasukan dari FSR sudah menghantar satu Kertas Konsep lengkap beserta modul untuk Program Jatidiri OKU. Sehingga kini tiada respon dari pihak sebelah sana. Takkan terus diam seribu bahasa. Ataupun pisang terus berbuah berkali-kali. Hai lah nasib badan.]


Petikan penuh dari laporan Bernama tersebut di bawah ini:-

Gantikan 'Orang Kurang Upaya' Dengan 'Orang Kelainan Upaya'

KEMAMAN, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan agar penggunaan istilah 'orang kelainan upaya' (OKU) diperluaskan bagi menggantikan 'orang kurang upaya'.

Menurut beliau istilah orang kelainan upaya lebih menggambarkan keistimewaan dan kelebihan golongan itu berbanding istilah lama yang memberi maksud lebih negatif dan seolah-olah merendahkan keupayaan golongan itu.

"Kita mungkin terlalu terikut dengan perkataan bahasa Inggeris 'disable' yang menggambarkan ketidakupayaan serta kelemahan golongan ini sedangkan sebenarnya mereka mempunyai kelainan dan kelebihan luar biasa yang kadang kala tidak terdapat pada orang normal.

"Contohnya, atlet paralimpik yang mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi, serta kebolehan yang kadang kala manusia sempurna sendiri tidak mempunyai keupayaan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program 'Higher Institution National Expedition and Camping (HINEX) 2009' di sini hari ini.

Katanya, golongan OKU juga tidak ketinggalan menyumbang jasa dalam pembangunan negara termasuk menjadi pembuat kraftangan, doktor, guru, pensyarah, serta ahli perniagaan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Exco Majlis Pengakap Malaysia Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Rektor Kolej Universiti TATI, Dr Mohd Rozilan Mamat.

-- BERNAMA

Sunday 14 June 2009

Zoom Malaysia

Alahai ke manalah nak pergi bercuti kali ini. Cuti sekolah dah nak habis! Kalau dulu sebelum Kamilia masuk sekolah, bercuti bolehlah bila-bila masa sahaja di waktu cuti semester. Sekarang ni terpaksalah cari masa untuk bercuti di Musim Cuti Sekolah sahaja.

Kalau diikutkan sejak dari minggu pertama lagi dah saya dah berjanji nak ambil cuti. Tapi dek kekangan kerja yang tak berkesudahan maka hasrat bercuti bersama Liza dan anak-anak terpaksalah ditunda beberapa kali.

Cuti sekolah dah masuk minggu kedua dan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Akhirnya saya buat keputusan nekad... SAYA MESTI BERCUTI!. Tapi nak ke mana ya? Saya tanya Liza, Kamilia dan Kamil, "Ke mana kita nak bercuti?". Saya dapat macam-macam cadangan daripada mereka bertiga. Kamil kata nak ke Zoo. Liza tak kisah, tapi tetap lontarkan cadangan. Kamilia nak balik rumah nenek, mandi laut dan mandi kolam. Alahai mana satu nak diikut ni.

Kesudahannya pada hari Khamis lepas, berangkatlah kami ke Pantai Cherating. Tempat menginap belum ditempah. Pergi sajalah. Takut nanti tempat yang ditempah tak berkenan di hati. Akhirnya sampailah kami di Cherating dan menginap di sebuah chalet yang baru dibina berhampiran pantai. Pengunjung Cherating tidaklah seramai yang dijangka. Tengah minggu kot.

Seronok habis budak-budak tu mandi laut melepaskan dendam tak dapat mandi masa di Bagan Lalang lepas kerana Kamil demam panas. Menjelang senja baru nak masuk bilik. Seronok berendam punya pasal.

Makan time! Inilah part yang paling best. Kami makan di Awang Ikan Bakar. Boleh tahan jugak makanan laut kat sini. Saya layan habis. Ketam, sotong dan ikan yang segar bugar kami order untuk dijamah. Sedap.

Esoknya cadang nak balik ke Shah Alam tapi steering kereta terputar ke kanan pulak. Maka bertolaklah kami sekeluarga ke Kuala Terengganu. Saja jalan-jalan. Sempatlah singgah ke Kedai Pasar Payang beli baju batik dan seterusnya makan makanan laut di Pantai Batu Buruk.

Malamnya kami bermalam di Kuantan sebelum pulang esoknya. Perjalanan yang meletihkan ini sebenarnya menyeronokkan dan berjaya memuaskan kehendak semua ahli keluarga. Permintaan Kamil untuk singgah di Mini Zoo Kuantan tak dapat ditunaikan kerana perjalanan kami yang masih panjang. Kami perlu bergegas untuk memenuhi jemputan ke majlis perkahwinan Boy Raziff dan pasangannya Mawarnee di Gombak diteruskan. Takut tak sempat pulak. Bertolak dari Kuantan pun dah dekat pukul 12.30 tengahari.

Alhamdulillah sempat sampai ke rumah pengantin jam 3.30 petang. Sayangnya tak sempat tengok persandingan kedua mempelai dan show yang hebat dari kumpulan gendang.

Saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada pasangan Raziff dan Mawarnee. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, berbahagia selalu, dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah dan kekal jodoh sehingga ke akhir hayat. Amin.

Foto-foto sekitar percutian










Nota: Lepas ni kena simpan duit pulak untuk Musim Cuti Sekolah bulan 12. Ke mana nak dituju, belum ditetapkan lagi.

Thursday 11 June 2009

Kepakaran Diperlukan

Semalam FSR dikejutkan dengan berita perletakan jawatan Raja Firhad. Beliau telah menyampaikan surat peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Program Sarjana Muda Sains Sukan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan sesalinan kepada Dekan FSR. Firhad telah ditawarkan jawatan oleh Asean Football Federation (AFF) sebagai Konsultan Kecergasan untuk pasukan bolsepak Kebangsaan Laos. Beliau akan berkhidmat di Laos selama hampir tiga bulan untuk memastikan kecergasan pemain Laos sebelum Sukan SEA ke-25 yang turut akan berlangsung di negara tersebut. Tahniah Raja Firhad!



Selain dari Firhad, beberapa orang pensyarah UiTM juga turut ditagih kepakaran dan khidmat mereka oleh organisasi-organisasi luar dan jabatan lain di UiTM. Antaranya Profesor Madya Dr Anuar Suun di Majlis Sukan Negara dan Baharuddin Mohd Shairi di Kementerian Pertahanan Malaysia. Nagoor Meera Abdullah pula pernah dipinjamkan ke Unit OKU, Institut Sukan Negara. Abdul Rahim Mohd Meerah dan Badrul Hisham Hussein pula telah dipinjamkan ke Institut Perkembangan Pendidikan (InED) UiTM.

Begitulah sebahagian daripada nama-nama yang telah dan sedang ditagih kepakaran mereka di organisasi dan jabatan lain. Semoga FSR terus melahirkan pakar-pakar yang akan terus berkhidmat demi kemajuan sukan dan rekreasi negara dan serantau. Tahniah sekali lagi kepada yang bertuah.

Tuesday 9 June 2009

Kejayaan Perlu Pengorbanan

Saya dan Ali Kimik [Koordinator Program FSR-PDRM] ke Bukit Aman pagi tadi. Kali ini kami ditugaskan untuk menemuduga 22 orang anggota Polis untuk kemasukan ke Program Luar Kampus SR113. Alhamdulillah, dengan bantuan empat orang pelajar [dua dari FSR dan dua dari PDRM] telah meringankan proses Ujian Kecergasan yang berlangsung pada awal paginya.

Pesanan dari ACP Mazlan Kesah, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) cukup menyentuh perasaan sesiapapun yang mendengarnya. Walaupun Tuan Mazlan nampak tegas di segi perwatakannya tetapi beliau cukup prihatin dengan anggotanya. Di akhir setiap sesi temuduganya dengan bakal-bakal pelajar SR113 ini pasti beliau akan selitkan pesanan lagak seorang ayah. Antara pesanan kepada anggotanya yang sempat saya catatkan adalah seperti berikut, "Ingat pesanan saya ini... tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Kamu akan meninggalkan suami/isteri/komitmen (keluarga) kamu di setiap hujung minggu selama 4 tahun. Jadi sekiranya kamu tidak dapat melakukan pengorbanan untuk meneruskan pengajian ini maka mana mungkin kejayaan akan dapat kamu capai. Takkan sampai pencen kamu mahu memegang jawatan sebagai Lans Kopral/Kopral/Sarjan sahaja. Tentu kamu ini mengubah nasib kamu dan keluarga kan".

Anggota yang mendengar pesanan beliau tadi pasti akan menganggukkan kepala dan mengiyakan kerana sudah semestinya mereka faham akan maksud pengorbanan tadi. Mana taknya sambil mereka perlu bertugas mengawal keamanan negara, mereka juga perlu ke bilik kuliah di hujung minggu untuk menuntut ilmu. Sudah tentu ini akan menaikkan semangat mereka lagi untuk terus belajar. Selain itu juga komitmen dengan keluarga [bagi yang sudah berkeluarga] tidak boleh diabaikan.

Semoga Batch Keempat program FSR-PDRM ini akan mengecapi kejayaan seperti rakan-rakan senior mereka.

Monday 8 June 2009

Berita Untuk Kawan

Alhamdulillah, menjelang tengahari tadi maka tamatlah program yang berjaya mengumpulkan ahli PERLU Selangor, alumni PERLU UiTM, ahli PERLU UiTM dan 'sahabat' PERLU. Program yang dirancang hampir dua bulan lalu oleh PPT & the gang telah berjaya mengumpulkan hampir 30 orang peserta.

Sayangnya ramai ahli PERLU UiTM yang tidak dapat turut serta. Di mana silapnya? Saya dimaklumkan kebanyakan ahli PERLU UiTM sibuk dengan komitmen masing-masing di musim cuti semester ini. Maka ramailah di kalangan mereka yang terpaksa melupakan niat untuk menyertai pertemuan pada kali ini.

Ruginya kerana ramai alumni yang tidak dapat turut serta. Di mana silapnya? Saya menjangkakan tentu ada di kalangan alumni tidak langsung mengetahui tentang program ini. Mereka juga mungkinnya terlalu sibuk dengan komitmen tersendiri. Takpalah apa boleh buat. Lain kali pihak penganjur perlu jejaki mereka semula.

Saya harapkan di lain kali pihak penganjur dapat memastikan pengisian dimurnikan lagi. Mereka yang hadir sepatutnya menghormati masa yang telah ditetapkan. Jangan lewat-lewat.

Nota: Memang berat untuk menulis di kali ini. Simpan... takut ada yang terasa. I'm sorry.

Wednesday 3 June 2009

Senang Untuk Ke Mana-Mana

Berita ini mungkin dah lapok. Sudah 2 minggu lebih keluar dalam surat khabar. Saya ja yang sibuk sangat sampai tak sempat beridea untuk mencoretkan di laman ini.

Untuk pengetahuan penjenguk-penjenguk sekalian... sekarang ini telah wujud Google Maps Malaysia versi tempatan. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa kebenda tu ya. Penting ka untuk aku dan macam-macam lagi... Di bawah ini ada ceritanya.

Google Maps Malaysia menawarkan platform pencarian maklumat mengenai jalan, alamat di negara ini. Dengan cara ini kita sebagai pengguna akan dapat mencari maklumat dengan cara yang lebih komprehensif, cepat dan mudah.

Saya menggunakan sepenuhnya Google Maps Australian semasa belajar di sana. Bukannya apa, senang sangat untuk jalan-jalan. Jalan-jalan ke Melbourne, Echuca, Great Ocean Road, Grampians National Park, Korong Vale, Ballarat dan banyak lagi memang senang sekali. Jarak dan masa untuk ke sesuatu destinasi sememangnya tercatat di situ. Kita siap boleh ubah lagi haluan kita mengikut 'citarasa' tersendiri.

Paling menarik bila nak ke Garage Sales di hujung minggu. Bermula dari petang Jumaat saya dah mula cari alamat yang terdapat dlaam Bendigo Advertiser. Apalagi keesokan harinya hampir seluruh pelusuk Bendigo kami anak beranak jelajah untuk mencari rumah-rumah yang mengadakan garage sales. Saja seronok. Bukan nak beli sangat pun.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba platform pencarian terbaru di negara kita ini bolehlah layari laman berikut di sini.

Tuesday 2 June 2009

Korban Cinta

Mesyuarat Lembaga Akademik Fakulti (LAF) baru sahaja mengesahkan Keputusan Peperiksaan April 2009. Alhamdulillah pencapaian pelajar SR113 untuk peperiksaan kali ini adalah lebih baik daripada sebelumnya untuk kebanyakan kursus. Walaubagaimanapun ada juga pelajar-pelajar di satu semester itu yang selalunya menghasilkan keputusan yang cemerlang untuk setiap semester tetapi merudum untuk kali ini [yakin melampau kot!]. Tahniah kepada kepada pelajar-pelajar Semester 5 SR113 di atas pencapaian yang paling cemerlang dan memberangsangkan untuk Peperiksaan April 2009.

Menariknya kali ini dan hangat diperbincangkan di LAF adalah status seorang pelajar ini [bukan dari SR113). Dia telah dibuang dek kerana gagal satu kursus sebanyak 3 kali. Kursus yang dia gagal pun bukannya kursus yang susah sangat pun. Memang jarang sangat pelajar yang mendaftar subjek ini yang gagal.

Ahli lembaga dimaklumkan oleh Ketua Program terbabit bahawa pelajar ini telah putus cinta dan akhirnya putus asa. Sekarang ni pun dah mula bekerja sambilan. Dah tak ada semangat lagi nak belajar. La macam tu pulak.

Kasihan pelajar ini [lepas ini mungkin akan jadi bekas pelajar]. Dek kerana cinta yang membabi buta kepada kekasihnya, dia sanggup mengorbankan masa depannya. Kalau dia balik kampung dan renung muka ibu dan ayahnya mungkin dia akan insaf. Mungkin dia akan sedar betapa berdosanya dia kerana telah mengecewakan harapan ibu dan ayahnya. Sudah tentulah ibu dan ayahnya mahu melihat dia berdiri di atas pentas menerima segulung ijazah seperti graduan-graduan yang lain. Ibu dan ayah yang mana yang tidak akan menyeka air mata kegembiraan apabila melihat anaknya menerima ijazah setelah bersusah payah semenjak dari kecil.

Kenapalah pelajar ini sanggup menyerahkan 100% cintanya kepada kekasihnya yang telah berpaling arah. Sepatutnya dia perlu fokus dahulu kepada niat asal untuk masuk ke universiti. Saya menjangkakan sudah tentulah niat asalnya untuk berjaya dalam bidang yang dipohon. Apakan daya pelajar ini telah diduga dan dia gagal. Namun dia masih ada peluang sekiranya dia cepat tersedar.

Nota: Sesungguhnya cinta yang paling Agung adalah cinta kepada Allah SWT.