Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

Friday, 12 February 2016

Berlibur Jangan Sampai Lupa Bersyukur!

Saya sempat bawa keluarga berlibur di sebuah taman tema di Pantai Timur semasa cuti Tahun Baru Cina tempohari. Kami bermalam di Kuantan dan bertolak ke taman tema yang dimaksudkan pada keesokan harinya. Saya lihat ramai sekali pengunjung yang datang pada hari yang sama. Walaupun masih awal, barisan untuk ke kaunter tiket sudah panjang. Hanya tiga kaunter sahaja yang dibuka walaupun ramai sekali yang bersemangat datang bersama ahli keluarga untuk mandi manda dan beriadah.

Sambil beratur saya sempat mendengar beberapa pengunjung yang sama-sama beratur membebel. Mereka membandingkan taman tema ini dengan sebuah lagi taman tema yang baru dibuka di selatan tanahair. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa taman tema di selatan tanahair memberi keselesaan yang lebih kepada pengunjung yang datang. Beraturnya pun tidak dirasakan terlalu lama walaupun pengunjungnya ramai. Ini kerana taman tema di selatan tanahair tu membuka lebih banyak kaunter terutama sekali ketika pengunjungnya ramai. Khabarnya lebih dari 10 kaunter. Banyak lagilah yang mereka bincangkan. Saya hanya menjadi pendengar setia dan sekali sekala sahaja menyampuk.

Setelah beratur lebih sejam maka dapatlah saya dan keluarga akan 'gelang' yang perlu dipakai untuk di sepanjang kami berada di dalam taman tema tersebut. Masuklah kami ke dalam dengan hati berbunga-bunga. Semangat sungguh anak-anak nak terjun kolam, main air dan menyelusuri 'lazy river'.

Alamak kena sewa pelampung la pulak. Pergilah saya ke kaunter untuk sewaan pelampung. Tu dia.... panjangnya barisan. Selepas beratur sejam lebih di tengah panas terik dapatlah saya menyewa akan dua buah pelampung berkembar. Fuh! berpeluh sakan dibuatnya.

Pengunjung tersangatlah ramainya pada hari yang kami pergi tu. Kalau nak diibaratkan ramainya orang, bolehlah kiranya saya ibaratkan selak orang baru nampak air huhuhu... nak bagitau punyalah ramai manusia.

Puas mandi di bahagian kanak-kanak dan menyelusuri lazy river, depa ajak pula saya cuba waterslides untuk orang dewasa. Saya layankan aja. Kaisara jadi buddy saya. Dah tak ingat pulak saya berapa kali dok panjat anak tangga dan mengelungsur turun 'crystal slide' (slide yang terang) dengan dia. Sampai saja di bawah, dia ajak buat sekali lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak naik lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak panjat anak tangga lagi.

Berulangkali kami buat slide yang sama sampai lifeguard tu pun dah kenal. Siap lifeguard tu boleh cakap kat Kaisara, 'Dah tak nampak dah perut ayah dia!'. Itulah penangan dok melayan Kaisara.


Tak puas turun 'crystal slide' dan layan 'galaxy slide' (slide yang terowongnya gelap) kami berempat try satu lagi slide yang saya pun tak ingat namanya. Kali nie pelampung berkembar yang kami sewa terpaksa kami tinggalkan di bawah. Kami tinggalkan kedua-dua pelampung yang disewa di suatu sudut di bawah. Slide yang akan kami naik tu dah ada sediakan pelampungnya yang tersendiri. Cukup untuk kami semua.

Punya la panjang beratur. Sejam lebih jugak la kena beratur baru nak sampai giliran. Dalam dok seronok nak sampai giliran, muncul pula seorang pengunjung lain masuk betul-betul depan kami. Saya tanya dia, "Adik dengan siapa?". Dia jawab sambil tunjukkan, "Saya dengan family depan nie". Terus saya selamba tanya dengan family depan saya. Depa kata bukan. Aik! dia sudah tipu saya da. Saya tanya lagi, "Adik sebenarnya dengan siapa?". Dia diam dan berdiri selamba depan saya sambil berkata, "Dia nie lorat la!". Alamak, dia yang potong barisan, kita pulak dikata banyak songel. Orang lain hanya memerhati. Ada juga yang suruh budak perempuan ini ikut barisan dan kembali ke tempat asalnya. Dia buat don'no saja. Foto saya pula yang nak diambilnya untuk diviralkan gamaknya.

Rupa-rupanya si-dia ini datang bersama-sama ramai lagi geng. Lelaki dan perempuan muda. Yang lainnya hanya pandang dari jauh sahaja. Ini gadis terlebih berani da.

Apabila dah pengunjung lain pun turut sama mendesak, akhirnya dia mengalah. Dengan muncung panjang sejengkal dia kembali kepada geng dia. Aduhai memang spoilt betul la. Alhamdulillah saya dan pengunjung lain boleh tahan sabar dengan karenah dia seorang.

Sampai giliran kami. Menggelungsor la kami anak beranak di atas pelampung gergasi yang disediakan. Semua happy!

Sampai di bawah lain pulak ceritanya. Dua buah pelampung kami 'lesap'! Aduhai... terpaksa agih tugas dengan anak-anak. Kami berpecah dua. Semua kena ingat nombor pelampung dan warnanya dan tunggu di penghujung terowong slides. Tunggu punya tunggu punya tunggu pelampung yang hilang tak jugak muncul-muncul. Saya katakan pada anak-anak, " Kalau ada rezeki kita, pelampung tu kita akan dapat balik dan dapatlah balik duit deposit tu, jangan risau... Kalau dah bukan rezeki kita, redha aja la... Semua baca doa minta Allah permudahkan bagi jumpa!".

Hampir setengah jam jugalah kami menunggu dan membelek nombor pada setiap pelampung warna biru dan hijau yang keluar dari terowong slide. Akhirnya muncul juga pelampung biru berkembar dengan nombor E067. Sepasang uda dan dara sambil berselfie sudah pakai da. Seronok sungguh depa berdua merakam saat-saat gembira menggelungsor bersama.

Terus saya tanyakan depa di hadapan lifeguard yang memerhatikan saya anak beranak dari tadi adakah pelampung ini depa sewa. Kedua-dua tak mengaku dan menuduh sesama sendiri. Katanya kawan perempuan depa yang ambil. Siap disebut nama lagi. Kedua-duanya minta maaf dan tak henti-henti menyalahkan rakan lain. Saya tanyakan baik-baik, 'Kawan-kawan adik ada terambil satu lagi pelampung warna hijau!". Serentak kedua-dua menjawab, "Tak ada!".

Aduhai... satu pelampung sudah dapat, tinggal lagi satu. Tunggu lah kami lagi kat bawah tu. Selepas hampir setengah jam, pelampung yang ditunggu tak muncul-muncul dari lubang terowong slide. Saya ambil keputusan untuk panjat anak tanga, tengok-tengok kot-kot pelampung tu ada di atas. Saya tinggalkan tiga beradik di bawah untuk ushar kot-kot pelampung 'milik kami' tu ada orang lain pakai. Saya tinggalkan pesanan pada Kamilia jangan tegur si-pengambil, cuma beritahu lifeguard bertugas bahawa pelampung yang orang pakai itu kami yang sewa. Kemudian saya panjat tangga sambil mulut terus berdoa agar dipermudahkan urusan pencarian.

Akhirnya dah rezeki anak-anak... pelampung yang kami cari 'terlekat' di atas rupanya. Ada orang 'pinjam' dan tinggalkan di atas. Jumpa juga akhirnya pelampung hijau E1072. Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...

Anak-anak seronok bukan kepalang apabila melihat papa depa 'pulang' dengan pelampung yang dicari.

Saya ingatkan... semua depa dah hilang mood nak main dan bersedia untuk pulang. Rupanya wajah yang sebelumnya monyok kembali ceria dan mahu terus panjat lagi anak tangga dan ulang menggelungsor lagi, Aduhai.... Jenuh!

Semua yang berlaku ada hikmahnya. Hebat sekali perancangan Allah swt. Dalam dok nak bergembira pun diujinya sebentar untuk saya berkongsi pengajaran daripada setiap yang berlaku dengan anak-anak. Saya ringkaskan sedikit pengajarannya dari pengalaman libur kami sekeluarga : Pertamanya BERSABAR, keduanya JANGAN POTONG BARISAN, ketiganya JANGAN DIAMBIL BARANG YANG BUKAN HAK KITA dan yang terakhirnya ALLAH KAN ADA!... sentiasa bermohon kepadanya. Ingat DIA di saat senang dan susah!

Tuesday, 7 December 2010

Selamat Datang Tahun Baru 1432H

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala, tuhan kita semua kerana dengan izin-NYA jualah kita masih diberi peluang dan kesempatan oleh-NYA serta dikurniakan nafas dan nikmat untuk sama-sama menyambut kedatangan awal Muharram tahun 1432 Hijriah.

Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Hijrah kepada semua penjengok-penjengok muslimin dan muslimat. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita semua dapat mengambil pelbagai iktibar serta contoh tauladan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan kita bagi keperluan hari-hari yang mendatang.

Sama-samalah kita doakan semoga dengan kedatangan tahun baru ini akan meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada ISLAM, dimurahkan rezeki dengan RAHMATNYA dan senantiasa dalam KEREDHAANNYA...Insya-Allah.

Monday, 6 December 2010

Kisah Teladan: Berkat Bismillah

Dikisahkan tentang seorang perempuan yang taat beragama, tetapi suaminya pula seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama serta tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membacakan Bismillah setiap kali hendak bercakap. Setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa dia dahului dengan bacaan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, “Asyik-asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah. Entah apa yang Bismillah tu boleh tolong tak tahulah!"

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. agar suaminya diberikan hidayah. Suaminya juga berkata, “Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu!”

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan sejumlah wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, “Simpan duit di dalam beg ini!” Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil beg berisi duit tersebut dan mencampakkannya ke dalam perigi di belakang rumah mereka.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, “Berikan padaku wang yang telah aku amanahkan kepada engkau dahulu untuk disimpan.”

Kemudian isterinya pergi semula ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya. Dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan beg berisi duit itu dan dia membuka dengan membaca, “Bismillahirrahmanirrahiim.” Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg berisi duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya. Dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya. Ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah. Bermula dari itu dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Nota HiCMat: Sama-samalah kita amalkan bacaan Bismillah sebelum perbuatan, Insya-Allah kita tidak akan rugi.

Monday, 6 September 2010

Salam Eidul Fitri 1431H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Minal Aidil Wal Fa'izin dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita.

Kepada yang akan memandu kenderaan pulang ke kampung halaman, saya harapkan agar sama-samalah kita berhati-hati di jalan raya. Semoga penjenguk-penjenguk sekalian selamat pulang ke kampung halaman berhari raya bersama kaum keluarga dan sanak saudara tercinta dan seterusnya selamat kembali ke tempat bertugas.

MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Friday, 9 July 2010

Setia Kasih

Saya masih lagi teringatkan keratan akhbar bertarikh 23 Jun yang lalu. Mahu sahaja saya coretkan sedikit catatan berdasarkan kebesaran Allah ini sebaik sahaja membaca berita sedih ini. Namun kekangan masa sering menggagalkan coretan ini menjadi kenyataan.

Beritanya tentang ikrar cinta sehidup semati sepasang suami isteri. Mungkin itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan tentang kisah sedih di mana seorang isteri yang meninggal dunia di sisi suaminya sebelum suaminya pula menghembuskan nafas terakhir kira-kira 15 minit kemudian. Si isteri rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh suaminya semakin kritikal.

Masyaallah terlalu hebat ikatan kasih sayang di antara pasangan ini. Ikrar sehidup semati mereka telah dikota. Seorang tidak sanggup lagi hidup apabila pasangannya pergi atau akan pergi meninggalkannya. Kedua-duanya berebut untuk tidak pergi dahulu. Tak sanggup menangis, meratap dan bersedih di atas kehilangan pasangan yang dikasihi.

Semoga roh pasangan ini dicucuri dan ditempatkan bersama-sama insan yang soleh.

Teringat kembali selepas mak pergi meninggalkan kami. Abah jadi tidak keruan. Dia sayang dan terlalu menyayangi mak. Dia rasa bersalah dek tabiat merokoknya yang terlalu kuat, mak menjadi mangsa. Kerana sayangkan mak jugalah abah sanggup berhenti merokok. Namun sudah terlambat. Mak pergi meninggalkan kami kerana masalah pernafasan. Abah kembali merokok. Itupun selepas 'dipujuk' oleh kawan-kawan yang menjadi peneman sembang abah. Kononnya mereka ini pembantu untuk mententeram dan menenangkan abah. Penenangnya rokok. Dek kerana 'ubat penenangnya' jugalah penyakit abah kembali tak lama selepas itu. Sesak nafas akibat asma yang kronik. Abah pergi selamanya meninggalkan saya dan kakak.

Terbaca diari abah menyebabkan hati makin tersentuh. Abah yang garang ini rupanya seorang yang sentimental. Dalam diam dia menulis catatan di diari kecil yang kebetulan saya jumpa ketika mengemas rumah. Kebanyakan catatannya menceritakan betapa rindunya dia kepada arwah emak. Dicatatkan juga tentang janji mereka untuk sehidup semati. Hebat kasih sayang mereka. Kalau dia marahkan emak, tak pernah dia tinggikan suara, dengan berdiam sahaja emak dah tahu abah tak suka. Bila abah marah mak akan berdiam begitu jugalah sebaliknya. Walaupun abah garang, tapi saya tahu dia sayangkan kami semua. Pesan abah ada di sini.

Mak kebiasaannya menjadi penyimpan rahsia saya. Kalau dah lewat balik [selepas azan Maghrib], pasti emak akan bukakan pintu belakang untuk 'memasukkan' saya ke dalam rumah. Abah yang menunggu di pintu hadapan tak terkejut sekiranya tiba-tiba saya dah berada di dalam rumah di tempat yang sebelum tak ada ketika azan berkumandang tadi. Jawapnya tali pingganglah akan menjadi 'peneman' belakang badan saya. Mak akan jadi pembela. Abah akan kembali cool dek pujuk rayu mak. Kalau tak, mahu saja saya dah patah riuk dek panas baran kerana kerap balik lewat selepas main bola di padang. Namun semuanya kini tinggal kenangan. Jasa keduanya tidak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Keredupan dan kelembutan wajah mak mampu melembutkan hati abah yang panas dek kenakalan anak lelaki yang seorang ini. Pujuk rayu mak berjaya menyejukkan perasaan 'menggila' abah di dalam mengajar anaknya supaya tidak kurang ajar dan mendengar kata orang tua. Berkat didikan keduanya saya mampu berdiri, cekal dan tabah di dalam menghadapi kerenah anak-anak dan kehidupan yang makin mencabar.

Terus terang saya katakan, saya rindukan keduanya. Terlalu rindukan keduanya. Oh Tuhanku, berikanku kekuatan agar dapat meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini. Walaupun kadangkala diriku ini tergelincir, namun ku pohon kepada-Mu agar Engkau tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus. Ya Allah, ku pohon kesabaran dan ketabahan di dalam menghadapi kehidupan ini. Kurniakan kasih sayang dan kebahgiaan kepada keluarga ku sebagaimana Engkau kurniakan kepada aku ketika kedua ibubapaku masih ada. Ya Allah hamba ini terlalu rindukan mak dan abah. Ya Allah, ampunilah dosa keduanya. Ampuni dosa satu-satunya kakak kandungku Kak Yati. Jauhilah mereka daripada api nerakaMu. Kasihanilah mereka Ya Allah. Tempatkanlah mereka di syurgamu. Syurga yang kami umatmu idamkan, syurga-syurga Firdaus-Mu. Amin ya rabbal'alamin.

Wednesday, 13 January 2010

Beriku Kekuatan

Susah ka nak beristiqamah di dalam melakukan sesuatu. Kenapalah aku jadi begini. Risau betul. Apalah ubatnya untuk orang yang risau ni. Sebenarnya aku sendiri pun dah tahu tetapi kenapa masih lagi buat-buat tak tahu.

Kenapa fikiran menjadi buntu dan otak seperti beku. Atau aku sendiri yang dah tepu. Hilang arah tuju. Oh tidak.

Susah sangatkah nak beristiqamah di dalam melakukannya. "Apa dah jadi nie Hisyam. Dah lupakah hang dengan masa hang dan Aku berdua sekitar 3 tahun lepas. Hanya kita berdua. Ketika tu hang betul-betul merayu dan meminta. Aku dah kurniakan apa yang diinginkan. Sekarang jangan lupa ya. Teruskan apa telah engkau mulakan".

"Ya betul, aku perlu bertekad. Tekadku perlu teguh. Perjalanan aku masih panjang. Bilakah penghujungnya? Wallahu 'aklam tak siapa tahu kecuali yang Maha Esa. Aku tak boleh leka. Aku tak boleh alpa. Malam ini satu lagi berita sedih dan gembira aku terima. Aku bersyukur. Hanya aku dan dia sahaja yang tahu.

Ya Allah ya tuhanku, hambaMu ini bersyukur di atas segala yang telah Engkau kurniakan kepadaku. Sesungguhnya hambaMu ini sering alpa. Pandanglah aku, Ya Allah. Janganlah Engkau lupakan aku. Sesungguhnya hambaMu yang lemah ini masih memerlukan taufik dan hidayahMu. Aku memerlukan rahmat dan inayahMu, Ya Allah. Kurniakanlah aku kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini. Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa kedua ibubapa dan kakakku. Jauhilah mereka daripada azab kubur. Ya Allah, kasihanilah mereka. Engkau tempatkanlah ketiga-tiga mereka di dalam syurga FirdausMu. Sesungguhnya pada malam ini aku amat merindui ketiga-tiga mereka, Ya Allah. Terimalah doa hambaMu di malam yang hening ini Ya Allah. Ameen, Ya Rabbal'alamin.

Thursday, 17 September 2009

SALAM AIDILFITRI 1430 H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita. MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Tuesday, 19 May 2009

T.O.N.T.O atau T.O.M.B.O

T.O.N.T.O dan T.O.M.B.O

Andakah anda tahu apakah makna akronim di atas. Satunya T.O.N.T.O satu lagi T.O.M.B.O.

Sebenarnya akronim ini mempunyai banyak makna samada baik ataupun buruk. Yang buruknya maksud T.O.N.T.O ini adalah Tolong Orang Nak Tipu Orang. Kebiasaannya digunakan untuk menggelarkan kumpulan samseng yang sering memeras ugut dan menipu orang. Baiknya T.O.N.T.O ini pula adalah Tolong Orang Naikkan Taraf Orang. Jarang sangat akronim ini digunakan untuk menyatakan segolongan manusia yang saling tolong menolong untuk menaikkan taraf hidup rakan-rakan dalam kumpulannya.

Saya suka menggunakan akronim T.O.M.B.O untuk yang baik-baik sahaja. T.O.M.B.O yang saya maksudkan adalah Tolong Orang Mahu Bantu Orang. Saya suka tergolong dalam kumpulan manusia sebegini. Saya rasakan tentu penjengok-penjengok sekalian juga mahu bersama-sama menyertai golongan sebegini. Dapat pahala percuma.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja ... sentiasa berdoa agar Allah lembutkan hati kita supaya diringankan anggota untuk saling membantu sesama insan selagi terdaya. Benar! tidak semua orang diberikan kekuatan oleh Allah untuk saling bantu membantu. Kita jangan jadi Kiasu [mementingkan diri sendiri].

Walau setinggi manapun kita, pasti kita saling memerlukan. Kita masih memerlukan seorang pengutip sampah untuk mengutip sampah di dalam tong-tong sampah kita. Sudah pasti kita tak mampu untuk ke tempat pembuangan sampah hanya semata-mata untuk membuang 2-3 kilo sampah. Tak gitu?

Jadi sudah semestilah kita patut menyedari bahawa bantu membantu ini sememangnya baik sekiranya diamalkan. Jangan ada semangat cucuk mencucuk, berburuk sangka dan fitnah menfitnah di kalangan kita. Aman dunia.

Terima kasih kepada guru saya, Encik Sam Shor Nahar [walaupun beliau tidak mengajar saya secara formal semasa di UPM dulu] kerana telah menerapkan budaya T.O.M.B.O. ini ke dalam jiwa saya.

Nota: Sekadar ingin berkongsi dengan penjengok-penjengok sekalian [mungkin kurang menarik kot posting ini]. Tapi memang sudah lama saya simpan.

Monday, 29 December 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala, tuhan kita semua kerana kita masih diberi peluang dan kesempatan oleh-NYA serta dikurniakan nafas dan nikmat untuk sama-sama menyambut kedatangan awal Muharram tahun 1430 Hijriah. Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Hijrah kepada semua penjengok² muslimin dan muslimat. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita semua dapat mengambil pelbagai iktibar serta contoh tauladan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan kita bagi keperluan hari² yang mendatang.

Sama-samalah kita doakan semoga dengan kedatangan tahun baru ini akan meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada ISLAM, dimurahkan rezeki dengan RAHMATNYA dan senantiasa dalam KEREDHAANNYA...amin

Thursday, 18 September 2008

Allah Sayangkan Aku

“Ya Allah, jauhkan hamba Mu ini daripada perasaan bongkak, juah, takbur, riak dan ego. Amin.”

Ketika orang lain sudah bersedia untuk menghadapi SPM, saya juga turut bersedia. Namun dugaan menimpa. Abah pergi selama-lamanya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Saya berhenti sekolah kononnya untuk menjaga kakak. Saya ingin bekerja. Saya tak mahu kakak terus bekerja di kilang. Tak selamat. Anak lelaki tunggal ini sanggup berkorban demi kakak tersayang. Saya tak fikirkan masa depan ketika itu. Allah sayangkan saya. Dikurniakan-NYA ilham kepada guru-guru dari sekolah menengah tempat saya belajar pada ketika itu untuk datang memujuk dan saya akhirnya meneruskan pengajian. Saya lulus SPM.

Ketika kawan-kawan yang lain sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir Matrikulasi Sains di UPM, saya juga turut bersedia. Namun dugaan menimpa. Saya diserang demam campak di saat-saat yang begitu hampir dengan peperiksaan akhir. Saya perlu dikuarantin. Mat Gym, teman sebilik secara sukarela sudi membantu di dalam hujan menghantar saya ke Hentian Puduraya dengan motor Honda C70 miliknya(R6661 dalam kenangan). Saya mengambil tiket untuk pulang ke Kulim. Saya tertekan di kampung. Peperiksaan makin hampir. Saya begitu tidak selesa ketika pulang semula ke kampus untuk menjawab kertas soalan peperiksaan. Allah sayangkan saya. DiberiNYA saya peluang untuk lulus Matrikulasi Sains di UPM, walaupun tidak secemerlang kawan-kawan yang lain.

Ketika sahabat-sahabat lain sibuk menyiapkan tesis akhir pengajian di peringkat sarjana muda, saya pun turut sama bertungkus lumus. Namun dugaan menimpa. Saya menghadapi masalah besar dengan penyelia tesis. Beberapa orang sahabat baik juga mengalami masalah yang sama. Ada kemungkinan besar pada ketika itu kami tidak akan menamatkan pengajian pada semester tersebut. Saya risau. Cukup-cukup risau. Allah sayangkan saya. DilembutkanNYA hati sang penyelia agar menerima seadanya tesis yang telah saya sediakan walaupun mungkin tidak seperti yang beliau inginkan. Saya akhirnya bergraduat. Semua sahabat-sahabat saya seramai 19 orang turut bergraduat.

Ketika rakan-rakan lain di FSR telah mempunyai ijazah sarjana, saya seorang lagi yang tertinggal tidak punya apa-apa. Saya cuba memohon biasiswa sebanyak dua kali. Namun gagal. Kali pertama katanya (Bahagian Latihan dan Biasiswa, BLB) saya tak cukup syarat. Kali kedua pula jawapannya (Timbalan Pendaftar, BLB) kerana saya sudah menyambungkan pengajian peringkat sarjana di UPM. Maka jawapannya mudah sahaja, teruskan sajalah belajar di sana. Anda tidak memerlukan biasiswa. Belajar di peringkat sarjana di UPM tidak semudah yang disangka. Lebih tiga tahun saya cuba menghabiskan pengajian. Namun saya tewas. Kejayaan di UPM memang terlalu samar. Saya tidak nampak akan lorong kejayaan untuk menamatkan pengajian di sini walaupun saya hanya tinggal untuk menamatkan penulisan untuk tesis sahaja (matapelajaran wajib semuanya telah saya ambil, lulus agak cemerlang). Saya telah menghabiskan banyak wang dan masa sendiri untuk pengajian di sini (terpaksa berulang alik dengan wang sendiri dan mencari masa sendiri agar tidak mengganggu masa mengajar di UiTM), namun sinar kejayaan terus pudar. Saya tewas. Tiada kejayaan di sini.

Allah sayangkan saya. KepadaNYA sahajalah tempat saya mengadu. DiberiNYA saya peluang untuk berdoa di tempat-tempat yang paling mustajab. Saya dikurniakan rezeki untuk ke Tanah Suci bersama isteri dan anak tersayang, Kamilia. Saya gunakan sepenuhnya untuk berdoa. Setiap tempat yang dikatakan mustajab doa saya kunjungi. Saya teringat pesan ustaz yang menyampaikan tazkirahdi hotel tempat saya menginp semasa di Mekah. Kata beliau, “Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, janganlah lupa bermohon kepada Allah ketika berada di Tanah Suci. Ini kerana doa kita dengan mudahnya akan diangkat oleh Allah swt. Sekiranya doa kita tidak makbul hari ini, mungkin ianya esok. Kalau tidak esok mungkin ianya dimakbulkan lusa. Kalau tidak lusa mungkin minggu hadapan atau bulan hadapan atau seterusnya tahun hadapan. Kalau tidak juga maka Allah akan makbulkan juga doa kita nanti semasa di akhirat. Maka berdoalah tuan-tuan dan puan-puan sekalian”.

Saya merasakan diri ini begitu hampir dengan Allah. Saya tidak henti-henti berdoa. Antara doa yang saya sentiasa baca ketika berada di tempat-tempat yang dikatakan mustajab doa: “ Ya Allah, aku pohon keampunanmu. Ya Allah, aku memohon kerahmatan darimu. Ya Allah, hambamu ini memohon taufik dan hidayahmu. Sesungguhnya hambaMu ini terlalu lemah. Kasihanilah hambaMu ini Ya Allah. Berilah peluang kepada hambaMu untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Berilah peluang kepada hambaMu untuk menamatkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Berilah peluang hambaMu menuntut ilmu sehingga ke peringkat sarjana dan PhD di luar negara. Ya Allah permudahkanlah segala kerja buatku, janganlah Engkau susahkan. Wahai Tuhan yang Mulia.”

Allah sayangkan saya. Daripada kegagalan awal, diberinya kejayaan di penghujungnya. Permohonan biasiswa saya untuk kali ketiga akhirnya berjaya. Saya berjaya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di La Trobe University, Bendigo, Australia. Saya titipkan kenangan yang tidak sampai setahun menuntut di Bendigo melalui laman sesawang ‘Khabar dari Bendigo’ sebagai kenangan sepanjang hayat. Allah mempermudahkan banyak kerjabuat saya sepanjang berada di Bendigo. Allah sayangkan saya. DipertemukanNYA saya dengan ramai insan-insan yang ingin membantu saya sekeluarga sepanjang berada di sana. Akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian di sana. Saya bersyukur kehadratNYA.

Isnin lepas saya dan Liza ke Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Ada majlis di sana. Majlis Konvokesyen khas untuk mereka yang tidak dapat ke Australia untuk menerima ijazah masing-masing. Dalam bahasa mudahnya, majlis untuk golongan yang berjimat ataupun yang tak mampu terbang semula ke Australia untuk menerima ijazah.
Saya telah dijemput untuk menerima ijazah Sarjana Pendidikan Luar dan Persekitaran dari Universiti La Trobe, Australia. Saya merupakan orang pertama yang naik ke pentas, maka layan sajalah. Tidak ada rehearsal langsung. Cuma ditunjukkan cara hormat sebelum terima ijazah daripada Pro Vice-Chancellor, Dr Kerry Ferguson. Itu sahaja. Majlis berlangsung tak sampai 45 minit. Wow! Cepatnya. Maklumlah cuma ada 45 orang penerima ijazah sahaja. Kebanyakannya ijazah sarjana muda. Selepas berlangsungnya majlis tersebut disediakan pula jamuan untuk para tetamu. Apa boleh buat, tengok sajalah. Nak makan, puasa.