Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label inklusif. Show all posts
Showing posts with label inklusif. Show all posts

Thursday, 18 February 2016

Simbol Aksesibiliti Antarabangsa

Simbol Akses Antarabangsa atau lebih dikenali dengan Simbol Kerusi Roda (Antarabangsa) bakal berubah wajah. Ramai yang masih belum tahu.. kan? 


Kini Ikon Ketersampaian (accessible) telah diadaptasikan kepada simbol yang lebih nampak akan pergerakan atau lebih dinamik dan bukan lagi menampakkan OKU itu statik. 


Nampaknya tak lama lagi kita akan lihat simbol lama yang diperkenalkan pada tahun 2000 itu akan berubah wajah. Ianya baru dicadangkan untuk dilancarkan di Amerika Syarikat. Mereka ini nampaknya terus menjadi jaguh dalam hak asasi manusia terutamanya OKU di negara mereka. Ketika saya berada Australia pun ikon yang baru dicadangkan ini masih belum kelihatan.

Pihak yang terbabit di tanahair kena bertindak cepat. Tunjukkan pada dunia kita ikut perkembangan terkini dan bukannya lewat 10 tahun seperti proses menyiapkan akta sebelumnya.

Cadangan elemen-elemen yang cuba diketengahkan melalui ikon aksesibiliti yang baru ini adalah seperti penerangan di bawah.


Thursday, 11 February 2016

Bilakah Trailrider Pertama Akan Sampai ke Malaysia?



Inilah trailrider yang pertama dibawa masuk ke Australia pada tahun 2011.  Trailrider ini merupakan kerusi roda yang direkabentuk khas agar kemudahsampaian golongan OKU ke kawasan rekreasi terutamanya di permukaan yang tidak rata, tanah tinggi dan mencabar tidak terbantut.


Trailrider yang pertama ini ditempatkan di Grampians National Park, Victoria. Ianya adalah atas inisiatif Dr David Stratton. David dahulunya adalah seorang pensyarah di sebuah universiti. Ketika senggang David gemar hiking dan bushwalking. 


Pada tahun 1996 beliau telah menjalani diagnosis dan disahkan menghidap multiple sclerosis di kala umurnya mencecah 45 tahun. Kekurangan fizikal memaksanya untuk melupakan hasrat untuk menjelajah dan mendaki kawasan tanah tinggi dan denai-denai yang mencabar akibat hanya mampu bertongkat sahaja dan tak punya kerusi roda yang khas untuk kawasan yang tidak rata dan mencabar.


Namun segalanya berubah. Pengalaman menyewa dan menggunakan trailrider buat pertama kali pada tahun 2009 ketika bercuti di Canada telah mengembalikan semangatnya untuk terus berekreasi. Beliau telah mengambil inisiatif dan melobi agar Parks Victoria, Australia membeli trailrider ini. Kesungguhannya itu tidak sia-sia apabila Parks Victoira melalui dana yang diperuntukkan oleh kerajaaan negeri (Victoria) untuk membeli satu unit trailrider dan diletakkan di Grampians National Park. Sehingga tahun 2015 sudah terdapat 15 unit trailrider di seluruh Australia atas inisiatif beliau.

Kalau kita di Malaysia ada dana, mungkin boleh saya cadangkan agar trailrider ini diletakkan di Kinabalu Park, Bako National Park dan Taman Negara Pahang. 

Sesungguhnya dengan adanya trailrider ini bolehlah golongan OKU pun turut sama menikmati keindahan alam yang terdapat di tanahair.

Wednesday, 3 February 2016

Iktibar dari sebuah kisah OKU

Teringat akan kisah sebuah fakulti di sebuah universiti di tanahair. Warganya pada ketika itu masih belum celik orang kurang upaya (OKU). Di sepanjang pengetahuan saya juga tiada warganya yang OKU. 

Segala-galanya berubah akibat daripada suatu tragedi. Salah seorang daripada ahli akademik di fakulti terbabit yang mana saya amat saya kenali dengan tidak semena-mena telah diserang sejenis virus hingga menyebabkan beliau lumpuh dari pinggang ke bawah. Ahli akademik tersebut terpaksa melupakan sementara gaya hidupnya  yang sentiasa aktif dan cergas. Beliau terpaksa berkerusi roda untuk bergerak dan ke mana-mana. 


Secara kebetulan saya bertembung dengan insan istimewa ini ketika saya mempunyai urusan di sebuah hospital di ibu kota. Beliau keseorangan dan seakan terkejut apabila disapa. Saya turut membantu menolak kerusi roda beliau. Kami sempat bersarapan di kafe hospital dan bersembang panjang. 




Ada hikmah katanya akibat daripada tragedi yang menimpa dirinya. Rentetan dari kekurangannya itu, pihak universiti secara umumnya dan lebih khusus lagi pihak fakulti telah mula buka mata dan seterusnya menyediakan segala bentuk kemudahan untuk OKU. Ianya bermula dari parkir khas OKU yang hampir dengan tanjak/ramp di pintu utama untuk masuk ke fakulti hinggalah ke kemudahan khas OKU di dewan kuliah.

Berkat kesabaran dan semangat yang hamba Allah ini yang tidak pernah padam, beliau kini kembali sihat seperti sediakala dan mampu menjalani kehidupan serba aktifnya seperti biasa. Alhamdulillah...

Kalau tidak banyak pun, tentu terdapat secebis pengajaran daripada coretan saya di atas. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kesenangan yang kita ada sebelum ianya ditarik balik oleh Allah subhanahu wata'ala. 


Jazakumullahu khairan kathira kerana anda semua sudi membaca coretan kali ini.

Thursday, 5 July 2012

Mampukah Rekreasi Terangkum/Inklusif 'Dihidupkan' di Malaysia!

Wahai rakan-rakan rekreasi yang disayangi sekalian,

Alangkah indahnya 'dunia rekreasi' jika sekiranya Rekreasi Terangkum/Inklusif mampu kita laksanakan dan semarakkan di Malaysia.

Seronok jadinya apabila kita dapat lihat masyarakat berbilang bangsa, tanpa mengira latarbelakang dan keupayaan diri dapat bersama-sama mendayung kayak, mendaki gunung, merentas hutan, memanjat tembok, berbasikal bukit, berkhemah, menyelam skuba dan melakukan pelbagai lagi aktiviti rekreasi bersama-sama.


Bukan susah sangat pun, pokoknya bila ada kemahuan untuk melaksanakannya di semua pihak yang terlibat, pasti ada kejayaan akan muncul. Janganlah kita hanya 'melayan' kelompok kita sahaja atau bahasa mudahnya syok sendiri hingga melupakan ada golongan yang terpinggir daripada melakukan aktiviti yang kita minati dek kerana kekurangan yang mereka alami. Sesungguhnya mereka pun tidak mahu dilahirkan sedemikian. Mereka yang mengalami kekurangan ini juga inginkan kehidupan dan kepuasan serta 'kenikmatan' berekreasi seperti yang kita perolehi.


Bagaimana caranya bagi membolehkan Rekreasi Terangkum dalam dilaksanakan di negara kita? Caranya mudah sahaja, pastikan aktiviti yang kita rancang atau laksanakan berada dalam suasana/keadaan di mana sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti rekreasi yang dianjurkan tanpa ada penyisihan. Mudahnya... kita bersedia menerima mereka seadanya dan mereka sedia menerima kita. Oleh yang demikian halangan-halangan atau sekatan yang terdapat di kawasan untuk aktiviti dijalankan perlu dibebaskan terlebih dahulu. Barrier free zone!


Selain daripada itu juga penganjur perlu memastikan masyarakat tanpa mengira latarbelakang dan keupayaan dapat mengetahui tentang program yang dianjurkan dan menggalakkan penyertaan seluruh masyarakat. Perlu promosi lah...

Tidak ketinggalan juga bagi merancak dan mensahihkan lagi kejayaan program Rekreasi Terangkum ini adalah khidmat kakitangan dan sukarelawan yang terlatih. Penganjur perlulah 'menyediakan' kakitangan dan sukarelawan yang tidak kekok apabila berdepan dengan peserta dari berbeza latarbelakang dan keupayaan.


Bagi memberikan peluang yang saksama kepada golongan kelainan upaya (OKU) pula, khidmat sokongan khusus seperti keperluan perubatan dan kepakaran perlulah disediakan juga bagi memastikan penglibatan mereka tidak terhalang dek masalah kesihatan dan kepakaran.



Melalui coretan ringkas saya di atas adakah ianya telah menyedarkan penjengok sekalian tentang perlunya kita hidup berkongsi. Kita perlu sedar dunia ibarat roda, tidak semestinya kita sentiasa di atas. Sementara kita di atas, marilah sama-sama kita membantu mereka yang sentiasa menagih peluang untuk turut sama berekreasi.

Tuesday, 7 September 2010

Partiban Kembali Tersenyum

Dah lama dah dia tak melawat ke tempat-tempat rekreasi. Selepas kejadian pada tahun 2007 yang lalu dia langsung tidak mempunyai peluang untuk berekreasi seperti yang selalunya. Pada hari kejadian, beliau yang sedang bertugas sebagai Penyelia Keselamatan memesan makanan daripada kawannya yang mahu ke kedai mamak untuk membeli makanan. Kawannya membawa pulang nasi berlaukkan kari kambing. Dia tahu dia tak boleh 'mencari nahas' dengan menjamah lauk yang memang menjadi kegemarannya. Dia terpaksa 'mengharamkan' daging kambing daripada dijamah olehnya. Semuanya gara-gara beberapa tahun sebelumnya dia telah diserang penyakit darah tinggi yang kritikal. Jadi doktor nasihatkannya untuk menjauhi beberapa jenis makanan dan mengamalkan cara hidup sihat dengan aktif beriadah.

Malam itu Partiban hanya menjamah nasi berlaukkan kuah kari kambing. Dagingnya langsung tak disentuh dek kerana patuh kepada nasihat doktor. Partiban tidur seperti biasa selepas selesai bertugas. Namun sesuatu yang tak disangka berlaku kepadanya. Dia tersedar daripada tidur, tapi kali ini dalam keadaan yang berbeza. Dia tak boleh mengangkat badan. Kaki dan tangannya langsung tak boleh digerakkan. Mulutnya senget dan tak boleh digerakkan. Peti suaranya tak mampu menghasilkan bunyi suara seperti kebiasaannya. Partiban merasakan seperti dia berada di dunia asing. Apa yang perlu dia lakukan sekarang. Akalnya buntu dan mati. Tak tahu apa yang perlu dilakukan. Nasib baiklah ada kawan yang perasan dengan keadaannya dan segera membawanya ke hospital.

Kesannya Partiban telah lumpuh. Mulutnya herot. Darah tingginya menyerang secara tiba-tiba. Itulah penangannya kerana mengambil mudah akan pesan doktor. Sesal kemudian sudah tidak berguna.

Partiban terpaksa dibantu kehidupan sehariannya. Dia hilang segala kehidupan sebelumnya. Dia hilang pekerjaan. Dia terpaksa tinggal di Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU). Dek bantuan pelajar-pelajar daripada kolej swasta yang tidak jemu-jemu mengajarnya untuk bersenam dan terapi, kini Partiban sudah boleh bertutur kembali (masih kurang lancar) dan menggerakkan anggota sebelah kanan badannya.

Selepas bertahun-tahun menanti akhirnya Partiban mampu menarik nafas lega apabila ada sekumpulan pelajar daripada UiTM yang sudi membawanya dan rakan-rakan daripada Pusat Jagaan OKU Rawang melawat dan melakukan aktiviti rekreasi luar di Zoo Negara. Lokasi ini pernah dilawatinya suatu ketika dahulu ketika dia masih sihat. Tidak termimpi olehnya setelah hampir 4 tahun lumpuh, kini dia masih boleh kembali berekreasi. Semuanya kerana adanya sekelompok insan yang prihatin. Itulah ucapan penghargaan dan syukur yang Partiban luahkan ketika sesi penutup program UiTM bersama OKU tempohari. Dia begitu terharu dengan pengorbanan siswa-siswi UiTM yang majoritinya Melayu Islam yang sudi membawa mereka yang majoritinya India ketika di dalam bulan Puasa ini untuk berekreasi di Zoo Negara. Berulangkali dia luahkan penghargaan yang tidak terhingga di dalam ucapannya.

Saya harapkan anda juga begitu. Bantu ketika boleh membantu. Partiban sudah tahu nasibnya. Kita belum tahu. Partiban normal sebelumnya dan punya hidup dan kerjaya sendiri. Allah tarik sebentar nikmat yang dia kurniakan kepada Partiban dan kini Partiban memerlukan bantuan dan sokongan orang dek kerana dia telah dikategorikan sebagai OKU. Sama-samalah kita membantu kepada yang memerlukan.

Foto-foto sekitar program UiTM bersama OKU









Monday, 24 November 2008

Sekadar di Pinggiran

Perlukah mereka terus dipinggirkan? Niat saya dan Nagoor ikhlas sekali. Kami ingin menjadikan rekreasi inklusif (inclusive recreation) menjadi kenyataan di Malaysia. Bukan senang hendak meyakinkan orang bahawa rekreasi luar ini sebenarnya selamat dan memang sepatutnya semua masyarakat, tidak kira orang normal, orang kurang upaya (OKU) dan orang tua dapat melakukannya. Kalau dahulu kita mengasingkan program khas untuk OKU, kenapa kini kita yang telah berada di alaf baru ini masih lagi melakukan sedemikian rupa.

Masih ada di antara kita yang tidak sanggup menanggung risiko untuk melibatkan OKU di dalam aktiviti rekreasi luar. Saya kecewa. Namun perjuangan untuk memartabatkan rekreasi inklusif akan diteruskan.

Semasa di UPM dahulu saya tidak pernah diperkenalkan dengan aktiviti rekreasi untuk OKU. Kami banyak melakukan dan mengendalikan program rekreasi luar sesama kami atau untuk pelajar sekolah. Semuanya orang normal. Zaman dah berubah. OKU pun nak terlibat sama. Berilah mereka peluang. Takkan asyik-asyik dengan sukaneka ja. OKU pun dah tahu bosan. Asyik-asyik tiup belon dan letak bawah punggung sampai pecah, cari gula-gula dalam tepung sampai muka macam Raja Kapur dan lari dalam guni.

Di Amerika Utara pun berkembangnya rekreasi inklusif ini sekitar awal 90-an. Itupun Smith dalam bukunya Inclusive and Special Recreation mengatakan perkhidmatan dalam bidang rekreasi luar untuk OKU yang diberikan oleh pihak kerajaan dan swasta masih belum cukup.


Memang betul di Amerika Utara ada Americans with Disabilities Act (ADA). Akta yang digubal bagi memadamkan diskriminasi terhadap OKU, meningkatkan peluang OKU untuk menjalankan kehidupan seharian secara normal dan peluang menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta atau kerajaan. Kita di Malaysia pun ada Akta OKU 2008. Akta yang diwujudkan bagi tujuan membela nasib golongan kurang upaya. Saya pun tak pasti samada OKU semua tahu tentang kewujudan akta ini. Diharapkan dengan berkuatkuasanya akta ini, maka tidak akan ada lagi rakyat di negara ini yang merasakan diri mereka dipinggirkan di dalam menempuhi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Monday, 20 October 2008

Beri Peluang

Betul tu, kalau bukan kita yang beri peluang siapa lagi yang boleh diharapkan.

Untungnya UiTM ini, memberi peluang untuk saya meneroka bidang baru. Program rekreasi luar untuk orang kurang (OKU). Program yang turut memberi peluang kepada OKU untuk terlibat secara aktif.

Dahulu semasa belajar di UPM, ketika tengah betul-betul aktif berekreasi memang tak pernah terlintas pun di pemikiran saya untuk mengajak OKU untuk turut sama terlibat di dalam program saya. Kami pun tidak didedahkan dengan aktiviti yang mengabungkan orang normal dan OKU.

Kini tidak lagi. FSR memang best, diberinya peluang kepada pelajar untuk menglibatkan OKU dalam program yang dirancang melalui subjek Leisure and Disabilities. Dengan cara ini pelajar mendapat ilmu dan pengalaman baru apabila berhadapan dengan golongan OKU ini.

Kalau dulu, orang terlalu berhati-hati untuk berhadapan dengan OKU. Dahulunya OKU dipanggil orang cacat. Tak sedap bunyinya ditukar pula ke golongan istimewa. Tak lengkap pula rasanya, lalu ditukar pula sebutannya ke Orang Kurang Upaya atau OKU. Tak tahulah panggilan ini kekal sampai bila.

Apa-apapun panggilannya OKU ini sebenarnya adalah golongan yang sebenarnya berkeupayaan. Mereka mempunyai keupayaan masing-masing. Ada sesetengahnya lebih hebat dari kita. Mana taknya, ada di antara mereka yang tidak mempunyai kedua-dua kaki pun boleh berenang lebih laju daripada kita yang normal. Silap haribulan mereka pula yang menyelamatkan kita ketika hampir kelemasan di air. Jadi, jangan sesekali merendah-rendahkan mereka. Biarpun mereka ada kekurangan, namun Allah SWT menganugerahkan mereka kelebihan yang lain pula, yang mungkin tiada pada kita.

Minggu lepas sekali lagi saya dan 17 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (pengkhususan dalam bidang rekreasi)bahagian 4 berkesempatan mengendalikan program inclusive outdoor recreation untuk OKU. Aktiviti berkayak telah dipilih sebagai aktiviti utama dan dilaksanakan di Pusat Rekreasi Air, Putrajaya. Program ini menggabungkan orang normal (pelajar-pelajar UiTM) bersama-sama OKU dari Bengkel Daya Klang dan pelajar OKU yang menuntut di UiTM Shah Alam di dalam satu program rekreasi luar.

Hasilnya sungguh menakjubkan. Peluang untuk melakukan aktiviti rekreasi luar ini tidak disia-siakan oleh peserta yang terbabit. Mereka melakukan aktiviti berkayak dengan penuh bersemangat. Sesungguhnya mereka cukup gembira. Saya sungguh teruja untuk terus berbakti kepada mereka. Keceriaan jelas terbayang di wajah mereka setelah menamatkan aktiviti kayak. Berbaloi cuti hujung minggu yang tidak saya ambil rasanya. Mungkin bagi golongan OKU pula, inilah peluang mereka sekali seumur hidup. Ini kerana mereka tidak pernah berpeluang melakukan aktiviti sebegini sebelum ini.

Selain daripada itu terdapat juga ibubapa dan pelajar FSR sendiri yang sanggup menaja makanan, T-Shirt dan aktiviti untuk menjayakan program ini.

Semoga program sebegini akan terus mendapat sokongan daripada semua pihak. Janganlah kita biarkan golongan OKU terus terpinggir. Sama-samalah kita libatkan mereka di dalam aktiviti harian kita.

Sunday, 24 August 2008

Walaupun Ringkas Namun Signifikan

Tak sempat habis letih program di Kenyir, saya sambung pula dengan satu lagi program rekreasi luar di antara pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan(Pendidikan Jasmani) dengan pelatih-pelatih daripada Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP). Program tersebut berlangsung di Danau Perikanan, Taman Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam.


Program rekreasi luar ini menggabungkan di antara orang normal (UiTM) dengan orang kurang upaya (PLPP). Program ini lebih dikenali di luar negara sebagai Inclusive Outdoor Recreation. Seramai 23 orang pelajar EDU226 (bakal-bakal Cikgu Pendidikan Jasmani) yang mendaftar untuk subjek Leisure & Disabilities menyertai program ini. Peserta daripada PLPP pula terdiri daripada 12 orang yang mempunyai ketidakupayaan fizikal. Mereka diiringi oleh dua orang guru pengiring iaitu Cikgu Shima dan Cikgu Napisah. Staf dari Pusat Kesihatan UiTM juga dijemput untuk bersedia sekiranya berlaku kecederaan atau kemalangan. Alhamdulillah tiada kemalangan berlaku.

Program separuh hari ini meninggalkan kesan yang cukup besar kepada para peserta. Pelatih-pelatih daripada PLPP kesemuanya memaklumkan kepada saya bahawa mereka tidak pernah diberi peluang menyertai program sebegini. Kata mereka lagi walaupun program ini nampak ringkas dan kecil, namun ianya memberikan impak yang cukup besar di dalam kehidupan mereka.

Saya dapat melihat jauh di raut wajah mereka kepuasan selepas berjaya menamatkan aktiviti Explorace yang telah dirancang oleh penganjur. Kegembiraan tampak jelas dengan wajah-wajah ceria setelah menyiapkan kesemua tugasan yang diberikan kepada mereka. Peserta daripada UiTM juga dilihat dapat bekerjasama di dalam membantu mereka yang mempunyai kesukaran berjalan semasa aktiviti berlangsung. Mereka tidak segan silu untuk berpimpin tangan dengan golongan OKU. Ini menandakan mereka begitu prihatin akan keselamatan rakan sekumpulan mereka.

Program sebegini juga dapat menonjolkan kreativiti golongan OKU di mana mereka mempunyai idea yang menarik dan cukup kreatif ketika keadaan memerlukan. Siapa kata OKU itu golongan orang kurang upaya. Dalam sesetengah keadaan, mereka pula yang lebih berkeupayaan daripada kita yang normal. Ini terbukti hasil daripada aktiviti yang telah dilaksanakan.

Tema yang dipilih oleh penganjur juga memang kena dengan aktiviti yang dijalankan. Tema "Inclusive Recreation: Sharing is Caring 2008" memang bertepatan dengan objektif program dan ianya memang cukup bermakna. Diharapkan program sebegini, yang menggabungkan orang normal dan OKU akan dapat diadakan dengan lebih kerap agar OKU tahu ada masyarakat seperti kita begitu prihatin dan menyayangi mereka (OKU).

Saya juga begitu teruja melihat persediaan dan perancangan yang begitu teratur daripada pihak penganjur (bakal-bakal cikgu PJ) yang diketuai oleh saudari Nik Norul Hajar. Dalam masa yang singkat, mereka semua berjaya menghasilkan satu program yang bagi saya amat berjaya mencapai objektifnya. Tahniah kepada mereka semua.


Di akhir program saya dapat melihat air mata meleleh di pipi para peserta daripada kedua-dua organisasi terutama sekali ketika mengiringi pelajar daripada PLPP yang akan berangkat dengan bas UiTM menuju ke PLPP Bangi. Itulah tandanya titian persahabatan yang baru dibina dapat memberikan kesan yang cukup mendalam apabila diuji dengan perpisahan. Semoga akan banyak lagi program sebegini diadakan di masa hadapan.