Baguslah... Skuad Bolasepak Bawah 23 tahun Malaysia kendalian Rajagopal dah layak ke Perlawanan Akhir untuk Sukan SEA di Laos. Tahniahlah kepada mereka kerana berjaya mengekang serangan demi serangan yang tidak henti-henti daripada pasukan Laos dan akhirnya mencatat kemenangan 3 gol berbalas 1.
Bukan saya tak reti bersyukur, tetapi kalau nak diikutkanlah... pasukan Rajagopal perlu menang dengan jaringan yang lebih besar. Iya lah... kita kan dah ada macam-macam fasiliti yang hebat. Memang jauh sangatlah ketinggalannya negara Laos tu kalau nak dibandingkan dengan negara kita. Tenaga pakar dan teknologi pun memang berpihak kepada kita. Maka memang sewajarnyalah kita menang dengan lebih bergaya. Jadi tiada apa yang boleh dibanggakan sangat. Sepatutnya pasukan bolasepak kita dah setaraf dengan jaguh-jaguh Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan. Kalau setakat berbangga dengan Sukan SEA sahaja... tak ke mana la jawabnya. Maaf la kalau komen di atas terlalu keras, kasar atau menghina. Saya rindukan saat-saat kegemilangan pasukan bolasepak negara kita. Bolehkah ia berulang?
Bagusnya pemain-pemain Laos ni. Mereka bersemangat menyerang biarpun sudah ketinggalan. Mereka mengejar bola dan bukan orang yang dicari. Nampak macam mereka lebih cergas daripada pemain Malaysia sendiri (berdasarkan pemerhatian sendiri). Tahniah kepada Raja Firhad kerana telah berjaya membentuk kecergasan pemain-pemain Laos dalam tempoh tak sampai 6 bulan seperti yang telah diberikan oleh pengurusan negara tersebut.
Bagusnya penonton-penonton Laos ini kerana nampak lebih berdisiplin. Tak kelihatan pula botol-botol air, plastik-plastik air (ada sesetengahnya diisi dengan air kencing) dan tempat-tempat duduk yang berterbangan dan menghiasi tepi-tepi gelanggang perlawanan. Tidak kedengaran dan kelihatan juga bunyian dan percikan bunga api dan mercun tanda marahnya penonton kepada pengadil dan penjaga garisan dek kerana ketinggalannya pasukan mereka kepada lawan. Nampak macam berdisiplin dan berhemah sahaja penonton-penonton Laos ni. Kenapa ya kenapa! Mungkin saya yang salah pandang atau mendapat maklumat yang tak betul. Mungkin juga di luar stadium baru penyokong-penyokong Laos 'mengamuk' dan membakar kenderaan polis. Tak tahu lah pulak. Tapi rasanya tidak kot!. Hah satu lagi... tak kosong la pulak stadium tu bila dah pasukan Laos ketinggalan. Kebanyakan penyokongnya masih setia menanti sehingga ke wisel yang terakhir. Semangat tu.
Harapan saya agar bolasepak di negara kita akan terus cemerlang. Kemenangan dengan Vietnam sudah tentulah amat ditunggu walaupun nampak sukar. Penonton pula perlu lebih berdisiplin dan jangan terlalu beremosi hingga gagal mengawal diri ketika menyokong pasukan masing-masing. Penyokong skuad Laos boleh dijadikan contoh. Tak perlu pergi jauh-jauh untuk tengok contoh yang baik.
Selasa, 2009 Disember 15
Baguslah Bagusnya
Isnin, 2009 Disember 14
Hancur
Hari tu adalah hari terakhir PTK. Datanglah seorang kawan baru tu nak pinjam komputer riba saya. Katanya dia nak tengok tugasan dia. Mahu dicucuk komputer saya dengan thumbdrivenya. Hendak disemak tugasan beliau sebelum dicetak dan dihantar. Hati saya berat nak dikongsi komputer saya tu.
Komputer saya tak ada 'pendinding'. 'Pendinding' yang Mubin beli tak sempat dikemaskini dah hilang entah ke mana.
Dengan berat hati saya pinjamkan saja. Baik hati la katakan. Semua tugasan saya dah disiapkan dan dihantar. Apa salahnya tolong kawan yang memerlukan bantuan.
Kemudian si-polan ini tunjukkan failnya yang tak boleh dibuka. Aik... komputer aku pakai Microsoft Office Word 2007, paling terkini la tu rasanya. Takkan masih tak boleh buka. Si-polan ni kemudiannya pulangkanlah komputer saya.
Balik ke rumah saya buka komputer bimbit. Alamak! dia buat dah. Satu persatu fail nak dipadam. Kesudahannya langsung tak boleh tengok apa pun. Alahai la nasib badan.
Rupa-rupanya barulah saya tahu yang komputer riba si-polan tu dah diserang virus yang teruk. Dah hancur komputer dia. Thumbdrive dia pun ada virus. Dah hancur thumbdrive dia. Kemudian tanpa segan silu dia cucuk pula virus tu kat komputer saya. Alahailah kawan. Nasib baik PTK dah habis. Kalau tak mau pitam aku dibuatnya.
Coretan
HiCMat
pada
7:50 AM
4
komen
Label: geram, pengalaman
Rabu, 2009 Disember 09
Berhibernasi
Saya terpaksa kuatkan semangat. Penilaian Tahap Kecekapan terpaksa saya tempuhi. Esok hari terakhir. Sudah 3 malam berturut-turut saya hanya mampu lelapkan mata selama 2-3 jam sahaja. Tugasan perlu diselesaikan. Slaid untuk untuk pembentangan perlu disediakan. Aduh... memang kena redah ja bak kata Dr Janudin, Pemangku Penolong Naib Canselor ILQAM semasa hari perasmian beberapa hari yang lalu.
Setiap hari saya berulang dari Shah Alam ke Puncak Alam. Memang meletihkan. Dengan tak cukup tidur ditambah pula terpaksa bersekang mata mendengar pembentangan demi pembentangan daripada rakan-rakan PTK yang lain. Saya perlu kuatkan semangat.
Nasib baiklah saya diletakkan dalam kumpulan seramai 21 orang yang sekepala. Jadi taklah bosan sangat. Suasana tertekan dapat dihilangkan dengan lawak-lawak spontan walaupun kadang-kadang tajuk yang dibentangkan agak serius. Apa yang saya bentangkan tentang kajian tak orang fahami dan begitu jugalah bila pensyarah dari fakulti lain membentangkan cadangan penyelidikan masing-masing yang saya sendiri pun tak faham isinya. Yang faham tentang apa yang dibentangkan dalam cadangan penyelidikan itu adalah penyelidik sendiri. Namun kami tetap memberi semangat sesama kami. Saya redah ja!
Alhamdulillah esok hari terakhir. Maka akan berakhirnya 'jaga' malam saya. Esok saya akan tidur sepuasnya. Saya mahu berehat. Letih oi!. Otak dah letih sangat. Saya perlukan rehat.
Di sebalik keletihan melampau dek otak yang dikerah habis-habisan berfikir, saya sangat-sangat berpuashati dengan setiap kerja yang saya lakukan. Saya merasakan segala tugasan dan pembentangan telah saya lakukan dengan sebaik mungkin.
Terima kasih kepada isteri dan anak-anak yang menjadi sumber semangat saya untuk menghabiskan sisa-sisa PTK ini. Sokongan mereka menjadi inspirasi kepada saya. Anak-anak seperti faham yang papa mereka sedang berjuang.
Akhirnya, doakan kecemerlangan untuk PTK saya untuk kali ini.
Coretan
HiCMat
pada
7:59 PM
7
komen
Label: keluarga, UiTM di Hatiku
Khamis, 2009 Disember 03
Mengepak Sayap
FSR akan mengembangkan sayapnya ke Negeri Sembilan. Seremban 3 adalah lokasi yang telah dipilih sebagai tapak baru fakulti. Wow! memang hebat apabila cadangan yang telah dikemukakan di atas kertas oleh pihak pengurusan fakulti dipersetujui oleh UPEN untuk direalisasikan di lokasi sebenar.
Insyaallah apabila telah siap nanti, FSR akan mempunyai tasiknya yang tersendiri. Tasik buatan manusia itu terletak di hadapan dan belakang FSR. Memang hebat. Pemandangan dari bilik kuliah pasti menarik.
Rekabentuk bangunan FSR juga agak futuristik seperti rekabentuk bangunan untuk salah sebuah fakulti yang terdapat di Australia. Bangunan setinggi 3 tingkat itu akan dilengkapi dengan makmal biomekanik, pemakanan, fisiologi senam, pelakuan motor, makmal komputer dan tak lupa juga makmal untuk pengajaran rekreasi luar. Gimnasium dan stor untuk penyimpanan peralatan sukan dan rekreasi juga akan terletak di dalam bangunan yang sama.
Kampus Seremban 3 itu nanti akan mampu menampung kapasiti pelajar FSR sekitar 750 orang dan pensyarah seramai 60 orang.
Sayangnya mini stadium dan kolam renang yang dipohon masih lagi belum mendapat persetujuan.
Laporan Utusan Malaysia di sini
Selasa, 2009 Disember 01
Nasib Engkaulah Batu...
Alahai nasib engkau lah batu. Tu lah sapa suruh engkau jadi batu. Engkau bersalah kerana tak mampu menampung jumlah beban yang melalui 'usus perut' engkau. Lain kali tahanlah sikit. Kalau pada hari kejadian 'perut' engkau tak memuntahkan isi yang melalui usus engkau, sudah tentulah perkara ini siapa pun tak bising. Orang pun tak tahu rupa-rupanya engkau tak cukup gagah.
Namun hingga ke hari ini aku pun tak tahu siapalah yang telah menghadiahkan engkau. Rahsia dan misteri yang masih belum dirungkaikan. Apakah rahsia disebalik engkau yang dijadikan sebahagian daripada hadiah kepada Pusat Kokurikulum terbabit.
Takpalah dah nasib engkau batu. Aku rasa orang asli kat Pos Dipang pun dah tahu tentang keputusan yang tidak akan memihak kepada engkau. Apa boleh buat terima sajalah wahai batu. Engkau gagal untuk menampung beban tambahan dari “back-stayed cable”. Itu laporan yang aku dengar. Takpalah batu... apa boleh buat. Sabar ye. Lain kali engkau tahanlah isi-isi yang ingin melalui usus engkau. Jangan bagi isi-isi tu melintasi engkau beramai-ramai.
Sekali lagi aku mampu menasihatkan engkau bersabarlah sajalah. Alahailah nasib badan engkau batu. Terima ajalah dengan redha.
Berjaya atau Gagal?
Bermula jam 9 pagi tadi hinggalah jam mencecah angka 5 petang tadi kesemua Ahli Lembaga Akademik Fakulti bersidang [Nota: kecuali Datin Sarina yang kini masih berada di Tanah Suci] bagi mengesahkan keputusan Peperiksaan Oktober 2009. Rehat pun hanyalah untuk makan tengahari dan solat Zohor. Fuh! kini ahli LAF semakin bertambah dengan berkembangnya sayap FSR di UiTM Kampus Jengka. Bermula dari pembentangan para Ketua Program dan Koordinator dari peringkat Diploma hinggalah ke peringkat siswazah. Letih memang letih... Mana taknya menunggu seorang demi seorang ahli Lembaga membentangkan keputusan program yang di bawah seliaan mereka. Apa boleh buat, ini semua adalah tanggungjawab yang perlu diselesaikan.
Bagi pihak saya sendiri, tentulah menjadi satu kebanggaan apabila membentangkan tentang keputusan pelajar Diploma di Shah Alam yang berjaya mencapai keputusan yang memberangsangkan kepada kesemua ahli Lembaga. Gembiranya apabila menceritakan tentang kejayaan memotivasikan sekumpulan pelajar yang gagal mencapai kejayaan yang memberangsangkan pada Peperiksaan April 2009 dulu tetapi cemerlang pada Peperiksaan Oktober 2009. Namun apabila membentangkan tentang kegagalan pelajar pula.... arghhh cukup menyedihkan. Kumpulan pelajar ini juga merupakan mereka yang saya 'kejar' dan 'dicari' saya, namun sengaja melarikan diri daripada saya. Mereka 'tak berkenan' nak berjumpa dengan saya. Bantuan yang ingin diberi mungkin dianggap sampah kot! Takpalah kalau orang dah tak sudi.
Saya menceritakan seorang demi seorang pelajar yang gagal mencapai keputusan yang kurang memuaskan kepada ahli Lembaga apabila timbul persoalan daripada mereka. Memang ini yang saya kurang dan tak gemar ceritakan. Namun saya terpaksa.
Para pensyarah sudah berusaha untuk membantu yang termampu tetapi pelajar-pelajar ini tak mahu membantu diri mereka sendiri. Tugasan yang diberi tidak dihantar. Yang hantar pula tu ada yang lewat. Pembentangan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah langsung tidak diambil peduli oleh para pelajar ini. Kuliah tidak dihadiri. Adakalanya pula hadir tetapi lewat la pula. Tok Guru yang terpaksa menunggu anak murid. Ujian atau kuiz yang diberi tidak dijawab dengan bersungguh-sungguh atau dengan penuh persediaan. Abis camno! Tak dapek den nak tolong laie...
Apabila keputusan diumumkan nanti tentu ada pelajar yang akan melompat riang kerana kejayaan mereka selepas berhempas pulas di sepanjang semester lepas. Sudah tentulah ibu dan bapa pelajar-pelajar turut bersyukur dan gembira di atas kejayaan anak masing-masing. Alahai kepada yang terpaksa menamatkan pengajian lebih awal terpaksa mencari peluang lain pula. FSR sudah memberikan peluang kepada mereka tetapi tidak pula mereka berusaha untuk menggunakan sepenuhnya peluang tersebut. Tak apalah kegagalan sekali bukan bermakna anda akan gagal untuk yang seterusnya. Redha sahajalah dengan ujian yang diturunkan kepada anda ini. Kembalilah bermuhasabah diri.
Pelajar Semester 3 Diploma (sepenuh masa) untuk semester yang baru lepas ini sudah tentulah merupakan kumpulan yang beruntung untuk semester yang akan datang. Mereka yang mencapai CGPA melebihi 3.00 untuk keputusan Peperiksaan Oktober 2009 ini akan terus diserapkan ke program ijazah. Wah! Dah tentulah mereka yang terpilih ini akan lebih ekspress di dalam menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana muda (ISM). Maka akan bertambahlah kemasukan pelajar-pelajar ISM di FSR pada semester akan datang. Kita tunggu sahajalah siaplah di antara pelajar Semester 3 Diploma yang akan berjaya diserapkan ke ISM.
Coretan
HiCMat
pada
8:52 PM
4
komen
Label: cermin diri, fakulti, iktibar, peristiwa, UiTM di Hatiku
Selasa, 2009 November 24
Peluang ke Kinabalu
Hari ini merupakan hari bersejarah kepada sekumpulan pelajar FSR. Dua orang wakil mereka telah diberi peluang untuk mempertahankan kertas cadangan mereka untuk terbang ke Negeri di Bawah Bayu bersama beberapa orang kelainan upaya (OKU).
Pengarah Projek dengan tenangnya di hadapan Jawatankuasa Tabung Amanah FSR telah berjaya menerangkan rasionalnya mereka memilih Sabah. Tidak pernah dalam sejarah FSR, pelajar dipanggil untuk membentangkan kertas cadangan mereka di hadapan Jawatankuasa. Kebiasaannya kertas cadangan dihantar ke Pejabat Am FSR dan kemudiannya dikumpulkan sebelum dibawa ke dalam mesyuarat Tabung Amanah FSR untuk dibincangkan. Kali ini berbeza daripada sebelumnya. Sudah tentulah ini merupakan pengalaman yang paling berharga kepada pelajar berkenaan.
Alhamdulillah setelah puas diperdebatkan maka projek ini disokong sepenuhnya oleh pihak FSR dan wakil Bendahari. Peruntukan yang mereka perolehi juga cukup lumayan. Terbayar sudah pengorbanan mereka. Tahniah kepada kumpulan ini. Mereka sanggup melupakan sementara cuti semester mereka semata-mata untuk menyiapkan kertas cadangan dan slaid untuk pembentangan pada hari ini.
Kepada pelajar-pelajar FSR yang lain, lakukan persediaan lebih awal. Rancanglah lebih awal projek anda. Contohi kumpulan pelajar ini. Jangan tunggu hingga tahun hadapan baru hendak dihantar kertas cadangan untuk sebarang projek. Persediaan awal perlu bagi memastikan projek yang akan dilaksanakan dapat berjalan seperti yang telah dirancangkan.
Selamat ke Kinabalu kepada kumpulan ini! Pengalaman saya bersama staf FSR ada di sini.
Selasa, 2009 November 17
Calon Jaya
Pagi ini saya dihubungi oleh beberapa orang ibubapa dan penjaga melalui panggilan telefon. Ada seorang yang sanggup datang hanya untuk mengetahui tentang keputusan yang telah diwarwarkan semalam. Mereka ingin bertanyakan tentang keputusan permohonan diploma anak-anak di bawah jagaan mereka. Alahai.. mungkin mereka tidak punya masa untuk menjenguk laman sesawang UiTM.
Maka sayalah menjadi pembantu untuk mengesahkan samada anak-anak mereka berada di dalam senarai pemohon yang berjaya atau gagal ke FSR.
Seorang penjaga agak kecewa apabila anak di bawah jagaannya gagal berada di dalam senarai. Beliau ingin melihat di manakah silapnya sehingga anaknya gagal. Alhamdulillah dia boleh menerima kenyataan walaupun saya faham dia kecewa. Saya cadangkan beliau membuat rayuan bagi pihak anaknya yang tidak datang bersama.
Seorang bapa ternyata gembira apabila mengetahui melalui panggilan telefon bahawa anaknya berjaya. Dia sedar anaknya kurang cemerlang dari segi akademik kerana terlalu 'mengejar' sukan ketika di peringkat sekolah sehingga tidak menekankan akademik. Beliau amat bersyukur dan berterima kasih kerana UiTM memberi peluang kedua kepada anaknya untuk berjaya.
Jadi kepada anak-anak yang telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, jangan lupa jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa anda. Mereka senantiasa mendoakan kejayaan anda di dunia dan akhirat. Jangan disia-siakan peluang yang ada. Belajar bersungguh-sungguh dan balas jasa keduanya. Tentu anda tidak mahu melihat mereka menangis kerana kegagalan anda. Biarlah air mata mereka menitis dek kerana kejayaan anda.
Akhir kalam, tahniah kepada pemohon-pemohon yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Semoga anda terus cemerlang di dalam bidang masing-masing. Kepada yang gagal, cubalah merayu. Mana tahu sekiranya masih terdapat kekosongan dalam bidang pengajian yang dipohon.
Coretan
HiCMat
pada
12:34 PM
2
komen
Label: fakulti, kehidupan, UiTM di Hatiku
Berkongsi Ilmu Yang Tak Seberapa
Saya cukup teruja apabila berkongsi pengetahuan tentang EndNote. Keterujaan ini samalah seperti ketika di awal saya menanamkan minat kepada rakan-rakan bekas pelajar, pelajar dan para sahabat pensyarah untuk membuka akaun blog masing-masing (nota: maafkan saya sekiranya bercakap besar).
Saya jangkakan tentu ramai yang masih belum tahu apa itu EndNote. Kepada penjenguk yang masih belum tahu, EndNote ini sangat berguna kepada sesiapa sahaja yang suka menulis ataupun sedang atau akan menyiapkan tugasan akademik terutama sekali projek penulisan tahun akhir atau tesis. Kerja yang susah akan menjadi mudah. Tak percaya ka! Cuba dahulu baru tahu.
Ketika pertama kali saya berjumpa dengan Koordinator Program Siswazah di La Trobe University Bendigo dahulu, koordinator saya ada bertanyakan soalan cepumas berkaitan EndNote. Langsung saya kabur. Tak pernah dengar. Malu juga la. Jahilnya aku. Saya hanya dapat bayangkan Enot si pelakon tu sahaja. Tak tahu la pula tentang EndNote yang dimaksudkan. Kat Malaysia tak pernah dengar pun. Maka koordinator program siswazah mengarahkan saya mendaftar untuk kursus hands-on untuk EndNote yang ditawarkan oelh pihak perpustakaan universiti.
Setelah mengikuti kursus tersebut barulah saya tahu betapa mudahnya untuk menyiapkan bibliografi di dalam sesuatu penulisan. Oh... baru saya tahu apa itu EndNote. Alahai senangnya... dengan hanya satu klik sahaja, nama pengarang sesuatu buku/jurnal akan berada di tempat yang paling bawah di dalam penulisan kita. Tersusun pula tu mengikut alphabet. Fuh... senangnya. Tak perlu buat secara manual.
Apabila dah jimat masa tu maka banyaklah juga masa yang saya dapat gunakan untuk berjalan-jalan. Makan angin la. Tak perlu pening kepala nak menyusun bibliografi tu. EndNote lakukan semua. Dari penggunaan EndNote ini jugalah dengan sendirinya saya dapat menyimpan senarai rujukan seperti buku-buku dan jurnal di dalam library saya sendiri. Terima kasih Dr Peter Martin kena telah menyedarkan saya tentang kepentingan dan mudahnya EndNote di dalam penulisan.
Saya pernah melalui pengalaman ngeri akibat tidak membuat backup file untuk EndNote. Pengalaman saya yang jahil teknologi ini ada di sini.
Rentetan daripada itulah setelah pulang dari Bendigo maka saya dengan rela hati, tanpa berbayar dan tebal muka mencuba sebaik mungkin untuk 'menyebarkan' kepada warga fakulti tentang sesuatu yang agak baru bagi kita di sini. Alhamdulillah semakin ramai pensyarah dan pelajar yang mula menggunakan EndNote di dalam penulisan mereka.
Dua minggu lepas saya berkesempatan berkongsi pengetahuan EndNote bersama pelajar-pelajar Sarjana dan PhD di FSR. Sayangnya hanya 15 orang sahaja yang hadir. Yang lain mungkin sibuk kot. Maklumbalas yang diterima daripada mereka yang hadir ke bengkel tersebut sangat positif. Antara komen mereka, "Kenapalah kursus tentang EndNote ini tidak diadakan lebih awal". Jawapan saya kepada mereka mudah sahaja, "Better late than never!".
Coretan
HiCMat
pada
12:45 AM
0
komen
Label: Bendigo, fakulti, pengalaman
Isnin, 2009 November 16
Mahalnya Sebuah Kemaafan
Ada orang mungkin tak kisah. Alah... itu pun nak berkira. RM4.40 sahaja. Halal saja la.
Namun saya inginkan kebenaran. Sudah berapa ramai yang mereka dah tipu. Yang dipamerkan di rak berbeza harganya dengan yang di'punch'kan di kaunter pembayaran. Saya baru beli dua kotak susu sahaja. Bayangkan kalau ada 100 orang lagi pelanggan di dalam satu hari yang tak perasan dengan harga. Tentu jumlahnya menjadi RM220.00. Kalau 1000 orang yang membeli dalam satu hari di pasaraya besar ini tentu jumlah 'keuntungan' bertambah menjadi RM2200.00. Itu baru sehari. Kalau berhari-hari harga itu 'dimainkan' maka berhari-hari jugalah pelanggan yang membeli susu untuk anak-anak mereka 'dimainkan' oleh harga yang palsu tersebut. Bak kata Din Beramboi, "Pakcik kayo!"
Saya tidak pasti juga samada pasaraya besar yang terletak di Plaza Massalam ini sengaja atau tidak sengaja meletakkan harga sebegitu. Saya pun sebenarnya jarang sangat membeli barang-barang di pasaraya besar tersebut. Sudah lama tak singgah ke situ. Kebetulan selepas ada urusan berhampiran bangunan itu semalam, maka saya pun teruslah memasuki pasaraya tersebut untuk membeli dua kotak susu.
Nak dijadikan cerita pulak perkara ini berlaku, maka selamat tinggallah terus kepada pasaraya yang kononnya menawarkan harga terendah ini. Nak ngap duit kita mudah tapi nak dapatkan semula RM4.40 pun susah. Tiada perkataan maaf langsung yang terbit dari mulut si 'penjaga' kaunter khidmat pelanggan akibat kesilapan harga. Alahailah nasib badan. Dahlah aku ni ditipu, berat pula mulut dia nak minta maaf di atas kesilapan harga. Takpalah. Byebye. Aku ada pilihan lain.
Semoga cerita ini menjadi pengajaran kepada kita semua agar sentiasa berhati-hati memeriksa harga barang yang akan dibeli agar ianya sama seperti dipamerkan di rak-rak dan juga apabila sampai di kaunter pembayaran. Kalau tak... kita juga yang rugi.
Khamis, 2009 November 12
Buah Kilas
Hari Selasa pagi Kamil merengek minta saya belikan air di kedai. Dahaga katanya. Saya singgah di kedai runcit Seksyen 2 untuk belikan air yang diminta. Alahai nak jaga hati... supaya mudah nak hantar dia ke taska.
Semalam sekali lagi Kamil meminta benda yang sama. Sampai sahaja di bulatan berhampiran McDonald Seksyen 2, tiba-tiba pula dia dahaga. Aduh... takkan tiap-tiap hari kot nak melayan kerenah dia. Nanti dah jadi kebiasaan pula. Asal lalu Bulatan McDonald ja... nak air. Susah lo.
Saya dapat akal. " Bos papa ada la pagi ni. Papa ada meeting dengan boss. Nanti kalau lewat papa kena marah dengan boss", kata saya. "OK lah", balas Kamil dengan suara kecewa.Pagi ni ketika sampai di simpang berhampiran MRCB, Kamil bertanya, "Bos papa ada hari ni". "Tak ada", spontan saya menjawab. "Kuih ni pedas la. Abang nak air. Papa beli air, Boleh!", Kamil merayu. Aduh, dah terperangkap la pulak. Kamil dah kenakan 'buah kilas' da. Apa lagi alasan nak bagi. Layan ajalah. "Ok!", jawab saya ringkas.
Isnin, 2009 November 09
"TOYOL vs "JIN"
"Ketua Operasi" dah berpesan sebelum berperang, "Jangan,jangan dan jangan!". Depa degil jugak. Tak tenteram aku dibuatnya. Lagi 5 minit tu. Nak pulun jawab pun dah tak sempat dah. Dalam dia dok sibuk mentelaah "toyol" yang melekap di tapak tangan dia, tiba-tiba 'jin" pulak yang lalu.
Aduh... hari ni "toyol" dah kalah daa. Dah tewas. Apa boleh buat "jin" pun bukannya nak cari salah pembela "toyol". Tapi pada masa "toyol" menunjukkan dirinya, tiba-tiba "jin" pulak terpacul kat belakang dia. Apa lagi... berjurai peluh pembela "toyol". Namun nasi sudah menjadi bubur. "Toyol" yang melekap di tapak tangan pembelanya tak mahu tanggal daa.
Maka tapak tangan pembela "toyol" terpaksa dirakam oleh kamera "kawan-kawan jin" sebagai bukti kemunculan toyol di petang hari. Alahailah bagaimanalah nasib pembela "toyol". Kita tunggulah penghujung bulan November nanti.
Selasa, 2009 November 03
CARRY MARK SPS133
Di sini dipaparkan markah yang merangkumi 70% daripada kerja kursus untuk kursus Outdoor Recreation
Sila hubungi saya sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan semakan semula.
Jumaat, 2009 Oktober 30
Bangau oh Bangau
Kecoh jugak la di sana sini. Satu dunia sudah tahu tentang tahap keselamatan apabila beraktiviti luar di Malaysia. Itulah akibatnya apabila mengambil sikap sambil lewa di kalangan orang kita apabila beraktiviti. Seperti posting yang sebelumnya... sesungguhnya saya sangat-sangat bersimpati dengan keluarga tiga orang pelajar sekolah Dina Devi, Devadharshini dan Divya Shree yang kehilangan nyawa mereka kemalangan yang tidak diduga di Pos Dipang. Daripada laporan akhbar, pelajar-pelajar malang ini merupakan harapan keluarga dan juga merupakan pelajar harapan sekolah untuk UPSR.
Alahai jambatan gantung pulak yang disalahkan. Apalah salahnya jambatan gantung yang tak bernyawa tu. Jambatan tu tak ada suara untuk menjawab.
Hah! Tanya cikgu-cikgu dan pihak penganjur tu di mana depa berada ketika kejadian berlaku. Depa ni boleh menjawab. Masukkanlah dalam laporan akhbar dan siaran berita. Baru orang tahu, rupa-rupanya cikgu-cikgu tu sedang melayan kerenah ratusan lagi pelajar lain di kem tersebut. Daripada pembacaan dan pemerhatian saya, belum ada lagi laporan tentang kedudukan mereka tragedi berlaku. Sensasi ni.
Sepatutnyalah orang dewasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk berada di kem ini berusaha untuk memantau, menyelia dan mengawal 22 orang peserta-peserta yang sememangnya tengah naik 'syeh' nak menyeberang Sungai Kampar tu. Tambahan pulak masa kejadian adalah sekitar 10.30 malam.
Apa yang boleh dibuat oleh kaum keluarga mangsa. Borang lepas tanggung sudah diisi dan ditandatangani. Di dalamnya mereka telah bersetuju untuk tidak menyaman pihak penganjur sekiranya berlaku sebarang kecelakaan. Alahai nasib-nasib.
Saya mencadangkan agar di lain masa pihak yang akan menganjurkan program-program sebegini menggunakan khidmat sukarelawan yang mahir dalam aktiviti sebegini. Saya merasakan ramai di kalangan pelajar-pelajar dan alumni di FSR sendiri sanggup menjadi sukarelawan untuk program yang bermanafaat sebegini. Jadikan penggunaan sukarelawan berkemahiran sebagai satu amalan dalam aktiviti luar. Saya faham cikgu dan penganjur tak dapat memantau keseluruhan program. Kalau dah tau tak mampu JANGAN BUAT! Senang kan.
Namun persoalan asal masih lagi saya tagih daripada penganjur dan cikgu-cikgu yang berada di sana. Ke mana perginya orang-orang dewasa di tapak perkhemahan terbabit ketika kanak-kanak ini melintas jambatan gantung tersebut.
Khamis, 2009 Oktober 29
Simpati
Kita hanya mampu bersimpati di atas kehilangan tiga pelajar yang hanyut dan mati lemas dek runtuhnya jambatan yang menghubungkan tapak perkhemahan dan dewan makan berhampiran Pos Dipang tempohari. Apa lagilah yang mampu kita katakan. Benda dah berlaku. Ajal lebih kuat memanggil ketiga-tiga pelajar yang tidak berdosa ini. Kasihan keluarga mangsa.
Dah namanya pun budak-budak. Sudah tentu masanya digunakan sepenuhnya untuk berseronok sahaja. Semasa beraktiviti sebeginilah mereka akan gunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menyakat kawan-kawan. Kawan yang ketakutan akan menjerit dek gayatnya apbila jambatan bergoyang. Mereka yang melakukannya tidak akan memikirkan implikasinya. Dah namanya pun budak-budak. Apa lagi... seronoklah. Jadi itulah gunanya orang dewasa. Mana perginya orang dewasa dalam kem? Mana perginya guru pengiring? Mana perginya fasilitator? Mana perginya instruktor? Mungkin mereka keletihan kot kerana menjaga pelajar-pelajar ini sepanjang hari. Bukan nak menuding jari... tapi nak pastikan bahawa orang dewasa ini tahu bahawa mereka ini bertanggungjawab ke atas setiap anak-anak yang mereka bawa ini. Budak-budak tu semuanya ANAK ORANG dan bukannya ANAK BERUANG. Sedangkan anak haiwan pun kita jaga takkanlah anak orang kita biarkan begitu sahaja.
Kita hanya mampu bersyukur kerana mereka yang lemas tersebut bukannya daripada kalangan ahli keluarga kita. Bukan orang terapat dengan kita. Bukan juga anak-anak atau adik-adik kenalan kita. Jadi kita boleh menarik nafas lega.
Tapi sedarkah kita bahawa peristiwa sebegini boleh berulang. Ia mungkin berlaku di tempat yang sama dan mungkin juga di mana-mana lokasi lain. Maka peristiwa sebegini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua yang melibatkan diri dengan aktiviti luar agar tidak memandang enteng tentang langkah-langkah keselamatan di sepanjang aktiviti luar diadakan. Sesungguhnya malang tidak berbau. Sekali kita terleka maka padah akibat.
Sudah tentulah kita tidak mahu orang yang tersayang menanti dalam tangisan mayat mangsa yang masih ditemui akibat kelekaan dan kecuaian kita. Tidak mustahil mangsa kecuaian dan kelekaan itu adalah kita sendiri.
Isnin, 2009 Oktober 26
Kemalangan Lagi
Pagi ini bukan pagi yang pertama. Dah banyak kali saya saksikan. Ada sekali tu, betul- betul depan mata. Nasib baik tak kedebum sekali. Kalau tak...
Tak pastilah pulak saya, siapalah yang telah dianugerahkan projek besar ni. Depa tengah dok kira untung saja kot sampai keselamatan pengguna ditolak ketepi. MAJLIS & JKR pun saya tak pasti la pulak samada terlibat sama untuk buat jalan besar tersebut. Setahu saya dari bangunan tinggi milik MAJLIS tentu nampak apa yang berlaku. Takkan sampai ada orang MAJLIS & JKR atau orang-orang besar yang terlibat dalam kemalangan kat tempat tu baru nak dibuat papan tanda besar-besar, dipasang kon besar-besar, diletakkan patung goyang tangan besar-besar dan dipasang spotlight besar-besar lagi terang.
Kasihan abang tadi tu. Dia di laluan yang betul. Makcik yang pandu Mercedes tu pun di laluan yang sepatutnya. Tuptup ada kon besar melintang yang menghadang laluan Merc Makcik tu. Apalagi saya lihat Makcik tu terus ke kiri, untuk mengelak kon yang melintaqng tu. Maka tergeserlah abang yang nak ke tempat kerja tu. Alahai kedebum... jatuhlah abang tu. Kasihan seluar abang tu terkoyak... ada darah. Jalan jadi sesak.
"Kasihan kan Pakcik tu...ada darah kat kaki dia la papa!", kata Kamilia. Kamil hanya menurut apa yang kakak dia sebut. "Betul tu kakak... kesian kat pakcik tu. Dia bangun pagi-pagi, niat dia nak ke tempat kerja. Cari rezeki untuk keluarga dia. Nak cari duit, nak beli buku untuk anak dia. Anak dia tu selalu sangat bagi hilang buku", balas saya. Kamilia terdiam memandang saya. Mungkin dalam hati Kamilia berkata, "Papa ni macam perli akak ja".
Khamis, 2009 Oktober 22
Undangan
Ecah dan Tengku bertandang ke rumah saya beberapa hari yang lalu. Tujuan mereka hanya satu... saya pasti. Mereka diamanahkan untuk menjemput saya ke AGM yang akan diadakan pada Ahad malam Isnin. "Alahai Ecah... alahai Tengku, macamanalah saya nak pergi ke majlis tersebut. Siangnya saya ada Majlis Konvokesyen pelajar FSR. Hari yang sama juga dari jam 7.00 pagi sehingga jam 7.00 malam, saya ada program rekreasi untuk OKU di Tasik Shah Alam. Sudah tentulah malamnya pula masa untuk saya bersama keluarga", ujar saya kepada mereka berdua. "Tapi saya cuba", janji saya.
Keesokan harinya ketika sedang beraktiviti bersama OKU, Mubin menghampiri saya. Terus saya bertanya, "Berapa ramai yang boleh hadir malam ini?". Persoalan saya sukar untuk dijawab oleh Mubin. Rakan-rakan dalam persatuan ramai yang terlalu sibuk di hujung minggu hingga sukar memberikan komitmen untuk hadir ke majlis AGM. Saya faham, di saat-saat akhir semester ini ramai yang tak mahu diganggu. Mana taknya... banyak tugasan yang perlu disiapkan, ada kursus pula baru nak dibuat ujian kedua dan kebetulan pula ada ahli yang terpaksa memberi komitmen terhadap urusan keluarga yang telah lama dirancang. Maka saya cadangkan kepada Mubin agar majlis AGM ditunda ke tarikh yang mana perlu dipersetujui oleh majoriti ahli untuk hadir. Baru cukup korumnya.
Berbalik kepada undangan daripada dua ahli Majlis Tertinggi (MT) PERLU sebelumnya. Saya suka mengaitkannya dengan pengalaman kami ahli-ahli persatuan ketika menjemput Penasihat-penasihat Kelab Outward Bounders UPM untuk ke AGM. Sudah semestilah kami akan menghantar mereka yang sepatutnya, iaitu yang berkemahiran memujuk dan bukan sekadar sebagai penghantar posto sahaja. Iyalah kami sedia maklum, penasihat-penasihat yang terdiri daripada Prof. Dato' Dr Idris Abdul (Penasihat Kehormat KOBUPM), En. Mohamad Noor Liza Baharom(Penasihat KOBUPM), En. Mohd. Nasir Markom (HEP) dan En. Mohd Nazri Noh (HEP)merupakan orang penting di UPM dan sentiasa sibuk dengan tugas mereka. Maka apabila Penasihat-penasihat ini muncul dan merasmikan majlis-majlis kami terutamanya AGM, kami sangat-sangat teruja dan sudah tentulah amat kami hargai kemunculannya. Saya yakin majlis akan menjadi hambar tanpa kehadiran barisan penasihat. Kehadiran alumni seperti pengasas KOBUPM saudara Mohamad Thuairi Mohamad Tayeb dan saudara Syed Azmeer juga amat kami ahli-ahli persatuan nantikan bagi turut sama memberi idea dan berkongsi pengalaman.
Oleh yang demikian, apabila saya mendapat jemputan dan pujukan daripada Ecah dan Tengku untuk menghadiri majlis AGM PERLU UiTM... sudah tentulah saya sukar untuk menolaknya. Saya tahu mereka sudah merancang sebaik mungkin untuk melaksanakan majlis ini. Mungkin mereka tidak tidur malam untuk menyiapkan laporan yang akan dibentangkan.
Takkanlah saya yang hanya perlu datang untuk beberapa minit dan seterusnya merasmi dan mendengar pembentangan berkaitan persatuan tidak boleh memberikan komitmen. Padahal mereka ini jugalah yang banyak membantu mempermudahkan kerja di sepanjang saya mengajar kursus Rekreasi Luar. Sukar untuk saya hampakan permintaan mereka.
Sudah semestinya tanpa kad jemputan sekalipun tetapi kalau kena dengan caranya... yakinlah saya akan sampai...insyaallah. Sekali lagi, terima kasih di atas jemputan.
Nota: Untuk AGM pada kali ini, Ecah dan Tengku telah menyerahkan kad jemputan kepada saya. Saya juga mendapat pesanan ringkas daripada Atiqah dan seterusnya jemputan secara verbal daripada saudara Presiden, Mubin.
Coretan
HiCMat
pada
10:26 PM
4
komen
Label: KOBUPM, pengalaman, PERLU
Menangis
Jawatan datang dengan tanggungjawab dan amanah. Sudah tentulah apabila kita dilantik ke sesuatu jawatan kita perlu menjalankan segala bidang tugas yang telah diamanahkan itu dengan sebaik mungkin. Ini kerana jawatan di dalam Islam adalah amanah dan ianya perlu diterima dengan penuh tanggungjawab dan perasan takutkan Allah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab juga kepada mereka yang memilih atau mengundi agar memilih mereka yang selayaknya untuk memegang sesuatu jawatan.
Sebentar tadi baru sahaja selesai Mesyuarat Agung Penggal ke-10 PERLU UiTM. Dengan tamatnya majlis sebentar tadi maka bermulalah episod baru di dalam kepimpinan PERLU UiTM. Mereka yang hadir telah memilih Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi persatuan. Sudah tentulah ahli-ahli yang memilih sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum memilih pemimpin yang akan memimpin persatuan mereka untuk penggal yang akan datang. Tahniah daripada saya kepada mereka yang telah dilantik sebagai MT untuk penggal berikutnya dan terima kasih kepada mantan-mantan MT yang telah berusaha sedaya upaya menaikkan nama PERLU UiTM.
Saya mempunyai pengalaman tersendiri ketika hidup berpersatuan dahulu. Ketika nama saya diumumkan oleh Pengerusi Majlis sebagai Presiden Kelab Outward Bounders UPM untuk penggal berikutnya, saya menjadi begitu terkejut. Saya langsung tidak percaya dengan lantikan tersebut. Saya kaget. Saya terkejut. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Kenapa saya yang dipilih sedangkan ramai lagi rakan-rakan yang berkebolehan dan layak. KOB merupakan kelab terelit di UPM. Ahli-ahli terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar dari pelbagai persatuan yang berdaftar di UPM. Berat tu tanggungjawabnya. Saya masih mentah.
Saya diberi peluang untuk menyampaikan ucapan yang pertama sebagai Presiden KOB untuk penggal berikutnya. Ucapan saya terhenti. Saya sesungguhnya amat terharu dengan perlantikan tersebut. Saya terlalu takut dengan tanggungjawab yang akan saya pikul. Di minda saya hanya terfikir samada saya mampu menerajui kelab elit ini agar terus cemerlang seperti sebelumnya. Saya tidak dapat meneruskan ucapan saya. Saya menangis. Tangisan yang bukan dibuat-buat. Sukar dikawal.
Saya ditenangkan oleh rakan-rakan, alumni dan penasihat. Mungkin inilah sejarah dalam KOB. Seorang presiden yang baru dilantik terlalu beremosi ketika menyampaikan ucapan yang pertama. Arrgghhh malunya. Tapi memang sebenarnya budak kampung yang masih mentah ini terlalu takut dengan tanggungjawab yang bakal dipikul. Mampukah aku memikul tanggungjawab besar ini?
Coretan
HiCMat
pada
12:50 AM
8
komen
Label: iktibar, kenanganku, KOBUPM, pengalaman, PERLU
Rabu, 2009 Oktober 21
Hidup Perlu Diteruskan
Betul tu... hidup perlu diteruskan. Yang pergi biarkan dia pergi. Kita yang hidup ni kenalah teruskan perjuangan yang masih belum selesai. Perjuangan yang masih belum ditemui penghujungnya lagi. Takkanlah kita nak ikut orang yang kita sayangi tu sampai ke dalam liang lahat. Takkanlah kita berterusan ingin meratap pilu di atas kehilangan yang telah ditentukan itu.
Janganlah bergundah gulana terlalu lama. Orang yang pergi tu pun sudah tentu tidak mahu kita terlalu meratap pilu pemergiannya. Biarkan dia tenang di sana. Kirimkanlah doa dan sedekahkanlah ayat-ayat suci al-Quran bagi 'memudahkan' dirinya 'di sana'.
Saya coretkan di sini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya nasihatkan kepada pelajar yang baru sahaja berjumpa saya sebentar tadi bersandarkan pengalaman yang menimpa diri sendiri. Tak dapat saya gambarkan kedudukan diri ini sekiranya saya bertekad untuk berhenti belajar selepas mak dan abah pergi ketika diri memerlukan sokongan dan dorongan untuk menghadapi peperiksaan besar, SPM pada tahun 1991 yang lalu. Alhamdulillah Allah kuatkan semangat saya. Allah bukakan minda dan tenangkan jiwa untuk berfikiran waras. Kalau tidak mungkin saya masih di Kulim dan bekerja di kilang sebagai operator.
Sesungguhnya segala dugaan dan cubaan yang Allah turunkan adalah untuk menduga keimanan hamba-hamba-NYA. Kita tak boleh tewas. Kita mesti bertekad untuk berjaya. Jangan hampakan harapan ibu dan bapa serta mereka yang tersayang. Pasti ada sinar menanti sekiranya kita berusaha.
Usaha + Doa + Tawakkal... insyaallah berjaya.
Isnin, 2009 Oktober 19
Pesan Sudah, Nasihat Pun Sudah
Saya dah basah kuyup. Mana taknaknya, kayak yang saya naiki bersama Mubin terlungkup. Penganjur tak ikat betul-betul tempat duduk kayak 'sit on top' yang saya dam Mubin naiki. Kami pun satu hal. Percaya sangat sampai tak periksa dahulu keadaan tempat duduk.
Akibat terlalu percaya, hah tangggunglah akibatnya. Ketika dah nak hampir dengan 'checkpoint' pertama untuk aktiviti mencari harta karun, kayak kami terbalik. Kayak yang sememangnya sangat-sangat stabil itu akhirnya berjaya menterbalikkan saya dan Mubin tanpa dirancang. Alahai apalagi...kuyup la dibuatnya. Takpalah... apa boleh buat, nasib baik Mubin bagi pinjam 'drybag' dia sebelum kami berkayak tadi. Kalau tak, habis telefon bimbit, kunci kereta dan dompet basah dan rosak le. Apa da... tempat duduk pun tak diikat betul-betul. Aku pun satu, terlalu percaya sangat. Sapa suruh. Kan dah kena.
Sampai di 'checkpoint' ketiga lagi menarik. Peserta terpaksa membaringkan badan di atas kayak untuk menyeberang di bawah jambatan yang rendah dan cukup-cukup untuk melepaskan badan dan kayak sahaja untuk ke seberang. Saya lepas. Ok la tu badan masih 'maintain'. Tak lekat bawah jambatan.
Sepasang peserta OKU sampai di 'checkpoint' tiga. Saya minta mereka menggunakan lorong lain di bawah jambatan. Ini kerana kayak dah penuh di lorong yang pasangan tersebut cuba masuk. Pasangan tersebut undur ke belakang dan mereka tersangkut pula pada seutas tali pancing yang terikat di bawah jambatan. Kaca mata peserta tersebut tertanggal dan jatuh ke dalam tasik. Alahai... kan saya dah cakap tadi. Ikat kaca mata anda. Degil betul. Kenapalah tak mahu dengar arahan yang diberi tadi. Saya masih ingat, sebelum berkayak tadi, saya dah pesan kepada peserta yang berkaca mata agar kaca mata mereka diikat. Kenapa degil?
Saya tak sanggup menyelam. Peserta OKU terbabit mengeluh, "Oh my new specs... it cost me more than one thousand". "Aduh mahal la pulak 'spec' mamat tu", bisik hati saya. Serba salah juga kalau tak tolong. Mubin hanya memandang sahaja saya seperti menunggu arahan. Terus saya minta Mubin tolong selam. Susah woo selam dengan PFD. Mubin minta kebenaran untuk buka. Berat juga untuk saya benarkan. anak orang woo. Lemas sapa nak jawab. Tasik ni mana boleh buat main-main. Saya rapatkan diri dengan Mubin dan beri kebenaran. Dah lama mencari... Mubin gagal. Iyalah..air keruh. Dalamnya penuh sampah. Maklumlah dekat jambatan. Saya suruh Mubin tanggalkan kasut. Takut tak perasan, terpijak pula spek mata berharga RM1000 lebih tersebut. Kami cuba sekali lagi... dan lagi tapi gagal. Cheh... basah lagi. Takpalah saya cuba lagi.
Itulah... kalau dah rezeki tu, spek lekat di jari saya. Aduh memang dah rezeki. Kaca mata yang bernilai lebih seribu ringgit tu ditemui semula. Alhamdulillah.
Moralnya di sini... patuhlah pada arahan yang diberi. Tentu ada sebab dan musababnya. Kalau dah hilang, rosak, kemalangan, cedera dan mati kan susah.
Aduhhai lah nasib badan. Apa boleh buat bila dah namanya pun berkayak. Tak sahlah kalau tak basah. Layan aja.


