Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 14 February 2013

Seteguh Tekad.. usaha mengubah hidup

Buku Seteguh Tekad ini entah macam mana boleh saya terfikir untuk dimasukkan ke dalam bagasi dan dibawa bersama sewaktu berhijrah ke Melbourne pada Mac 2012. Tentu sekali ada banyak yang tersirat di sebalik buku yang telah saya beli pada 27hb Jun 2008 ketika berkunjung ke Pesta Buku yang dianjurkan oleh Alaf 21. Pada mulanya, apabila saya melihat kulit buku yang dipamerkan di rak, terlintas sejenak tanggapan seakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ingin menayang diri. Di kulit buku tersebut menampilkan penulis berpakaian segak dengan basikal tua. Apa relevannya basikal tua dengan penulis yang siap bersut lengkap itu. Oleh kerana ingin mengetahui akan isinya, saya melabur wang sebanyak RM13.00 bagi memiliki naskah buku yang dimaksudkan. Setelah membelek helaian demi helaian buku setebal 319 halaman itu dan menghayati kisah pahit manis yang dilalui penulis, timbul pula kesedaran yang kehidupan ini tidak akan terlepas daripada dugaan tetapi bagaimana kita menghadapinya adalah keutamaan.
 
 
Menyelak helaian demi helaian, pembaca bagaikan turut dibawa bersama merasai kesusahan dan penderitaan yang dialami seorang anak yang berjiwa besar tapi hidup dalam serba kekurangan. Buku ini sebenarnya adalah sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.  
 
Seteguh Tekad adalah sebuah buku nukilan anak kelahiran negeri Melaka, Prof. Dr. Sidek Baba di mana pembaca akan dapat menyelami liku-liku kehidupan yang dialami oleh beliau untuk menuju puncak kejayaan. Pendakian tangga kejayaan akan dapat diselami melalui rentetan pengalaman kehidupan yang menekankan aspek motivasi dan merangsang jiwa supaya pembaca sentiasa bersemangat kental di dalam menempuh dugaan dalam kehidupan.

Buku ini telah ditulis sendiri oleh yang empunya diri. Buku autobiografi ini dapat memberi peluang kepada pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Dr. Sidek yang telah dilahirkan ke dunia ini dalam serba kekurangan tetapi kini telah berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang.

Ini adalah bukti melalui kata-kata beliau di mana tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau adalah sebenarnya pendorong kuat yang akhirnya mampu menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.

Profesor Dr. Sidek Baba merupakan seorang tokoh pendidik dan pejuang pendidikan Islam yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dan jemu di dalam kamus kehidupannya. Tokoh berjiwa besar ini mengajak pembaca melalui bukunya agar menilai tentang erti sebuah kehidupan yang amat memerlukan ilmu sebagai pengisiannya.

Salah satu faktor penting yang turut ditekankan di dalam buku ini adalah pengalaman yang dilalui selalunya akan mendekatkan lagi manusia dengan Penciptanya, merenung nasib diri, memahami erti kehidupan serta mengenal kebenaran. Ciri ini tergambar daripada watak bapanya yang sentiasa mengadu hal kepada Allah di samping watak lain yang secara langsung dan tidak langsung membentuk jiwa beliau hingga menjadi manusia yang cintakan jiwa seorang pendakwah.

Sesuai untuk semua lapisan khalayak pembaca, buku Seteguh Tekad mampu menyuntik semangat di hati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menyedarkan mereka yang berputus asa bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan dengan syarat kita bersedia merubah nasib diri. Buku ini juga mampu memotivasikan pendidik-pendidik agar ikhlas di dalam mendidik anak bangsa dan seterusnya tidak lupa mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh pelajar.

Buku nukilan Dr. Sidek ini penuh dengan semangat dan emosi. Di suatu peringkat, saya hampir menitiskan air mata dek penceritaannya yang memilukan. Sampai di suatu peringkat yang lain pula, semangat saya untuk berusaha marak menyala kerana didorong oleh kejayaan penulis buku tersebut atas hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu.

Begitulah hebatnya buku ini. Banyak pengajaran dan nilai-nilai positif yang boleh pembaca ambil iktibar dari buku ini.

Saya membahagikan pengajaran yang boleh diperolehi daripada buku ini kepada beberapa bahagian iaitu: 
   1.    Pengorbanan untuk perubahan
   2.    Kecekalan dan keazaman
\  3.    Kasih sayang
 
 
PENGORBANAN UNTUK PERUBAHAN
 
Dr. Sidek telah melakukan satu pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya iaitu berhijrah. Jelas dapat disaksikan bagaimana pelajar miskin yang dahagakan ilmu ini yang bermula dari sekolah rendah telah sanggup berhijrah ke Bandar Melaka untuk menyambung pelajarannya di peringkat sekolah menengah. Seterusnya beliau berhijrah ke Maktab Perguruan Sultan Idris dan Universiti Malaya untuk peringkat sijil dan ijazahnya. Kemudian diberi peluang pula untuk menuntut di universiti di Amerika Syarikat. Pengorbanannya di dalam melakukan hijrah amat berbaloi dan telah berjaya mengubah kehidupan beliau.

Sesungguhnya tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan pula adalah suatu tuntutan hidup. Setiap umat Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang terbaik adalah tuntutan agama (Noor, 2004).

Di dalam Seteguh Tekad, Prof. Dr. Sidek menggarap liku-liku kehidupan yang ditempuhinya dengan tenang dan teratur dan disulami dengan emosi dan doa.  Beliau mengisahkan hidupnya sebagai insan biasa yang berjiwa besar, mengait impian demi impian dan berpijak di alam nyata.  Pengorbanan keluarga beliau adalah amat bernilai dan tidak dapat disangkal di dalam kehidupannya. Dr. Sidek sering mengungkapkan pesanan ayahanda yang tersayang:
 
“Kalau takdir kau jadi orang yang dikenali, jangan lupa ALLAH.  Selalu tolong orang yang susah.  Selalu kaitkan rezeki dengan berkat.  Kalau kau jujur dengan ALLAH, pertolongan ALLAH akan datang”.

Selain daripada itu pengorbanan yang amat luar biasa juga telah dipamerkan oleh isteri Dr. Sidek. Isterinya sanggup meninggalkan jawatan semata untuk memberi tumpuan mendidik anak-anak dan menjadi pendorong utama kejayaan hidupnya. Semasa di luar negara pula isteri bertindak sebagai pemberi inspirasi dan penguat semangat. Benarlah kata bijak pandai bahawa tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Melalui pengorbanan daripada si-isterilah menyebabkan Dr. Sidek lebih tenang menempuh dugaan bagi mengecapi kejayaan.


KECEKALAN DAN KEAZAMAN
 
Pengalaman Sidek yang mengayuh basikal sejauh 45 batu pergi balik setiap hari dari rumahnya ke sekolah yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kerana kayuhan demi menuntut ilmu itu bersama tekad teguh akhirnya telah melahirkan insan yang menjadi contoh kepada umat Islam pada hari ini. Inilah antara salah satu contoh kecekalan beliau di dalam menuntut ilmu. Beliau faham bahawa ibubapanya tidak mampu untuk membayar tambang bas untuk berulangalik ke sekolah. Maka untuk mengelakkan dirinya tercicir daripada meneruskan pengajian sekolah menengah, beliau sanggup mengorbankan tenaga dan masanya untuk mengayuh basikal untuk destinasi yang sebegitu jauh pada setiap hari persekolahan. Akibatnya pelajaran beliau merosot dan tercorot.
 
Dr. Sidek juga tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk beliau tidak boleh berjaya. Selain daripada itu Dr. Sidek tidak pernah sekalipun bersungut akibat kegagalannya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Higher School Certificate (HSC). Beliau tidak jemu-jemu mencuba berulangkali menduduki peperiksaan untuk HSC sehinggalah mendapat keputusan yang cemerlang dan melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.  Dr. Sidek telah membuktikan bahawa gagal sekali bukan bermakna dia akan gagal untuk selamanya. Sesungguhnya belajar dari masa lalu dapat membantu membentuk masa hadapan agar menjadi lebih berkesan (Syed Zakaria, 2005).

Kecekalan beliau dan isterinya telah dengan izin Allah berjaya mendidik kesemua lapan-lapan anak mereka melepasi pendidikan di universiti juga boleh diambil iktibar. Di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, bukanlah suatu tugas yang mudah sebenarnya untuk mendidik anak sekiranya ibubapa tidak memberikan tumpuan yang sewajarnya berkaitan perkembangan anak-anak. Peranan ibubapa sama penting di dalam mendidik anak-anak (Redzuan & Munji, 1990).
 
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNYA yang tidak pernah berputus asa, bersabar mendepani kerenah hidup dan cekal dalam keazaman. Allah amat mengerti akan tangisan dan doa, airmata dan keringat hambaNYA.
 
 
KASIH SAYANG
 
Sesungguhnya kasih sayang sukar untuk dijual beli. Prof. Dr. Sidek Baba sangat beruntung kerana dikurniakan dengan ahli keluarga yang saling sayang menyayangi. Beliau juga sungguh bertuah kerana dikelilingi oleh guru-guru yang telah memberi sumbangan yang amat besar dalam hidupnya.
 
Selain daripada itu Dr. Sidek juga dikurniakan sahabat-sahabat perjuangan yang sentiasa membantu ketika diperlukan. Ini dibuktikan apabila rumah beliau dipenuhi dengan sahabat-sahabatnya yang menanti setelah beliau dilepaskan daripada tahanan ISA.
 
Sudah tentulah isteri menjadi pendamping yang paling setia di dalam kehidupan beliau. Anak-anak pula adalah harta yang tidak ternilai harga yang menjadi kurniaan Illahi. Kesemua anak-anaknya dibawa bersama sewaktu melanjutkan pelajaran di Amerika. Beliau tidak sanggup meninggalkan walau seorangpun anaknya di Malaysia. Biarlah sama-sama susah. Itulah yang menjadi pendirian beliau.
 
Anak-anak memerlukan kasih sayang. Sekira kasih sayang tidak diberikan, contoh teladan tidak ditunjukkan maka mereka akan belajar dari contoh-contoh yang melintas di hadapan mereka. Sudah tentu bukan itu yang kita mahukan.
 
Betapa indahnya dunia sekiranya manusia saling berkasih sayang, saling bantu membantu dan bekerjasama. Orang kaya tolong orang miskin dengan kekayaannya, orang sihat tolong orang sakit mengikut kemampuannya, kerana takutkan Allah semata-mata dan bukannya kerana mahukan sesuatu selain Allah. Pesan Tuk Hitam kepada Dr. Sidek sememangnya ada kebenarannya. Pesan Tuk Hitam:
 
“Kalau berjaya nanti, ramai orang boleh tumpang senang. Tapi bila berjaya cu, jangan sombong dan jangan tinggi diri. Ingat asal-usul kita. Kita orang susah. Bila kita ada ilmu dan senang sikit, mesti tolong orang. Ilmu ni cu… jangan kedekut. Kedekut ilmu, berkat hidup hilang. Ilmu itu penyuluh. Ilmu itu penunjuk jalan. Tak berilmu kita lalu jalan gelap. Berilmu kita ada arah tuju. Kita kena murah hati. Orang susah kita tolong. Orang miskin jangan dihina”.
 
Pesanan di atas kalau kita semua ambil iktibar sudah tentulah dunia ini akan aman dan tiada kemusnahan.

***************************************************************************** 
 
Yang pasti, setelah menutup helaian terakhir ini saya terus terdorong untuk membaiki diri bagi menuju redha Allah SWT. Walaupun kehidupan saya tidaklah sesusah beliau, ada ruang-ruang ujian dan dugaan hidup yang memerlukan sifat sabar dan cekal untuk menanggung dan menghadapinya. Saya suka membaca kisah-kisah tokoh-tokoh yang telah berjaya, kerana terselit seribu pengajaran untuk pembangunan diri saya.
 
Pada hemat saya kehidupan yang berlaku pada setiap manusia terdapat hikmah dan pengajaran yang boleh kita jadikan pengajaran dan dorongan untuk bangkit membina diri. Melalui pengalaman Dr. Sidek ini telah saya pecahkan perbincangan kepada pentingnya pengorbanan untuk mengecapi perubahan; kecekalan dan keazaman untuk mencapai kejayaan dan kasih sayang sesama insan.
Di sini saya ingin mencadangkan pendidik-pendidik, bakal pendidik, dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan agar membaca buku ini. Pengalaman Dr. Sidek sedikit sebanyak menyedarkan bahawa pendidik bukan berfungsi untuk mengajar pelajar yang telah pandai. Sebaliknya, pendidik berperanan mengajar setiap pelajar yang ada di dalam kelas.  Pelajar yang sedikit terkebelakang di dalam memahami pelajaran tidak harus ditinggalkan begitu sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab seorang pendidik untuk membimbing pelajar itu mengikut tahap pelajar tersebut. Itulah sebenarnya dikatakan seseorang pendidik itu merupakan pendidik yang baik, bukan sekadar mengajar tetapi membimbing.

 
 Sekian, selamat membaca.

 
Hisyam Che Mat
Mill Park, Vic


Rujukan:


Baba, S. (2007). Seteguh tekad. Shah Alam: Alaf 21 Sendirian Berhad.
Noor, I. (2004). Kepimpinan nabi Muhammad s.a.w: Model ikutan sepanjang  masa pengurusan altruistik: Perbandingan-silang dengan kepimpinan dan pengurusan semasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors
Redzuan, M., & Munji, S. H. (1990). Pengantar psikologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Syed Zakaria, S. A. (2005). Panduan dan strategi motivasi diri. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors 

Tanggungjawab Kita





Jangan salahkan individu di atas, dia memang seorang yang jahil tentang Islam. Maka menjadi tanggungjawab kitalah sebagai umat Islam untuk mendekati golongan sebegini dan seterusnya menunjukkan (bukan menunjuk-nunjuk) atau menzahirkan akhlak dan peribadi Muslim yang terbaik di samping memberi kefahaman terhadap nilai Islam yang sebenar. Kejahilanlah yang menyebabkan mereka ini menentang Islam, mereka tidak faham akan kesucian Islam. Menjadi lebih parah lagi apabila umat Islam sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai Muslim sejati hingga  agama suci ini terpalit dek 'kebusukan' akhlak umatnya sendiri. 

Kalau diimbas kembali sejarah di zaman Rasulullah S.A.W mula menyebarkan ajaran Islam secara terang-terangan dahulu, Saidina Umar al-Khattab pula kuat mempertahankan ajaran turun temurun masyarakatnya. Beliaulah yang paling keras menentang Islam pada ketika itu. Namun dengan hidayah yang Allah kurniakan kepada beliau, akhirnya beliau memeluk Islam dan berjanji pula untuk melindungi Islam sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.  Kisah seterusnya tentang sahabat Rasulullah S.A.W yang dijamin masuk syurga ini ada di sini.


Daniel Streich, seorang ahli politik di sebuah negara Eropah sangat terkenal dengan kekerasannya di dalam kempen menentang pembinaan masjid di negaranya, namun hidayah Allah hadir bersamanya di mana tanpa disangka-sangka beliau telah memeluk agama Islam. Selepas pengislamannya, beliau pula aktif memperjuangkan hak pembinaan masjid di negaranya. Kisah pengislaman Streich ada di sini.

Kisah Shive Prasad yang berasal dari Faisabad, daerah di mana terletaknya masjid Babri di India turut menyentuh rasa di awal pengislamannya. Prasad merupakan antara dalang utama di sebalik runtuh dan musnahnya Masjid Babri. Beliau hidup penuh kegelisahan selepas peristiwa meruntuhkan masjid tersebut. Namun kegelisahannya berakhir berkat hidayah Allah swt. Alhamdulillah... ketenangan yang dicari beliau perolehi selepas memeluk Islam. Kisah runtuhnya masjid umat Islam di India dan kisah Prasad memeluk Islam atau nama Islamnya Mohammed Mustafa ada di sini.

Banyak lagi kisah-kisah menarik yang berlaku kepada penentang-penentang Islam yang kemudiannya dikurniakan Allah dengan hidayahNya untuk memeluk Islam. Maka tugas kitalah umat Islam untuk sama-sama mendekati mereka dan menzahirkan akhlak yang terpuji. Di samping kita berdakwah (berusaha), kita berdoa kerana Allah berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya. Wallahu'aklam.



Thursday 7 February 2013

Mengubah Kehidupan

Temujanji & Taklimat

Awal pagi tadi saya dan Jeff (supervisor PhD) ada temujanji dengan sekumpulan guru-guru Pendidikan Jasmani dari sebuah persatuan sukan sekolah pendidikan khas Utara Melbourne. Ianya berkaitan dengan taklimat untuk pengumpulan data bagi kumpulan pertama guru-guru dengan menggunakan kaedah focus group interview. Kami tiba lebih awal dari yang dijanjikan. 

Guru-guru yang hadir ingin mendengar sendiri apakah sebenarnya yang ingin kami cari dari kajian yang akan dijalankan nanti. Alhamdulillah... taklimat berjalan lancar dan majoriti daripada mereka bersetuju untuk ditemubual di masa yang akan ditetapkan kemudian dan seterusnya menandatangani & memulangkan consent form yang diberikan. 


Perjalanan Yang Panjang Terasa Singkat

Ascot Vale Special School terletak kira-kira 30km dari RMIT Bundoora. Alhamdulillah sekali lagi Jeff sudi menumpangkan saya untuk ke lokasi temujanji pagi tadi . Perjalanan kami mengambil masa sekitar 30 minit.

Kami bersembang  tentang banyak perkara. Sembang kami berkisar tentang isu-isu ilmiah, suasana politik semasa, lokasi pelancongan menarik hinggalah ke kisah kehidupan.

Jeff menceritakan pengalaman beliau ketika belajar dahulu. Beliau menceritakan pengalaman merantau di samping 'mengangkut' bersama anak-anak dan isteri untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana dan PhD di USA. Banyak jugalah tips-tips yang beliau kongsikan bersama saya.

Teringat juga kata-kata Jeff pagi tadi setelah saya menceritakan tentang sejarah kehidupan saya. Kata Jeff kepada saya, "Hanya pendidikan yang boleh mengubah nasib seseorang manusia!". Beliau juga dilahirkan dari keluarga yang kurang berada, dan dengan pendidikan jugalah beliau mampu untuk mengubah nasih keluarga dan keluar dari kepompong kemiskinan. Dengan pendidikan jugalah dia mampu untuk terbang ke sana sini untuk melihat negara orang. Dengan pendidikan jugalah dia belajar erti kehidupan. Namun kalaulah Jeff seorang Muslim, pasti lebih indah kalau ditambah lagi... 'dengan izin Allah semuanya berlaku'.

Saya pula menceritakan tentang negara luar yang pernah saya kunjungi selain Australia. Sesuatu yang amat menarik & mengejutkan saya apabila Jeff amat berminat tentang sebuah tempat yang pernah saya jejaki iaitu Kota Suci Mekah. Beliau tahu tentang kaabah, beliau tahu tentang mengerjakan haji dan dia cukup takjub dengan Tanah Haram terutama sekali kaabah dan sekelilingnya di mana waktu umat Islam tawaf dan solat berjemaah. MasyaAllah...


InsyaAllah akan saya ceritakan lagi tentang kesucian Islam kepada Jeff seperti yang pernah saya lakukan kepada Andrew Brookes (supervisor di peringkat sarjana). Saya masih punya masa yang panjang. Semoga beliau dan kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah. InsyaAllah...

Wednesday 6 February 2013

Air Tangan Mama

Memang benar air tangan ibu mempunyai keberkatannya yang tersendiri. Majoriti yang ditanya pasti akan memperakui bahawa air tangan ibu sendirilah antara yang tersedap dan terlazat di dunia. Ianya pasti tidak dapat ditandingi oleh chef-chef yang ternama dari seluruh dunia. Dengan air tangan ibu jualah, anak-anak akan sentiasa mengingati ibu mereka dan fikiran sentiasa teringatkan kampung halaman dan ingin pulang menjenguk kedua ibu ayah walaupun sudah bersuami isteri dan sibuk dengan kerjaya.

Saya bersyukur kerana dikurniakan isteri yang memang suka dan pandai memasak. Saya rasa mungkin ianya diwarisi daripada Mak Bibah  yang sememangnya pandai memasak. Saya pula hanya pandai makan dan jarang untuk komen. Segala yang dimasak pasti akan saya makan, segalanya sedap belaka.

Kekangan masa pada hari bekerja menyebabkan aktiviti 'berasap' di dapur kerapkali berlaku hanyalah di hujung minggu dan  hari cuti sahaja. Dari hari Isnin hingga Jumaat, seawal jam 6.30 pagi Liza sudah bersedia untuk ke tempat kerja dan sampai di rumah pula ketika Maghrib hampir menjelang. Keletihan menghalang aktiviti memasak berlangsung.

Itu dulu...Penghijrahan kami ke Melbourne telah mengubah segalanya. Kini...Tiada lagi makanan pagi hingga ke malam dari kedai-kedai atau warung tepi jalan. Banyak masa yang terluang diperuntukkan oleh Liza untuk di dapur. Maka banyaklah resepi-resepi baru yang dicari dan dipraktiskan. Anak-anak mula meminta untuk makan itu dan ini. Semuanya cuba Liza layan. Sarapan pagi disiapkan dari rumah hinggalah ke makan malam.

Alhamdulillah penghijrahan ini banyak segala hikmahnya. Anak-anak dapat merasa hampir 80%  hasil air tangan mama mereka sendiri. Saya hanya menumpang tuah ini dan sangat mensyukuri akan nikmat ini. Tiada lagi air tangan mamak dan makcik pakcik dari restoran dan kedai tepi jalan. Apa yang hendak dimakan pasti mama mereka akan cuba sediakan. Terima kasih sayang...

Saksikanlah sebahagian dari air tangan mama Liza...




 




Tuesday 5 February 2013

Mencari Emas di Sovereign Hill


Salah satu lokasi yang menarik untuk dilawati sekiranya anda melancong ke Melbourne adalah ke perkampungan bersejarah bertempat di Sovereign Hill, Ballarat. Perjalanan untuk ke perkampungan tersebut mengambil masa hanyalah sekitar 1 jam 30 minit sahaja dari bandaraya Melbourne. Kesibukan bandaraya Melbourne akan segera dilupakan kerana anda akan dihidangkan dengan ladang-ladang ternakan dan ladang-ladang buah-buahan yang indah saujana mata memandang di sepanjang perjalanan.

Sovereign Hill merupakan gambaran Ballarat sekitar 10 tahun selepas penemuan emas pada tahun 1851. Di perkampungan seluas 25 hektar ini dibangunkan semula hampir 60 bangunan dan fasiliti bagi menggambarkan semula kehidupan masyarakat di era tersebut. Perkampungan ini merupakan muzium terbuka yang terulung dan terbaik bagi sejarah di Australia.


Di Sovereign Hill juga pengunjung boleh melihat sendiri jongkong emas yang baru dikeluarkan daripada acuannya yang bernilai lebih A$100,000. Di sini juga pengunjung berpeluang membeli belah dalam suasana era 1850-an dan melawat hotel-hotel, sekolah-sekolah, kilang-kilang, dan menyaksikan persembahan teater dari penggiat/penghibur dari pengkisahan ala-ala zaman pelombongan dahulu. Balai bomba dan perkhidmatan pos pun ada. Di sebalik kesibukan kehidupan di perkampungan tersebut, kehadiran kereta kuda yang lalu-lalang menampakkan lagi suasana zaman dulu-dulu dan menambah tarikan dan seri di situ.


Menariknya lagi di sepanjang pengembaraan kami di perkampungan tersebut, kami bersua dengan para pekerja dan sukarelawan yang mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan era 1850-an. Mereka ini memainkan peranan utama untuk menghidupkan lagi suasana kehidupan di zaman tersebut. Pastinya pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang sememangnya telah bersedia untuk diambil gambar dan bergambar. Sesungguhnya mereka ini murah dengan senyuman dan seperti tak mengenal erti lelah biarpun seharian bertukar-tukar pakaian yang bersesuaian dengan beberapa watak yang berbeza untuk 'menghiburkan' pengunjung.


Kunjungan di sini dirasakan sekejap sahaja walaupun seharian suntuk kami di sini. Rasanya seperti belum puas apabila kaki melangkah keluar dari muzium terbuka ini. InsyaAllah akan ke sini lagi dengan tetamu dari Malaysia yang lain pula untuk berkongsi keseronokan muzium terbuka Sovereign Hill. Muzium sebegini sepatutnya dibuka di tanahair kerana kita punya sejarah yang lebih panjang dan berwarna warni berbanding Australia. Muzium sebegini dapat menggalakkan generasi muda untuk lebih mengenali dan mendekati sejarah tanahair sendiri dan menanamkan perasaan cintakan tanahair sendiri walau di mana berada.

Friday 1 February 2013

Di Mana Silapnya?

Saya pun tak pasti akan sebab musababnya. Kebanyakan daripada yang ditanya di kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran di RMIT Uni akan mengatakan mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia. Ibu bapa dan guru-guru yang saya sapa saban hari samada di sekolah Kamilia dan Kamil serta Kinder Kaisara juga tidak pernah sesekali sampai ke Malaysia. Ada di kalangan mereka yang sudah lebih berdozen kali berkunjung ke negara jiran kita, Singapore, Indonesia dan Thailand berbanding ke Malaysia. Aduhai... kenapa ini semua berlaku. Kenapa Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara yang diidamkan untuk mereka datang bercuti. Tak cukup lagikah AIRASIA yang menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang murah untuk membawa mereka ke sini.

Saya tertanya-tanya juga di dalam hati, apakah kurangnya negara kita berbanding negara jiran yang kerap mereka kunjungi itu. Kita punya lokasi-lokasi pulau dan pantai antara yang terindah di dunia [pasirnya yang putih ditambah pula airnya yang membiru jernih hingga kelihatan ke dasar], bangunan hasil peninggalan penjajah di Melaka dan Pulau Pinang juga tidak kurang hebatnya, bangunan-bangunan serba moden lagi canggih di Kuala Lumpur dan Putrajaya, hutan-hutan, gunung ganang, tasik-tasik, paya-paya, sungai-sungai dan macam-macam lagi sumber rekreasi yang maha hebat lagi indah. Subhanallah...

Namun ini semua nampaknya gagal menarik rakyat Down Under ini daripada mengunjungi Malaysia tercinta. Adakah ianya disebabkan kegagalan promosi yang yang dijalankan oleh Tourism Malaysia? Adakah promosi yang dijalankan masih belum cukup dan hanya dibuat sambil lewa sahaja? Wallahu'aklam

Namun sebagai 'duta kecil' negara, saya gunakan peluang ini untuk menarik mereka untuk berkunjung ke tanahair. Saya ceritakan tentang segala jenis keindahan alam semulajadi ciptaan Allah yang boleh mereka saksikan di Malaysia. Saya tokok tambah lagi dengan kesedapan juadah yang pelbagai dari utara hingga ke selatan, barat hingga ke timur, dari semenanjung hinggalah ke Sabah Sarawak. Terlalu banyak kehebatan negara kita yang akan dapat mereka saksikan di sepanjang kunjungan mereka. Kunjungan mereka nanti akan menjadi suatu mimpi indah yang pasti tidak akan mereka lupakan. Hanya itu yang mampu saya lakukan.

Teringat ketika belajar di Bendigo pada tahun 2007. Saya telah menggunakan peluang yang diberikan oleh supervisor saya untuk membentangkan tentang keunikan dan keindahan Gunung Kinabalu kepada pelajar-pelajar dan staf akademik di School of Outdoor and Environmental Education, Latrobe Uni . Kesemua yang hadir belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia. Alhamdulillah, daripada foto dan perkongsiaan pengalaman di Sabah yang saya khabarkan telah membuatkan mereka cukup teruja dengan keindahan dan keunikan Kinabalu dan menanam azam untuk berkunjung ke negeri di Bawah Bayu  serta seterusnya mendaki Gunung Kinabalu. Coretan tersebut ada di sini.