Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 16 September 2010

'Dia' Muncul Lagi

10 tahun lepas 'dia' pernah muncul betul-betul di hadapan Dr Anuar ketika kami berdua meninjau di hutan belakang Gimnasium FSR untuk dijadikan Kawasan Rekreasi Universiti (KRU). Doc tak perasan dengan kemunculan 'si-dia'. Sebabnya Doc hanya berjalan menonong ja meredah belukar ketika sesi tinjauan. Bila saya dah ternampak si-dia, spontan saya menjerit nama Doc. Tanpa banyak bertanya, Doc terus cabut. Lari tak cukup tanah. Apabila Doc dah hampir dengan saya, terus saya bertanya samada Doc tahu sebab musabab saya menjerit namanya tadi. Doc hanya menggeleng kepala. Saya tunjukkan puncanya saya menjerit tadi. 'Si-dia' masih 'berdiri' di situ, sambil menunjukkan dirinya. Ya Allah... Doc hanya mampu menarik nafas lega... sesungguhnya Doc bernasib baik kali ini. Kalau tak dah tentu Doc akan disemburnya. Kami batalkan niat untuk terus meninjau kawasan itu. Cukuplah 'si-dia' dah tunjukkan diri yang 'dia' ada di situ. Di situ sarang dan kawasan permainannya. Jadi jangan diganggu.

10 tahun telah berlalu, kenangan itu masih lagi saya ingat dan tak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Semalam saya ke kubur ayahanda mertua, arwah Ali Wee bin Abdullah. Raya ke-5 baru dapat menziarahi kubur arwah di Kg Gelam, Melaka kerana raya tahun ni kami sekeluarga beraya di Kulim. Seperti kebiasaannya, kalau Liza tak dapat ke kubur, Kamil lah yang akan menjadi peneman. Anak-anak ni kena diajar dari kecil untuk menziarahi kubur. Kalau tak.... nanti bila kita dah tak ada, tak reti pula dia nak menziarahi pusara kita. Maka tertunggulah kita di 'sana'... bilalah anak-anak, menantu dan cucu yang tak kunjung tiba.

Kawasan perkuburan ternyata sunyi dan mendamaikan. Tiada kelibat orang lain yang menziarahi pusara di situ. Iya lah... dah masuk hari ke-5. Kebanyakan orang dah ada agenda tersendiri sempena raya ni. Selalunya pun hari pertama rayalah paling ramai orang yang menziarahi kubur saudara mara yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkan kita.

Saya ajar Kamil untuk memberi salam kepada 'warga' kubur. Kamil bertanya,"Orang mati pun boleh dengar dan balas salam ka papa?". "Kalau depa semua jawab kuat-kuat, Kamil lari kot", balas saya. Kamil hanya tersengih. Diam, mungkin takut dengan jawapan saya.

Alhamdulillah, tak susah untuk saya cari pusara ayah mertua. Saya tumpang duduk di atas simen yang telah dipasang marmar betul-betul di sebeluh kubur arwah ayah mertua dengan beralaskan plastik hitam. Kamil macam cuak semacam ja. Dia duduk rapat-rapat di sebelah kiri saya. Dek kerana saya tengok keadaannya yang kurang selesa, saya suruh dia alihkan tempat duduknya di sebelah kanan saya. Kamil patuh.

Saya memulakan bacaan Surah Yaasiin yang dibawa. Saya baca dengan senyaring mungkin bagi mengisi kesunyian di kawasan pusara. Saya dapat menjeling keadaan Kamil yang agak tidak selesa. Saya nampak dia cuba menenangkan dirinya dengan mengambil bunga di hadapannya untuk dibuat mainan bagi menghilangkan kebosanan.

Saya semakin menghampiri ke penghabisan Surah Yaasiin, sehinggalah saya terhenti apabila Kamil menjerit ...! Saya pandang ke arah yang ditunjukkan Kamil. Dengan jelas saya nampak 'si-dia' muncul dan 'berdiri' betul-betul di sebelah Kamil. Jaraknya cuma 2-3 jengkal sahaja daripada Kamil. Secara spontan saya menjerit Allahu Akbar sambil menarik tangan Kamil dan mengheret Kamil yang dah tak mampu bergerak dek kerana terkejut. Kamil menangis terkejut. Capal yang saya pakai sebelumnya tertanggal dan tertinggal semasa menarik dan mengheret Kamil untuk menyelamatkan diri. Plastik hitam yang saya jadikan alas duduk pun tertinggal dan diserbu 'si-dia'.

Saya berjalan menuju ke pagar sambil mata cuba memandang ke arah 'si-dia'. Saya tak nampak lagi 'si-dia' selepas itu... tetapi yang saya nampak hanyalah sebuah lubang yang agak besar di bawah simen bermarmar 'jiran' kubur arwah ayah mertua yang saya tumpang duduk tadi. Mungkin saya menggangggu tidur lenanya di awal pagi dengan suara nyaring saya hingga 'dia' keluar untuk memberi amaran dan memaklumkan tentang kewujudannya di situ.

Walau bagaimanapun saya bersyukur kehadrat Allah subhanahu wata'ala kerana masih lagi dikurniakan dengup jantung untuk beribadat kepada-Nya. Walaupun Kamil trauma dek kemunculan 'si-dia', namun saya akan terus membawa Kamil ke pusara atuk-atuk, nenek dan mak saudaranya di masa akan datang.

Nota: Terima kasih di atas ingatan tulus ikhlas, ucapan dan doa penjenguk-penjenguk sekalian dan penghantar-penghantar SMS serta panggilan telefon rakan-rakan sekalian sempena Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

Foto 'si-dia' sekadar hiasan.

Tuesday 7 September 2010

Partiban Kembali Tersenyum

Dah lama dah dia tak melawat ke tempat-tempat rekreasi. Selepas kejadian pada tahun 2007 yang lalu dia langsung tidak mempunyai peluang untuk berekreasi seperti yang selalunya. Pada hari kejadian, beliau yang sedang bertugas sebagai Penyelia Keselamatan memesan makanan daripada kawannya yang mahu ke kedai mamak untuk membeli makanan. Kawannya membawa pulang nasi berlaukkan kari kambing. Dia tahu dia tak boleh 'mencari nahas' dengan menjamah lauk yang memang menjadi kegemarannya. Dia terpaksa 'mengharamkan' daging kambing daripada dijamah olehnya. Semuanya gara-gara beberapa tahun sebelumnya dia telah diserang penyakit darah tinggi yang kritikal. Jadi doktor nasihatkannya untuk menjauhi beberapa jenis makanan dan mengamalkan cara hidup sihat dengan aktif beriadah.

Malam itu Partiban hanya menjamah nasi berlaukkan kuah kari kambing. Dagingnya langsung tak disentuh dek kerana patuh kepada nasihat doktor. Partiban tidur seperti biasa selepas selesai bertugas. Namun sesuatu yang tak disangka berlaku kepadanya. Dia tersedar daripada tidur, tapi kali ini dalam keadaan yang berbeza. Dia tak boleh mengangkat badan. Kaki dan tangannya langsung tak boleh digerakkan. Mulutnya senget dan tak boleh digerakkan. Peti suaranya tak mampu menghasilkan bunyi suara seperti kebiasaannya. Partiban merasakan seperti dia berada di dunia asing. Apa yang perlu dia lakukan sekarang. Akalnya buntu dan mati. Tak tahu apa yang perlu dilakukan. Nasib baiklah ada kawan yang perasan dengan keadaannya dan segera membawanya ke hospital.

Kesannya Partiban telah lumpuh. Mulutnya herot. Darah tingginya menyerang secara tiba-tiba. Itulah penangannya kerana mengambil mudah akan pesan doktor. Sesal kemudian sudah tidak berguna.

Partiban terpaksa dibantu kehidupan sehariannya. Dia hilang segala kehidupan sebelumnya. Dia hilang pekerjaan. Dia terpaksa tinggal di Pusat Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU). Dek bantuan pelajar-pelajar daripada kolej swasta yang tidak jemu-jemu mengajarnya untuk bersenam dan terapi, kini Partiban sudah boleh bertutur kembali (masih kurang lancar) dan menggerakkan anggota sebelah kanan badannya.

Selepas bertahun-tahun menanti akhirnya Partiban mampu menarik nafas lega apabila ada sekumpulan pelajar daripada UiTM yang sudi membawanya dan rakan-rakan daripada Pusat Jagaan OKU Rawang melawat dan melakukan aktiviti rekreasi luar di Zoo Negara. Lokasi ini pernah dilawatinya suatu ketika dahulu ketika dia masih sihat. Tidak termimpi olehnya setelah hampir 4 tahun lumpuh, kini dia masih boleh kembali berekreasi. Semuanya kerana adanya sekelompok insan yang prihatin. Itulah ucapan penghargaan dan syukur yang Partiban luahkan ketika sesi penutup program UiTM bersama OKU tempohari. Dia begitu terharu dengan pengorbanan siswa-siswi UiTM yang majoritinya Melayu Islam yang sudi membawa mereka yang majoritinya India ketika di dalam bulan Puasa ini untuk berekreasi di Zoo Negara. Berulangkali dia luahkan penghargaan yang tidak terhingga di dalam ucapannya.

Saya harapkan anda juga begitu. Bantu ketika boleh membantu. Partiban sudah tahu nasibnya. Kita belum tahu. Partiban normal sebelumnya dan punya hidup dan kerjaya sendiri. Allah tarik sebentar nikmat yang dia kurniakan kepada Partiban dan kini Partiban memerlukan bantuan dan sokongan orang dek kerana dia telah dikategorikan sebagai OKU. Sama-samalah kita membantu kepada yang memerlukan.

Foto-foto sekitar program UiTM bersama OKU









Monday 6 September 2010

Salam Eidul Fitri 1431H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri Minal Aidil Wal Fa'izin dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita.

Kepada yang akan memandu kenderaan pulang ke kampung halaman, saya harapkan agar sama-samalah kita berhati-hati di jalan raya. Semoga penjenguk-penjenguk sekalian selamat pulang ke kampung halaman berhari raya bersama kaum keluarga dan sanak saudara tercinta dan seterusnya selamat kembali ke tempat bertugas.

MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Sunday 5 September 2010

Qathrunnada - Cinta Agung



Lagu di atas cukup menenangkan saya terutama ketika di saat gusar dan dilanda kecelaruan minda. Bait-bait lirik yang begitu mendalam maknanya dapat mengingatkan kita tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat yang telah dikurniakannya kepada kita hinggakan adakalanya kita terleka dan alpa.

Ketika berhempas pulas menyiapkan penulisan projek di peringkat sarjana beberapa tahun yang lalu, lagu ini menjadi peneman saya di setiap hari. Samada di waktu malam yang hening sehinggalah ke permulaan pagi saya sebelum ke uni. Alhamdulillah dek kerana meresapnya 'aura' lagu ini ke dalam diri ini, saya menjadi kuat untuk menempuh rintangan di dalam menyiapkan projek yang saya sendiri rasakan terlalu berat untuk diselesaikan. Hanya kepada Allah saya mengadu setiap hari untuk membantu mempermudahkan kerja buat saya ketika di sana.

Kepulangan Liza dan anak-anak ke Malaysia ketika saya di saat 'kritikal' dan memerlukan sokongan mereka amat menekan jiwa ini. Saya kesepian. Tambahan pula tiada teman untuk berbicara kerana tuan tumah (Bro Heri) juga telah pulang bercuti di Indonesia. Maka tinggalkan saya seorang diri tanpa ada teman selama hampir 2 bulan di rumah besar yang disewa.

Lagu ini saya laungkan hampir setiap hari. Masa banyak diisi di malam hari dan awal paginya dengan solat wajib dan sunat serta bacaan Yaasiin. Itulah rutin hampir setiap hari selain berjalan ke uni untuk 'mengadap' penyelia projek dan ke library.

Sudah tentulah sehingga kini saya masih tidak akan dapat melupakan saat tekanan ketika di peringkat ingin menyiapkan penulisan projek tersebut. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan.

Kini saya menghitung hari untuk cabaran seterusnya. Bilakah agaknya cabaran baru akan bermula? Saya jangkakan masanya semakin hampir. Saya yakin saya dapat rasakannya kini!

Kepada penjenguk-penjenguk sekalian sama-samalah kita membuat pilihan yang mana satu menjadi idaman, samada cinta agung yang membahagiakan hati ataupun cinta dunia yang meresahkan.

Nota: Jangan salah faham, saya bukan pengikut Al-Arqam... tetapi cuma meminati lagu-lagu nasyid yang mereka perdendangkan.

Friday 3 September 2010

Kerja Kosong: Pendemonstrasi Profesional Diperlukan

Memang melampau. Bendera negara kita dilumur telur busuk, dibakar dan dicampak pula najis ke kedutaan kita. Apa jenis orang la depa ni. Tak reti nak hormat kedaulatan negara lain langsung. Sepatutnya di bulan yang penuh berkat ini akan menjadikan manusia lebih sabar, lebih memaafkan dan bertolak ansur. Namun lain pula yang berlaku di negara seberang tu. Mereka lebih banyak beremosi daripada memikirkan secara rasional kesan tindakan mereka terhadap hubungan dua hala yang telah lama terjalin. Katanya kita serumpun, jadi kenalah berbincang kalau ada masalah. Jangan asyik nak salahkan orang ja, macam 'dia' saja yang betul.

Biarlah pemimpin antara dua negara yang berbincang. Ini dah jadi hero la pulak. Kononnya nak mempertahankan 'kehormatan' negara mereka yang dah tercabul. Tak tahu hujung pangkal apa yang berlaku di perairan negara, dah sibuk-sibuk nak menghentam negara lain. Dah tentu daripada laporan akhbar katanya nelayan kita tu dan peronda di perairan kita ada GPS dan tahu lokasi mereka, jadi apa ceritanya!. Terima ajalah kenyataannya kalau dah buat salah tertangkap orang kita dan ditangkap oleh peronda kita. Ini tak dia juga yang betul. Ganyang Malaysia! Malingsia!. Terus betul dia kutuk kita macam kita takdak hati dan perasaan.

Saya rasakan bapa-bapa pendemonstrasi tu dah dapat upah da. Habis macamana hang nak hidup pun susah. Ada hati juga nak bakar sana bakar sini. Baik pergi kerja lagi baik daripada dok berdemonstrasi sampai berhari-hari. Ya tak ya juga ini pun satu peluang pekerjaan baru di negara depa kot. Pendemonstrasi Profesional!

Mana depa dapat duit nak beli bendera Malaysia tu dan mancis atau lighter. nak makan pun susah. Tentu ada orang sponsor tu. Iyalah... lebih baik depa beli beras bagi anak bini makan atau kalau duit terlebih sedekahkan aja duit yang depa beli bendera atau kain dan cat untuk dibuat bendera tu kepada orang miskin dan papa kedana kat sana tu. Geram betul la! Dah lama simpan ni.

Apala 'adik beradik' pun nak gaduh!. Raya dah dekat ni, sepatutnya bermaaf-maafan. Lain takdak depa nak tunjuk paling kuat, bengkeng, kahaq, samseng, gedebe. Nak tunjuk terror dan macam-macam lagi. Memangla rakyat dia ramai, kalau asyik nak bergaduh dan taknak berdamai, sampai bila nak maju.

Rakyat dia pun ramai kat sini. Yang berdaftar 2 juta dan yang tak berdaftar... berjuta-juta la kot nooo. Itupun ada hati nak suruh balik kesemuanya ke negara depa. Apa depa nak bagi kerja ka kat rakyat depa yang balik tu. Negara kita yang dah aman makmur, tempat yang terbaik untuk rakyat depa mencari rezeki pun depa tak hormat. Habis camna. Bawak balik aja la. Bawak mai depa punya kapal-kap tentera laut atau bawak kesemua tongkang-tongkang yang terdapat di negara depa tu untuk mengangkut kesemua berjuta-juta rakyat depa yang dah beranak pinak di sini. Silap-silap rakyat dia sendiri yang taknak pulang. Habis dah seronok jadi orang Key Yel.

Sabarlah jiran ku. Jangan diikutkan sangat perasaan marah tu. Biar pemimpin yang telah kita lantik tu yang selesaikan secara diplomatik. Tak payah kita nak sibuk. Janganlah dikeruhkan hubungan erat yang memang telah lama tok nenek kita dok jaga tu. Tak ke mananya kita. Barat akan mentertawakan kita.