Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 28 November 2008

Puteri

Alhamdulillah, Liza selamat melahirkan bayi perempuan. Bayi seberat 3.22 kilogram ketika dilahirkan itu merupakan zuriat ketiga kami selamat dilahirkan melalui pembedahan caesarean pada pukul 10.28 pagi tadi. Terima kasih di atas doa dan sokongan keluarga dan rakan-rakan sekalian.

Sedih dan Gembira

Liza tak boleh tidur semalaman. Katanya sakit-sakit badan. Kemudian mengadu pula yang saya tidur berdengkur. Jam 4 pagi sekali lagi saya dikejutkan katanya lapar pulak. Saya tak layan. Seorang diri Liza turun ke bawah. Jam 5 pagi Liza mengacau saya lagi. Tapi kali ini saya bangun. Air ketuban dah pecah!

Kelam kabut jugak saya dibuatnya. Dah janji dengan baby dalam perut supaya keluar hari Isnin depan. Namun perancangan Allah lebih muktamad. Manusia hanya mampu merancang.
Saya terus capai sejadah dan solat Subuh dan berdoa. Ya Allah, waktu belum masuk lagi. Itulah penangan kelam kabut nak sambut cahaya mata ketiga. Keluar lebih awal dari temujanji asal.

Semasa dalam perjalanan ke hospital, air mata mengalir sambil mendengarkan Zikir Munajat yang dialunkan di corong radio. Zikir tersebut dialunkan dengan penuh kesyahduan. Saya sekeluarga turut mengalunkan zikir tersebut. Namun di sudut hati saya sedih mengenangkan sesuatu untuk kesekian kalinya. Kalaulah arwah mak dan abah masih ada, sudah tentulah mereka akan turut bergembira menyambut kedatangan cucu mereka yang ke 6 [Nota: Kakak saya dah ada 3 anak]. Namun apakan daya, ketentuan Allah telah menetapkan yang saya anak yatim piatu ketika usia 17 tahun.

Ya Allah, Engkau limpahkanlah rahmat-Mu ke atas roh kedua ibubapaku. Tempatkanlah kedua mereka di kalangan orang-orang yang beriman. Ya Allah, Engkau kasihanilah kedua ibu dan bapaku. Kasihanilah mereka Ya Allah, sebagaimana mereka mengasihani dan mendidikku ketika aku masih kecil. Ya, Allah, Engkau ampunilah dosa mereka dan jauhilah keduanya daripada api neraka mu. Amin Ya Rabbal 'alamin.

Thursday 27 November 2008

Terus Berkembang

Insyaallah sekiranya tiada aral melintang, FSR akan mempunyai 4 program baru menjelang pertengahan 2010. FSR kini tidak boleh ke belakang lagi. Kepada 'sesiapa' yang tak dapat mengejar kepesatan program FSR ini sudah tentulah akan terus keciciran. Minda lama seperti hanya menunggu dan bersyukur dengan apa yang ada sebenarnya tidak boleh wujud lagi di kalangan warga kerja akademik FSR. Kita perlu mengorak langkah dan menyingsing lengan untuk kemajuan FSR khususnya dan UiTM amnya.

Setakat hari ini kesemua Setiausaha Program Baru sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan segala tugas yang melibatkan pengumpulan silibus kursus dan menggiatkan hubungan dan jaringan dengan industri. Antara program baru yang akan dibentuk oleh FSR adalah seperti Sarjana Muda Sains Sukan (kepujian) (Teknologi Kecergasan), (Sukan Pelancongan), (Pengajian Rekreasi) dan (Pengajian Ekuin).

Salah satu daripada program akademik yang unik dan baru di Malaysia adalah Sarjana Muda Sains Sukan (kepujian)(Pengajian Ekuin). Saya begitu teruja apabila mendengar taklimat daripada Cik Maizan, setiausaha program baru tersebut sebentar tadi. Program akademik pada peringkat sarjana muda ini rupa-rupanya hanya ditawarkan di universiti-universiti di Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia. UiTM akan menjadi pelopor untuk program sedemikian di rantau Asia Tenggara atau boleh juga dikatakan pelopor di rantau Asia sekiranya tidak termasuk negara Australia dan New Zealand.

Pada peringkat permulaannya, saya menyangkakan program sebegini akan kurang mendapat sambutan. Ini kerana pada sangkaan saya kurangnya peluang pekerjaan di dalam bidang ini. Selain itu juga, budaya dan aktiviti sukan berkuda ini masih terlalu baru di kalangan masyarakat di negara kita. Namun selepas beberapa sesi perjumpaan dengan pakar dari Majlis Ekuin Malaysia, Dato'Malik Jeremiah (Presiden) dan pakar akademik berkaitan ekuin dari Australia, Mr Christopher Watson barulah saya dapat menilai bahawa peluang untuk pengajian ekuin ini memang cukup luas. Kini barulah saya sedia maklum bahawa di Malaysia sahaja kita mempunyai 150 pusat equestrian. Boleh dikatakan kebanyakan pusat equestrian ini tidak mempunyai pekerja yang mempunyai kelulusan akademik dari bidang yang berkaitan dengan ekuin.

Maka masih belum terlambatlah untuk FSR menawarkan sebuah program yang unik dan boleh dikatakan futuristik di negara ini. Ini kerana Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menggalakkan umatnya bergiat dalam sukan berkuda dan memanah. Bahkan ! Berkuda ini adalah kesukaan Nabi junjungan kita semua.

Peluang Belajar dan Ditaja

Hari minggu lepas saya terbaca dalam sebuah akhbar tentang tawaran Skim Latihan Akademik untuk tahun 2009 yang ditawarkan oleh Universiti Malaya. Mereka yang berjaya akan ditaja untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana atau Ijazah Kedoktoran(PhD). Kalau sesiapa yang berminat untuk memohon bidang yang berkaitan terutama sekali Rekreasi Luar dan Sains Sukan bolehlah melawati laman sesawang yang saya sertakan di sini.

Gunakanlah peluang ini untuk menambahkan ilmu dan ditaja lagi tu. Untung-untung dapat menjelajah ke negara orang. Cuba-cubalah kepada yang layak.

Wednesday 26 November 2008

Masuk Berpakej, Keluar Berkelompok

Itulah yang terjadi kepada PERLU sejak dua menjak ini. Ada yang masuk kerana menuruti kawan dan seterusnya keluar apabila kawan yang dituruti tadi keluar atau tidak aktif lagi. Ada juga kumpulan yang merajuk hati akibat ditegur oleh rakan-rakan senior dan seterusnya menghasut kawan-kawan yang di dalam kumpulan mereka sebelumnya untuk turut angkat kaki.

Hidup berpersatuan ini memanglah banyak dugaannya. Setiap ahli tentu ada pendapat masing-masing. Dengan ahli keluarga yang besar ini sudah tentulah setiap ahlinya mempunyai pe’el masing-masing. Sepatutnya bila dah hidup berpersatuan tu semestinya sedia ditegur. Teguran itu tandanya sayang. Kalau tak biaq pi la apa hang nak buat. Bukankah ianya lebih mudah. Tapi hasilnya nanti tentulah menjadi halal balal.
Bagi yang menegur pula, gunakanlah kaedah yang terbaik untuk menegur. Ini kerana ada yang ditegur itu, tak dapat menerima cara teguran yang diberikan. Ya lah kadang-kadang tu adayang berkata, “Mak bapak aku pun tak pernah tegur begitu kasar”. Jadi kenalah juga secara berhemah. Apa boleh buat, zaman dah berubah.[Nota: Tapi maaf, pendekatan kem saya tidak pernah berubah]

Hidup berpersatuan ini memanglah tidak ada bayaran. Keluar duit lagi ada. Semuanya secara sukarela bukannya paksarela. Namun saya yakin imbuhannya akan datang kemudian.

Suatu ketika dahulu, semasa hidup berpersatuan di UPM saya sendiripun tidak pernah memikirkan hal duit apabila beraktiviti. Setiap hujung minggu ada sahaja program rekreasi yang saya sertai samada sebagai peserta mahupun sebagai instruktur. Nak dijadikan cerita, saya dijemput untuk membantu sebuah konsultan untuk menjayakan Summer Camp semasa cuti sekolah untuk budak-budak sekolah (anak orang berada). Saya seperti biasa tidak pernah bertanya berapakah bayarannya untuk saya. Alhamdulillah, saya dibayar ketika itu RM150 sehari, untuk 4 malam. Wow! Terkejut beruk saya apabila menerima wang tunai RM600 beberapa hari selepas program tamat. Tak sangka sungguh.

Nasihat saya senang sahaja. Biarlah orang lain yang menilai kualiti dalam diri kita. Jangan mudah tersinggung apabila ditegur. Mungkin teguran yang diberi itu boleh memalukan kita. Sampai jatuh maruah orang kata. Apa salahnya terima sahaja sekiranya teguran itu baik untuk pembinaan diri kita.

Kita mungkin ada mendengar atau menyaksikan sendiri rakan-rakan atau ahli keluarga kita melompat kerja. Apalah sebabnya ye? Mungkin kerana gaji yang lebih lumayan di tempat kerja baru atau mungkin juga tidak tahan ditegur. Tapi hati-hati ye, jangan disangka padang disebelah yang menghijau itu indah sentiasa, entah-entah ianya beracun.

Maka… untuk menjadi graduan yang mantap, anda perlu mempunyai daya tahan yang tinggi. Jangan hanya mempunyai SEMANGAT K*** kata Dr Wan Sabri. Tak perlulah saya terangkan tentang semangat tersebut di sini. Ini kerana anda semua tentu semuanya telah sedia maklum.

Tuesday 25 November 2008

1 LAWAN 30

Dahsyatnya. Tak ada keperikemanusiaan langsung. Ada ka patut, 30 orang lawan seorang. Hanya Jackie Chan, Bruce Lee, Shah Rukh Khan, Salman Khan dan hero-hero filem saja yang boleh menang.

Nak dijadikan cerita pulak, konstabel yang diserang itu adalah adik kepada mantan Presiden PERLU, Syariman. Sebentar tadi saya sempat mendengar serba sedikit cerita berkaitan kes ini dari mulut Syariman sendiri. Adiknya masih lagi koma. Berita tentang kejadian tersebut ada di sini.

Penyerangnya? Saya pun tak pasti. Kalau selamat pun di dunia ini. Tunggu la di akhirat nanti. Mungkin depa terlupa dengan hari pembalasan di mana segala kerjabuat mereka pada malam tersebut akan dipaparkan semula.

Kenapalah mereka letakkan otak di tempurung lutut. Bukankah negara kita ada undang-undang. Gunakanlah seadanya. Kalau tak adil juga tunggu 'di sana' nanti. Mungkin juga inilah sahaja caranya untuk memuaskan hati mereka kot. Tak pun mereka sedar bahawa mereka ada 'kabel' besar di dunia ini yang boleh melepaskan mereka sekiranya dihadapkan ke pengadilan nanti.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Konstabel Mohd Fairuz Shafie (adik Syariman). Semoga mereka sekeluarga tabah menghadapi dugaan yang Allah turunkan kepada mereka.

Saya juga berdoa agar penyerang-penyerang tersebut insaf dan segera memohon maaf kepada Fairuz dan keluarganya di atas tindakan melulu yang mereka telah lakukan. Marilah sama-sama kita mendoakan saudara Fairuz sedar dari koma beliau dan pulih seperti sediakala. Amin ya rabbalamin.

Mahalnya!

Terdengar di corong radio sebentar tadi. Khabarnya siasatan terhadap Angkasawan Pertama Negara Datuk SMS berkaitan isu 1.2 juta hasil daripada kegiatan ceramahnya di seluruh negara ditunda. Tak cukup bukti kata Datuk Menteri. Kasihan dengan Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha (Dato' SMS). Sudah tentu dia tak lena tidur memikirkan isu ini. Setelah mengharumkan nama negara, ini pula balasannya.

Kata Datuk Menteri, ini semua khabar angin dan khabar dari SMS yang 'tak bertuan' sahaja. Mana boleh dibuat siasatan kalau ianya khabar angin sahaja. Perlulah disertakan bukti. Siapa ada bukti kenalah kemukakan segera. Kalau tak naya Dato' SMS.

Kalau betullah Dato' SMS meletakkan harga sehingga RM8000 untuk setiap sesi ceramahnya. Wow! Memang betul beliau boleh jadi jutawan. Takkan dengan pelajar sekolah pun diletakkan harga sedemikian rupa. Kasihan dengan budak-budak sekolah dan belia-belia. Kalau dengan korporat lainlah, Dato'.

Saya berharap semua dakwaan di atas tidak benar sama sekali. Kalau benar, sudah tentulah ianya akan menjatuhkan imejnya sebagai Angkasawan Pertama Negara. Dato' SMS tidak sepatutnya mengenakan bayaran tinggi kerana beliau berkhidmat sebagai seorang pegawai kerajaan. Beliau sepatutnya berkongsi pengalaman berharga dan tiada nilainya kepada rakyat jelata tanpa bayaran. Kementerian yang terbabitlah sepatutnya bertanggungjawab membiayai semua perbelanjaan Dato' SMS untuk memenuhi jemputan dan bukannya menetapkan harga tertentu yang akan mengakibatkan ianya menghadkan jemputan orang ramai kerana sukar memenuhi bayarannya yang tinggi.

Kita tunggulah hasil siasatan nanti. Jangan percaya pada khabar angin. Harap-harap Datuk SMS tidak begitu. Dia belajar tinggi.

Monday 24 November 2008

Sekadar di Pinggiran

Perlukah mereka terus dipinggirkan? Niat saya dan Nagoor ikhlas sekali. Kami ingin menjadikan rekreasi inklusif (inclusive recreation) menjadi kenyataan di Malaysia. Bukan senang hendak meyakinkan orang bahawa rekreasi luar ini sebenarnya selamat dan memang sepatutnya semua masyarakat, tidak kira orang normal, orang kurang upaya (OKU) dan orang tua dapat melakukannya. Kalau dahulu kita mengasingkan program khas untuk OKU, kenapa kini kita yang telah berada di alaf baru ini masih lagi melakukan sedemikian rupa.

Masih ada di antara kita yang tidak sanggup menanggung risiko untuk melibatkan OKU di dalam aktiviti rekreasi luar. Saya kecewa. Namun perjuangan untuk memartabatkan rekreasi inklusif akan diteruskan.

Semasa di UPM dahulu saya tidak pernah diperkenalkan dengan aktiviti rekreasi untuk OKU. Kami banyak melakukan dan mengendalikan program rekreasi luar sesama kami atau untuk pelajar sekolah. Semuanya orang normal. Zaman dah berubah. OKU pun nak terlibat sama. Berilah mereka peluang. Takkan asyik-asyik dengan sukaneka ja. OKU pun dah tahu bosan. Asyik-asyik tiup belon dan letak bawah punggung sampai pecah, cari gula-gula dalam tepung sampai muka macam Raja Kapur dan lari dalam guni.

Di Amerika Utara pun berkembangnya rekreasi inklusif ini sekitar awal 90-an. Itupun Smith dalam bukunya Inclusive and Special Recreation mengatakan perkhidmatan dalam bidang rekreasi luar untuk OKU yang diberikan oleh pihak kerajaan dan swasta masih belum cukup.


Memang betul di Amerika Utara ada Americans with Disabilities Act (ADA). Akta yang digubal bagi memadamkan diskriminasi terhadap OKU, meningkatkan peluang OKU untuk menjalankan kehidupan seharian secara normal dan peluang menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta atau kerajaan. Kita di Malaysia pun ada Akta OKU 2008. Akta yang diwujudkan bagi tujuan membela nasib golongan kurang upaya. Saya pun tak pasti samada OKU semua tahu tentang kewujudan akta ini. Diharapkan dengan berkuatkuasanya akta ini, maka tidak akan ada lagi rakyat di negara ini yang merasakan diri mereka dipinggirkan di dalam menempuhi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Dialog Industri

Minggu lepas FSR menjemput panel-panel dari industri rekreasi luar tanahair untuk berdialog berhubung pembentukan program baru di dalam bidang rekreasi luar di peringkat sarjana muda di FSR. Saya sebagai setiausaha pembentukan program baru telah berjaya mendapatkan idea-idea daripada panel-panel yang hadir bagi menambahbaikkan kurikulum yang sedang dirancang.

Antara yang sudi hadir untuk berkongsi idea adalah Dr Azlizam Aziz dan Sam Shor Nahar Yaakob (Pensyarah Kanan di UPM), Madzrib Ibrahim (Timbalan Ketua Pengarah di KBS), Robert James (Timbalan Pengarah di Outward Bound Lumut Malaysia), dan Amanda serta Mariana Halim (Wilderness Centre Langkawi).

Kalau nak dikira dari segi honororium yang diberikan, memanglah tidak berbaloi dengan sumbangan idea yang dicurahkan dan masa yang telah para panel semua luangkan untuk membincangkan tentang pembentukan program baru tersebut. Semoga usaha murni dan sumbangan mereka semua akan memberi kesan yang signifikan terhadap bidang pendidikan rekreasi luar di Malaysia.

Friday 21 November 2008

Jagalah Hati

Alahai hilang la pulak selipar jepun saya. Terpaksalah berkaki ayam menapak ke kereta. Nasib baik cuaca redup, tak panas macam selalu.

Itulahlah peristiwa malang yang menimpa saya sebentar tadi selepas solat Jumaat. Kawan-kawan semua memakai selipar masing-masing dan saya tak ada selipar nak dipakai. Dah kena 'culik' la pulak.

Saya rasa tentu ada sebabnya. Mungkinkah sebab hati saya meronta membangkang apa yang 'dibaca' oleh khatib yang membaca khutbah sebentar tadi, maka saya menerima akibatnya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Rupanya bukan jiwa saya seorang yang memberontak dengan isi khutbah tadi. Kawan yang menaiki kereta yang sama dengan saya juga sependapat dengan saya.


Semasa di Tanah Suci dahulu, hati saya pernah berkata, "Kenapa sandal aku tak hilang sedangkan orang selalu bercerita yang selipar atau sandal mereka hilang apabila bersembahyang di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram". Pagi yang sama, sebaik selesai solat sunat Dhuha di Masjidil Haram, sandal saya hilang. Padahal saya dah sorokkan di tempat biasa. Maka menapaklah saya di atas permukaan tar yang semakin panas ke kedai berhampiran. Kan dah kena.

Maka lain kali saya kena lebih berhati-hati dengan kata hati.

Wednesday 19 November 2008

Bahagian Akhir

Tidak ada tanda-tanda yang jam tangan saya akan dipulangkan semula. Saya masih boleh bersabar. Saya yakin barang saya akan dipulangkan. Jangkamasa pemulangan tidak pula dapat saya jangkakan. Cepat atau lambat hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Saya menghubungi Baba di kampung untuk membantu memberi idea baru sekiranya ada sebarang usaha lain untuk melembutkan suspek agar memulangkan semula jam tangan saya. Saya ceritakan segala kejadian yang berlaku pada waktu tengahari tadi. Baba mencadangkan kepada saya agar membaca surah Yassin pada malam tersebut. Di setiap 7 ayat yang diakhiri dengan Mubin di dalam surah Yassin saya disuruh berhenti seketika dan meletakkan lidah di lelangit dan berdoa.

Saya menuruti petua yang Baba sampaikan satu demi persatu pada malam itu. Saya berdoa dengan sesungguhnya. Merayu kepada Allah SWT agar melembutkan hati pencuri jam tangan saya agar memulangkan semula barang kesayangan saya itu. Sememangnya saya tidak mempunyai niat langsung untuk berkasar dengan suspek atau penjual jam tangan saya.

Pada masa yang sama saya mendengar di bilik air bawah seseorang sedang mandi, kepanasan agaknya. Saya jangkakan itulah orangnya yang bersubahat mencuri dan menjual jam tangan saya. Tapi dia sungguh-sungguh tidak mengaku.
Keesokan paginya, jam tangan yang hilang tersebut sudah berada di tepi tempat pembaringan saya. Alhamdulillah. Syukur nikmat Allah kerana menemukan semula harta yang saya beli dengan wang hasil titik peluh saya sendiri.

Friday 14 November 2008

Membebel Lagi

Tak habis-habis lagi. Cerita yang sama juga masih berulang. Susah la kalau dah tak nak berubah. Cerita yang sama masih lagi berlarutan dengan adanya orang yang telah dipertanggungjawab yang tidak ikhlas. Zalimkan saya ni kerana terlalu cepat 'menghukum' manusia lain tanpa usul periksa. Tentu ada yang bertanya bagaimana saya mengukur keikhlasan seseorang. Mungkin bagi yang melakukannya merasakan dirinya sudah cukup ikhlas, berintegriti dan beramanah di dalam melaksanakan program.

Bagi saya, kalau tanggungjawab telah diperturunkan oleh ketua, maka perlulah kita melaksanakan dengan penuh amanah dan berintegriti. Janganlah seperti melepaskan batuk di tangga. Bajet yang banyak, hanya disia-siakan ke tempat yang tak sepatutnya. Ayat biasa yang akan didengar sesama mereka, "Asal jadi ja cukuplah. Peserta-peserta yang datang tu pun cuma hendakkan sijil ja bukannya ilmu". Ini konsep yang salah. Takkanlah sebegitu mudah untuk kita mengeluarkan sekeping sijil. Di mana letaknya nilai sekeping sijil tersebut sekiranya ilmu di sebaliknya tiada. Sijil tetap sijil. Kalau pengisian untuk mendapatkan sesuatu sijil itu tidak dipenuhi, maka sia-sia sahajalah produk yang dihasilkan.

P/S: Tak perlulah ditanya bagaimana semua ini saya tahu!

Thursday 13 November 2008

Terdesak

Manusia semakin terdesak. Hanya kerana RM1000 hasil rompakan, satu nyawa terpaksa melayang. Itulah tragedi yang berlaku di negara kita 2 hari lepas. Tak dapat saya bayangkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh arwah sebelum nyawa terputus dari badannya. Zalim dan terdesak sungguh perompak tersebut.Kenapa tidak digunakan akal dan fikiran sebelum bertindak? Terdesak sangatkah penjenayah tersebut untuk hidup?

Simpati saya sudah tentulah kepada keluarga yang yang arwah tinggalkan. Sedih mengenangkan ketua keluarga yang sepatutnya hadir di sisi anak-anak takala mereka membesar tetapi pergi untuk selama-lamanya dalam kejadian yang cukup tragis. Beban membesar dan mendidik anak-anak yang sebelum ini dipikul oleh suami dan isteri kini terpaksa ditanggung oleh seorang isteri yang telah menjadi balu.

Saya mendoakan agar Puan Narjes Moktar diberikan kekuatan dan kesabaran untuk meneruskan kehidupan. Semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan beliau dan anak-anaknya.

Marilah sama-sama kita sedekahkan surah Al-Fatihah kepada allahyarham Mohd Khairuddin Mohamed Isa. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin

Sama-samalah juga kita berdoa agar penjenayah terbabit dapat ditangkap dan diadili dengan seadilnya.

Friday 7 November 2008

Boleh Ke?

Azmi akan ke Outward Bound School Malaysia, Lumut (OBS) pagi ini untuk ditemuduga. Temuduga untuk menentukan masa depannya di dalam bidang rekreasi dan pendidikan luar.

Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Azmi akan dapat bekerja sebumbung bersama-sama instruktur yang hebat di sana nanti. OBS sememangnya tempat yang telah melahirkan instruktur yang hebat di dalam pendidikan dan rekreasi luar. Bekas pelajar/peserta dari OBS atau dikenali sebagai ex-bounders juga telah ramai yang menjadi pemimpin-pemimpin di sektor awam dan korporat. Ramai juga pemimpin negara yang pernah menjalani program di sini. Azmi mempunyai tanggungjawab yang besar sekiranya beliau diterima bekerja di OBS.

Kalau diikutkan pemerhatian saya Azmi sememangnya telah banyak berubah. Perubahan positif itu dapat saya kesan semenjak dari awal saya mengenali beliau sehinggalah saya menyelia projek penyelidikan tahun akhir beliau. Dahulunya Azmi sukar untuk bercakap di hadapan, terutama apabila semua mata memandang ke arahnya. Pemalu. Saya pernah menyakat beliau. “Hang ni hisap dadah ka?”, sakat saya ketika pertama kali Azmi memperkenalkan diri dengan memegang kayu sebagai tongkat) dan terhoyong-hayang gerak badannya di dalam sesi suaikenal Amali Asas Perkhemahan di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cerakah. Azmi tersentak dan menafikan.


Azmi mempunyai karakter yang hampir sama dengan Kudult, sahabat baik saya semasa belajar di UPM dahulu. Mereka pendiam dan terlalu kreatif. Kedua-duanya ringan tulang dan disenangi oleh rakan-rakan. Yang membezakan mereka hanyalah pengalaman. Kudult mempunyai pengalaman selama lebih 6 tahun di OBS manakala Azmi pula baru nak memulakan kerjaya. Walaubagaimanapun, Azmi perlu meyakinkan penemuduganya terlebih dahulu sekiranya beliau ingin memulakan kerjaya barunya di OBS.

Semoga Azmi terus berjaya mencapai impiannya.

p/s: Coretan ini hanyalah daripada pemerhatian saya semasa beliau berada di FSR. Selainnya terserah kepada pemerhatian penjenguk sekalian.

Thursday 6 November 2008

Nak Kerja Apa?

Menyelia pelajar tahun akhir untuk projek penyelidikan mereka adalah sesuatu yang menarik kepada saya. Ini kerana saya akan dapat mengenali pelajar terbabit dengan lebih dekat lagi. Cara kerja dan disiplin diri mereka akan menonjol pada saat seperti ini.

Pada semester ini terdapat 3 orang yang di bawah seliaan saya. Semalam 2 orang datang mengadap saya dengan hasil kajian mereka. Seorang lagi pagi ini. Mereka nampaknya agak tertekan dengan masa penghantaran draf terakhir yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Saya sememangnya ingin memudahkan kerjabuat mereka.

What you give you get back!. Perumpamaan yang biasa saya gunakan pada peringkat awal penyelidikan dan kini saya ulangi semula di saat-saat genting ini.

Sesungguhnya ketika di peringkat sebegini pelajar perlu bertarung dengan diri sendiri. Hilangkan sifat malas dan perlu fokus. Alhamdulillah kedua-duanya kini sedang fokus kepada kerja mereka.

Selepas selesai berbincang tentang kajian mereka saya menukar topik perbincangan. "Nak kerja apa selepas kamu tamat projek nanti", tanya saya. Seorang terdiam dan seorang lagi spontan berkata bahawa beliau ingin menjadi pegawai sukan.

Memang saya cukup bersimpati dengan bakal-bakal graduan kita terutama sekali yang masih lagi tiada halatuju. Tak tahu ke mana hendak dituju setelah bergraduat. Sepatutnya apabila diri semakin matang, mereka perlu lebih bersedia untuk mengatur perjalanan hidup masing-masing. Mereka tidak sepatutnya menunggu orang lain yang mengaturkan untuk mereka. Cukuplah sudah 20 tahun lebih ibu dan bapa mengaturkan segalanya. Kini, sudah sampai masanya untuk mereka mempunyai wawasan tersendiri.

Kepada yang telah dan akan bergraduan, saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat menempuh alam kehidupan yang sebenar. Kepada yang belum saya nasihatkan mereka mula memikirkan halatuju masing-masing kerana sekarang bukanlah lagi masa untuk terus 'bermimpi dan menunggu bulan jatuh ke riba'.

Wednesday 5 November 2008

Rambut Sama Hitam

Yasu dan Futoshi adalah antara rakan saya ketika menuntut di Bendigo. Kedua-duanya berasal dari Jepun. Mereka belajar di La Trobe University dengan perbelanjaan sendiri.

Rakan sekelas saya di peringkat sarjana tak ramai, enam orang sahaja jumlahnya. Selain daripada mereka berdua, yang lain datangnya dari Mexico, Singapura, Ireland, Australia dan sudah tentulah saya dari Malaysia.

Walaupun kedua-duanya datang dari negara yang sama namun masing-masing mempunyai karakter yang jauh berbeza. Mereka sering tidak sependapat. Seorang berperwatakan tegas dan kasar sementara seorang lagi pendiam dan ‘cool’. Seorang sentiasa menepati masa dan seorang lagi sentiasa sahaja terlewat. Seorang bersemangat pendekar dan seorang lagi berhati lembut. Seorang mudah tersenyum dan seorang yang sentiasa masam macam Shogun Tokugawa (pejuang).


Futoshi sering dibuli di dalam kelas oleh Yasu. Ada sahaja yang tidak dipersetujui oleh Yasu ketika Futoshi membentangkan hasil kerjanya. Futoshi banyak bersabar. Yasu sering menekan Futoshi dengan pelbagai soalan, namun Futoshi terus bertahan dan menjawab. Pernah sekali tu, Futoshi gagal mengawal tekanan dan terus menangis di hadapan kelas ketika pembentangan hasil kerja untuk kursus Advanced Outdoor Education. Kami seisi kelas termasuk pensyarah begitu simpati dengan beliau. Yasu yang sememangnya bersemangat pahlawan Jepun tidak langsung menunjukkan rasa simpati. Terus dituduh rakan senegaranya itu menciplak hasil kerja yang sedang dibentangkan. Katanya itu hasil kerja dari seorang penyelidik Jepun di dalam journal Pendidikan Luar berbahasa Jepun. Aduh kesian Futoshi, tak terjawab dia dibuatnya. Nak dijadikan cerita, penyelia penyelidikan Futoshi juga hadir ketika pembentangan tersebut.


Kesabaran Futoshi terbalas. Penderitaan selama setahun akhirnya dibalas. Beliau antara rakan sekelas kami yang terawal berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana. Tekanan yang dialami tidak mematahkan semangat juang beliau.

Saya tidak juga menyalahkan Yasu. Mungkin itu caranya. Seperti yang saya katakan sebelumnya, rakan saya yang seorang ini sememangnya tegas dalam berbicara, berprinsip dan seterusnya tidak pandai memendam rasa. Segala ketidakpuashatiannya dilepaskan. Sebab itulah juga beliau pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Penuntut-Penuntut Antarabangsa di La Troe University Bendigo. Beliau berjaya memperjuangkan nasib penuntut-penuntut dari negara-negara lain dengan membawa sebarang isu yang berbangkit ke pihak pentadbiran. Suara Yasu sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh pihak universiti.

Itulah kisah dua rakan baik saya semasa di Bendigo.

Tuesday 4 November 2008

Siapa Mangsa Seterusnya?

Kebanyakan penjengok mungkin pernah terdengar tentang lubuk ini. Ia terletak berhampiran kuala Sungai Tahan. Kerapkali juga kita mendengar berita tentang lubuk yang telah ataupun hampir meragut nyawa manusia.

Sesiapapun yang pernah ke Taman Negara Pahang tentu akan mencari peluang untuk merentas denai yang telah disediakan untuk ke lubuk ini bagi menyejukkan badan. Sekiranya anda memudiki Sungai Tahan dengan menaiki bot untuk ke Lata Berkoh, sudah tentu anda akan melalui lubuk ini juga. Lubok ini terletak kira-kira 600 meter atau 15 minit perjalanan sekiranya anda berjalan kaki dari tapak perkhemahan Mutiara Taman Negara Resort. Inilah di antara lokasi yang paling sesuai dan berdekatan dengan resort untuk aktiviti mandi manda. Itulah Lubuk Simpon.

Saya bersama seorang sahabat, Aldrich Richard, pernah menjalani latihan praktikal selama sebulan di Mutiara Taman Negara Resort. Kami telah dimaklumkan oleh staf di Bahagian Rekreasi tentang kejadian yang pernah meragut nyawa seorang pelajar ITM Seksyen 17 beberapa tahun sebelum kedatangan kami. Kami dimaklumkan pelajar yang menjadi mangsa tersebut sememangnya mahir berenang. Disebabkan kekejangan otot dan seterusnya panik menyebabkan beliau mengelepar dan seterusnya tenggelam. Rakan-rakannya hanya menyaksikan sahaja segala yang berlaku kerana menyangkakan rakan mereka yang menjadi mangsa itu sedang berlakon. Setelah menyedari tentang lakonan itu sebenarnya aksi sebenar, ianya sudah terlambat. Pelajar yang menjadi mangsa itu kelemasan. Pada ketika itu tidak ada seorangpun di kalangan rakan-rakan penuntut terbabit dan pegawai pengiring mereka yang mempunyai kebolehan untuk menyelamat mangsa yang kelemasan. Warga kerja resort yang dipanggil juga tidak mempunyai kebolehan untuk melakukan CPR. Maka tamatlah riwayat pelajar terbabit. Namun selepas itu panjanglah lagi urusan yang perlu dilakukan oleh pihak universiti.

Pada 10 November 2006 pula satu negara kecoh apabila 2 orang pelajar Kolej Matrikulasi Pahang mati lemas di lubuk yang sama ketika mandi manda bersama 5 rakan mereka yang lain. Tapi insiden ini pasti akan terus berulang sekiranya tiada tindakan drastik yang dilakukan.

Bagaimanalah agaknya untuk mengelakkan perkara di atas daripada berulang?
Walaupun selepas kejadian tersebut masih banyak lagi tragedi yang sama saya jangkakan akan berulang di lokasi yang sama, namun masyarakat masih lagi tidak mengambil iktibar. Saya sendiri pernah mencuba untuk berenang tanpa bantuan Personal Floatation Device (PFD) di lubuk tersebut. Sungai yang sememangnya saya cecah dasarnya, secara tiba-tiba gagal saya cecah lagi apabila saya makin ke tengah. Saya cuba memberatkan badan, membuang nafas dan cuba turun ke bawah. Wow, dalamnya memang tak cecah langsung dasarnya. Gelap gelita. Terus saya naik ke permukaan. Taubat tak nak buat lagi. Dalam sungguh lubuk ini.

Kenapalah sampai ke saat ini (kalau masih belum dilakukan) tak ada papan tanda larangan dan amaran untuk berenang. Kalau nak berenang juga, pakai PFD (tak hebat la). Catatkan di papan amaran itu tentang kedalaman lubuk tersebut. Baru orang gerun kot.

Saya masih teringatkan peribahasa yang Mahaguru Rekreasi Luar di Malaysia, Dr Wan Sabri Wan Mansor (pensyarah saya) pernah gunakan di dalam salah satu kuliah beliau yang saya hadiri (sememangnya saya tak pernah ponteng kuliah). Katanya, Curiosity Killed the Cat. Sesungguhnya saya tidak mahu menjadi kucing yang dimaksudkan. Saya harap rakan-rakan penjengok pun begitu juga.

Monday 3 November 2008

Minyak Turun, Barang Tetap Melambung

Alhamdulillah harga minyak turun lagi walaupun tidak seperti yang kita mahukan. PM sekali lagi telah mengumumkan penurunan harga minyak untuk kali yang keempat sejak kenaikan mendadak harga petrol sebanyak 78 sen seliter pada 5 Jun yang lalu. Berikutan pada kenaikan tersebut barang-barang pun naiklah secara mendadak. Lagaknya seperti lagu “Bangau oh Bangau”. Semua menuding jari di atas sesuatu sebab yang berlaku.

Kalau diikutkan secara logiknya, sudah tentulah harga barang sepatutnya diturunkan setelah harga minyak turun. Namun ianya tidak semudah itu. Barang ... kalau dah sekali naik tidak akan turun-turun lagi. Saya rasa tentu penjengok=penjengok sekalian bersetuju dengan saya dalam hal ini.

Peniaga pada waktu dan tika sekarang akan mencongak pula bilakah masanya untuk menaikkan lagi harga barang. Bilalah minyak akan naik lagi untuk memudahkan mereka terus menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Mungkin itu yang sedang mereka fikirkan sekarang. Sudah tentulah peniaga-peniaga/pengusaha-pengusaha ini tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Peluang dah ada di depan mata. Ngap sajalah. Mereka juga perlu memikirkan masalah yang akan timbul, bagaimana sekiranya jika mereka menurunkan harga barang dan tiba-tiba harga minyak pula naik mendadak. Dah kena buat kerja naikkan harga semula. Tentu rakyat marah. Jadi lebih baik mereka ‘pekakkan’ telinga sahaja dan biarkan rakyat yang melolong memohon mereka menurunkan harga.

Pengusaha minyak pula melolong mengatakan mereka tidak untung kalau harga minyak diturunkan banyak sangat (maklumat ini saya perolehi melalui pembacaan beberapa akhbar harian). Mereka seakan mengugut kerajaan. Jangan turunkan harga minyak secara melampun, nanti kami rugi. Itu antara kata pengusaha yang disampaikan melalui menteri di kementerian yang terbabit.

Saya pun tidak pasti kalau kementerian yang sepatutnya memikirkan tentang masalah pengguna pun dah terlalu memikirkan tentang permasalahan pengusaha-pengusaha yang untungnya tidak kita ketahui ini, maka siapa pula yang akan mendengar keluhan pengguna seperti kita ini. Memanglah pengusaha minyak akan rugi ketika harga turun, tetapi ketika harga minyak naik mendadak dulu mereka sudah mengaut untung. Kalau dulu dah untung, kini apa salahnya rugi pula. Dah pasaran minyak begitu. Kalau dah tak sanggup meniaga minyak, lebih baiklah mereka meniaga unta! Untung-untung banyak permintaan menjelang raya korban akan datang.

Maafkan sekiranya saya tersalah kata terkasar bahasa di dalam hal ini. Ini permohonan maaf secara terbuka.