Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 29 October 2008

Bendigo dalam Kenangan: Kecil Tapi Meriah

Rekreasi memang telah menjadi budaya di Bendigo. Orang di sini memang suka berekreasi. Cuti hujung minggu memang mereka gunakan sepenuhnya sekurang-kurangnya untuk beriadah bersama keluarga di Taman-Taman Rekreasi. Bagi yang mampu pula akan menyewa caravan untuk bercuti.


Budaya berbasikal memang telah lama wujud di sini. Setiap pagi dan petang akan ada orang yang akan berbasikal di sepanjang jalan yang sememangnya telah disediakan laluan untuk pengguna basikal. Bagi yang suka berjalan atau jogging pula, masih perbandaran di sini telah menyediakan laluan khas untuk mereka. Jadi tiada masalah conflict of interest di kalangan pengguna kenderaan bermotor, basikal dan pejalan kaki. Yang pentingnya juga, semua pengguna berdisiplin dan mematuhi undang-undang.

Penduduk di Bendigo hanya lebih kurang 81,000 orang. Bandarnya adalah yang ketiga terbesar di Victoria iaitu selepas bandar Geelong dan bandaraya Melbourne. Budaya berekreasi di kalangan masyarakatnya telah menarik beberapa syarikat besar yang mempunyai rangkaian kedai peralatan rekreasi luar di Australia untuk membuka cawangannya di Bendigo. Tidak kurang dari 5 kedai yang menjual peralatan rekreasi luar yang beroperasi di Bendigo. Antaranya Snowgum, Ray's Outdoors, Outbound Camping, Kathmandu dan Aussie Disposals.



Tidak mustahil suatu hari nanti negara kita juga akan dilanda demam rekreasi luar di mana setiap hari kita akan mendengar orang bercakap tentang aktviti luar. Orang meancang ke mana mereka ingin pergi pada hujung minggu. Apa projek-projek besar yang akan mereka rancang berkaitan aktiviti rekreasi luar pada tahun tersebut dan macam-macam lagi berkaitan rekreasi luar. Mungkin juga akan ada di dalam akhbar-akhbar tentang berita-berita terkini tentang rekreasi luar. Tidak mustahil juga Berita di rangkaian televisyen yang akan menyampaikan maklumat terkini berkaitan aktiviti rekreasi untuk sepanjang hari yang berlangsung di seluruh tanahair.

Mungkin imaginasi saya ini jauh dari realiti. Tapi segalanya mungkin.

Tuesday 28 October 2008

Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir

Esok pagi akan bermulalah Peperiksaan Akhir Oktober 2008 untuk pelajar-pelajar UiTM. Nampak gayanya peperiksaan kali ini betul-betul menduga disiplin pelajar-pelajar di dalam mentelaah pelajaran. Mana taknya, dengan demam beraya yang masih terasa dan cuti mengulangkaji yang agak pendek tentulah menjadi cabaran untuk semester ini. Tetapi ianya bukanlah alasan untuk tidak mendapat keputusan yang cemerlang.

Saya mendoakan pelajar-pelajar FSR mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan kali ini. Nasihat saya sama juga seperti Peperiksaan Akhir April 2008 yang lepas. Anda boleh membacanya di sini. Saya harap pelajar mengambil iktibar dari pengalaman saya semasa menjadi pengawas bilik peperiksaan pada semester yang lalu.

Berita baiknya pula, saya tidak lagi menjadi pengawas bilik/dewan peperiksaan pada semester ini. Tugas saya kali ini hanya sebagai pengambil kertas soalan. Kerja yang lebih senang tapi tanggungjawabnya tetap tidak banyak berbeza.

Akhir kalam saya mendoakan Selamat Maju Jaya untuk semua pelajar FSR. Semoga anda tenang menjawab soalan yang dikemukakan di dalam kertas soalan. Jangan lupa untuk mendapatkan restu terutamanya daripada ibu dan seterusnya ayah anda. Doa mereka berdua sememangnya amat berharga untuk kejayaan anda.

Saturday 25 October 2008

Rumah Terbuka dan Kenduri

Kita semakin menghampiri akhir Syawal. Ramai rakan-rakan saya yang mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri. Jenuh jugalah hujung minggu ini. Inilah peluang untuk menziarahi rakan-rakan dan saudara mara yang dah lama tak jumpa.

Kebetulan pula cuti yang agak panjang, ada juga yang mengadakan kenduri kahwin dan rumah terbuka serentak. Tahniah saya ucapkan kepada Cik Marzura yang juga Penolong Pendaftar (akademik) di FSR yang akan menamatkan zaman bujangnya esok (Ahad). Semoga jodoh Cik Puan Marzura dan pasangannya kekal hingga ke akhir hayat.

Sumbangan wargakerja FSR untuk membeli hadiah perkahwinan Cik Marzura yang telah berjaya dikumpulkan adalah genap RM800.00. Kami telah menghadiahkan beliau sebuah Washing Machine dan pemain DVD berjenama Samsung.

Friday 24 October 2008

Membebel

Saya pun pelik la jugak. Kenapalah Jabatan dan kementerian terbabit buat macam ni? Sepatutnya warwarkanlah kursus-kursus yang mereka tawarkan kepada orang awam atau masyarakat di luar ni. Janganlah dok syok sendiri sahaja. Ramai lagi yang masih belum tahu tentang kewujudan kursus-kursus seperti Kursus Kepimpinan Rekreasi Luar Tahap I, II dan III, Kursus Bantu Mula, Kursus Kayak Star I dan II, Kursus Mendaki dan macam-macam lagi kursus yang jabatan mereka tawarkan.

Sekarangkan Zaman Berteknologi bukannya Zaman Batu. Maklumkanlah dalam laman sesawang ka, televisyen ka, surat khabar ka, radio ka dan banyak lagi saluran yang boleh mereka gunakan. Setahu saya bajet untuk program sentiasa turun dari kementerian. Takkan setakat buat program hanya seperti melepaskan batu di tangga. Ni memang nak kena panggil Karam Singh Walia untuk dibuat aduan.

Nasihat saya mudah sahaja kepada pegawai-pegawai di jabatan terbabit. Tunaikanlah tanggungjawab anda dengan sepenuh hati dan penuh amanah. Jangan disalahgunakan amanah yang telah diberikan kepada anda. Dah dapat kerja tu buat la kerja elok-elok.

P/S: Itupun kalau staf di kementerian dan jabatan terbabit menjenguk blog ini. Kalau tak, maka jadilah seperti lagu Wal Hasil Balik Asal dendangan Jamal Abdillah. 'Wal hasil balik asal, wal asal balik hasil, wal hasil cari pasal, itu pasal tak hasil'.

Buat Pilihan

Rakan Alumni kita perlukan bantuan. Kepada sesiapa yang minat membantu bolehlah memberikan pandangan anda dengan melawati blog beliau di sini.

Ubat Resah Gelisah

Hampir dua bulan jiwa saya tak tenteram. Setiap saat saya memikirkan kemanalah menghilangnya benda ni. Kepada Liza pun tidak saya maklumkan tentang kehilangan ini. Saya cuba mengawal diri agar kerisauan ini tidak jelas kelihatan.

Semenjak balik dari Final Camp (21/8/2008) di Kenyir dua bulan lepas, saya masih gagal menjumpai 3 unit thumbdrive milik saya. Habis semua beg, di dalam rumah, kereta, sehinggalah di bilik pejabat atas dan bawah saya cari. Namun gagal dikesan ke mana menghilangnya benda tu.

Jiwa saya memang tak tenang mengenangkan thumbdrive yang penuh dengan maklumat peribadi dan kerja buat di fakulti yang sesetengahnya dianggap sulit. Siapalah insan yang berhati suci yang akan memulangkan kembali harta saya tu.

Setiap hari saya berdoa agar dipertemukan semula dengan thumbdrive tersebut. Saya hanya bertawakal kepada Allah setelah puas berusaha. Setiap kali saya teringatkan thumbdrive itu, pasti saya akan mendoakan agar dilembutkan hati orang yang menjumpai thumbdrive tersebut agar memulangkannya semula kepada saya.

Semalam saya berkesempatan bersolat Asar di Surau Al-Mawaddah Seksyen 7 sementara menantikan Kamilia yang sedang mengaji di rumah berhampiran. Sempat saya habiskan bacaan surah Yassin. Sekali lagi saya sempat berdoa kepada Illahi.

Malamnya, selepas selesai solat Maghrib di bilik bacaan, tanpa disangka-sangka thumbdrive 3 serangkai yang telah dua bulan 'menghilangkan diri' muncul betul-betul di dalam raga di bawah timbunan buku yang sedang Kamil selerakkan di sebelah tempat saya bersolat.

Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!

Maha Suci Allah yang telah menemukan semula 'harta' yang memang saya cari-cari. Syukur kehadratmu Ya Allah. Terus saya bersujud syukur.

Ya Allah ampunilah dosa hambaMU ini.

Thursday 23 October 2008

Adakah Menjadi Kenyataan?

Saya pun tak pasti.

Segalanya mungkin berlaku. Hujung minggu ini telah dirancang satu pertemuan semula RECCERS II yang telah bergraduat pada September 1998. Setelah 10 tahun, kini kami sepakat untuk cuba mengumpulkan semula rakan-rakan yang sama-sama merasai pengalaman suka duka semasa menuntut di UPM dahulu dalam bidang Pengurusan Taman dan Rekreasi.

Agak sukar juga untuk menemukan kembali atau menjejak semula rakan-rakan seramai hanya 20 orang yang baru 10 tahun tak berjumpa. Semuanya bertebaran dari utara tanahair sehinggalah ke Sabah. Malah, ada juga yang kini berada di Jepun. Mungkin dengan pertemuan semula yang telah dirancang di banglo Azamil [tauke besar Stillgreen] akan menjadi penghubung seterusnya kepada silaturrahim kami semua.

Saya mengharapkan agar sifu kami iaitu Dr Wan Sabri Wan Mansor, Prof Ahmad Shuib, John dan Dr Abdullah akan turut sama hadir memeriahkan suasana.

Hidup RECCERS II!

Never Learn!

Kenapa sampai jadi begini? Dah dekat hujung semester tapi perangai taaaaaaak juga berubah. Masih juga lewat. Nak kena ketuk baru bergerak. Saya dah jadi penukul la pulak.

Apa yang susah sangat bangun pagi? Susah tidur malam ka sampai terlewat tidur dan terlajak. Aduh... pening memikirkan gelagat budak-budak ni. Pagi-pagi lagi dah buat B.P. naik. Mungkin bagi sesetengah orang nampak macam saya membuka pekung pelajar sendiri. Tapi niat saya supaya ianya menjadi pengajaran sepanjang hayat kepada pelajar dan penjenguk sekalian. Berubahlah. Tepatilah masa. Rajin-rajinlah bangun pagi. Gunakanlah malam untuk berehat dan siang untuk mencari rezeki dan menuntut ilmu. Berbezalah pula kalau orang yang mencari rezekinya di malam hari. Jadi tak dapatlah kita nafikan waktu siangnya digunakan untuk melelapkan mata.

Saya masih berharap agar pelajar ini berubah. Saya yakin mereka mampu. Mungkin 'nur' nya belum sampai lagi. Mungkin juga belum terbuka mindanya. Masih seronok dengan zaman berpesta tanpa memikirkan cabaran hari mendatang.

Kita semua pun sudah tentunya sedia maklum dengan Firman Allah di dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya”

Walau jelekpun kelakuan mereka. Pelajar ini tetap anak murid saya. Mereka masih belajar. Saya pun masih berhati perut. Saya bukakan pintu yang berkunci untuk mereka yang lewat memasuki dewan dan seterusnya menjawab soalan ujian. Masa menjawab menjadi singkat akibat kelewatan dan kelalaian mereka.

Semoga mereka tergolong di kalangan mukmin yang berjaya dan ingin berubah. Hanya masa yang akan menentukannya.

Wednesday 22 October 2008

Akhirnya...

Usop dah nak kahwin.

Terkejut besar juga saya. Mana taknya... setelah beberapa lama tidak berjumpa, tuptup Usop atau nama sebenarnya Ismady Norsyam b. Hj Ishak muncul di depan bilik saya. Di tangannya ada sepucuk kad. Saya kaget sebentar. Saya meneka ini mungkin kad jemputan perkahwinan Usop. Katanya kad jemputan rumah terbuka Aidilfitri. Bila dibuka sahaja sampul kad tersebut, maka tahulah isinya. Usop dah sampai seru.

Usop yang juga alumni PERLU UiTM akan melangsungkan pernikahan dengan Haslinda Husain yang juga rakan sekuliah beliau dari First Batch. Orang Kulim lagi tu. Orang kampung saya. Junior saya masa di sekolah dulu.


Mungkin batch yang baru-baru masih belum mengenali Usop. Beliau adalah Presiden Alumni FSR. Seorang yang aktif dalam rekreasi luar hinggalah ke saat ini. Kini cucu allahyarham Datuk Hj Mahmud Jun (pelakon tersohor) ini adalah konsultan untuk aktiviti rekreasi luar dan team building.


Sama-samalah kita doakan saudara Usop dan pasangannya kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Kursus Kepimpinan Rekreasi Tahap II

Semalam saya mendapat panggilan daripada Azlina Karim (Ina Kereta)yang bertugas di JBS Negeri Sembilan. Katanya JBS Selangor akan menjadi tuan rumah untuk Kursus Kepimpinan Rekreasi Tahap II bertempat di Bukit Cerakah, Shah Alam. Program bermula daripada 7hb November hinggalah 12 November 2008. Kepada penggiat rekreasi dan penjenguk-penjenguk yang berminat silalah menghubungi JBS negeri (Selangor dan Negeri Sembilan) yang berhampiran untuk maklumat lanjut.

Sayangnya di UiTM pada tarikh tersebut sedang bergelut dengan Peperiksaan Akhir. Kalau tak tentu ramai yang nak sertai. Apa taknya, PERCUMA!

Monday 20 October 2008

Tahniah Sahabatku

Alhamdulillah saya baru terbaca blog Addin aka Boot. Beliau baru sahaja selamat berkonvokesyen.

Saya pernah menceritakan pengalaman Addin di sini.

Pengalaman Addin boleh dijadikan pengajaran berguna kepada kita semua. Kekuatan yang beliau miliki boleh sama-sama kita kongsi. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat saya, saudara Azharuddin kerana telah selamat bergraduat dalam bidang Sarjana Komunikasi Korporat.

Beri Peluang

Betul tu, kalau bukan kita yang beri peluang siapa lagi yang boleh diharapkan.

Untungnya UiTM ini, memberi peluang untuk saya meneroka bidang baru. Program rekreasi luar untuk orang kurang (OKU). Program yang turut memberi peluang kepada OKU untuk terlibat secara aktif.

Dahulu semasa belajar di UPM, ketika tengah betul-betul aktif berekreasi memang tak pernah terlintas pun di pemikiran saya untuk mengajak OKU untuk turut sama terlibat di dalam program saya. Kami pun tidak didedahkan dengan aktiviti yang mengabungkan orang normal dan OKU.

Kini tidak lagi. FSR memang best, diberinya peluang kepada pelajar untuk menglibatkan OKU dalam program yang dirancang melalui subjek Leisure and Disabilities. Dengan cara ini pelajar mendapat ilmu dan pengalaman baru apabila berhadapan dengan golongan OKU ini.

Kalau dulu, orang terlalu berhati-hati untuk berhadapan dengan OKU. Dahulunya OKU dipanggil orang cacat. Tak sedap bunyinya ditukar pula ke golongan istimewa. Tak lengkap pula rasanya, lalu ditukar pula sebutannya ke Orang Kurang Upaya atau OKU. Tak tahulah panggilan ini kekal sampai bila.

Apa-apapun panggilannya OKU ini sebenarnya adalah golongan yang sebenarnya berkeupayaan. Mereka mempunyai keupayaan masing-masing. Ada sesetengahnya lebih hebat dari kita. Mana taknya, ada di antara mereka yang tidak mempunyai kedua-dua kaki pun boleh berenang lebih laju daripada kita yang normal. Silap haribulan mereka pula yang menyelamatkan kita ketika hampir kelemasan di air. Jadi, jangan sesekali merendah-rendahkan mereka. Biarpun mereka ada kekurangan, namun Allah SWT menganugerahkan mereka kelebihan yang lain pula, yang mungkin tiada pada kita.

Minggu lepas sekali lagi saya dan 17 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (pengkhususan dalam bidang rekreasi)bahagian 4 berkesempatan mengendalikan program inclusive outdoor recreation untuk OKU. Aktiviti berkayak telah dipilih sebagai aktiviti utama dan dilaksanakan di Pusat Rekreasi Air, Putrajaya. Program ini menggabungkan orang normal (pelajar-pelajar UiTM) bersama-sama OKU dari Bengkel Daya Klang dan pelajar OKU yang menuntut di UiTM Shah Alam di dalam satu program rekreasi luar.

Hasilnya sungguh menakjubkan. Peluang untuk melakukan aktiviti rekreasi luar ini tidak disia-siakan oleh peserta yang terbabit. Mereka melakukan aktiviti berkayak dengan penuh bersemangat. Sesungguhnya mereka cukup gembira. Saya sungguh teruja untuk terus berbakti kepada mereka. Keceriaan jelas terbayang di wajah mereka setelah menamatkan aktiviti kayak. Berbaloi cuti hujung minggu yang tidak saya ambil rasanya. Mungkin bagi golongan OKU pula, inilah peluang mereka sekali seumur hidup. Ini kerana mereka tidak pernah berpeluang melakukan aktiviti sebegini sebelum ini.

Selain daripada itu terdapat juga ibubapa dan pelajar FSR sendiri yang sanggup menaja makanan, T-Shirt dan aktiviti untuk menjayakan program ini.

Semoga program sebegini akan terus mendapat sokongan daripada semua pihak. Janganlah kita biarkan golongan OKU terus terpinggir. Sama-samalah kita libatkan mereka di dalam aktiviti harian kita.

Friday 17 October 2008

Bagaimanalah Akhirnya

Menonton Bulletin Utama di TV3 semalam boleh menyebabkan semua orang terpegun seketika. Mana taknya, disiarkan bagaimana seorang guru wanita ditendang di perut oleh pelajar-pelajar beliau. Yang menendang pula tu pelajar-pelajar perempuan. Apa nak jadi ni? Macamanala ilmu nak berkat, kalau gurupun diperlakukan sebegitu. Teruk sangatka guru tu?

Kita tunggulah malam ni pulak, apa komen mak bapak budak-budak ini. Adakah mereka akan terus menyokong anak mereka yang lambat menghantar tugasan sekolah, seterusnya mencaci guru dan lebih teruk lagi mencabar dan menendang guru.

Saya menjangkakan kalau ada 'penasihat' tak rasmi, tentu akhirnya guru tersebut akan memaafkan kesalahan murid-muridnya. Ia... lah budak-budak tengah naik. Tentu tak berfikir panjang semasa menyerang guru mereka. Tentu ada orang tengah yang akan menjadi hero/heroin nanti. Kita tunggu.

Tapi secara psikologinya, bukan mudah untuk guru wanita tersebut melupakan peristiwa 'ngeri' yang telah memalukannya di sepanjang hayat. Tidak mustahil kejadian tersebut boleh mendatangkan kecederaan atau kehilangan nyawa sekiranya beliau tidak melarikan diri dari tempat kejadian.

Saya sendiri secara individunya pernah 'diserang' pelajar yang tidak berpuashati kerana ditegur membuat bising di waktu Maghrib ketika menjadi Pegawai Pembangunan Pelajar (Resident Staff) di Kolej Cemara dulu. Terkejut juga Liza masa budak tu datang ke rumah. Cakap macam samseng Kampung Dusun. Kalau tidak tentu saya pun akan jadi 'terkenal'. Rupa-rupanya budak baru mendaftar semester pertama di INTEC. Nasib baik Allah menyabarkan saya. Budak-budak tengah naik la katakan. Dia ingat dialah yang paling kuat di muka bumi. Biarkan...

Tuesday 14 October 2008

Impak Rumah Terbuka

Alhamdulillah Rumah Terbuka Aidilfitri telah selamat dilaksanakan. Memang meriah. Kehadiran jiran tetangga dan saudara mara yang berada di sekitar Lembah Kelang sudah pastilah sangat saya hargai. Turut memeriahkan majlis adalah dengan kehadiran rakan rakan sepejabat bersama ahli keluarga masing-masing, ahli-ahli dan alumni PERLU serta para pelajar FSR. Tak lupa juga kemunculan di saat-saat akhir majlis iaitu saudara Yusran dan Azharudin sekeluarga.

Penat lelah seharian saya dan Liza hilang dek serbuan tetamu yang datang. Liza dibantu oleh beberapa orang ahli dan alumni PERLU seperti Dilla, Lenny dan Yasir. Shawn, Hafiz dan Malin sanggup mengeluarkan duit poket untuk menaja ayam untuk dipanggang,. Terima kasih semua yang membantu.

Maafkan saya sekiranya terdapat kekurangan di dalam menyajikan makanan ataupun kelemahan saya di dalam melayan anda yang hadir. Saya sekeluarga mencuba sebaik mungkin untuk melayan semua tetamu yang hadir seadil mungkin.

Insyaallah sekiranya ada rezeki kita jumpa untuk rumah terbuka yang akan datang. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga.

Foto-foto sekitar majlis











Wednesday 8 October 2008

Jemputan

Saya sekeluarga akan mengadakan Jamuan Hari Raya pada hari Jumaat ini bersamaan 10 Oktober 2008.

Saya, Liza dan anak-anak ingin menjemput rakan-rakan sekalian untuk memeriahkan lagi majlis ini. Jika anda sudi dan berhasrat untuk memudahkan tuan rumah, sila maklumkan kehadiran anda.

Majlis ini juga diadakan bagi menyambut ulangtahun kelahiran puteri kesayangan kami yang genap umurnya 6 tahun pada tarikh berkenaan. Selain itu juga kita akan turut meraikan ulangtahun kelahiran Shawn alumni PERLU (9/10), Hafiz alumni PERLU dan Maisarah - anak Mazlin (11/10).

Bagi memastikan kelancaran majlis dan mengelakkan kesesakan di sekitar pondok kami, sila ikut jadual seperti yang telah saya rancangkan:-

Jiran tetangga dan saudara mara: 7.45 hingga 9.00 malam
Rakan-rakan : 9.00 -11.00 malam.

Alamatnya seperti di sebelah.

Semoga kehadiran anda dapat memeriahkan lagi majlis dan seteruskan merapatkan lagi ukhwah sesama kita.

Tuesday 7 October 2008

Selamat Semuanya

Alhamdulillah, hari ini saya dah mula bertugas kembali. Semalam 'tercuti'. Terlajak la pulak.

Cuti lebih daripada seminggu tersebut saya gunakan sepenuhnya untuk pulang ke kampung seperti yng semua sedia maklum.

Banyak cerita menarik yang saya bawa pulang dari kampung. Mungkin saya akan coretkan dalam posting yang akan datang. Minggu ini agak sibuk. Penuh dengan mesyuarat. Bertimpa-timpa sampai kuliah pun terpaksa ditunda.

Ok jumpa lagi.