Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 31 January 2008

Apa dah Jadi!

Lawatan saya ke Stor Peralatan Pengajaran Aktiviti Rekreasi Luar setelah melapor diri di fakulti sungguh mengecewakan. Baru 10 bulan saya tinggalkan fakulti, peralatan rekreasi yang telah dibeli sebelum saya berangkat ke Australia betul-betul tidak terurus. Alatan rekreasi tersebut diletakkan di atas lantai dan tidak diselenggarakan dengan betul. Ada juga peralatan yang telah hilang. Dua buah dinghy (bot getah) dan engin sangkut telah rosak teruk akibat penangan mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak tahu menggunakannya dengan kaedah yang betul. Di sudut hati saya masih kecewa dengan rakan-rakan yang sepatutnya bersama-sama berusaha menjaga alatan yang telah dibeli dengan nilai ratusan ribu ringgit ini tetapi tidak menunaikan amanah yang telah diberikan.

Alhamdulillah setelah dibuat teguran dan pemantauan kepada rakan-rakan yang bertugas di stor tersebut, kini alatan rekreasi diselenggarakan semula dan disusun rapi. Kerja-kerja menceriakan semula stor telah dijalankan. Cuma dinghy dan beberapa peralatan aktiviti tali tidak dapat diselamatkan akibat tangan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Semoga semangat staf dan penuntut-penuntut di FSR untuk sama-sama menjaga peralatan pengajaran aktiviti rekreasi luar akan berterusan.

Tuesday 22 January 2008

Rumah Dimasuki Pencuri

Terkejut saya apabila dimaklumkan oleh Liza bahawa rumah Dr Awei dimasuki pencuri awal pagi semalam. Saya yang baru lepas solat Asar terus bergegas melawat rumah jiran saya itu. Mudahnya pencuri tersebut mengumpil cermin tingkap dan seterusnya membuka skru grill besi dan mengangkat keseluruhan grill dapur untuk memasuki rumah Dr Awei. Pencuri tersebut berjaya melarikan komputer riba dan beberapa barangan lain lagi. Nasib baik keluarga Dr Awei tidak diapa-apakan oleh pencuri tersebut.

Ini bukanlah kali pertama kejadian sebegini berlaku di kawasan perumahan kami. Biar pun ada pengawal yang sentiasa meronda, tetapi pencuri masih juga dapat memecah masuk rumah penghuni di kawasan kami. Saya sempat berkongsi dengan Dr Awei petua daripada ayat-ayat suci al-Quran yang boleh diamalkan untuk mengelakkan rumah dimasuki pencuri dan anasir-anasir jahat yang lain yang saya perolehi daripada Baba dan beberapa orang tok guru. Semoga kawasan perumahan kami terus aman daripada anasir-anasir jahat ini. Amin

Saturday 19 January 2008

Pertemuan yang Dinantikan

Saya menggunakan sepenuhnya seminggu pertama setelah menjejakkan kaki di bumi Malaysia bersama isteri dan anak-anak. Maklumlah dah dua bulan kami sekeluarga tak bersua. Kamil dengan pelatnya tersendiri pernah menyatakan hasratnya untuk menaiki kapal terbang untuk bertemu papanya. Katanya, “mama… jom aik kapa erbang umpa papa”. Kamilia [anak sulung] pula pernah merayu dengan mamanya untuk terbang semula ke Australia untuk bertemu papanya. Katanya sambil menunjukkan duit raya seringgit-seringgit simpanannya, “Jom la mama… kakak ada duit nak naik kapal terbang nak pi Osborne St [rumah di Bendigo]”.

Alhamdulillah dengan izin Allah kami sekeluarga dipertemukan semula di KLIA setelah dua bulan berjauhan. Saya selamat sampai di KLIA lebih awal berbanding Liza dan anak-anak. Setelah solat jamak dan sujud syukur saya menuju ke balai ketibaan KLIA. Liza dan anak-anak masih juga belum sampai.

Ketika sedang menukar wang di kaunter pengurup wang, saya ternampak kelibat Liza dan anak-anak berpimpinan tangan di balai ketibaan. Mereka baru saja sampai dari Shah Alam. Saya cuba melambai pada Kamil yang secara kebetulan sedang memerhatikan ke arah saya. Tapi Kamil cuba melarikan pandangan dan terus memegang erat tangan mamanya. Takut barangkali. Sengaja saya tidak memanggil namanya untuk melihat respons anak bongsu kesayangan kami ini. Dia langsung tidak memberikan sebarang respons. Kaget juga saya. Ya Allah… anak aku dah tak kenal papanya. Itu baru dua bulan.

Saya berjalan ke arah mereka. Liza masih lagi mencari-cari. Beliau masih lagi belum dapat melihat kelibat suaminya. Ketika semakin hampir dengan mereka bertiga, Kamilia menjerit, “mama… tu papa”. Seronoknya mereka bertiga, tak ketinggalan juga saya. Berlakulah adegan jejak kasih antara kami berempat bersaksikan orang ramai yang sedang menunggu sahabat taulan dan saudara mara di balai ketibaan. Ya Allah… hambaMu bersyukur kehadratmu kerana telah disatukan semula kami sebagai sebuah keluarga.

Wednesday 16 January 2008

Alhamdulillah

Syukur kehadrat Illahi, saya telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Kini saya sudah berada di tanahair. Isnin lepas saya telah melapor diri di Pejabat Pembangunan Sumber Manusia, UiTM dan seterusnya dibenarkan bercuti tanpa rekod selama seminggu. Insyaallah, saya akan memulakan tugas pada 22 Januari 2008.

Saturday 5 January 2008

Kenapa ya… kenapa?

Pernah juga saya bertanya pada diri sendiri, kenapa perlunya blog sebegini di dalam kehidupan saya. Apakah kepentingannya?

Sebenarnya Bendigo banyak mengubah corak kehidupan saya. Di sini saya banyak menggunakan masa untuk bermuhasabah diri. Sesuatu yang jarang saya lakukan semasa di tanahair.

Hidup Bermasyarakat

Kalau di tanahair saya dikelilingi oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam dari kecil hinggalah saya ditugaskan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Apabila sampai di Bendigo, segala ‘nikmat’ hidup bermasyarakat tersebut telah ‘ditarik’ buat sementara oleh Allah s.w.t. Terpaksalah saya sekeluarga mengadaptasikan diri kami dengan suasana baru ini. Tidak ada langsung masyarakat Melayu di sini. Terkapai-kapai kami selama hampir sebulan tanpa berjumpa dengan seorangpun orang Melayu di sini.

Alhamdulillah…Allah membantu hambaNYA ini. Kami dipertemukan dengan keluarga Brother Heri dan seterusnya dengan sekumpulan 23 orang penuntut dari Indonesia. Itupun hanya untuk 2 bulan kerana selepas itu penuntut-penuntut Indonesia terbabit tamat pengajian dan pulang ke tanahair mereka. Tinggallah keluarga saya dan Brother Heri.

Ilmu Baru

Bagi saya setiap hari merupakan hari baru di dalam kehidupan saya. Setiap hari saya belajar ilmu-ilmu baru. Ia semestinya ilmu-ilmu baru yang tidak akan dapat dipelajari di dalam bilik darjah. Ilmu tentang kehidupan yang wajar dikongsi bersama.

Dahulunya saya kurang mahir dan jahil dalam bidang teknologi maklumat. Terlalu takut dengan dunia tanpa sempadan. Tidak berani menonjolkan diri. Biarlah orang lain yang ke depan. Perkataan takpa, biaq pi dan nanti la sentiasa menjadi mainan bibir. Kini saya cuba kurangkan penggunaan perkataan tersebut. Perkataan sebeginilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada diri kita dan dalam diam-diam boleh menyekat usaha kita untuk berjaya.

Laman Sesawang Terhasil

Saya mula berjinak-jinak dengan pembinaan laman sesawang atas desakan dan motivasi daripada sahabat saya, saudara Md Amin Md Taff, pensyarah UPSI. Beliau berjaya mengubah minda saya supaya berkongsi pengalaman melalui laman sesawang ini. Kata Md Amin, melalui laman sesawang yang dibina ini, lebih mudah percambahan ilmu akan berlaku. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Yang penting NIAT kita untuk berkongsi pengalaman dengan khalayak. Pengalaman yang begitu istimewa. Pengalaman sebuah keluarga Melayu yang ‘tercampak’ di sebuah tempat yang tiada penghuni Melayu.

Bertitik tolak daripada situlah, saya mula mengorak langkah membina laman sesawang yang di dalamnya mengkisahkan sekitar kehidupan saya sekeluarga ketika berhijrah ke Bendigo. Akhirnya terhasillah catatan peribadi dalam laman sesawang bertajuk 'Khabar dari Bendigo'. Laman sesawang ini menjadi penghubung antara saya sekeluarga dengan keluarga dan rakan-rakan di tanahair.

Lahirnya Blog Coretan di Kala Senggang

Tidak cukup dengan itu, apabila ada masa lapang saya mula menjengok dari blog ke blog. Antara blog yang kerap saya dan isteri lawati semasa di Bendigo adalah blog Prof Muhd Kamil Ibrahim (bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi).

Mengambil kira trend masakini. Saya merasakan blog mempunyai peminatnya yang tersendiri. Blog boleh menjadikan penulisnya lebih rapat dengan penjengoknya. Penjengok boleh terus memberikan komen untuk setiap isu yang diutarakan.

Maka terhasillah blog Hisyam Che Mat bertemakan ‘Coretan di Kala Senggang’. Blog ini berkisar pengalaman saya di sekitar kehidupan seharian dan sesekali saya mengimbau kembali kenangan masa lampau saya.

Friday 4 January 2008

Khutbah Terakhir

Hari Jumaat menjelma. Mamoun [Imam 1] dari Jordan baru sahaja 3 minggu pulang ke tanahairnya. Beliau tidak akan kembali ke Bendigo kerana mendapat pekerjaan yang jauh lebih baik di negara asalnya. Sultan [Imam 2] pula pulang ke Arab Saudi 2 bulan lepas kerana cuti semester dan beliau juga akan melangsungkan perkahwinan pertengahan bulan Januari nanti. Beliau akan pulang pada penghujung bulan Februari nanti bersama isteri tersayang. Maka hari ini tiadalah lagi imam yang boleh ‘diharapkan’ di surau La Trobe University, Bendigo.

Tak ada rotan, akar pun berguna [no rattans, roots will do]. Oleh kerana tiada pilihan lain sayalah kena bersedia untuk menjadi khatib dan mengimami solat Jumaat pada hari ini. Awal-awal pagi lagi saya mula bersedia dengan topik yang dirasakan bersesuaian untuk dikhutbahkan pada hari ini.

Topiknya Appreciating Other Cultures [Menghargai Budaya Lain]. Ianya menyentuh tentang hikmah Allah subhanahu wata’ala mencipta manusia berbangsa-bangsa dengan pelbagai budaya, dan penciptaan manusia mengikut pelbagai kepercayaan dan agama. Antara tujuan penciptaan manusia sebegitu adalah kerana Allah s.w.t mengkehendaki agar kita saling kenal mengenal, dan belajar antara satu sama lain. Selain itu juga Allah s.w.t. mengkehendaki agar kita dapat menghakis sifat takabur dan sombong di dalam diri kita. Teks khutbah tersebut saya muat-turun daripada siri khutbah Majlis Ugama Islam Singapura [kerana berbahasa Inggeris].


Solat Jumaat di sini kebiasaannya bermula pada pukul 1.30 petang. Menjelang jam 1.45 petang, hanya 4 orang sahaja yang menghadirkan diri. Maka kami berempat bersolat Zohor dengan saya menjadi imamnya. Maka tidak kesampaianlah hajat saya untuk menyampaikan khutbah yang terakhir di Bendigo sebelum pulang ke tanahair. Sesungguhnya, kita hanya mampu merancang, Allah s.w.t jualah yang menentukan segalanya. Semoga surau La Trobe University, Bendigo akan dimakmurkan lagi dengan kehadiran lebih ramai penuntut-penuntut yang akan mendaftar tidak lama lagi. Amin.

Kawan Baru

Setiap hari ada saja kawan baru yang akan saya temui.

Di Melbourne tempohari, saya dipertemukan oleh Allah subhanahu wata'ala dengan Mejar Khairuddin(MINDEF), Ruzman (Swinburne University of Technology), Fazli a.k.a Oli (RMIT University) dan Ustaz Nushi (Melbourne University). Mereka semuanya baik-baik dan ramah.


Mejar Khairuddin saya temui ketika berkunjung ke rumah Dr Ali. Isterinya dan anak-anak baru sahaja pulang ke tanahair. Beliau juga akan pulang ke tanahair pada 26 Januari 2008 setelah beberapa tahun bertugas di Australia. Mejar juga sangat bermurah hati menghantar saya dan Qobain ke Dewan Malaysia dari rumah Dr Ali. Keesokan harinya pula beliau juga telah sudi menghantar saya dari Queen Victoria Market ke Southern Cross Station. Jasa beliau hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Ruzman saya temui ketika menginap di Dewan Malaysia Melbourne. Beliau seorang yang mudah mesra. Kini sedang menuntut di peringkat sarjana di Swinburne University of Technology dalam bidang Network System. Beliau ini sangat mengemari aktiviti rekreasi terutama sekali selam skuba. Telah melakukan 20 jam selaman di Great Barrier Reef sepanjang berada di Australia. Melakukan terjunan bungee [bungy jumping] di Queenstown New Zealand. Banyak lagi aktiviti lasak lain yang telah beliau lakukan walaupun baru 10 bulan berada di Australia.

Ustaz Nushi dan Oli saya temui ketika sedang menjamah makan tengahari di Restoran Lazzat di Melbourne. Ustaz Nushi yang bertugas di UIA kini sedang menuntut pada peringkat PhD di Melbourne University. Beliau juga melakukan kerja sambilan sebagai tukang masak di Restoran Lazzat [kepunyaan orang Singapura, semestinya halal dan lazat]. Selain itu beliau juga mengajar kelas fardu ain kepada masyarakat di sini. Bertuahnya bertemu Ustaz muda ini.

Oli pula baru sahaja beberapa bulan sampai ke Melbourne. Beliau bertugas di UTM Skudai dan kini menuntut di peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan elektrikal di RMIT University City Campus. Sudah berkeluarga dan mempunyai seorang cahayamata berumur setahun lebih. Sengaja saya melontarkan soalan tentang RMIT untuk menguji beliau. Soalan saya, "Kenapa ya bangunan RMIT ni buruk semacam ja?...universiti kat Malaysia punya bangunan lagi cantik-cantik'. Sesungguhnya Oli begitu setia [loyal]dengan universiti yang baru beberapa bulan beliau sertai ini. Oli dengan tenang menjawab,"Syam... yang nak belajarnya kita, bukannya bangunan...walaupun buruk tapi mereka mempunyai pakar-pakar dalam bidang masing-masing". Hebat jawapan Oli. Dalam masa beberapa minit sahaja berkenalan, kami menjadi sahabat yang baik dan banyak berkongsi pengalaman.


Seterusnya Ruzman dan Oli menemani saya untuk ke Queen Victoria Market untuk membeli buah tangan yang dipesan oleh Liza dan anak-anak. Sesungguhnya pertemuan yang singkat dengan rakan-rakan baru daripada Malaysia di Melbourne telah menambahkan lagi koleksi saudara seagama yang baik-baik. Semoga persahabatan yang baru disemai ini dapat diteruskan lagi apabila berada di Malaysia nanti. Amin... ya rabal'alamin.

Thursday 3 January 2008

Derita Qobain Hanya Allah Yang Tahu

Saya kini berada di Melbourne. Menginap di Dewan Malaysia atas ehsan Dr Ali [sebenarnya tetamu perlu tempah 2 minggu lebih awal untuk menginap di sini]. Alhamdulillah saya dibenarkan menginap di sini walaupun hanya membuat panggilan 1 jam sebelum berangkat ke Melbourne. Terima kasih Dr Ali.

Tujuan sebenar saya ke Melbourne adalah untuk bertemu Qobain yang baru sampai dari Sydney dan seterusnya membalas kunjungan dan menziarahi Dr Ali sekeluarga di Port Melbourne. Saya bersama Dr Ali juga akan mengiringi Qobain ke Melbourne Airport untuk memberi sokongan moral terakhir di bumi Australia sebelum anak muda ini meneruskan penjelajahannya ke negara 'Matahari Terbit'. Sama-samalah kita doakan keselamatan dan kejayaan Qobain. Amin.

Kalau diikutkan perancangan dan janji awal, saya akan membawa Qobain ke The Great Ocean Road dan ke Grampians National Park untuk bercuti dan berehat sebelum Qobain meneruskan penjelajahannya ke Jepun. Namun atas desakan masa maka perancangan tersebut terpaksa dibatalkan. Ini kerana baru semalam Qobain tiba di Melbourne setelah beliau menunggang motosikalnya sejauh 1100km dan selama 13 jam. Beliau jelas keletihan.

Saya menunggu Qobain di kediaman Dr Ali. Apabila tiba di rumah Dr Ali, Qobain bersungguh-sunguh memohon maaf kepada saya kerana tidak dapat memenuhi undangan saya untuk melawat kawasan-kawasan semulajadi yang menarik di Victoria. Dari raut wajah beliau saya dapat melihat keikhlasannya.

Kami makan malam bersama-sama Dr Ali sekeluarga. Turut sama berada di rumah Dr Ali adalah pegawai dari MINDEF iaitu Mejar Khairuddin Mohd Noor [Malaysia Liaison Officer] yang kini ditempatkan di Defence International Training Centre, Laverton, Australia. Beliau ditugaskan menjaga dan menguruskan latihan dan pembangunan semua anggota dan pegawai tentera Malaysia yang datang ke Australia.





Menu makan malam kami sungguh istimewa. Kami dihidangkan dengan kari ayam, rendang daging, ikan goreng, taugeh dan tauhu masak kicap dan yang paling istimewa sekali adalah sambal tempoyak. Sambal tempoyak di Australia... memang sesuatu yang jarang kita dengar di Australia. Tapi Kak Aida, isteri Dr Ali sememangnya mempunyai banyak stok tempoyak yang dibuat sendiri daripada buah durian yang dibeli di Melbourne. Setelah habis makan nasi, juadah roti canai pula disajikan. Walaupun ianya roti canai segera, tetapi keenakkannya menyamai roti canai di Malaysia. Terima kasih Dr Ali dan Kak Aida.

Malam itu saya dan Qobain menginap di Malaysia Hall Melbourne. Rupa-rupanya Qobain ada rahsia yang ingin dikongsikan dengan saya. Beliau menunjukkan sebuah blog yang mengutuk dan menyindir beliau. Blog tersebut dibina oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Tanpa ada maklumat penulisnya, hanya gambar-gambar Qobain daripada laman sesawangnya sahaja disalin dan ditampal. Seterusnya dimasukkan pula caci dan nista. Ia seolah-olah sikap 'melontar batu, sembunyi tangan'. Tidak mahu bertanggungjawab dan tidak berani bersemuka. Nasihat saya mudah sahaja kepada penulis blog tersebut. Berhentilah buat kerja yang tidak berfaedah ini. Hubungi saya sekiranya ada masalah. Email dan nombor telefon telah saya sertakan. Nasihat saya kepada Qobain, teruskan usaha murni anda itu. Janganlah dilayan mereka ini.

Apalah salah si Qobain ni. Beliau sanggup berhujan dan berpanas untuk menaikkan nama negara. Di sepanjang perjalanannya di seluruh pelusuk dunia jalur gemilang sentiasa bersama beliau. Pamplet dan tanda kenangan dari Malaysia sering dihulurkan kepada masyarakat di tempat yang dilalui dan disinggahinya untuk mempromosikan Malaysia. Mngkin staf Tourism Malaysia sndiripun belum pernah pergi ke sesetengah tempat yang dilalui dan disinggahinya. Tidak salah kan? Apa pula sumbangan kita untuk negara? Takkan hanya mencaci dan mencerca?


Mungkin ada yang mengatakan, aah... senanglah naik motosikal. Soalan saya mudah sahaja. Sanggupkah anda menunggang motosikal dengan kepanasan persekitaran antara 40-44 darjah Celcius. Di selangseli pula dengan angin dan hujan lebat serta cuaca yang tidak menentu. Saya sendiri rasanya tidak sekuat Qobain biarpun saya sendiri mengajar dan mempraktiskan aktiviti rekreasi dalam kehidupan seharian saya. Beliau sememangnya Allah ciptakan sebagai seorang yang tabah dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Sanggup meredah hujan, salji dan panas untuk menambahkan pengalaman diri.


Terimalah pengorbanan Qobain ini, yang sanggup keluar daripada 'zon selesa' di usia mudanya untuk menimba pengalaman dengan menjelajah ke seluruh dunia. Sesungguhnya pengalaman berharga Qobain itu memang sepatutnya dikongsikan dengan masyarakat di Malaysia terutama sekali anak-anak muda suatu hari nanti. Itulah sumbangan besar beliau untuk diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

Wednesday 2 January 2008

Bertuahnya HambaMu Ini Ya Allah...

Semakin tiba hari untuk meninggalkan bumi Bendigo, semakin ramai Allah temukan hambaNya ini dengan orang yang baik-baik. Terasa sedih untuk meninggalkan bumi Bendigo, lokasi di mana saya sekeluarga menetap buat sementara waktu untuk menuntut ilmu.

Semakin hampir dengan tarikh penerbangan, semakin ramai rakan-rakan yang melawat saya di Bendigo. Semalam sahaja seramai 13 orang datang menziarahi saya. Mereka datang dari sejauh 2 jam perjalanan berkereta hinggalah ke 1 minit berjalan kaki.


Saya sangat berbesar hati apabila Dr Mohamed Ali, Atase Pendidikan di MSD Australia menyatakan kesudiannya untuk menziarahi saya di Bendigo. Walaupun dengan jadual tugasnya yang ketat di Melbourne, beliau akhirnya diberikan kelapangan masa oleh Allah subhanahu wata’ala untuk menziarahi saya iaitu satu-satunya penuntut Malaysia di La Trobe University, Bendigo. Terasa betapa bertuahnya diri ini apabila menjadi pilihan penuntut yang akan diziarahi oleh beliau. Sayangnya Liza dan anak-anak tidak ada sama di sini. Kalau tidak tentu suasana akan menjadi lebih meriah.

Pertama kali saya bertemu muka dengan Dr Ali adalah ketika saya sekeluarga pertama kali ke Melbourne dan menginap di Dewan Malaysia Melbourne pada 8 Mac 2007. Walaupun baru pertama kami bertemu, beliau sungguh ramah melayan kami sekeluarga seperti telah lama saling mengenali. Dr Ali sememangnya seorang yang sangat prihatin akan kebajikan penuntut di bawah jagaannya. Ianya amatlah bersesuaian dengan tugas beliau sebagai atase pendidikan. Semoga kontrak beliau akan terus disambung untuk menyumbang bakti di sini. Ini kerana pegawai yang komited sebeginilah sangat diperlukan untuk membimbing dan memantau penuntut-penuntut terutamanya di luar negara.


Semalam Dr Ali membawa isterinya, Pn Aida dan anak lelaki mereka ke Bendigo. Bersama-sama beliau di dalam rombongannya itu adalah dua pasangan penuntut Malaysia. Anang dari Monash University, Clayton Campus dan pasangannya Shah dari RMIT, City Campus. Manakala Khairudin dan Noor Azliza dari Monash University, Clayton Campus.

Alhamdulillah ada pasangan suami isteri dari pinggir Bendigo [1 jam perjalanan berkereta] secara sukarela sudi menaja nasi dagang sebagai hidangan makan tengahari dan seterusnya ‘home-made’ donut sebagai pencuci mulut untuk tetamu yang hadir.


Turut menziarahi saya semalam adalah jiran depan rumah, Brother Mike sekeluarga. Mereka turut sama makan tengahari bersama-sama tetamu saya yang lain. Seterusnya mereka menjemput saya untuk makan malam di rumah mereka dan seterusnya menghadiahkan foto mereka sekeluarga bersama saya sebagai kenangan. Bertuahnya saya semalam.





Pada minggu sebelumnya saya ada menerima kunjungan beberapa keluarga dan rakan-rakan yang telah lama dan baru saya kenali dari Melbourne. Antaranya saudara Istas sekeluarga dari RMIT City Campus. Mereka sudi menjengah dan seterusnya menginap di rumah sewa saya di Bendigo selama 2 malam. Selepas Istas sekeluarga pulang, keesokan harinya pula datang sekumpulan lagi penuntut Malaysia dari La Trobe University, Bundoora dan RMIT, Bundoora seramai 5 orang. Mereka begitu teruja apabila saya membawa mereka bersiar-siar di sekitar kampus La Trobe University, Bendigo. Setelah mereka pulang, hadir pula Muqharabbin a.k.a Qobain, penjelajah muda yang dalam siri ekspidisi bermotosikalnya di Australia. Beliau saya jamu dengan kari ayam dan sambal udang untuk makan tengahari dan makan malam. Berselera sungguh beliau nampaknya.


Sesungguhnya tetamu yang datang dan pergi ini menambahkan lagi asam garam kehidupan saya di bumi Bendigo yang akan saya tinggalkan tidak lama lagi. Semoga kesemua mereka yang saya kenali ini sentiasa diberkati dan dirahmati kehidupan mereka oleh Allah subhanahu wata’ala. Amin.

Tuesday 1 January 2008

Ayam pun Ayamlah!


Sementara menunggu tarikh penerbangan pulang ke tanahair, saya berpeluang bekerja secara sambilan di ladang ternakan ayam Hazeldene di Marong iaitu kira-kira 20km dari Bendigo. Ladang ayam ini adalah antara yang terbesar di Victoria. Ladang ini mempunyai berpuluh-puluh reban ayam yang dilengkapi dengan kemudahan kuasa generator ‘backup’, sistem penghawa dingin, dan kemudahan penyimpanan air dan makanan ayam berteknologi tinggi. Ayam Hezeldene juga mendapat akreditasi sebagai produk halal daripada Victorian Islamic Society. Setiap satu reban mempunyai 40,000 ekor ayam. Saya bekerja dari jam 8.30 pagi sehinggalah ke jam 4.30 petang. Upah yang saya perolehi juga boleh dikatakan lumayan iaitu $17.35 [RM50] sejam.

Kalau nak diikutkan elaun yang diterima oleh penuntut-penuntut di bawah tajaan kerajaan Malaysia di Australia sekarang, saya merasakan ianya lebih daripada mencukupi. Tidak perlu bekerja. Fokus pada pengajian sahaja. Tetapi disebabkan keinginan untuk menimba pengalaman bekerja di tempat orang sambil melihat suasana orang Australia bekerja, maka saya telah mendaftarkan diri dengan agensi pekerjaan Workforce Extensions Bendigo. Dalam hari yang sama juga saya mendapat keputusan bahawa saya telah diterima bekerja kerana mereka mengambil kira pengalaman saya membantu pakcik saya di ladang ayam miliknya semasa di Malaysia. Alhamdulillah saya tidak perlu menjalani sesi latihan seperti yang terpaksa dijalani oleh pekerja-pekerja baru. Ini kerana untuk sesi latihan, upahnya tidak akan dibayar untuk 8 jam pertama.


Semasa bekerja dengan warga Australia di sini saya dapat melihat bagaimana berdisiplinnya mereka bekerja. Mereka datang awal. Bersiap siaga sebelum penyelia sampai [perlu mandi sebelum memasuki reban dan mengenakan pakaian yang telah disediakan]. Tidak curi tulang. Berehat hanya apabila dibenarkan oleh penyelia bertugas dan yang menariknya setiap pekerja membawa bekalan makanan dan minuman dari rumah masing-masing.


Syukur kerana saya diterima baik di sini oleh rakan-rakan sekerja dan tidak berlaku sebarang diskriminasi warna kulit. Paling menariknya mereka amat berminat apabila mengetahui saya seorang Muslim!