Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 31 December 2008

Cepatnya Masa Berlalu

Diam tak diam dah mula dah semester baru. Shah Alam kembali sibuk dengan kembalinya berpuluh ribu siswa/i yang akan memulakan pengajian di kampus induk.

Bagaimanalah agaknya keputusan peperiksaan mereka pada semester yang lalu. Kalau cemerlang saya ucapkan tahniah. Jangan lupa sujud syukur dan ucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anda siang malam. Khabarkan berita gembira ini kepada keduanya. Tentu mereka akan bahagia.

Kepada yang gagal mencapai segala yang dihajati, jangan kecewa. Ruang untuk mencapai kejayaan masih terbuka. Terus berusaha. Tiada sesiapa yang dapat mengubah nasib anda kecuali diri anda sendiri. Berusahalah kemudian terus berdoa dan barulah bertawakal. Insyaallah Allah akan membantu anda. Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi hambanya tetapi kita sebenarnya yang sering menzalimi diri kita sendiri.

Apa-apapun kepada semua penjengok-penjengok sekalian saya mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anda semua di mana sahaja anda berada. Semoga kehadiran tahun baru hijrah ini akan membuka lembaran baru di dalam kehidupan kita. Sesungguhnya sekiranya kehidupan kita hari ini lebih baik daripada semalam maka kita tergolong di dalam golongan yang berjaya. Janganlah kita menjadi mereka yang lalai di mana hari ini mereka sama seperti semalam. Kita juga minta dijauhkan daripada menjadi golongan yang celaka di mana hari ini mereka lebih teruk daripada semalam. Maka fikir-fikirkanlah dengan mata hati.

Monday 29 December 2008

Dari Shah Alam ke Jemapoh

Sepatutnya hujung minggu lepas saya, Yasir dan Mus merancang untuk menziarahi Hazriq aka John. Perancangan Allah mengatasi segalanya. Ada aral melintang dan saya redha.

Semalam saya sekeluarga sekali lagi merancang untuk ke Taman Jemapoh, Kuala Pilah. Alhamdulillah kami selamat sampai ke sana. Sebelum memulakan perjalanan saya dah maklumkan kepada Liza dan Kamilia tentang laluan yang akan kami lalui. Saya ceritakan tentang penangan Bukit Putus yang boleh membuatkan ramai pemandu dan penumpang muntah free. Saya berikan petua supaya tak muntah. Syukur, ianya berjaya. Mungkin mereka kuatkan semangat kerana nak menziarahi John kot.

Sekarang John berada di rumah neneknya yang baru seminggu meninggal dunia. Nenek John meninggal ketika dia terlantar di hospital tempohari. John sememangnya sayang dengan neneknya. Di rumah neneknya inilah dia membesar. Nenek mengajar dia memasak. Jadi, memang patut pun dia pandai memasak.


Kaki John dah dipenuhi besi. Macam antena TV pula. Tapi John kuat. Disambut dan dilayannya kami walaupun sakitnya hanya Allah yang tahu. Sama-samalah kita doakan John cepat sembuh dan dapat meneruskan aktiviti hariannya.

Kepada penjengok sekalian yang mempunyai kelapangan masa bolehlah melawat beliau di Kuala Pilah. Perjalanan hanya mengambil masa 2 jam 30 minit (pemanduan tenang dan berhenti-henti) iaitu kira-kira 120 km dari Shah Alam.

Salam Ma'al Hijrah 1430

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah subhanahu wata'ala, tuhan kita semua kerana kita masih diberi peluang dan kesempatan oleh-NYA serta dikurniakan nafas dan nikmat untuk sama-sama menyambut kedatangan awal Muharram tahun 1430 Hijriah. Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Hijrah kepada semua penjengok² muslimin dan muslimat. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini, kita semua dapat mengambil pelbagai iktibar serta contoh tauladan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan kita bagi keperluan hari² yang mendatang.

Sama-samalah kita doakan semoga dengan kedatangan tahun baru ini akan meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada ISLAM, dimurahkan rezeki dengan RAHMATNYA dan senantiasa dalam KEREDHAANNYA...amin

Saturday 27 December 2008

Ulangtahun Pertama

Hari ini merupakan ulangtahun pertama blog Coretan di Kala Senggang. Ketika pertama kali menulis di blog, saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menyunting posting yang pertama. Saya mengambil masa seminggu untuk mengarang cerita pertama tersebut. Semuanya bermula di Bendigo. Sesungguhnya kenangan manis sepanjang di Bendigo tidak akan saya sekeluarga lupakan. Sebab musabab kenapa saya menulis di blog pula saya coretkan di sini.

Apabila pulang dari Bendigo, saya bertekad untuk menggalakkan lebih ramai lagi rakan-rakan dan pelajar-pelajar saya untuk terlibat di dalam dunia penulisan blog. Alhamdulillah sehingga ke hari ini ratusan blog berjaya dihasilkan hasil hasutan dan paksaan saya samada secara terang-terangan atau dalam diam-diam. Ini merupakan satu perkembangan yang menarik di mana blog boleh menghubungkan silaturahim yang sedia terjalin biarpun di mana kita berada. Selain itu pemikiran seseorang itu akan dapat dipindahkan terus ke webblog masing-masing dan menariknya semua orang boleh melayarinya.


Harapan saya agar demam blog akan berterusan dan tidak hanya menjadi satu fenomena sementara sahaja. Saya pernah memberi nasihat dan harapan kepada bloggers baru di sini. Kegilaan saya dengan blogosphere menyebabkan saya menulis posting ini. Oleh itu, kepada penjengok-penjengok yang masih belum mempunyai blog sendiri, marilah ramai-ramai kita meriahkan dunia blog. Dunia tanpa sempadan. Sertailah 500,000 bloggers lain yang terdapat di Malaysia. Tulislah apa sahaja yang menjadi minat anda semua untuk dikongsikan bersama. Jangan ditunggu lagi. Lontarkan idea-idea anda di dalam blog. Jangan biarkan idea anda itu berkarat begitu sahaja.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana telah dikurniakan kekuatan dan idea untuk menulis dan mengemaskini blog Coretan di Kala Senggang. Semoga blog ini akan terus menjadi wadah yang dapat merapatkan saya dan penjengok-penjengok sekalian.

Friday 26 December 2008

Raja Lawak

Saya taklah pandai sangat melawak. Namun saya tidaklah pula terlalu serius hingga tidak pandai membuat lawak. Masa belajar di UPM dulu saya pernah berlakon satu sketsa semasa Pertandingan Persembahan di peringkat Kolej. Tak sangka pulak, sketsa kami yang spontan tetapi telah dirancang jalan ceritanya telah menjadi juara. Saya dan kawan-kawan yang sama-sama berlakon puas apabila melihat penonton kebanyakannya ketawa dan tersenyum apabila kami melakonkan watak masing-masing. OK la tu, bila orang dah gelak tu maknanya lawaklah tu. Namun saya yakin bahawa bukan senang sebenarnya untuk membuat lawak. Mana mungkin seseorang yang tiada sense of humour cuba untuk menghiburkan penontonnya dengan aksi, gelagat dan kata-kata yang melucukan. Lawak tidak boleh dibuat-buat dan penonton pula tidak boleh dipaksa untuk ketawa. Biarkan penonton menilai sendiri persembahan dan ketawa sekiranya lakonan yang ditampilkan sememangnya melucukan.

Sebenarnya ramai kawan-kawan kita yang pandai berlawak. Saya berani mengatakan begini kerana sepanjang menghadiri banyak perkhemahan, saya dapat melihat pada malam persembahan, terutamanya, pelbagai idea kreatif yang begitu menghibur dan boleh menceriakan suasana disampaikan secara spontan di dalam persembahan. Penonton yang terdiri daripada rakan-rakan dan fasilitator akan ketawa berdekah-dekah apabila melihat aksi dan persembahan yang melucukan. Mungkinkah satu hari nanti Raja Lawak yang paling terkenal di negara ini akan hadir dari mereka yang kita kenali dari kem-kem rekreasi. Mungkin!

Thursday 25 December 2008

Sehari yang Lenggang

Hari Natal cukup istimewa kepada penduduk di negara Australia yang mempunyai majoriti penduduknya yang beragama Kristian ini. Saya sempat merasai sendiri suasana Hari Natal di Bendigo setahun yang lalu.

Kerajaan di sana memberikan 'hadiah' perkhidmatan awam secara percuma pada hari tersebut untuk ke destinasi tertentu. Jadi pengguna boleh makan angin atau melawat kawan-kawan dan saudara mara secara percuma di Hari Natal ini. Saat inilah selalunya digunakan sepenuhnya oleh penuntut-penuntut dari Malaysia untuk berjalan-jalan atau makan angin secara percuma dengan menaiki kenderaan awam seperti keretapi.

Awal-awal pagi lagi saya dah bangun. Ada tugasan penting yang perlu saya laksanakan. Saya telah berjanji dengan Mas Heri (tuan rumah) untuk menghantarnya ke Stesen Keretapi Bendigo. Dia akan pulang bercuti ke Indonesia selama sebulan. Anak-anak dan isterinya dah sebulan awal berangkat pulang ke Indonesia. Cuti sekolah la katakan. Bagi Mas Heri, setelah berpenat lelah mencari rezeki di tempat orang, inilah masanya yang paling sesuai untuk dia sekeluarga bercuti. Akhir bulan Januari nanti baru dia sekeluarga akan pulang semula ke Bendigo. Jadi sayalah diminta untuk menjaga harta yang ditinggalkannya di Bendigo. Dua buah banglo dan dua kereta mewah.


Memang syahdu pagi itu. Entah bila lagi saya akan berjumpa dengan Mas Heri dan keluarganya yang baik hati. Apabila Mas Heri sekeluarga kembali ke Bendigo, saya sudah selamat berada di Malaysia. Mereka sekeluarga begitu mengambil berat tentang kebajikan kami sekeluarga sepanjang berada di Bendigo. Tiada kenderaan, diberinya kami pinjam kereta. Macam-macam lagi bantuan yang beliau sekeluarga curahkan kepada kami sekeluarga sepanjang kami sekeluarga. Semuanya ikhlas. Atas dasar silaturrahim sesama Muslim. Semoga keluarga Mas Heri dirahmati Allah.

Selepas Mas Heri berangkat ke Melbourne dengan perkhidmatan keretapi percuma dan seterusnya ke Tullamarine Airport, Melbourne saya merayau-rayau sekitar bandar Bendigo. Inilah pertama kali saya melihat suasana di pagi Hari Natal. Anda saksikanlah sendiri betapa lenggangnya bandar Bendigo di pagi Hari Natal setahun yang lalu.


Wednesday 24 December 2008

Tahniah Rakan-Rakan

Tahniah kepada rakan-rakan di FSR yang telah mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Pensyarah Kanan (DM52).

Antara yang berjaya adalah Rahim Meerah, Khairulzaman, Sarina, Sarimah dan Hamdan. Kepada yang telah memohon dan masih belum berjaya, diharapkan terus berusaha dan berdoa untuk turut sama mengikut jejak langkah rakan-rakan kita tadi. Rezeki kita akan tiba juga. Yang penting bersyukur dan jangan berdengki.

Nota: Dicatatkan ketika mesyuarat Amanah Tugasan Akademik tengah hangat berlangsung

Tuesday 23 December 2008

Memberontak

Jiwa ini memberontak dan meronta-ronta untuk menulis bagi mengisi catatan peribadi dan maklumat terkini di dalam Coretan di Kala Senggang. Ada sahaja idea yang muncul di dalam pemikiran saya. Namun Broadband yang baru saya langgan ni asyik bermasaalah sahaja perkhidmatannya untuk saya login ke dalam blogspot. 3G kurang coverage agaknya di kawasan perumahan saya. Maafkan saya. Kalau Wan Kamaruzaman NTV7 masih ada tentu dikatakannya, "Apa kejadahnya semua ini!”. Bukannya duduk di ulu tetapi hanya beberapa kilometer sahaja dari Bandaraya termasyhur. Sabar ajalah.

Sebenarnya saya masih dengan semangat cuti. Macam cuti orang berpantang pulak. Walaupun pada hakikatnya saya berpantang juga, hehehe. Kadangkala saya ke pejabat juga kalau ada panggilan dari Marzura (Penolong Pendaftar) atau Hashbullah (Timbalan Dekan) untuk mesyuarat penting fakulti atau di Bahagian Pengambilan. Saya nak habiskan masa bersama puteri baharu dan isteri. Saya tak sanggup membiarkan Liza keseorangan menguruskan Kaisara di rumah. Dalam beberapa minggu kebelakangan, semenjak Liza bersalin, saya berusaha sebaik mungkin untuk menjadi surirumah. Saya baru belajar balik memasak, mencuci, menjemur dan melipat pakaian, melayan tetamu yang tak putus-putus melawat Kaisara dan Liza, menyediakan juadah kepada tetamu yang hadir (sekadar yang termampu) dan tak lupa juga melayan karenah dua lagi anak kami, Kamilia dan Kaisara.

Semalam Kamilia ke sekolah baru. Ada Hari Orientasi. Nasib baik Kamilia OK. Saya tengok ada jugak budak-budak yang menangis tak mahu berpisah dengan mak bapak masing-masing. Kamilia kuat semangat. Macam bapak dia kot, hehehe. Papa doakan Kamilia berjaya dunia dan akhirat. Menjadi anak yang solehah dan ingatkan mama, papa dan adik beradik yang lain bila dewasa nanti.

Kamil pula macam biasa. Lelaki tetap lelaki (mungkin saya pun sama juga masa kecil dulu). Main sahaja. Makin lasak. Mainnya pun cara lelaki. Letih melayan. Kasihan Kaisara sering dibuli. Dicuit sini sana. Jenuh nak tepis. Saya faham, dia perlukan perhatian juga. "Dah 3 tahun lebih kasih tertumpah ke Kamil. Tup-tup ada orang baru yang dah 'curi' kasih papa dan mama kepada Kamil". Mungkin itu yang Kamil fikirkan. Kadang-kadang tu kena guna juga kaedah bilik gelap dan di’grounded’. Namun semuanya sekejap sahaja. Lepas tu dia buat balik.


Kaisara diserang ruam satu badan. Ada selsema sikit-sikit. Dah beberapa hari saya dan Liza bawa dia ke klinik dan hospital. Kena check. Takut juga kot-kot denggi atau demam campak. Pohon dijauhkan. Kasihanilah dia, Ya Allah. Kaisara masih terlalu kecil untuk menanggung dugaan-Mu.

Alhamdulillah semuanya OK. Cuma ruam sahaja yang masih ada sikit lagi. Ubat sapu dari klinik dan hospital ada kesannya. Saya juga gunakan petua orang kampung untuk ruam. Disapukan Kaisara dengan tepung ubi. Alhamdulillah makin kurang ruamnya. Kaisara sihat. Kuat menyusu.

Hari saya masuk kerja. Banyak kerja perlu dilangsaikan. Aduh…

Rapuhnya Kini

Beberapa hari lepas saya tengok ada sekumpulan anak-anak Melayu dan India sedang berkumpul betul-betul di depan TESCO Extra. Suasana petang tadi nampaknya agak gawat. Dua orang pemuda mungkin awal 20-an masing-masing satu India dan satu Melayu dah bersedia nak bertinju. Masing-masing nak tunjuk gagah. Apa sebabnya tidak pula dapat saya pastikan. Saya menjangkakan mungkin sebab terlanggar bahu sahaja (firasat saya sahaja). Ramai penonton tak berbayar di sekeliling mereka. Saja seronok nak menonton.

Nasib baiklah ada seorang mamat India ni yang masih nak pakai otak (rasional) dan bukannya emosi semata-mata. Dia nampaknya lebih dewasa daripada kedua-dua budak Melayu dan India tadi. Dari pakaian seragam yang dipakai, mungkin dia staf TESCO. Disuruhnya si India tadi beralah dan meminta yang Melayu tadi berhentilah tolak menolak. Hujan renyai-renyai tidak menghalang lebih ramai penonton tidak berbayar mengerumuni mereka. Saya hanya sekali sekala memandang dari jauh sambil memasukkan barang ke dalam but kereta. Biasalah nak tahu juga apa kesudahannya.

Alhamdulillah keduanya berdamai akhirnya walaupun jelas kelihatan muka tak puashati di antara keduanya yang masih lagi menebal. Nasib baik ada PBB (lelaki India dewasa) yang sudi mendamaikan kedua. Nasib baik Allah kurniakan keberanian dan kekuatan kepada PBB tersebut untuk menjadi pendamai. Kalau tidak, sudah tentulah peristiwa petang tadi akan menjadi rentetan kepada aksi yang lebih ganas lagi. Mana taknya, rupa-rupanya kedua-dua budak lelaki tadi dah ada kawan masing-masing yang telah bersedia di samping keduanya. Yang ramai-ramai tadi tu rakan-rakan merekalah tu.

Teringat saya di zaman sekolah dahulu. Mungkin inipun pernah saya ceritakan dahulu. Saya ada kawan baik dari sekolah rendah sampai menengah. Nama dia Punaneswaran. Budak India ni memang suka nyanyi lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Alleycats. Kebetulan pula memang kami peminat Alleycats maka kami memang ngam. Sambil-sambil tu Punanes juga mengajar saya beberapa sebutan di dalam bahasa Tamil dan mengajar saya menyanyi beberapa lagu dalam bahasa Tamil dan Hindustan. Persahabatan kami tak lama. Selepas tamat SRP (atau PMR sekarang), Punaneswaran tak muncul-muncul lagi. Kata jirannya, dia dah pindah ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam ikut makciknya (Nota: Ibubapanya dah lama meninggal). Saya hilang seorang kawan dari bangsa lain yang cukup ngam pada masa itu. Selain daripada itu saya ada beberapa orang lagi kawan dari bangsa lain antaranya Ooi (anak pemilik Klinik Ooi yang terkenal di Kulim, Chong Cheng Min (anak pemilik Night Bookstore), Wong Chee Meng, Kumaladewi dan beberapa nama lagi yang saya dah lupa. Kami semua berkawan baik sehinggalah masing-masing tamat SPM.

Ketika belajar di universiti pula saya ada kawan baik yang sering bersama saya. Shamraj namanya. Walaupun kami dari program yang berbeza di universiti, tetapi outdoor yang menemukan dan merapatkan kami. Kami sama-sama aktif dalam Kelab Outward Bounders pada ketika itu. Sehingga kini kami masih berhubung. Kesibukan tugas dan rutin kehidupan masing-masing yang memisahkan kami.

Di tempat kerja sekarang pula sebenarnya FSR sangat bertuah kerana mempunyai beberapa orang pensyarah dari bangsa lain. Mereka ini sudi berkhidmat untuk memajukan anak bangsa saya. Mereka tidak kisah bekerja di dalam satu organisasi yang majoritinya Bumiputera berbangsa Melayu. Tan, Ong, Kee, Tham, Khor, Dr Wee, Mahendran, Dr Kwame dan Vincent adalah antara mereka yang setia mendidik anak-anak bumiputera di UiTM. Kesetiaan dan semangat mereka kadangkalanya melebihi daripada semangat mendidik daripada bangsaku sendiri. Sesungguhnya kita di UiTM patut bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan dari bangsa lain yang sanggup berkongsi ilmu seperti ini.

Oleh nasihat saya kepada penjengok-penjengok sekalian, janganlah dimusnahkan kehidupan kita yang aman damai di bumi bertuah ini. Jangan kita asyik nak bersengketa dek kerana benda yang remeh temeh sahaja. Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk membangunkan bangsa, agama dan Negara. Sesungguhnya Negara kita ini kecil sahaja. Kalau semua orang nak bergaduh siapalah lagi yang boleh kita harapkan untuk menjaganya.

Fikir-fikir renung-renunglah dengan mata hati.

Monday 22 December 2008

Tawaran Biasiswa Skim TPM

Hari ini UiTM secara rasminya telah mempelawa Bumiputera warganegara Malaysia yang mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk memohon biasiswa di bawah Skim Tenaga Pengajar Muda (TPM) UiTM 2009. Iklan TPM boleh anda layari di sini.

Antara tawaran bidang-bidang Biasiswa Skim TPM yang diperuntukkan di peringkat Ph.D untuk FSR adalah Biomechanics, Human Motor Control, Sport Physiology, Disable Sport, Leisure & Recreation dan Fitness Technology. Manakala bidang-bidang di peringkat sarjana pula adalah Outdoor Recreation, Sport Management, Coaching Science dan Sport Tourism.

Kepada penjengok-penjengok yang layak silalah memohon. Pastikan anda benar-benar berminat dahulu barulah memohon.

FSR sudah mempunyai sejarahnya yang tersendiri di mana beberapa orang calon yang telah berjaya ketika temuduga dan seterusnya mendapat tawaran Biasiswa Skim TPM untuk pengajian di luar negara namun berterusan mendiamkan diri. Sudah tentulah mereka ini telah menutup peluang rakan-rakan lain yang turut sama datang untuk ditemuduga tetapi tidak terpilih. Persoalannya kini, perlukah kita memberi peluang kedua kepada Hamba Allah ini untuk berbakti di FSR.

Saturday 20 December 2008

Berubah

Menetapkan jadual kuliah untuk pelajar-pelajar di FSR tidak semudah yang dijangka. Dengan bilik kuliah yang terhad menyukarkan lagi pengagihan kelas. Namun atas dasar tolak ansur di antara Ketua Program Diploma dan Ijazah SR221 dan SR223 berjaya memudahkan kerja yang sukar ini.

Jadual kuliah pelajar Diploma disusun dahulu. Jadi ini memberi kelebihan kepada saya untuk memilih mana-mana bilik kuliah dan masa yang sesuai untuk pelajar Diploma. Sudah tentulah saya memilih seawal jam 8.30 pagi sebagai waktu yang paling sesuai untuk memulakan kuliah untuk semua bahagian diploma. Biar pelajar Diploma bangun awal dan membiasakan bangun pagi.

Dahulu kelas saya dimulakan seawal jam 8.00 pagi. Sekiranya ada ahli kelas yang datang lewat maka kuliah untuk minggu seterusnya diawalkan 10-15 minit. Rekod dipegang oleh kelas Recreational Sport. Akibat ada yang berdegil untuk datang awal ke kuliah makan kumpulan tersebut memulakan kelas mereka pada pukul 6.50 pagi. Maka berlarilah kami semua satu UiTM sehinggalah ke Tasik Shah Alam.

Agak-agaknya bolehkah ianya dilaksanakan semester hadapan. Saya rasakan ini kaedah sesuai untuk menyegarkan minda pelajar. Kita tunggu!

Friday 19 December 2008

Menakutkan

Melihat keputusan Peperiksaan Akhir Oktober 2008 pelajar-pelajar Diploma Pengajian Sukan (SR113) di Kampus Shah Alam cukup menakutkan saya. Mana taknya, keputusan kali ini mencatatkan keputusan keseluruhan yang merudum. Apa dah jadi sebenarnya?

Ketika membentangkan keputusan mereka ini di hadapan ahli Lembaga Akademik Fakulti saya rasa malu sangat. Mana taknya, keputusan yang dicatatkan oleh pelajar lain di cawangan dan kolej bersekutu cukup memberangsangkan. Keputusan pelajar-pelajar SR113 di cawangan dan kolej bersekutu jauh lebih baik dari sebelumnya untuk kebanyakan kursus. Kalau nak dikatakan pensyarah di Shah Alam kedekut markah, saya tak rasa begitu. Kebanyakan pensyarah yang mengajar diploma pun pernah mengajar di cawangan. Mereka pun pernah membuat penilaian untuk pelajar di cawangan. Tak pula pada waktu itu berlaku penurunan mendadak keputusan seperti yang berlaku di Shah Alam pada kali ini.

Melalui maklumat yang telah saya perolehi, saya telah mengenalpasti dan membuat beberapa kesimpulan tentang keputusan peperiksaan yang terburuk ini. Saya harapkan perkara ini dapat diatasi pada semester hadapan agar keputusan yang lebih cemerlang akan dapat dicatatkan semula di Shah Alam.

Kepada pelajar-pelajar FSR yang membaca posting kali ini saya mengharapkan anda terus berusaha untuk kecemerlangan diri dan bijak memilih kawan di menara gading ini. Ini kerana sekiranya dah tersilap memilih kawan, jawabnya semester seterusnya tak nampak lagilah kelibat anda di FSR.

Selain daripada itu pandai-pandailah membahagikan masa. Kalau nak dikatakan sibuk dengan latihan sukan, saya merasakan senior-senior kamu dahulu pun atlit juga dan mereka pun sibuk dengan latihan juga. Alhamdulillah, berkat pembahagian masa yang berkesan dan seterusnya berbaik-baik dengan pensyarah maka mereka telah mendapat hasilnya. Jadi kepada yang masih 'baru' di FSR saya nasihatkan bukalah buku baru sempena Tahun Baru yang akan menjelang tidak lama lagi.

Wednesday 17 December 2008

Janji Kamilia

Kamilia sukar melelapkan mata. Jarinya asyik membilang. Sekejap-sekejap dia tengok ke arah jam dan terus membilang. Semuanya dia lakukan tanpa menyedari yang saya sedang memerhatikan gelagatnya.

"Sudahlah kakak, tidur cepat... dok bilang apa lagi tu", saya mula bersuara. "Papa jangan lupa tau esok kejut kakak awal... nak main dengan baby", balas Kamilia mengingatkan saya.

Saya tahu sebenarnya bukan nak bermain dengan Kaisara tetapi ada cerita disebaliknya.

2 tahun lepas iaitu di penghujung tahun 2006 saya pernah membawa Kamilia ke pawagam untuk pertama kalinya. Semuanya kerana penangan Cicakman yang diheboh-hebohkan oleh kawan di tadikanya. Jadi saya cuba luangkan masa untuk membawanya menonton filem Cicakman di TGV Bukit Raja. Kami sampai agak lewat tengahari tu. Tayangan dah nak mula. Nasib baik ada lagi tiket. Dapatlah tempat duduk yang paling depan. Apa lagi melangutlah jawabnya. "Wuui... besarnya TV tu", jerit Kamilia sambil menunjukkan ke arah skrin. Alahai saya terus suruh dia diam. Ingat macam tengok TV kat rumah kot. Boleh Bising-bising. Buat malu company aja. Orang belakang dan tepi siap gelak lagi. Habis tayangan Kamilia ajak saya tengok sekali lagi. Tak puas katanya. Saya janji pada Kamilia kalau ada Cicakman 2 saya akan bawa dia menonton lagi. Kamilia setuju. Selamat...

Semenjak iklan Cicakman 2 muncul di TV pertengahan bulan lepas, Kamilia mula menuntut janjinya semula. Alahai, ingatkan dah lupa janji 2 tahun lepas. Kena tunai la pulak nampaknya.

Seperti yang telah dijanjikan saya membawa Kamilia ke TGV Bukit Raja. Kali ini kami ada seorang lagi ahli baru, Kamil. Saya masih waswas dengan Kamil sebenarnya. Takut dia menjerit suruh orang kat pawagam nyalakan lampu. Saya dah ceritakan kat dia, tentang keadaan gelap di dalam panggung. Tapi lain pulak cadangannya. Disuruhnya saya bawa torchlight sambil menunjukkan headlamp saya yang tergantung dalam stor.

Kali ini kami datang awal. Dapat beli tiket dan dapat tempat duduk di bahagian tengah belakang sekali. Selesa sikit. Peristiwa 2 tahun lepas berulang. Tapi kali ini Kamil pula yang bersuara, "Besarnya TV tu papa!". Kamil menjerit macam panggung tu dia yang punya. Aduh susah jugak nak kawal budak seorang ni.

Mata saya gagal dikawal seperti tayangan Cicakman yang dulu. Ketika aksi gaduh antara Cicakman, Rrama dan Professor Klon mata saya terlelap. Siap berdengkur lagi. Nasib baik Kamilia kejutkan. "Papa ni asyik tidur ja macam dulu," bebel Kamilia semasa kami keluar dari pawagam selepas filem Cicakman 2 selesai. Namun saya dapat lihat kedua-dua adik beradik tu puas kerana dapat menonton filem Cicakman 2.

Tapi kali ini takda lagi janji untuk Cicakman yang seterusnya.

Monday 15 December 2008

John Ditimpa Kemalangan!

Sebentar tadi saya baru dapat bercakap dengan John di talian. John ditimpa kemalangan dan kini terlantar di Hospital Besar Melaka. Kakinya patah dan telah dibedah. Kakinya sekarang telah dimasukkan besi. Khabarnya dia telah mendapat kebenaran daripada pihak hospital besar agar dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah. Ini kerana tiada ahli keluarga yang dapat menemaninya di Melaka. Kehadiran Syariman yang kebetulannya sedang menemani adiknya yang masih koma sedikit sebanyak dapat menjadi kawan berbual John.
Sama-samalah kita doakan kesihatan untuk John. Semoga dia cepat sembuh dn bersabar menempuh dugaan ini. Kepada sesiapa yang berkesempatan bolehlah melawat beliau.

Hari ini ke CANGGIH, Esok ke Sekolah

Tinggal beberapa hari sahaja lagi Kamilia akan memulakan persekolahan di Tahun 1. Kelengkapan sekolah satu pun belum dibeli lagi. Panik juga saya dibuatnya bila terpaksa pergi sendiri untuk membeli kelengkapan Kamilia. Selalunya tugasan membeli kelengkapan anak-anak ini saya serahkan kepada Liza. Saya ini memang jenis yang tak reti membeli barang untuk orang lain. Selalunya pilihan saya ada saja yang tak kena.

Nak tak nak, kelengkapan sekolah Kamilia perlu dibeli. Berangkatlah kami tiga beranak (Kamilia & Kamil) ke Plaza Alam Sentral. Di situ Liza kata ada Kedai Baju Sekolah Canggih. Dapat diskaun 10% sebab Liza dah daftarkan keahlian.

Sampai saja kat kedai tu, terkejut juga saya dibuatnya. Ramainya manusia. Macam pesta la pulak. Semuanya sibuk memilih dan mencuba pakaian untuk anak masing-masing. Saya mati kutu juga. Nak pilih baju sekolah macam mana ya? Saya tengok pelangan lain semuanya macam cekpa saja memilih kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka. Semuanya datang dengan suami/isteri dan anak-anak. Saya tak lengkap seorang.

Selepas terkebil-kebil seketika di dalam kedai, akhirnya muncul seorang promoter yang sudi membantu. Itupun selepas saya membaca dengan agak kuat papa tanda yang tercatat "Please Call for Assistance!". Jadi saya serahkan Kamilia pada dia dan saya katakan bahawa saya nakkan pakaian sekolah rendah untuk anak saya ini. Senangnya kerja saya. Semuanya orang yang tolong buat.

Tup-tup, semua yang Kamilia perlukan untuk ke sekolah dah ada dalam bakul. Semuanya 3 set lengkap. Kini baru saya tahu, boleh tahan jugalah rupanya harga kelengkapan pakaian sekolah untuk budak-budak ya.

Rezeki Kaisara

Semenjak Kaisara dilahirkan, tidak putus-putus teratak saya dikunjungi tetamu. Semuanya ingin melawat dan melihat sendiri bayi yang baru dilahirkan sambil bertanya khabar isteri tercinta.

Saya sebenarnya seronok apabila teratak kami dikunjungi tetamu. Walaupun keletihan kerana melayan karenah Kaisara ketika malam menjelma, namun kehadiran tetamu di siang hari tetap saya dan keluarga sambut.

Saya sekeluarga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran sekalian yang sudi berkunjung dan bertanya khabar. Semoga kunjungan anda tidak menjadi kunjungan yang terakhir. Kunjungan sebegini sebenarnya boleh meraparkan silaturrahim sesama kita. Maafkan kami sekeluarga sekiranya layanan yang diberikan tidak seberapa.

Saturday 13 December 2008

Mesra Alam

Saya begitu teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki di School of Outdoor Education and Environment, La Trobe University Bendigo tahun lepas. Mana taknya, di sini tempat berkumpulnya pakar-pakar dalam bidang pendidikan luar dan alam sekitar dari serata Australia. Antara pakar-pakar tersebut adalah Professor Noel Gough, Dr Andrew Brookes, Dr Peter Martin, Dr Glyn Thomas dan Allison Lugg. Mereka ini banyak membantu saya ketika menuntut ilmu di sana.

Di sini saya turut ingin menceritakan tentang konsep mesra alam yang menjadi amalan di school ini. Rekabentuk bangunan yang dibina telah dengan sendirinya menunjukkan school ini mesra alam. Bangunan yag dibina betul-betul dipinggir hutan atau bush kata masyarakat Ausralia. Dari dalam bilik kuliah pula, kami dapat melihat dengan jelas keindahan alam semulajadi di sekeliling bangunan melalui tingkap bilik kuliah. Dari tingkap bilik postgrad yang saya huni bersama-sama orang pelajar siswazah selama hampir satu tahun juga boleh saya saksikan keindahan alam semulajadi. Seringkali saya dapat melihat kanggaru dan wallaby keluar mencari makan di kawasan sekitar school.

Menariknya lagi di sini, batang-batang pokok yang tumbang atau yang ditebang sekiranya merbahaya akan dipotong untuk dijadikan kerusi untuk aktiviti atau pembincangan di luar kelas. Kawasan sekitar school penuh dengan kerusi-kerusi semulajadi yang menambahkan lagi konsep mesra alam yang diamalkan di sini. Pensyarah menggunakan sepenuhnya 'bilik kuliah' yang sedia terbina di luar sana. Ini menambahkan lagi mood pelajar untuk berinteraksi berbanding dalam keadaan bilik kuliah sebenar yang sentiasa mengongkong minda mereka.

Oleh kerana kehebatan dan kemashyurannya maka, memang bertepatan sangatlah apabila namanya telah ditukar kepada Center for Excellence in Outdoor and Environmental Education. Semoga LTUB terus melahirkan lebih ramai pendidik dan pakar-pakar dalam pendidikan luar dan alam sekitar.

Thursday 11 December 2008

Kaisara Afiqah Binti Hisyam

Alhamdulillah, hari ini genap Kaisara Afiqah berumur 2 minggu. Semenjak dua tiga malam kebelakangan ini Kaisara Afiqah nampaknya sudah boleh menyesuaikan kehidupannya dengan tidak menangis pada waktu malam. Kalau tidak, bermula dari jam 11 malam Kaisara akan menangis sehinggalah ke jam 4 pagi. Semuanya serba tidak kena.


Amalan yang saya lakukan adalah membaca Surah Yaasin di sisinya selepas solat Maghrib dan seterusnya bermohon kehadrat Illahi semoga Kaisara dapat tidur dan selesa pada malam harinya. Syukur Alhamdulilah sekarang ini Kaisara cuma bangun di waktu malam untuk diberi susu sahaja. Ternyata Kaisara kasihankan papa dan mamanya.

Eidul Adha II

Mendengar Khutbah selepas solat sunat Eidul Adha sungguh menginsafkan. Walaupun kisah berkaitan pengorbanan Nabi Allah Ibrahim alaihi wassalam dan anaknya Nabi Ismail a.s. serta isteri beliau Siti Hajar acapkali saya dengar, namun penyampaian dengan penuh perasaan daripada Khatib yang juga Pengerusi Surau Al-Mawaddah Seksyen 7 cukup menusuk kalbu.

Sudah pastilah setiap kali apabila tibanya Eidul Adha, kita tidak akan lupa mengimbas kembali kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ‘alaihi wassalaam. Kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar daripada pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., yang patuh dengan sepenuh hati dan ketakwaan serta dengan penuh rela hati bersedia mengorbankan atau menyembelih anaknya.

Saya juga ingin sama-sama megimbas kembali kisah pengorbanan Saidatina Siti Hajar, ibunda kepada Nabi Ismail a.s. di dalam usahanya untuk menyelamatkan anaknya yang kehausan. Dengan penuh kesungguhan dan kasih sayang, beliau berusaha tanpa lelah berlari dan mendaki di antara Bukit Safa dan Marwah. Sepanjang itu, beliau tidak lupa akan Allah s.w.t. dan meminta bantuan serta pertolongannya. Walaupun pada mulanya beliau tidak memperolehi air yang dicari, beliau tetap meneruskan usahanya. Akhirnya, berkat kegigihan dan kemantapan jiwa yang dimiliki oleh Saiyidatina Siti Hajar, Allah mengurniakan apa yang dicarinya. Sikap positif Siti Hajar telah mendorong beliau untuk meneruskan usahanya tanpa lelah dan mengalah. Berkat kegigihan dan keyakinannya, Allah s.w.t. telah membalas pengorbanannya dengan pancuran air Zam Zam yang dikekalkan sehingga hari ini untuk dimanfaatkan oleh jutaan manusia. Siti Hajar terus meminta bantuan Allah s.w.t. dan tidak berputus asa denganNya.

Kisah di atas boleh dijadikan pelajaran yang begitu penting sekali bagi kita di dalam berdepan dengan sesuatu dugaan. Kekalkan sikap positif dan tingkatkan keyakinan kita pada Allah s.w.t. Usahakan supaya kita dapat meraih manfaat di dalam melalui kepayahan dan menjalani pengorbanan.

Eidul Adha I

Sambutan Hari Raya Korban kami sekeluarga pada tahun ini hanyalah di Cahaya Alam. Apa boleh buat, Liza tak boleh jalan jauh. Sakit bila terhentak. Jadi tak dapatlah beraya di kampung.

Liza awal-awal lagi dah menceritakan kepada saya tentang kemeriahan Eidul Adha di sini. Tahun lepas saya menyambut Eidul Adha di Bendigo. Tak ada pengalaman langsung beraya di Cahaya Alam. Hanya Liza dan anak-anak yang pulang awal sedikit dari Bendigo yang sempat merasai kemeriahan beraya di Cahaya Alam.

Sungguh saya tak sangka, seawal jam 11 pagi ramai jiran-jiran sudah mula serbu rumah Pakcik Ramli (antara penduduk terawal di Cahaya Alam). Seperti tahun lepas, Pakcik Ramli menjamu para tetamu dengan lontong dan sate ayam panas-panas. Semua juadah trsebut disediakan sendiri oleh Pakcik Ramli sekeluarga yang sememangnya pakar sate. Yummy.

Lepas tu Abg Awei, jiran depan rumah pulak jemput ke rumah. Ada jamuan lagi. Nasi dagang dengan pulut kuning. Alahai murahnya rezeki di pagi Eidul Adha.

Adalah juga kaum ibu yang berkunjung ke rumah saya. Apa yang mampu kami sediakan hanyalah ayam yang dipanggang di dalam oven yang sepatutnya menjadi juadah perempuan dalam pantang. Tapi makcik-makcik ini tak kisah. Yang penting jalinan persaudaraan dan saling menziarah ini yang diutamakan bukannya makan.

Tak sangka ya, rupa-rupanya sekarang ini kawasan perumahan saya boleh dipanggil Kampung Taman Cahaya Alam dek kerana suasana kejiranannya tak ubah seperti di kampung.

Yang dan Pak Lang

Memang saya cukup teruja untuk mempunyai ramai anak. Ketika bercinta dahulupun saya pernah menyatakan kepada Liza tentang hasrat saya yang menginginkan anak seramai mungkin sekiranya kami ditakdirkan hidup bersama. Saya tak kisah untuk menjaga mereka kesemuanya. Saya yakin saya mampu. Nah, sekarang Allah sudah kurniakan kami 3 orang cahaya mata. Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya dan Liza masih mampu menangani karenah ketiga-tiga mereka.

Saya tidak akan lupakan jasa Yang (adik mak saya) dan Pak Lang yang sanggup datang dari Kulim untuk mengajar saya cara untuk memandikan dan menguruskan Kamilia yang ketika itu masih bayi. Mula-mulanya memanglah saya melakukan dalam keadaan yang akan kekok dan serba tak kena. Tetapi setelah beberapa kali ditunjukkan cara yang betul, saya memberanikan diri untuk memandikan bayi yang masih lembik itu. Pengalaman ini cukup berguna untuk saya gunakan hinggalah ke hari ini.

Sayangnya Yang telah pergi untuk selama-lamanya genap dua tahun lalu di Tanah Suci Mekah selepas selesai wukuf di Padang Arafah. Jasa arwah Yang tidak akan saya dan Liza lupakan selagi hayat dikandung badan. Keikhlasan arwah Yang dan Pak Lang juga jelas terpancar ketika kedua-dua mereka datang semata-mata untuk mengajar saya dan Liza tentang cara untuk mengerjakan ibadah umrah pada tahun 2002. Alhamdulillah dengan pengajaran melalui pengalaman mereka telah memudahkan saya dan Liza di dalam mengerjakan ibadah umrah. Semoga roh allahyarhamah Hamidah binti Mohamad Noh dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman. Al-Fatihah.

Wednesday 10 December 2008

Kini Kembali

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Setelah hampir 10 hari menyepi dan langsung tidak mengemaskini blog, kini saya kembali semula.

Bukannya saya merajuk atau membawa diri,tetapi saya dalam proses kehidupan dengan rutin baru. Rutin yang telah saya tinggalkan kurang lebih 3 tahun lalu. Kali terakhir saya melakukannya adalah ketika Kamil baru dilahirkan. Untuk pengetahuan penjengok sekalian, saya sekarang sedang melayani karenah si-kecil bersama ibunya yang kini sedang berpantang. Dah berapa hari saya tidak tidur malam. Siang pun dapat lelap kurang dari 2 jam. Mujur dah biasa dengan pengalaman di kem. Namun sebenarnya saya sendiripun tak kisah kerana mengenangkan pengorbanan yang telah Liza lakukan. Kini giliran saya pula untuk melakukan yang terbaik yang saya mampu.

Memang keluarga di Kulim ada menghubungi agar ‘diposkan’ ibu dan si-kecil ke sana. Begitu juga dari Tangga Batu,dah berbuih mulut Mak Bibah (ibu mertua) menelefon mengajak Liza dan anak-anak pulang menghabiskan pantang di kampung. Namun semuanya sia-sia. Saya dan Liza dah sepakat. Susah senang kami sama-sama. Jangan libatkan keluarga yang lain. Mereka pun ada kerja dan rutin harian yang perlu dilakukan. Jadi biarlah kami terus di Shah Alam. Alhamdulillah, Kamilia dan Kamil semasa mama mereka dalam pantang dahulupun saya yang mandikan dan jaga makan pakai mereka. Liza pun saya sediakan makanan pantang yang termampu.

Kaisara Afiqah setakat ini siang mengantuk malam berjaga (macam lagu la pulak). Kalau berjaga sahaja takpa la juga. Tapi siap menangis lagi. Lepas minum susu, lampin pulak penuh, lepas tu kembung perut pulak, lepas tu buang air besar pulak, lepas tu baju pulak basah sebab termuntah dan macam-macam lagi. Tapi saya OK, maintain dan cool …setakat ini masih boleh kawal lagi. Pengalaman dengan Kamilia dan Kamil dulu lagi hebat. Mungkin saya dulu pun masa kecil-kecil kuat menangis. Jadi turunlah ke anak. Takpa Kaisara baru nak kenal dunia.