Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label PERLU. Show all posts
Showing posts with label PERLU. Show all posts

Friday, 25 May 2012

Sebelum Berangkat

Foto-foto di bawah boleh menceritakan seribu satu kisah sebelum kami sekeluarga berangkat ke Australia. Diraikan dan meraikan sahabat handai, rakan sekerja jiran-jiran dan keluarga terdekat menjadi rutin apabila hari untuk berangkat semakin tiba. Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah kami di Cahaya Alam, kepada sahabat-sahabat PERLU Selangor yang berkesempatan mengadakan majlis makan-makan di Flaming Steamboat, Azizul dan pasangan di Secret Recipe, Azmi dan keluarga di Restoran Sate Samuri dan seterusnya pengalaman diraikan oleh penduduk Cahaya Alam melalui majlis BBQ yang diadakan. Jazakallah kesemuanya.















Berkesempatan meraikan pasangan pengantin baru Azlan dan Diela di hari bersejarah mereka bertempat di Putrajaya. Semoga jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang comel dan soleh/solehah. Insya-Allah.




Doa mengiringi saat-saat sebelum berangkat meninggalkan rumah untuk beberapa tahun.






Terima kasih kepada Abang Mie & Alif, rakan-rakan alumni PERLU UiTM dan FSR UiTM, rakan-rakan RECCERS UPM dan Abg Awie sekeluarga kerana sudi mengiringi kami sehingga ke KLIA.






Wednesday, 24 February 2010

Pergi Tak Kembali

Semalam saya mendapat perkhabaran yang mendukacitakan. Dua orang rakan yang saya kenali telah kehilangan orang yang mereka sayangi. Takziah kepada Ema di atas kepulangan ayahanda tercinta ke Rahmatullah di awal pagi semalam. Takziah juga kepada sahabat baik saya iaitu Zainal a.k.a Kudult di atas kepulangan bonda tersayang ke Rahmatullah. Sebak mendengar cerita Kudult tentang kisah dia dan bondanya beberapa hari sebelum kematian bondanya.

Hari juga genap 19 tahun bonda saya yang paling disayangi pergi menghadap Illahi. Jasa dan pengorbanannya sudah tentulah tidak akan saya lupakan. Sehingga ke akhir hayat. Mak saya kuat. Mak saya rajin. Mak saya tabah.

Semoga kesemua mereka dicucuri Rahmat oleh-NYA dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman. Ameen.

Friday, 23 October 2009

Undangan

Ecah dan Tengku bertandang ke rumah saya beberapa hari yang lalu. Tujuan mereka hanya satu... saya pasti. Mereka diamanahkan untuk menjemput saya ke AGM yang akan diadakan pada Ahad malam Isnin. "Alahai Ecah... alahai Tengku, macamanalah saya nak pergi ke majlis tersebut. Siangnya saya ada Majlis Konvokesyen pelajar FSR. Hari yang sama juga dari jam 7.00 pagi sehingga jam 7.00 malam, saya ada program rekreasi untuk OKU di Tasik Shah Alam. Sudah tentulah malamnya pula masa untuk saya bersama keluarga", ujar saya kepada mereka berdua. "Tapi saya cuba", janji saya.

Keesokan harinya ketika sedang beraktiviti bersama OKU, Mubin menghampiri saya. Terus saya bertanya, "Berapa ramai yang boleh hadir malam ini?". Persoalan saya sukar untuk dijawab oleh Mubin. Rakan-rakan dalam persatuan ramai yang terlalu sibuk di hujung minggu hingga sukar memberikan komitmen untuk hadir ke majlis AGM. Saya faham, di saat-saat akhir semester ini ramai yang tak mahu diganggu. Mana taknya... banyak tugasan yang perlu disiapkan, ada kursus pula baru nak dibuat ujian kedua dan kebetulan pula ada ahli yang terpaksa memberi komitmen terhadap urusan keluarga yang telah lama dirancang. Maka saya cadangkan kepada Mubin agar majlis AGM ditunda ke tarikh yang mana perlu dipersetujui oleh majoriti ahli untuk hadir. Baru cukup korumnya.

Berbalik kepada undangan daripada dua ahli Majlis Tertinggi (MT) PERLU sebelumnya. Saya suka mengaitkannya dengan pengalaman kami ahli-ahli persatuan ketika menjemput Penasihat-penasihat Kelab Outward Bounders UPM untuk ke AGM. Sudah semestilah kami akan menghantar mereka yang sepatutnya, iaitu yang berkemahiran memujuk dan bukan sekadar sebagai penghantar posto sahaja. Iyalah kami sedia maklum, penasihat-penasihat yang terdiri daripada Prof. Dato' Dr Idris Abdul (Penasihat Kehormat KOBUPM), En. Mohamad Noor Liza Baharom(Penasihat KOBUPM), En. Mohd. Nasir Markom (HEP) dan En. Mohd Nazri Noh (HEP)merupakan orang penting di UPM dan sentiasa sibuk dengan tugas mereka. Maka apabila Penasihat-penasihat ini muncul dan merasmikan majlis-majlis kami terutamanya AGM, kami sangat-sangat teruja dan sudah tentulah amat kami hargai kemunculannya. Saya yakin majlis akan menjadi hambar tanpa kehadiran barisan penasihat. Kehadiran alumni seperti pengasas KOBUPM saudara Mohamad Thuairi Mohamad Tayeb dan saudara Syed Azmeer juga amat kami ahli-ahli persatuan nantikan bagi turut sama memberi idea dan berkongsi pengalaman.

Oleh yang demikian, apabila saya mendapat jemputan dan pujukan daripada Ecah dan Tengku untuk menghadiri majlis AGM PERLU UiTM... sudah tentulah saya sukar untuk menolaknya. Saya tahu mereka sudah merancang sebaik mungkin untuk melaksanakan majlis ini. Mungkin mereka tidak tidur malam untuk menyiapkan laporan yang akan dibentangkan.

Takkanlah saya yang hanya perlu datang untuk beberapa minit dan seterusnya merasmi dan mendengar pembentangan berkaitan persatuan tidak boleh memberikan komitmen. Padahal mereka ini jugalah yang banyak membantu mempermudahkan kerja di sepanjang saya mengajar kursus Rekreasi Luar. Sukar untuk saya hampakan permintaan mereka.

Sudah semestinya tanpa kad jemputan sekalipun tetapi kalau kena dengan caranya... yakinlah saya akan sampai...insyaallah. Sekali lagi, terima kasih di atas jemputan.


Nota: Untuk AGM pada kali ini, Ecah dan Tengku telah menyerahkan kad jemputan kepada saya. Saya juga mendapat pesanan ringkas daripada Atiqah dan seterusnya jemputan secara verbal daripada saudara Presiden, Mubin.

Thursday, 22 October 2009

Menangis

Jawatan datang dengan tanggungjawab dan amanah. Sudah tentulah apabila kita dilantik ke sesuatu jawatan kita perlu menjalankan segala bidang tugas yang telah diamanahkan itu dengan sebaik mungkin. Ini kerana jawatan di dalam Islam adalah amanah dan ianya perlu diterima dengan penuh tanggungjawab dan perasan takutkan Allah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab juga kepada mereka yang memilih atau mengundi agar memilih mereka yang selayaknya untuk memegang sesuatu jawatan.

Sebentar tadi baru sahaja selesai Mesyuarat Agung Penggal ke-10 PERLU UiTM. Dengan tamatnya majlis sebentar tadi maka bermulalah episod baru di dalam kepimpinan PERLU UiTM. Mereka yang hadir telah memilih Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi persatuan. Sudah tentulah ahli-ahli yang memilih sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum memilih pemimpin yang akan memimpin persatuan mereka untuk penggal yang akan datang. Tahniah daripada saya kepada mereka yang telah dilantik sebagai MT untuk penggal berikutnya dan terima kasih kepada mantan-mantan MT yang telah berusaha sedaya upaya menaikkan nama PERLU UiTM.

Saya mempunyai pengalaman tersendiri ketika hidup berpersatuan dahulu. Ketika nama saya diumumkan oleh Pengerusi Majlis sebagai Presiden Kelab Outward Bounders UPM untuk penggal berikutnya, saya menjadi begitu terkejut. Saya langsung tidak percaya dengan lantikan tersebut. Saya kaget. Saya terkejut. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Kenapa saya yang dipilih sedangkan ramai lagi rakan-rakan yang berkebolehan dan layak. KOB merupakan kelab terelit di UPM. Ahli-ahli terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar dari pelbagai persatuan yang berdaftar di UPM. Berat tu tanggungjawabnya. Saya masih mentah.

Saya diberi peluang untuk menyampaikan ucapan yang pertama sebagai Presiden KOB untuk penggal berikutnya. Ucapan saya terhenti. Saya sesungguhnya amat terharu dengan perlantikan tersebut. Saya terlalu takut dengan tanggungjawab yang akan saya pikul. Di minda saya hanya terfikir samada saya mampu menerajui kelab elit ini agar terus cemerlang seperti sebelumnya. Saya tidak dapat meneruskan ucapan saya. Saya menangis. Tangisan yang bukan dibuat-buat. Sukar dikawal.

Saya ditenangkan oleh rakan-rakan, alumni dan penasihat. Mungkin inilah sejarah dalam KOB. Seorang presiden yang baru dilantik terlalu beremosi ketika menyampaikan ucapan yang pertama. Arrgghhh malunya. Tapi memang sebenarnya budak kampung yang masih mentah ini terlalu takut dengan tanggungjawab yang bakal dipikul. Mampukah aku memikul tanggungjawab besar ini?

Thursday, 15 October 2009

Betul ka Dah OK tu Firdaus?

Terkejut saya ketika mendapat pesanan ringkas daripada dua alumni FSR, Malin dan Shawn. Ketika itu saya di dalam perjalanan ke Kampus UiTM Pahang, Jengka untuk upacara Pelancaran Diploma Pengajian Sukan yang akan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang. Khabarnya, Firdaus atau lebih dikenali dengan panggilan Ustat telah ditimpa kemalangan. Tulang punggungnya patah ketika sedang membantu dan memantau aktiviti ‘tubing’ untuk Amali Perkhemahan Akhir pelajar diploma di Gopeng.

Rasa bersalah juga rasanya kerana saya tak dapat bersama-sama untuk turut serta membantu dan menyumbang tenaga untuk perkhemahan kali ini. Kekangan masa dek tugas di pejabat [sememangnya kerja di pejabat tidak pernah berkurang, bahkan sentiasa bertambah] telah membantutkan keinginan saya untuk turut sama menjayakan program pelajar diploma pada kali ini.

Selepas Isyak semalam, saya sekeluarga, Shawn dan Abe telah meluangkan masa melawat Ustat di rumah. Saya membayangkan yang Ustat sedang terlantar dan berbaring secara mengiring apabila menerima ziarah kami semua.

Kalau sebelumnya apabila menghubungi Ustat, dia mengatakan yang dia hanya mampu tidur mengiring saya di rumah, duduk pun sakit, tetapi malam tadi segalanya berbeza sama sekali. Ustat mampu untuk menjemput kami hingga ke parkir kenderaan. Dia mampu berjalan dan bergerak dengan pantas. Kami kaget, benarkah Ustat ni sakit. Tengok OK ja. Kata tulang tongkeng dah patah... tapi relaks ja macam tak sakit.

Saya menjangkakan Ustat masih belum pulih sepenuhnya. Dia jangkakan dia ‘berlakon’ depan kami yang dia dah OK. Dia yakin dia cuba sebaik mungkin untuk menyelindungkan kesakitan yang dia alami. Ada agenda lain ka Ustat?

Kami semua dijamu dengan sate dan nasi impit. Macam open-house la pulak.

Walaupun masih sakit, Ustat dan ditemani ibunya setia melayan kami. Terima kasih Ustat dan keluarga. Sama-samalah kita doakan Ustat cepat sembuh dan boleh bertugas seperti sediakala dan tidak serik untuk terus membantu adik-adik di FSR semasa perkhemahan dan aktiviti luar di lain masa.

Nota dan peringatan: Kepada pengiat-pengiat dan pengemar aktiviti rekreasi, pastikan anda telah mendapatkan skim insuran yang boleh melindungi anda sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika berekreasi.

Monday, 7 September 2009

Mengatasi Acrophobia

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kesemua pelajar PLK FSR/PDRM dan e-PJJ yang hadir untuk sesi amali Abseiling telah selamat menjalankan dengan jayanya. Tak sangka la pula penangan aktiviti ini hingga menyebabkan mereka tidak lena tidur selama hampir seminggu.

Saya faham perasaan mereka. Semua insan yang normal akan merasainya. Gayat. Takut tinggi. Acrophobia yakni takut kepada tempat tinggi ataupun ketinggian.

Hanya orang yang mempunyai masalah mental sahaja [Nota: Maaf kalau terlalu kasar perumpamaan ini] yang langsung tiada perasaan. Iyalah... apabila dah berdiri di tebing yang tinggi dan hanya 'diikat' dan bergantung nyawa pada dua utas tali yang tidak diketahui sejarahnya... siapa tak takut.

Jelas terpancar di wajah mereka keresahan dan dapat disaksikan dengan jelas pelakuan dan perasaan yang tidak tenteram bermula dari mereka mula menaiki lif untuk ke Tingkat 11 sehinggalah sampai saat melangkah palang yang mengasingkan 'Abseiler' dengan 'Despatcher' dan penonton yang lain.

Pengalaman saya mengendalikan aktiviti abseiling ini boleh anda jenguk di sini dan juga di sini.

Sebenarnya saya ada beberapa tips untuk mengurangkan Acrophobia. Sengaja saya tidak war-warkan sebelum aktiviti bagi memberikan peluang kepada pelajar-pelajar ini merasai sendiri saat-saat 'indah' di tebing tinggi.

Di sini saya coretkan dua kaedah yang boleh diamalkan. Antara langkah-langkah mengatasi Acrophobia yang pertama adalah dengan menarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan. Ini kerana dengan menarik nafas sebegini, ianya dapat memperlahankan kadar denyutan jantung dan meningkatkan pengaliran oksigen ke otot-otot dan ianya mengelakkan ketegangan [Nota: Muka pun taklah nampak pucat sangat].

Seterusnya ada satu lagi kaedah. Tapi ianya kurang realistik la pulak. Senang sahaja elakkan sahaja aktiviti tersebut. Bagaimana caranya... ponteng sahaja amali di tempat tinggi. Kan senang. Cari alasan. Tak payah menghadap dan merasai suasana di tempat tinggi. Cari sahaja MC. Tapi sampai bila ya nak melarikan diri dari kenyataan.

Walau bagaimanapun, tak sah kalau saya tidak mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah mencuba dan selamat mencuba kepada mereka yang masih belum merasai detik 'indah' di tebing tinggi. Ingatlah sampai bila anda mahu mengelakkan diri dari mencuba sesuatu yang baru dalam hidup ini.

Nota: Terima kasih kepada Alumni, PERLU dan pelajar SR221 yang turut serta membantu. Jazakallahu khairan khatira.

Tuesday, 25 August 2009

Kemaskini: Rancangan Dalam Perlaksanaan

Alhamdulillah penaja untuk majlis berbuka puasa pada hari Jumaat nanti sudah bertambah. Mereka mahu saya merahsiakan nama mereka. Cukuplah dengan panggilan HAMBA ALLAH. Jazakallah Hu Khairan Kathira. Insyaallah mereka juga akan turut hadir pada majlis itu nanti.

Kepada Alumni yang dah lama tak bersua, jangan ditunggu lagi. Datang jangan tak datang.

Semoga Allah merahmati majlis yang sedang dirancang ini.

Monday, 24 August 2009

Membantu Tak Minta Dibalas

Bertugas sebagai fasilitator untuk satu-satu program bukanlah satu tugas yang mudah. Tanggungjawab yang dipikul memang berat bagi memastikan perencanaan program berjaya mencapai matlamat yang telah digarapkan. Pensyarah Pendidikan/Rekreasi Luar tidak mampu untuk memantau semua aktiviti secara serentak dalam satu-satu masa. Maka fasilitatorlah yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan sesuatu aktiviti.

Kalau diikutkan pula kepada ratio staf dan peserta, maka sepatutnya seramai 8 orang staf FSR yang berpengalaman diperlukan untuk hadir membantu Perkhemahan Akhir di Pulau Kapas. Fakulti tidak mampu untuk menyediakan sebegitu ramai staf yang berpengalaman dalam bidang ini. Setiap pensyarah di FSR juga mempunyai komitmen dengan kursus/subjek masing-masing. Tambahan pula perkhemahan kali ini diadakan semasa kuliah sedang berjalan. Maka fasilitatorlah yang terpaksa dipanggil bagi memudahcarakan perjalanan aktiviti. Nasib baiklah masih ramai alumni yang masih sudi menyumbang tenaga dan masa bagi membantu memastikan kelancaran program.

Untuk kali ini saya bernasib baik kerana dua orang pensyarah iaitu Encik Ali Kimik [mantan Koordinator PLK-PDRM] dan En Norasrudin [Ketua Program Ijazah Sains Sukan] sudi meluangkan masa membantu sebagai pensyarah bertugas. Tidak dilupakan juga empat orang staf pentadbiran iaitu En Ahmad, Puan Puziah, Puan Rokaiyah dan Cik Zata yang sudi datang bagi membantu dan memeriahkan suasana di sepanjang perkhemahan berlangsung.

Antara Alumni yang sudi membantu adalah seperti saudari Yazilah, saudara Rafsan, Yasir, Elham, Raziff, Mazlin, John, saudari Bebika dan saudari Yus. Fasilitator daripada PERLU UITM pula adalah seperti saudara Dasri, Hafiz, Syam dan Amir. Tidak lupa juga saudari Farah.


Saya secara peribadi ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sumbang bakti semua kalian di atas bagi melancarkan program perkhemahan ini. Tiada wang ringgit yang mambantu membalas jasa yang telah ditaburkan.

Semoga rekreasi terus berkembang di tanahair kita. Apa yang kita harapkan bukanlah rekreasi yang hanya inginkan keseronokan semata-mata tetapi aktiviti rekreasi yang menerapkan unsur keselamatan di dalamnya dan pesertanya sentiasa ingatkan Allah dan sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan.

Friday, 21 August 2009

Apa? Enjooooooy....

Enjooooooy....


Saya yakin Abe ada alasan tersendiri mengapa beliau menggunakan tagline di atas bagi menceriakan perkhemahan pada kali ini. Sememangnya tagline tersebut kena dengan kumpulan peserta pada kali ini. Kamil (anak kedua) tak henti-henti menyebut ENJOY sepanjang perjalanan pulang ke Shah Alam. Apabila saya bertanya apa itu ENJOY. Kamil hanya memberikan saya dua jawapan. Katanya ENJOY itu mainan dan satu lagi jawapannya, ENJOY itu makanan. Hahaha... itulah jawapan yang kanak-kanak bagi. Mereka sendiri pun tak tahu apa yang mereka sebut. Kita yang dah dewasa ini bagaimana pula?

Kalau peserta dapat menjiwai perkataan ENJOY ini pasti mereka akan dapat melupakan segala susah payah, keletihan beraktiviti dan kurang tidur ini. Pasti mereka tidak akan tertekan dengan perjalanan program yang sememangnya padat bermula dari hari pertama. Mana tanya... dulu Perkhemahan Akhir berlangsung selama 8 hari. Tapi dek kekangan masa maka program terpaksa dipadatkan bagi mengurangkan hari berkhemah agar tak mengganggu kuliah pensyarah-pensyarah lain. Untuk pengetahuan penjengok sekalian... kem kali ini terpaksa dijalankan hanya selama 4 malam kerana cuti pertengahan semester yang diawal akibat selesema babi dan kerana bulan Ramadhan jatuh dalam semester ini. Masa memang padat.

Walaupun masa beraktiviti padat, saya dapat menyaksikan para peserta saling bekerjasama di dalam menjayakan program pada kali ini. Mereka tidak berkira. Mereka saling membantu tak kira masa. Bermula dari persiapan awal sebelum bertolak sehinggalah ke hari terakhir program. Sukar untuk melihat peserta yang curi tulang. Peserta yang berniat untuk curi tulang juga dilihat cuba membatalkan niat asal mereka itu disebabkan kasihankan rakan-rakan lain yang bekerja bersungguh.

Persefahaman sebegini sukar dicari di dalam kem-kem sebelumnya. Pada awalnya, saya menjangkakan kem kali ini sukar mencari persefahaman. Mana taknya, peserta kali ini terdiri daripada kumpulan yang berbeza. Mereka jauh berbeza dari segi umur dan pengalaman. Namun ajaibnya telahan saya salah belaka. Mereka rupa-rupanya memang kumpulan yang cemerlang. Mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan. Mereka berjaya menambat hati saya dengan kerajinan di dalam menjalankan tanggungjawab di dalam kem dan kepatuhan pada arahan yang diberikan. Mudah... memang mudah. Kerja saya menjadi mudah dengan kumpulan pelajar sebegini.

Soksek soksek mengatakan tentang kem ini merupakan kem yang terburuk yang pernah beberapa orang peserta hadiri. Salah seorang daripada peserta dipetik sebagai berkata,"This is the worst camp that I've ever attended". Saya langsung tidak terkejut apabila mendengar maklumat yang disampaikan oleh si-Mambang. Saya faham... mungkin peserta menjangkakan bahawa mereka akan berlibur di Pulau Kapas. Iya lah... dah nama kursusnya pun Rekreasi Luar. Jadi kenapa nak 'dibelasah' kami ini. Kami datang nak berseronok.

Tak apalah kita tunggu dan dengarlah apa cerita mereka yang dah ke Pulau Kapas baru-baru ini. Kemudian baru anda semua nilaikan.


Ok chow.

Apa? Enjoooooooooy...

Sunday, 16 August 2009

Sedapnyer!

John bertanya saya samada dia boleh turut serta dan membantu saya di Pulau Kapas. Saya terkenangkan keadaan John beberapa bulan yang lalu ketika kakinya diletakkan 'aerial' kerana kemalangan. Bolehkah John aktif kembali. Alahai kasihan John.

Saya menyakat John. Saya benarkan dia pergi... tetapi sebagai tukang masak. John membalas ringkas... terima kasih

Tak saya sangka John betul-betul menjalankan tugas yang dicadangkan. Dia bawa segala rencah masakan yang diperlukan oleh beliau untuk memastikan masakannya sedap dimakan. Semua fasilitator, pensyarah dan staf yang datang mengakui masakan John lazat. Enak dimakan. Memang John boleh buka kedai makan. Kita tunggulah nanti Kedai Makan John Hazriq.

Apalagi John... ADA BERANI?



Monday, 8 June 2009

Berita Untuk Kawan

Alhamdulillah, menjelang tengahari tadi maka tamatlah program yang berjaya mengumpulkan ahli PERLU Selangor, alumni PERLU UiTM, ahli PERLU UiTM dan 'sahabat' PERLU. Program yang dirancang hampir dua bulan lalu oleh PPT & the gang telah berjaya mengumpulkan hampir 30 orang peserta.

Sayangnya ramai ahli PERLU UiTM yang tidak dapat turut serta. Di mana silapnya? Saya dimaklumkan kebanyakan ahli PERLU UiTM sibuk dengan komitmen masing-masing di musim cuti semester ini. Maka ramailah di kalangan mereka yang terpaksa melupakan niat untuk menyertai pertemuan pada kali ini.

Ruginya kerana ramai alumni yang tidak dapat turut serta. Di mana silapnya? Saya menjangkakan tentu ada di kalangan alumni tidak langsung mengetahui tentang program ini. Mereka juga mungkinnya terlalu sibuk dengan komitmen tersendiri. Takpalah apa boleh buat. Lain kali pihak penganjur perlu jejaki mereka semula.

Saya harapkan di lain kali pihak penganjur dapat memastikan pengisian dimurnikan lagi. Mereka yang hadir sepatutnya menghormati masa yang telah ditetapkan. Jangan lewat-lewat.

Nota: Memang berat untuk menulis di kali ini. Simpan... takut ada yang terasa. I'm sorry.

Tuesday, 19 May 2009

Bila La Buah Nak Gugur!

Beberapa minggu lepas telah berlangsung Sultan Ahmad Shah (SAS) Bera-Tioman International Eco-Challenge 2009 yang dilaksanakan di dua lokasi yang berbeza iaitu di Tasik Bera dan Pulau Tioman. Ramai di kalangan alumni PERLU UiTM yang telah diberi penghormatan oleh pihak penganjur untuk turut sama menerajui perlumbaan yang berkonsepkan Adventure Race ini. Mereka telah dilantik sebagai Pengarah Perlumbaan, Ketua Marshal dan marshal-marshal.

Sudah pastilah coretan pengalaman para Alumni sekalian yang terlibat dengan perlumbaan ini menarik untuk dikongsi dengan penjengok-penjengok sekalian. Saya sendiri masih ternanti-nanti dan teruja untuk membaca coretan yang amat berharga ini. Dengan adanya coretan sebegini maka para penjengok yang tidak mendapat peluang dek kerana tiadanya kelapangan masa untuk turut terlibat sama [mungkin kerana kekangan peperiksaan akhir, tugas hakiki dan sebagainya] dapat mengetahui suka duka para Alumni sekalian yang bertindak sebagai pendokong utama Adventure Race tersebut.

Jadi kongsilah pengalaman anda yang sememangnya tidak akan pernah basi itu. Pengalaman yang tidak boleh dijualbeli.

Setakat ini penjengok-penjengok cuma dapat menjengah ke blog Bisikan Dari Ujung Tanah dan sebelumnya di Rembang Waktu untuk mengetahui pengalaman di SAS Bera-Tioman International Eco-Challenge 2009. Tapi tak cukup. Ceritalah lagi MEGA... Itupun kalau nak berkongsi. Apapun takpalah...

Thursday, 12 February 2009

Bertuah

Saya amat bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara yang prihatin. Saya amat bersyukur kerana dikelilingi ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara yang sentiasa sudi memberikan sokongan dan bantuan tidak kira masa dan ketika.

Ketika saya tidak dapat menghadiri Amali Asas Perkhemahan yang bertempat di Bukit Cerakah tempohari akibat kematian Kak Ti, rakan-rakan pensyarah dan staf berebut-rebut untuk hadir menggantikan saya sebagai pengiring untuk amali tersebut. Mereka ikhlas membantu. Terima kasih Cik Su, En. Norasrudin, Pn. Rezian-na, En. Bob, Moon En.Azizul dan En. Khaizani dan tidak dilupakan pensyarah dari INSTEDT iaitu En. Ahmad Firdaus Ibrahim, En. Fadzil dan En. Shah


Alumni PERLU dan ahli PERLU UiTM juga turut sama menyumbang tenaga mereka untuk menjayakan program tersebut. Mereka hadir tanpa dibayar. Saya yakin mereka hadir kerana Allah dengan niat untuk membantu melancarkan aktiviti amali perkhemahan tersebut. Jasa kesemua mereka di atas hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Terima kasih kesemuanya yang sudi hadir.

Saya juga mendapat maklumat peserta-peserta kali ini seperti kumpulan sebelumnya memberikan sepenuh komitmen biarpun tanpa kehadiran saya. Khabarnya semua aktiviti yang telah direncanakan berjalan dengan lancar dengan kerjasama yang tidak berbelah bagi yang telah ditunjukkan oleh para peserta. Alhamdulillah segalanya selesai tanpa sebarang kecelakaan dan mencapai objektif yang telah digarapkan.

Jiran di kawasan perumahan saya pula sememangnya cukup prihatin. Mereka tertanya-tanya ke mana menghilangnya saya sekeluarga selama lebih 3 hari. Ramai menjangkakan saya bercuti selepas pulang dari Dungun tempohari. Saya pula terlupa terus untuk memaklumkan kepada mereka. Kepala saya hanya teringatkan urusan 'penting' di kampung. Setelah jiran-jiran mengetahui keadaan sebenar 'kehilangan' saya sekeluarga. Rumah saya berterusan dikunjungi oleh jiran-jiran terdekat selepas waktu pejabat untuk bertanya khabar dan mengutuskan ucapan takziah. Saya menghargai dan menghormati segala keprihatinan dan sokongan mereka. Semoga Allah terus menyuburkan dan memelihara kerukunan kawasan kejiranan kami.

Monday, 29 December 2008

Dari Shah Alam ke Jemapoh

Sepatutnya hujung minggu lepas saya, Yasir dan Mus merancang untuk menziarahi Hazriq aka John. Perancangan Allah mengatasi segalanya. Ada aral melintang dan saya redha.

Semalam saya sekeluarga sekali lagi merancang untuk ke Taman Jemapoh, Kuala Pilah. Alhamdulillah kami selamat sampai ke sana. Sebelum memulakan perjalanan saya dah maklumkan kepada Liza dan Kamilia tentang laluan yang akan kami lalui. Saya ceritakan tentang penangan Bukit Putus yang boleh membuatkan ramai pemandu dan penumpang muntah free. Saya berikan petua supaya tak muntah. Syukur, ianya berjaya. Mungkin mereka kuatkan semangat kerana nak menziarahi John kot.

Sekarang John berada di rumah neneknya yang baru seminggu meninggal dunia. Nenek John meninggal ketika dia terlantar di hospital tempohari. John sememangnya sayang dengan neneknya. Di rumah neneknya inilah dia membesar. Nenek mengajar dia memasak. Jadi, memang patut pun dia pandai memasak.


Kaki John dah dipenuhi besi. Macam antena TV pula. Tapi John kuat. Disambut dan dilayannya kami walaupun sakitnya hanya Allah yang tahu. Sama-samalah kita doakan John cepat sembuh dan dapat meneruskan aktiviti hariannya.

Kepada penjengok sekalian yang mempunyai kelapangan masa bolehlah melawat beliau di Kuala Pilah. Perjalanan hanya mengambil masa 2 jam 30 minit (pemanduan tenang dan berhenti-henti) iaitu kira-kira 120 km dari Shah Alam.

Monday, 15 December 2008

John Ditimpa Kemalangan!

Sebentar tadi saya baru dapat bercakap dengan John di talian. John ditimpa kemalangan dan kini terlantar di Hospital Besar Melaka. Kakinya patah dan telah dibedah. Kakinya sekarang telah dimasukkan besi. Khabarnya dia telah mendapat kebenaran daripada pihak hospital besar agar dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah. Ini kerana tiada ahli keluarga yang dapat menemaninya di Melaka. Kehadiran Syariman yang kebetulannya sedang menemani adiknya yang masih koma sedikit sebanyak dapat menjadi kawan berbual John.
Sama-samalah kita doakan kesihatan untuk John. Semoga dia cepat sembuh dn bersabar menempuh dugaan ini. Kepada sesiapa yang berkesempatan bolehlah melawat beliau.

Wednesday, 26 November 2008

Masuk Berpakej, Keluar Berkelompok

Itulah yang terjadi kepada PERLU sejak dua menjak ini. Ada yang masuk kerana menuruti kawan dan seterusnya keluar apabila kawan yang dituruti tadi keluar atau tidak aktif lagi. Ada juga kumpulan yang merajuk hati akibat ditegur oleh rakan-rakan senior dan seterusnya menghasut kawan-kawan yang di dalam kumpulan mereka sebelumnya untuk turut angkat kaki.

Hidup berpersatuan ini memanglah banyak dugaannya. Setiap ahli tentu ada pendapat masing-masing. Dengan ahli keluarga yang besar ini sudah tentulah setiap ahlinya mempunyai pe’el masing-masing. Sepatutnya bila dah hidup berpersatuan tu semestinya sedia ditegur. Teguran itu tandanya sayang. Kalau tak biaq pi la apa hang nak buat. Bukankah ianya lebih mudah. Tapi hasilnya nanti tentulah menjadi halal balal.
Bagi yang menegur pula, gunakanlah kaedah yang terbaik untuk menegur. Ini kerana ada yang ditegur itu, tak dapat menerima cara teguran yang diberikan. Ya lah kadang-kadang tu adayang berkata, “Mak bapak aku pun tak pernah tegur begitu kasar”. Jadi kenalah juga secara berhemah. Apa boleh buat, zaman dah berubah.[Nota: Tapi maaf, pendekatan kem saya tidak pernah berubah]

Hidup berpersatuan ini memanglah tidak ada bayaran. Keluar duit lagi ada. Semuanya secara sukarela bukannya paksarela. Namun saya yakin imbuhannya akan datang kemudian.

Suatu ketika dahulu, semasa hidup berpersatuan di UPM saya sendiripun tidak pernah memikirkan hal duit apabila beraktiviti. Setiap hujung minggu ada sahaja program rekreasi yang saya sertai samada sebagai peserta mahupun sebagai instruktur. Nak dijadikan cerita, saya dijemput untuk membantu sebuah konsultan untuk menjayakan Summer Camp semasa cuti sekolah untuk budak-budak sekolah (anak orang berada). Saya seperti biasa tidak pernah bertanya berapakah bayarannya untuk saya. Alhamdulillah, saya dibayar ketika itu RM150 sehari, untuk 4 malam. Wow! Terkejut beruk saya apabila menerima wang tunai RM600 beberapa hari selepas program tamat. Tak sangka sungguh.

Nasihat saya senang sahaja. Biarlah orang lain yang menilai kualiti dalam diri kita. Jangan mudah tersinggung apabila ditegur. Mungkin teguran yang diberi itu boleh memalukan kita. Sampai jatuh maruah orang kata. Apa salahnya terima sahaja sekiranya teguran itu baik untuk pembinaan diri kita.

Kita mungkin ada mendengar atau menyaksikan sendiri rakan-rakan atau ahli keluarga kita melompat kerja. Apalah sebabnya ye? Mungkin kerana gaji yang lebih lumayan di tempat kerja baru atau mungkin juga tidak tahan ditegur. Tapi hati-hati ye, jangan disangka padang disebelah yang menghijau itu indah sentiasa, entah-entah ianya beracun.

Maka… untuk menjadi graduan yang mantap, anda perlu mempunyai daya tahan yang tinggi. Jangan hanya mempunyai SEMANGAT K*** kata Dr Wan Sabri. Tak perlulah saya terangkan tentang semangat tersebut di sini. Ini kerana anda semua tentu semuanya telah sedia maklum.

Tuesday, 25 November 2008

1 LAWAN 30

Dahsyatnya. Tak ada keperikemanusiaan langsung. Ada ka patut, 30 orang lawan seorang. Hanya Jackie Chan, Bruce Lee, Shah Rukh Khan, Salman Khan dan hero-hero filem saja yang boleh menang.

Nak dijadikan cerita pulak, konstabel yang diserang itu adalah adik kepada mantan Presiden PERLU, Syariman. Sebentar tadi saya sempat mendengar serba sedikit cerita berkaitan kes ini dari mulut Syariman sendiri. Adiknya masih lagi koma. Berita tentang kejadian tersebut ada di sini.

Penyerangnya? Saya pun tak pasti. Kalau selamat pun di dunia ini. Tunggu la di akhirat nanti. Mungkin depa terlupa dengan hari pembalasan di mana segala kerjabuat mereka pada malam tersebut akan dipaparkan semula.

Kenapalah mereka letakkan otak di tempurung lutut. Bukankah negara kita ada undang-undang. Gunakanlah seadanya. Kalau tak adil juga tunggu 'di sana' nanti. Mungkin juga inilah sahaja caranya untuk memuaskan hati mereka kot. Tak pun mereka sedar bahawa mereka ada 'kabel' besar di dunia ini yang boleh melepaskan mereka sekiranya dihadapkan ke pengadilan nanti.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Konstabel Mohd Fairuz Shafie (adik Syariman). Semoga mereka sekeluarga tabah menghadapi dugaan yang Allah turunkan kepada mereka.

Saya juga berdoa agar penyerang-penyerang tersebut insaf dan segera memohon maaf kepada Fairuz dan keluarganya di atas tindakan melulu yang mereka telah lakukan. Marilah sama-sama kita mendoakan saudara Fairuz sedar dari koma beliau dan pulih seperti sediakala. Amin ya rabbalamin.

Friday, 7 November 2008

Boleh Ke?

Azmi akan ke Outward Bound School Malaysia, Lumut (OBS) pagi ini untuk ditemuduga. Temuduga untuk menentukan masa depannya di dalam bidang rekreasi dan pendidikan luar.

Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Azmi akan dapat bekerja sebumbung bersama-sama instruktur yang hebat di sana nanti. OBS sememangnya tempat yang telah melahirkan instruktur yang hebat di dalam pendidikan dan rekreasi luar. Bekas pelajar/peserta dari OBS atau dikenali sebagai ex-bounders juga telah ramai yang menjadi pemimpin-pemimpin di sektor awam dan korporat. Ramai juga pemimpin negara yang pernah menjalani program di sini. Azmi mempunyai tanggungjawab yang besar sekiranya beliau diterima bekerja di OBS.

Kalau diikutkan pemerhatian saya Azmi sememangnya telah banyak berubah. Perubahan positif itu dapat saya kesan semenjak dari awal saya mengenali beliau sehinggalah saya menyelia projek penyelidikan tahun akhir beliau. Dahulunya Azmi sukar untuk bercakap di hadapan, terutama apabila semua mata memandang ke arahnya. Pemalu. Saya pernah menyakat beliau. “Hang ni hisap dadah ka?”, sakat saya ketika pertama kali Azmi memperkenalkan diri dengan memegang kayu sebagai tongkat) dan terhoyong-hayang gerak badannya di dalam sesi suaikenal Amali Asas Perkhemahan di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cerakah. Azmi tersentak dan menafikan.


Azmi mempunyai karakter yang hampir sama dengan Kudult, sahabat baik saya semasa belajar di UPM dahulu. Mereka pendiam dan terlalu kreatif. Kedua-duanya ringan tulang dan disenangi oleh rakan-rakan. Yang membezakan mereka hanyalah pengalaman. Kudult mempunyai pengalaman selama lebih 6 tahun di OBS manakala Azmi pula baru nak memulakan kerjaya. Walaubagaimanapun, Azmi perlu meyakinkan penemuduganya terlebih dahulu sekiranya beliau ingin memulakan kerjaya barunya di OBS.

Semoga Azmi terus berjaya mencapai impiannya.

p/s: Coretan ini hanyalah daripada pemerhatian saya semasa beliau berada di FSR. Selainnya terserah kepada pemerhatian penjenguk sekalian.

Friday, 24 October 2008

Buat Pilihan

Rakan Alumni kita perlukan bantuan. Kepada sesiapa yang minat membantu bolehlah memberikan pandangan anda dengan melawati blog beliau di sini.

Wednesday, 22 October 2008

Akhirnya...

Usop dah nak kahwin.

Terkejut besar juga saya. Mana taknya... setelah beberapa lama tidak berjumpa, tuptup Usop atau nama sebenarnya Ismady Norsyam b. Hj Ishak muncul di depan bilik saya. Di tangannya ada sepucuk kad. Saya kaget sebentar. Saya meneka ini mungkin kad jemputan perkahwinan Usop. Katanya kad jemputan rumah terbuka Aidilfitri. Bila dibuka sahaja sampul kad tersebut, maka tahulah isinya. Usop dah sampai seru.

Usop yang juga alumni PERLU UiTM akan melangsungkan pernikahan dengan Haslinda Husain yang juga rakan sekuliah beliau dari First Batch. Orang Kulim lagi tu. Orang kampung saya. Junior saya masa di sekolah dulu.


Mungkin batch yang baru-baru masih belum mengenali Usop. Beliau adalah Presiden Alumni FSR. Seorang yang aktif dalam rekreasi luar hinggalah ke saat ini. Kini cucu allahyarham Datuk Hj Mahmud Jun (pelakon tersohor) ini adalah konsultan untuk aktiviti rekreasi luar dan team building.


Sama-samalah kita doakan saudara Usop dan pasangannya kekal bahagia hingga ke akhir hayat.