Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 30 May 2008

Myvi Putih

Semalam saya bersarapan di sebuah stesen minyak di Batu Tiga. Berhenti sebentar mengisi tangki sebelum menghantar Liza ke MSN Bukit Jalil. Liza perlu menghadiri Peperiksaan Tahap Kecekapan di situ. Peperiksaan bermula jam 9.00 pagi.

Selepas bersarapan saya perhatikan jam dah menunjukkan angka 8.30 pagi. Kata saya: "Cepat sayang, nanti lewat... jalan depan tu tak tau macam mana lagi".

Keluar dari kedai kat stesen minyak tu terus saya tekan alat penggera kereta. Terus masuk dalam Myvi. Campak suratkhabar yang dibeli ke tempat duduk belakang. Dalam hati saya berkata: "Eh... kenapa Liza ni tak masuk masuk. Orang nak cepat ni". Ini yang buat angin satu badan ni. Orang nak cepat dia boleh sengih-sengih pulak.

Tiba-tiba sesuatu yang ganjil saya lihat berada dalam kereta Myvi tersebut. Aik, bila masa pulak dalam kereta Myvi Liza ada patung Budha. Aduh kantoi la pulak. Rupa-rupanya dah silap masuk kereta. Eloklah Liza tersengih sakan. Termasuk ke dalam kereta sebelah. Tadi kereta ini tak ada. Baru masuk parking la pulak. Dah kantoi. Nak cepat punya pasal.

Saya tengok kat dalam kedai tu. Rupanya ramai yang dah perasan dan tengok. Tuan punya kereta, seorang lelaki Tionghua pula saya lihat tergamam kat muka pintu kedai tengok saya masuk dan keluar dari kereta dia.

Orang ramai dalam kedai tu semua tersengih dan ada yang dah ketawa kecil. Aduh... apalah malapetaka hari ni. Malunya aku.

Terus saya keluar dari Myvi putih tadi dan menuju ke Myvi Liza di sebelah dengan muka selamba. Dalam kereta jenuh Liza ketawakan saya. Sampai termuntah-muntah.

Tuesday 27 May 2008

Berkorban Apa Saja

Sebentar tadi saya menghadirkan diri ke Upacara Konvokesyen UiTM ke-68 bertempat di Dewan Seri Budiman, UiTM. Pelajar-pelajar kumpulan pertama ketika saya menjadi Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dengan Kepujian (KP221) bergraduat. Meriah sungguh upacara petang ini. Budak-budak sukan bergabung dengan budak-budak law tentulah kecoh jadinya. Ianya sampai ditegur oleh Pro-Canselor, Y. Bhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad dipermulaan ucapan beliau. Tetapi saya faham, inilah hari gembira para graduan selepas berhempas pulas berusaha menamatkan pengajian mereka di universiti. Ini hari gembira mereka.


Seperti yang dicoretankan di awalnya, konvokensyen ini menemukan kembali saya dengan pelajar-pelajar batch pertama ketika saya menjadi KP 221. Saya masih ingat lagi pelajar yang lebih mesra saya panggil dengan nickname mereka seperti Itik, Boy, Peon, Baom, Omri, Gayah, Arthur, Kojet, Pia, Bebika, Shaleha, Harry, Adib, OZ, Yus, Najib, Mariatun, Azirul, Rude, Rahman, Norisham dan Uda. Tidak banyak masalah yang ditimbulkan oleh mereka ketika saya baru dilantik sebagai KP221. Senang kerja saya. Kini kebanyakan mereka dari batch yang sama telah bergraduat. Yang tinggal hanya seorang dua lagi yang akan bergraduat pada konvokesyen akan datang disebabkan tersangkut di peringkat thesis.

Saya merasakan kebanyakan daripada tetamu pada petang ini tersentuh dengan ucapan daripada Tan Sri Pro-Canselor. Beliau mengingatkan kepada hadirin terutamanya kepada para graduan tentang pengorbanan golongan tertentu yang tidak sepatutnya dilupakan. Ianya bermula dengan pengorbanan guru-guru sekolah rendah. Jasa mereka tidak terkira bermula dengan mengajar kita membaca, menulis dan seterusnya mengira. Guru-guru ini tidak mengharapkan sebarang balasan daripada anak muridnya. Sebaliknya gembira dengan kejayaan anak didik mereka. Di sekolah menengah pula graduan-graduan diingatkan supaya tidak melupakan jasa-jasa guru-guru mereka yang mengajar anak murid mereka menilai dan mengkaji. Jasa-jasa barisan pensyarah semasa mereka menuntut di universiti juga diingatkan oleh Pro-Canselor supaya tidak dilupakan.


Seterusnya pengorbanan yang semestinya para graduan semua wajib hargai adalah pengorbanan ibu dan bapa. Merekalah yang berusaha mencari rezeki membesarkan anak-anak mereka. Seorang penjaga yang bekerja sebagai penoreh getah perlu bangun seawal pagi mengadap pokok getah. Seorang ibu atau bapa yang bekerja sebagai petani atau pesawah perlu membanting tulang di tengah terik mentari dan hujan yang turun di ladang atau sawah untuk mencari rezeki. Seorang nelayan pula perlu turun ke laut dengan dialun gelombang dan pulang dengan tangkapan yang tidak seberapa. Begitu juga penjaga yang bekerja sebagai pengayuh beca dan pemandu teksi yang bergantung harap kepada penumpang yang sudi menggunakan khidmatnya. Dugaan bagi ibubapa yang bertugas sebagai polis juga sangat mencabar. Mereka perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika bertugas untuk mencari nafkah membesarkan anak-anak.

Ibubapa ini telah berkorban masa, wang dan sudah semestinya doa untuk anak-anak mereka. Di akhir ucapan beliau, Tan Sri Pro-Canselor sekali mengingatkan kepada para graduan, jangan lupa jasa ibubapa. Jangan tunggu hingga esok. Mungkin tiada hari esok. Peluk dan ciumlah mereka sepertimana mereka memeluk cium kita ketika masih kecil dahulu. Mungkin peluh mereka berbau. Tetapi peluh yang berbau itulah yang telah berpenat lelah siang dan malam membesarkan kita.

Surprise!

Dashyatkan, sejak berumur 6 tahun lagi anak-anak dah kena diuji untuk dikenalpasti tahap kemampuan akademik mereka. Dah digredkan. Macam telur ayam pula. Ada Gred A, B dan C. Kesian... nak masuk darjah Satu pun dah ada peperiksaan.

Kamilia tak mengeluh. Awal-awal pagi lagi dia dah bangun. Nak masuk Sekolah Integrasi dia kata. Mama dan papa dia yang terlebih risau.


Terkejut besar saya sesampai di Sekolah Rendah Agama Integrasi, Seksyen 19, Shah Alam jam 8.10 pagi. Jalan nak ke sekolah tersebut sesak teruk. Ramainya orang. Rupa-rupanya lebih daripada 600 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan kelayakan ke Sekolah Rendah Agama Integrasi tersebut. Saya dimaklumkan oleh pihak sekolah, hanya 200 orang sahaja yang akan dipilih. Itulah kuota yang telah ditetapkan.


Selepas selesai peperiksaan yang berlangsung selama 2 jam berebutlah ibubapa dan penjaga mencari anak-anak masing-masing. Semuanya mempunyai persoalan yang sama kepada anak mereka. Termasuklah saya dan Liza. Spontan kami bertanya: "Macamana ujian tadi... apa soalannya? Kakak boleh jawabkah kesemua soalan?". Kamilia menjawab: "Surprise..." . Saya kata: "Surprise...surprise juga, tak dapat... jaga hang.

Monday 26 May 2008

Amanat VC

Bengkel Pembentukan Program Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pengajian Rekreasi dan Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Teknologi Kecergasan telah berjaya dilaksanakan seminggu yang lalu. Yang berbahagia Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah, Naib Canselor (VC) UiTM telah sudi hadir merasmikan bengkel selama 3 hari tersebut. Banyak intipati ucapan beliau yang boleh diambil sebagai renungan dan diambil tindakan oleh warga fakulti.


Di awal ucapannya Dato' VC menekankan tentang keharmonian yang perlu wujud di dalam sesebuah fakulti. Hindari krisis dalaman. Kepentingan peribadi ditolak ketepi. Warga FSR perlu berusaha memperkukuhkan fakulti. Ugutan Dato' VC pada malam itu tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya teruk sangat krisis dalaman fakulti dan masih tiada yang dapat membanggakan universiti yang terhasil daripada FSR, tidak mustahil beliau akan mengambil tindakan sehingga menutup Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang kita sayangi ini. Na'uzubillahiminzalik!

Seterusnya Dato' VC mencadangkan kepada pihak FSR agar menyediakan program yang dapat memenuhi kehendak pasaran. Pastikan program yang dihasilkan berkaitan dengan industri. Barulah produk yang dikeluarkan nanti mempunyai daya saing dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sedia dan semakin mencabar.

Selain itu juga VC berpesan agar warga FSR jangan membuang masa dengan sesuatu yang tidak berfaedah. Libatkan diri dengan penyelidikan dan penerbitan. Ini bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi universiti bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

Dato' VC juga berpesan agar pihak fakulti berusaha untuk menarik minat atlit kebangsaan untuk mengikuti program Diploma dan Ijazah Sukan di UiTM. Beliau juga melontarkan persoalan: "Bagaimanakah kita boleh menarik minat mereka untuk belajar di UiTM". Kini terserah kepada pihak fakulti bagaimana hendak menyusun strategi bagi menarik minat atlit-atlit kebangsaan untuk menuntut ilmu di UiTM.

Begitulah di antara amanat Dato' VC yang sempat saya coretkan pada malam 17 Mei 2008 bersamaan dengan hari Sabtu bertempat di Hotel UiTM Dungun, Terengganu. Semoga warga kerja FSR mendapat manfaat dan berusaha meningkatkan kualiti kerja kita semua. Doakan kedua-dua program baru ini berjaya direalisasikan. Amin

Ayam Kampung Ayam Bandar


Sengaja saya gunakan tajuk di atas. Ini berkaitan dengan anak lelaki saya seorang. Kamil namanya.

Semalam saya sekeluarga berkunjung ke rumah Cik Sue untuk menghadiri majlis perkahwinan adinda beliau. Dalam Cik Sue sibuk menguruskan majlis yang meriah tersebut, beliau masih sempat melayan saya sekeluarga, Malin, Nurul, Maisarah dan Shawn.

Semasa menunggu masih persandingan berlangsung saya melihat Kamil dah mula dapat kawan baru. Saya seronok melihat keletah anak lelaki seorang ini. Senang dapat kawan. Tapi tahu sajalah bila budak-budak bermain, lebih-lebih lagi kalau budak lelaki mesti tak sah kalau tak ada main lari-lari. Kamil selalu di belakang. Tak macam budak-budak kampung lain. Lebih gagah dan pantas berlari.

Dalam seronok-seronok bermain saya lihat Kamil dah mula dijadikan bahan bulian. Kamil dibuli. Tangannya dikilas ke belakang oleh budak-budak kampung. Lagak penjahat yang ditangkap polis. Kamil cuba meronta tapi gagal melepaskan diri. Tiga orang lawan sorang. Saya hanya memerhatikan gelagat kanak-kanak tersebut. Liza dah mula gelisah. Dia menjerit: "Lepaskan anak makcik". Budak-budak tu terus melepaskan Kamil. Budak-budak tetap budak-budak. Lepas tu tak sampai seminit mereka terus bermain semula.

Tetapi saya tetap bersyukur kerana kini Kamil boleh bercampur dengan orang. Tak macam masa balik kampung dulu-dulu. Disapa pun terus menangis. Dikata "lembik" oleh orang kampung. Kata orang kampung: "Tu dia ayam bandar dah balik". Sedih juga dengar anak sendiri diperlekehkan. Tapi itu kenyataan.

Sekurang-kurangnya bila dah mula membesar Kamil akan faham erti persahabatan dan terus kuat dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar.

Friday 23 May 2008

Harta Tak Ternilai

Seorang rakan tiba-tiba bertanyakan apakah yang sebenarnya saya inginkan dalam hidup ini. Dengan spontan saya menyenaraikan "harta" yang menjadi idaman saya.

Saya rasa penjengok semua pun punya pendapat tersendiri tentang harta yang tidak ternilai ini. Di sini saya senaraikan "harta" yang tidak ternilai tersebut.

Pertama: Kesihatan tubuh badan dan minda yang cergas adalah harta yang tak ternilai harganya untuk kita di dunia ini. Tanpa adanya kesihatan kehidupan kita tidak akan ada maknanya.

Kedua: Setiap manusia memerlukan kasih sayang. Kita ingin dikasihi dan mengasihi. Tanpa cinta dan kasih sayang dunia akan menjadi hambar dan kosong.

Ketiga: Setiap insan menginginkan diri mereka dikurniakan rezeki yang melimpahruah. Tanpa kehadiran rezeki maka hidup akan terasa dalam keadaan kesusahan dan menderita. Namun rezeki yang melimpah ruah itu perlulah dari sumber yang halal, suci dan berkat agar kehidupan di dunia ini akan sentiasa tenang dan menyenangkan.

Keempat: Setiap orang menginginkan dirinya berjaya. Hanya orang yang kurang bijak sahaja mengidam dan merancang kegagalan untuk dirinya. Namun manusia akan banyak belajar untuk bangkit semula daripada sebarang kegagalan. Oleh itu sangat penting untuk kita merancang dan membayangkan teknik mencipta kejayaan yang diingini.

Kelima: Semua di atas dengan akan dapat dicapai dengan mudah sekiranya kita dekat dengan Allah subhanahuwataala, dengan meningkatkan ibadah kepadaNYA, membersihkan diri dan menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh ajaran Islam. Semoga kita mendapat hidayahNYA, Amin.

Misteri

Ramai rakan-rakan mula bertanya kenapa tidak diteruskan cerita Tragedi Mukut. Ada yang menghantar SMS, email dan tidak kurang juga yang memberi cadangan secara bersemuka supaya diadakan sambungan kepada cerita pertama.

Maafkan saya, rakan-rakan sekalian. Saya tidak dapat memenuhi kehendak anda semua. Penceritaan saya sebelumnya itu hanyalah sebagai pengajaran. Tidak lebih daripada itu. Ini bukannya blog misteri nusantara. Tapi sekadar berkongsi yang termampu.

Penceritaan Tragedi Mukut hanyalah rentetan daripada kenangan saya semasa kembali semula ke Kg Mukut, Pulau Tioman untuk Sultan Ahmad Shah - Tioman International Eco-Challenge. Di Kg Mukut telah diletakkan satu checkpoint yang memerlukan peserta singgah untuk acara menyumpit dan merupakan lokasi untuk pengesahan pasport peserta. Sukar juga untuk saya menjejakkan kaki semula di Kg Mukut. "Dia" dah menunggu. Menyambut ketibaan saya dan rombongan marshal. Namun tiada peristiwa yang tidak diingini yang berlaku.

Semasa di Kg Mukut saya sempat berkunjung ke lokasi di mana saya bertemu Pak Ngah dan anaknya Tarmizi. "Barang" yang pernah ditunjukkan kepada saya ketika pertama kali sampai di Kg Mukut dulu pun masih lagi disimpannya. Mereka masih ingat saya. "Barang" tersebut diperolehi ketika mereka "bertapa" di Twin Peak Nenek Si-Mukut. Saya pernah memegang "barang" tersebut ketika pertama kali berkunjung ke situ pada tahun 2001. Urat tangan saya berdenyut pantas ketika memegang dan membaca selawat ke atas Rasulullah S.A.W. Kali ini saya tidak akan membuat silap yang sama lagi. "Barang" tersebut tidak akan saya sentuh. Biarpun naluri dan gerak hati memanggil untuk menyentuh lagi "barang" tersebut, saya cuba melawannya. Ingatan dan amaran turut saya berikan kepada marshal yang mengikut saya untuk menjadi saksi kewujudan "barang" tersebut.

Di sini saya turunkan sedikit amalan apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Amalan biasa adalah membaca bismillahirrahmanirrahim. Ianya diikuti dengan ayatul Kursi. Kemungkinan dan tidak mustahil "makhluk" yang muncul itu masih boleh mengikuti bacaan ayat Kursi kita. Jangan risau. Sampai sahaja dipembacaan ayat akhir yang berbunyi " Walaa Ya'uduhu Hifzhuhumaa wa Huwal ‘Aliyyul ‘Azhim " insyaallah tiada lagi "suara" yang mengikuti bacaan kita. Pastikan ayat ini dibaca dengan betul dan diamalkan dengan penuh yakin. Selamat mencuba.

Thursday 22 May 2008

Rezeki Jangan Ditolak

Dua kejadian yang berlaku di Tioman tempohari sentiasa bermain di ingatan saya. Ianya mengenai rezeki.

Kejadian 1

Kerana kelaparan, saya bersama sekumpulan ahli jawatankuasa perlaksanaan SAS-TIEC2008 singgah di kawasan gerai di Kg Juara. Abab memberi salam tidak ditinggalkan. Seterusnya kami semua memasuki sebuah gerai makanan di situ dan terus memesan makanan dan minuman. Jawab pemilik gerai tersebut: " Maaf bang, hari ini kedai kami tidak dapat sediakan makanan tambahan... ada group la". Tanya saya: "Takkan tak boleh sediakan (sekurang-kurangnya minuman) untuk kami 5 orang". Namun tiada jawapan. Tak dilayan. Takpalah.

Kemudian saya bersama rakan yang menyertai rombongan tadi beralih ke gerai sebelah. Alhamdulillah, ada juga rezeki kami... biarpun yang tinggal cuma minuman dan roti bakar sebagai hidangan makan tengahari. Sambil menikmati makanan, saya sempat menoleh ke arah gerai makan yang pertama tadi. Rupa-rupanya group yang dimaksudkan oleh pemiliknya tadi cumalah seramai 5-7 orang sahaja.

Ketika di kaunter untuk membayar saya cadangkan kepada makcik yang saya rasakan sebagai pemilik gerai tersebut. Kata saya: "Makcik... esok bolehlah masak lebih, ada ramai orang akan sampai untuk berlumba. Depa tentu lapar". Namun jawapan makcik tadi menghampakan. Kata makcik tadi: "Ooo... tak boleh adik, esok makcik tutup kedai, kena tolong orang nak kenduri lusa".


Kejadian 2

Esok dah nak balik awal-awal pagi. Takkan nak pikul beg yang sarat dan berjalan sejauh 3 kilometer. Jadi saya cadangkan pada Shawn untuk berusaha mencari pengangkutan untuk membawa marshal semua dari Taman Laut ke Marina. Alhamdulillah dapat tahan sebuah van usang ketika kami dalam perjalanan pulang dari majlis penutup SAS-TIEC2008. Pakcik tersebut bertanya: 'Esok nak balik jam berapa, dan berapa ramai?". Shawn jawab: 'Jam 6.00 pagi, kami semua 20 orang". Spontan pakcik tu menjawab: "Oiii awalnya... tak bolehlah adik, orang kat pulau mana bangun awal. Sini kami bangun jam 8-9 pagi, sori la". Terkejut saya, sambil merayu: "Ya ka..lambatnya bangun? Tolonglah pakcik kami semua budak-budak tengah belajar, jadi marshal untuk program Tuanku nie. Kapal belayar awal pagi nie. Barang banyak nak kena pikul ni".

Jenuh la juga dok pujuk pakcik tadi. Akhirnya beliau mengalah. Itupun sebelum meninggalkan kami malam itu pakcik tersebut sempat berpesan: "Jangan lupa, esok call kejutkan saya, takut terbabas".

Nota: Teringat pesan orang tua... rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, buat baik berpada-pada, jahat jangan cuba ya.

Tahniah

Tahniah kepada saudara Hasnul Faizal Hushin Amri aka Y.B. dan saudara Hashbullah Ismail. Kedua-duanya telah dilantik menganggotai kabinet dekan baru, Prof Madya Dr Mohd Khairi Zawi sebagai Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan. Semoga kedua-dua mereka berjaya memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Ucapan terima kasih juga tidak dilupakan kepada mantan Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, saudara Badrul Hisham Hussein aka cebad dan mantan Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Puan Norlizah Abdul Hamid. Kedua-duanya telah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh berwibawa. Saudara Badrul kini telah dilantik sebagai Ketua Unit Kualiti di Institut Perkembangan Pendidikan, UiTM. Selamat bertugas.

Tuesday 20 May 2008

Selesai

Cabaran Sultan Ahmad Shah - Tioman International Eco-Challenge 2008 telah berakhir. Cabaran cuaca yang panas ketika fasa berlari dan berbasikal serta ombak yang tinggi menggunung ketika fasa berkayak tidak langsung merencat dan melemahkan semangat peserta. Mereka berjuang sehingga ke titisan peluh yang terakhir.

Juaranya pun telah ditentukan. Mereka memang juara sebenar. Pasukan Salomon Power Bar jauh meninggalkan pasukan lain di dalam perlumbaan yang mengambil masa tiga hari ini. Mereka mencatat 6 jam 33 minit 30 saat untuk jarak keseluruhan sekitar 40km. Di tempat kedua pula adalah pasukan Busat.com.my dengan masa 6 jam 50 minit 46 saat. Pasukan UiTM pula hanya menduduki tempat ke 10 daripada 20 pasukan yang bertanding dan membawa pulang RM1000.00.

Marshal seramai 15 orang daripada UiTM juga tidak kurang hebatnya. Mereka mendapat pujian kerana kecekapan mereka di dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Saya secara peribadi sangat berpuashati dengan kecekapan dan kecemerlangan keseluruhan marshal yang dibawa khas daripada UiTM. Mereka mudah memahami bidang tugas masing-masing dan tidak berat sebelah di dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Ini turut diakui sendiri oleh President, Event Director dan Race Director. Penceritaan jujur salah seorang marshal ada di sini.

Jangan lupa saksikan aksi-aksi peserta dan marshal perlumbaan Sultan Ahmad Shah - Tioman International Eco-Challenge di dalam Majalah Tiga pada 24 Mei 2008 jam 9.00 malam.

Lega Rasanya

Alhamdulillah, pembentangan untuk pembentukan program baru Ijazah Sarjana Muda Pengajian Rekreasi (kepujian) bertempat di Hotel UiTM Dungun telah berjalan dengan lancar. Boleh dikatakan keseluruhan kakitangan akademik termasuk dekan dan timbalan-timbalan dekan serta ketua-ketua program FSR bersetuju dengan pembentukan program baru tersebut. Seboleh-bolehnya kesemua mereka mahukan program ini segera dilaksanakan.

Langkah seterusnya yang perlu saya lakukan adalah menyediakan kertas cadangan lengkap untuk dibentangkan di hadapan senat universiti sebelum dimajukan ke Kementerian Pengajian Tinggi.

Program yang dihasilkan nanti sesungguhnya akan menitikberatkan asas-asas dalam berekreasi sehinggalah menghasilkan graduan yang berkebolehan di dalam menganjur, mengendali dan menilai program-program rekreasi di rantau ini. Ini kerana tenaga kerja yang serba boleh dan profesional di dalam bidang rekreasi sangat-sangat diperlukan.

Sama-samalah kita doakan program baru ini dapat direalisasikan.

Foto-foto sekitar bengkel






Friday 9 May 2008

Demam Adventure Race

Saya akan ke Sultan Ahmad Shah – Tioman International Eco-Challenge 2008 (SAS-TIEC2008) selama seminggu bermula esok [10-16 Mei 2008]. Setelah pulang dari Pulau Tioman, saya akan terus ke UiTM Dungun untuk bengkel semakan kurikulum program diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan di FSR selama 3 hari [16 -18 Mei 2008]. Walaupun cuti di UiTM bermula hujung minggu ini, tetapi tugas sentiasa berterusan. Tidak pernah padam.

Syukur, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai kerja untuk dilaksanakan.

Untuk Tioman Eco-Challenge 2008, saya akan bertindak sebagai Senior Marshal. Pengubal peraturan pertandingan. Bekerja di samping Race Director, Kol (R) Zul. Bersama-sama saya adalah sekumpulan marshal seramai 15 orang yang terdiri daripada kalangan pelajar dan alumni FSR yang berpengalaman di dalam rekreasi luar.

Setakat ini saya difahamkan sebanyak 25 pasukan yang terdiri daripada 4 orang sepasukan telah mendaftarkan diri untuk bertanding merebut hadiah bernilai RM10,000.00 untuk tempat pertama. Selain itu juga RM5,000.00 telah diperuntukkan untuk ‘Iron Lady of Tioman.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh para pelumba adalah berlari, berbasikal bukit dan berkayak. Selain itu juga terdapat stesen-stesen sukan rakyat yang memerlukan komitmen pelumba sebelum mereka dapat meneruskan cabaran ke lokasi seterusnya.

FSR sendiri telah menghantarkan tiga pasukan untuk menyertai pertandingan ini. Mereka kini sedang giat berlatih di bawah pemantauan dan bimbingan YM Raja Firhad. Di samping itu juga pelajar-pelajar ini tidak melupakan tanggungjawab mereka mentelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir.

Doakan SAS-TIEC2008 berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya. Maklumat berkaitan SAS-TIEC2008 ada di sini.

Thursday 8 May 2008

Saya dah Kata Jangan...

Dalam dok kata jangan, ada yang nak buat juga.

Rekod baru dalam pengawasan peperiksaan. Saya mengulangi perkataan jangan meniru, jangan bawa nota dan kalau ada serahkan pada saya berulangkali. Tapi yang degil tetap degil.

Sungguhpun kata-kata tersebut dilaungkan berulangkali. Tetap ada yang ingin menguji kesabaran saya.

Akhirnya tertangkap seorang pembawa nota kecil. Siap bertaip lagi tu. Banyak keping pula tu. Dilekatkan pada pakaian.

Berat rasanya saya nak tuliskan laporan pegawai penguatkuasa/ketua pengawas untuk kes ini. Tapi terpaksa. Pengajaran untuk yang suka membawa nota atau meniru. Selain itu juga beliau telah menganiayai dirinya sendiri.

Kalau saya tidak membuat tangkapan pula tentu saya dikatakan takut atau sengaja buat-buat tidak tahu kerana telah berulangkali memberikan amaran tetapi masih dipandang sinis.

Kasihan pelajar-pelajar lain yang tidak bersalah. Saya terpaksa mengganggu ketenteraman bilik peperiksaan beberapa kali.

Kenapalah perkara ini terjadi di hari akhir peperiksaan untuk pelajar terbabit. Tentu lepas ini beliau akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib. Apa tindakannya? Saya tidak boleh nyatakan di sini.

Rubber Ball Effect

Baru-baru ini seorang rakan (si-A) mengadu kepada saya bagaimana beliau diaibkan oleh seorang temannya sendiri. Beliau telah dipanggil dengan perkataan yang tidak sepatutnya keluar daripada seorang teman.

Kata si-penyebut: “Bodoh! Apala yang bodoh sangat dengan si polanah ini…tak reti buat kerja ka”.

Begitulah perkataan yang keluar secara sedar dan sengaja daripada mula si-penyebut terhadap si-A. Perkataan ini pula ditujukan terhadap si-A di hadapan teman-teman sekerja yang lain tanpa kehadiran si-A secara berhadapan. Ianya sengaja dikeluarkan ketika si-A berada nun di dalam bilik yang tak sampai tiga empat langkah daripada si-penyebut perkataan bodoh tersebut. Nasib baiklah si-A yang memahami perkataan yang ditujukan kepada beliau masih waras dan tidak bertindak melulu. Kalau tidak tentu malu juga si-penyebut terbabit. Ini kerana si-penyebut perkataan terbabit tidak mengalami sendiri peristiwa yang boleh menyabitkan si-A itu sebagai bodoh. Hanya words of mouth daripada rakan lain iaitu si-C menyebabkan si-penyebut melenting dan cuba menjadi ‘hero’.

Terus saya teringat pengalaman semasa bekerja dengan majikan pertama saya selepas tamat pengajian di peringkat ijazah pertama. Dr Noordin Darus sering menyampaikan ceramahnya tentang “rubberball effect”.

Kata beliau berulang kali: “Sekiranya white rubberball dilontarkan ke dinding, sudah tentulah ia akan kembali kepada si-pembalingnya semula. Jika bola tersebut tidak sampai kepada si-pembalingnya mungkin ke sisi si-pembaling kerana sudut yang dilontarnya adalah berbeza. Jika belum sampai juga mungkin bola tersebut masih lagi di dalam perjalanan...jadi tunggulah”.

Perumpamaan ini cukup mudah. Maknanya sekiranya kita berbuat baik kepada seseorang sudah tentu Allah tidak akan teragak-agak untuk memberi ganjaran yang setimpal dengan kebaikan kita. Sekiranya ganjaran tersebut tidak sampai kepada kita, mungkin ianya Allah kurniakan kepada mereka yang hampir dengan kita seperti ahli keluarga dan rakan-rakan-rakan rapat kita. Jika kesemua kita tidak memperolehi ganjaran itu lagi, mungkin ianya masih lagi di dalam perjalanan untuk pembalasannya. Ini kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya.

Begitu jugalah sebaliknya apabila kita lontarkan black rubberball. Balasannya pasti sama dengan apa yang telah kita lakukan.

Dalam perkataan mudahnya, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.

Oleh itu saya menyejukkan si-A tadi dengan mengingatkan beliau agar tidak berdendam. Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hamba-Nya. Oleh itu sentiasalah berdoa kerana doa orang yang teraniaya akan diangkat oleh Allah seadilnya.
Sesungguhnya si-penyebut perkataan yang tidak sepatutnya tadi perlu sedar dan insaf bahawa beliau juga mempunyai keluarga, anak-anak yang sedang membesar dan saudara mara. Sekiranya ianya berlaku kepada keluarga si-penyebut itu, bagaimana ya?

Wednesday 7 May 2008

Cita-Cita dan Harapan

Ramai rakan-rakan yang bercita-cita untuk mewujudkan blog sendiri. Tetapi tidak mempunyai kesempatan untuk mempelajari selok belok berblog. Ada juga yang masih malu-malu untuk menonjolkan diri mereka kepada khalayak.

Saya dulu pun macam tu jugak. MALU. Namun berkat dorongan rakan seperti Amin Md Taff. Saya kuatkan juga semangat. Tak ada apa yang nak dimalukan.

Kini semakin ramai rakan saya yang sudah mempunyai blog sendiri. Antaranya Kak Anis, YB, Che Bad, Shahril (Aie), Rembang Waktu, Mubin dan terbaru Ali Kimek. Saya bertekad pada hujung tahun ini majoriti rakan-rakan di FSR akan mempunyai blog sendiri. Sebagai permulaan, kesemua pelajar yang mendaftar untuk subjek Rekreasi Luar pada semester hadapan perlu membina blog sendiri bagi menggantikan buku log. Mereka dikehendaki mencatatkan segala tugasan dan aktiviti mingguan untuk subjek tersebut di dalam blog masing-masing. Jadi lebih senanglah saya memantau.

Mewujudkan blog sendiri ini adalah sangat mudah. Kurang daripada lima minit. Tetapi untuk meneruskan kesinambungan penulisan di dalam bloglah perkara yang paling sukar.

Sebab itulah kita dapat lihat banyak blog yang telah diwujudkan kini telah terbiar, tersadai dan bersawang. Ini sangat merugikan. Blog yang sebenarnya boleh dijadikan wadah untuk menghubungkan sesama rakan telah dibiarkan begitu sahaja.

Bertitik tolak daripada situlah saya mengambil iktibar dan cuba mendisiplinkan diri untuk mencoretkan walau sebaris ayat untuk tatapan penjengok-penjengok sekurang-kurangnya seminggu sekali dan seboleh-bolehnya setiap hari.

Anda bila lagi. Jangan tunggu lama-lama.

Tuesday 6 May 2008

Lebih Dari Yang Biasa

Beliau seorang yang ceria. Namun apabila tiba masanya beliau serius.

Suatu ketika dahulu beliau di gelanggang beliau begitu digeruni oleh lawan-lawannya. Berpasangan dengan Ricky Subagdja, beliau begitu dikenali sebagai antara pasangan beregu yang terpantas di zaman kegemilangan mereka. Killer Jumping Smash mereka juga digeruni. Pasti lawan akan tertekan dengan gelagat 'gila-gila' beliau di gelanggang. Lawan yang tidak tahan dengan 'psiko' sebegini akan tunduk dan lelah akibat kenakalan beliau.

Bersama-sama dengan Ricky Subagdja, beliau pernah memenangi pingat emas semasa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, United States. Pada tahun 1995, dikalungkan sebagai juara dunia setelah mengalahkan pasangan Denmark H.Christensen/Thomas Lund dalam perlawanan di Kejohanan Badminton Dunia di Lausanne.


Beliau yang saya maksudkan adalah Rexy Ronald Mainaky. Ketua Jurulatih pasangan beregu badminton kebangsaan. Sebelumnya pula pernah melatih pasukan England.

Selama tiga hari berkampung di PD, saya dapat saksikan dengan lebih jelas gelagat beliau. Rexy lebih berjiwa Malaysia daripada orang Malaysia sendiri. Laungan semangatnya lebih kuat dari atlitnya sendiri. Aktiviti yang sepatutnya untuk atlit turut disertai oleh beliau. Rexy begitu komited dengan tugasan yang diberikan.

Biarpun sudah berusia, namun kedheratnya masih seperti anak muda di dalam skuad yang dibimbingnya. Ini terbukti apabila pasukan jurulatih dan urusetia memenangi perlawanan Water Balloon Volley ketika menentang pasukan skuad badminton. Kemenangan ini adalah kerana percaturan strategi dan 'perang psikologi' yang dimainkan oleh beliau. Kami yang ketinggalan pada awalnya berjaya memintas mata skuad badminton negara yang muda-muda belaka dengan gelagat dan aksi gila-gila yang dicadangkan oleh Rexy.

Kerana cintanya pada Malaysia Rexy pernah mengeluarkan kenyataan berikut pada awal tahun 2008. Katanya: "Saya sayang Malaysia dan jika saya terpaksa meninggalkan negara ini, saya pasti tidak akan terlibat dengan badminton lagi,". Itulah semangat tidak berbelah baginya di dalam membimbing skuad negara.

Oleh itu amat rugilah sekiranya skuad badminton negara kehilangan seorang jurulatih yang begitu komited dengan pemainnya. Janganlah kita lepaskan permata yang berharga ini setelah kontraknya tamat. Nilailah dahulu jasa yang telah Rexy semaikan.

Selamat berjuang Skuad Wira Negara ke Piala Thomas dan Uber. Biar jasa jadi kenangan.

Saksikan aksi bersahaja Rexy.



Monday 5 May 2008

Semangat Sepasukan

Semalam saya selesai menjalankan satu lagi tanggungjawab sosial untuk negara tercinta. Mengendalikan program motivasi dan Team Building untuk pasukan badminton negara seramai 20 orang. Mereka akan ke Jakarta pada 8 hingga 18 Mei 2008 untuk merebut Piala Thomas dan Uber.

Saya ke sana atas jemputan sebuah konsultan.

Menariknya kali ini saya perlu berdepan dengan atlit-atlit elit yang bertaraf dunia. Kebiasaannya atlit-atlit elit sebegini mempunyai ego yang tinggi. Tentu sukar untuk saya dan rakan-rakan konsultan untuk mengubahnya. Tentu ada campurtangan jurulatih-jurulatih mereka ketika saya ingin menjalankan aktiviti dan ceramah. Itu tanggapan awal saya.

Namun sebaliknya berlaku.

Sesungguhnya pasukan badminton negara ini sungguh profesional. Kem kali ini lebih ceria dan berjaya dengan komitmen tinggi yang diberikan oleh para atlit. Disiplin diri mereka memang tinggi. Ketepatan masa dijaga.


Tidak kurang juga dengan jurulatih. Kadang-kadang jurulatih profesional seperti Yap Kim Hock, Rexy Mainaky dan Pang Cheh Chang pula yang ter'over'. Mereka pula seperti peserta. Bersungguh-sungguh cuba menyelesaikan masalah dari permainan pembinaan pasukan yang saya berikan. Sampai terpaksa saya halang mereka. Kata saya: "Coach... bagilah peluang kat atlit kita pula, bagilah peluang mereka mencuba".

Pada awalnya saya dimaklumkan pasukan ini masih lagi belum mengenali antara satu dengan yang lain. Maklumlah dalam pasukan kali ini ada tiga generasi pemain iaitu veteran [Choong Tan Fook, Lee Wan Wah dan Wong Choon Han], senior [Lee Chong Wei, Wong Mei Choo, Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Pei Tty] dan junior [Mohd. Arif Abdul Latif]. Pasukan Piala Uber pula masih lagi dengan sikap individualistik mereka. Sebabnya, aku senior engkau junior.

Namun seperti yang dilapurkan di dalam media-media utama di Malaysia, kem ini sedikit sebanyak telah membantu mengubah mereka. Kem bina pasukan dan motivasi ini telah menjadi medan untuk setiap pemain mengenali antara satu sama dan seterusnya memupuk keyakinan diri. Selain itu juga inilah masanya untuk mereka 'lari' daripada tekanan Piala Thomas/Uber sambil menjalankan aktiviti yang selain daripada menjalani rutin harian [latihan].

Mereka ini juga saya terapkan dengan konsep kesyukuran. Bersyukur kerana terpilih sebagai pemain-pemain badminton bertaraf dunia di dalam negara yang mempunyai 27 juta ini. Sesungguhnya mereka semua sungguh bertuah.

Saat mendengar maklumbalas daripada keseluruhan jurulatih yang hadir selepas kem tamat adalah sesuatu yang mendebarkan. Alhamdulillah, kesemua jurulatih memberikan maklumbalas positif. Mereka begitu terkejut dengan perubahan positif yang melanda pasukan badminton negara. Majoriti jurulatih mengatakan pasukan yang mereka bawa pulang daripada kem ini telah menjadi satu pasukan yang berbeza daripada sebelumnya dari segi semangat berpasukan. Memandangkan Piala Thomas/Uber merupakan pertandingan berpasukan, maka semangat sebegini amat diperlukan. Semangat sebagai sebuah keluarga yang sanggup berjuang.

Saya bersyukur kehadrat Illahi kerana diberikan idea dan seterusnya dikurniakan kekuatan fizikal dan mental untuk menjayakan program motivasi dan pembinaan pasukan ini. Terima kasih kepada Total Adventure Consulting & Training yang memberi kepercayaan kepada saya untuk bersama-sama Team TACT untuk melaksanakan program ini.

Nota: Anda boleh melayari pengalaman salah seorang daripada Rembang Waktu di sini.

Foto-Foto Sekitar Program Motivasi dan Team Building












Friday 2 May 2008

Perjuangan yang Belum Selesai

Hari ini saya akan berangkat ke Port Dickson untuk bersama-sama dengan atlit-atlit Badminton Negara yang akan berjuang untuk merebut Piala Thomas dan Piala Uber 2008. Saya telah dijemput oleh sebuah konsultan untuk melaksanakan program berbentuk motivasi dan pembinaan pasukan untuk atlit-atlit tersebut.

Seramai 20 orang jaguh-jaguh badminton negara akan berkampung di PD selama 3 hari. Inilah persiapan terakhir yang dijalankan untuk memupuk semangat berpasukan sebelum berjuang di 'gelanggang keramat' Istora Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia dari 11 hingga 18 Mei ini.

Sesungguhnya Piala Thomas yang menjadi kebanggaan pemain dan peminat sukan negara telah lama tidak berada di Malaysia. Kali terakhir pada tahun 1992.

Doakan segala berjalan dengan lancar. Amin.

Tanpa Mu

Hari ini sekali lagi saya tertinggal telefon bimbit.

Susah juga hidup rasanya tanpa telefon bimbit bersama. Tambah-tambah pula kalau sedang menantikan panggilan yang boleh dianggap penting. Kenapa dulu tak macam ini? Dulu tak ada telefon bimbit pun tak kisah. Tak perlu nak risau-risau. Telefon talian tetap kan ada.

Bukankah lebih senang tanpa telefon bimbit? Ke mana-mana pergi tiada siapa yang tahu? Jadi tidak perlulah selalu menipu sekiranya orang cuba hubungi dan sengaja tidak disambungkan talian.

Tetapi saya merasakan, telefon bimbit memang menjadi keperluan semasa. Ianya sangat-sangat diperlukan masyarakat masakini. Sesetengahnya memiliki lebih dari satu telefon bimbit. Apa nak dikata, orang Malaysia dah mampu. Harga pula sekarang ini murah, tak macam dulu-dulu.

Alasan lain pula, kemudahan telefon awam sudah tidak boleh diharapkan lagi. Perbuatan pugut sering berlaku dek penangan mereka yang tidak bertanggungjawab.