Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 30 October 2009

Bangau oh Bangau

Kecoh jugak la di sana sini. Satu dunia sudah tahu tentang tahap keselamatan apabila beraktiviti luar di Malaysia. Itulah akibatnya apabila mengambil sikap sambil lewa di kalangan orang kita apabila beraktiviti. Seperti posting yang sebelumnya... sesungguhnya saya sangat-sangat bersimpati dengan keluarga tiga orang pelajar sekolah Dina Devi, Devadharshini dan Divya Shree yang kehilangan nyawa mereka kemalangan yang tidak diduga di Pos Dipang. Daripada laporan akhbar, pelajar-pelajar malang ini merupakan harapan keluarga dan juga merupakan pelajar harapan sekolah untuk UPSR.

Alahai jambatan gantung pulak yang disalahkan. Apalah salahnya jambatan gantung yang tak bernyawa tu. Jambatan tu tak ada suara untuk menjawab.

Hah! Tanya cikgu-cikgu dan pihak penganjur tu di mana depa berada ketika kejadian berlaku. Depa ni boleh menjawab. Masukkanlah dalam laporan akhbar dan siaran berita. Baru orang tahu, rupa-rupanya cikgu-cikgu tu sedang melayan kerenah ratusan lagi pelajar lain di kem tersebut. Daripada pembacaan dan pemerhatian saya, belum ada lagi laporan tentang kedudukan mereka tragedi berlaku. Sensasi ni.

Sepatutnyalah orang dewasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk berada di kem ini berusaha untuk memantau, menyelia dan mengawal 22 orang peserta-peserta yang sememangnya tengah naik 'syeh' nak menyeberang Sungai Kampar tu. Tambahan pulak masa kejadian adalah sekitar 10.30 malam.

Apa yang boleh dibuat oleh kaum keluarga mangsa. Borang lepas tanggung sudah diisi dan ditandatangani. Di dalamnya mereka telah bersetuju untuk tidak menyaman pihak penganjur sekiranya berlaku sebarang kecelakaan. Alahai nasib-nasib.

Saya mencadangkan agar di lain masa pihak yang akan menganjurkan program-program sebegini menggunakan khidmat sukarelawan yang mahir dalam aktiviti sebegini. Saya merasakan ramai di kalangan pelajar-pelajar dan alumni di FSR sendiri sanggup menjadi sukarelawan untuk program yang bermanafaat sebegini. Jadikan penggunaan sukarelawan berkemahiran sebagai satu amalan dalam aktiviti luar. Saya faham cikgu dan penganjur tak dapat memantau keseluruhan program. Kalau dah tau tak mampu JANGAN BUAT! Senang kan.

Namun persoalan asal masih lagi saya tagih daripada penganjur dan cikgu-cikgu yang berada di sana. Ke mana perginya orang-orang dewasa di tapak perkhemahan terbabit ketika kanak-kanak ini melintas jambatan gantung tersebut.

Monday 26 October 2009

Kemalangan Lagi

Pagi ini bukan pagi yang pertama. Dah banyak kali saya saksikan. Ada sekali tu, betul- betul depan mata. Nasib baik tak kedebum sekali. Kalau tak...

Tak pastilah pulak saya, siapalah yang telah dianugerahkan projek besar ni. Depa tengah dok kira untung saja kot sampai keselamatan pengguna ditolak ketepi. MAJLIS & JKR pun saya tak pasti la pulak samada terlibat sama untuk buat jalan besar tersebut. Setahu saya dari bangunan tinggi milik MAJLIS tentu nampak apa yang berlaku. Takkan sampai ada orang MAJLIS & JKR atau orang-orang besar yang terlibat dalam kemalangan kat tempat tu baru nak dibuat papan tanda besar-besar, dipasang kon besar-besar, diletakkan patung goyang tangan besar-besar dan dipasang spotlight besar-besar lagi terang.

Kasihan abang tadi tu. Dia di laluan yang betul. Makcik yang pandu Mercedes tu pun di laluan yang sepatutnya. Tuptup ada kon besar melintang yang menghadang laluan Merc Makcik tu. Apalagi saya lihat Makcik tu terus ke kiri, untuk mengelak kon yang melintaqng tu. Maka tergeserlah abang yang nak ke tempat kerja tu. Alahai kedebum... jatuhlah abang tu. Kasihan seluar abang tu terkoyak... ada darah. Jalan jadi sesak.

"Kasihan kan Pakcik tu...ada darah kat kaki dia la papa!", kata Kamilia. Kamil hanya menurut apa yang kakak dia sebut. "Betul tu kakak... kesian kat pakcik tu. Dia bangun pagi-pagi, niat dia nak ke tempat kerja. Cari rezeki untuk keluarga dia. Nak cari duit, nak beli buku untuk anak dia. Anak dia tu selalu sangat bagi hilang buku", balas saya. Kamilia terdiam memandang saya. Mungkin dalam hati Kamilia berkata, "Papa ni macam perli akak ja".

Friday 23 October 2009

Undangan

Ecah dan Tengku bertandang ke rumah saya beberapa hari yang lalu. Tujuan mereka hanya satu... saya pasti. Mereka diamanahkan untuk menjemput saya ke AGM yang akan diadakan pada Ahad malam Isnin. "Alahai Ecah... alahai Tengku, macamanalah saya nak pergi ke majlis tersebut. Siangnya saya ada Majlis Konvokesyen pelajar FSR. Hari yang sama juga dari jam 7.00 pagi sehingga jam 7.00 malam, saya ada program rekreasi untuk OKU di Tasik Shah Alam. Sudah tentulah malamnya pula masa untuk saya bersama keluarga", ujar saya kepada mereka berdua. "Tapi saya cuba", janji saya.

Keesokan harinya ketika sedang beraktiviti bersama OKU, Mubin menghampiri saya. Terus saya bertanya, "Berapa ramai yang boleh hadir malam ini?". Persoalan saya sukar untuk dijawab oleh Mubin. Rakan-rakan dalam persatuan ramai yang terlalu sibuk di hujung minggu hingga sukar memberikan komitmen untuk hadir ke majlis AGM. Saya faham, di saat-saat akhir semester ini ramai yang tak mahu diganggu. Mana taknya... banyak tugasan yang perlu disiapkan, ada kursus pula baru nak dibuat ujian kedua dan kebetulan pula ada ahli yang terpaksa memberi komitmen terhadap urusan keluarga yang telah lama dirancang. Maka saya cadangkan kepada Mubin agar majlis AGM ditunda ke tarikh yang mana perlu dipersetujui oleh majoriti ahli untuk hadir. Baru cukup korumnya.

Berbalik kepada undangan daripada dua ahli Majlis Tertinggi (MT) PERLU sebelumnya. Saya suka mengaitkannya dengan pengalaman kami ahli-ahli persatuan ketika menjemput Penasihat-penasihat Kelab Outward Bounders UPM untuk ke AGM. Sudah semestilah kami akan menghantar mereka yang sepatutnya, iaitu yang berkemahiran memujuk dan bukan sekadar sebagai penghantar posto sahaja. Iyalah kami sedia maklum, penasihat-penasihat yang terdiri daripada Prof. Dato' Dr Idris Abdul (Penasihat Kehormat KOBUPM), En. Mohamad Noor Liza Baharom(Penasihat KOBUPM), En. Mohd. Nasir Markom (HEP) dan En. Mohd Nazri Noh (HEP)merupakan orang penting di UPM dan sentiasa sibuk dengan tugas mereka. Maka apabila Penasihat-penasihat ini muncul dan merasmikan majlis-majlis kami terutamanya AGM, kami sangat-sangat teruja dan sudah tentulah amat kami hargai kemunculannya. Saya yakin majlis akan menjadi hambar tanpa kehadiran barisan penasihat. Kehadiran alumni seperti pengasas KOBUPM saudara Mohamad Thuairi Mohamad Tayeb dan saudara Syed Azmeer juga amat kami ahli-ahli persatuan nantikan bagi turut sama memberi idea dan berkongsi pengalaman.

Oleh yang demikian, apabila saya mendapat jemputan dan pujukan daripada Ecah dan Tengku untuk menghadiri majlis AGM PERLU UiTM... sudah tentulah saya sukar untuk menolaknya. Saya tahu mereka sudah merancang sebaik mungkin untuk melaksanakan majlis ini. Mungkin mereka tidak tidur malam untuk menyiapkan laporan yang akan dibentangkan.

Takkanlah saya yang hanya perlu datang untuk beberapa minit dan seterusnya merasmi dan mendengar pembentangan berkaitan persatuan tidak boleh memberikan komitmen. Padahal mereka ini jugalah yang banyak membantu mempermudahkan kerja di sepanjang saya mengajar kursus Rekreasi Luar. Sukar untuk saya hampakan permintaan mereka.

Sudah semestinya tanpa kad jemputan sekalipun tetapi kalau kena dengan caranya... yakinlah saya akan sampai...insyaallah. Sekali lagi, terima kasih di atas jemputan.


Nota: Untuk AGM pada kali ini, Ecah dan Tengku telah menyerahkan kad jemputan kepada saya. Saya juga mendapat pesanan ringkas daripada Atiqah dan seterusnya jemputan secara verbal daripada saudara Presiden, Mubin.

Thursday 22 October 2009

Menangis

Jawatan datang dengan tanggungjawab dan amanah. Sudah tentulah apabila kita dilantik ke sesuatu jawatan kita perlu menjalankan segala bidang tugas yang telah diamanahkan itu dengan sebaik mungkin. Ini kerana jawatan di dalam Islam adalah amanah dan ianya perlu diterima dengan penuh tanggungjawab dan perasan takutkan Allah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab juga kepada mereka yang memilih atau mengundi agar memilih mereka yang selayaknya untuk memegang sesuatu jawatan.

Sebentar tadi baru sahaja selesai Mesyuarat Agung Penggal ke-10 PERLU UiTM. Dengan tamatnya majlis sebentar tadi maka bermulalah episod baru di dalam kepimpinan PERLU UiTM. Mereka yang hadir telah memilih Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi persatuan. Sudah tentulah ahli-ahli yang memilih sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum memilih pemimpin yang akan memimpin persatuan mereka untuk penggal yang akan datang. Tahniah daripada saya kepada mereka yang telah dilantik sebagai MT untuk penggal berikutnya dan terima kasih kepada mantan-mantan MT yang telah berusaha sedaya upaya menaikkan nama PERLU UiTM.

Saya mempunyai pengalaman tersendiri ketika hidup berpersatuan dahulu. Ketika nama saya diumumkan oleh Pengerusi Majlis sebagai Presiden Kelab Outward Bounders UPM untuk penggal berikutnya, saya menjadi begitu terkejut. Saya langsung tidak percaya dengan lantikan tersebut. Saya kaget. Saya terkejut. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Kenapa saya yang dipilih sedangkan ramai lagi rakan-rakan yang berkebolehan dan layak. KOB merupakan kelab terelit di UPM. Ahli-ahli terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar dari pelbagai persatuan yang berdaftar di UPM. Berat tu tanggungjawabnya. Saya masih mentah.

Saya diberi peluang untuk menyampaikan ucapan yang pertama sebagai Presiden KOB untuk penggal berikutnya. Ucapan saya terhenti. Saya sesungguhnya amat terharu dengan perlantikan tersebut. Saya terlalu takut dengan tanggungjawab yang akan saya pikul. Di minda saya hanya terfikir samada saya mampu menerajui kelab elit ini agar terus cemerlang seperti sebelumnya. Saya tidak dapat meneruskan ucapan saya. Saya menangis. Tangisan yang bukan dibuat-buat. Sukar dikawal.

Saya ditenangkan oleh rakan-rakan, alumni dan penasihat. Mungkin inilah sejarah dalam KOB. Seorang presiden yang baru dilantik terlalu beremosi ketika menyampaikan ucapan yang pertama. Arrgghhh malunya. Tapi memang sebenarnya budak kampung yang masih mentah ini terlalu takut dengan tanggungjawab yang bakal dipikul. Mampukah aku memikul tanggungjawab besar ini?

Wednesday 21 October 2009

Hidup Perlu Diteruskan

Betul tu... hidup perlu diteruskan. Yang pergi biarkan dia pergi. Kita yang hidup ni kenalah teruskan perjuangan yang masih belum selesai. Perjuangan yang masih belum ditemui penghujungnya lagi. Takkanlah kita nak ikut orang yang kita sayangi tu sampai ke dalam liang lahat. Takkanlah kita berterusan ingin meratap pilu di atas kehilangan yang telah ditentukan itu.

Janganlah bergundah gulana terlalu lama. Orang yang pergi tu pun sudah tentu tidak mahu kita terlalu meratap pilu pemergiannya. Biarkan dia tenang di sana. Kirimkanlah doa dan sedekahkanlah ayat-ayat suci al-Quran bagi 'memudahkan' dirinya 'di sana'.

Saya coretkan di sini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya nasihatkan kepada pelajar yang baru sahaja berjumpa saya sebentar tadi bersandarkan pengalaman yang menimpa diri sendiri. Tak dapat saya gambarkan kedudukan diri ini sekiranya saya bertekad untuk berhenti belajar selepas mak dan abah pergi ketika diri memerlukan sokongan dan dorongan untuk menghadapi peperiksaan besar, SPM pada tahun 1991 yang lalu. Alhamdulillah Allah kuatkan semangat saya. Allah bukakan minda dan tenangkan jiwa untuk berfikiran waras. Kalau tidak mungkin saya masih di Kulim dan bekerja di kilang sebagai operator.

Sesungguhnya segala dugaan dan cubaan yang Allah turunkan adalah untuk menduga keimanan hamba-hamba-NYA. Kita tak boleh tewas. Kita mesti bertekad untuk berjaya. Jangan hampakan harapan ibu dan bapa serta mereka yang tersayang. Pasti ada sinar menanti sekiranya kita berusaha.

Usaha + Doa + Tawakkal... insyaallah berjaya.

Monday 19 October 2009

Pesan Sudah, Nasihat Pun Sudah

Saya dah basah kuyup. Mana taknaknya, kayak yang saya naiki bersama Mubin terlungkup. Penganjur tak ikat betul-betul tempat duduk kayak 'sit on top' yang saya dam Mubin naiki. Kami pun satu hal. Percaya sangat sampai tak periksa dahulu keadaan tempat duduk.

Akibat terlalu percaya, hah tangggunglah akibatnya. Ketika dah nak hampir dengan 'checkpoint' pertama untuk aktiviti mencari harta karun, kayak kami terbalik. Kayak yang sememangnya sangat-sangat stabil itu akhirnya berjaya menterbalikkan saya dan Mubin tanpa dirancang. Alahai apalagi...kuyup la dibuatnya. Takpalah... apa boleh buat, nasib baik Mubin bagi pinjam 'drybag' dia sebelum kami berkayak tadi. Kalau tak, habis telefon bimbit, kunci kereta dan dompet basah dan rosak le. Apa da... tempat duduk pun tak diikat betul-betul. Aku pun satu, terlalu percaya sangat. Sapa suruh. Kan dah kena.

Sampai di 'checkpoint' ketiga lagi menarik. Peserta terpaksa membaringkan badan di atas kayak untuk menyeberang di bawah jambatan yang rendah dan cukup-cukup untuk melepaskan badan dan kayak sahaja untuk ke seberang. Saya lepas. Ok la tu badan masih 'maintain'. Tak lekat bawah jambatan.

Sepasang peserta OKU sampai di 'checkpoint' tiga. Saya minta mereka menggunakan lorong lain di bawah jambatan. Ini kerana kayak dah penuh di lorong yang pasangan tersebut cuba masuk. Pasangan tersebut undur ke belakang dan mereka tersangkut pula pada seutas tali pancing yang terikat di bawah jambatan. Kaca mata peserta tersebut tertanggal dan jatuh ke dalam tasik. Alahai... kan saya dah cakap tadi. Ikat kaca mata anda. Degil betul. Kenapalah tak mahu dengar arahan yang diberi tadi. Saya masih ingat, sebelum berkayak tadi, saya dah pesan kepada peserta yang berkaca mata agar kaca mata mereka diikat. Kenapa degil?

Saya tak sanggup menyelam. Peserta OKU terbabit mengeluh, "Oh my new specs... it cost me more than one thousand". "Aduh mahal la pulak 'spec' mamat tu", bisik hati saya. Serba salah juga kalau tak tolong. Mubin hanya memandang sahaja saya seperti menunggu arahan. Terus saya minta Mubin tolong selam. Susah woo selam dengan PFD. Mubin minta kebenaran untuk buka. Berat juga untuk saya benarkan. anak orang woo. Lemas sapa nak jawab. Tasik ni mana boleh buat main-main. Saya rapatkan diri dengan Mubin dan beri kebenaran. Dah lama mencari... Mubin gagal. Iyalah..air keruh. Dalamnya penuh sampah. Maklumlah dekat jambatan. Saya suruh Mubin tanggalkan kasut. Takut tak perasan, terpijak pula spek mata berharga RM1000 lebih tersebut. Kami cuba sekali lagi... dan lagi tapi gagal. Cheh... basah lagi. Takpalah saya cuba lagi.

Itulah... kalau dah rezeki tu, spek lekat di jari saya. Aduh memang dah rezeki. Kaca mata yang bernilai lebih seribu ringgit tu ditemui semula. Alhamdulillah.

Moralnya di sini... patuhlah pada arahan yang diberi. Tentu ada sebab dan musababnya. Kalau dah hilang, rosak, kemalangan, cedera dan mati kan susah.
Aduhhai lah nasib badan. Apa boleh buat bila dah namanya pun berkayak. Tak sahlah kalau tak basah. Layan aja.

Mereka Pun Boleh!


Semalam telah berlangsung Bengkel Berkayak dan seterusnya perlumbaan mencari harta karun dengan menggunakan kayak di Taman Tasik Shah Alam. Program yang dianjurkan oleh mahasiswa/i Semester 04 Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Pengkhususan Pengurusan Rekreasi) menggabungkan peserta-peserta dari Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia dengan siswa/i Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

17 orang lagi golongan orang kerdil telah membuktikan bahawa mereka juga mampu melakukan apa yang orang normal boleh lakukan. Mereka menolak ketepi segala kekurangan yang ada dalam diri untuk menyempurnakan aktiviti yang boleh dianggap mencabar. Mereka terjun ke dalam tasik untuk aktiviti keyakinan diri di air, berkayak di tengah panas rembang dan mencuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan di sepanjang perlumbaan mencari harta karun.

Syabas kepada penganjur kerana berjaya melaksanakan program yang amat jarang dianjurkan oleh masyarakat ini. Penganjur juga berjaya memujuk seorang peserta yang terlalu takut untuk melakukan aktiviti yang telah dirancang. Peserta tersebut fobia dengan aktiviti air. Akhirnya... berkat kesabaran, pujukan dan semangat yang diberikan oleh penganjur dan rakan-rakan peserta, maka peserta yang seorang ini berjaya menyempurnakan aktiviti bersama ahli kumpulannya.

Menariknya untuk program kali ini, penganjur berjaya mendapatkan khidmat sukarelawan untuk turut membantu menjayakan aktiviti. Mereka ini terdiri daripada pelajar-pelajar diploma yang ingin turut menyumbang bakti. Semangat kesukarelaan sebeginilah sepatutnya ada di dalam diri masyarakat kita agar segala program yang melibatkan OKU dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sesungguhnya program sebegini amat bertepatan dengan semangat gagasan 1Malaysia yang telah perkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu untuk membina kesepaduan rakyat Malaysia. Konsepnya mudah sahaja iaitu mengutamakan seluruh lapisan masyarakat tidak kira samada normal atau OKU dengan memastikan perkongsian nikmat secara bersama tanpa ada yang berasakan diri mereka terpinggir. Agama Islam juga menuntut kita melayan sesama manusia tanpa pilih kasih. Begitu jugalah dengan OKU. Mereka wajib dibantu dan dipermudahkan hidup mereka.Kita berilah peluang untuk mereka beriadah dan berekreasi sama.

Saya mengharapkan pelajar-pelajar saya dan rakan-rakan penjenguk sekalian terus bersemangat untuk menganjurkan program sebegini di lain ketika.

Friday 16 October 2009

Syukurlah Oi!

Ada juga yang tak reti bersyukur atau buat-buat tak reti bila dah dapat peluang belajar di UiTM ni. Tambah pula sambung di Shah Alam. Depa tak insaf langsung dengan kawan-kawan yang terpaksa merantau jauh sampai ke Samarahan semata-mata hendak menyambung pengajian dalam bidang sains sukan ni.

Hari ini isu tersebut muncul kembali semasa saya mengadakan diskusi dengan penasihat akademik dan pensyarah-pensyarah yang terlibat dengan pelajar diploma. Pelajar-pelajar diploma di Shah Alam khabarnya terlalu aktif 'bersukan' sampai banyak kelas yang dituang. Betul ka begitu aktif sampai banyak kelas terpaksa dituang. Bagaimana pula di cawangan? Adakah mereka pun bersikap sedemikian?

Nasihat saya mudah sahaja. Pastikan anda mendapat kebenaran daripada pensyarah yang mengajar anda agar pensyarah tahu di mana anda pergi. Fokuskan tumpuan anda kepada pengajian di universiti. Ingat kembali janji anda untuk belajar bersungguh-sungguh yang telah dilafazkan di hadapan kedua ibubapa atau penjaga ketika anda mula menjejakkan kaki ke menara gading dulu. Biarkanlah mereka mengalirkan airmata kegembiraan apabila anda bergraduat nanti dan bukannya mengalirkan air mata akibat kegagalan anda sebelum habis berjuang. Ingat... sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.

Thursday 15 October 2009

Betul ka Dah OK tu Firdaus?

Terkejut saya ketika mendapat pesanan ringkas daripada dua alumni FSR, Malin dan Shawn. Ketika itu saya di dalam perjalanan ke Kampus UiTM Pahang, Jengka untuk upacara Pelancaran Diploma Pengajian Sukan yang akan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang. Khabarnya, Firdaus atau lebih dikenali dengan panggilan Ustat telah ditimpa kemalangan. Tulang punggungnya patah ketika sedang membantu dan memantau aktiviti ‘tubing’ untuk Amali Perkhemahan Akhir pelajar diploma di Gopeng.

Rasa bersalah juga rasanya kerana saya tak dapat bersama-sama untuk turut serta membantu dan menyumbang tenaga untuk perkhemahan kali ini. Kekangan masa dek tugas di pejabat [sememangnya kerja di pejabat tidak pernah berkurang, bahkan sentiasa bertambah] telah membantutkan keinginan saya untuk turut sama menjayakan program pelajar diploma pada kali ini.

Selepas Isyak semalam, saya sekeluarga, Shawn dan Abe telah meluangkan masa melawat Ustat di rumah. Saya membayangkan yang Ustat sedang terlantar dan berbaring secara mengiring apabila menerima ziarah kami semua.

Kalau sebelumnya apabila menghubungi Ustat, dia mengatakan yang dia hanya mampu tidur mengiring saya di rumah, duduk pun sakit, tetapi malam tadi segalanya berbeza sama sekali. Ustat mampu untuk menjemput kami hingga ke parkir kenderaan. Dia mampu berjalan dan bergerak dengan pantas. Kami kaget, benarkah Ustat ni sakit. Tengok OK ja. Kata tulang tongkeng dah patah... tapi relaks ja macam tak sakit.

Saya menjangkakan Ustat masih belum pulih sepenuhnya. Dia jangkakan dia ‘berlakon’ depan kami yang dia dah OK. Dia yakin dia cuba sebaik mungkin untuk menyelindungkan kesakitan yang dia alami. Ada agenda lain ka Ustat?

Kami semua dijamu dengan sate dan nasi impit. Macam open-house la pulak.

Walaupun masih sakit, Ustat dan ditemani ibunya setia melayan kami. Terima kasih Ustat dan keluarga. Sama-samalah kita doakan Ustat cepat sembuh dan boleh bertugas seperti sediakala dan tidak serik untuk terus membantu adik-adik di FSR semasa perkhemahan dan aktiviti luar di lain masa.

Nota dan peringatan: Kepada pengiat-pengiat dan pengemar aktiviti rekreasi, pastikan anda telah mendapatkan skim insuran yang boleh melindungi anda sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika berekreasi.

Saturday 10 October 2009

Selesai

Alhamdulillah selesai sudah Majlis Aqiqah dan Rumah Terbuka Aidilfitri yang kami sekeluarga anjurkan. Terima kasih kepada semua rakan-rakan dan saudara mara yang sudi menghadirkan diri bagi memeriahkan dan menceriakan lagi majlis.

Tidak saya lupakan kepada mereka yang sanggup menyingsing lengan membantu Liza di dapur semenjak dari awal pagi iaitu Ayu dan Dasri. Kepada para penyumbang-penyumbang lain (PakCik Ramli, Kak Rock, Teamtact, PERLU, PPT & Nurul) turut saya ucapkan ribuan terima kasih.

Saya sekeluarga ingin memohon sejuta kemaafan sekiranya terdapat kekurangan ketika kami melayan rakan-rakan sekalian ketika di majlis tersebut. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah subhanahuwata'ala dan kekurangan itu adalah di atas kelemahan kami sebagai penganjur. Semoga dengan majlis sebegini akan terus merapatkan ukhwah yang sedia terjalin sesama kita. Saya juga berharap agar rakan-rakan sekalian tidak serik untuk ke pondok kecil saya lagi. Terima kasih.

Wednesday 7 October 2009

Jemputan ke Majlis Aqiqah dan Sua Raya Aidilfitri

Saya sekeluarga akan mengadakan Majlis Aqiqah dan Sua Raya Aidilfitri pada hari Jumaat ini bersamaan 9 Oktober 2009 bertempat di pondok kami di Taman Cahaya Alam, Shah Alam.

Saya, Liza dan anak-anak ingin menjemput rakan-rakan penjenguk sekalian untuk memeriahkan lagi majlis ini. Jika anda sudi dan berhasrat untuk memudahkan tuan rumah, sila maklumkan kehadiran anda. Majlis akan bermula dari jam 6.00 petang sehingga 10.00 malam.

Semoga kehadiran anda dapat memeriahkan lagi majlis dan seteruskan merapatkan lagi ukhwah sesama kita.

Monday 5 October 2009

Cuai!

Saya taklah lambat sangat bangun pagi tadi. Liza dan bangun jam 6.00 pagi dan saya jam 6.10 pagi. Selepas dah siap semuanya Liza bertolak ke tempat kerja tepat jam 6.40 pagi. Saya dan anak-anak kebiasaannya bertolak jam 6.50 pagi dan selewat-lewatnya jam 7.10 pagi.

Hari ini lain pula jadinya. Walaupun segalanya dah siap tapi Kamilia 'liat' sikit nak bangun. Kamil dan Kaisara pula tak bangun-bangun lagi. Alahai lewatlah Kamilia ke sekolah hari ni. Semuanya penangan beraya sakan semalam. Kami sekeluarga bersama En Ali Kimik mengunjungi rumah rakan-rakan FSR yang mengadakan Rumah Terbuka. Dri Shah Alam ke Puncak Alam dan terus ke Bangi. Sampai rumah terus terkelepet. Akibatnya pagi tadi 3 beradik susah nak bangun. Letih dan kenyang ikut mak bapak depa beraya.

Saya hidupkan enjin kereta. Saya kerah Kamilia bersegera ke tandas...mandi dan pakai uniform sekolah. Saya dukung Kaisara ke tingkat bawah dan letakkan dia ke dalam baby cot dia. Kaisara masih nyenyak tidur. Kebiasaannya dia dah bangun. Saya pikul Kamil yang masih tak sedar-sedar dan masukkan ke dalam kereta.

Kamilia dah siap. Saya tutup semua suis elektrik. Jam 7.15 pagi tepat kami bergerak ke arah Seksyen 19. Sampai di sekolah tepat jam 7.28 pagi. Nasib baik tak sesak perjalanan tadi. Kalau tak dah tentu Kamilia terlewat. Seperti biasa Kamilia salam dan saya berpesan supaya dia belajar rajin-rajin, jangan nakal-nakal, jimat berbelanja dan tunggu di tempat biasa bila pulang nanti.

Saya pandang ke belakang... Ya Allah saya tertinggal sesuatu. Kaisara tak ada di baby seat yang biasa dia duduk. Allah! aku dah lupa seorang lagi anak aku. Aku tertinggal Kaisara dalam baby cot di rumah. Kelam kabut saya dibuatnya. Apalagi pecut la. Perut dah senak ni. Jalan dah makin sesak. Kalut. Jiwa kacau. Tak tenang. Tak tentu arah dibuatnya dan macam-macam lagilah.

Teruknya aku hari ni CUAI. Anak sendiri pun boleh tertinggal. Kalau yang dah besar pun saya tak mahu tertinggal, inikan pula yang masih kecil.

Saya call jiran. Nasib baik dia ada di rumah. Saya minta dia ke rumah saya. Dia telefon balik... Kaisara menangis. Alahai saya suruh dia pujuk di sebalik pintu yang berkunci. Saya pecut. Habis semua bonggol saya langgar. Saya pasang lampu tinggi. Saya CUAI. Memang CUAI. Apalah dosa anak kecil ni sampai bapak dia boleh CUAI sampai macam ni.

Alhamdulillah sesampai di rumah tepat jam 7.50 pagi, Kaisara dah berhenti menangis. Mungkin dia rasa confident kot sebab dengar suara orang kat rumah. Terima kasih Pak Cik Ramli. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik Pak Cik. Tak terbalas oleh saya segala jasa Pak Cik.

Kaisara senyum dan happy bila tengok saya buka pintu. Dia berpeluh sakan. Apa taknya suis kipas semua dah ditutup. Itu yang buat dia terjaga kot. Saya buatkan Kaisara susu. Upah dan atas dasar nak ambik hati dia balik. Tapi Kaisara menolak. Merajuk kot.

Kaisara... papa janji tak buat lagi. Papa tak akan tinggal Kaisara seorang diri lagi. Papa sayang Kaisara dan semua anak-anak papa. Papa tak CUAI lagi.

Thursday 1 October 2009

Lebih dari 2000

2000 km.Itulah jumlah perjalanan kami sekeluarga dari 'Kutub Selatan' ke 'Kutub Utara'. Perjalanan dari selatan ke utara tanahair sempena Hari Raya yang lepas. Letih memanglah letih. Namun dek nak menemui kaum keluarga dan sahabat handai sempena hari baik dan bulan baik ini maka segala kepenatan ditolak ketepi.

Alhamdulillah perjalanan kami sekeluarga selamat dan dipelihara dari mula hinggalah sampai semula di Shah Alam. Perjalanan kami tidaklah tersangkut-sangkut seperti musim perayaan sebelumnya. Ini kerana kebanyakan kita telah sedia maklum bahawa lebuhraya ke selatan dan utara di kebanyakan tempatnya telah mempunyai enam lorong. Jadi kuranglah sesaknya. Selain daripada itu TOL JELAPANG yang telah meragut banyak nyawa telah 'dimusnahkan'. Maka lebih lancarlah perjalanan. Alhamdulillah akhirnya pemikir-pemikir di Malaysia telah diberikan ilham untuk menutup tol tersebut dan diubah laluan dan tol yang sering meragut nyawa itu.

Catatan perjalanan saya memang banyak dan penuh dengan warna warni. Namun tak semuanya dapat dicoretkan di sini. Biarlah ianya menjadi kenangan kami sekeluarga.

Semoga pertalian kekeluargaan dan ikatan persahabatan dapat dipereratkan lagi dengan tradisi balik kampung dan kunjung mengunjung sempena Hari Raya pada tahun ini.