Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 30 April 2009

Situasi Berbeza

Pagi tadi seorang ibu kepada calon program diploma datang berjumpa saya. Anaknya telah ditemuduga beberapa minggu yang lalu. Dia mendapat khabar angin bahawa nama anaknya tidak 'lekat' untuk dimasukkan ke program diploma untuk pengambilan Julai 2009. Memang kasihan.

Lain pula halnya dengan seorang pelajar ini. Dia dah nak habis program ijazahnya. Yang tinggal hanya projek tahun akhir dan satu sahaja lagi subjek. Tetapi dek kerana sikap sambil lewa, kemungkinan besar dia akan gagal lagi semester ini setelah bersusah payah merayu untuk menyambung semula pengajian yang dia gagal pada semester sebelumnya. Semenjak sebulan lalu saya cuba menghubungi pelajar ini tetapi gagal. Namun apakan daya, kehadirannya pagi tadi sukar untuk saya bantu. Sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur (tapi Kamilia dan Kamil memang suka bubur). Dari awal lagi saya dah kata bahawa saya hanya akan membantu mereka yang ingin membantu diri mereka sendiri.

Itulah lumrah manusia, yang tak dapat...merayu meminta manakala yang dah diberi peluang pula... mensia-siakan dan tidak menghargai peluang yang diberi.

Saya sekadar boleh bersimpati.

Sampai Bila?

Bertambah lagilah statistik orang mati akibat kelemasan di air. Semuanya bagi saya adalah kerana kelemahan dan kealpaan manusia sendiri. Dilaporkan si pemandu bot yang juga pemandu pelancong (dalam sesetengah akhbar) dikatakan hanya menyelamatkan diri sendiri dengan mencapai tong plastik kosong dan berenang meninggalkan pelancong-pelancong yang dibawanya.

Saya pun tak pasti, apakah tindakan yang sewajarnya untuk diambil ke atas si pemandu bot yang pentingkan diri sebegini. Adakah hukumannya sama seperti membunuh nyawa manusia lain dan boleh disabitkan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Atau juga tindakan diambil kerana kecuaian beliau. Ataupun kesnya terus ditutup. Kita tunggu.

Kasihan pelancong-pelancong dari Pakistan ini. Inilah pengalaman paling tragis bagi pelancong yang terselamat. Habis anggota keluarganya 'terselamat'. Mereka yang sepatutnya dijaga dengan sebaiknya oleh 'duta kecil' negara kita ini telah dianiayai.

Nyawa pelancong-pelancong ini khabarnya melalui anak si mangsa yang terselamat telah dengan sewenang-wenangnya diletakkan di hujung tanduk. Mereka tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian. Salahkah kalau si pemandu bot tersebut mengarahkan pelancong-pelancong tersebut memakai jaket keselamatan dahulu dan diperiksa pemakaiannya tersebih dahulu sebelum bot bergerak. Kalau mereka tak mahu pakai, paksa sahaja. Ataupun sememangnya bot beliau tiada jaket keselamatan. Ataupun jaket keselamatan ada, tetapi untuk perhiasan sahaja. Takut basah dan reput.

Walau apapun yang berlaku diharapkan penjengok-penjengok sekalian dapat faham mesej yang cuba saya sampaikan kali ini. Sarung dan kemaskan sahaja jaket keselamatan sekiranya anda menggunakan kenderaan di air. Biar orang kata kita 'pondan' atau penakut. Sekurang-kurangnya kitalah yang akan menjadi hero atau heroin sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas kenderaan yang kita naiki tadi.

Sekadar mengingatkan kepada yang terlupa.

Tuesday 28 April 2009

Budaya Membaca

Saya ada seorang rakan sekerja. Duitnya banyak dihabiskan untuk membeli buku. Pantang ada masa dia akan ke kedai buku. Dia pandai memilih buku. Dipilihnya buku berkualiti dengan harga yang cukup murah. Kalau sesiapa yang pernah ke bilik pejabat beliau tentu dapat merasakan seperti memasuki sebuah mini library. Mana taknya penuh dengan rak-rak yang penuh berisi buku. Siapa orangnya... sudah tentu warga FSR mengenalinya. Cebad!

Tadi saya ke Jualan Gudang Buku anjuran MPH. Ralat jugak tak ajak Cebad. Buku-buku yang dijual memang murah. Banyak buku-buku menarik yang berkaitan dengan sukan dan rekreasi yang saya beli. Murah sangat. Sesiapa yang suka mengumpul dan membaca buku memang saya galakkan ke sana. Mana tahu terjumpa buku yang berkenan di hati. Kalau yang dah bekerja tu, bolehlah simpan resit. Dapat kurangkan cukai. OK selamat membaca. Jadikanlah membaca amalan kita semua.

Mekar Berkembang

FSR akan terus mengembangkan sayapnya. FSR yang bermula dengan program Diplomanya di Shah Alam pada Julai 1995, seterusnya pada Mei 2002 bercambah ke Arau, Perlis dan Kota Samarahan, Sarawak akan terus mengembangkan sayapnya ke negeri Dato' Mat Kilau. Insyaallah menjelang Julai 2009 seramai 60 orang pelajar-pelajar baru Diploma Pengajian Sukan (SR113) akan mendaftarkan diri di Kampus Jengka Pahang.

Sememangnya Kampus Jengka amat bersesuaian untuk pengembangan program Sains Sukan dan Rekreasi. Di situ terdapat kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang serba mencukupi. Makmalnya pula usah diperkatakan lagi, dari makmal dalam hinggalah ke makmal luarnya. Selain daripada kemudahan sukan yang telah tersedia di UiTM Pahang ini, terdapat juga Stadium Mini milik MSN berhampiran dengan kampus.

Hutan? Tak perlu pergi sampai ke Taman Negara Pahang atau Kota Gelangi (walaupun tempat ini berdekatan dengan kampus) kerana UiTM Pahang ini memiliki hutannya yang tersendiri di dalam kampus. Kemudahan untuk berkhemah memang mencukupi.

Siapakah pensyarah FSR yang akan mengajar di sana? Hahaha... inilah yang masih menjadi misteri. Sukar untuk meneka siapakah orangnya yang akan ke sana. 'Petunjuk' belum sampai.

Selain itu juga pengambilan kali adalah antara yang teramai. Perlis akan memuatkan 120 orang pelajar baru. Sarawak 60 orang dan Shah Alam seramai 35 orang. Macam-macam ragam dalam pengambilan kali ini. Ada yang siang-siang lagi dah merayu tak nak dihantar ke Sarawak, padahal keluarganya mampu. Ada yang taknak ke Jengka, mungkin difikirnya tak ada cukup hiburan seperti di KL. Iyalah dah biasa duduk di bandar. Mana mahu duduk tersorok dan terperosok di 'sudut dunia'.

Yang berasal dari Jengka pula tak mahu ke Sarawak. Nak jugak duduk di bawah ketiak mak dia. Tak mahu merantau langsung walaupun mampu. Kalau ikutkan saya apa salahnya merantau mencari ilmu. Di samping dapat mengaut ilmu secara formal, dapatlah juga melihat negeri orang dan memahami budaya setempat. Lelaki pulak tu yang tak nak merantau. Harubiru betul.

Wednesday 22 April 2009

Dari Kerana Mata

Kaisara dah diserang sakit mata minggu lepas. Teruk juga bengkak di mata kirinya. Langsung tak boleh dibuka. Kasihan dia. Akhirnya setelah seminggu lebih maka mata Kaisara pulih seperti sediakala. Daripada ramai-ramai baby di taman asuhan tempat Kaisara dihantar, hanya 2 orang sahaja baby yang belum kena sakit mata. Pengasuh pun dah kena!

Liza pula dah kena sakit mata di sebelah kanan. Teruk juga bengkaknya. Katanya macam nak terkeluar biji mata. Semuanya gara-gara Kaisara yang dah dijangkiti sakit mata minggu lepas. Kamilia pun terkena sakit mata di sebelah kiri Jumaat lepas. Bengkak teruk juga. Dapat cuti seminggu.

Kamil tak dapat sakit mata. Dia kena demam campak. Lain daripada yang lain. Kena kuarantin, tidur di bawah.


Dan......... akhirnya saya juga terkena penyakit yang memang saya tak gemar ini. Sakit mata. Dapat cuti seminggu. Kerja banyak yang tak siap lagi. Senarai nama calon berjaya temuduga untuk Pengambilan Diploma perlu disiapkan. Carry mark perlu disediakan. Projek pelajar semester akhir Ijazah perlu diselia. Dan banyak lagi perlu diselesaikan. Aduh kena kuarantinla jawabnya. Terima sajala.

Wednesday 15 April 2009

Temuduga Yang Panjang

Kali ini mencatatkan rekod hari untuk temuduga program Diploma yang terpanjang. Bayangkanlah sejak hari Sabtu (11hb April 2009) lepas disambung hari Selasa dan seterusnya hari ini ada sahaja calon yang datang. Lepas ini calon yang belum ditemuduga akan datang lagi pada 21hb dan 24hb April pula. Wow memang dahsyat. Bilalah agaknya nak selesai nak dikemaskinikan keputusan terakhir untuk pengambilan program Diploma ini.

Pagi tadi, saja mulut ni gatal nak bertanya kepada sepasang suami isteri yang menemani anak perempuan mereka untuk ditemuduga. Selepas bertanya khabar dan dari mana asalnya mereka sebagai pemula bicara saya pun mula merisik, "Kenapa Pak Cik tidak bawa anak datang pada hari Sabtu lepas untuk ditemuduga". Terus Pak Cik itu menjawab, "Anak saya baru dapat tahu. Itu pun melalui surat. Pakcik tinggal jauh kat kampung". Saya cuba membela organisasi tempat saya bekerja dengan berkata, "Tapi pihak kami ada hantar SMS kepada semua calon supaya rujuk diinternet untuk dapatkan maklumat temuduga". Pakcik yang menyara kehidupan dengan menoreh getah itu membalas, "Sebenarnya Encik, kami tak ada talian telefon ... jadi saya tak dapat maklumat tu". Maka fahamlah saya kenapa dia tak dapat perkhabaran tentang temuduga pada 11hb yang lepas. Daripada pemerhatian saya, keluarga pakcik tadi memang rapat dan saling menyayangi. Si-anak yang ditemani oleh ibubapa, adik dan Pakciknya yang tinggal di KL saya lihat begitu khusyuk mendengar mungkin kata-kata perangsang daripada ibunya sebelum dia masuk ke bilik Aishah untuk ditemuduga.

Di pagi yang sama terpacul seorang lagi calon pelajar lelaki. Dia ditemani oleh 2 orang lelaki dewasa. Kedua-dua lelaki dewasa tu langsung tak reti menghormati 'rumah orang'. Selamba saja mereka merokok di depan pejabat FSR. Saya menjeling. Mungkin kerana segan kot, mereka menghabiskan sedutan yang terakhir dan yang buruknya, dibuangkan puntung rokok tu di depan laman FSR. Tak ada adab langsung. Kesudahannya baru saya tahu apabila mendengar cerita daripada si-anak ketika di dalam bilik temuduga. Rupa-rupanya salah seorang perokok tadi tu adalah bapa kepada calon. Khabarnya bapa calon tu tak ingin menemani si-anak untuk datang temuduga tapi dipaksa oleh si-anak. Oooo patut pun muka si-bapanya tak ikhlas dan tension semacam saja menunggu di depan pejabat. Rupa-rupanya sebab terpaksa hantar anak untuk ditemuduga. SMS yang UiTM hantar untuk dipanggil temuduga pada 11hb juga tidak dihiraukan oleh si-bapa. Boleh pula diingatnya SMS itu kiriman budak-budak nakal. Ada ka patut. Kasihan si-anak. Bila dapat surat yang dah terlambat sampai baru dia tahu dirinya dipanggil untuk temuduga. Sebenarnya banyak lagi cerita tentang keluarga calon lelaki ini. Biarlah saya dan Aishah sahaja yang simpan.

Cerita seterusnya tentang temuduga dan pengambilan ini akan bersambung.

Tuesday 14 April 2009

Penakut

Sebelum ni Kamil tak macam ni. Dia boleh ke tandas seorang diri. Dia boleh naik atas untuk ambil baju dalam almari. Dia boleh ke dapur seorang diri. Sekarang ini jangan haraplah asyik nak berkepit saja. Pantang takda orang lain depan mata terus dia jerit, "Di mana orang semua!".

Ini semua penangan menonton cerita hantu yang semakin banyak. Semenjak dua menjak ni rancak pula tayangan cerita hantu/seram. Alahai nasib... ditutup dia menjerit nak tengok. Bila diberi tengok hah berjawablah. Tak nak berpisah la pulak. Asyik mengekor saja ke hulu ke hilir dalam rumah. Takut-takut juga, mata ditutup dengan tangan tapi ada hati lagi nak tengok juga tu. Aduh.

Pernah sekali tu saya baru balik dari DEMC jam 4.30 pagi. Dia menjerit dari tingkat atas, tanya samada saya ada di bawah. Apabila dia pasti saya di bawah terus dia turun. Katanya, "Tadi abang mimpi ada hantu nak cekik abang". Tu dia dah terbawa sampai ke dalam mimpi la pula. Teruk dah ni. Mak dia kata dia nampak Kamil terperanjat sakan sebelum terbangun dari tidurnya. Bila saya naik ke atas Kamil siap boleh tunjuk lagi tempat yang dia kena cekik dengan 'hantu perempuan' tu. Tu dia.

Alahai sudah sudah lah dengan cerita hantu/seram. Cerita macam ni tak bawa kita ke mana. Mari kita boikot filem yang menakutkan bangsa. Melemahkan umat. Memanglah 'mereka' ada. Janganlah dok layan. Biarkan mereka dengan dunia mereka. Saya tak sanggup anak-anak saya terus menjadi penakut dek kerana tertengok cerita yang merapu ni. Oh tolong.

Bingkisan dari staf ASTRO pun ada di sini.

Musim Sakit

Kata orang musim. Sebab itulah kalau pergi ke klinik-klinik atau hospital, ramai pesakitnya datang untuk berjumpa doktor kerana demam panas. Dah masuk 2 minggu saya demam. Tekak masih terasa perit. Sakit bila bercakap. Nasib baik semester dah nak habis. Beberapa hari lepas sekali lagi saya ke DEMC. Kali ni pukul 3 pagi pula. Demam panas. Kena suntik sekali. Baru OK sikit suhu badan.

Kaisara diserang sakit mata. Kasihan dia. Mata sebelah kiri kini membengkak pula. Dah masuk 6 hari. Nak buka mata kirinya pun tak boleh. Walaupun menanggung sakit, Kaisara masih boleh tersengih bila dipanggil namanya.

Kamil pula diserang demam campak. Hari ini masuk hari yang ke-6. OK lah tu dah nak kering. Terpaksalah dikuarantin.

Kami redha.

Wednesday 8 April 2009

Gaduh, Tumbuk dan Bakar

Saya tak berada di situ tapi boleh jangkakan suasana yang sukar dikawal di situ. Dulu masa budak-budak memang saya kerap ke sana. Jadi saya boleh jangkakan meriahnya pesta itu. Cuma mungkin lokasinya sahaja berbeza tetapi kemeriahannya tetap sama.

Masa dulu-dulu kalau hijau kuning beraksi aja tentu saya cuba hadirkan diri. Tambah-tambah lagi kalau perlawanan itu diadakan di Stadium Darulaman. Seronok berada di tepi gelanggang. Boleh tengok secara langsung sesuatu perlawanan.

Tapi itu dulu. Masa tu saya tak pernah dengar tentang rasuah. Tentang pemain menjual perlawanan. Tentang jual beli gol. Bila dah bocor semua benda-benda pelik ni saya dah tak minat nak tengok bola lagi. Bukan kata kat stadium, kalau perlawanan kat padang pun jelik rasanya saya nak tengok.

Kalau dulu semuanya kecoh mengenai jual beli perlawanan, sekarang pula isu gaduh-gaduh. Sukan yang sepatutnya menyatukan kita semua telah menjadi sebaliknya. Pemain dan penonton bermusuh hingga berlaku pergaduhan dan rusuhan. Semalam lagi dashyat, pemain pasukan Kelantan yang pernah bawa masalah tu telah menumbuk muka pemain lawan dari Nogori Sombilan. Tak cukup dengan itu, penonton pun turut merusuh. Tak puas hati dengan siapa, saya pun tak tahu. Dah kalah tu, sudahlah. Kenapa nak jadi gedebe. Habis semua harta benda nak dimusnahkan. Kenderaan polis pun dilaporkan telah dibakar oleh mereka yang tak bertanggungjawab ni.

Memang susahlah orang yang berkeluarga macam saya nak masuk semula ke stadium untuk menonton perlawanan bolasepak. Lebih baik tengok gusti. Lagi best. Gaduh takdak orang hentikan. Ini tak, kita datang nak tengok perlawanan bola, tapi yang dipersembahkan bukannya perlawanan bola yang menarik, tetapi aksi tendang menendang, sepak menyepak, kungfu mengkungfu, tumbuk menumbuk dan ludah meludah. Jelik rasanya nak biarkan anak-anak saya menonton aksi yang tak bermoral ni.

Saya sarankan kepada pemain yang suka sangat bergaduh dan pantang disentuh ini masuklah acara yang bersesuaian dengan mereka. Sertailah pertandingan tomoi ka, barulah buku bertemu ruas. Masa tu barulah dia tahu langit tinggi rendah. Ini tak, dalam perlawanan bolasepak pula dia nak tunjukkan ilmu panas baran dan memukul orang. Naya pemain lain yang tak panas baran dan tak pandai bertumbuk. Kalah la dia. Lebamlah kawan tu bila perlawanan habis.

Kalau tak pun pemain ini saya sarankan merantau ke Australia. Cubalah nasib bermain Australian Football. Baru boleh sepak orang, cakar orang, tarik orang dan humban orang. Memang sesuai untuk orang macam ni.

Membebel panjang pun tak guna kalau depa semua ni taknak berubah. Akhirnya biarlah Luncai terjun dengan labu-labunya. Kita semua tengok sajalah. Kalau tak nak juga pekak telinga butakan mata. Habis cerita.

Bezanya Sekarang

Melihat gambar sendiri beraksi memang sesuatu yang 'mengerikan' pada saya. Mana taknya, badan dah macam dipam-pam. Kalau dilihat foto di bawah... rasanya macam melihat raksaksa naik motor. Motor tu pun dah nampak kecil. Hai lah nasib badan. Sejak hati senang ni berat badan naik tak nak turun turun. Hendak ditimbang pun dah fobia. Tak sanggup nak dilihat angka yang ditunjukkan oleh jarum penimbang.


Masa balik dari Bendigo dulu, berat saya turun sehingga 72 kg. Badan terasa ringan. Mana taknya, di sana saya berjalan kaki ke kampus. Kadangkala ke pekan pun berjalan. Makan ala kadar saja. Jadi boleh le jaga badan.



Malaysia kaya dengan makanan. Nak bergerak pun semuanya pakai kenderaan. Jadi bila masanya nak kurus kembali ni!

Monday 6 April 2009

Baju Oren Topi Putih

Pagi tadi pasukan Baju Oren Topi Putih (BOTP) bekerja seawal jam 8 pagi. Mereka berkumpul di tebing bukit berhampiran tapak Tembok Mendaki Tiruan yang telah lama ditinggalkan. Hasrat mereka adalah untuk menurunkan 3 peserta 'Orang Kurang Upaya'(OKU) yang satu hari nanti mungkin akan ditukar akronim OKU nya ke 'Orang Kelainan Upaya' dek kerana mereka juga berupaya dan kadangkalanya terlebih berupaya. Mereka telah merancang untuk menjalankan aktiviti abseiling untuk 'OKU'

Peserta pertama mempunyai 'cacat penglihatan'. Dia 'buta' sejak dari kecil lagi. Peserta kedua seorang 'amputee'. Tangannya 'kudung' dek kerana kemalangan yang menimpa beliau. Peserta terakhir pula mempunyai ketidakupayaan 'Cerebral Palsy' (CP) sejak dari kecil. Beliau hanya berkerusi roda.

Alhamdulillah berkat kecekalan pasukan BOTP, kesemua peserta 'OKU' tersebut berjaya menuruni tebing yang curam di tepi kolam renang. Kesemua tadi hanyalah simulasi aktiviti abseiling untuk OKU. Sekurang-kurang dengan kaedah ini pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang mereka perolehi di dalam bilik kuliah ke lapangan.

Cerita selanjutnya juga ada di sini.





Rokok

Semasa ingin keluar dari sebuah stesen minyak saya disapa seorang gadis manis. "Maaf Encik, saya ingin bertanya... Encik merokok?", tanya gadis itu sambil di tangannya ada sekotak rokok daripada jenama terkenal antarabangsa. "Alahai dik... awak silap orang, saya anti-rokok la", selamba saya membalas. Gadis itu terdiam, langsung tak berkata apa lagi.

Kenapalah saya yang dipilihnya dalam ramai-ramai lagi orang di stesen minyak itu. Ada tokoh muka perokok tegar ke. Takkan bos dia tak ajar teknik untuk mengenali perokok.

Esoknya saya diserang demam panas. Tekak terasa perit. Kepala terasa berat dan pusing. Maka ke DEMC saya tuju tepat jam 12 tengahmalam. Tak ada pesakit lain di situ. Masa menunggu pun jadi tak lama. Masuk saja terus mengadap doktor bertugas. Ditanyanya apa sakit saya. Saya terangkan (macamla aku pulak yang doktornya). Doktor mendengar dan seterusnya memeriksa. "Tekak Encik ni merah betul, Encik kuat merokok ke?", tanya doktor tersebut inginkan kepastian setelah diperiksa tekak saya. "Doc, saya anti-rokok ... mak bapak saya mati kerana rokok. Jadi saya memang tak merokok", terang saya. Alahai dalam masa tak sampai 24 jam dah 2 orang tegur aku pasal rokok. Kenapa ya? Sebab bibir hitam kot. Walau apapun saya dapat MC sehari.


Sebentar tadi saya ke sebuah pasaraya. Ketika di kaunter bayaran, saya terperasan kotak rokok jenama antarabangsa yang memaparkan foto yang mengerikan akibat daripada tabiat merokok. Kesan merokok memang mengerikan tetapi kenapa orang masih merokok. Tak kasihankah mereka dengan tubuh badan yang Allah kurniakan. Yang menariknya lagi, mulut menggalakkan orang mengamalkan cara hidup sihat tetapi mulut itu juga yang bibirnya terlekat rokok senantiasa. Hipokrit namanya tu. I'm sorry.

Takpalah yang penting saya senantiasa mengingatkan kawan-kawan saya tentang bahayanya merokok. Jika anda sayangkan diri anda dan orang tersayang, jauhilah rokok. Anda selamat... orang yang tersayang pun selamat.

Wednesday 1 April 2009

Kolam Mandi vs Kolam Ikan Peliharaan

Akhirnya kolam yang sememangnya diimpikan oleh kami sekeluarga berjaya disiapkan. Kawasan sekangkang kera yang dahulunya saya tanam rumput karpet kini bertukar kepada kawasan takungan air. Inilah water feature yang kami nantikan sekian lama. Terdapat sebuah kolam berbentuk empat segi dan juga pancuran di dinding yang menambahkan keserian kolam ini. Saya dapat merasakan bahawa water-feature ini dapat berfungsi sebagai elemen penyejuk semula jadi kepada ruang yang menjadi tempat meletakkan kereta ini.

Namun sebelum sempat kolam ini dimasuki ikan-ikan peliharaan, rupa-rupanya sudah ada makhluk lain yang mengintai peluang. Mereka itulah anak-anak kami. Selesai sahaja air dimasukkan dan water pump dihidupkan, terus mereka terjah ke dalam kolam tanpa memohon kebenaran. Tak sempat saya nak kata apa. Siap diajak lagi kawan-kawan untuk turut serta. Alahai ada pula yang pakai lampin pakai buang pun terjun sekali. Alamatnya banyaklah serdak-serdak lampin tersebut mendap di dasar kolam. Biarkan...biarkan. Biarkan anak-anak ini berpesta sebelum upacara melepaskan ikan dilaksanakan.

Nota: Terima kasih kepada TEAMTACT kerana sponsor batu sungai.