Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Saturday 28 March 2009

Akukah Melayu Itu?

"Sajak bertajuk "Melayu" ini adalah karya Sasterawan Negara Dr. Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Thursday 26 March 2009

Dara

Air terjun ini memang indah. Kawasan sekitarnya juga cukup menarik. Masih dara. Mungkin masih ramai yang belum tahu bahawa di Janda Baik terdapat kawasan air terjun yang indah sebegini.

Namun persoalannya di sini, sampai bilakah keindahan ini boleh kekal. Banyak sudah air terjun dan sungai-sungai di negara kita telah dicemari. Sampah-sarap memenuhi setiap ruang yang ada. Pemandangan yang memual dan menjijikkan ini seperti sudah biasa. Botol plastik air minuman/mineral yang telah kosong 'lebih berat' dari yang masih berisi. Setelah habis diteguk isi perut botol tersebut, maka botol yang kosong itu dibuang sewenang-wenangnya.

Sampai bilakah sikap sebegini akan terus menjadi 'tradisi' yang sepatutnya telah lama ditinggalkan. Kalau kita masih tidak mahu berubah, sudah tentulah suatu hari nanti kita hanya boleh melihat air terjun yang bersih adalah air terjun buatan manusia. Namun sedarilah yang dibuat oleh manusia tidak secantik ciptaan Allah.

Sama-samalah kita tegur menegur sekiranya ada di antara rakan-rakan kita yang 'terlupa' menjaga kebersihan terutama ketika berada di kawasan rekreasi.

Wednesday 25 March 2009

Saya OK Saja

Betul saya memang OK. Kawan sekeliling asyik dok bertanya soalan yang sama.

Penangan 2 minggu lepas memang menyentuh hati. Sesiapa yang terkena pun pasti terasa. Orang gila atau yang tidak berhati perut sahaja yang boleh terima kalau diri mereka diperlakukan sedemikian.

Saya tak kisah. Memang saya muka tak tahu malu. Saya peduli apa. Saya inginkan kebenaran. Saya inginkan penjelasan. Saya inginkan kepastian. Tak sangka pula perlu berhadapan dengan cara yang mengaibkan. Rupa-rupanya bukan saya seorang ramai dah terkena.

Sabar sajalah. Tentu ada hikmahnya. Mungkin ini balasannya kerana saya pernah berdosa kepada orang lain. Saya mohon maaf. Semoga dosa saya diampunkan. Ya la hidup pun tak tahu berapa lama lagi. Entah esok entah lusa.

Saya dah tak mau gaduh-gaduh. Kalau ada yang tidak sedap di hati datang-datanglah atau panggil sahaja untuk berbincang. Rama yang dah tahu kan bahawa saya ni pun bukannya yang keras hati sangat sampai tak nak dengar pendapat orang lain. Kita pun tahu kan takda masalah yang tiada jalan penyelesaiannya. Sekurang-kurangnya kita mencuba untuk selesaikan.

Maaf ya kalau terkasar bahasa. Saya nak belajar jadi lebih berbudi bahasa. Waalahu'aklam bissawab.

Wednesday 11 March 2009

Motivasi

Setiap hari saya akan bermotivasi untuk ke tempat kerja. Saya cukup teruja dengan kerja-kerja yang akan saya lakukan. Namun kadang-kadang setiap yang kita rancangkan gagal dilaksanakan atas sebab dan musababnya. Tentu ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hambaNya.

Saya redha dengan segala yang berlaku. Walaupun ada program yang telah dirancang oleh saya ataupun oleh pelajar untuk kebaikan pelajar dan masyarakat gagal dilaksanakan dalam masa yang terdekat, namun ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk mendidik sekadar yang termampu. Saya tidak akan membiar SEMANGAT yang ada ini pudar dan menjadi 'SEMAYAT'.

Hidup perlu diteruskan. Perjuangan untuk memartabatkan ilmu akan saya teruskan. Motivasi saya setiap pagi untuk ke tempat kerja tetap akan saya teruskan... insyaallah hingga ke akhir hayat. Saya akan pastikan ibadah ini akan saya teruskan.

Nota: Saya ada menulis banyak cerita di dalam seminggu menyepi namun ianya tidak sesuai untuk dipaparkan untuk tatapan umum. Biarlah ia menjadi sejarah hidup.