Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 29 August 2008

Ramadhan yang Dinanti

RAMADHAN muncul lagi. Bulan mulia yang kita tangisi pemergiannya setahun yang lalu kini bertandang kembali. Syukur Alhamdulillah kita semua dipanjangkan umur untuk bertemu lagi bulan Ramadhan ini.

Tahun lepas saya berkesempatan menyambut Ramadhan Al-Mubarak di Bendigo. Banyak kenangan-kenangan manis sepanjang berada di sana. Suasananya sudah tentu jauh berbeza. Kepada yang nak tahu sedikit sebanyak pengalaman menyambut Ramadhan di Bendigo bolehlah melawat laman sesawang Khabar dari Bendigo.

Saya secara peribadi ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Mulia Ramadhan Al Mubarak. Dengan rasa rendah dirinya, bersama-samalah kita menginsafi dan memohon ampun di atas dosa-dosa kita serta melebihkan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Semoga Allah swt membuka pintu hati kita dan menjadikan kita manusia yang lebih patuh dan taat kepadaNYA, insyaallah.

Di kesempatan ini juga saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf kepada semua penjenguk-penjenguk sekalian, ampunilah segala dosa saya terhadap anda semua jika ada yang memendam di dalam hati. Marilah kita sama-sama mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.

Akhir kalam, selamat menjalani ibadah puasa.

PERLU Buat Gempaq

Ada ka dekat nak Maghrib semalam datang rumah saya berkawad. Tergezut besaq saya dibuatnya.

Ceritanya bermula sebaik saya turun dari kereta semalam. Segerombolan 'askar' PERLU yang datang entah dari mana berkawad menuju ke laman rumah saya. Habis semua jiran jengok. Mesti depa terkezut. Tak pernah sekalipun orang berkawad di kawasan perumahan kami. Mungkin depa dok pikiaq, mai mana depa semua ni. Kalau Pak Guard kawasan perumahan kami semuanya lelaki India. Ini tak, lelakinya dengan segak bergaya dan perempuannya dengan comel dan lawa pulak tu.


Rupa-rupanya depa ni dah buat perancangan dengan Liza. Itu pun baru lewat petang semalam Liza dimaklumkan. Nak buat surprise birthday party untuk saya. Aduh... terharu saya dibuatnya. Siap datang lapur diri lagi. Selagi tak diberi kebenaran tak masuk semuanya. Macam kat ke la pulak. Mentang-mentanglah ada komander, leftenan muda dan bakal inspektor. Depa buat macam pasukan beruniform pulak. Saya layan ja. Padahal muka dah merah padam. Apa taknya, jiran semua dok tengok sambil pasang telinga. Cerita penuh tentang kawad PERLU ada di sini.

Ramai yang hadir semalam. Jiran-jiran terdekat pun hadir. Penuh jugaklah pondok saya. Melimpah sampai ke dapur.

Alhamdulillah, majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah. Selepas itu masa untuk makan. Banyak rupanya PERLU peruntukkan untuk majlis ini. Saya dapat tahu depa collect duit. Kasihannya. Sampai macam tu sekali. Liza hanya sempat belikan mee untuk digoreng, air dan tempah sate. Kesemua ahli PERLU dan alumni yang hadir bergotong-royong menyedia dan membeli juadah. Aduh... terharunya saya.

Ada hadiah la pulak. Tak cukup dengan jamuan, PERLU hadiahkan pula saya dengan sandal jenama CROCS...mahalnya hadiah. TEAMTACT pula hadiahkan saya drybag jenama Feelfree. Kata Shawn, "Senang boss nak ikut aktiviti air". Liza hadiahkan T'Shirt Adidas. Aduh... sekali lagi terharunya saya. Kalau diikutkan memanglah kesemuanya menjadi keinginan saya. Kalau dulu, masa bujang mungkin inilah barang yang akan saya sambar dulu sekiranya ada di pasaran. Namun sekarang apabila ingin membeli, kehendak anak-anak dan isteri diutamakan. Terima kasih semuanya.

Sepatutnya saya yang buat majlis untuk meraikan alumni dan ahli PERLU yang banyak membantu saya. Ini terbalik, alumni dan PERLU pula meraikan saya.

Memang saya ada merancang untuk buat makan-makan selepas tamat kem di Kenyir. Tetapi saya kasihankan Liza. Sedang sarat. Jadi saya tunda dulu.

Syukur, Allah kurniakan ilham kepada alumni dan ahli PERLU untuk membantu menjayakan majlis semalam. Bantuan mereka semualah menjadikan majlis semalam berjaya dengan izin-NYA. Semoga Allah memberkati kehidupan mereka semua. Amin

Kepada yang tidak dijemput, maafkanlah saya sekeluarga. Majlis inipun dirancang senyap-senyap oleh PERLU dan alumni. Saya sendiripun tak dimaklumkan. Jangan merajuk. Insyaallah lepas raya saya buat rumah terbuka, OK.


Thursday 28 August 2008

Bolehkah Gambar Menceritakan Segalanya?

Tak sah kalau tak diceritakan tentang pengalaman di Kenyir. Tambahan pula dengan kumpulan peserta yang berbeza dari pelbagai sudut. Saksikanlah gambar di bawah untuk menceritakan sebahagian daripadanya. Maaf tidak semua boleh dikongsi. Bertandang dan jenguklah dahulu kami di kem baru tahu.






Pengguna Setia

Kalau orang lain sering bertukar-tukar perkhidmatan mudah alih telekomunikasi. Saya boleh berbangga (bukan riak ya) kerana menjadi pengguna setia perkhidmatan syarikat telekomunikasi mudah alih yang tertua di Malaysia iaitu CELCOM. Saya mula menggunakan khidmat CELCOM ketika pertama kali menggunakan telefon bimbit sekitar tahun 1998. Itupun setelah bekerja. Gaji pertama. Jenama telefon bimbit pilihan saya pada ketika itu adalah NORTEL. Hingga kini saya masih menggunakan talian yang sama, telefon bimbit saja yang berbeza.

Saya sangat berpuashati dengan perkhimatan yang diberikan bermula dari saat saya menggunakan khidmat CELCOM. Tidak pernah CELCOM mengecewakan saya. Banyak lokasi yang saya jelajahi di Malaysia mempunyai khidmat CELCOM. Dari lautan hinggalah ke pergunungan.

Kebetulan di akhir tahun lepas saya sengaja menggunakan khidmat MAXIS. Sekadar mencuba. CELCOM tetap ada. Masih digunakan. Khidmat MAXIS tidak sebaik CELCOM. Hanya hebat di kota. Namun MAXIS pandai menghargai pelanggannya. Walaupun baru 8 bulan menggunakan khidmat MAXIS saya telah diberikan hadiah harijadi yang istimewa oleh MAXIS. Sebagai menghargai pelanggan mereka yang menyambut harijadi. Saya dihadiahkan panggilan percuma ke semua talian MAXIS sepanjang 24 jam bermula tengah malam tadi. Terima kasih MAXIS.

Namun hari ini sungguh mengecewakan saya sebagai pengguna setia CELCOM. Biarpun sudah genap 10 tahun saya setia menggunakan khidmat CELCOM namun tidak sekalipun saya merasa menggunakan khidmat itu secara percuma. Kedekutnya.

Secara kebetulan pula, awal pagi tadi ada seorang staf dari CELCOM menelefon saya untuk menyemak biodata saya untuk dihantar bil pertama. Ini kerana hari Isnin lepas saya telah bertukar dari prabayar ke pascabayar. Saya ingatkan nak bagi penggilan percuma atau nak ucapkan Selamat Hari Jadi. Tapi sebaliknya. Cuma nak semak biodata pelanggan.

Setelah disemak semua biodata saya, staf CELCOM bertanya, "Encik Hisyam ada apa-apa pertanyaan berkaitan khidmat CELCOM". Terus muka tak malu saya bertanya, "Tak ada hadiah panggilan percuma ka untuk saya sebagai hadiah harijadi ke 34". Terkejut staf CELCOM terbabit. Mungkin dia malu. Tak perasan hari ni 28 Ogos. Walaupun sebentar tadi baru disemak biodata saya. Tapi dia mengaku tak perasan. Dia minta maaf. Jawapan seterusnya menghampakan. Tiada panggilan percuma. Namun saya tak kisah. Saya maafkan beliau walaupun hari ini bukan hari raya. hehehe...

Sekadar nak berkongsi cerita pengguna setia yang dipinggirkan.

Wednesday 27 August 2008

Situasi Berbeza

Pagi tadi saya sengaja datang awal ke kuliah. Jam 8.23 pagi saya dah terpacul di dalam Bilik Kuliah. Alhamdulillah semua pelajar dah ada. 23 orang semuanya. Mereka sudah bersedia untuk pembentangan kumpulan pada pagi ini. Semuanya pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan kepujian (Pendidikan Jasmani dan Kesihatan). Mereka datang lebih awal dari kuliah yang sepatutnya bermula pada 8.30 pagi. Saya cukup gembira.

Nun di bilik kuliah sebelah, saya dapat melihat pelajar diploma masih lagi terkial-kial dengan gelagat biasa, orang lambat ke kuliah. Terjenguk-jenguk ke dalam bilik kuliah dari luar. Jam 8.45 pagi pun masih ada yang baru nak masuk ke dalam bilik kuliah. Zaman dah terbalik. Sekarang, guru yang menunggu murid. Bukan sebaliknya. Kasihan Puan Mastura kena melayan perangai pelajar terbabit yang masih juga tak mahu berubah. Datang lewat dengan 'mata merah'. Daripada pemerhatian saya setiap minggu, ini bukanlah pertama kali kejadian seperti ini berlaku. Sampai bila?

Ayuh berubahlah bangsaku!

Tuesday 26 August 2008

Bukan Sekadar Beraktiviti

Subjek Outdoor Recreation yang saya cuba terapkan lain dari yang lain. Tak percaya ka? Kalau tak percaya cubalah jenguk-jenguk kami di kem. Itupun kalau ada kelapangan. Fasilitator PERLU dan para peserta yang pernah mendaftar untuk subjek Outdoor Recreation atau dahulunya Recreational Outdoor Pursuit yang saya ajar tentu faham. Ada juga yang masih buat-buat tak faham. Saya tak kisah.

Walaupun namanya Outdoor Recreation namun saya cuba terapkan juga elemen-elemen dalam Outdoor Education. Menggunakan alam semulajadi untuk mendidik.

Semasa amali saya tidak hanya tekankan domain psikomotor [kemahiran] sahaja. Kemahiran mereka boleh dapat dengan menyertai kem-kem rekreasi yang lain. Tapi domain afektif [attitude] saya tekankan selain daripada domain kognitif [pengetahuan] yang tidak dipinggirkan. Elemen kerohanian langsung tidak ditinggalkan. Sembahyang berjemaah bila masuk waktu dan berdoa sebelum memulakan aktiviti. Kini saya galakkan peserta dan fasilitator sujud syukur sesudah selamat melaksanakan aktiviti.

Amali yang dilaksanakan bukan untuk mengajar dan menilai pelajar yang cekap berkayak, pantas menuruni menara ketika aktiviti abseiling dan laju menghabiskan aktiviti navigasi. Ianya lebih kepada misi yang sama di dalam melaksanakan aktiviti, semangat sepasukan, rasa kekitaan, memaksimumkan kreativiti, memaksimumkan penggunaan sumber yang ada, pengurusan konflik sesama peserta dan masyarakat, penyelesaian masalah dan seterusnya membuat keputusan.

Bukan senang nak mendidik anak orang yang baru dikenali tak sampai dua bulan. Saya tak nak jadi seperti bapa ketam mengajar anaknya berjalan. Saya perlu tunjukkan contoh dahulu. Contoh yang baik. Kalau ianya satu lakonan tentu akhirnya terbuka juga pekung di dada. Maka saya perlu mendidik diri sendiri sebelum mendidik anak orang.


Bukannya mudah untuk mengubah sesuatu sikap yang telah dibawa-bawa semenjak dari kecil lagi. Antaranya malas, susah bangun pagi, berat tulang, tinggalkan solat, panjang tangan, suka merungut, merokok dan banyak lagi tingkahlaku negatif yang menjadi 'darah daging' kehidupan. Namun apa salahnya saya mencuba. Biarpun ramai yang tak suka.

Monday 25 August 2008

Ingatan

Perhatian kepada pelajar yang berdaftar untuk subjek SPS133 ( Outdoor Recreation) untuk semester Julai/November 2008. Sila kemaskinikan blog anda. Jangan biarkan ianya terus bersawang. Masukkan pengalaman anda sepanjang berada di Tasik Kenyir. Kepada yang masih belum memaklumkan kepada saya tentang kewujudan blog anda, sila lakukan dengan segera.

Saya senang saja, kalau malas-malas tunggu keputusannya nanti. Jangan sampai "dah terantuk baru terngadah".

Sunday 24 August 2008

Terima Kasih Daun Keladi

Program di Kenyir selama 6 hari telah melabuhkan tirainya. Tidak sah sekiranya saya tidak mengucapkan berbanyak terima kasih di atas bantuan daripada pelbagai pihak. Saya amat berterima kasih di atas kehadiran rakan yang sudah lama tidak bersama menyertai Amali Perkhemahan iaitu saudara Norasrudin Sulaiman. Beliau yang kini dalam peringkat akhir penulisan untuk menamatkan pengajian di peringkat PhD masih sudi mengikuti program yang diadakan ini. Cik Sue yang kini sedang cuti belajar juga sanggup meluangkan masa selama 3 hari bersama para peserta di Tasik Kenyir. Tidak lupa juga kepada staf FSR seperti saudara Adnan, saudara Safuan dan Cik Faraharlina kerana kesudian mereka membantu melancarkan program ini.

Kepada para Alumni PERLU juga tidak saya lupakan pengorbanan mereka. Jasa mereka amat saya sanjungi. Ada yang sanggup mengambil cuti tahunan mereka, semata-mata untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama adik-adik mereka di Tasik Kenyir. Antara Alumni yang berkelapangan untuk hadir membantu adalah seperti saudara Rafsan (Shawn), Elham (Abe), Raziff (Boy), Mustakim, Azmi, Yazilah, Sharifah Azian (Che'), Tracy dan Yasir Foo.

Tidak lupa kepada Saudara Ahmad Firdaus Ibrahim, pensyarah INSTEDT, yang sudi membantu dan di samping mengiringi pelajar INSTEDT.

Fasilitator daripada Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU UiTM) sangat membantu meringankan tugas saya. Tanpa kehadiran mereka, besar kemungkinan program yang dirancang sukar mencapai objektifnya. Maka jasa mereka amat saya hargai. Antara yang membantu adalah seperti saudara Syariman (Presiden PERLU UiTM), Boyington, John, Lenny, Napisah, Tengku, Dasri, Adzly, Hafiz Hadran, Dilla, Azrul, Ecah, Ateh, Atiqah, Adzimah, Hajar Asmidar, Sofwan, Mubin (bakal PERLU), dan Huzaifah (bakal PERLU).


Kepada semua yang terlibat di dalam membantu menjayakan program Amali Perkhemahan Akhir ini saya ucapkan berbanyak terima kasih. Hanya Allah sahaja yang bisa membalas jasa dan pengorbanan kalian di dalam membantu menyampaikan ilmu kepada peserta-peserta program. Jazakallahu Khayr. "May Allah reward you for the good."

Walaupun Ringkas Namun Signifikan

Tak sempat habis letih program di Kenyir, saya sambung pula dengan satu lagi program rekreasi luar di antara pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan(Pendidikan Jasmani) dengan pelatih-pelatih daripada Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP). Program tersebut berlangsung di Danau Perikanan, Taman Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam.


Program rekreasi luar ini menggabungkan di antara orang normal (UiTM) dengan orang kurang upaya (PLPP). Program ini lebih dikenali di luar negara sebagai Inclusive Outdoor Recreation. Seramai 23 orang pelajar EDU226 (bakal-bakal Cikgu Pendidikan Jasmani) yang mendaftar untuk subjek Leisure & Disabilities menyertai program ini. Peserta daripada PLPP pula terdiri daripada 12 orang yang mempunyai ketidakupayaan fizikal. Mereka diiringi oleh dua orang guru pengiring iaitu Cikgu Shima dan Cikgu Napisah. Staf dari Pusat Kesihatan UiTM juga dijemput untuk bersedia sekiranya berlaku kecederaan atau kemalangan. Alhamdulillah tiada kemalangan berlaku.

Program separuh hari ini meninggalkan kesan yang cukup besar kepada para peserta. Pelatih-pelatih daripada PLPP kesemuanya memaklumkan kepada saya bahawa mereka tidak pernah diberi peluang menyertai program sebegini. Kata mereka lagi walaupun program ini nampak ringkas dan kecil, namun ianya memberikan impak yang cukup besar di dalam kehidupan mereka.

Saya dapat melihat jauh di raut wajah mereka kepuasan selepas berjaya menamatkan aktiviti Explorace yang telah dirancang oleh penganjur. Kegembiraan tampak jelas dengan wajah-wajah ceria setelah menyiapkan kesemua tugasan yang diberikan kepada mereka. Peserta daripada UiTM juga dilihat dapat bekerjasama di dalam membantu mereka yang mempunyai kesukaran berjalan semasa aktiviti berlangsung. Mereka tidak segan silu untuk berpimpin tangan dengan golongan OKU. Ini menandakan mereka begitu prihatin akan keselamatan rakan sekumpulan mereka.

Program sebegini juga dapat menonjolkan kreativiti golongan OKU di mana mereka mempunyai idea yang menarik dan cukup kreatif ketika keadaan memerlukan. Siapa kata OKU itu golongan orang kurang upaya. Dalam sesetengah keadaan, mereka pula yang lebih berkeupayaan daripada kita yang normal. Ini terbukti hasil daripada aktiviti yang telah dilaksanakan.

Tema yang dipilih oleh penganjur juga memang kena dengan aktiviti yang dijalankan. Tema "Inclusive Recreation: Sharing is Caring 2008" memang bertepatan dengan objektif program dan ianya memang cukup bermakna. Diharapkan program sebegini, yang menggabungkan orang normal dan OKU akan dapat diadakan dengan lebih kerap agar OKU tahu ada masyarakat seperti kita begitu prihatin dan menyayangi mereka (OKU).

Saya juga begitu teruja melihat persediaan dan perancangan yang begitu teratur daripada pihak penganjur (bakal-bakal cikgu PJ) yang diketuai oleh saudari Nik Norul Hajar. Dalam masa yang singkat, mereka semua berjaya menghasilkan satu program yang bagi saya amat berjaya mencapai objektifnya. Tahniah kepada mereka semua.


Di akhir program saya dapat melihat air mata meleleh di pipi para peserta daripada kedua-dua organisasi terutama sekali ketika mengiringi pelajar daripada PLPP yang akan berangkat dengan bas UiTM menuju ke PLPP Bangi. Itulah tandanya titian persahabatan yang baru dibina dapat memberikan kesan yang cukup mendalam apabila diuji dengan perpisahan. Semoga akan banyak lagi program sebegini diadakan di masa hadapan.

Friday 15 August 2008

Doakan Kami

Assalamualaikum to all,

Kami semua akan bertolak ke Tasik Kenyir esok (Sabtu) jam 8.00 pagi. Lokasi berkumpul adalah di Makmal aka Stor Rekreasi Luar. Bermula jam 5.00 petang ini semua pelajar telah dikuarantin untuk memastikan mereka betul-betul bersedia untuk ke Perkhemahan Akhir. Program ini akan melibatkan seramai 42 orang peserta Diploma dan 17 orang peserta ijazah [programnya berbeza bagi Diploma dan Ijazah]. Fasilitator dari PERLU dan alumni juga akan turut serta. 7 orang staf FSR akan mengiringi program kali ini.

Doakan keselamatan kami semua sepanjang kami di sana. Doakan agar segala program yang telah dirancang dapat dilaksanakan. Doakan keselamatan perjalanan kami pergi dan pulang. Doakan agar program ini mendapat keberkatan.

Akhir sekali, terima kasih di atas doa anda. Wassalam

Thursday 14 August 2008

Ramainya

Ramai yang dok bertanya kenapa ramai sangat alumni yang sanggup menghadirkan diri untuk amali perkhemahan saya. Apa ilmu yang saya pakai untuk tarik mereka.

Sebenarnya saya sendiri pun begitu teruja apabila memperkatakan pengorbanan alumni FSR ini. Mereka sanggup datang dari jauh, mengambil cuti tahunan/cuti rehat sendiri untuk bersama-sama membantu menjayakan amali yang bakal diadakan tidak beberapa hari lagi. Keikhlasan mereka jelas terpancar sehingga ada yang menghubungi saya dari awal semester bermula lagi. Mereka ikhlas ingin membantu di dalam mencurahkan ilmu dan pengalaman yang mereka ada. Saya sungguh-sungguh terharu.

Hari ini Azlan yang kini bertugas di MSN memaklumkan cutinya tidak diluluskan di saat-saat akhir. Sedihnya.

Azmi, Rafsan, Mus, Yasir, Abe dan Aboy dah lama maklumkan mereka akan dapat ke Tasik Kenyir. Tracy pula katanya sanggup terbang dari Negeri di Bawah Bayu. Cheq datang dari Pasir Salak. Yazilah sanggup mempercepatkan kerjanya di Perlis untuk turut hadir. Mungkin ramai lagi yang akan hadir ke Kenyir tanpa makluman. Mungkin ingin bikin surprise... Apapun alumni sentiasa dialu-alukan.

PPT sekeluarga masih lagi belum beri maklumbalas. Mungkin sibuk agaknya. Apapun kita tunggu hingga ke hari Sabtu ini untuk mengetahui kehadiran para alumni FSR di Kenyir. Adios

Wednesday 13 August 2008

Tidak la Ulu Sangat

Semalam saya, Dekan dan Pengerusi Pengajian berangkat ke UiTM Kampus Pahang di Jengka. Saya bayangkan tentulah ianya bakal menempuh perjalanan yang jauh dan sukar. Kenderaan pacuan 4 roda pun saya tempah dari Unit Kenderaan. Rupa-rupanya Jengka tidak seperti yang saya bayangkan. Sudah maju.

Kami semua sebagai wakil FSR telah mengadakan pertemuan dengan barisan pengurusan tertinggi UiTM Jengka yang diterajui oleh Prof Madya Dr Hj Hilmi Abdul Rahman. Boleh dikatakan kesemua pembesar-pembesar UiTM Jengka hadir dan menyambut kedatangan kami.

UiTM Jengka begitu berminat untuk memasukkan Diploma Pengajian Sukan sebagai satu lagi program yang ditawarkan di situ. Maka kami dari FSR hadir untuk melihat sendiri infrastruktur yang disediakan oleh UiTM Jengka untuk 'menyambut' satu lagi program yang memerlukan infrastruktur yang tersendiri.

Sesi taklimat dimulakan dengan Timbalan Pengarah (akademik) UiTM Jengka menerangkan tentang kemudahan di UiTM Jengka. Ianya diikuti oleh penerangan tentang program Diploma Pengajian Sukan oleh saya sendiri. Selepas itu kami pun pergilah melawat beberapa kemudahan yang tersedia di sini.

Sememangnya UiTM Jengka sudah bersedia menerima kehadiran satu lagi program baru. Prasarana memang cukup lengkap. Terlalu lengkap. Dengan kemudahan sukannya, penginapan pelajar, bilik kuliah, ladang (macam kat UPM pulak) dan hutan (macam Hutan Simpan Air Hitam -milik UPM). Wow! memang hebat. Kenapa saya tak tahu dari dulu lagi. UiTM rupa-rupanya sudah ada hutannya sendiri. Memang indah.

Yang paling bestnya kami dijamu dengan masak tempoyak ikan patin segar. Durian dan rambutan dari ladang UiTM Jengka. Cenderahatinya pula rambutan satu bakul dan pokok herba seperti Mas Cotek.

Sudah semestilah Dekan, Pengerusi Pusat Pengajian dan saya sungguh teruja untuk dipercepatkan pembukaan program Diploma Pengajian Sukan di sini. Siapakah pensyarah yang akan mengajar di sini? Kita tunggulah nanti apabila tiba masanya. Mungkinkah saya salah seorang daripadanya? Tidak mustahil.

Tuesday 12 August 2008

Oh Dunia

Yang Betul

Tempohari saya terserempak dengan seorang graduan FSR di sebuah pasaraya di Subang Jaya. Tidak salah sekiranya saya letakkan nama beliau di sini. Ali namanya. Beliau bakal bergelar pendidik. Kini sedang menjalani latihan mengajar. Masa senggang setelah tamat sesi latihan mengajar digunakan sepenuhnya oleh Ali dengan melakukan kerja sambilan. Beliau bekerja sebagai promoter sambilan untuk sebuah syarikat talian internet.

Semasa belajar dahulu pun Ali bekerja sambilan. Jual sosej jenama terkenal. Ali pandai membahagikan masa. Beliau bergraduat dengan Ijazah Kelas Kedua Atas (3.00 ke atas).

Saya teringat zaman belajar dahulu. Saya bekerja di salah sebuah restoran makanan segera di The Mines. Rakan serumah juga majoritinya melakukan kerja sambilan. Majoritinya juga bergraduat dengan Ijazah Kelas Kedua Atas. Alhamdulillah.
Ketika belajar di peringkat sarjana pun saya bekerja sambilan. Sebagai tukang tangkap ayam. Ceritanya ada di sini. Saja seronok cari pengalaman bekerja di tempat orang. Baunya memang busuk, tapi ongkosnya lumayan. Sejam AUD17 sejam (RM50 sejam).

Apa yang hendak saya sampaikan di sini adalah bagaimana seorang individu bernama Ali cuba untuk mendapatkan wang yang halal dari titik peluh beliau sendiri. Ali sering saya jadikan contoh. Selain itu juga terdapat beberapa orang pelajar lain yang saya kenalpasti turut aktif bekerja sambilan dengan bermain alat muzik, menjadi instruktur untuk konsultan latihan, jurulatih sukan, penanggah untuk catering dan juruwang di pasaraya, ketika masih di belajar di universiti. Rezeki yang halal inilah yang menyara kehidupan mereka semua semasa di kampus.

Berbalik kepada cerita Ali, walaupun kini beliau mempunyai elaun sebagai bakal guru, beliau masih berminat untuk bekerja sambilan. Individu sebegini tidak reti duduk diam. Kelebihan boleh berkomunikasi dengan baik digunakan sepenuhnya untuk bekerja sambilan sebagai promoter. Mulut manis kata orang. Semoga Ali terus berjaya.

Yang Salahnya


Ada si-Polan yang saya kenali ini cuba menipu majikannya. Beliau membuat tuntutan-tuntutan [perjalanan, loging, harian, perbatuan] yang tidak sepatutnya kepada majikan di mana tempat beliau bekerja. Beliau berbangga bercerita tentang kehebatan dan pengalamannya di dalam membuat tuntutan-tuntutan. Kebiasaannya akan dapatlah akan beliau tuntutan-tuntutan yang beliau idam-idamkan di setiap bulan. Itulah ‘rezeki’ yang beliau berikan kaum kerabat dan handai taulannya makan dan belanja.

Moralnya
Cerita yang pertama dan kedua memang jauh berbeza. Yang pertama [Ali] cuba untuk mendapatkan rezeki yang halal dan insan yang kedua [si-Polan] pula terjebak dengan hal tuntutan-tuntutan palsunya.
Maka penjengok-penjengok sekalian, anda semuanya sepatutnya sudah matang dan boleh berfikiran rasional. Sama-samalah kita memilih jalan yang terbaik untuk kita tempuhi. Kehidupan kita semua di sini hanyalah sementara. Tidak salah untuk kita saling ingat mengingati. Bukan senang untuk berhijrah ke arah kebaikan. Banyak pancaroba yang perlu ditempuhi di zaman yang serba mencabar ini. Biarpun susah, sekurang-kurangnya rezeki yang kita bawa pulang itu bersih.
Saya pun bukannya baik sangat. Saya pun jahil. Banyak kekhilafan yang sengaja dan tidak disengajakan. Tetapi dengan menyeru ke arah kebaikan sebegini, saya akan turut sama berusaha menjauhkan diri saya dari terlantar di lembah yang hina. Agar diri tidak digelar hipokrit.
Kepada rakan-rakan yang melakukan kerja sambilan pula, termasuklah saya… ingatlah… jangan sampai kerja sambilan yang kita lakukan itu melebihi pula daripada kerja tetap yang kita dibayar gaji setiap bulan.

Friday 8 August 2008

Kaca Bersepai

Dalam orang lain sibuk dok solat Jumaat, ada juga 'kutu' yang boleh isi masa senggang dia dengan mencuri.

Sebentar tadi sebaris kereta yang parking di tepi jalan berhampiran Masjid Seksyen 15 telah dipecah cermin sisi kereta mereka. Saya hanya mampu bersimpati.

Berderau juga darah apabila melihat dua orang brother yang cermin kereta mereka telah dipecahkan sedang menyapu serpihan kaca yang bersepai. Mereka parking betul-betul di belakang kereta saya. Terus saya menuju ke kereta saya. Alhamdulillah kereta saya terselamat. Mungkin tak sempat. Syukur Allah pelihara.

Benda yang nak dicuri cuma set radio sahaja, tetapi habis cermin sisi bahagian penumpang dipecahkan. Menyusahkan orang sahaja.

Jadi berhati-hatilah kita di mana sahaja kita berada. Semakin ramai orang yang kian terdesak untuk meneruskan hidup kini berada di sekitar kita. Mereka mencari jalan mudah untuk hidup di muka bumi yang fana ini. Caranya mudah... mencuri, merompak dan menyamun.

Selamat Berjuang

Lebih kurang 12 jam dari sekarang obor sukan terbesar di dunia, Sukan Olimpik 2008 akan dinyalakan. Semua sedia maklum bahawa ianya akan berlangsung di Beijing, China. Saya pernah berkunjung ke Beijing bersama keluarga. Bandarayanya cukup pesat membangun. Rakyatnya masih banyak yang berbasikal dalam menjalani kehidupan harian. Kenderaan bermotor juga tidak kurang banyaknya walaupun suatu ketika dahulu hanya golongan tertentu sahaja yang dibenarkan berkenderaan bermotor akibat pemerintahan komunismenya.



Beijing memilih angka keramat bagi kaum Cina iaitu angka 8. Tarikh akan dilangsungkan Sukan Olimpik dipilih bermula dari 08.08.08. Masa perasmiannya pula pada tepat jam 08.08.08pm CST di Stadium Nasional Beijing aka Stadium Sarang Burung. Ada 'ong' kata kaum Cina.

Marilah bersama-sama kita menyokong atlit kita yang akan bertarung di Beijing. Sokongan dari jauh sajalah ya...

Adakah Lee Chong Wei, AzizulHasni dan Josiah Ng akan membawa pulang pingat untuk negara? Sama-samalah kita saksikannya nanti.

Selamat berjuang wahai wira-wira negara!

Thursday 7 August 2008

Pertemuan

Sebentar tadi saya dikunjungi oleh Encik Mohd Aznan sekeluarga. Beliau merupakan bapa kepada Ellail Ain, pelajar yang telah ditimpa kemalangan ketika sedang beraktiviti di Taman Pertanian Malaysia. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk menyampaikan ucapan terima kasih di atas keprihatinan pihak fakulti di dalam mengendalikan urusan rawatan anak mereka.

Alhamdulillah El dah sembuh. Saya rasakan sembuh sepenuhnya. El begitu bersemangat untuk turut serta menjadi fasilitator di Kenyir nanti. Tak kenal erti serik. Saya cuba mengacah supaya El berehat dahulu. Tak perlu bergocoh-gocoh untuk ke Kenyir. Ada lagi peluang di masa akan datang. Tapi El enggan. Dia nak juga ke Kenyir.

Ibu dan ayah El setia menemani El ke UiTM petang ini. Kasih ibu dan ayah dapat saya lihat di mata kedua-dua mereka. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan dua insan yang cukup prihatin dan baik hati. Rupa-rupanya ibu El merupakan 'peminat' blog saya. Ya ka?

Semoga perkenalan ini akan berterusan. Saya menjemput keduanya dan keluarga ke rumah saya hujung bulan nanti untuk menambatkan lagi silaturrahim yang sedia terjalin.

Kiblat yang Satu

Tahukah anda arah kiblat di mana anda berada sekarang?

Apa makna kiblat itu? Secara mudahnya kiblat adalah arah kaabah yang menjadi titik arah solat bagi orang Islam. Semua sedia maklum solat lima waktu wajib ditunaikan biar di mana sekalipun kita. Janganlah ketika seronok berekreasi kita lalai dan alpa daripada mengerjakan suruhan Allah. Ini kerana, kita perlu sentiasa beringat sebelum terkena. Jangan sampai kita berada di dalam kesusahan ketika sedang beraktiviti barulah kita ingat akanAllah. Ingatan ini juga saya sampaikan untuk diri saya yang sering lalai.

Jadi, sebelum memulakan perjalanan, rancanglah ke mana arah nak dituju atau halatuju kita. Seterusnya berusahalah mencari dulu arah kiblat dan bilakah masuk waktu untuk solat-solat tertentu. Kadang-kadang tidak semua tempat yang kita kunjungi ada masjid dan surau. Maka sekali lagi usahalah lebih sikit.

Sebentar tadi saya sudah mengarahkan pelajar-pelajar saya yang akan ke Tasik Kenyir untuk mendapatkan arah kiblat di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan juga waktu solat untuk kawasan Hulu Terengganu.

Nak tahu tentang arah kiblat di tempat anda? Sila rujuk di sini. Kita di Shah Alam, 292'

Wednesday 6 August 2008

Senjata Mukmin

Doa memainkan peranan yang cukup besar di dalam kehidupan setiap insan. Selalu kita berpesan kepada orang yang lebih tua daripada kita supaya sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup kita dunia akhirat. Anak senantiasa mendambakan doa daripada ibu dan ayah mereka.Ini kerana doa daripada seorang ibu terutamanya akan memberi kesan besar ke dalam jiwa anaknya.

Berdoa di kala ingin memulakan sesuatu aktiviti rekreasi juga merupakan sesuatu yang baik untuk diamalkan. Saya sering mengingatkan para peserta program saya supaya tidak lupa berdoa sebelum memulakan sesuatu aktiviti. Kita memohon Allah menambahkan ilmu melalui aktiviti yang akan dijalankan dan seterusnya memelihara keselamatan kesemua peserta yang akan mengambil bahagian.

Maka saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan penjengok-penjengok sekalian, ingatilah Allah di kala senang dan susah. Hanya kepada-Nyalah sahaja kita memohon perlindungan. Semoga apa sahaja aktiviti yang kita jalankan dirahmati dan mendapat keberkatan dari-Nya.

Tuesday 5 August 2008

Selamat Hari Jadi Sayang

Semalam adalah hari UlangTahun Kelahiran yang ke 32 isteri tersayang. Ibu kepada dua anak saya. Kami hanya menyambutnya secara alakadar sahaja.

Hadiahnya yang termampu oleh saya sahaja.

Selamat Hari Jadi buat isteriku, Norliza Ali Wee. Semoga sayang dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, menjadi isteri yang solehah, dirahmati dan diberkati kehidupan oleh Allah swt. Amin

Kurangkan Karbon

Hari ini saya menguatkan semangat untuk berjalan ke kelas amali. Itupun tak jauh. Lebih kurang 10 minit sahaja berjalan kaki. Selepas meletakkan kereta di parkir berhampiran fakulti saya menghayun langkah ke kolam renang. Alhamdulillah saya masih lagi diberi kekuatan oleh Allah swt untuk sampai di kolam renang.

Sebenarnya dah lama saya tidak praktiskan berjalan kaki ke kuliah. Malaskah saya? Sebenarnya saya ini kuat berpeluh. Jadi, saya akan kurang selesa sekiranya ingin memulakan kuliah dengan keadaan peluh berjurai keluar dari rongga badan. Maka keretalah menjadi peneman saya sekiranya ingin ke Makmal Rekreasi atau ke lokasi untuk amali rekreasi luar.

Bercerita tentang pengalaman di Bendigo dulu, memang banyak bezanya dengan rutin kehidupan saya kini. Langsung saya tidak gunakan kenderaan ke kuliah semasa di sana. Saya berjalan kaki selama 20 minit [berjalan laju]. Tidak letih pun. Tidak berpeluh pun.

Saya tidak letih kerana ia rutin harian saya di sana. Selepas berjalan pulang dari fakulti pula, saya masih boleh membawa keluarga berjalan-jalan selama 1 jam sehala untuk ke Shopping Mall yang berhampiran.

Saya tidak berpeluh pula kerana cuaca di Bendigo adalah panas dan kering. Saya tidak berpeluh. Di Malaysia pula cuacanya panas dan lembap. Maka saya akan cepat berpeluh.

Hari ini adalah permulaannya. Jadi saya akan cuba menjadikan berjalan untuk kesihatan diri dan sambil itu berusaha mengurangkan penghasilan karbon di udara ini sebagai suatu rutin harian saya.

Kalaulah anak-anak-anak dah besar nanti dan pandai menguruskan diri, saya nekad untuk ke pejabat dengan menaiki basikal sahaja. Bolehkah saya mengotakan janji saya ini. Hanya masa yang ketikanya sahaja yang akan menentukannya. Saya hanya mampu merancang dan Allah jua perancang yang terbaik untuk hamba-Nya.

Friday 1 August 2008

Terima Kasih

Saya bukan terlupa. Tetapi mungkin disebabkan kekangan masa, kadang-kadang saya menangguhkan perkara yang baik ini.

Saya bagi pihak diri sendiri khasnya dan fakulti, umumnya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada fasilitator dari Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar UiTM dan alumni PERLU yang sudi hadir membantu dan mencurahkan ilmu di dalam menjayakan Amali Asas Perkhemahan yang bertempat di Taman Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam tempohari. Jasa kalian semua di dalam berkongsi ilmu dengan adik-adik anda hanya Allah yang dapat membalasnya. Semoga anda semua sentiasa di bawah peliharaan Allah swt.

Nota HiCMat: Jazakallah Khairan Khathira.

Hari yang Sibuk

Semalam merupakan hari yang penuh diisi oleh saya. Jam 8.30 pagi dimulakan dengan kuliah Rekreasi Luar di Makmal Rekreasi. Seterusnya amali pula dijalankan sehinggalah ke pukul 1.00 tengahari. Saya berkesempatan solat zohor berjemaah di surau Perolehan selepas makan tengahari di cafe berhampiran bersama Mustakim yang sudi datang membantu melancarkan kelas amali.

Tepat jam 2 petang mesyuarat pengurusan fakulti berlangsung dengan dihadiri oleh Dekan, Timbalan Dekan, Ketua-ketua Program dan Penolong Pendaftar. Banyak perkara bersangkutan pengurusan dan perancangan fakulti yang diperbincangkan di dalam mesyuarat selama tiga jam tersebut.

Selepas itu sekitar jam 5 petang semua ahli mesyuarat bersama-sama barisan pensyarah menuju ke lokasi seterusnya. Di Bilik Kuliah 8 saya aturkan perjumpaan pelajar Diploma Pengajian Sukan (SR113) bersama Dekan FSR. Tujuan Dekan ingin bertemu dengan pelajar SR113 adalah untuk memberi amanat awal semester dan seterusnya nasihat. Program tamat sekitar jam 6 petang.

Seterusnya saya bertemu dengan kesemua pelajar Semester 5 SR113 di dewan kuliah berhampiran. Tujuannya untuk diberikan taklimat pemilihan lokasi latihan praktikal untuk semester hadapan. Selepas tamat taklimat, telah menunggu di luar dewan adalah saudara Fuzaime, pelajar projek tahun akhir di bawah seliaan saya. Tujuannya kehadirannya untuk membincangkan tentang projek tahun akhir beliau.

Hampir waktu Maghrib baru saya sampai di rumah. Solat Asar saya hampir jadi Asar Gajah. Oh Dunia.

Selepas Solat Maghrib saya menonton Buletin Utama. Kepala saya dah mula berasa pening. Terlampau pening. Sukar nak digambarkan. saya cuba menelan ubat tahan sakit yang diambil dari klinik di Dungun. Selepas beberapa ketika, masih lagi tiada kesannya. Liza ingat saya main-main. Saya jarang menunjukkan kesakitan di hadapan Liza. Herolah katakan.

Saya kemudiannya dibawa ke DEMC. Liza yang pandu. Kamilia asyik nak mengurut kepala saya. Kamil seronok, tak faham apa yang berlaku. Sepanjang perjalanan mulut hanya mampu berdoa kepada Illahi agar dikurangkan sakit yang ditanggung ini. Selepas dicucuk di 'pinggul' barulah hilang sedikit derita. Alhamdulillah.

Hari ini saya boleh kembali bertugas biarpun doktor ingin berikan MC. Syukur kehadrat Illahi. Terima kasih puan doktor.

Nota HiCMat: Sahabat sekalian doakan kesihatan saya sekeluarga. Terima kasih