Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 27 July 2010

Bukit Broga: Pemandangan Indah???

Bukit Broga merupakan salah sebuah lokasi menarik di Broga. Ia seperti mercu tanda yang dapat menaikkan lagi nama pekan kecil Broga kepada masyarakat. Suatu ketika dahulu Broga pernah terkenal dek kerana dipilih sebagai lokasi projek insinerator. Khabarnya pada tahun 2009 projek insinerator tu telah pun ditamatkan di Broga. Alhamdulillah.

Mungkin ramai penjengok yang masih belum pernah mendaki bukit ini. Saya sendiri pun tak pernah terlintas di pemikiran untuk mendaki bukit ini walaupun seringkali melalui jalan ini untuk ke Hutan Lipur Lenggeng. Saya hanya memerhatikan sahaja keempat-empat puncak bukit ini daripada kejauhan dan tak menyangkakan bukit ini sebenarnya memaparkan suatu pemandangan yang indah daripada puncak-puncaknya.

Pemilihan lokasi amali rekreasi luar darat oleh siswa-siswi pengkhususan Pengurusan Rekreasi semester 3 ini amat bertepatan dengan kemampuan dan kekuatan mereka seramai 37 orang. Ini merupakan amali pertama mereka untuk semester ini. Saya memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih aktiviti dan lokasi untuk dilaksanakan aktiviti yang dipilih. Kalau senior-senior sebelumnya memilih mountain biking sebagai aktiviti untuk amali rekreasi darat, kumpulan ini sebulat suara memilih pendakian sebagai aktiviti amali pertama mereka [mountain bike tak cukup da].

Perjalanan daripada FSR bermula dari jam 5.20 pagi dan mengambil masa lebih kurang sejam sebelum berhenti di Stesen Petronas Jalan Semenyih untuk solat Subuh. Dek kerana ramai ahli rombongannya maka terpaksalah kami bergilir-gilir untuk solat kerana surau Stesen Petronas ini agak kecil [apa da ketua rombongan]. Saya syorkan anda bersolat di sebuah Masjid di Jalan Semenyih kalau datang ramai-ramai macam kami. Tidaklah terlalu membuang masa dek kerana menunggu.

Sepatutnya pendakian dah boleh bermula dari jam 6.30 pagi. Dek kerana rombongan Makcik Kiah dengan pelbagai ragam ini maka dakian bermula pada jam 7.35 pagi. Tak dapatlah nak tengok matahari terbit. Takpalah...

Dakian Bukit Broga ini tidak terlalu sukar. Ianya easy hiking. Pendakian sekitar 40 minit hingga sejam sebelum sampai di kesemua puncaknya. Nyonya-nyonya dan apek-apek pun ramai yang mendaki dan telah menjadi aktiviti rutin mereka boleh dikatakan hampir setiap hari. Kuat jantung oooo.

Semuanya nampak OK di sini, namun sayangnya masih ada lagi geng-geng pendaki terdahulu ni yang kurang ajar. Habis ditoresnya pokok-pokok dan dicontengnya batu-batu besar yang sememangnya berada di situ dengan nama mereka. Mahu sahaja kalau ditangkap makhluk-makhluk yang durjana tu dan seterusnya ditores dan diconteng badan mereka. Mungkin hukum karma begini sukar berlaku dan makhluk durjana sebegini susah nak insaf. Pemandangan alam yang indah di keempat-empat puncak Bukit Broga juga dicacatkan lagi dengan taburan sampah-sampah tinggalan pendaki terdahulu. Banyak sekali botol-botol plastik, plastik dan kotak-kotak minuman dan kotak rokok dicampakkan di merata-rata tempat. Tak ada sivik langsung. Ada makhluk durjana yang lebih tertib pula menyorokkan sampahnya di celah-celah batu. Kononnya agar pendaki lain tak nampak kot. Ini macam punya orang pun ada ka!

Namun dakian ini lebih indah sekiranya para pendaki dapat mensyukuri nikmat yang telah Allah swt kurniakan kepada kita. Nikmat pancaindera yang lengkap yang dapat digunakan untuk melihat (mata), mendengar (telinga), menghidu (hidung), merasa (lidah) dan sentuhan (kulit). Lebih indah lagi kalau deria keenam atau mata ke-3 turut digunakan.

Sempat saya menyampaikan 'tazkirah' di atas puncak ke-2 di mana ada sebahagian peserta yang agak keseronokan sehingga lupa untuk mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan. Mereka menjerit suka setelah berjaya sampai ke puncak. Terlupa menyebut kebesaran, keagungan dan kesucian Allah yang telah menciptakan keindahan alam di Bukit Broga ini. Terlupa untuk menyebut Subhanallah dengan keindahan yang Allah ciptakan ini. Kalau terlupa maka samalah kita dengan pasangan warga tua yang seringkali mendaki bukit ini yang fokusnya hanya untuk kesihatan dan keindahan. Yang kita umat Rasullullah inginkan adalah sebaliknya iaitu keredhaan Allah bukannya sekadar berekreasi tanpa ada arah tuju.

Friday 9 July 2010

Setia Kasih

Saya masih lagi teringatkan keratan akhbar bertarikh 23 Jun yang lalu. Mahu sahaja saya coretkan sedikit catatan berdasarkan kebesaran Allah ini sebaik sahaja membaca berita sedih ini. Namun kekangan masa sering menggagalkan coretan ini menjadi kenyataan.

Beritanya tentang ikrar cinta sehidup semati sepasang suami isteri. Mungkin itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan tentang kisah sedih di mana seorang isteri yang meninggal dunia di sisi suaminya sebelum suaminya pula menghembuskan nafas terakhir kira-kira 15 minit kemudian. Si isteri rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh suaminya semakin kritikal.

Masyaallah terlalu hebat ikatan kasih sayang di antara pasangan ini. Ikrar sehidup semati mereka telah dikota. Seorang tidak sanggup lagi hidup apabila pasangannya pergi atau akan pergi meninggalkannya. Kedua-duanya berebut untuk tidak pergi dahulu. Tak sanggup menangis, meratap dan bersedih di atas kehilangan pasangan yang dikasihi.

Semoga roh pasangan ini dicucuri dan ditempatkan bersama-sama insan yang soleh.

Teringat kembali selepas mak pergi meninggalkan kami. Abah jadi tidak keruan. Dia sayang dan terlalu menyayangi mak. Dia rasa bersalah dek tabiat merokoknya yang terlalu kuat, mak menjadi mangsa. Kerana sayangkan mak jugalah abah sanggup berhenti merokok. Namun sudah terlambat. Mak pergi meninggalkan kami kerana masalah pernafasan. Abah kembali merokok. Itupun selepas 'dipujuk' oleh kawan-kawan yang menjadi peneman sembang abah. Kononnya mereka ini pembantu untuk mententeram dan menenangkan abah. Penenangnya rokok. Dek kerana 'ubat penenangnya' jugalah penyakit abah kembali tak lama selepas itu. Sesak nafas akibat asma yang kronik. Abah pergi selamanya meninggalkan saya dan kakak.

Terbaca diari abah menyebabkan hati makin tersentuh. Abah yang garang ini rupanya seorang yang sentimental. Dalam diam dia menulis catatan di diari kecil yang kebetulan saya jumpa ketika mengemas rumah. Kebanyakan catatannya menceritakan betapa rindunya dia kepada arwah emak. Dicatatkan juga tentang janji mereka untuk sehidup semati. Hebat kasih sayang mereka. Kalau dia marahkan emak, tak pernah dia tinggikan suara, dengan berdiam sahaja emak dah tahu abah tak suka. Bila abah marah mak akan berdiam begitu jugalah sebaliknya. Walaupun abah garang, tapi saya tahu dia sayangkan kami semua. Pesan abah ada di sini.

Mak kebiasaannya menjadi penyimpan rahsia saya. Kalau dah lewat balik [selepas azan Maghrib], pasti emak akan bukakan pintu belakang untuk 'memasukkan' saya ke dalam rumah. Abah yang menunggu di pintu hadapan tak terkejut sekiranya tiba-tiba saya dah berada di dalam rumah di tempat yang sebelum tak ada ketika azan berkumandang tadi. Jawapnya tali pingganglah akan menjadi 'peneman' belakang badan saya. Mak akan jadi pembela. Abah akan kembali cool dek pujuk rayu mak. Kalau tak, mahu saja saya dah patah riuk dek panas baran kerana kerap balik lewat selepas main bola di padang. Namun semuanya kini tinggal kenangan. Jasa keduanya tidak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Keredupan dan kelembutan wajah mak mampu melembutkan hati abah yang panas dek kenakalan anak lelaki yang seorang ini. Pujuk rayu mak berjaya menyejukkan perasaan 'menggila' abah di dalam mengajar anaknya supaya tidak kurang ajar dan mendengar kata orang tua. Berkat didikan keduanya saya mampu berdiri, cekal dan tabah di dalam menghadapi kerenah anak-anak dan kehidupan yang makin mencabar.

Terus terang saya katakan, saya rindukan keduanya. Terlalu rindukan keduanya. Oh Tuhanku, berikanku kekuatan agar dapat meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini. Walaupun kadangkala diriku ini tergelincir, namun ku pohon kepada-Mu agar Engkau tunjukkanlah aku ke jalan yang lurus. Ya Allah, ku pohon kesabaran dan ketabahan di dalam menghadapi kehidupan ini. Kurniakan kasih sayang dan kebahgiaan kepada keluarga ku sebagaimana Engkau kurniakan kepada aku ketika kedua ibubapaku masih ada. Ya Allah hamba ini terlalu rindukan mak dan abah. Ya Allah, ampunilah dosa keduanya. Ampuni dosa satu-satunya kakak kandungku Kak Yati. Jauhilah mereka daripada api nerakaMu. Kasihanilah mereka Ya Allah. Tempatkanlah mereka di syurgamu. Syurga yang kami umatmu idamkan, syurga-syurga Firdaus-Mu. Amin ya rabbal'alamin.

Wednesday 7 July 2010

Terima Kasih UiTM!

Terima kasih UiTM!

Terima kasih kerana telah memberi peluang kepada anak saya melanjutkan pelajaran!
Terima kasih kerana membantu memberi peluang kepada anak kami menuntut ilmu dan seterusnya mengubah nasib kami sekeluarga!
Terima kasih kerana anak saya yang kurang kelayakannya ini diterima masuk untuk meneruskan pengajian di universiti!
Terima kasih kerana menolong anak-anak kami orang miskin/yatim ini belajar percuma tanpa sesen pun bayaran dan siap diberi elaun lagi!

Susah betul nak jumpa ayat-ayat yang mudah ini di dada-dada akhbar. Baik di ruangan surat pembaca mahupun di ruangan SMS aduan pembaca. Alahai lah nasib UiTM. Menabur bakti untuk bangsanya, namun yang dinampak hanyalah kesalahan demi kesalahan.

Tentang bilik asrama yang terpaksa dihuni ramai-ramai. Tentang keputusan masuk yang lambat diperolehi. Tentang staf yang tak mesra. Tentang rayuan pertukaran kampus dan program yang tak dilayan dan macam-macam lagilah yang nak dicari salahnya.

Wahai ibubapa dan penjaga sekalian, belajarlah bersyukur. Yang tak dapat masuk nak masuk. Yang dah dapat masuk nak tukar kampus dan nak tukar program. Yang dah dapat asrama nak tukar bilik. Yang dah dapat bilik katanya ramai pulak penghuninya dalam satu-satu bilik. Memang tak akan selesai punyalah masalah ni.

Maka kepada yang banyak sangat ketidakpuasan hatinya itu, lebih baiklah bersemuka dengan pihak UiTM. Tak payahlah memalukan universiti yang anak anda akan belajar. Apa nak takut, datang ja ke mana-mana bahagian yang tak puas hati. Cakap. Isi borang. Laporkan. Tak perlu simpan-simpan dan meletup di dada akhbar.


Untungnya mereka yang berjaya ke UiTM. Banyak kemudahannya yang orang luar tak nampak. Banyak sampai tak sanggup nak saya catatkan di sini. Masuk dalam baru tahu. Saya dahulu selepas SPM memang ada memohon kursus di ITM. Tapi 'tak layak' nak belajar di sini. Tak tahulah pulak rupa-rupanya boleh merayu. Iyalah anak yatim piatu kepala batu. Tak tahu prosedur. Mana nak tahu semua tu. Dah tak dapat, terima ajalah. Alhamdulillah, nasib baiklah UPM bagi peluang. Kalau tak, di Sekolah Menengah Sultan Badlishah lah saya habiskan STPM. Ini lain pulak jadinya. Anak dah dapat masuk, banyak pulak komplennya.

Walau sebanyak manapun dugaannya, UiTM pasti akan terus unggul membantu golongan Bumiputera. Tak kira samada Bumiputera yang tahu bersyukur ataupun yang telah lupa asal usulnya. Tak guna memalukan universiti yang anak kita akan dan sedang belajar. Kelak kalau anak kita gagal, maka renungkanlah kembali kata cela dan nista yang pernah kita hamburkan kepada gedung ilmu yang tak serik-serik membantu anak bangsanya berjaya. Mungkin ketika itu masih belum terlambat untuk memohon maaf dan mengungkapkan rasa penuh syukur di atas kewujudan UiTM di bumi bertuah Malaysia tercinta.

Hidup UiTM!
UiTM Pasti Terus Teguh dan Unggul!
UiTM Sentiasa Dihatiku Biarku Aku Bukan Produk UiTM!
Aku Bangga Menjadi Sebahagian Daripada Kejayaan dan Kecemerlangan UiTM!.

Monday 5 July 2010

Hebat dan Tepat

Mereka ini hebat. Datang tepat pada masanya. Mereka masih putih bersih. Anak muda yang sangat bersemangat. Harap-harap semangat mereka berterusan hingga menamatkan pengajian nanti.

Mereka ini adalah pelajar-pelajar baru Semester Pertama Diploma Pengajian Sukan. Ketika saya tiba jam 8.00 pagi seperti yang telah dijanjikan di Dewan Kuliah 1, kesemua 69 orang pelajar telah bersiap sedia untuk mendengar taklimat program daripada saya. Mereka datang awal. Semuanya sudah bersedia. Saya bangga. Tak sia-sia mereka ditempatkan di Shah Alam. Mereka inginkan perubahan. Syabas kepada mereka ini semua.

Sayangnya janji untuk dipersiapkan komputer riba dan alatan ICT daripada mereka yang sepatutnya tidak menjadi kenyataan dan tidak kunjung tiba pada jam 8.00 pagi. Keadaan ini agak merencat dan melambatkan taklimat pagi tadi. Namun program tetap berjalan dengan lancar walaupun saya sendiri terpaksa membuang masa hampir 10 minit untuk menyediakan peralatan yang sepatutnya telah dipersiapkan lebih awal seperti janji yang diberi. Saya kecewa. Namun saya maafkan. Perlu perubahan. Kita satu fakulti. Perlu saling membantu. Permudahkan yang mudah.

Kepada pelajar-pelajar baru, selamat datang dan selamat menimba ilmu dan pengalaman di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi. Kepada pelajar-pelajar lama, selamat kembali dan teruskanlah kecemerlangan akademik dan kokurikulum anda.

Friday 2 July 2010

Tak Disangka...

... cempedak dah jadi nangka. Ajaib kan. Ini bukan cobaan tapi benar-benar kejadian.

Beberapa bulan yang lalu ketika saya sedang minum bersama-sama rakan-rakan seperjuangan di sebuah warung, saya telah disapa oleh seorang mamat. Beliau bertanya samada saya masih mengenalinya. "Alahai beb, maafkan saya ingatan kurang jelaslah. Tuan siapa? Di mana kita pernah jumpa ya, soal saya kepada mamat tadi. Selepas dia memperkenalkan diri barulah saya kembali menyoroti kenangan semasa zaman belajar di universiti dahulu. Dia junior saya di universiti. Junior yang memang junior. Junior yang tak reti nak tegur senior. Jadi kurang perasan dek saya kerana dia kurang bergaul dengan senior.

Tanpa diminta mamat tadi memperkenalkan saya dengan wanita yang berada di sisinya. Katanya itu isterinya. Baru lima bulan mengandung [saya tak tanya pun]. Nun jauh di hujung warung tu ditunjukkan pula ibu dan bapa mertuanya. Saya tunduk dan mengangkat tangan tanda hormat kepada kedua mereka yang sedang memerhatikan perbualan kami.

Tak banyak yang dapat kami bualkan. Iyalah.. dia pun nak cepat. Cuma khabarnya kawan ni dah menetap di sekitar kawasan Selangor. Sekarang nak kena berkursus jangka panjang. Nun jauh pulak tu di utara tanahair. Alahai kasihan. Isteri yang memboyot dan tidak bekerja tu terpaksa ditinggalkan di rumah keluarga mertuanya. Ok tamatlah perbualan dan perjumpaan kami di situ hari tu.

Ketika musim cuti sekolah yang lalu super dad [saya la tu... apa boleh buat isteri sibuk berkursus da] membawa anak-anak bercuti di utara tanahair. Super dad bawa ketiga-tiga cahayamata ke beberapa lokasi menarik di utara. Dah lama kami tak bercuti. Kami tour sakan. Anak-anak semua seronok. Saya lagi seronok. Namun macam tak lengkap ja bila mamanya tak ada tapi cuti tetap cuti.

Nak dijadikan cerita saya berjumpa dengan mamat junior yang saya jumpa beberapa bulan yang lalu. Dia pun sedang bercuti agaknya. Di sebelah ada seorang perawan. Aik kali ni lain pulak rupanya. Takkan dah beranak kot. Saya jumpa dulu baru lima bulan. Kalau ikutkan baru sebulan lebih saya jumpa mamat ni di warung tempohari. Mamat tadi mungkin perasan kepelikan yang terpacul di wajah saya. Terus dia kenalkan, perawan yang di sebelahnya adalah kawan yang baru dia jumpa semasa kursus. Baru nak berkawan. "Oooooo kawan", spontan saya membalas. Kami tak banyak berbual. Si mamat tadi pun saya nampak macam tak selesa saja bila saya mula bersoal jawab dengan perawan yang dia kenalkan sebagai kawan tapi mesra tadi tu.

Hebat sungguh mamat junior tu. Di rumah ada isteri memboyot menanti. Di tempat kursus pulak ada teman tapi mesra yang melayan. Kasihan pulak rasanya saya pada isteri yang setia menanti suaminya. Disangka suaminya jujur berkursus. Rupanya ada agenda tersirat. Pasang satu lagi da. Tak betul punya laki. Kalau saya ada nombor telefon si isteri mahu saja saya ceritakan 'kejalangan' tingkahlaku suami yang tak langsung ada perasaan belas pada isteri yang sedang sarat tu. Hampir setiap malam sebelum tidur saya dihantui detik-detik pertemuan saya dengan suami curang dan perawan gedik yang saya pasti sudah mengetahui status si mamat junior seorang ni. Kenapalah ada perempuan sebegini yang harus merosakkan rumahtangga orang lain. Ini membina kebahagiaan di atas kesedihan orang lain. Kaum dia sendiri pulak tu. Kalau mamat junior tu terjengok blog ini, cepat-cepatlah engkau berubah dan tinggalkan benda yang tak berfaedah tu. Satu isteri pun tak terjaga, ada hati mau lagi. Kerja pun baru dapat, mana hang nak bagi makan anak orang. Muka hang tu aku rasa memang layak makan pelempang jepun aja. Ini semua geram punya pasallah ni. Nak dijadikan cerita lagi, saya dapat maklumat sahih [apa boleh buat saya ni minat menyiasat] mengatakan perawan yang diusung oleh mamat junior tu pulak tunangan orang. Alahai lah dunia. Kasihan kasihan.