Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Sunday 28 March 2010

Khabar dari Kinabalu

Dugaan untuk pendakian kali ini pasti hebat. Perkhabaran yang saya terima dari Sabah mengatakan bahawa Gunung Kinabalu kini kekeringan. Sabah juga kekeringan. Khabarnya dek kerana fenomena El-Nino. Aduh... pasti panas punya. Air 'percuma' yang kebiasaannya sedia terisi di setiap pondok-pondok hentian bagi pendaki-pendaki yang ingin 'menakluki' gunung tertinggi di Asia Tenggara ini pasti kering. Memang benar semuanya kering dek fenomena pemanasan ini. Saya dimaklumkan sudah hampir 2 bulan hujan tidak turun-turun.

Saya dapat melihat dengan jelas rumput-rumput yang semakin kekeringan di sepanjang perjalanan menuju ke Poring Hotspring. Pokok-pokok juga kelayuan. Argh! ini cabaran sebenar kepada pendaki-pendaki. Mendaki dalam kepanasan. Banyak botol-botol berisi air yang perlu dibawa bersama di dalam pendakian. Di Laban Rata juga mengalami kekurangan air. Pendaki khabarnya tidak dibenarkan mandi. Beristinjak juga perlu gunakan air yang dibawa atau gunakan tisu basah.

Kami jejakkan kaki juga ke Poring Hotspring setelah menyelesaikan segala urusan yang sepatutnya telah selesai lebih awal. Dek kerana itu kami lewat tiba di Poring Hotspring dari jadual yang sepatutnya. Pengajaran berguna kepada penganjur.

Sedang dalam perjalanan menuju ke Pusat Informasi di Poring, dengan tidak semena-mena hujan rintik-rintik mula turun membasahi bumi Poring. Alhamdulillah... hujan rahmat menyambut ketibaan kami seramai 27 orang. Kami tiba... hujan pun turun. Semoga ianya menjadi petanda baik kepada pendakian kami pada esok hari.

Ketika kami sedang sibuk mengisi air panas ke dalam kolah mandi masing-masing, sekali lagi keajaiban berlaku. Hujan lebat yang sememangnya dinanti oleh warga Sabah sejak berbulan-bulan lalu turun mencurah-curah. Syukur alhamdulillah. Tentu air di dalam tangki-tangki di setiap pondok rehat telah terisi kesan dari hujan lebat ini. Sudah tentu juga Laban Rata tidak akan kekeringan lagi. Syukur kami panjat kehadrat Illahi.

Untuk kesekian kalinya semenjak pendakian-pendakian saya yang terdahulu, Gunung Kinabalu 'malu' untuk menunjukkan puncaknya. Pada hari pendakian kami, Gunung Kinabalu 'menyorok' di sebalik kabus dan awan yang tebal. Langsung tidak diberi peluang kepada kami untuk menatap rupanya agar menjadi motivasi kepada pendaki baru.

Lima orang pendaki dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Sabah turut serta untuk pendakian kali ini. Mereka terdiri daripada dua orang yang cacat penglihatan (B2), dua orang spastik dan seorang amputee (kudung tangan). Mereka ini telah dibantu oleh 18 orang pelajar FSR, seorang guru pendidikan khas dan 3 orang pensyarah FSR serta 10
orang malim gunung.

Hujan turun tidak henti-henti di sepanjang pendakian. Sejuk menusuk hingga ke tulang temulang. Nasib baik semalam singgah di Ranau dan pastikan semua membeli baju hujan. Kalau tak... basah kuyup la jawabnya. Pendakian ini semestinya menguji kekuatan mental dan fizikal. Di Pondok Kandis, En Rahim Meerah terkandas. Beliau berpatah balik semula ke Timpohon Gate seorang diri. Sememangnya dari awalnya pun beliau agak keberatan untuk mendaki. Dek kerana cabaran yang bertalu-talu dari Dr Anuar Suun, En Rahim gagahkan juga diri untuk menjejakkan kaki ke Pondok Kandis iaitu hentian rehat yang pertama.

Hujan terus turun. Pendaki semakin kesejukan. Dorephine a.k.a Ipin iaitu seorang amputee terpaksa mengalah. Beliau mengalami kekejangan yang melampau pada kedua-dua kakinya. Ipin terpaksa kami tinggalkan di Kuarters Staf Layang-Layang. Ipin yang begitu teruja untuk mendaki sungguh sedih. Air mata mengalir di pipinya. Dia tak sanggup menyusahkan kami. Dia juga kecewa kerana gagal menamatkan misinya. Sungguh berat hati kami untuk meninggalkan Ipin di Layang-Layang. Namun kudrat Ipin hanya mampu bertahan di Layang-Layang sahaja. Dia telah lebih lima kali diserang kekejangan di sepanjang pendakian. Tak apalah Ipin... cuba lagi di lain kali. Kamu sudah melakukan yang terbaik. Kami dari FSR sungguh berbangga dengan semangat yang kamu tunjukkan.

Alhamdulillah pendaki-pendaki lain dari FSR dan OKU berjaya sampai di Laban Rata bermula dari jam 3.00 petang hinggalah ke pukul 5.00 petang. Kami menginap di Pendant Hut iaitu sebuah penginapan yang mula beroperasi di Laban Rata pada Disember 2007.

Pendakian pada 25 Mac 2010 bermula pada jam 2.30 pagi. Kami perlu melepasi Stesen pemeriksaan di Sayat-Sayat Hut sebelum jam 4.30 pagi sekiranya ingin merasai 'kenikmatan' menyelusuri Via Ferrata Mountain Torq (jalan besi). Alhamdulillah kami berjaya. 2 orang pelajar FSR dan seorang OKU spastik terpaksa melupakan hasrat mereka untuk menamatkan pendakian dek kerana kudrat yang sudah sampai ke penghujungnya. Ketiga-tiga mereka terpaksa pulang semula ke Pendant Hut.

Pasukan yang pertama yang berjaya sampai ke Low's Peak adalah pada pukul 5.30 pagi. Selainnya berjaya tiba setelah berhenti menunaikan solat Subuh di kilometer 8.

Kesyahduan jelas terasa apabila sekali lagi diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk menjejakkan kaki di ketinggian 4095.2m ini. Subhanallah....Maha Suci Allah, keindahan Sabah dari puncak ini sesungguhnya ciptaan yang terbaik dari-Mu, Pencipta sekalian alam. Hari yang indah dan cerah ini tanpa hujan dan kabus tebal cukup mengasyikkan dengan pemandangan yang saujana mata memandang.

Alhamdulillah akhirnya seramai 16 orang pelajar FSR bersama 3 orang OKU dan 2 orang pensyarah FSR serta guru pendidikan khas berjaya menamatkan misi "Inclusive Recreation: UiTM-FSR Kinabalu Wilderness Adventure 2010" dengan jayanya.

Semoga OKU terus diberi peluang untuk bersama kita merasai keindahan alam ciptaan Allah ini. Mereka juga sebenarnya mampu melakukan segala yang kita orang normal boleh lakukan. Lima OKU dari Sabah ini telah buktikan. Beri peluang... pasti mereka buktikan!

Friday 12 March 2010

Tahniah

Puan Norlizah Abdul Hamid secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Kualiti) FSR. Surat pelantikan telahpun beliau terima. Sekalung tahniah buat beliau yang sebelum ini yang pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (SR223).

Saya yakin beliau mampu melaksanakan tugas yang semakin mencabar ini berdasarkan pengalaman beliau mengetuai Pasukan Semakan Kurikulum Fakulti dan sebagai KP SR223.

Thursday 4 March 2010

Kecil Penuh Makna

Kamil tak jemu-jemu bertanyakan hari untuk disambut harijadinya. Kali ni dia mahukan sesuatu. Sebelum ini dia tak pernah ambil pusing tentang hari tersebut. Tapi untuk kali ini dia mahu topeng, belon dan jajan untuk diberikan kepada rakan-rakan di tadika. Dia seperti tidak mahu tarikh penting hidupnya terlepas begitu sahaja.

Alahai macam tak adil la pulak. Kalau sambut birthday Kamilia pasti akan dijemput rakan-rakan dan jiran terdekat. Bila Kamil, asyik terlepas begitu sahaja.

Makanya kali ini Liza mencadangkan kami semua sambut birthday Kamil di Melaka. Nak disambut bersama nenek tersayang. Kami berangkat ke Kg Gelam selepas selesai melawat pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di Perak. Kebetulan pula ramai anak buah sebaya Kamil di kampung. Meriahlah jadinya.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran yang ke-5 anakku, Kamil Afiq. Semoga Kamil Afiq menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan perjalanan hidup Kamil Afiq yang masih panjang.... InsyaAllah...

Papa dan mama akan sentiasa mengiringimu dengan doa dan menyayangimu hingga ke akhir hayat kami....