Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label jiran. Show all posts
Showing posts with label jiran. Show all posts

Friday, 25 May 2012

Sebelum Berangkat

Foto-foto di bawah boleh menceritakan seribu satu kisah sebelum kami sekeluarga berangkat ke Australia. Diraikan dan meraikan sahabat handai, rakan sekerja jiran-jiran dan keluarga terdekat menjadi rutin apabila hari untuk berangkat semakin tiba. Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah kami di Cahaya Alam, kepada sahabat-sahabat PERLU Selangor yang berkesempatan mengadakan majlis makan-makan di Flaming Steamboat, Azizul dan pasangan di Secret Recipe, Azmi dan keluarga di Restoran Sate Samuri dan seterusnya pengalaman diraikan oleh penduduk Cahaya Alam melalui majlis BBQ yang diadakan. Jazakallah kesemuanya.















Berkesempatan meraikan pasangan pengantin baru Azlan dan Diela di hari bersejarah mereka bertempat di Putrajaya. Semoga jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang comel dan soleh/solehah. Insya-Allah.




Doa mengiringi saat-saat sebelum berangkat meninggalkan rumah untuk beberapa tahun.






Terima kasih kepada Abang Mie & Alif, rakan-rakan alumni PERLU UiTM dan FSR UiTM, rakan-rakan RECCERS UPM dan Abg Awie sekeluarga kerana sudi mengiringi kami sehingga ke KLIA.






Wednesday, 1 April 2009

Kolam Mandi vs Kolam Ikan Peliharaan

Akhirnya kolam yang sememangnya diimpikan oleh kami sekeluarga berjaya disiapkan. Kawasan sekangkang kera yang dahulunya saya tanam rumput karpet kini bertukar kepada kawasan takungan air. Inilah water feature yang kami nantikan sekian lama. Terdapat sebuah kolam berbentuk empat segi dan juga pancuran di dinding yang menambahkan keserian kolam ini. Saya dapat merasakan bahawa water-feature ini dapat berfungsi sebagai elemen penyejuk semula jadi kepada ruang yang menjadi tempat meletakkan kereta ini.

Namun sebelum sempat kolam ini dimasuki ikan-ikan peliharaan, rupa-rupanya sudah ada makhluk lain yang mengintai peluang. Mereka itulah anak-anak kami. Selesai sahaja air dimasukkan dan water pump dihidupkan, terus mereka terjah ke dalam kolam tanpa memohon kebenaran. Tak sempat saya nak kata apa. Siap diajak lagi kawan-kawan untuk turut serta. Alahai ada pula yang pakai lampin pakai buang pun terjun sekali. Alamatnya banyaklah serdak-serdak lampin tersebut mendap di dasar kolam. Biarkan...biarkan. Biarkan anak-anak ini berpesta sebelum upacara melepaskan ikan dilaksanakan.

Nota: Terima kasih kepada TEAMTACT kerana sponsor batu sungai.



Thursday, 11 December 2008

Eidul Adha I

Sambutan Hari Raya Korban kami sekeluarga pada tahun ini hanyalah di Cahaya Alam. Apa boleh buat, Liza tak boleh jalan jauh. Sakit bila terhentak. Jadi tak dapatlah beraya di kampung.

Liza awal-awal lagi dah menceritakan kepada saya tentang kemeriahan Eidul Adha di sini. Tahun lepas saya menyambut Eidul Adha di Bendigo. Tak ada pengalaman langsung beraya di Cahaya Alam. Hanya Liza dan anak-anak yang pulang awal sedikit dari Bendigo yang sempat merasai kemeriahan beraya di Cahaya Alam.

Sungguh saya tak sangka, seawal jam 11 pagi ramai jiran-jiran sudah mula serbu rumah Pakcik Ramli (antara penduduk terawal di Cahaya Alam). Seperti tahun lepas, Pakcik Ramli menjamu para tetamu dengan lontong dan sate ayam panas-panas. Semua juadah trsebut disediakan sendiri oleh Pakcik Ramli sekeluarga yang sememangnya pakar sate. Yummy.

Lepas tu Abg Awei, jiran depan rumah pulak jemput ke rumah. Ada jamuan lagi. Nasi dagang dengan pulut kuning. Alahai murahnya rezeki di pagi Eidul Adha.

Adalah juga kaum ibu yang berkunjung ke rumah saya. Apa yang mampu kami sediakan hanyalah ayam yang dipanggang di dalam oven yang sepatutnya menjadi juadah perempuan dalam pantang. Tapi makcik-makcik ini tak kisah. Yang penting jalinan persaudaraan dan saling menziarah ini yang diutamakan bukannya makan.

Tak sangka ya, rupa-rupanya sekarang ini kawasan perumahan saya boleh dipanggil Kampung Taman Cahaya Alam dek kerana suasana kejiranannya tak ubah seperti di kampung.

Tuesday, 14 October 2008

Impak Rumah Terbuka

Alhamdulillah Rumah Terbuka Aidilfitri telah selamat dilaksanakan. Memang meriah. Kehadiran jiran tetangga dan saudara mara yang berada di sekitar Lembah Kelang sudah pastilah sangat saya hargai. Turut memeriahkan majlis adalah dengan kehadiran rakan rakan sepejabat bersama ahli keluarga masing-masing, ahli-ahli dan alumni PERLU serta para pelajar FSR. Tak lupa juga kemunculan di saat-saat akhir majlis iaitu saudara Yusran dan Azharudin sekeluarga.

Penat lelah seharian saya dan Liza hilang dek serbuan tetamu yang datang. Liza dibantu oleh beberapa orang ahli dan alumni PERLU seperti Dilla, Lenny dan Yasir. Shawn, Hafiz dan Malin sanggup mengeluarkan duit poket untuk menaja ayam untuk dipanggang,. Terima kasih semua yang membantu.

Maafkan saya sekiranya terdapat kekurangan di dalam menyajikan makanan ataupun kelemahan saya di dalam melayan anda yang hadir. Saya sekeluarga mencuba sebaik mungkin untuk melayan semua tetamu yang hadir seadil mungkin.

Insyaallah sekiranya ada rezeki kita jumpa untuk rumah terbuka yang akan datang. Doakan kesejahteraan saya sekeluarga.

Foto-foto sekitar majlis











Monday, 30 June 2008

Jiran Baru

Esok kemungkinan besar saya akan mendapat jiran baru. Anak-anak teruna rasa-rasanya. Petang tadi saya mendengar mereka sedang berbincang tentang harga sewa rumah.

Saya sangat bersyukur kerana doa saya diperkenankan oleh Allah swt. Moga-moga jiran kali ini lebih baik dari sebelumnya.

Bukan niat saya untuk memburukkan jiran sebelumnya, tetapi hanya sebagai pengajaran.

Jiran sebelah rumah saya yang sebelum ini anak-anak dara. Daring-daring belaka. Pakaian...ermm berani habis. Saya pula naik malu bila mereka berpakaian. Siap bawa 'jantan' masuk rumah. Itulah realitinya (Ya Allah ampunkanlah dosa hamba mu ini).

Ada juga rakan-rakan yang berkunjung ke rumah saya bertanyakan tentang gelagat anak-anak dara ini. "Kenapa tidak ditegur?, Rumah kelamin ka sebelah tu? Student UiTM ka?". Itu antara soalan-soalan wajib rakan-rakan saya. Saya terdiam.

Pernah sehari tu, awal pagi hari minggu, saya dah tak tahan lagi. Lalu saya menegur salah seorang daripada anak dara sebelah rumah tu, "Adik... adik ni student UiTM ka?". Budak perempuan itu hanya mengangguk. "Adik saya rasa tak eloklah bawak masuk orang lelaki dalam rumah...tambah pula malam-malam", sambung saya. Budak itu hanya tersenyum dan masuk ke dalam rumah.

Itulah kali terakhir jiran kami senyum kepada kami sekeluarga.

Saya teringat sebuah hadis yang berbunyi: "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan sesiapa yang tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman."

Jadi saya rasa menasihati dulu adalah jalan yang terbaik yang mampu saya lakukan.

Saya sering mendoakan agar Allah menjauhi kawasan perumahan kami daripada kemungkaran.

Friday, 22 February 2008

Jiran Muda

Sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia, selain daripada bertugas sebagai pensyarah saya juga dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) atau Resident Staff di Kolej Cemara [kolej kediaman untuk pelajar-pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara] selama 7 tahun. Selama tujuh tahun itu jugalah saya tinggal di rumah yang disediakan oleh UiTM. Bermula dengan tinggal bersama-sama Azhan, Norasrusdin dan Masrudin iaitu tiga orang rakan yang sama-sama bujang pada ketika itu sehinggalah berpindah ke blok lain setelah berumahtangga dan seterusnya dikurniakan sepasang cahayamata. Sebagai PPP, segala kemudahan disediakan bermula dari kemudahan rumah sehinggalah ke isi rumah. Jadi saya tak perlu membeli sebarang perabut dan segala bil ditanggung kerajaan.

Menjaga disiplin bekas pelajar-pelajar cemerlang SPM dari seluruh negara ini rupanya bukan senang. Bermacam-macam kerenah yang perlu saya dan PPP lain tangani hampir setiap hari. Kolej Cemara meninggalkan banyak kenangan manis di dalam kehidupan saya. Kenangan seperti menangkap pelajar pecah/potong pagar, balik terlalu lewat malam, main mercun dan macam-macam lagi. Yang peliknya juga, pelajar-pelajar ini gemar bermain bola sepak pada lewat malam atau awal pagi. Mereka akan mula bermain seawall 11.00 malam sehinggalah ke jam 3.00 pagi.

Syukur kehadrat Illahi, rumah yang saya beli sebelum ke La Trobe University siap sebelum saya menamatkan pengajian. Maka berpindahlah kami sekeluarga ke sana. Tak perlulah menjadi PPP lagi. Kini barulah terasa. Rumah perlu diisi perabot. Bil perlu dibayar. Macam-macam cukai perlu dibayar.


Saya kini menetap di Taman Cahaya Alam. Kawasan kejiranan yang saya tinggal kini sangat memuaskan. Suasana seperti tinggal di kampung. Saling mengenali dan bertegur sapa. Kanak-kanaklah yang paling gembira. Setiap petang mereka akan bermain bersama-sama di sekitar kawasan perumahan kami. Tepat jam 5.30 petang mereka dah menunggu untuk keluar bermain. Kalau tak dibenarkan atau dikunci pagar rumah, sudah pastinya mereka akan memberontak. Begitulah istimewanya kawasan perumahan yang baru saya sekeluarga diami.

Tuesday, 22 January 2008

Rumah Dimasuki Pencuri

Terkejut saya apabila dimaklumkan oleh Liza bahawa rumah Dr Awei dimasuki pencuri awal pagi semalam. Saya yang baru lepas solat Asar terus bergegas melawat rumah jiran saya itu. Mudahnya pencuri tersebut mengumpil cermin tingkap dan seterusnya membuka skru grill besi dan mengangkat keseluruhan grill dapur untuk memasuki rumah Dr Awei. Pencuri tersebut berjaya melarikan komputer riba dan beberapa barangan lain lagi. Nasib baik keluarga Dr Awei tidak diapa-apakan oleh pencuri tersebut.

Ini bukanlah kali pertama kejadian sebegini berlaku di kawasan perumahan kami. Biar pun ada pengawal yang sentiasa meronda, tetapi pencuri masih juga dapat memecah masuk rumah penghuni di kawasan kami. Saya sempat berkongsi dengan Dr Awei petua daripada ayat-ayat suci al-Quran yang boleh diamalkan untuk mengelakkan rumah dimasuki pencuri dan anasir-anasir jahat yang lain yang saya perolehi daripada Baba dan beberapa orang tok guru. Semoga kawasan perumahan kami terus aman daripada anasir-anasir jahat ini. Amin