Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 30 April 2010

Sampah

Dek kerana sampah, negara kehilangan seorang rakyatnya. Tu dia dahsyat betul. Bolehkah anda menahan kesabaran apabila hampir setiap hari orang meletakkan atau lebih tepat lagi membuang sampah berdekatan kediaman anda. Tentu tak selesa kan. Kalau agak-agak tak berani nak menegur, tentu dah buat laporan polis. Kalau yang ada keberanian sedikit seperti mangsa, sudah tentu ditegurnya perbuatan yang salah tu. Kesudahannya orang yang menegur itu akan menjadi mangsa pula. Hai lah nasib badan.

Hari ini dan hari sebelumnya saya akan melalui Dataran Shah Alam. Saya akan melalui kawasan tersebut sekitar jam 7 pagi. Setiap pagi jugalah saya akan melihat seorang lelaki tua berbangsa India menyapu dan mengutip sampah yang ditinggalkan di kawasan dataran pada malam sebelumnya. Memang banyak sekali sampah yang ditinggalkan pengunjung. Kalau malam hujung minggu lagi banyak. Esoknya di awal pagi uncle akan mengutip. Aduh kasihan kat uncle tu. Terbongkok-bongkok dia mengutip plastik yang ditinggalkan. Terkais-kais dia sisa yang ditinggalkan. Memang la itu kerja dia. Tapi kalaulah pengunjung atau lebih tepat lagi kaki lepak di situ sedar, apalah salahnya membuang sisa makanan dan barangan yang dibawa sebelumnya ke dalam tong sampah berdekatan. Ini tak... habis ja melepak terus ditinggalkan. Kalaulah sisa ditinggalkan tu boleh berkata-kata alangkah bagusnya. Mahu terkencing tukang lepak tu. Tapi semuanya mustahil. Mungkin kalau tugas uncle tu diambilalih oleh mak bapak depa baru depa berhenti membuang sampah merata-rata kot.

Penyelesaian jangka pendeknya senang sahaja. Adakan penguatkuasa MBSA yang berpakaian preman. Tangkap ja mereka yang pengotor ni. Tak payah saman sebab depa banyak duit.. mesti boleh bayar punya. Hukumannya senang sahaja. Suruh depa ni kutip sampah di kawasan yang depa buang tu selama seminggu. Masukkan di muka depan surat khabar sebagai pengajaran kepada yang lain. Percayalah... selepas kes tu bandaraya Shah Alam akan kembali bersih. Uncle tadi tak perlu terbongkok-bongkok dan trerkais-kais di dataran lagi. Cukuplah hanya mengaut sampah di dalam tong sampah.

Teringat masa di Bendigo. Pekannya kecil sahaja. Susah nak tengok sampah bertaburan di tepi-tepi jalan. Penduduknya cukup beradab. Cukup bertamadun. Mereka bukan beragama Islam tetapi daripada pengamatan saya mereka lebih Islam daripada kita orang Islam dari segi penjagaan kebersihan dan peradaban.



Saya yakin kita boleh berubah sekiranya kita mahu. Perubahan perlukan permulaan. Di mana patut kita bermula? Siapa yang patut mulakannya dahulu? Jangan banyak tanya lagi da... yang penting kita patut mulakannya sendiri dengan diri kita dan keluarga kita.

Thursday 29 April 2010

Pendidikan Seni dan Visual

"CIKGU MALAS!"

Tu dia... terkejut saya dibuatnya bila pagi tadi budak Tahun Dua mengeluarkan kenyataan sebegini. Marah betul dia dengan cikgu PSV.

Semuanya gara-gara guru PSV yang mengajarnya pada tahun ini sering gagal memaklumkan peralatan yang perlu dibawa sebelum ke kelas. Semua ahli kelas tak tahu apa yang perlu dibawa. Setiap minggu mereka dibebel oleh guru PSV.

Guru PSV tahun lepas (semasa Tahun 1) sentiasa akan mengingatkan senarai peralatan PSV yang perlu dibawa. Guru tahun lepas tak pernah sekalipun terlupa untuk menulis di papan hitam dua hari sebelum kelas PSV. Senangnya pelajar menyediakan peralatan yang diperlukan. Saya ada pengalaman membeli peralatan yang diperlukan di sini.

"Dah la tak beritahu apa yang perlu dibawa... kemudian kami pulak dimarahnya", kata budak Tahun Dua tadi. "Kesian kat Ketua Kelas, dia selalu kena marah dengan cikgu PSV kerana kawan-kawan kelas dia tak bawa peralatan yang cikgu nak gunakan", sambung budak Tahun Dua tu lagi.

"Kakak mana boleh marah cikgu. Kakak mana boleh kata cikgu malas. Cikgu ajar kakak. Dia bagi ilmu kat kakak. Kakak kenalah usaha lebih sikit. Masa Tahun Satu memanglah cikgu tulis semua sebab kakak baru masuk sekolah. Kakak tak reti nak bertanya cikgu. Kakak malu. Sekarang kakak dah besar. Jadi... lepas ni kakak kena ajak kawan-kawan pergi Bilik Rehat Guru dan tanya apa yang perlu dibawa untuk kelas PSV. Cikgu mesti bagitau. Kalau cikgu marah jugak papa jumpa cikgu. Ok. Puas hati" , nasihat saya.

"Kakak kena hormat cikgu. Lain kali, papa tak nak dengar kakak kata kat cikgu macam tu lagi. Nanti belajar tak berkat. Belajar tak lekat. Ingat tu", pesan saya.

Budak Tahun Dua tadi mengangguk tanda faham dan seterusnya mencium tangan saya sebelum mengatur langkah seterusnya memasuki perkarangan sekolah.

Monday 26 April 2010

1Malaysia

Ini hikmahnya bila dah jatuh tempohari. Coretannya ada di sini.

Kaisara dah boleh berjalan. Sebelumnya saya dan Liza dok risau jugak, kenapalah Kaisara lambat 'dapat kaki'. Habis kami check kaki dia... dari paha sampai ke tapak kaki. Nampak macam tapak kaki kiri dia yang tak rata, mungkin itu penyebabnya. Itu cuma andaian awal kami.

Tuptup lepas Kaisara jatuh terus dia berubah. Dia berjalan macam tak mahu berhenti. Habis satu rumah dia jelajah.

Alahai Kaisara, sebelumnya kami risau tengok dia merangkak sampai biru-biru lutut. Dok terfikir bila dia nak boleh berjalan. Sekarang lain pulak risaunya. Dah terlebih jalan pulak. Dia berjalan macam dah dapat tenaga baru.

Yang menariknya masa berjalan tu, tangan kanan Kaisara terangkat ke atas. Mungkin untuk seimbangkan badan kot. Jari telunjuknya pulak menunjuk ke atas lagaknya seperti isyarat biasa untuk Laungan 1Malaysia.

Friday 23 April 2010

Selesai

Saya terasa hati dengan seseorang. Aduh kenapalah hati ini boleh terasa pulak... Saya anggap dia seperti saudara sendiri. Sememangnya kami saudara seagama.

Sejarah hidup kami lebih kurang sama sahaja.Anak kampung dan orang susah yang perlu bersusah payah untuk memulakan kehidupan. Iyalah... bermula dari bawah.

Entah apalah sangat sampai saya seperti sukar memaaf dan mempercayai dia lagi. Sudah beberapa hari saya menanti dengan sabar. Saya perlukan kepastian daripadanya. Saya tak perlukan pihak ketiga untuk mendapatkan maklumat.

Setiap hari saya hanya mampu berdoa agar kami dapat dipertemukan pada masa yang sesuai. Detik dan waktu yang tiada gangguan. 'Perhitungan' ini tidak memerlukan pihak ketiga untuk menyelesaikannya. Biarkan kami selesaikannya sendiri.

Kami bertemu dan bertembung beberapa kali dalam minggu ini. Semua pertemuan ini tidak sesuai langsung untuk dibuat 'perhitungan'. Ada sahaja orang yang mengganggu. Tiada percakapan antara kami berdua. Saya setia menunggu masa yang sesuai.

Petang Jumaat ini tepat jam 4.40 petang seseorang tanpa memberi salam dan mengetuk pintu muncul di hadapan bilik saya. Mukanya menyinga marah. Mahunya diterkam saya. Rupa-rupanya banyak sudah 'maklumat' yang dikumpulkannya dari sumber yang pelbagai. Saya jemput dia duduk. Dia tak mahu. Memang dia panas betul. Aik... siapa yang patut panas nie. Dah terbalik kot. Saya jemput lagi dia duduk, dia tak mahu. Mentah-mentah dia tolak permintaan saya ini. Marah betul tu.

Dipendekkan cerita, memanglah berlaku berlaku 'perhitungan'.

Benda kecil yang boleh diselesaikan itu akhirnya berjaya diselesaikan. Alhamdulillah... berkat petang Jumaat persaudaraan kembali terjalin.

Semoga silaturrahim akan terus terjalin. Benar... kalau kita berpecah belah, yang akan ketawa adalah SYAITAN. Jadi kita perlu bersatu padu. Biar SYAITAN menangis dan meronta-ronta.

Thursday 22 April 2010

Hak (Kebenaran) dan Batil

Tajuk ini nampaknya agak berat. Iyalah... sejak dunia diciptakan, sekiranya di situ ada yang disebut hak dan pasti ada pula yang disebut batil. Ini kerana, kata lawan kepada kebenaran, iaitu kebatilan akan berusaha bermati-matian untuk melihat kebenaran itu tumbang dan tewas. Sebab itulah, biarpun kebenaran sudah tertegak sekalipun, kebatilan pasti akan berusaha untuk mencari ruang bagi menjatuhkan kebenaran.

Namun selamanya sudah menjadi sunnah Allah bahawa pasti pengakhiran kemenangan itu sentiasa di pihak yang hak, sebab memang hak itu pasti kekal dan bermanfaat, sebagaimana juga bahawa kekalahan itu selamanya ada di pihak yang batil, sebab batil itu pasti lenyap dan sememangnya amat berbahaya kepada masyarakat.

Sudah menjadi sunnah Allah juga bahawa sesuatu yang hak itu tidak mungkin akan berdiri tegak begitu sahaja dengan kekuatannya sendiri, tetapi untuk menegakkannya itu sudah semestinya perlu ada insan-insan berjiwa besar yang memiliki keistimewaan-keistimewaan tersendiri serta kelebihan-kelebihan yang tidak semua orang dapat memilikinya.

Saya yakin... dengan usaha dan izin Allah, pasti suatu hari nanti kebenaran akan muncul jua di kala kebatilan akan tersungkur dan lenyap dengan sendirinya. Ini kerana setiap sesuatu yang baik itu akan ada ganjaran kebaikan menanti dan kejahatan pula akan ada balasan yang tak terduga dek akal.

Semoga rakan-rakan yang sedang berjuang ke arah kebenaran akan senantiasa di bawah naungan dan perlindungan Allah dari segala mara bahaya dan tipu daya.

Wednesday 14 April 2010

Dugaan Kaisara

Alahai dah nasibnya kurang baik. Kami sekeluarga redha menghadapi dugaan kali ini. Apa boleh buat. Nak disesalkan pun dah terlewat. Sepatutnya Kaisara tak boleh ditinggalkan keseorangan di atas stroller.

Selepas menolak Kaisara yang ketika itu berada di atas stroller ke hadapan pintu rumah, saya kembali ke kereta untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal di dalam kereta.

Kejadian berlaku terlalu pantas. Tak sampai 30 saat meninggalkan Kaisara seorang diri di atas strollernya, saya nampak Kaisara cuba berdiri. Aduh! bahagian belakang stroller kurang stabil. Tayar hadapan stroller terjongket. Stroller tersemban ke bumi akibat tekanan Kaisara pada bahagian penolak belakang. Kaisara turut tersembam. Darah tersembur keluar dari mulut. Pasti sakit. Kaisara meraung. Makanan di dalam mulut Kaisara yang belum habis dikunyah dipenuhi cecair merah. Saya memaut Kaisara. Terus dibawa ke klinik. Kalaulah sakit/derita Kaisara boleh dipindahkan kepada saya, saya SANGGUP!. Saya tak sanggup melihat Kaisara menjerit, meraung dan meronta kesakitan.


Tiada apa yang mampu doktor di situ lakukan. Terus dibawa Kaisara ke DEMC. Pembedahan dijalankan. 2 batang gigi Kaisara patah. Gusi yang terkoyak terpaksa dijahit.

Keadaan stabil.

Alahai Kaisara, maafkan papa. Papa cuai lagi!

Monday 12 April 2010

Penangan Redah Jer!

Saya pernah mencoretkan sesuatu mengenai pengalaman PTK saya di sini. Memang saja redah sahaja untuk menghabiskan PTK tersebut. Kesibukan sebagai Ketua Program sedikit sebanyak mengekang saya daripada bersedia dengan lebih awal. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya, hanya keluarga dan rakan-rakan yang menjadi peniup semangat bagi saya meneruskan perjuangan menghadapi PTK lepas.

Pada pagi yang berbahagia ini keputusan PTK secara rasminya diumumkan setelah debaran 4 bulan menunggu. Keputusan PTK Staf Akademik 20092 ini telah diperakukan oleh Lembaga Penilaian Kompetensi Universiti. Begitu teruja untuk saya melihat paparan keputusan di skrin
komputer pada pagi ini.

Alhamdulillah, syukur kehadratMU Ya Allah kerana telah memperkenankan doa hambaMU ini, doa Liza dan anak-anakku serta doa rakan taulan. Saya berjaya akhirnya!.

Terima kasih kepada Liza dan anak-anak kerana sokongan dan doa. Terima kasih kepada keluargaku sekalian. Terima kasih di atas doa dan sokongan rakan blogawan sekalian.

Semoga kehidupan kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah subhanahu wata'ala. Ameen.

Friday 9 April 2010

Tembok 12 Kaki

Ketika di Outward Bound School (OBS), Lumut dahulu ketika saya dan peserta-peserta lain menjalani Standard Course selama 25 hari, kami semua dikehendaki memanjat dan melepasi tembok yang setinggi 12 kaki. Tembok tersebut sangat licin. Ketinggiannya tidak terjangkau oleh hujung tangan saya walaupun saya panjang. Saya perlukan kawan-kawan untuk melepasi tembok tersebut. Saya tak boleh bersendirian.

Sekali lagi diulang... untuk melepasi dinding tembok tersebut kami semua para peserta perlu bekerjasama dan merancang strategi. Siapa yang akan dibawa naik dahulu, siapa yang akan membantu menolak, siapa yang akan berkorban untuk dirinya dipijak hinggalah dirancang juga siapa orang terakhir yang akan bertindak sebagai 'sweeper'atau 'last man'. Kalaulah orang terakhir ini gagal melompat dan menyambut tangan rakan-rakan yang sedia menanti untuk membantu dari atas, maka terpaksalah kami semua menunggu hingga orang terakhir tersebut berjaya memaut tangan rakan-rakan di atas. Misi ini dianggap berjaya sekiranya kesemua peserta berjaya 'terjun' ke bawah dan melepasi dinding tembok tersebut.

Namun pengajaran daripada aktiviti di atas sangat banyak sekali. Selepas hampir 16 tahun menjalani aktiviti tesebut di OBS Lumut saya kembali menyorot iktibar yang boleh diperolehi daripada aktiviti yang menguji fizikal dan mental ini untuk diadaptasikan di dalam kehidupan dan dunia sebenar.

Sudah tentulah tanpa kerjasama sesama kami, tembok 12 kaki tersebut tidak akan berjaya kami lepasi. Namun untuk melepasi tembok tersebut kita akan dapat melihat di mana ada rakan-rakan yang akan membantu dari mula hingga tamat tugasan. Ada yang akan memberi sokongan moral kerana keadaan kesihatan yang menyekat mereka daripada membantu. Ada yang asyik memberi arahan sahaja dan tak kurang juga yang hanya melihat sebelum dan selepas mereka melepasi tembok tersebut. Pelbagai perangai dan tingkahlaku yang akan kita lihat ketika aktiviti ini dijalankan.

Sudah tentulah iktibar selanjutnya yang saya perolehi daripada aktiviti ini adalah sifat sabar. Iyalah, ketika hendak membantu kawan, ada yang terpaksa mengorbankan kaki, tangan dan bahu mereka agar dapat dipijak oleh kawan-kawan yang ingin naik ke atas. Kadang-kadang ada juga yang kepala orang yang membantu itu dipijak [arghhh... sebegitu teruk sekali rasanya bila kepala dipijak, dihenjak semata-mata untuk naik ke atas. Namun ini sebenarnya berlaku]. Kalau di dunia sebenar tentu dah bergaduh, bertekak kerana kepala dipijak beb. Iyalah kepala bayar zakat. Namun sabar...sabar.

Di alam yang sebenar pula perilaku tekan menekan, injak menghenjak sememangnya berlaku. Ada yang hendak naik ke atas sanggup memijak kawannya sendiri. Biar aku yang naik dahulu, engkau tunggu di bawah. Ketika berada di atas pula lain jadinya, orang di bawah terus ditekan ke bawah, tiada peluang untuk rakannya itu naik. Oh zalimnya dunia. Kasihan kan.

Apalah salahnya kita saling bantu membantu. Sekali kita membantu orang, Allah akan melipat kali gandakan bantuan dan ganjaran kepada kita. Aman dunia. Tak salahkan! Seronokkan kalau kita sama-sama dapat naik ke atas. Itulah yang sepatutnya berlaku.

Bantu membantu amalan mulia. Apa salahnya kita bantu kawan kita yang dah sedia berada di bawah. Bantu mereka untuk naik. Tarik mereka agar mereka berada di samping kita bukannya di belakang dan terus di belakang. Tak salah kan! Sebelumnya mereka-mereka ini juga yang membantu kita untuk naik dan ke hadapan. Jadi jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.

Banyak lagi pengajaran daripada aktiviti memanjat tembok 12 kaki ini. Namun ini merupakan sebahagian daripadanya. Ada masa saya tambah lagi. Atau anda yang punya pengalaman boleh coretkan di ruangan komen.

Tuesday 6 April 2010

Juara Gambar

Saya tak pernah ambil kisah tentang si-Kamil ni apabila bergambar. Rasanya macam posing biasa sahaja. Setiap kali diambil gambar, kepalanya terlentok sekejap ke kiri sekejap pula ke kanan. Senyum pula ikut mood. Lain sungguh dia ni.

Beberapa minggu lepas kami ke Tesco. Beli barang dan kemudian terlihat iklan Peraduan Si Comel 2010 anjuran Tesco. Liza dah mengelepar, nak cuba nasib katanya. Selepas diambil foto Kaisara kemudiannya pula Kamil mengambil tempat. Fuiyoo... tak sangka la pulak, Kamil pandai beraksi depan kamera. Dia ikut sahaja apa yang jurugambar arahkan. Kamil dipuji oleh jurugambar. Senang ambil gambar Kamil katanya. Faham dan patuh pada arahan.


Selepas menunggu beberapa minggu, akhirnya hari penentuan yang dinantikan pun tiba. Penganjur dah awal-awal telefon minta kami hadir ke majlis penentuan juara si Comel.

Kamil berjaya mengondol hadiah istimewa [top 15] daripada hampir 500 orang yang bertanding. Tak tidur malam dibuatnya si-Kamil memikirnya hari bersejarah untuk menerima hadiah. Setiap kali bangun pasti ditanya bila nak diambil hadiah kemenangannya. Pakaian apa yang hendak dipakai dan macam-macam lagi. Pening jugak memikirkan budak seorang ni.

Yang bestnya masa penerimaan hadiah tu, hanya Kamil yang berumur 5 tahun... yang lainnya budak-budak kecil berumur lingkungan umur bawah 3 tahun. Kamil yang paling besar. Alahai... dah 5 tahun pun dapat lagi hadiah untuk si-comel. Kamil... Kamil, kalau dah rezeki.