Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 17 September 2009

SALAM AIDILFITRI 1430 H

Assalamualaikum/Salam Sejahtera,

Didoakan agar penjenguk-penjenguk daripada kalangan muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian sentiasa sihat dan diberkati Allah. Amin.

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dengan iringan doa mudah-mudahan rahmat Allah sentiasa bersama kita dan dijauhkan kita daripada ujian yang tidak tertanggung oleh kita. MAAF ZAHIR BATIN.

Ikhlas,
Hisyam bin Che Mat
Norliza bt Ali Wee
Kamilia Afiqah bt Hisyam
Kamil Afiq bin Hisyam
Kaisara Afiqah bt Hisyam

Wednesday 16 September 2009

Dua Tahun Sudah Berlalu : Ramadhan di Bendigo

Tahun 2007 merupakan kehadiran Ramadhan yang pertama kami sekeluarga di Bendigo. Jadi ianya menjadi sesuatu yang cukup bermakna untuk kami sekeluarga. Pada permulaannya saya cuba membayangkan bagaimanakah suasananya berpuasa dan berterawih di Bendigo. Sukar untuk saya gambarkan pada ketika itu kerana belum pernah merasai berpuasa dn berterawih di negara orang.

Kami rindukan kemeriahan bazaar Ramadhan seperti di Stadium Shah Alam dan bazaar Seksyen 18, Shah Alam [bazar Seksyen 18 yang paling hampir dengan rumah] dengan pelbagai jenis juadah kuih muih, lauk pauk, air minuman yang pelbagai warna. Pada malamnya pula berterawih di masjid “unta” Seksyen 18 dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari suara hafiznya yang menusuk kalbu walaupun tak difahami maksudnya dan seterusnya solat Subuh berjemaah di situ selepas bersahur.

Berbuka puasa dan bersahur di Bendigo hanya ala kadar aja. Tapi saya bersyukur kerana dianugerahkankan isteri yang pandai memasak. Walaupun dengan ramuan masakan yang terhad Liza masih mampu mengadunkan masakannya menjadi makanan yang cukup enak rasanya untuk kami sekeluarga menjamunya. Kalau sekiranya kami ingin membeli bahan masakan bercitarasa Asia atau lebih tepat lagi makanan melayu kami perlu ke Pasaraya Laguna di Melbourne yang kebiasaannya mengambil masa 2 jam dengan menaiki keretapi dari Bendigo.


Kamilia setiap malam selepas berbuka sudah bersiap sedia untuk turut serta ke surau di La Trobe Uni tanpa menghiraukan kedinginan malam untuk bersolat terawih dan seterusnya moreh. Kamilia tidak bersembahyang, dia hanya memerhatikan papanya mengimami solat terawih dan dia akan turut serta mengaminkan bacaan al-Fatihah dan doa yang dibacakan. Seperti kebiasaannya kanak-kanaklah merupakan insan yang paling seronok bila masa moreh. Kamilia akan turut serta membantu membentangkan kertas suratkhabar lama sebagai alas untuk makanan seperti kek epal, muffin, spring roll, sandwich dan karipap.

Pada setiap hari Sabtu di bulan Ramadhan kami sekeluarga akan berbuka puasa bersama masyarakat muslim di Surau La Trobe University Bendigo. Makanan yang dibawa tak boleh pedas-pedas kerana rupanya orang di sini suka masakan yang manis-manis. Jadi Liza yang telah terbiasa memasak makanan yang pedas-pedas terpaksa menukar resepi semuanya menjadi manis. Komuniti di sini terdiri dari Arab, Jordan, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Australia, Pakistan dan kami 4 beranak dari Malaysia.

Ramadhan kali ini juga saya rasa penuh maknanya kerana saya berpeluang untuk membaca dan menghafal ayat-ayat suci yang jarang-jarang dapat saya lakukan semasa di Malaysia. Yang memotivasikan saya lagi untuk menghafal adalah apabila saya yang pada mulanya hanya ditugaskan sebagai tukang azan secara tak rasmi diminta oleh jemaah untuk mengimami solat sunat terawih dan witir di setiap malam.

Sepatutnya kami ada dua imam (lantikan tak rasmi) yang sering membaca khutbah Jumaat dan mengetuai setiap sembahyang kami di surau ini iaitu Sultan seorang pelajar dari Saudi Arabia (tak dapat berjemaah solat sunat terawih kerana kuliah banyak di sebelah malam) dan Mamoun seorang penyelia di Hazeldene’s Chicken Farm yang berasal dari Jordan (tak dapat berjemaah kerana kerap bertugas shif malam). Sudah semestinya kami beruntung dapat berkenalan dengan Mamoun. Ini kerana kami mendapat bekalan ayam halal yang cukup murah dengan harga cuma AUD2.50 untuk seekor ayam [harga staf] sedangkan kalau dibeli di Butcher’s Shop ia berharga AUD13.00.

Pernah sekali tu pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan, kerana ketidakahadiran kedua-duanya saya telah menjadi ‘bidan terjun’ apabila diminta untuk menjadi khatib membaca khutbah Jumaat. Inilah pengalaman pertama di dalam diari hidup yang tidak akan saya lupakan hingga bila-bila. Iyalah selalunya kita hanya mendengar, kini orang pula yang mendengar apa yang kita sampaikan melalui khutbah.

Ramadhan di Bendigo memberikan pengalaman yang cukup signifikan di dalam lipatan sejarah kami sekeluarga dan akan diingati di sepanjang hayat, isyaallah.

Akhirnya marilah kita berdia semoga kita semua mendapat dan telah mengecapi nikmat dan berkat bulan mulia Ramadhan ini yang semakin hampir ke penghujungnya. Moga kita akan bertemu lagi Ramadhan yang akan datang dengan amal yang lebih berganda.






Adoi Mak Sakit Mak!

Kalau diikutkan temujanji memang saya patut berada di situ jam 11pagi. Ada pakar yang sedang menunggu. Namun apa boleh buat, ada mesyuarat penting Fakulti yang perlu dihadiri hingga tamat. Maka saya mohon tunda daripada pakar terbabit. Mesyuarat dari jam 8.30 pagi tamat tepat jam 1 petang. Kamilia pula menelefon dan menjerit minta diambil di sekolah. Dah tamat waktu persekolahan. Ada Penilaian Sekolah Rendah Agama untuk Tahun Enam. Alahai lambat la pula ambil. Membebel la dia. Argh... layan ajalah. Budak zaman sekarang. Aku dulu tak berani nak membebel dengan bapa aku.

Maka diikat temujanji seterusnya dengan pakar pada jam 2.30 petang. Insyaallah kali ini saya berjanji akan tepati masa yang sama kita meterai. Saya bertekad untuk tidak membalas semua SMS dan menjawab sebarang panggilan telefon. Kerja memang tak pernah habis. Maaf ya. Ini lagi penting. Jumpa esok saja.

Saya tiba tepat jam 2.25 petang. Pakar sedia menunggu. Tepat jam 2.30 petang saya sudah berada di atas kerusi pembedahan. Taklimat awal diberikan oleh pakar. Dia menerangkan kepada saya hasil X-ray yang dijalankan semalam. Dia menerangkan dengan sejelas-jelasnya tentang apa yang berkemungkinan akan berlaku pada petang tadi.

Alahai gerun juga bila mendengar penjelasan daripada pakar. Walau bagaimanapun saya perlu serahkan gigi saya ini kepada pakar. Sudah beberapa hari geraham bawah ini goyang. Itulah gara-gara membaham tulang ayam. Cari nahas betul. Tertanggal habis tampalan di geraham bawah dan gigi tersebut juga pecah.

Kalau diikutkan awal tahun lalu ada saya pergi buat pemeriksaan. Siap diX-ray lagi gigi geraham tersebut. Kononnya nak dibuat crowning. Tunggu punya tunggu punya tunggu temujanji dengan pakar, sampailah kejadian beberapa hari lepas berlaku.

Memang pakar tak boleh cabut dengan mudah gigi yang goyang tu. Pakar ambil keputusan untuk dibuat pembedahan. Saya perlu dibius untuk mengelakkan kesakitan. Alahai ini yang tak gemar ni. Nak bagi mulut untuk orang bedah. Bertanyalah akan saya tentang kesan sampingan pembedahan ini. Maka diterangkanlah oleh pakar tentang kesan yang akan saya hadapi. Alahai takkan sampai seminggu kot pakar? Takkan sampai bengkak muka-muka ni? Saya mahu raya. Nanti hilang nikmat makan di hari raya. Rugi...rugi.

Namun apa daya saya. Serah sahajalah mulut yang terbuka itu kepada pakar untuk dibius. Kalau tak nak kena tunggu lagi 2 minggu. Pakar cuti la pula.

Habis 5 cartridge ubat bius untuk menghilangkan rasa sakit saya. Aduh... itu pun rasa sakit lagi beb. Pakar dah kata cukup. Dia dah tak sanggup nak bius saya lagi. Hai lah nasib badan. Tahan sajalah En Hisyam.

Degil betul geraham bawah tu. Tak mahu dia dicabut. Nak raya juga kot. Nak merasa kuih raya juga kot. Saya dah mengeletar tahan sakit ni. Geraham tu habis digerudi oleh pakar. Gusi dipotong-potong. Akhirnya selepas berhempas pulas, tepat jam 4.30 petang maka keseluruhan sebatang gigi geraham bawah dicabut. Alhamdulillah. Hilang seksa 2 jam mulut terbuka. Rahang sakit oi. Lepas tu, yang terbuka luas hasil peninggalan geraham tu pun dijahit semula. Dapatlah MC 3 hari. Sambung sampai raya. Tapi ada kerja la pula esok dan lusa.

Apa boleh buat umur dah meningkat, kalsium dalam badan makin kurang. Maka inilah akibatnya. Redha ajalah. Tunggulah lagi 6 bulan, saya akan mengadap pakar yang sama. Insyaallah, kali ini untuk implant pula gigi yang dah 'hilang' tu.

Terima kasih pakar!

Monday 7 September 2009

Mengatasi Acrophobia

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana kesemua pelajar PLK FSR/PDRM dan e-PJJ yang hadir untuk sesi amali Abseiling telah selamat menjalankan dengan jayanya. Tak sangka la pula penangan aktiviti ini hingga menyebabkan mereka tidak lena tidur selama hampir seminggu.

Saya faham perasaan mereka. Semua insan yang normal akan merasainya. Gayat. Takut tinggi. Acrophobia yakni takut kepada tempat tinggi ataupun ketinggian.

Hanya orang yang mempunyai masalah mental sahaja [Nota: Maaf kalau terlalu kasar perumpamaan ini] yang langsung tiada perasaan. Iyalah... apabila dah berdiri di tebing yang tinggi dan hanya 'diikat' dan bergantung nyawa pada dua utas tali yang tidak diketahui sejarahnya... siapa tak takut.

Jelas terpancar di wajah mereka keresahan dan dapat disaksikan dengan jelas pelakuan dan perasaan yang tidak tenteram bermula dari mereka mula menaiki lif untuk ke Tingkat 11 sehinggalah sampai saat melangkah palang yang mengasingkan 'Abseiler' dengan 'Despatcher' dan penonton yang lain.

Pengalaman saya mengendalikan aktiviti abseiling ini boleh anda jenguk di sini dan juga di sini.

Sebenarnya saya ada beberapa tips untuk mengurangkan Acrophobia. Sengaja saya tidak war-warkan sebelum aktiviti bagi memberikan peluang kepada pelajar-pelajar ini merasai sendiri saat-saat 'indah' di tebing tinggi.

Di sini saya coretkan dua kaedah yang boleh diamalkan. Antara langkah-langkah mengatasi Acrophobia yang pertama adalah dengan menarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan. Ini kerana dengan menarik nafas sebegini, ianya dapat memperlahankan kadar denyutan jantung dan meningkatkan pengaliran oksigen ke otot-otot dan ianya mengelakkan ketegangan [Nota: Muka pun taklah nampak pucat sangat].

Seterusnya ada satu lagi kaedah. Tapi ianya kurang realistik la pulak. Senang sahaja elakkan sahaja aktiviti tersebut. Bagaimana caranya... ponteng sahaja amali di tempat tinggi. Kan senang. Cari alasan. Tak payah menghadap dan merasai suasana di tempat tinggi. Cari sahaja MC. Tapi sampai bila ya nak melarikan diri dari kenyataan.

Walau bagaimanapun, tak sah kalau saya tidak mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah mencuba dan selamat mencuba kepada mereka yang masih belum merasai detik 'indah' di tebing tinggi. Ingatlah sampai bila anda mahu mengelakkan diri dari mencuba sesuatu yang baru dalam hidup ini.

Nota: Terima kasih kepada Alumni, PERLU dan pelajar SR221 yang turut serta membantu. Jazakallahu khairan khatira.

Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah MARA

Sila lawati laman sesawang berikut di sini atau di sini.

Friday 4 September 2009

Terbabas

"Alahai kuliah pagi kenapalah engkau ada. Kalau tak ada kan best!". Mungkin itulah yang menjadi igauan ngeri kepada sebahagian daripada pelajar-pelajar di bulan Ramadhan ini [saya pun pernah jadi student beb]. Kalau boleh mereka mahu tidur sahaja selepas sahur dan bangun lewat dan memulakan kuliah seawal jam 11.00 pagi. Mana mungkin. Bahasa kasar yng boleh diungkapkan di sini adalah... buat universiti sendiri sahajalah. Baru boleh mula kuliah ikut suka.

Saya dapat melihat sendiri trend yang berlaku di bulan puasa ini. Kelas di awal jam 8.30 pagi ramai yang terbabas. Bukan kuliah saya sahaja tetapi pensyarah yang lain pun turut mengadu perkara yang sama. Saya jangkankan dan percaya golongan pelajar ini tidur sebaik sahaja selesai bersahur. Maka apabila perutpun dah kenyang burghhhh... tidur pun menjadi nyenyaklah. Mereka terlupa sebentar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar di universiti iaitu untuk menghadiri kuliah.

Kasihan kat mak ayah mereka di kampung. Sudah tentu mak ayah menyangkakan anak-anak mak ayah ini sedang mentelaah pelajaran atau menghadiri kuliah di awal-awal pagi ini. Rupa-rupanya anak-anak mak ayah ini sedang lena diulit mimpi. Bila dah terjaga/tersedar... matahari dah tinggi. Terbabas dek penangan bulan puasa. Ruginya...

Hai lah adik-adik... cepat-cepatlah tersedar. Exam semakin hampir. Assignment semakin menimbun. Test atau quiz memang dah dekat. Jadi apa lagi... Wake up wake up hoi!

Wednesday 2 September 2009

Teruja

Betul... saya teruja apabila menjenguk ke blog-blog blogawan PLK FSR/PDRM dan e-PJJ. Saya yakin penjenguk-penjenguk sekalian juga dapat melihat perkembangan positif ini.

Alhamdulillah setelah saya kemukakan peringatan pada kuliah yang lalu, mereka kembali ke nawaitu asal penghasilan blog. Mereka pantas bertindak. Pantang ditegur, tangkas bergerak. Mereka ini adalah daripada golongan yang ingin berubah.

Perkembangan sebegini diharapkan dapat diteruskan sehinggalah 'wisel penamat ditiupkan' bagi menandakan markah akan dimuktamadkan. Sebab markah ke?

Sesuatu bermain di minda saya apabila menjenguk dari blog ke blog mereka. Adakah blog ini akan terus wujud selepas mereka mendapat apa yang diidamkan ataupun ia akan berkekalan selagi hayat dikandung badan. Hanya masa yang akan menentukan.

Walau bagaimanapun saya ingin mengucapkan syabas kepada BLOGAWAN-BLOGAWAN TERBABIT di atas usaha mereka mencuri/mencari peluang mengemaskini blog masing-masing dengan coretan pengalaman masing-masing di kala kekangan masa akibat tugas/rutin harian [Nota: Jangan terlebih bangga ya]. Apapun...TAHNIAH!

Nota: Masih terdapat blog-blog yang masih kekal bersawang biarpun telah diberi peringatan. Mereka ini masih terus menduduki CARTA TERBAWAH senarai blogawan PLK FSR/PDRM dan e-PJJ dari segi pengemaskinian. Masih bertuankah blog tersebut? Apa dah jadi?