Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 31 December 2009

Palang Penghalang


Berhati-hati ya kalau anda ke FSR. Sekarang ini kami sudah 'dikepung'. Kalau anda berkenderaan terutamanya kereta, pastikan anda mendapatkan pas di Balai Pengawal dahulu (khas untuk tetamu sahaja ya). Kalau tak jawabnya... menapak ajalah dari parkir yang disediakan untuk pelajar di hadapan bangunan berkembar S&T.

Lagi mudah kalau pakai motor kan. Tapi ada bahayanya. Dilanggar tercampak, melanggar pun tercampak. Walaubagaimanapun bersabar sahajalah kepada warga FSR terutamanya pelajar (sebenarnya staf pun terasa kalau tertinggal kad pekerja) kerana terpaksa menerima satu lagi dugaan. Namun ini bukan penghalang untuk anda mengecap kejayaan. Apa salahnya exercise sikit di kala menimba ilmu ini. Nanti kalau dah kerja buat pejabat yang parkirnya di hadapan bilik anda, ok. Sabar ajalah.

Tuesday 15 December 2009

Baguslah Bagusnya

Baguslah... Skuad Bolasepak Bawah 23 tahun Malaysia kendalian Rajagopal dah layak ke Perlawanan Akhir untuk Sukan SEA di Laos. Tahniahlah kepada mereka kerana berjaya mengekang serangan demi serangan yang tidak henti-henti daripada pasukan Laos dan akhirnya mencatat kemenangan 3 gol berbalas 1.

Bukan saya tak reti bersyukur, tetapi kalau nak diikutkanlah... pasukan Rajagopal perlu menang dengan jaringan yang lebih besar. Iya lah... kita kan dah ada macam-macam fasiliti yang hebat. Memang jauh sangatlah ketinggalannya negara Laos tu kalau nak dibandingkan dengan negara kita. Tenaga pakar dan teknologi pun memang berpihak kepada kita. Maka memang sewajarnyalah kita menang dengan lebih bergaya. Jadi tiada apa yang boleh dibanggakan sangat. Sepatutnya pasukan bolasepak kita dah setaraf dengan jaguh-jaguh Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan. Kalau setakat berbangga dengan Sukan SEA sahaja... tak ke mana la jawabnya. Maaf la kalau komen di atas terlalu keras, kasar atau menghina. Saya rindukan saat-saat kegemilangan pasukan bolasepak negara kita. Bolehkah ia berulang?

Bagusnya pemain-pemain Laos ni. Mereka bersemangat menyerang biarpun sudah ketinggalan. Mereka mengejar bola dan bukan orang yang dicari. Nampak macam mereka lebih cergas daripada pemain Malaysia sendiri (berdasarkan pemerhatian sendiri). Tahniah kepada Raja Firhad kerana telah berjaya membentuk kecergasan pemain-pemain Laos dalam tempoh tak sampai 6 bulan seperti yang telah diberikan oleh pengurusan negara tersebut.

Bagusnya penonton-penonton Laos ini kerana nampak lebih berdisiplin. Tak kelihatan pula botol-botol air, plastik-plastik air (ada sesetengahnya diisi dengan air kencing) dan tempat-tempat duduk yang berterbangan dan menghiasi tepi-tepi gelanggang perlawanan. Tidak kedengaran dan kelihatan juga bunyian dan percikan bunga api dan mercun tanda marahnya penonton kepada pengadil dan penjaga garisan dek kerana ketinggalannya pasukan mereka kepada lawan. Nampak macam berdisiplin dan berhemah sahaja penonton-penonton Laos ni. Kenapa ya kenapa! Mungkin saya yang salah pandang atau mendapat maklumat yang tak betul. Mungkin juga di luar stadium baru penyokong-penyokong Laos 'mengamuk' dan membakar kenderaan polis. Tak tahu lah pulak. Tapi rasanya tidak kot!. Hah satu lagi... tak kosong la pulak stadium tu bila dah pasukan Laos ketinggalan. Kebanyakan penyokongnya masih setia menanti sehingga ke wisel yang terakhir. Semangat tu.

Harapan saya agar bolasepak di negara kita akan terus cemerlang. Kemenangan dengan Vietnam sudah tentulah amat ditunggu walaupun nampak sukar. Penonton pula perlu lebih berdisiplin dan jangan terlalu beremosi hingga gagal mengawal diri ketika menyokong pasukan masing-masing. Penyokong skuad Laos boleh dijadikan contoh. Tak perlu pergi jauh-jauh untuk tengok contoh yang baik.

Monday 14 December 2009

Hancur

Hari tu adalah hari terakhir PTK. Datanglah seorang kawan baru tu nak pinjam komputer riba saya. Katanya dia nak tengok tugasan dia. Mahu dicucuk komputer saya dengan thumbdrivenya. Hendak disemak tugasan beliau sebelum dicetak dan dihantar. Hati saya berat nak dikongsi komputer saya tu.

Komputer saya tak ada 'pendinding'. 'Pendinding' yang Mubin beli tak sempat dikemaskini dah hilang entah ke mana.

Dengan berat hati saya pinjamkan saja. Baik hati la katakan. Semua tugasan saya dah disiapkan dan dihantar. Apa salahnya tolong kawan yang memerlukan bantuan.

Kemudian si-polan ini tunjukkan failnya yang tak boleh dibuka. Aik... komputer aku pakai Microsoft Office Word 2007, paling terkini la tu rasanya. Takkan masih tak boleh buka. Si-polan ni kemudiannya pulangkanlah komputer saya.

Balik ke rumah saya buka komputer bimbit. Alamak! dia buat dah. Satu persatu fail nak dipadam. Kesudahannya langsung tak boleh tengok apa pun. Alahai la nasib badan.

Rupa-rupanya barulah saya tahu yang komputer riba si-polan tu dah diserang virus yang teruk. Dah hancur komputer dia. Thumbdrive dia pun ada virus. Dah hancur thumbdrive dia. Kemudian tanpa segan silu dia cucuk pula virus tu kat komputer saya. Alahailah kawan. Nasib baik PTK dah habis. Kalau tak mau pitam aku dibuatnya.

Wednesday 9 December 2009

Berhibernasi

Saya terpaksa kuatkan semangat. Penilaian Tahap Kecekapan terpaksa saya tempuhi. Esok hari terakhir. Sudah 3 malam berturut-turut saya hanya mampu lelapkan mata selama 2-3 jam sahaja. Tugasan perlu diselesaikan. Slaid untuk untuk pembentangan perlu disediakan. Aduh... memang kena redah ja bak kata Dr Janudin, Pemangku Penolong Naib Canselor ILQAM semasa hari perasmian beberapa hari yang lalu.

Setiap hari saya berulang dari Shah Alam ke Puncak Alam. Memang meletihkan. Dengan tak cukup tidur ditambah pula terpaksa bersekang mata mendengar pembentangan demi pembentangan daripada rakan-rakan PTK yang lain. Saya perlu kuatkan semangat.

Nasib baiklah saya diletakkan dalam kumpulan seramai 21 orang yang sekepala. Jadi taklah bosan sangat. Suasana tertekan dapat dihilangkan dengan lawak-lawak spontan walaupun kadang-kadang tajuk yang dibentangkan agak serius. Apa yang saya bentangkan tentang kajian tak orang fahami dan begitu jugalah bila pensyarah dari fakulti lain membentangkan cadangan penyelidikan masing-masing yang saya sendiri pun tak faham isinya. Yang faham tentang apa yang dibentangkan dalam cadangan penyelidikan itu adalah penyelidik sendiri. Namun kami tetap memberi semangat sesama kami. Saya redah ja!

Alhamdulillah esok hari terakhir. Maka akan berakhirnya 'jaga' malam saya. Esok saya akan tidur sepuasnya. Saya mahu berehat. Letih oi!. Otak dah letih sangat. Saya perlukan rehat.

Di sebalik keletihan melampau dek otak yang dikerah habis-habisan berfikir, saya sangat-sangat berpuashati dengan setiap kerja yang saya lakukan. Saya merasakan segala tugasan dan pembentangan telah saya lakukan dengan sebaik mungkin.

Terima kasih kepada isteri dan anak-anak yang menjadi sumber semangat saya untuk menghabiskan sisa-sisa PTK ini. Sokongan mereka menjadi inspirasi kepada saya. Anak-anak seperti faham yang papa mereka sedang berjuang.

Akhirnya, doakan kecemerlangan untuk PTK saya untuk kali ini.

Thursday 3 December 2009

Mengepak Sayap

FSR akan mengembangkan sayapnya ke Negeri Sembilan. Seremban 3 adalah lokasi yang telah dipilih sebagai tapak baru fakulti. Wow! memang hebat apabila cadangan yang telah dikemukakan di atas kertas oleh pihak pengurusan fakulti dipersetujui oleh UPEN untuk direalisasikan di lokasi sebenar.

Insyaallah apabila telah siap nanti, FSR akan mempunyai tasiknya yang tersendiri. Tasik buatan manusia itu terletak di hadapan dan belakang FSR. Memang hebat. Pemandangan dari bilik kuliah pasti menarik.

Rekabentuk bangunan FSR juga agak futuristik seperti rekabentuk bangunan untuk salah sebuah fakulti yang terdapat di Australia. Bangunan setinggi 3 tingkat itu akan dilengkapi dengan makmal biomekanik, pemakanan, fisiologi senam, pelakuan motor, makmal komputer dan tak lupa juga makmal untuk pengajaran rekreasi luar. Gimnasium dan stor untuk penyimpanan peralatan sukan dan rekreasi juga akan terletak di dalam bangunan yang sama.

Kampus Seremban 3 itu nanti akan mampu menampung kapasiti pelajar FSR sekitar 750 orang dan pensyarah seramai 60 orang.

Sayangnya mini stadium dan kolam renang yang dipohon masih lagi belum mendapat persetujuan.

Laporan Utusan Malaysia di sini

Wednesday 2 December 2009

Nasib Engkaulah Batu...

Alahai nasib engkau lah batu. Tu lah sapa suruh engkau jadi batu. Engkau bersalah kerana tak mampu menampung jumlah beban yang melalui 'usus perut' engkau. Lain kali tahanlah sikit. Kalau pada hari kejadian 'perut' engkau tak memuntahkan isi yang melalui usus engkau, sudah tentulah perkara ini siapa pun tak bising. Orang pun tak tahu rupa-rupanya engkau tak cukup gagah.

Namun hingga ke hari ini aku pun tak tahu siapalah yang telah menghadiahkan engkau. Rahsia dan misteri yang masih belum dirungkaikan. Apakah rahsia disebalik engkau yang dijadikan sebahagian daripada hadiah kepada Pusat Kokurikulum terbabit.

Takpalah dah nasib engkau batu. Aku rasa orang asli kat Pos Dipang pun dah tahu tentang keputusan yang tidak akan memihak kepada engkau. Apa boleh buat terima sajalah wahai batu. Engkau gagal untuk menampung beban tambahan dari “back-stayed cable”. Itu laporan yang aku dengar. Takpalah batu... apa boleh buat. Sabar ye. Lain kali engkau tahanlah isi-isi yang ingin melalui usus engkau. Jangan bagi isi-isi tu melintasi engkau beramai-ramai.

Sekali lagi aku mampu menasihatkan engkau bersabarlah sajalah. Alahailah nasib badan engkau batu. Terima ajalah dengan redha.

Tuesday 1 December 2009

Berjaya atau Gagal?

Bermula jam 9 pagi tadi hinggalah jam mencecah angka 5 petang tadi kesemua Ahli Lembaga Akademik Fakulti bersidang [Nota: kecuali Datin Sarina yang kini masih berada di Tanah Suci] bagi mengesahkan keputusan Peperiksaan Oktober 2009. Rehat pun hanyalah untuk makan tengahari dan solat Zohor. Fuh! kini ahli LAF semakin bertambah dengan berkembangnya sayap FSR di UiTM Kampus Jengka. Bermula dari pembentangan para Ketua Program dan Koordinator dari peringkat Diploma hinggalah ke peringkat siswazah. Letih memang letih... Mana taknya menunggu seorang demi seorang ahli Lembaga membentangkan keputusan program yang di bawah seliaan mereka. Apa boleh buat, ini semua adalah tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Bagi pihak saya sendiri, tentulah menjadi satu kebanggaan apabila membentangkan tentang keputusan pelajar Diploma di Shah Alam yang berjaya mencapai keputusan yang memberangsangkan kepada kesemua ahli Lembaga. Gembiranya apabila menceritakan tentang kejayaan memotivasikan sekumpulan pelajar yang gagal mencapai kejayaan yang memberangsangkan pada Peperiksaan April 2009 dulu tetapi cemerlang pada Peperiksaan Oktober 2009. Namun apabila membentangkan tentang kegagalan pelajar pula.... arghhh cukup menyedihkan. Kumpulan pelajar ini juga merupakan mereka yang saya 'kejar' dan 'dicari' saya, namun sengaja melarikan diri daripada saya. Mereka 'tak berkenan' nak berjumpa dengan saya. Bantuan yang ingin diberi mungkin dianggap sampah kot! Takpalah kalau orang dah tak sudi.

Saya menceritakan seorang demi seorang pelajar yang gagal mencapai keputusan yang kurang memuaskan kepada ahli Lembaga apabila timbul persoalan daripada mereka. Memang ini yang saya kurang dan tak gemar ceritakan. Namun saya terpaksa.

Para pensyarah sudah berusaha untuk membantu yang termampu tetapi pelajar-pelajar ini tak mahu membantu diri mereka sendiri. Tugasan yang diberi tidak dihantar. Yang hantar pula tu ada yang lewat. Pembentangan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah langsung tidak diambil peduli oleh para pelajar ini. Kuliah tidak dihadiri. Adakalanya pula hadir tetapi lewat la pula. Tok Guru yang terpaksa menunggu anak murid. Ujian atau kuiz yang diberi tidak dijawab dengan bersungguh-sungguh atau dengan penuh persediaan. Abis camno! Tak dapek den nak tolong laie...

Apabila keputusan diumumkan nanti tentu ada pelajar yang akan melompat riang kerana kejayaan mereka selepas berhempas pulas di sepanjang semester lepas. Sudah tentulah ibu dan bapa pelajar-pelajar turut bersyukur dan gembira di atas kejayaan anak masing-masing. Alahai kepada yang terpaksa menamatkan pengajian lebih awal terpaksa mencari peluang lain pula. FSR sudah memberikan peluang kepada mereka tetapi tidak pula mereka berusaha untuk menggunakan sepenuhnya peluang tersebut. Tak apalah kegagalan sekali bukan bermakna anda akan gagal untuk yang seterusnya. Redha sahajalah dengan ujian yang diturunkan kepada anda ini. Kembalilah bermuhasabah diri.

Pelajar Semester 3 Diploma (sepenuh masa) untuk semester yang baru lepas ini sudah tentulah merupakan kumpulan yang beruntung untuk semester yang akan datang. Mereka yang mencapai CGPA melebihi 3.00 untuk keputusan Peperiksaan Oktober 2009 ini akan terus diserapkan ke program ijazah. Wah! Dah tentulah mereka yang terpilih ini akan lebih ekspress di dalam menamatkan pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana muda (ISM). Maka akan bertambahlah kemasukan pelajar-pelajar ISM di FSR pada semester akan datang. Kita tunggu sahajalah siaplah di antara pelajar Semester 3 Diploma yang akan berjaya diserapkan ke ISM.