Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 31 December 2007

Selamat Datang 2008 Masehi



Selamat tinggal 2007. Selamat datang 2008 Masehi!

Alhamdulillah, berkat doa baba, mami, isteri, ibu mertua, anak-anak, sanak saudara, guru-guru, rakan-rakan, anak murid dan semua yang mengenali saya, maka azam untuk menamatkan pengajian peringkat sarjana secepat mungkin telah terlaksana [untuk pengetahuan umum, masa dan wang saya telah terbuang begitu saja ketika menyambung pengajian peringkat sarjana di UPM dari tahun 2002 hingga 2005]. Allah subhanahu wata’ala telah mempermudahkan segala kerja buat saya semasa berada di La Trobe University, Bendigo. Ada hikmahnya di sebalik kegagalan saya menamatkan pengajian peringkat sarjana di UPM. Allah Maha Mengetahui.

Azam untuk mempunyai laman sesawang dan blog sendiri pada tahun 2007 juga telah terlaksana. Allah telah menemukan saya dengan mereka yang baik-baik sepanjang berada di Bendigo. Md Amin bin Md Taff, pensyarah UPSI yang secara kebetulannya saya temui semasa sama-sama menghadiri National Outdoor Education Conference 2007 di Ballarat, Australia telah menjadi guru saya untuk membina laman sesawang. Beliau bersama keluarganya sudi singgah ke rumah saya di Bendigo sebelum bertolak pulang ke tanahair dan seterusnya meluangkan masa untuk mengajar saya untuk membina laman sesawang. Jasa anda tidak akan saya lupakan sahabatku.

Pagi ini saya bangun dengan azam baru. Saya berazam untuk terus meningkatkan ilmu duniawi dan ukhrawi. Semakin banyak saya belajar semakin banyak yang saya rasai kekurangannya. Terlalu kerdil diri ini rupanya. Saya berazam untuk membuat persediaan awal untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD. Saya juga berazam untuk berkongsi sebanyak mungkin ilmu berkaitan rekreasi dan kehidupan bersama-sama rakyat Malaysia. Saya berazam untuk menghasilkan buku-buku ilmiah berkaitan rekreasi yang sememangnya sangat kurang di pasaran tanahair. Ini kerana kebanyakan buku rekreasi di Malaysia datangnya daripada Amerika Utara dan United Kingdom. Moga Allah memberikan saya kekuatan dan semangat untuk berkarya.

Saya juga bertekad untuk terus memberi peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terlibat sama dalam sebarang aktiviti sukan dan rekreasi yang akan saya anjurkan. Seterusnya untuk keluarga pula biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan isteri. Tunggu sehingga ke hujung tahun ini untuk mengetahui hasilnya.

Apakah azam anda untuk tahun 2008? Adakah azam anda pada tahun 2007 telah terlaksana? Pastikan kita mempunyai azam dan terus berusaha untuk memenuhi azam kita agar azam itu tidak menjadi ‘pekasam’.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 Masehi kepada semua rakyat Malaysia.

Qobain oh Qobain

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin a.k.a Qobain merupakan seorang anak muda yang hebat dan bersemangat waja!

Setelah beliau bersama-sama Ahmad Reduan berjaya menjejakkan kaki ke Puncak Everest pada tahun 2004 dalam usianya baru 22 tahun, kini Qobain sedang dalam misi keduanya iaitu penjelajahan mengelilingi dunia dengan berbasikal secara solo.

Apabila mendapat perkhabaran bahawa Qobain akan menjejakkan kaki ke Australia setelah tamat penjelajahannya di India, saya memasang niat dan azam untuk menjemput beliau agar menjadikan Bendigo sebagai salah sebuah destinasi singgahannya di Australia nanti. Alhamdulillah SMS saya berbalas. Qobain kemudiannya membuat panggilan dan menyatakan minatnya untuk singgah di Bendigo.

Di Australia Qobain gagal meneruskan kayuhannya. Ini kerana kecederaan pada ligamen lututnya menyebabkan doktor di Canberra mencadangkan beliau berehat daripada meneruskan kayuhan selama 2 bulan. Qobain tidak patah semangat sebaliknya menukarkan rancangan asalnya. Beliau kini akan mengelilingi Australia dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi yang disewanya di Melbourne. Itupun dilakukannya setelah mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada penaung penjelajahannya iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ada hikmah di sebalik penjelajahan bermotosikalnya itu. Allah Maha Mengetahui. Sekiranya beliau berbasikal secara solo dari satu destinasi ke destinasi seterusnya di Ausralia, tentu ia berbahaya. Jarak yang terlalu jauh di antara sebuah bandar dengan bandar yang lain [kebanyakan rakyat Australia tinggal di bandar-bandar besar]. Jarak rumah di kawasan luar bandar pula adalah terlalu jauh di antara satu dengan yang lain. Cuaca di sini pula pada ketika ini terlalu panas dan kering. Tentu sukar untuk beliau meminta pertolongan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.


Sayangnya ketika Qobain singgah di Bendigo ia merupakan hari cuti umum Boxing Day. Jadi tak dapatlah saya kenalkan beliau kepada pensyarah-pensyarah saya di sini. Ini kerana saya pernah membentangkan tentang penjelajah-penjelajah hebat di Malaysia seperti Qobain, Ahmad Reduan, Datuk Azhar Mansor dan Datin Paduka Sharifah Mazlina di dalam pembentangan kelas saya di sini.

Saya cuma sempat membawa Qobain bersiar-siar di sekitar La Trobe University Bendigo dan bandar Bendigo. Qobain terpegun melihat bangunan School of Outdoor Education & Environment, tempat saya belajar yang katanya mesra persekitaran [environmental friendly]. Kawasan berbukit di situ tidak dipotong, sebaliknya bangunan di situ yang diubahsuai untuk mengikut bentuk mukabumi.

Keesokan harinya Qobain meneruskan perjalanannya ke Sydney sebelum ke Brisbane. Sama-samalah kita doakan keselamatan dan kejayaan Qobain. Amin

Sunday 30 December 2007

Kasih Seorang Ayah

Semasa saya belajar di La Trobe University, Bendigo, dengan izin Allah saya telah dipertemukan dengan seorang Kakak L yang berasal dari Malaysia dan berkahwin dengan Brother M yang berasal dari Croatia. Mereka kini menetap di KV [kira-kira 150km dari Bendigo]. Saya begitu tersentuh apabila mendengar kisah kehidupan Brother M berkenaan dirinya yang penuh dengan onak duri.

Ibunya yang disayangi meninggal dunia ketika beliau baru berumur 2½ tahun dan beliau juga mempunyai seorang kakak berumur 17 tahun ketika itu. Setahun kemudian, ayahnya berkahwin semula. Bermulalah satu kehidupan yang tidak diduga. Kakaknya diminta berkahwin dan beliau dibesarkan oleh Ayahnya dan Ibu tirinya. Beliau didera setiap hari tanpa ada sebarang belas kasihan apabila berlaku pertikaman lidah di antara ayah dan ibu tirinya. Ayahnya hanya mampu melihat kerana terlalu sayangkan ibu tirinya dan takut kehilangan buat kali kedua [ takut tidak ada orang yang akan menjaga makan minumnya]. Dalam pada itu, Ayahnya juga mahu beliau belajar dan tidak mahu beliau hidup susah di masa akan datang. Seterusnya beliau telah bertemu jodoh dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Sayangnya rumahtangga mereka tidak kekal lama. Akibat terlalu banyak dugaan yang dilaluinya sejak kecil sehingga dewasa dan permasalahan perkahwinan di mana beliau terpaksa menjaga kedua-dua anaknya beliau akhirnya mengambil keputusan nekad untuk merantau ke Australia.

Kedua-dua anaknya ditatang seperti minyak yang penuh. Kehidupannya mula berubah apabila anaknya memeluk agama Islam tanpa pengetahuannya. Beliau agak terkilan dengan tindakan anaknya itu dan beliau sentiasa bersamanya untuk mendapatkan maklumat sebenarnya tentang keistimewaan agama yang baru dianuti oleh anaknya dengan menghadiri kuliah agama di sekitar Melbourne. Dari situlah hatinya mula terpaut dengan agama Islam. Hatinya yang dahulunya keras seperti batu dan panas seperti api kini bertukar menjadi lembut seperti baldu dan sejuk seperti salji. Dari kuliah-kuliah agama itu jugalah beliau mula mendalami ajaran Islam dan pada tahun 1999 ketika berusia 52 tahun beliau secara rasminya memeluk agama suci Islam.

Beliau telah bertemu dengan sepasang suami isteri ketika berada di Malaysia. Kemurnian hati seorang ayah yang mahu melihat anak lelakinya berkahwin telah menyebabkan beliau meluahkan niat mencari menantu kepada pasangan berkenaan. Dengan izin Allah, doa beliau dimakbulkan. Bakal isteri anak lelakinya itu merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi dalam agama Islam dan Brother M menganggap itu sebagai suatu anugerah Illahi buat anaknya. Tetapi disangka panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Menantu yang diharapkan boleh membimbing anaknya menjadi anak yang soleh rupa-rupanya telah menjadi duri dalam daging dalam keluarga mereka. Na’uzubillah.

Brother M telah dicampak lebih hina daripada sampah. Cucu kesayangan hanya dihadkan berjumpa dengan datuk mereka [Brother M] sekali dalam sebulan, itupun untuk 1 malam sahaja. Undang-undang dan peraturan apakah yang digunapakai ini. Syukurlah Brother M dikurniakan seorang isteri [Kakak L] yang penyabar dan penyayang. Ini merupakan perkahwinan ketiga Brother M setelah kedua-dua perkahwinan sebelumnya menemui kegagalan.

Tergamak seorang anak sanggup mempermainkan hati ayahnya. Kisah tragis ini bermula apabila Brother M menjemput anak lelakinya sekeluarga agar berkunjung ke rumahnya di KV kerana rindukan cucu-cucunya. Akhirnya anaknya meminta Brother M menjemput mereka sekeluarga dengan alasan kereta mereka tidak boleh berjalan jauh. Dengan harapan yang menggunung tinggi, Brother M terpaksa mengambil risiko bertolak ke Melbourne seorang diri dengan meninggalkan isterinya keseorangan di rumah mereka untuk menjemput anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan.

Brother M sebenarnya bukannya sihat seperti di usia mudanya dahulu. Kini beliau mengidap penyakit kencing manis dan permasalahan buah pinggang. Sebaik sahaja sampai di Melbourne, pelbagai dalih diberikan oleh anak dan menantunya untuk membatalkan niat asal mereka untuk berkunjung ke rumah Brother M sehinggalah kesabaran Brother M teruji. Akibat perasaan amarah, beliau seterusnya memberi amaran kepada menantunya menyebabkan perasaan takut dan tersentak sehinggakan cucu-cucunya lari masuk ke dalam bilik dan menyembunyikan diri di bawah katil. Anak lelaki beliau cuba memujuk anak-anaknya tapi hampa. Akhirnya minta bantuan daripada beliau dan cucu-cucunya keluar dan terus memeluknya. Brother M mengambil inisiatif menerangkan perkara sebenarnya kepada cucu-cucunya. Tersentuh sungguh hati Brother M apabila mendengar cucu sulungnya yang berumur 4 tahun menyebut, “Grandpa… grandpa… I don’t want you to be upset…”, setelah mereka melihat pertikaman lidah sebelumnya. Walaupun kanak-kanak itu masih belum matang tetapi mereka lebih memahami masalah kesihatan Brother M berbanding anak dan menantunya yang berumur mencecah 40 tahun. Setelah memujuk cucu-cucunya supaya redha dengan ketentuan illahi, Brother M melangkahkan kaki meninggalkan rumah anaknya untuk pulang semula ke KV. Beliau tersangat sedih kerana beliau menjangkakan mungkin inilah peluang terakhirnya untuk melihat cucu-cucu kesayangannya.

Brother M dengan hati yang hancur luluh pulang dengan tangan kosong tanpa kehadiran anak, menantu dan cucu-cucu kesayangannya yang berjanji untuk bercuti di KV. Hati ayah mana yang tidak tersentuh apabila dipermainkan oleh darah dagingnya sendiri akibat hasutan si-isteri. Teringat saya kisah si-Tanggang ketika mendengar kisah benar dari mulut Brother M. Sedih saya mengenangkan kisah yang jujur daripada seorang ayah yang rindukan kasih sayang anak, menantu dan cucunya di usia emasnya.

Oleh kerana rindukan suara cucunya, keesokan harinya Brother M dengan berat hati membuat panggilan ke rumah anak lelakinya. Kebetulan ketika itu cucu lelaki kesayangannya yang mengangkat panggilan tersebut. Akibat terbatuk-batuk ketika berkomunikasi dengan cucunya, beliau mendengar satu ayat yang ikhlas dari mulut seorang kanak-kanak berumur 4 tahun. Cucunya berkata, “Grandpa…Grandpa, I don’t want you to be 'sakit'… I need you here, Grandpa… if you’re 'sakit’ I’ve the 'ubat'. Terkedu Brother M mendengar ayat yang keluar dari mulut cucu yang disayanginya.

Di pagi yang hening ini saya bangun untuk solat sunat tahajjud dan seterusnya solat sunat hajat. Menitis airmata saya di sejadah memohon Allah subhanahu wataala melembutkan hati dan melimpahkan taufik dan hidayahNYA kepada anak dan menantu Brother M supaya mereka insaf akan kesalahan yang telah mereka lakukan ke atas orang tua yang tidak berdosa ini. Rintihan seorang ayah yang tidak menginginkan harta benda milik anak-anaknya. Cukuplah sekadar kasih sayang sementara nyawa dikandung badan.

Kepada rakan-rakan dan saudaraku sekalian, berkongsilah kasih sayang dengan orang tua kita ketika mereka masih bernyawa. Jika mereka telah pergi meninggalkan kita, tiada apa yang boleh dikesalkan lagi. Biar menangis airmata darah sekalipun tidak akan mengembalikan mereka ke dunia yang fana ini. Hanya doa daripada anak yang soleh sahajalah yang dapat memudahkan urusan mereka di akhirat kelak.

Nota: Sekiranya anda ada sebarang nasihat, pandangan peribadi atau pengalaman berkaitan isu di atas, silalah menghantarnya terus ke email saya. Nasihat dan pandangan anda akan saya panjangkan kepada Brother M dan Kakak L. Terima kasih

Saturday 29 December 2007

Dijual Juga Akhirnya



Bendigo Advertiser Friday, 14 December 2007
TOYOTA CAMRYWagon, 1987, reg. 3/08, tidy, man., a/c, tow bar, GC, runs well, Urgent sale, UBS-050, $1200 ONO. 0431204-625.


Akhirnya kereta yang banyak berjasa kepada kami sekeluarga selama saya berada di Bendigo telah selamat saya jual. Walaupun sedih untuk berpisah dengan kereta yang banyak jasanya itu,tetapi kerana kehendak masa saya terpaksa. Saya perlu pulang ke tanahair untuk meneruskan kehidupan.

Toyota Camry Station Wagon bernombor pendaftaran UBS-050 itu saya beli daripada seorang penuntut semester akhir dari Indonesia yang saya panggil Bapak Ahmad. Beliau pada semester sebelumnya juga ada membawa keluarga ke Bendigo selama satu semester, sebab itulah beliau memerlukan kereta tersebut pada masa tersebut. Selepas isterinya pulang beliau merasakan kereta Toyota itu tak diperlukan lagi kerana kalau nak ke Uni pun hanya 100 meter sahaja jaraknya dari rumah sewanya. Saya pun mulalah merisik bertanyakan berapakah harganya dan alhamdulillah selepas beberapa hari berbincang akhirnya beliau bersetuju menetapkan harga $1400 untuk kereta tersebut berserta pendaftarannya.

Kini kereta tersebut telah menjadi hakmilik Edward Crawford a.k.a Ted,74 tahun. Beliau menelefon pada hari pertama saya iklankan di dalam akhbar Bendigo Advertiser dan datang keesokan paginya untuk melihat kondisi kereta. Selepas memandu uji kereta tersebut, alhamdulillah nyata Ted yang kebetulannya seorang yang berpengetahuan luas tentang kereta [mekanik, pembawa teksi, tukang buat rumah dan banyak lagi] amat berpuashati dengan kondisi kereta tersebut dan meminta saya mengurangkan harga kerana beliau perlu melakukan beberapa penambahbaikan pada kereta tersebut sebelumnya ianya boleh mendapat Roadworthy Certificate sebelum proses menukar nama. Akhirnya saya bersetuju menjual kereta tersebut dengan harga $900 (AS TRADED). Alhamdulillah selesai satu bab.

Friday 28 December 2007

Dugaan Perlukan Kesabaran

Lepas saya mendapat perkhabaran gembira daripada penyelia projek penyelidikan tempohari [I feel you are very close to finishing-Dr Andrew], saya seterusnya telah dikejutkan dengan ujian oleh Allah s.w.t pada hari yang sama. Nak dijadikan cerita, lepas makan tengahari dan solat Zohor di surau saya terus ke perpustakaan dan tinggalkan 'laptop' saya di dalam PostGrad Room dalam keadaan'on' selepas 'restart' [sebab laptop saya sengaja diletakkan 'password', dengan harapan bila saya 'restart' jadi org tak boleh 'access'].

Bila saya balik semula ke PostGrad Room dalam jam 4pm saya nak masukkan 'password' tetapi sebaliknya berlaku, 'laptop' saya dah pening, nak 'on' tak boleh dan nak 'off' pun tak boleh. Aduh... saya panik betul masa tu. Dahlah tak pandai sangat bab-bab betulkan komputer ni [jahil teknologi]. Mulut tak putus-putus membaca doa dan zikir yang biasa diamalkan, Allahumma yassir walatu'assir ya karim [Ya Allah permudahkanlah segala kerja buatku, janganlah engkau susahkan, wahai Tuhan yang Mulia] dibaca berulangkali. Saya bukan takut apa, penulisan saya semua dalam dua 'thumbdrive' sebagai 'backup', tapi 'endnotes' yang saya risaukan [saya tak ada 'copy']. Saya mula membayangkan kalaulah 'laptop' ni kena format balik, mungkin habislah fail saya kat dalam tu. Saya tunggu punya tunggu punya tunggu sampai jam 5.30pm masih lagi tak OK, 'laptop' masih gagal berfungsi lagi. Jadi saya pun terus bungkus dan balik dengan harapan bila bateri habis nanti mungkin OK kot.

Lepas solat Maghrib & sunat Hajat masih tak ada apa-apa lagi perubahan pada 'laptop' saya. Pelik saya, bateri tak habis-habis. Selalunya maksimum pun 3 jam bateri 'kong'. Saya dah mati akal, apalah dugaan Allah turunkan kat saya ni, mungkin nak menguji kesabaran saya kot, mungkin ada dosa-dosa lalu yang perlu saya tebus. Saya dok bayangkan kalau tak OK juga malam ni tentu duit saya 'terbang' esok sebab nak kena bawa 'laptop' tu ke kedai komputer.

Nak dijadikan cerita lepas solat saya keluar bilik bertembunglah dengan seorang hamba Allah nie [Mike] yang baru pindah masuk rumah sama dengan saya, baru balik. Saya tanya dia samada dia tau macamana nak bikin komputer, saya bagitau la apa masalahnya. Dia kata dia cuba. Alhamdulillah lepas dia tengok dia kata dia pun pernah alami macam nie dulu. Dia tanggalkan bateri 'laptop', pasang balik, semuanya 'back to normal'.

Itulah dugaan saya pada hari yang sama mendapat khabar gembira, kemudian panik sekejap bila diuji dan seterusnya bersyukur tak terhingga bila dipermudahkan oleh Allah subhanahuwataala. Banyak pengajaran yang saya dapat daripada peristiwa ini.

Pertamanya hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Ujian dan dugaan merupakan asam garam hidup kita di dunia ini. Saya senantiasa beringat bahawa segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan izin Allah. Maka sudah tentu segala musibah yang berlaku ke atas saya juga adalah dengan izin Allah s.w.t.

Keduanya saya sedar bahawa sebarang ujian itu adalah untuk menyucikan diri kita dari dosa kita, agar kita tidak disiksa atas dosa tersebut di akhirat kelak.

Ketiganya, apabila kita bersabar dengan ujian yang menimpa, darjat kita di sisiNya akan meningkat. Begitu juga saya dapat rasakan ketahanan mental dan emosi kita juga akan meningkat dengan kesabaran.

Thursday 27 December 2007

Dari Hatiku





Coretan di Kala Senggang adalah kenangan silam dan peristiwa semasa di sekitar kehidupan Hisyam bin Che Mat a.k.a HiCMat. Lahir pada 28 Ogos 1974 di Kulim, Kedah dari keluarga yang hidup serba sederhana dan penuh dengan kasih sayang. Bapa saya, Che Mat bin Ishak bekerja sebagai buruh dan ibu saya, Faezah@Rahimah bt Mohamad Noh seorang suri rumahtangga turut membantu menambah sumber pendapatan keluarga dengan menjual kuih muih. Saya mempunyai seorang kakak, Norhayati bt Che Mat dan kini telah berkahwin dan menetap bersama suami dan 3 orang anak mereka di Sik, Kedah.

Ibu yang sangat saya sayangi telah meninggal dunia pada 24 Februari 1991 akibat masalah pernafasan. Tidak lama selepas itu, iaitu pada tanggal 1 Oktober 1991 abah pulak telah pulang ke rahmatullah kerana asma. Pada saat itu saya dan kakak seperti kehilangan arah kerana telah kehilangan kedua-duanya dalam masa yang begitu hampir. Ketika itu juga saya amat memerlukan mereka sebagai pemberi semangat untuk menghadapi peperiksaan besar SPM yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hambaNYA. Saya bersyukur kerana bapa saudara saya yang lebih mesra dengan panggilan baba, Haji Abdullah bin Idris dan mami, Hajah Zaleha bt Mohamad Noh [kakak kepada ibu saya] telah sudi menjaga dan mendidik saya. Kakak pula telah dipelihara oleh Pak Njang [adik kepada arwah abah], Abdullah bin Ishak dan isterinya Cik Ghon bt Khamis. Saya terputus hubungan dengan kakak selama enam tahun. Tetapi telah bertemu semula ketika dia memaklumkan kepada saya bahawa dia ingin mendirikan rumahtangga dan saya sebagai walinya.

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Kulim, Kedah dari tahun 1981 hingga 1986 dan Sekolah Menengah Sultan Badlishah, Kulim, Kedah dari tahun 1987 hingga 1991. Saya mengikuti pengajian peringkat Matrikulasi Sains di Pusat Asasi Sains, Universiti Pertanian Malaysia, Serdang, Selangor dari tahun 1992 hingga 1993. Seterusnya saya menyambung pengajian Sarjana Muda Sains Perhutanan (pengkhususan dalam Pengurusan Taman dan Rekreasi) di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor dari tahun 1994 hingga 1998.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama pada tahun 1998, saya telah bekerja sebagai Training Executive di Team Tact Consultancy yang juga salah sebuah daripada subsidari Noordindarus Consultancy iaitu sebuah konsultan yang menguruskan program-program latihan berkaitan kepimpinan, pembinaan pasukan, motivasi dan pengurusan acara.

Pada 8 Februari 2000 saya telah memulakan tugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor. Seterusnya saya telah menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Sukan (Pengkhususan dalam Pengurusan Sukan) secara separuh masa setelah gagal mendapat biasiswa staf setelah dua kali memohon. Tetapi pengajian saya di situ tidak diteruskan kerana beberapa sebab berkaitan saya, penyelia dan kekangan masa.

Pada tahun 2006 saya sekali lagi memohon untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana, tetapi kali ini untuk ke luar negara. Alhamdulillah kali ini permohonan saya berjaya dan saya seterusnya berpeluang menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Outdoor and Environment Education di La Trobe University, Bendigo, Victoria, Australia pada tahun 2007 dan berjaya menamatkan pengajian.

Penglibatan saya dalam aktiviti berpersatuan bermula daripada sekolah rendah. Saya terlibat dengan Persatuan Pengakap di sekolah. Seterusnya di sekolah menengah pula saya aktif dalam Pasukan Kadet Polis. Semasa pengajian di Universiti Putra Malaysia saya aktif di dalam Kelab Outward Bounders UPM dan pernah dilantik sebagai Presiden bagi sessi 1996-97. Selain itu saya juga aktif di peringkat Fakulti Perhutanan dalam Persatuan RECCERS [persatuan untuk penuntut-penuntut pengkhususan pengurusan taman dan rekreasi].

Di Universiti Teknologi MARA pula saya merupakan Penasihat Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM Shah Alam dari tahun 2001 hingga sekarang. Saya pernah dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar[Resident Staff] Kolej Kediaman INTEC UiTM sejak 2000 hingga 2006. Selain itu saya juga pernah dilantik sebagai Penasihat Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UiTM, INTEC, Kampus Seksyen 17, Shah Alam dari tahun 2003-2006. Seterusnya saya juga telah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar Negeri Selangor dari tahun 2004 hingga kini. Seterusnya pihak pengurusan UiTM telah melantik saya sebagai anggota Penyelamat UiTM (Aras Tinggi)sejak tahun 2000 hingga kini. Pada tahun 2006 saya telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan Goalball Malaysia iaitu sukan untuk orang cacat penglihatan bagi menghadapi KL06 Fespic Games yang telah berlangsung di Kuala Lumpur.


Saya mendirikan rumahtangga dengan Norliza bt. Ali Wee pada tahun 2001. Kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Kamilia Afiqah (lahir 10.10.2002, di Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan Kamil Afiq (lahir 28.02.2005 di Pusat Perubatan Darul Ehsan) .


Saya boleh dihubungi melalui telefon bimbit 019 – 363 9390 atau email
hisyamchemat@yahoo.com atau hisyam@salam.uitm.edu.my. Pengalaman dan kenangan saya sekeluarga semasa saya diberi peluang menuntut di La Trobe University, Bendigo, Australia tercatat di dalam laman sesawang www.freewebs.com/hicmat