Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 30 April 2008

Bilalah Agaknya?

Tiba-tiba pagi ini saya teringat satu aktiviti yang dah lama tidak dibuat. Apalagi kalau bukan selam scuba. Rasa-rasanya dah hampir dua tahun saya tak menyelam. Kalau ada pun hanyalah mengajar pelajar-pelajar dalam kolam UiTM untuk asas selam scuba. Sudah tentulah ianya tak sama seperti di laut.

Bagaimanalah agaknya 'buddy' saya, Kak Anis. Dah lama tidak bersua. Selepas meninggalkan UiTM, beliau kini bertugas sebagai konsultan dan usahawan. Kalau beliau masih di UiTM sudah tentu kami team pensyarah dan staf akan kerap mengadakan scuba trip. Sekarang rakan-rakan scuba di FSR semuanya sibuk dengan hal masing-masing. Rakan-rakan advanced scuba seperti Razali, Cik Sue sibuk dengan PhD, Amrie di UiTM Perlis, Nagoor di ISN dan Dollah sentiasa bersedia untuk ke pulau.





Seronok ka Selam Scuba ini?

Sukar untuk diperkatakan tentang keindahan dunia di dasar laut. Hanya mereka yang pernah menyelam sahaja yang mengetahui nikmatnya keindahan alam di dasar laut berbanding mereka yang menonton di televisyen atau melihat foto.


Sudah tentulah anda perlu mempunyai kebolehan berenang sebelum mengambil lesen scuba. Secara logiknya, bagaimana anda mahu turun ke dasar laut tanpa kebolehan berenang. Namun, tidak semestinya mereka yang tidak tahu berenang tidak boleh menyertai aktiviti ini. Yang pentingnya penyelam perlu mempunyai kebolehan kawalan kaki [kayuhan kaki] dan pengapungan diri yang baik ketika di dalam air.

Selalunya penyelam yang tidak mempunyai kebolehan berenang, kaki mereka akan hanya menendang dan bukannya mengayuh di dalam air. Ini menyebabkan mereka cepat letih dan pergerakan tidak ke mana. Selain itu juga mereka yang tidak tahu berenang ini juga akan mengalami dua perasaan takut. Pertamanya tidak biasa dengan air dan keduanya takut masuk ke dalam air.

Oleh yang demikian, instruktur yang berpengalaman dan berkelayakan sudah semestinya mengetahui kaedah yang terbaik untuk mengurangkan rasa takut ini. Sebelum dibawa penyelam baru ini ke dalam air sudah semestinya orientasi dengan air dan teknik pemakaian peralatan seperti mask (penutup muka), snorkel (tiub J) dan fins (kaki itik) perlu ditekankan. Ini dapat mengelakkan penyelam baru ini tidak panik apabila berhadapan dengan situasi luar jangka.

Seribu Kali Sayang

Dua pertiga daripada bumi Malaysia ini adalah pantai [tidak termasuk tasik, sungai, lombong dan kolam]. Namun majoriti rakyat Malaysia sebenarnya tidak tahu berenang. Kenapa ini semua berlaku? Saya merasakan mentaliti orang tua-tua telah menyebabkan ianya berlaku. Kawasan gigi air dan dalam air dijadikan lokasi yang 'haram' dijejaki oleh anak-anak. Kononnya takut lemas.

Akhirnya anak-anak yang dilarang ini akan menggunakan peluang di belakang penjaga mereka untuk 'curi-curi' ke kawasan 'larangan' untuk berseronok. Hasilnya bertambah statistik mati lemas di kalangan masyarakat Malaysia.

Oleh itu saya menyarankan kepada rakan-rakan di luar sana, carilah peluang untuk belajar berenang daripada mereka yang berpengalaman dan berkelayakan agar anda tidak menambah statistik mangsa lemas.

Selain dapat mengurangkan risiko lemas, berenang juga merupakan aktiviti yang menyihatkan. Dengan pengetahuan berenang, sekurang-kurangnya anda dapat menyelamatkan diri anda, orang yang tersayang atau orang lain apabila keadaan terdesak.

Monday 28 April 2008

Tak Tahan La...

Nak ke tandas pun kena isi borang ka, encik? Itulah pertanyaan apabila calon-calon yang mengambil peperiksaan diminta mengisi borang sebelum meneruskan hajat mereka untuk keluar ke tandas semasa peperiksaan berlangsung.

Yang menariknya ketika saya mengawas 21 orang calon-calon pelajar matang Diploma Pengajian Sukan daripada PDRM, lebih daripada separuh [11 orang] keluar menunaikan hajat.

Pelik ya... untuk kertas selama 2 jam, calon-calon masih sempat untuk keluar 'berehat' atau ambil angin sebelum meneruskan perjuangan menghabiskan sisa-sisa soalan yang belum terjawab. Kalau saya dulu nak keluar ke tandas pun rasanya tak sempat. Rupa-rupanya baru saya tahu, keluar mengambil 'oksigen'.

Namun di akhir peperiksaan beberapa calon tadi merungut. Masa tak cukup la, encik. Mana taknya, arahan tak dibaca. Disuruh jawab dua soalan esei, dijawabnya tiga. Takkan itu pun nak diajar kot?

Friday 25 April 2008

Demam Blog

Bertambah seorang lagi warga FSR yang terkena demam blog. Beliau yang saya maksudkan adalah saudara Hasnul Faizal Hushin Amri aka YB [Yop Besar]. Jiran sebelah bilik di FSR. Blog YB memfokuskan kepada pengurusan fasiliti sukan dan rekreasi di Malaysia. Lawati blog beliau di sini. Sejarah saya terlibat dengan dunia blog ada di sini.

Marilah ramai-ramai kita meriahkan dunia blog. Dunia tanpa sempadan. Sertailah 500,000 bloggers lain yang terdapat di Malaysia. Tulislah apa sahaja yang menjadi minat anda semua untuk dikongsikan bersama. Jangan ditunggu lagi. Lontarkan idea-idea anda di dalam blog. Jangan biarkan idea anda itu berkarat begitu sahaja.

Wednesday 23 April 2008

Ujian Peringkat Tertinggi

Petang ini akan berlangsung ujian kecergasan [terakhir] bagi pemilihan atlit untuk membawa tanggungjawab FSR di Sultan Ahmad Shah Tioman Eco-Challenge 2008. Ujian ini akan dikendalikan oleh pensyarah Sains Sukan, Y.M. Raja Mohamed Firhad dan Saudara Mohd Shahril Mahmud. Masa untuk latihan telah diberikan secukupnya. Jadi kita nantikanlah detiknya petang nanti untuk mengetahui siapakah yang sebenarnya layak untuk membawa cabaran FSR ke Pulau Tioman.

Dekan FSR telah menyatakan secara 'verbal' kesanggupan pihak fakulti untuk menaja keseluruhan kos ke sana. Oleh itu kita tidak mahu satu pasukan 'cap ayam' yang akan dihantar. FSR mengharapkan pasukan yang dihantar nanti mempunyai semangat waja dan seterusnya mampu menaikkan nama FSR dan UiTM.

Tuesday 22 April 2008

Dah Mula Dah...

Yang dinanti dah tiba. Demam peperiksaan di UiTM. Cepatnya masa berlalu. Rasa macam baru beberapa minggu kuliah bermula. Realitinya di dewan peperiksaan pelajar-pelajar sedang bergelut untuk memastikan diri mereka berada di dalam kelompok yang cemerlang. Pensyarah pula akan bertindak sebagai pengawas peperiksaan. Sebenarnya dah lama saya tak mengawas peperiksaan. Hampir 5 tahun. Seronok juga. Bila dah tiga jam bosan pula. Pengawas tidak dibenarkan melakukan aktiviti lain seperti mambaca buku, majalah dan akhbar. Tugasnya adalah memastikan perjalanan di dewan peperiksaan lancar. Sahsiah rupa diri pelajar juga perlu diperiksa.


Kalau dulu boleh dikatakan setiap semester dari tahun 2000 pasti ada yang terlekat. Membawa masuk nota [toyol] atau meniru. Lepas ditangkap barulah datang merayu menangis-nangis, meratap hiba. Mereka lupa rupanya ada 'jin' la pula yang jaga peperiksaan. Saya tidak bagi muka. Zalim kan saya ini? Saya tidak mahu menganiayai rakan-rakan pelajar yang tidak meniru. Mereka yang jujur ini telah bersusah payah bersengkang mata untuk berjaya. Tetapi si pembawa toyol ini senang-senang saja terlepas. Mana boleh kan? Yang bersalah perlu diadili?

Kesimpulannya, jangan jadi antara mereka yang menganiayai diri sendiri. Kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Sesungguhnya pelanduk selalu lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Selamat Maju Jaya untuk pelajar-pelajar FSR yang sedang dan akan menduduki Peperiksaan Akhir. Berjuanglah dengan ikhlas. Semoga Allah memberkati dan merahmati perjuangan anda semua. Sesungguhnya anda merupakan harapan keluarga, agama, bangsa dan negara.

Monday 21 April 2008

Penangan 'Bidan Terjun'

Sabtu lepas saya telah diamanahkan oleh pihak pengurusan Tadika dan Taman Asuhan Kanak-kanak UiTM (TTAUiTM) sebagai pengacara (MC) untuk Sambutan Hari Sukan TTAUiTM 2008. Inilah pertama kali dalam hidup saya menjadi MC. Nak ditolakpun susah juga sebab Cikgu Siti dan Cikgu Aishah dah merayu. Kata mereka takada orang lain lagi. Kami nak bapa Kamilia jugak. Tawaran dan persetujuan dinyatakan secara verbal sahaja.

Saya bayangkan diri seperti 'penghibur' ketika acara sukan berlangsung. Semua tumpuan sudah tentulah pada saya, hehehe... selain daripada kanak-kanak yang akan 'bertarung' di tengah padang. Rupanya telahan saya salah. Tak semudah yang disangka. Ada tetamu terhormat yang hadir. Isteri VC la pulak, Datin Seri Hajjah Zahariah bte Mohamed. Kelam kabut juga la saya dibuatnya. Sebelumnya saya diminta jadi MC untuk sukan sahaja, sekarang untuk perasmian pula. Ini yang susah, tak berapa nak biasa dengan majlis berprotokol ini. Silap sebut nanti ada yang terasa. Skrip pun tak ada. Aturcara perasmian pun tak jelas. Siapa nak dirujuk?

Siapa yang akan membaca doa? Tak ada orang! Haji-haji yang hadir pun tak nak menyatakan persetujuan membaca doa. Majlis dah nak mula. Takpa la biar MC yang 'gila kuasa' ini buat semua. Orang kata: One man show.

Biarpun terdapat sedikit cacat cela di dalam majlis perasmian tempohari, saya tetap bersyukur kerana diberi kekuatan untuk meneruskan majlis. Kalau orang lain tentu dah cabut kot. Mana nak letak muka, kalau saya mengumumkan acara penyampaian cenderahati kepada perasmi tetapi rupa-rupanya burung dalam sangkar yang dilepaskan [simbolik perasmian]. Namun saya buat muka selamba ja sebab tak nampak apa yang berlaku sebab tempat tu terselindung. Majlis perlu diteruskan. Nasib baik tak ada kejadian yang tak diingini berlaku [seperti dilempar telur busuk ka].

Pagi tu juga saya sendiri yang kena mengendalikan sendiri PA system. Ada guru tadika di situ memaklumkan, memang setiap tahun mereka sendiri yang akan mengendalikannya, orang fasiliti biasanya pasang dan tinggalkan PA system itu. Nasib baik ada Malin dan Shawn yang datang membantu kemudiannya, jadi mudahlah sedikit tugas saya dan banyaklah lagu-lagu yang termuat dalam telefon bimbit mereka yang berkumandang sepanjang majlis berlangsung. Ribuan terima kasih kasih kepada Hasbullah yang secara sukarela membantu menjadi pelepas untuk acara sukan yang dijalankan.

Pasukan yang disertai oleh saya, Hasbullah, Malin[jemputan] dan beberapa orang wakil bapa juga telah memenangi acara tarik tali dengan strategi yang diatur oleh Malin. Walaupun hadiahnya tidak seberapa tetapi kepuasan kerana program berjalan lancar dan berjaya mencapai matlamatnya melebihi segalanya.

Foto sekitar Sambutan Hari Sukan TTAUiTM 2008




Friday 18 April 2008

Gigi Punya Angkara

Dah lama saya memendam hasrat untuk berkunjung ke Klinik Pergigian. Kesibukan tugas menjadi penghalang utama. Kali terakhir adalah pada 15 Februari 2007. Itu pun seminggu sebelum berangkat ke Australia. Rupa-rupanya kedua-dua tampalan yang telah tercabut daripada gigi saya semasa di Australia telah meninggalkan lubang yang besar. Tak mampu nak ke klinik gigi di sana menyebabkan saya mengambil keputusan tunggu sehinggalah pulang ke tanahair. Hari ini, sebahagian daripada masalah itu telah selesai. Kini saya menunggu panggilan daripada Klinik Pergigian Fakulti Pergigian UiTM untuk temujanji seterusnya.

Kos pergigian yang terlalu mahal di Australia menyebabkan rakyatnya sanggup terbang ke Indonesia atau negara Asia lain untuk berjumpa dengan doktor gigi. Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah subhanahu wataala mengajar di UiTM dengan rawatan pergigian boleh dilakukan di Klinik Pergigian UiTM atau di Fakulti Pergigian dengan bayaran yang paling minima. Jimat banyak oooo.

Rakan Maya

Bertambah seorang lagi rakan blog saya.

Pagi ini Kak Sarimah, rakan sekerja di FSR menyatakan hasrat untuk mempunyai blog sendiri. Tanpa membuang masa saya, gunakan ilmu asas untuk menghasilkan blog yang saya ada untuk dikongsikan bersama beliau. Barulah beliau tahu betapa mudahnya untuk menghasilkan blog sendiri. Kalau sebelum ini beliau hanya menjengok dari satu blog ke blog yang lain, hari ini tidak lagi. Kak Sarimah sudah mempunyai blognya sendiri.

Dengan pengalaman yang lama dalam bidang penulisan yang Kak Sarimah punyai, saya menjangkakan blog beliau akan menjadi sebuah blog yang menarik untuk dilawati suatu hari nanti.

Thursday 17 April 2008

Tugas Tambahan

Dari pagi tadi saya bersama sekumpulan pensyarah berkumpul untuk menyemak semula pelan pengajian program Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi (SR111). Program ini telah dihentikan sementara pengambilannya empat tahun yang lalu. Atas dasar keperluan dan permintaan, pihak fakulti telah memberi amanah [biarpun tiada hitamputih]kepada saya dan beberapa orang pensyarah untuk membuat semakan semula. Antara yang terlibat pada pagi ini adalah PM Mus, Maizan dan Ali. YB yang sepatutnya mengetuai kami semua tidak dapat hadir kerana Cuti Kecemasan.

Program Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi perlu diaktifkan semula. Penuntut-penuntut bagi diploma ini akan ditempatkan di UiTM Kampus Menggatal, Sabah. Itu cadangan awal. Dah ada ura-ura Kampus Jengka pun menginginkan program ini.

Negeri di Bawah Bayu menjadi lokasi pilihan kerana bentuk mukabuminya yang bersesuaian sebagai 'makmal' untuk pelajar-pelajar mendalami ilmu sukan dan rekreasi luar.

Dalam melakukan penyemakan pelan pengajian tersebut, sesuatu bermain di benak fikiran saya. Siapalah agaknya calon pensyarah yang akan mengajar di sana ya?

Tuesday 15 April 2008

Please Sir…

Begitulah ungkapan yang keluar daripada mulut calon-calon yang saya reject atas alasan mereka perokok tegar. Itu prinsip saya. Calon yang merokok tidak akan saya ambil sehinggalah mereka berjanji untuk berhenti. Biarpun mereka atlit harapan negeri atau negara. Sudah semestinya juga mereka ini merupakan harapan ibu dan ayah masing-masing. Zalim ka saya ini! Saya ceritakan kepada calon-calon tersebut kenapa saya bertindak begitu. Sepatutnya mereka yang terlibat dengan sukan menghindari rokok. Jauhi rokok daripada kehidupan mereka. Mengamalkan cara hidup sihat. Barulah boleh dijadikan contoh dan idola kepada masyarakat.

Namun saya berjanji kepada calon-calon berkenaan, sekiranya mereka berjanji untuk berhenti merokok, maka merekalah akan menjadi calon utama yang akan saya masukkan ke dalam senarai DISOKONG SEPENUHNYA. Tetapi saya hampa kerana tidak seorangpun daripada mereka berani berjanji. Maka pulanglah mereka tanpa mendapat tempat di hati saya.

Adakah saya telah melanggar Hak Asasi Manusia?

Bukit Sekilau dalam Kenangan

Ini merupakan kali pertama saya ke Kampus Kota UiTM Bukit Sekilau. Bagaimanalah agaknya keadaan di sana? Itulah yang sentiasa bermain di kotak fikiran saya di sepanjang pemanduan ke sana tiga hari lepas. Saya mendapat maklumat awal daripada En Wan Roslin dan Puan Noor Aini [(kedua-dua mereka merupakan pegawai di pusat sukan UiTM Jengka –lebih kurang 2 jam perjalanan ke Bukit Sekilau) tentang kemudahan yang serba kekurangan di kampus Bukit Sekilau. Mereka bertanya saya, “Kenapalah Encik Hisyam nak temuduga calon dan buat ujian kecergasan di Bukit Sekilau… kampus kami di Jengka lagi lengkap kemudahan”. Tambah mereka lagi, “Jengka terletak di tengah-tengah negeri Pahang jadi senang sekiranya calon-calon dari seluruh Pahang hendak berkumpul... mini stadium pun ada”. Saya nyatakan kepada mereka berdua, “Saya ni hanya menurut perintah...ke mana dihantar, ke situlah saya”. Kedua-dua mereka bertanyakan soalan yang sama kepada saya, “Takkanlah pensyarah penemuduga dahulu tak maklumkan kepada fakulti tentang kekurangan dari segi kemudahan di Kampus Sekilau”. Jawapan saya mudah, “Itu saya tak tahu, sepatutnya tentulah ada laporan... takkan tak belajar dari pengalaman lepas-lepas kot”. Tapi saya memujuk diri untuk memastikan kejayaan proses temuduga dan ujian kecergasan kali ini biarpun sudah dimaklumkan tentang rintangan yang saya akan hadapi nanti.

Benar bagai dikata dan dijangka, tiada kemudahan untuk ujian kecergasan. Stadium Darul Makmur yang terletak berhampiran Kampus Bukit Sekilau perlu disewa. Jadi saya Encik Wan Roslin memilih jogging track di Taman Gelora berhampiran Kolej IKIP untuk dijadikan lokasi ujian kecergasan. Calon-calon terpaksa dibawa dari Kampus Sekilau tepat jam 8.30 pagi dengan menggunakan bas UiTM [pemandunya Pak Usu] ke lokasi ujian kecergasan yang mengambil masa 10 minit. Saya seterusnya membawa calon-calon membuat orientasi kawasan yang akan digunakan untuk ujian kecergasan selepas selesai sesi taklimat, memanaskan badan dan regangan. Alhamdulillah dengan pertolongan daripada kakitangan Pusat Sukan UiTM Pahang yang diketuai oleh Encik Wan Roslin dengan dibantu oleh Puan Noor Aini dan Hajah Afzan maka sesi ujian kecergasan telah selamat dijalankan. Terima kasih tidak terhingga juga kepada Khir, Ian, Isma, Ayie dan Munzir [pelajar-pelajar UiTM Kampus Jengka] serta Alif dan Jad [pelajar UiTM Malaysia yang kebetulan pulng bercuti] yang sanggup meluangkan masa membantu biarpun sibuk dengan tanggungjawab mentelaah pelajaan di kala cuti minggu mengulangkaji.

Sesi temuduga pula ada cabarannya yang tersendiri. Pihak pentadbiran UiTM Kampus Bukit Sekilau gagal menyediakan kemudahan untuk sesi tersebut. Rasa-rasa saya dah dimaklumkan. Tiada penunjuk arah untuk memaklumkan calon tentang bilik temuduga. Terpaksalah saya bersama Encik Wan Roslin menjadi ‘Belanda’ . Tengok bilik yang kosong aja, terus kami pilih dan susun sendiri meja dan kerusi agar nampak seperti bilik temuduga. Nasib baik pelajar-pelajar yang membantu ujian kecergasan tadi belum pulang. Dapatlah kami meminta jasa baik mereka untuk mempercepatkan proses temuduga yang dijalankan. Alhamdulillah, tepat jam 5.30 petang, kesemua calon yang hadir selesai ditemuduga.

Foto-foto di sekitar Sesi Ujian Kecergasan




Friday 11 April 2008

Macamanalah Agaknya Ye?

Saya akan ke Kuantan dari 12 hingga 14 April 2008. Tujuan untuk sesi temuduga dan ujian kecergasan untuk kemasukan pelajar-pelajar baru Diploma Pengajian Sukan. Macamanalah agaknya di sana ya? Saya pun baru pertama kali ke UiTM Kampus Kota di Bukit Sekilau, Kuantan. Tunggu ajalah laporannya nanti. Tentu ada yang menarik di sana. Doakan perjalanan saya selamat pergi dan kembali serta diberkati. Amin

Menariknya

Hari ini saya digandingkan dengan Cik Maizan untuk menilai pembentangan ‘Business Plan’ oleh pelajar FSR untuk kursus ‘Fundamentals of Entrepreneurship’. Kumpulan pertama membentangkan tentang syarikat mereka Out_Thinkers Outdoor Centre. Menariknya mereka terdiri daripada kumpulan pelajar Sarjana Muda Sains Sukan yang tidak mempunyai pengalaman secara formal dan pengalaman yang kurang dalam bidang rekreasi. Kerana mula minat dengan rekreasi luar mereka bersepakat untuk membentangkan ‘Business Plan’ berkaitan perniagaan rekreasi luar. Kumpulan kedua pula tentang World Silat Academy. Menarik juga kerana mereka mempunyai pengalaman tersendiri di dalam bidang persilatan.

Kumpulan ketiga dan keempat pula terdiri daripada pelajar Diploma Pengajian Sukan. Dah lain pula jadinya. Dengan kreativiti pembentangan tersendiri Kumpulan Frozen Zone Sdn Bhd membentangkan tentang perniagaan ‘Frozen Food’. Dah la tak breakfast, ditayang pula dengan kuih muih kumpulan ini. Tercabar juga perut kedua-dua penilai ini. Pembentangan ini nampak lebih realistik dan menarik biarpun daripada pelajar Diploma. Akhirnya kami dijamu dengan kuih muih yang ‘dilayur’ di hadapan kami. Kumpulan terakhir membentangkan tentang perniagaan Soapy Rides Car Wash.


Apa yang boleh saya katakan di sini, pelajar-pelajar di FSR ini sebenarnya serba boleh. Ssegulung ijazah dan diploma itu hanyalah tiket untuk meneroka pelbagai bidang yang lebih mencabar di luar sana. Peluang untuk membuat kajian tentang peluang perniagaan yang luas terbuka di luar sana menjadikan pelajar-pelajar ini lebih bersedia menghadapi dunia luar. Semoga ada di antara pelajar-pelajar ini menjadi ahli perniagaan bumiputera yang berjaya suatu hari nanti. Insyaallah.

Thursday 10 April 2008

Sandiwara Dunia

Hari ini sekali lagi rekod tercipta. Saya terpaksa membawa sendiri peralatan untuk amali mendaki tembok. Secara tradisinya pelajar yang kan meminjam dan memulangkan peralatan. Apa dah jadi? Bukan apa pelajar sibuk sangat. Saya tak sanggup melihat amali terakhir untuk semester ini dibatalkan kerana kegagalan mendapatkan peralatan. Jadi tak apalah sekali sekala biar saya pula yang secara sukarela membawa peralatan tersebut untuk amali di Pusat Sukan Ekstrem (PSE) Seksyen 13 Shah Alam. Biar pelajar pula datang berlenggang.

Ketika saya tiba di PSE pada jam 8.45 pagi, masih belum nampak kelibat pelajar-pelajar saya. Rupa-rupanya mereka semuanya masih menunggu di Stor Peralatan Rekreasi. Takkan tak tau kot? Atau buat-buat tak ingat? Maa janji kita 2 mingu lepas? Juga dah saya maklumkan minggu lepas. Takpa saya tak marah... suka.
Kesemua mereka sampai tepat jam 9.15 pagi. Saya mulakan dengan teorinya dahulu sementara menantikan Azmi, Shawn dan Yasir memasang tali.

Alhamdulilah kesemua pelajar berjaya mendaki hingga ke atas.



Jasamu Dikenang

Tak sah sekiranya saya tidak mengucapkan kata keramat TERIMA KASIH kepada kesemua mereka yang banyak membantu saya di dalam menjayakan Amali Perkhemahan Akhir di Tasik Kenyir. Kesudian Dekan untuk memberi kelulusan sangat-sangat saya hargai. Seterusnya beliau juga sudi untuk merasmikan upacara pelepasan pelajar-pelajar untuk ke Tasik Kenyir. Walaupun beliau sibuk dengan jadual tugas, tuan Dekan juga berjaya meluangkan masa untuk ‘turun padang’ melawat para peserta di tapak perkhemahan di Kenyir Sanctuary Resort. Ini telah memberikan semangat baru kepada para peserta setelah bersengkang mata dan berpenat lelah menjalani aktiviti yang padat.

Cik Sue (bekas Timbalan Dekan) yang sekali lagi berjaya meluangkan masa berkhemah biarpun sibuk dengan pengajian peringkat PhD beliau. Seperti tidak sah Amali Perkhemahan Akhir tanpa kehadiran Cik Sue kerana para Alumni dan fasilitator sentiasa menantikan kemunculan beliau.



Pendatang baru dalam ‘Final Camp’ adalah saudara Hosni dan Saudara Shahril telah menambahkan lagi koleksi pensyarah yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama pelajar-pelajar di luar daripada bilik kuliah.

Kedua mereka juga diterima dengan senang hati oleh para fasilitator dan peserta. Tidak dilupakan juga kepada saudara Adnan yang banyak membantu mmpermudahkan kerja saya berkaitan peralatan aktiviti. Kehadiran beliau telah menjadikan Amali Perkhemahan Akhir mendapat ahli keluarga baru.





Saudara Mazlin Othman yang hadir bersama Nurul Safinas [isteri] dan Maisarah [cahayamata] telah banyak membantu saya di dalam merencanakan program untuk pelajar diploma. Sokongan dan bantuan beliau bersama alumni PERLU seperti Yazilah, Shawn, Hafiz, Yasir, Azlina Karim dan bakal alumni Razif a.k.a Boy amat saya hargai. Mereka ini sanggup mengambil cuti tahunan dan ada sebahagiannya sanggup menggunakan bajet sendiri untuk menghadirkan diri di Tasik Kenyir. Diharapkan di lain perkhemahan akan ‘muncul’ lebih ramai alumni yang telah lama tidak bersua. Ema Syamsida yang bertugas di Sabah telah membuktikan apabila beliau muncul bersama suami dan cahayamatanya. Yang lain, bila lagi? Buang yang keruh, ambillah yang jernih... Barang yang lepas janganlah dikenang. Yang baik jadikan ikutan, buruk jadikan sempadan.

Tidak saya lupakan saudara Mohd Muqharabbin Moktaruddin di atas kesudian beliau menziarahi kami semua di Tasik Kenyir. Terima kasih di atas kesudian beliau mengisi satu slot bersama Wira Negara. Biarpun telah menjejakkan kaki ke ‘puncak dunia’ dan berbasikal mengelilingi dunia, Qobain yang saya temui kini tetap merupakan insan saya sama ketika saya kenal dulu sebelum mencipta nama. Beliau seorang yang suka merendah diri dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman dan cerita suka duka beliau kepada sesiapa sahaja yang sudi mendengar. Di Tasik Kenyir beliau merupakan jurugambar sepenuh masa [rasanya mungkin ini hobi baru beliau]. Masa lapangnya diisi dengan memancing [sanggup meminjam joran dan seterusnya membeli di Kuala Berang].

Kepada barisan fasilitator daripada Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM yang diketuai oleh Presidennya, saudara Syariman ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih. Tanpa kehadiran mereka dan bantuan yang telah mereka curahkan kepada para peserta sebelum program tentu sukar untuk program ini mencapai objektifnya. Di samping membantu saya memberi tunjuk ajar kepada adik-adik mereka, ahli PERLU juga banyak menimba pengalaman bagaimana untuk menjadi fasilitator yang lebih efisien. Barisan fasilitator kali ini juga dianggotai oleh ahli yang akan bergraduat [insyaallah] seperti saudara Firdaus a.k.a Ustat, Mustakim, Azmi dan Elham a.k.a Abe. Keempat-empat mereka ini telah mengikuti program saya bermula daripada mereka masih peringkat Diploma lagi sehinggalah akan bergraduat di peringkat ijazah. Saya mendoakan kejayaan mereka semua. Di samping itu kehadiran fasilitator dari pelbagai kemahiran di dalam kumpulan fasilitator ini sesungguhnya dapat membantu percambahan ilmu di kalangan mereka juga. Terima kasih juga khas buat Hazriq a.k.a John, Lenny, Dilla, Hafiz Hadran, Boyington, Napisah, Tengku, Pak Lah, Adzimah dan Shafizi dari PERLU UiTM.

Tak lupa untuk isteri tersayang Norliza Ali Wee dan anak-anak Kamilia Afiqah dan Kamil Afiq yang sanggup berhujan panas untuk memberi semangat. Kehadiran mereka cukup signifikan untuk menambahkan lagi kasih sayang di dalam keluarga saya.

Terima kasih semuanya... Allah sahaja bisa membalas jasa kalian semua. Amin

Wednesday 9 April 2008

Yang Dinanti Dah Tiba

Bukan senang saya nak mencuri masa nak membuat coretan untuk Amali Perkhemahan Akhir di Tasik Kenyir. Tugasan yang muncul tanpa ada titik noktah menyebabkan coretan mengenai amali tersebut terpaksa ditunda dari hari ke hari. Biarpun 'Final Camp' sudah melabuhkan tirainya lebih daripada 2 minggu yang lalu, namun pengalaman yang perolehi untuk kem ini sangat banyak. Meskipun kem ini dilaksanakan di tempat yang boleh saya katakan sebagai 'gelanggang permainan' saya sejak menjadi siswa di UPM dulu, namun kenangan bersama kumpulan yang berbeza akan menghasilkan pengalaman yang berbeza buat saya.

Nostalgia Di KOLA
Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir adalah pada 1 haribulan April tahun 1998 bersama dua orang sahabat iaitu saudara Kudult [Mohd Zainal Mohamed Arshed dan Pak Tam[Hazrul Uza Yaakob]untuk latihan praktikal selama sebulan setengah [1/4/1998 hingga 15/5/1998]. Di sini jugalah saya mendapat ramai kenalan baru seperti En Jasni, En Rosbi, Saudara Joe, Saudara Khairul, Zaza, Sudin, Saudara Mat Cook, Arwah Armie a.k.a Abu dan banyak lagi. Di Kenyir Outdoor Leadership Academy (KOLA) atau kini dikenali sebagai Kenyir Sanctuary Resort (KSR) kami belajar mengenal dan berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan rekreasi luar. Kami bertiga bertugas siang dan malam tanpa mengenal erti penat lelah kerana minat yang teramat sangat dengan aktiviti rekreasi luar. Di KOLA boleh dikatakan semuanya ada. Aktiviti air dan daratnya cukup lengkap. Yang penting kesanggupan untuk melakukannya.

Final Camp
Kalau dulu saya datang sebagai pelajar kini saya 'kembali' sebagai tenaga pengajar yang membawa bersama 52 orang pelajar subjek Rekreasi Luar. Saya dibantu oleh 16 orang fasilitator daripada Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM. Selain daripada itu seramai 7 orang Alumni FSR turut serta turun padang untuk membantu menjayakan kem pada kali ini. Barisan pensyarah yang sudi melapangkan masa untuk bersama-sama pelajar memeriahkan lagi program kali ini adalah Cik Suhana, Saudara Hosni dan Saudara Shahril. Program diceriakan lagi dengan kehadiran Dekan FSR, Prof Madya Dr Mohd Khairi bin Zawi.

Cabaran dan Dugaan
Biarpun program ini menempatkan pelajar Diploma Pengajian Sukan dan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan(Pengkhususan Pengurusan Rekreasi)di lokasi yang sama, namun aktivitinya adalah berbeza. Fasilitatornya juga berbeza. Cabaran dan dugaan juga berbeza.

Dari awal lagi peserta perkhemahan terkejut apabila dimaklumkan tapak perkhemahan mereka telah diubah ke kawasan belukar dan semak berbanding dengan pilihan awal mereka ketika datang untuk survei. Di atas kecekalan para peserta, kawasan yang sebelumnya dianggap mustahil untuk didirikan khemah dan 'berkampung' telah menjadi kawasan yang 'sayang' untuk ditinggalkan. Manakan tidak, kawasan yang sebelumnya berbonjol kini rata, yang semak kini cerah dan yang kotor menjadi bersih. Semuanya berkat kerjasama semua peserta. Sebenarnya tiada yang mustahil sekiranya segala kerja dijalankan secara bergotong royong dan bertolak ansur.

Tidur? Ini bukanlah tempatnya untuk peserta datang dan nyenyak beradu. Mereka perlu bekerja siang dan malam. Perkhemahan selama 5 hari terlalu singkat untuk mengumpul ilmu berkaitan rekreasi luar. Masa perlu digunakan secara sepenuhnya. Namun masa rehat tetap diperuntukkan untuk mengelakkan pelajar hilang fokus dan berlakunya kecederaan.
Alhamdulillah selesai perkhemahan tiada peserta dan fasilitator yang tercedera atau ditimpa kemalangan.

Terima kasih daun keladi
Sebenarnya banyak kenangan yang ingin saya catatkan di sini. Namun masa saya begitu terhad. Saya boleh menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri perubahan yang berlaku pada para peserta. Selama 5 hari berkampung dan dalam suasana yang agak tertekan, karakter sebenar seseorang individu juga akan 'tertonjol' dengan sendiri. Tiada apa yang dapat diselindungkan lagi. Namun ada juga yang boleh 'berlakon' tanpa mengetahui diri mereka sedang diperhatikan. Moga mereka mendapat hidayah daripadaNYA.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dekan FSR di atas sokongan dan kepercayaan beliau yang tidak berbelah bahagi. Barisan pensyarah yang sudi hadir tidak akan saya lupakan peranan mereka. Pengorbanan Alumni PERLU dan FSR yang sudi mengambil cuti tahunan tidak akan saya lupakan juga. Di samping itu kehadiran PERLU sangat-sangat membantu di dalam menjayakan program saya. Khidmat mereka akan sentiasa diperlukan di dalam program perkhemahan saya. Jazakallahi khathira.

Sekitar Gambar Perkhemahan Pelajar Diploma










Sekitar Gambar Perkhemahan Pelajar Ijazah

















Monday 7 April 2008

Kali Pertama


Mungkin dah basi kot? Inilah yang bermain di pemikiran saya apabila ingin mengenangkan kembali kenangan semasa ke Tanjung Gosong. Dah lama sangat dah program ini berakhir baru sekarang nak dibuat laporannya.

Ceritanya bermula apabila saudara Sadek (Koordinator Program Usahasama FSR) meminta saya ke Pahang untuk menilai Amali Perkhemahan Akhir Rekreasi Luar Kolej-Kolej Bersekutu. Ini kerana kedua-dua kolej yang terlibat iaitu Kolej Shahputra dan INSTEDT telah menggunapakai Program Diploma Pengajian Sukan [SR113] daripada UiTM sebagai salah satu daripada program yang ditawarkan oleh kolej mereka. Siswa-siswi SR113 pula perlu mendaftar untuk subjek wajib iaitu Rekreasi Luar. Maka terpaksalah atlit-atlit ini yang sebahagian besarnya tidak biasa dengan kehidupan di kawasan perkhemahan, berkampung selama 4 hari 3 malam di Pusat Kokurikulum Tanjung Gosong, Pahang. Seramai 54 orang pelajar telah menghadiri amali ini dengan 6 orang pensyarah yang turut serta membantu menjayakan program ini. Pada tahun ini kedua-dua kolej telah bersepakat untuk menjadikan Kolej Shahputra atau negeri Pahang sebagai tuan rumah. Tetapi lain pulak jadinya. Akibat kekurangan atau lebih tepat lagi tiada fasilitator, saya pulak terpaksa mengambil alih tugas fasilitator. Nasib baik ada Mustakim, Usop dan Bin yang banyak membantu serta tidak dilupa juga para pensyarah dari Kolej Shahputra yang banyak memainkan peranan di dalam menjayakan amali ini.

Penilaian keseluruhannya saya berkenaan program ini mudah sahaja:-
1. Pihak penganjur perlu mengadakan persediaan yang lebih rapi di dalam merancang program dan aktiviti secara keseluruhannya. Peta yang tidak mencukupi dilihat sebagai kelemahan [ia hanya cukup untuk kumpulan sahaja - fasilitator tiada peta untuk dirujuk sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan].

2. Ketiadaan fasilitator yang berkebolehan dilihat telah merencatkan aktiviti yang ingin dijalankan. Fasilitator yang dijanjikan oleh pengurusan Pusat Kokurikulum Pahang tidak muncul-muncul sehinggalah program tamat. Adakah pihak penganjur menghubungi pihak Pusat Ko sebelum program untuk memastikan kehadiran para fasilitator?

3. Kedua-dua kolej juga mempunyai kekangan dari segi peralatan untuk aktiviti. Peralatan untuk aktiviti diperlukan oleh kedua-dua kolej untuk memastikan produk yang mereka hasilkan sama seperti di induk [Shah Alam] iaitu dari segi ilmu dan pengalaman berekreasi. Kedua-dua kolej perlu memperuntukkan bajet untuk membeli peralatan asas perkhemahan, peralatan tali temali dan peralatan orienteering.

4. Saya kurang berkenan dengan jurulatih daripada sebuah organisasi menyelamat yang datang membantu [dibayar]. Saya ada bukti yang boleh menunjukkan mereka tidak memakai peralatan keselamatan ketika bertugas sebagai 'dispatcher' untuk aktiviti abseiling. Katalah ada peserta yang gayat dan turut sama menarik anggota Bomba terbabit, tentu ia akan jadi isu besar. Sepatutnya sebelum kita memastikan orang lain selamat kita hendaklah memastikan diri kita dulu yang selamat. Bukannya kita yang 'terselamat'.
Oleh kerana itu dalam bahasa mudahnya, adalah lebih baik sekiranya pihak kedua-dua kolej bersekutu terbabit melatih para pensyarah dan pelajar-pelajar yang berkebolehan untuk bertugas sebagai fasilitator. Ini akan dapat memastikan objektif program yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

5. Kenderaan 'standby' tiada. Nasib baik ada kenderaan pensyarah dan kereta rasmi daripada UiTM induk. Kenderaan ini diperlukan ketika aktiviti dan di kala kecemasan. Adakalanya ketika kecemasan khidmat pemandu yang berkemahiran dan cukup rehat diperlukan untuk menghantar pesakit ke hospital atau klinik berhampiran [pensyarah dan fasilitator kebiasaannya akan keletihan mengendalikan program]

6. Pengetahuan tentang kawasan yang ingin dijalankan aktiviti juga diperlukan oleh penganjurdan fasilitator. Ini bagi memastikan tidak berlaku kes kehilangan, lemas ketika pasang surut [aktiviti di air] dan sebagainya. Program juga perlu dimaklumkan kepada Balai Polis dan Hospital berhampiran. Tak lupa juga kepada masyarakat setempat melalui Tok Penghulu.

Bukan niat saya untuk mencari kesalahan. Hanya untuk berkongsi kelemahan yang ada ruang untuk sama-sama diperbaiki. Melalui penilaian di atas diharapkan pihak penganjur dapat berusaha mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang ada daripada program tempohari dan memastikan ianya tidak berulang lagi. Janganlah sehingga ada peserta yang cedera atau kehilangan nyawa barulah kita hendaklah menyalahkan antara satu sama lain. Kita tak mahu ada ibubapa/penjaga yang menangis dan meratap hiba akibat kecuaian kita di dalam mengendalikan kem, nauzubillahiminzalik.

Antara foto-foto yang sempat dirakamkan disepanjang program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam.