Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Showing posts with label nasihat. Show all posts
Showing posts with label nasihat. Show all posts

Friday, 26 February 2016

Tidak Punya Kasut Baru

Dulu-dulu saya sering merungut apabila mak dan abah tak mampu membeli sepasang kasut baru berjenama untuk dipakai seperti yang dipakai oleh kawan-kawan yang mampu. Pada ketika itu saya tak sedar bahawa ada lagi 'rakan-rakan' di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli sepasang kasut malahan mereka ini TIDAK JUGA PUNYA KAKI untuk menyarungkan kasut yang ingin mereka miliki.

Maka rakan-rakanku sekalian bersyukurlah dengan dugaan kecil(kemiskinan) yang Allah turunkan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Allah mahu kita berusaha lebih untuk berjaya. Janganlah kita bersangka buruk dengan Allah.

Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk untuk kita hadapi, hinggakan kadangkala kita terlupa bahawa ada insan lain yang jauh lebih teruk dugaannya daripada kita. Sedarilah Allah swt hanya menguji setakat yang hambaNya mampu sahaja.

Filem Pendek terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah di bawah tidak jemu saya ulang lihat berkali-kali sehari dua ini. Ianya cukup menginsafkan. Anak kecik yang diajar ibunya agar tidak meminta-minta biarpun hidup serba kedaifan tetapi punya semangat, ketabahan dan iltizam untuk meneruskan persekolahan.


Friday, 19 June 2015

Syukur Atas Segalanya

1. Acapkali kita merungut apabila tak mampu membeli sepasang kasut baru untuk dipakai di hari pertama persekolahan seperti yang dipakai oleh kawan-kawan kita yang mampu, tetapi sedarkah kita bahawa ada rakan-rakan kita di luar sana yang bukan sahaja tidak mampu untuk membeli sepasang kasut malahan mereka ini tidak juga punya kaki untuk menyarungkan kasut yang ingin mereka miliki.

2. Maka rakan2ku sekalian bersyukurlah dengan dugaan kecil yang Allah turunkan kepada kita. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita. Janganlah kita bersangka buruk dengan Allah. Rajin-rajinlah ucapkan Alhamdulillah...
 

3. Kita jangkakan dugaan yang Allah turunkan pada kita itu sudah terlalu teruk untuk kita hadapi, hinggakan kadangkala kita terlupa bahawa ada insan lain yang lebih teruk dugaannya daripada kita. 

4. Sedarilah Allah swt hanya menguji setakat yang hambaNya mampu sahaja. 

5. Video yang di bawah ini tidak jemu saya tonton berulangkali. Ianya cukup menginsafkan. Kisah si-anak kecik yang diajar oleh ibunya agar tidak meminta2 meskipun hidup di dalam kedaifan. Sama-sama kita hayati akan mesej yang cuba disampaikan.


 

Thursday, 14 February 2013

Tanggungjawab Kita





Jangan salahkan individu di atas, dia memang seorang yang jahil tentang Islam. Maka menjadi tanggungjawab kitalah sebagai umat Islam untuk mendekati golongan sebegini dan seterusnya menunjukkan (bukan menunjuk-nunjuk) atau menzahirkan akhlak dan peribadi Muslim yang terbaik di samping memberi kefahaman terhadap nilai Islam yang sebenar. Kejahilanlah yang menyebabkan mereka ini menentang Islam, mereka tidak faham akan kesucian Islam. Menjadi lebih parah lagi apabila umat Islam sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai Muslim sejati hingga  agama suci ini terpalit dek 'kebusukan' akhlak umatnya sendiri. 

Kalau diimbas kembali sejarah di zaman Rasulullah S.A.W mula menyebarkan ajaran Islam secara terang-terangan dahulu, Saidina Umar al-Khattab pula kuat mempertahankan ajaran turun temurun masyarakatnya. Beliaulah yang paling keras menentang Islam pada ketika itu. Namun dengan hidayah yang Allah kurniakan kepada beliau, akhirnya beliau memeluk Islam dan berjanji pula untuk melindungi Islam sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.  Kisah seterusnya tentang sahabat Rasulullah S.A.W yang dijamin masuk syurga ini ada di sini.


Daniel Streich, seorang ahli politik di sebuah negara Eropah sangat terkenal dengan kekerasannya di dalam kempen menentang pembinaan masjid di negaranya, namun hidayah Allah hadir bersamanya di mana tanpa disangka-sangka beliau telah memeluk agama Islam. Selepas pengislamannya, beliau pula aktif memperjuangkan hak pembinaan masjid di negaranya. Kisah pengislaman Streich ada di sini.

Kisah Shive Prasad yang berasal dari Faisabad, daerah di mana terletaknya masjid Babri di India turut menyentuh rasa di awal pengislamannya. Prasad merupakan antara dalang utama di sebalik runtuh dan musnahnya Masjid Babri. Beliau hidup penuh kegelisahan selepas peristiwa meruntuhkan masjid tersebut. Namun kegelisahannya berakhir berkat hidayah Allah swt. Alhamdulillah... ketenangan yang dicari beliau perolehi selepas memeluk Islam. Kisah runtuhnya masjid umat Islam di India dan kisah Prasad memeluk Islam atau nama Islamnya Mohammed Mustafa ada di sini.

Banyak lagi kisah-kisah menarik yang berlaku kepada penentang-penentang Islam yang kemudiannya dikurniakan Allah dengan hidayahNya untuk memeluk Islam. Maka tugas kitalah umat Islam untuk sama-sama mendekati mereka dan menzahirkan akhlak yang terpuji. Di samping kita berdakwah (berusaha), kita berdoa kerana Allah berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya. Wallahu'aklam.



Thursday, 12 July 2012

Usah Membazir!

Kalau diikutkan kepada pengalaman sebagai pelajar berkeluarga di negara asing ini, membawa ahli keluarga untuk makan di luar adalah suatu aktiviti yang jarang sekali dapat kami lakukan. Kebanyakan kami sebaik mungkin akan cuba berjimat dengan membeli barang mentah, memasak dan seterusnya makan di rumah sendiri sahaja.

Kalau di Malaysia dengan kesibukan ibubapa mencari rezeki kebiasaannya hujung minggu sahajalah dapur akan 'berasap'. Selainnya... order dari restoran sahaja la. Dibungkus tomyam ayam dibawa pulang dan ditanak nasi... jadilah juadah makan malam anak beranak.

Namun adakalanya di Melbourne keinginan untuk 'melayan' anak-anak berubah selera dengan makan di restoran turut tidak dapat dihindari. Tak boleh la dok syok sendiri belajar sahaja sehingga lupakan anak dan isteri yang menjadi sumber motivasi dan inspirasi. Kenalah layan bawa makan di luar jugak. Tambahan pula di kawasan sekitar luar bandaraya Melbourne ini banyak restoran yang menyajikan makanan halal kalau nak dibandingkan dengan Bendigo dahulu. Maka tercari-carilah kami kedai-kedai makan yang agak kena dengan selera dan kemampuan. Restoran kebab menjadi pilihan.


Dalam tiga kunjungan saya ke sebuah restoran kebab berhampiran Illim College, Dallas (pinggir bandaraya Melbourne)saya sekeluarga kerapkali dapat melihat situasi di mana muslim yang susur galurnya dari Timur Tengah makan di situ. Kebanyakan daripada pelanggan di situ adalah muslim yang saya rasakan telah mendapat taraf penduduk tetap Australia. 'Pak Arab' dan 'Mak Arab' ini saya lihat akan membuat pesanan makanan seperti kebab kambing/ayam, roti, sup, kentang goreng dan lain-lain lagi yang penuh satu meja. Kebiasaannya mereka tidak akan melepak lama di restoran. Usai makan mereka ke kaunter membuat bayaran dan meninggalkan sisa makanan yang seperti belum disentuh orang. Aduhai sayangnya rezeki. Mereka ini terlalu kufur nikmat. Memanglah bagi mereka makanan yang dipesan itu murah kalau diikutkan matawang mereka berbanding kita nie 'pendatang'. Tapi janganlah sampai 'semeja' makanan ditinggalkan tak disentuh. Menangis rezeki Allah tu. Saudara SYAITAN namanya tu! Tak mampu menuturkan di mulut... dalam hati sahajalah. Kitakan 'pendatang' tak boleh lebih-lebih.

Saudara syaitan! Kasar bunyinya kan, tapi itulah kenyataannya. Amalan suka membazir ini sememangnya dilarang di dalam Islam sehinggakan orang yang suka membazir ini diibaratkan sebagai saudara syaitan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Isra' ayat 27 yang bermaksud,"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada TUHAN."

Rentetan daripada pengalaman di atas marilah kita bermuhasabah diri. Jauhilah pembaziran kalau kita mengaku beriman kepada Allah SWT. Jangan jadi saudara syaitan. Tambahan pula bulan Ramadhan yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi, marilah kita berpesan-pesan supaya menjauhi pembaziran dan memperbanyakkan sedekah.

Wednesday, 20 June 2012

Gegaran Terasa

Terkejut saya semalam sekitar jam 8.45pm dek kerana ruang di dalam rumah bergegar. Rumah separa kayu di lereng bukit yang baru empat bulan lepas kami sekeluarga inap dan sewa bergegar seakan bergoyang. Saya sangkakan ada trak gergasi yang bergerak berhampiran rumah ataupun angin kencang yang sememangnya sering bertiup beberapa hari kebelakangan ini. Hampir 30 saat juga gegarannya. Kamil dan Kaisara yang sedang 'kecoh' memilih toys dari katalog jualan murah Target di ruang tamu juga terdiam. Kami berpandangan tiga beranak. Keduanya mula duduk berhimpit antara satu sama lain. Tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. "Mungkin angin kuat kot...", saya cuba mententeramkan kedua beradik itu.

Tak sampai beberapa minit kemudian saya mendapat beberapa mesej daripada rakan-rakan di sekitar Melbourne. Semuanya bertanya dan menceritakan pengalaman tentang gegaran yang sebentar tadi kami sekeluarga rasai.

Jangkaan awal saya bahawa gegaran rumah kami terhasil dari angin kuat dan trak besar itu rupanya salah. Rupa-rupanya gempa bumi berukuran 5.3 magnitud telah berlaku dan berpusat di Moe, Gippsland iaitu kira-kira 150km (2jam perjalanan) sahaja dari Mill Park. Sesungguhnya begitu hampir dengan kami.

Allahuakbar... aku cuba 'lari' dari sambung belajar di Christchurch yang sememangnya kerap berlaku gegaran beberapa bulan sebelum berangkat, namun di Melbourne pula gegaran 'muncul'.



Kalau diikutkan inilah pengalaman pertama kami sekeluarga merasai gempa bumi. Semasa di tanahair pun saya tak pernah ada pengalaman merasai gegaran dek gempa bumi walaupun beberapa tempat di tanahair pernah merasai kesan gegarannya.

Banyak iktibar yang boleh diambil dari pengalaman singkat ini.Sesungguhnya kita sebagai rakyat Malaysia dan terutamanya yang berada di tanahair sebenarnya terlalu beruntung kerana masih dipelihara daripada gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi, peperangan, kemelaratan dan huru-hara yang melanda sebahagian daripada masyarakat dunia. Begitu saya hargai bagaimana selamatnya rakyat negara kita untuk bebas bergerak ke sana ke mari di samping makan minum dan segala keperluan asas yang lebih daripada mencukupi.


Segala nikmat yang telah Yang Maha Kuasa kurniakan ini hendaklah kita syukuri dengan meningkatkan lagi ketaatan dan ketakwaan kepada-Nya sambil terus mengharapkan belas ehsan dan rahmat daripada-Nya. Di saat dunia akhir zaman yang semakin uzur dan hampir dengan kemusnahan ini, perlu juga saya dan penjengok-penjengok blog ini sekalian beringat dan berfikir bahawa kemungkinan musibah dan malapetaka yang kerap berlaku ini adalah implikasi daripada kemurkaan Allah terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak tahu bersyukur.

Moga kita semua dilimpahi oleh Allah swt dengan petunjuk, kerahmatan, keberkatan, keredhaan, kasih sayang, perlindungan & seterusnya dipelihara dari fitnah akhir zaman...InsyaAllah

Wednesday, 11 May 2011

Tak Cukup... 'aku mahu tambah'

Saya pun tak tahu kenapa begitu kerap saya menggunakan contoh ini untuk hamba Allah yang terlupa bersyukur. Saya memberi contoh bagaimana ada seorang hamba Allah ini (sihat tubuh badan) sering mengeluh mengenangkan nasibnya yang sudah lama tidak bertukar kasut. Dia mengeluh kerana menyedari dirinya tak mampu untuk membeli dan melaram dengan kasut baru. Kasut yang dipakainya juga sudah lusuh terkoyak dan patut dihukum buang dan sepatutnya dah sampai masa ditukar kepada yang baru.

Namun hamba Allah ini kembali bermuhasabah diri dan bersyukur apabila menyaksikan sendiri bagaimana 'peritnya' seorang hamba Allah lain yang langsung tidak mempunyai kaki melintasinya. Iyalah... pandangan mata hatinya telah menyaksikan bagaimana dirinya yang berkaki masih belum mahu bersyukur hanya kerana tak punya wang untuk membeli kasut baru sedangkan hamba Allah (OKU) yang baru melintasinya tadi langsung tak punya kaki untuk disarungkan kasut (itupun kalau dia mampu membelinya). Namun dia dapat menyaksikan seakan-akan hamba Allah ini ceria menjalani kehidupannya biarpun terpaksa mengengsot dek kerana kedua kakinya yang kudung hingga ke paras paha.

Ketabahan dan tidak lupa bersyukur sebeginilah menjadikan seseorang itu lebih kuat dan sentiasa berfikiran positif serta melihat sesuatu itu dengan pandangan mata hati.

Thursday, 11 November 2010

Susahnya Nak Jadi Anak Soleh!

Apa dah jadi dengan anak-anak ni. Depa taknak 'kawan' dengan makbapak lagi. Depa jadikan makbapak sebagai 'musuh'. Alahailah nasib badan. Kasihan kalau adalah ibubapa yang dapat anak-anak macam ni. Depa tak sayang kat mak ayah ka. Fuh... dahlah orang tua berdua tu bersusah payah membesarkan anak-anak ni dari tapak kaki sebesar ibu jari mak ayah depa. Depa buat perangai... macam mak ayah takdak hati dan perasaan.

Alahai kasihan sahajalah yang mampu saya ucapkan sebagai tanda simpati. Sangat sedih. Sedih betul. Janganlah jadi kat saya, saudara-mara dan rakan-rakan blogawan sekalian ya. Minta dijauhkan.

Kalau ada adik-adik, kawan-kawan dan penjengok-penjengok yang terkhilaf segeralah kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. Saya bercoret dari pengalaman hidup yang tak seberapa. Jangan sampai kedua-dua mereka terbujur kaku di pembaringan barulah kita tersedar dan inginkan keampunan mereka. Menangis hinggalah keluar air mata darah sekalipun tak akan membangkitkan mereka dari pembaringan.

Ayuh....Kita bertekad untuk Menjadi Anak yang Soleh, yang senantiasa mensyukuri pengorbanan ibu dan tidak juga melupakan jasa bapa kita.

Video di bawah untuk dikongsi. Terima kasih bro Redzuan.

Friday, 30 October 2009

Bangau oh Bangau

Kecoh jugak la di sana sini. Satu dunia sudah tahu tentang tahap keselamatan apabila beraktiviti luar di Malaysia. Itulah akibatnya apabila mengambil sikap sambil lewa di kalangan orang kita apabila beraktiviti. Seperti posting yang sebelumnya... sesungguhnya saya sangat-sangat bersimpati dengan keluarga tiga orang pelajar sekolah Dina Devi, Devadharshini dan Divya Shree yang kehilangan nyawa mereka kemalangan yang tidak diduga di Pos Dipang. Daripada laporan akhbar, pelajar-pelajar malang ini merupakan harapan keluarga dan juga merupakan pelajar harapan sekolah untuk UPSR.

Alahai jambatan gantung pulak yang disalahkan. Apalah salahnya jambatan gantung yang tak bernyawa tu. Jambatan tu tak ada suara untuk menjawab.

Hah! Tanya cikgu-cikgu dan pihak penganjur tu di mana depa berada ketika kejadian berlaku. Depa ni boleh menjawab. Masukkanlah dalam laporan akhbar dan siaran berita. Baru orang tahu, rupa-rupanya cikgu-cikgu tu sedang melayan kerenah ratusan lagi pelajar lain di kem tersebut. Daripada pembacaan dan pemerhatian saya, belum ada lagi laporan tentang kedudukan mereka tragedi berlaku. Sensasi ni.

Sepatutnyalah orang dewasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk berada di kem ini berusaha untuk memantau, menyelia dan mengawal 22 orang peserta-peserta yang sememangnya tengah naik 'syeh' nak menyeberang Sungai Kampar tu. Tambahan pulak masa kejadian adalah sekitar 10.30 malam.

Apa yang boleh dibuat oleh kaum keluarga mangsa. Borang lepas tanggung sudah diisi dan ditandatangani. Di dalamnya mereka telah bersetuju untuk tidak menyaman pihak penganjur sekiranya berlaku sebarang kecelakaan. Alahai nasib-nasib.

Saya mencadangkan agar di lain masa pihak yang akan menganjurkan program-program sebegini menggunakan khidmat sukarelawan yang mahir dalam aktiviti sebegini. Saya merasakan ramai di kalangan pelajar-pelajar dan alumni di FSR sendiri sanggup menjadi sukarelawan untuk program yang bermanafaat sebegini. Jadikan penggunaan sukarelawan berkemahiran sebagai satu amalan dalam aktiviti luar. Saya faham cikgu dan penganjur tak dapat memantau keseluruhan program. Kalau dah tau tak mampu JANGAN BUAT! Senang kan.

Namun persoalan asal masih lagi saya tagih daripada penganjur dan cikgu-cikgu yang berada di sana. Ke mana perginya orang-orang dewasa di tapak perkhemahan terbabit ketika kanak-kanak ini melintas jambatan gantung tersebut.

Wednesday, 21 October 2009

Hidup Perlu Diteruskan

Betul tu... hidup perlu diteruskan. Yang pergi biarkan dia pergi. Kita yang hidup ni kenalah teruskan perjuangan yang masih belum selesai. Perjuangan yang masih belum ditemui penghujungnya lagi. Takkanlah kita nak ikut orang yang kita sayangi tu sampai ke dalam liang lahat. Takkanlah kita berterusan ingin meratap pilu di atas kehilangan yang telah ditentukan itu.

Janganlah bergundah gulana terlalu lama. Orang yang pergi tu pun sudah tentu tidak mahu kita terlalu meratap pilu pemergiannya. Biarkan dia tenang di sana. Kirimkanlah doa dan sedekahkanlah ayat-ayat suci al-Quran bagi 'memudahkan' dirinya 'di sana'.

Saya coretkan di sini berdasarkan pengalaman sendiri. Saya nasihatkan kepada pelajar yang baru sahaja berjumpa saya sebentar tadi bersandarkan pengalaman yang menimpa diri sendiri. Tak dapat saya gambarkan kedudukan diri ini sekiranya saya bertekad untuk berhenti belajar selepas mak dan abah pergi ketika diri memerlukan sokongan dan dorongan untuk menghadapi peperiksaan besar, SPM pada tahun 1991 yang lalu. Alhamdulillah Allah kuatkan semangat saya. Allah bukakan minda dan tenangkan jiwa untuk berfikiran waras. Kalau tidak mungkin saya masih di Kulim dan bekerja di kilang sebagai operator.

Sesungguhnya segala dugaan dan cubaan yang Allah turunkan adalah untuk menduga keimanan hamba-hamba-NYA. Kita tak boleh tewas. Kita mesti bertekad untuk berjaya. Jangan hampakan harapan ibu dan bapa serta mereka yang tersayang. Pasti ada sinar menanti sekiranya kita berusaha.

Usaha + Doa + Tawakkal... insyaallah berjaya.

Monday, 19 October 2009

Pesan Sudah, Nasihat Pun Sudah

Saya dah basah kuyup. Mana taknaknya, kayak yang saya naiki bersama Mubin terlungkup. Penganjur tak ikat betul-betul tempat duduk kayak 'sit on top' yang saya dam Mubin naiki. Kami pun satu hal. Percaya sangat sampai tak periksa dahulu keadaan tempat duduk.

Akibat terlalu percaya, hah tangggunglah akibatnya. Ketika dah nak hampir dengan 'checkpoint' pertama untuk aktiviti mencari harta karun, kayak kami terbalik. Kayak yang sememangnya sangat-sangat stabil itu akhirnya berjaya menterbalikkan saya dan Mubin tanpa dirancang. Alahai apalagi...kuyup la dibuatnya. Takpalah... apa boleh buat, nasib baik Mubin bagi pinjam 'drybag' dia sebelum kami berkayak tadi. Kalau tak, habis telefon bimbit, kunci kereta dan dompet basah dan rosak le. Apa da... tempat duduk pun tak diikat betul-betul. Aku pun satu, terlalu percaya sangat. Sapa suruh. Kan dah kena.

Sampai di 'checkpoint' ketiga lagi menarik. Peserta terpaksa membaringkan badan di atas kayak untuk menyeberang di bawah jambatan yang rendah dan cukup-cukup untuk melepaskan badan dan kayak sahaja untuk ke seberang. Saya lepas. Ok la tu badan masih 'maintain'. Tak lekat bawah jambatan.

Sepasang peserta OKU sampai di 'checkpoint' tiga. Saya minta mereka menggunakan lorong lain di bawah jambatan. Ini kerana kayak dah penuh di lorong yang pasangan tersebut cuba masuk. Pasangan tersebut undur ke belakang dan mereka tersangkut pula pada seutas tali pancing yang terikat di bawah jambatan. Kaca mata peserta tersebut tertanggal dan jatuh ke dalam tasik. Alahai... kan saya dah cakap tadi. Ikat kaca mata anda. Degil betul. Kenapalah tak mahu dengar arahan yang diberi tadi. Saya masih ingat, sebelum berkayak tadi, saya dah pesan kepada peserta yang berkaca mata agar kaca mata mereka diikat. Kenapa degil?

Saya tak sanggup menyelam. Peserta OKU terbabit mengeluh, "Oh my new specs... it cost me more than one thousand". "Aduh mahal la pulak 'spec' mamat tu", bisik hati saya. Serba salah juga kalau tak tolong. Mubin hanya memandang sahaja saya seperti menunggu arahan. Terus saya minta Mubin tolong selam. Susah woo selam dengan PFD. Mubin minta kebenaran untuk buka. Berat juga untuk saya benarkan. anak orang woo. Lemas sapa nak jawab. Tasik ni mana boleh buat main-main. Saya rapatkan diri dengan Mubin dan beri kebenaran. Dah lama mencari... Mubin gagal. Iyalah..air keruh. Dalamnya penuh sampah. Maklumlah dekat jambatan. Saya suruh Mubin tanggalkan kasut. Takut tak perasan, terpijak pula spek mata berharga RM1000 lebih tersebut. Kami cuba sekali lagi... dan lagi tapi gagal. Cheh... basah lagi. Takpalah saya cuba lagi.

Itulah... kalau dah rezeki tu, spek lekat di jari saya. Aduh memang dah rezeki. Kaca mata yang bernilai lebih seribu ringgit tu ditemui semula. Alhamdulillah.

Moralnya di sini... patuhlah pada arahan yang diberi. Tentu ada sebab dan musababnya. Kalau dah hilang, rosak, kemalangan, cedera dan mati kan susah.
Aduhhai lah nasib badan. Apa boleh buat bila dah namanya pun berkayak. Tak sahlah kalau tak basah. Layan aja.

Friday, 16 October 2009

Syukurlah Oi!

Ada juga yang tak reti bersyukur atau buat-buat tak reti bila dah dapat peluang belajar di UiTM ni. Tambah pula sambung di Shah Alam. Depa tak insaf langsung dengan kawan-kawan yang terpaksa merantau jauh sampai ke Samarahan semata-mata hendak menyambung pengajian dalam bidang sains sukan ni.

Hari ini isu tersebut muncul kembali semasa saya mengadakan diskusi dengan penasihat akademik dan pensyarah-pensyarah yang terlibat dengan pelajar diploma. Pelajar-pelajar diploma di Shah Alam khabarnya terlalu aktif 'bersukan' sampai banyak kelas yang dituang. Betul ka begitu aktif sampai banyak kelas terpaksa dituang. Bagaimana pula di cawangan? Adakah mereka pun bersikap sedemikian?

Nasihat saya mudah sahaja. Pastikan anda mendapat kebenaran daripada pensyarah yang mengajar anda agar pensyarah tahu di mana anda pergi. Fokuskan tumpuan anda kepada pengajian di universiti. Ingat kembali janji anda untuk belajar bersungguh-sungguh yang telah dilafazkan di hadapan kedua ibubapa atau penjaga ketika anda mula menjejakkan kaki ke menara gading dulu. Biarkanlah mereka mengalirkan airmata kegembiraan apabila anda bergraduat nanti dan bukannya mengalirkan air mata akibat kegagalan anda sebelum habis berjuang. Ingat... sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.

Friday, 4 September 2009

Terbabas

"Alahai kuliah pagi kenapalah engkau ada. Kalau tak ada kan best!". Mungkin itulah yang menjadi igauan ngeri kepada sebahagian daripada pelajar-pelajar di bulan Ramadhan ini [saya pun pernah jadi student beb]. Kalau boleh mereka mahu tidur sahaja selepas sahur dan bangun lewat dan memulakan kuliah seawal jam 11.00 pagi. Mana mungkin. Bahasa kasar yng boleh diungkapkan di sini adalah... buat universiti sendiri sahajalah. Baru boleh mula kuliah ikut suka.

Saya dapat melihat sendiri trend yang berlaku di bulan puasa ini. Kelas di awal jam 8.30 pagi ramai yang terbabas. Bukan kuliah saya sahaja tetapi pensyarah yang lain pun turut mengadu perkara yang sama. Saya jangkankan dan percaya golongan pelajar ini tidur sebaik sahaja selesai bersahur. Maka apabila perutpun dah kenyang burghhhh... tidur pun menjadi nyenyaklah. Mereka terlupa sebentar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar di universiti iaitu untuk menghadiri kuliah.

Kasihan kat mak ayah mereka di kampung. Sudah tentu mak ayah menyangkakan anak-anak mak ayah ini sedang mentelaah pelajaran atau menghadiri kuliah di awal-awal pagi ini. Rupa-rupanya anak-anak mak ayah ini sedang lena diulit mimpi. Bila dah terjaga/tersedar... matahari dah tinggi. Terbabas dek penangan bulan puasa. Ruginya...

Hai lah adik-adik... cepat-cepatlah tersedar. Exam semakin hampir. Assignment semakin menimbun. Test atau quiz memang dah dekat. Jadi apa lagi... Wake up wake up hoi!

Thursday, 13 August 2009

Dah Ditakdirkan

Begitulah takdirnya... Flora dan Agnes ditimpa kemalangan sebentar tadi. Kedua-dua mereka telah dilanggar dari sisi selepas selesai sesi amali Bubble Making Experience di kolam renang.

Inilah yang cukup saya membimbangkan saya beberapa hari kebelakangan ini. Setiap kali ada kuliah pasti saya nasihatkan para pelajar supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri. Mana taknya kem semakin hampir. Pelajar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Kem memang memerlukan ketahanan kedua-duanya. Kalau tak bersedia maka hilang 'kenikmatan' untuk beraktiviti.



Sudah ditakdirkan mereka berdua yang terpilih untuk diduga oleh Allah subhanahu wata'ala. Mereka yang di dalam perjalanan menuju ke Stor Peralatan Rekreasi selepas tamat kelas saya telah dilanggar oleh sebuah lori betul-betul di simpang berhampiran pintu hadapan UiTM. Flora yang membonceng motosikal cedera [agak parah] dan terpaksa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Agnes hanya cedera ringan dan dirawat di Pusat Kesihatan UiTM.

Alhamdulillah... kedua-duanya mempunyai ramai rakan-rakan kelas yang prihatin serta segera datang membantu ketika dihubungi oleh Agnes sebaik sahaja beliau terlibat dengan kemalangan. Rakan-rakan [ketika kesusahan] ini menguruskan kedua mangsa sehingga ke hospital dan di dalam membuat laporan polis. Sememangnya rakan ketawa senang dicari, rakan menangis...

Monday, 10 August 2009

Mereka Kena Kuat!

Betul mereka kena kuat. Kuat segala-galanya. Dugaan memang banyak. Mana taknya, pada hari biasa mereka bekerja dan di hujung minggu mereka belajar. Keseronokan bersama keluarga di hujung minggu terpaksa dilupakan buat beberapa tahun. Mereka perlu kuatkan semangat dan bulatkan tekad untuk mencapai impian ketika di awal mereka mendaftar sebagai pelajar di universiti dahulu.

Begitulah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh abang-abang dan kakak-kakak polis di dalam menuntut ilmu secara Pengajian Luar Kampus (PLK) di FSR UiTM. Pengorbanan mereka ini akan terbayar tidak lama lagi apabila mereka akan menamatkan pengajian yang hanya tinggal satu semester sahaja lagi.

Bayangkanlah di dalam kesibukan mentelaah pelajaran, datang pula tugasan dari Jabatan di mana mereka bertugas untuk menjalankan operasi. Kadangkala kuliah pun terpaksa dilupakan. Biarpun sedang bertugas tetapi minda tetap di bilik kuliah. Begitulah pengorbanan untuk mengubah nasib. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan memang tepat untuk mereka ini.

Kepada adik-adik yang mendapat peluang belajar secara sepenuh di usia muda ini... gunakanlah sebaiknya. Janganlah disia-siakan peluang yang telah diberikan. Gunakanlah sebaik-baiknya.

Kepada abang-abang dan kakak-kakak polis saya doakan anda semua berterusan dikuatkan semangat dan cemerlang di tahun akhir ini. Amin.

Tuesday, 19 May 2009

T.O.N.T.O atau T.O.M.B.O

T.O.N.T.O dan T.O.M.B.O

Andakah anda tahu apakah makna akronim di atas. Satunya T.O.N.T.O satu lagi T.O.M.B.O.

Sebenarnya akronim ini mempunyai banyak makna samada baik ataupun buruk. Yang buruknya maksud T.O.N.T.O ini adalah Tolong Orang Nak Tipu Orang. Kebiasaannya digunakan untuk menggelarkan kumpulan samseng yang sering memeras ugut dan menipu orang. Baiknya T.O.N.T.O ini pula adalah Tolong Orang Naikkan Taraf Orang. Jarang sangat akronim ini digunakan untuk menyatakan segolongan manusia yang saling tolong menolong untuk menaikkan taraf hidup rakan-rakan dalam kumpulannya.

Saya suka menggunakan akronim T.O.M.B.O untuk yang baik-baik sahaja. T.O.M.B.O yang saya maksudkan adalah Tolong Orang Mahu Bantu Orang. Saya suka tergolong dalam kumpulan manusia sebegini. Saya rasakan tentu penjengok-penjengok sekalian juga mahu bersama-sama menyertai golongan sebegini. Dapat pahala percuma.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja ... sentiasa berdoa agar Allah lembutkan hati kita supaya diringankan anggota untuk saling membantu sesama insan selagi terdaya. Benar! tidak semua orang diberikan kekuatan oleh Allah untuk saling bantu membantu. Kita jangan jadi Kiasu [mementingkan diri sendiri].

Walau setinggi manapun kita, pasti kita saling memerlukan. Kita masih memerlukan seorang pengutip sampah untuk mengutip sampah di dalam tong-tong sampah kita. Sudah pasti kita tak mampu untuk ke tempat pembuangan sampah hanya semata-mata untuk membuang 2-3 kilo sampah. Tak gitu?

Jadi sudah semestilah kita patut menyedari bahawa bantu membantu ini sememangnya baik sekiranya diamalkan. Jangan ada semangat cucuk mencucuk, berburuk sangka dan fitnah menfitnah di kalangan kita. Aman dunia.

Terima kasih kepada guru saya, Encik Sam Shor Nahar [walaupun beliau tidak mengajar saya secara formal semasa di UPM dulu] kerana telah menerapkan budaya T.O.M.B.O. ini ke dalam jiwa saya.

Nota: Sekadar ingin berkongsi dengan penjengok-penjengok sekalian [mungkin kurang menarik kot posting ini]. Tapi memang sudah lama saya simpan.

Thursday, 30 April 2009

Sampai Bila?

Bertambah lagilah statistik orang mati akibat kelemasan di air. Semuanya bagi saya adalah kerana kelemahan dan kealpaan manusia sendiri. Dilaporkan si pemandu bot yang juga pemandu pelancong (dalam sesetengah akhbar) dikatakan hanya menyelamatkan diri sendiri dengan mencapai tong plastik kosong dan berenang meninggalkan pelancong-pelancong yang dibawanya.

Saya pun tak pasti, apakah tindakan yang sewajarnya untuk diambil ke atas si pemandu bot yang pentingkan diri sebegini. Adakah hukumannya sama seperti membunuh nyawa manusia lain dan boleh disabitkan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Atau juga tindakan diambil kerana kecuaian beliau. Ataupun kesnya terus ditutup. Kita tunggu.

Kasihan pelancong-pelancong dari Pakistan ini. Inilah pengalaman paling tragis bagi pelancong yang terselamat. Habis anggota keluarganya 'terselamat'. Mereka yang sepatutnya dijaga dengan sebaiknya oleh 'duta kecil' negara kita ini telah dianiayai.

Nyawa pelancong-pelancong ini khabarnya melalui anak si mangsa yang terselamat telah dengan sewenang-wenangnya diletakkan di hujung tanduk. Mereka tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian. Salahkah kalau si pemandu bot tersebut mengarahkan pelancong-pelancong tersebut memakai jaket keselamatan dahulu dan diperiksa pemakaiannya tersebih dahulu sebelum bot bergerak. Kalau mereka tak mahu pakai, paksa sahaja. Ataupun sememangnya bot beliau tiada jaket keselamatan. Ataupun jaket keselamatan ada, tetapi untuk perhiasan sahaja. Takut basah dan reput.

Walau apapun yang berlaku diharapkan penjengok-penjengok sekalian dapat faham mesej yang cuba saya sampaikan kali ini. Sarung dan kemaskan sahaja jaket keselamatan sekiranya anda menggunakan kenderaan di air. Biar orang kata kita 'pondan' atau penakut. Sekurang-kurangnya kitalah yang akan menjadi hero atau heroin sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas kenderaan yang kita naiki tadi.

Sekadar mengingatkan kepada yang terlupa.

Monday, 6 April 2009

Rokok

Semasa ingin keluar dari sebuah stesen minyak saya disapa seorang gadis manis. "Maaf Encik, saya ingin bertanya... Encik merokok?", tanya gadis itu sambil di tangannya ada sekotak rokok daripada jenama terkenal antarabangsa. "Alahai dik... awak silap orang, saya anti-rokok la", selamba saya membalas. Gadis itu terdiam, langsung tak berkata apa lagi.

Kenapalah saya yang dipilihnya dalam ramai-ramai lagi orang di stesen minyak itu. Ada tokoh muka perokok tegar ke. Takkan bos dia tak ajar teknik untuk mengenali perokok.

Esoknya saya diserang demam panas. Tekak terasa perit. Kepala terasa berat dan pusing. Maka ke DEMC saya tuju tepat jam 12 tengahmalam. Tak ada pesakit lain di situ. Masa menunggu pun jadi tak lama. Masuk saja terus mengadap doktor bertugas. Ditanyanya apa sakit saya. Saya terangkan (macamla aku pulak yang doktornya). Doktor mendengar dan seterusnya memeriksa. "Tekak Encik ni merah betul, Encik kuat merokok ke?", tanya doktor tersebut inginkan kepastian setelah diperiksa tekak saya. "Doc, saya anti-rokok ... mak bapak saya mati kerana rokok. Jadi saya memang tak merokok", terang saya. Alahai dalam masa tak sampai 24 jam dah 2 orang tegur aku pasal rokok. Kenapa ya? Sebab bibir hitam kot. Walau apapun saya dapat MC sehari.


Sebentar tadi saya ke sebuah pasaraya. Ketika di kaunter bayaran, saya terperasan kotak rokok jenama antarabangsa yang memaparkan foto yang mengerikan akibat daripada tabiat merokok. Kesan merokok memang mengerikan tetapi kenapa orang masih merokok. Tak kasihankah mereka dengan tubuh badan yang Allah kurniakan. Yang menariknya lagi, mulut menggalakkan orang mengamalkan cara hidup sihat tetapi mulut itu juga yang bibirnya terlekat rokok senantiasa. Hipokrit namanya tu. I'm sorry.

Takpalah yang penting saya senantiasa mengingatkan kawan-kawan saya tentang bahayanya merokok. Jika anda sayangkan diri anda dan orang tersayang, jauhilah rokok. Anda selamat... orang yang tersayang pun selamat.

Tuesday, 28 October 2008

Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir

Esok pagi akan bermulalah Peperiksaan Akhir Oktober 2008 untuk pelajar-pelajar UiTM. Nampak gayanya peperiksaan kali ini betul-betul menduga disiplin pelajar-pelajar di dalam mentelaah pelajaran. Mana taknya, dengan demam beraya yang masih terasa dan cuti mengulangkaji yang agak pendek tentulah menjadi cabaran untuk semester ini. Tetapi ianya bukanlah alasan untuk tidak mendapat keputusan yang cemerlang.

Saya mendoakan pelajar-pelajar FSR mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan kali ini. Nasihat saya sama juga seperti Peperiksaan Akhir April 2008 yang lepas. Anda boleh membacanya di sini. Saya harap pelajar mengambil iktibar dari pengalaman saya semasa menjadi pengawas bilik peperiksaan pada semester yang lalu.

Berita baiknya pula, saya tidak lagi menjadi pengawas bilik/dewan peperiksaan pada semester ini. Tugas saya kali ini hanya sebagai pengambil kertas soalan. Kerja yang lebih senang tapi tanggungjawabnya tetap tidak banyak berbeza.

Akhir kalam saya mendoakan Selamat Maju Jaya untuk semua pelajar FSR. Semoga anda tenang menjawab soalan yang dikemukakan di dalam kertas soalan. Jangan lupa untuk mendapatkan restu terutamanya daripada ibu dan seterusnya ayah anda. Doa mereka berdua sememangnya amat berharga untuk kejayaan anda.

Thursday, 11 September 2008

Selamat

Alhamdulillah... semua pelajar yang hadir berjaya menuruni cerun berhampiran kolam renang UiTM dengan selamat. Mereka pasang sendiri anchor tadi. Jadi tak sia-sialah kelas amali minggu lepas. Ramai juga ahli dan alumni yang turun membantu adik-adik mereka.

Lebih separuh daripada peserta telah mencuba gaya berlari turun atau running down ataupun nama lainnya Australian Style. Mereka semakin yakin dengan tali yang sebesar jari telunjuk itu. Laju sekali mereka berlari.

Tapi hati-hati ya, biar yakin tetapi jangan terlalu yakin. Peralatan tidak pernah buat silap tetapi manusia yang bertanggungjawab terhadap sebarang kecelakaan yang berlaku sekiranya ianya melibatkan peralatan. Kenapa agaknya? Sudah tentulah kerana manusia tidak pandai atau buat-buat tidak pandai menjaga peralatan. Mana mungkin peralatan akan bertahan lama jika sekiranya kita tidak menyelenggaranya dengan betul.

Oleh itu, sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas orang yang tersayang [rakan-rakan anda] yang diakibatkan kelalaian kita menjaga peralatan, maka sama-samalah menjaga peralatan rekreasi yang anda gunakan. Agar ianya boleh bertahan lama dan selamat digunakan oleh generasi FSR seterusnya.