Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 14 February 2013

Seteguh Tekad.. usaha mengubah hidup

Buku Seteguh Tekad ini entah macam mana boleh saya terfikir untuk dimasukkan ke dalam bagasi dan dibawa bersama sewaktu berhijrah ke Melbourne pada Mac 2012. Tentu sekali ada banyak yang tersirat di sebalik buku yang telah saya beli pada 27hb Jun 2008 ketika berkunjung ke Pesta Buku yang dianjurkan oleh Alaf 21. Pada mulanya, apabila saya melihat kulit buku yang dipamerkan di rak, terlintas sejenak tanggapan seakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ingin menayang diri. Di kulit buku tersebut menampilkan penulis berpakaian segak dengan basikal tua. Apa relevannya basikal tua dengan penulis yang siap bersut lengkap itu. Oleh kerana ingin mengetahui akan isinya, saya melabur wang sebanyak RM13.00 bagi memiliki naskah buku yang dimaksudkan. Setelah membelek helaian demi helaian buku setebal 319 halaman itu dan menghayati kisah pahit manis yang dilalui penulis, timbul pula kesedaran yang kehidupan ini tidak akan terlepas daripada dugaan tetapi bagaimana kita menghadapinya adalah keutamaan.
 
 
Menyelak helaian demi helaian, pembaca bagaikan turut dibawa bersama merasai kesusahan dan penderitaan yang dialami seorang anak yang berjiwa besar tapi hidup dalam serba kekurangan. Buku ini sebenarnya adalah sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.  
 
Seteguh Tekad adalah sebuah buku nukilan anak kelahiran negeri Melaka, Prof. Dr. Sidek Baba di mana pembaca akan dapat menyelami liku-liku kehidupan yang dialami oleh beliau untuk menuju puncak kejayaan. Pendakian tangga kejayaan akan dapat diselami melalui rentetan pengalaman kehidupan yang menekankan aspek motivasi dan merangsang jiwa supaya pembaca sentiasa bersemangat kental di dalam menempuh dugaan dalam kehidupan.

Buku ini telah ditulis sendiri oleh yang empunya diri. Buku autobiografi ini dapat memberi peluang kepada pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Dr. Sidek yang telah dilahirkan ke dunia ini dalam serba kekurangan tetapi kini telah berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang.

Ini adalah bukti melalui kata-kata beliau di mana tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau adalah sebenarnya pendorong kuat yang akhirnya mampu menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.

Profesor Dr. Sidek Baba merupakan seorang tokoh pendidik dan pejuang pendidikan Islam yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dan jemu di dalam kamus kehidupannya. Tokoh berjiwa besar ini mengajak pembaca melalui bukunya agar menilai tentang erti sebuah kehidupan yang amat memerlukan ilmu sebagai pengisiannya.

Salah satu faktor penting yang turut ditekankan di dalam buku ini adalah pengalaman yang dilalui selalunya akan mendekatkan lagi manusia dengan Penciptanya, merenung nasib diri, memahami erti kehidupan serta mengenal kebenaran. Ciri ini tergambar daripada watak bapanya yang sentiasa mengadu hal kepada Allah di samping watak lain yang secara langsung dan tidak langsung membentuk jiwa beliau hingga menjadi manusia yang cintakan jiwa seorang pendakwah.

Sesuai untuk semua lapisan khalayak pembaca, buku Seteguh Tekad mampu menyuntik semangat di hati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menyedarkan mereka yang berputus asa bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan dengan syarat kita bersedia merubah nasib diri. Buku ini juga mampu memotivasikan pendidik-pendidik agar ikhlas di dalam mendidik anak bangsa dan seterusnya tidak lupa mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh pelajar.

Buku nukilan Dr. Sidek ini penuh dengan semangat dan emosi. Di suatu peringkat, saya hampir menitiskan air mata dek penceritaannya yang memilukan. Sampai di suatu peringkat yang lain pula, semangat saya untuk berusaha marak menyala kerana didorong oleh kejayaan penulis buku tersebut atas hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu.

Begitulah hebatnya buku ini. Banyak pengajaran dan nilai-nilai positif yang boleh pembaca ambil iktibar dari buku ini.

Saya membahagikan pengajaran yang boleh diperolehi daripada buku ini kepada beberapa bahagian iaitu: 
   1.    Pengorbanan untuk perubahan
   2.    Kecekalan dan keazaman
\  3.    Kasih sayang
 
 
PENGORBANAN UNTUK PERUBAHAN
 
Dr. Sidek telah melakukan satu pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya iaitu berhijrah. Jelas dapat disaksikan bagaimana pelajar miskin yang dahagakan ilmu ini yang bermula dari sekolah rendah telah sanggup berhijrah ke Bandar Melaka untuk menyambung pelajarannya di peringkat sekolah menengah. Seterusnya beliau berhijrah ke Maktab Perguruan Sultan Idris dan Universiti Malaya untuk peringkat sijil dan ijazahnya. Kemudian diberi peluang pula untuk menuntut di universiti di Amerika Syarikat. Pengorbanannya di dalam melakukan hijrah amat berbaloi dan telah berjaya mengubah kehidupan beliau.

Sesungguhnya tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan pula adalah suatu tuntutan hidup. Setiap umat Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang terbaik adalah tuntutan agama (Noor, 2004).

Di dalam Seteguh Tekad, Prof. Dr. Sidek menggarap liku-liku kehidupan yang ditempuhinya dengan tenang dan teratur dan disulami dengan emosi dan doa.  Beliau mengisahkan hidupnya sebagai insan biasa yang berjiwa besar, mengait impian demi impian dan berpijak di alam nyata.  Pengorbanan keluarga beliau adalah amat bernilai dan tidak dapat disangkal di dalam kehidupannya. Dr. Sidek sering mengungkapkan pesanan ayahanda yang tersayang:
 
“Kalau takdir kau jadi orang yang dikenali, jangan lupa ALLAH.  Selalu tolong orang yang susah.  Selalu kaitkan rezeki dengan berkat.  Kalau kau jujur dengan ALLAH, pertolongan ALLAH akan datang”.

Selain daripada itu pengorbanan yang amat luar biasa juga telah dipamerkan oleh isteri Dr. Sidek. Isterinya sanggup meninggalkan jawatan semata untuk memberi tumpuan mendidik anak-anak dan menjadi pendorong utama kejayaan hidupnya. Semasa di luar negara pula isteri bertindak sebagai pemberi inspirasi dan penguat semangat. Benarlah kata bijak pandai bahawa tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Melalui pengorbanan daripada si-isterilah menyebabkan Dr. Sidek lebih tenang menempuh dugaan bagi mengecapi kejayaan.


KECEKALAN DAN KEAZAMAN
 
Pengalaman Sidek yang mengayuh basikal sejauh 45 batu pergi balik setiap hari dari rumahnya ke sekolah yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kerana kayuhan demi menuntut ilmu itu bersama tekad teguh akhirnya telah melahirkan insan yang menjadi contoh kepada umat Islam pada hari ini. Inilah antara salah satu contoh kecekalan beliau di dalam menuntut ilmu. Beliau faham bahawa ibubapanya tidak mampu untuk membayar tambang bas untuk berulangalik ke sekolah. Maka untuk mengelakkan dirinya tercicir daripada meneruskan pengajian sekolah menengah, beliau sanggup mengorbankan tenaga dan masanya untuk mengayuh basikal untuk destinasi yang sebegitu jauh pada setiap hari persekolahan. Akibatnya pelajaran beliau merosot dan tercorot.
 
Dr. Sidek juga tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk beliau tidak boleh berjaya. Selain daripada itu Dr. Sidek tidak pernah sekalipun bersungut akibat kegagalannya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Higher School Certificate (HSC). Beliau tidak jemu-jemu mencuba berulangkali menduduki peperiksaan untuk HSC sehinggalah mendapat keputusan yang cemerlang dan melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.  Dr. Sidek telah membuktikan bahawa gagal sekali bukan bermakna dia akan gagal untuk selamanya. Sesungguhnya belajar dari masa lalu dapat membantu membentuk masa hadapan agar menjadi lebih berkesan (Syed Zakaria, 2005).

Kecekalan beliau dan isterinya telah dengan izin Allah berjaya mendidik kesemua lapan-lapan anak mereka melepasi pendidikan di universiti juga boleh diambil iktibar. Di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, bukanlah suatu tugas yang mudah sebenarnya untuk mendidik anak sekiranya ibubapa tidak memberikan tumpuan yang sewajarnya berkaitan perkembangan anak-anak. Peranan ibubapa sama penting di dalam mendidik anak-anak (Redzuan & Munji, 1990).
 
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNYA yang tidak pernah berputus asa, bersabar mendepani kerenah hidup dan cekal dalam keazaman. Allah amat mengerti akan tangisan dan doa, airmata dan keringat hambaNYA.
 
 
KASIH SAYANG
 
Sesungguhnya kasih sayang sukar untuk dijual beli. Prof. Dr. Sidek Baba sangat beruntung kerana dikurniakan dengan ahli keluarga yang saling sayang menyayangi. Beliau juga sungguh bertuah kerana dikelilingi oleh guru-guru yang telah memberi sumbangan yang amat besar dalam hidupnya.
 
Selain daripada itu Dr. Sidek juga dikurniakan sahabat-sahabat perjuangan yang sentiasa membantu ketika diperlukan. Ini dibuktikan apabila rumah beliau dipenuhi dengan sahabat-sahabatnya yang menanti setelah beliau dilepaskan daripada tahanan ISA.
 
Sudah tentulah isteri menjadi pendamping yang paling setia di dalam kehidupan beliau. Anak-anak pula adalah harta yang tidak ternilai harga yang menjadi kurniaan Illahi. Kesemua anak-anaknya dibawa bersama sewaktu melanjutkan pelajaran di Amerika. Beliau tidak sanggup meninggalkan walau seorangpun anaknya di Malaysia. Biarlah sama-sama susah. Itulah yang menjadi pendirian beliau.
 
Anak-anak memerlukan kasih sayang. Sekira kasih sayang tidak diberikan, contoh teladan tidak ditunjukkan maka mereka akan belajar dari contoh-contoh yang melintas di hadapan mereka. Sudah tentu bukan itu yang kita mahukan.
 
Betapa indahnya dunia sekiranya manusia saling berkasih sayang, saling bantu membantu dan bekerjasama. Orang kaya tolong orang miskin dengan kekayaannya, orang sihat tolong orang sakit mengikut kemampuannya, kerana takutkan Allah semata-mata dan bukannya kerana mahukan sesuatu selain Allah. Pesan Tuk Hitam kepada Dr. Sidek sememangnya ada kebenarannya. Pesan Tuk Hitam:
 
“Kalau berjaya nanti, ramai orang boleh tumpang senang. Tapi bila berjaya cu, jangan sombong dan jangan tinggi diri. Ingat asal-usul kita. Kita orang susah. Bila kita ada ilmu dan senang sikit, mesti tolong orang. Ilmu ni cu… jangan kedekut. Kedekut ilmu, berkat hidup hilang. Ilmu itu penyuluh. Ilmu itu penunjuk jalan. Tak berilmu kita lalu jalan gelap. Berilmu kita ada arah tuju. Kita kena murah hati. Orang susah kita tolong. Orang miskin jangan dihina”.
 
Pesanan di atas kalau kita semua ambil iktibar sudah tentulah dunia ini akan aman dan tiada kemusnahan.

***************************************************************************** 
 
Yang pasti, setelah menutup helaian terakhir ini saya terus terdorong untuk membaiki diri bagi menuju redha Allah SWT. Walaupun kehidupan saya tidaklah sesusah beliau, ada ruang-ruang ujian dan dugaan hidup yang memerlukan sifat sabar dan cekal untuk menanggung dan menghadapinya. Saya suka membaca kisah-kisah tokoh-tokoh yang telah berjaya, kerana terselit seribu pengajaran untuk pembangunan diri saya.
 
Pada hemat saya kehidupan yang berlaku pada setiap manusia terdapat hikmah dan pengajaran yang boleh kita jadikan pengajaran dan dorongan untuk bangkit membina diri. Melalui pengalaman Dr. Sidek ini telah saya pecahkan perbincangan kepada pentingnya pengorbanan untuk mengecapi perubahan; kecekalan dan keazaman untuk mencapai kejayaan dan kasih sayang sesama insan.
Di sini saya ingin mencadangkan pendidik-pendidik, bakal pendidik, dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan agar membaca buku ini. Pengalaman Dr. Sidek sedikit sebanyak menyedarkan bahawa pendidik bukan berfungsi untuk mengajar pelajar yang telah pandai. Sebaliknya, pendidik berperanan mengajar setiap pelajar yang ada di dalam kelas.  Pelajar yang sedikit terkebelakang di dalam memahami pelajaran tidak harus ditinggalkan begitu sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab seorang pendidik untuk membimbing pelajar itu mengikut tahap pelajar tersebut. Itulah sebenarnya dikatakan seseorang pendidik itu merupakan pendidik yang baik, bukan sekadar mengajar tetapi membimbing.

 
 Sekian, selamat membaca.

 
Hisyam Che Mat
Mill Park, Vic


Rujukan:


Baba, S. (2007). Seteguh tekad. Shah Alam: Alaf 21 Sendirian Berhad.
Noor, I. (2004). Kepimpinan nabi Muhammad s.a.w: Model ikutan sepanjang  masa pengurusan altruistik: Perbandingan-silang dengan kepimpinan dan pengurusan semasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors
Redzuan, M., & Munji, S. H. (1990). Pengantar psikologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Syed Zakaria, S. A. (2005). Panduan dan strategi motivasi diri. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors 

3 comments:

yazilahyazir said...

salam Boss..
Wow.. kena cari ni buku ni.. sgt menarik.. hehe..
have a great day boss.. sampaikan salam saya kepada kak liza.. :)

hisyamchemat said...

Salam Yazilah,
Selamat membaca, semoga anda mendapat iktibar daripada perjalanan kehidupan Prof Sidek. Percayalah otobiografi ini takkan jemu dibaca berulangkali.

Anonymous said...

ya saya setuju dengan "tekad dan usaha bisa mengubah hidup kita "

ST3TELKOM